Artikel "Semasa" Terkini
Tiga PPS Dibuka Di Dungun
DUNGUN, 4 Januari - Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Dungun bagi menempatkan 195 mangsa banjir daripada 60 keluarga.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun, Kapten Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, PPS yang dibuka ialah PPS Dewan Orang Ramai Kampung Minda, PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.
Kapten Ahmad Kamal Hakim Ngah
Beliau yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Dungun memberitahu demikian ketika dihubungi di sini pagi ini.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan agar orang ramai menjaga dan mengawasi anak-anak supaya tidak bermain banjir.
"Pengawasan daripada orang dewasa sangat penting kerana jika lalai boleh mengundang maut.
"Dalam keadaan kita masih lagi berdepan pandemik COVID-19 serta fasa banjir yang belum berakhir, orang ramai perlu sentiasa memakai pelitup muka, menjaga jarak serta kebersihan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19," ujarnya.
04 Jan 21
445
Tiga Loji Baharu Dibina, Atasi Masalah Air
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Tiga loji baharu yang sedang dalam pembinaan bakal menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk di daerah ini, Kuala Nerus dan Marang.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, langkah itu merupakan penyelesaian jangka panjang.
Katanya, bermula Aidilfitri nanti pihaknya menjangkakan rakyat Terengganu tidak lagi menghadapi bekalan air terputus.
"Loji Air Bukit Berapit, Kuala Nerus dan Loji Air Losong (tambahan) yang dibina pada tahun 2016 dijangka siap dan boleh beroperasi beberapa bulan lagi.
"Manakala sebuah lagi iaitu Loji Air Pulau Bahagia dijangka siap dan boleh beroperasi Februari ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat Gangguan Bekalan Air di Pejabat SATU, hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga loji berkenaan berupaya menambah bekalan sebanyak 184 juta liter air sehari (mld) berbanding hanya 282 mld yang mampu dibekalkan oleh Loji Rawatan Air Losong, Loji Rawatan Air Kepong 1 dan Kepong 2 ketika ini.
Atemin berkata, pihaknya juga sedang giat menjalankan kerja-kerja menaik taraf loji serta pembesaran paip, tangki utama dan rumah pam.
Sementara itu, bagi penyelesaian jangka pendek pula, SATU mengambil langkah dengan membuat kerja-kerja catuan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih secara berterusan pada tempoh siang hari.
"Selain itu, kita juga menghantar bantuan bekalan air melalui lori tangki air ke kawasan terjejas.
"Juga, menempatkan tangki-tangki statik ke kawasan yang memerlukan," ujarnya.
03 Jan 21
6388
JPKK Tempat Rakyat Mengadu
Oleh : Rohayati Ripin
DUNGUN, 2 Januari - Kerajaan Terengganu mengingatkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar boleh menjadi tempat rakyat memberi pandangan, menyalurkan idea dan cadangan mereka kepada pihak berkuasa di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, JPKK boleh menjadi 'tulang belakang' kepada kepimpinan yang ada di kawasan ini serta melaksanakan tugasnya dengan baik.
“JPKK harus merancang bagaimana kita boleh menjadikan bandar Bukit Besi ini dalam satu suasana yang lebih kondusif kepada masyarakat.
“JPKK tidak boleh lagi berada dalam kepompong konvensional dan harus punyai 'Master Plan' bagi merancakkan pembangunan kampung, dan seharusnya merangkumi aspek pembangunan infrastruktur, pembangunan sosial yang punyai KPI tersendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Balai Raya Perumahan dan Penyerahan Kunci di Dataran Kejap Futsal DUN Bukit Besi, Dungun, semalam .
Sehubungan itu, kata Dato Yahaya, balai raya ini hendaklah digunakan secara 'holistik' melibatkan pelbagai aktiviti masyarakat seperti membuat tuisyen rakyat, seminar motivasi, tempat bermesyuarat dan berprogram.
“Pastikan infrastrutur yang ada ini tidak berlaku 'vandalisme' dan perkara yang merosakkan harta benda awam.
"Kami (kerajaan) berharap supaya pertemuan demi pertemuan dapat diadakan di sini (balai raya) dan masyarakat setempat boleh menjadi pembantu kepada balai ini untuk menjadi bandar yang maju , berkat dan sejatera sebagaimana hasrat kerajaan negeri yang ada sekarang ini,” jelasnya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar bersama-sama menjaga dan memasyarakatkan balai raya sebagai pusat komuniti masyarakat di kawasan ini.
03 Jan 21
524
Paras Air Di Bandar Kuala Terengganu Terkawal
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Fenomena air pasang besar berserta dengan hujan lebat yang mengakibatkan banjir di pusat bandar Kuala Terengganu awal Disember baru-baru ini membuatkan Jabatan Amal Kuala Terengganu khasnya di bandar sentiasa berwaspada.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, Jabatan Amal selaku antara NGO kebajikan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bandar sentiasa bersiap sedia sepanjang tempoh monsun yang masih berbaki ini.
Ahmad Shah menghulurkan sumbangan barang keperluan kepada salah seorang mangsa banjir.
"Pemantauan tetap dijalankan oleh pihak PKM dan Jabatan Amal. Walaupun setakat ini tiada banjir, namun hujan lebat dan angin yang bertiup kencang dapat menjejaskan rumah-rumah kampung.
"Jika ada sebarang kerosakan, saya harap boleh laporkan kepada JPKK masing-masing. Kita akan cuba baik pulih dengan kadar segera," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar turut mengingatkan agar semua pihak lebih berhati-hati menjaga diri serta ahli keluarga dengan mengelakkan bermain di tempat berisiko seperti pantai dan sungai.
Sementara itu Saudara Nizam, Komander Jabatan Amal Kuala Terengganu ketika dihubungi mengesahkan seluruh anggotanya diminta sentiasa peka dengan laporan kaji cuaca di zon masing-masing.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut bagaimanapun dijangka akan berakhir pada Mac ini.
03 Jan 21
1352
Operasi Besar-Besaran Kurangkan Aktiviti Maksiat
MARANG, 2 Januari - Kesalahan jenayah syariah di daerah ini telah mencatatkan pengurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya terutamanya pada malam ambang tahun baharu berikutan operasi pencegahan yang kerap dijalankan.
Ketua Skuad Amar Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, lokasi panas yang menjadi tempat pelaku melempiaskan nafsu memperlihatkan perubahan dan tiada tangkapan dibuat.
Katanya, ia terbukti dalam satu operasi cegahan 'Sifar Maksiat' oleh Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Pegawai Penguatkuasa Syariah, Pejabat Agama Daerah Marang, dan Sukarelawan Syariah ke hotel-hotel, chalet, dan rumah tumpangan.
"Dalam serbuan kali ini, hanya satu pasangan yang bukan berasal dari daerah ini, berusia lingkungan awal 20-an dicekup di sebuah hotel kira-kira jam awal 3.00 pagi.
"Pasangan tersebut akan didakwa di bawah kesalahan seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 sekiranya sabit kesalahan," katanya selepas operasi.
Menurutnya lagi, pada tahun ini Skuad Amar dan agensi terbabit akan terus memberi didikan dan kesedaran berkaitan syariat agama kepada masyarakat sekeliling.
"Sebelum operasi ini dijalankan, kita telah membuat hebahan awal dan sebaran berkenaan pencegahan aktiviti maksiat serta akan melakukan operasi secara besar-besaran.
"Satu 'banner berkenaan operasi mencegah maksiat juga telah dipasang di empat buah lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Alur Limbat dan Bukit Payong.
"Ini adalah bagi mencegah daripada perkara tidak bermoral berlaku malah membuatkan mereka merasa gerun untuk melakukan kesalahan," tambahnya.
Operasi yang bermula seawal jam 12.00 tengah malam berakhir sekitar jam 4.00 pagi disertai oleh lebih 60 orang yang terdiri daripada Ahli Skuad Amar, Sukarelawan Syariah dan Pegawai Penguatkuasa Syariah, Pejabat Agama Daerah Marang.
02 Jan 21
1786
Gengster 'Cuci Tangan' Selepas Masuk Islam
KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Memasuki gerbang tahun 2021 setiap individu memasang azam dengan semangat baharu termasuk bekas gengster, Muhammad Danial Vanathiah yang telah membina hidup bersama gadis pilihan.
Muhammad Danial, 30 semalam telah selamat diijabkabulkan dengan pasangan pilihannya Nur Hamidah Abdullah, 26, di Masjid Al-Hijrah, Flat PPR Padang Hiliran di sini semalam.
Muhammad Danial yang sudah 'cuci tangan' daripada kerja-kerja gengster memilih untuk memeluk Islam pada pertengahan 2018 dan membuat keputusan untuk berhijrah ke Terengganu.
"Semoga perkahwinan ini dapat membuka lembaran baharu dalam hidup saya dan isteri. Terima kasih kepada Unit Dakwah Saudara Kita Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang banyak membantu sejak dari awal saya memeluk Islam," ujarnya kepada UPDI.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed yang turut hadir menyifatkan peristiwa itu penuh bersejarah bagi kedua mempelai terbabit.
"Saya mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan ini dan setinggi tahniah buat semua yang membantu terutamanya pihak Dakwah Saudara Kita MAIDAM yang begitu cakna dengan kebajikan mereka," katanya.
Sementara itu, jurucakap Unit Dakwah Saudara Kita MAIDAM, Muhammad Syafiq Suresh menjelaskan bahawa lelaki mualaf yang bekerja sebagai mekanik itu juga layak menerima Bantuan Perkahwinan Mualaf sebanyak RM2,000.
“Bantuan tersebut adalah untuk membantu golongan mualaf bagi membina permulaan kehidupan baharu di alam perkahwinan,” jelasnya.
02 Jan 21
2854
COVID-19 : 5,294 Individu Dari Zon Merah Disaring Secara Sukarela
KUALA TERENGGANU, 1 Januari –Seramai 5,294 individu dari zon merah yang memasuki Terengganu telah berjaya disaring COVID-19 secara sukarela sehingga 31 Disember 2020.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hasil saringan tersebut, seramai 25 individu telah disahkan positif COVID-19 dan 17 daripada 495 kontak rapat yang telah dikenal pasti, juga didapati positif.
“Sehingga semalam juga telah dilaporkan 17 kes baru di mana majoriti kontak rapat kes positif lain,” katanya dalam satu kenyataan di facebooknya semalam.
Dr Nor Azimi turut menasihati, mereka yang bergejala seperti demam, anosmia dan seumpamanya supaya membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum merentas negeri.
“Sekiranya anda berada di kawasan wabak (kluster) atau telah membuat saringan di tempat sendiri, tangguh dulu niat merentas negeri sehingga keputusan ujian saringan anda telah diperolehi.
“Kita tak halang mereka yang ingin merentas negeri, tapi diingatkan supaya menjaga diri, keluarga dan masyarakat, bukan demi kepentingan sendiri semata-mata.
“Kami ada contoh kes di mana seorang yang demam tapi berjumpa dengan 10 buah keluarga di pelbagai majlis. Bayangkan puluhan kontak rapat terpaksa dicari dan dikuarantinkan,” katanya lagi.
Justeru itu, beliau menyeru agar semua orang tidak ambil mudah nasihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan budaya norma baharu.
“Bayangkan apabila satu keluarga berkumpul ramai-ramai, adakah kita pasti SOP boleh dipatuhi oleh mereka.
“Jangan ambik mudah nasihat Elak 3S dan Amal 3W. Itu sahaja benteng pertahanan kita buat masa ini,” ujarnya.
01 Jan 21
867
Jalan Pesisir Pantai Seberang Takir Ditutup Sementara
Oleh : Noraini Jusoh/Ariffudin Alias
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Jalan Pesisir Pantai Seberang Takir dari arah Pantai Teluk Ketapang ke Jambatan Angkat ditutup sementara kepada semua kenderaan bermula hari ini (Jumaat) hingga Ahad.
Jabatan Kerja Raya Kuala Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan selama tiga hari sebahagian laluan berkenaan adalah untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya lantaran berlaku limpahan ombak serta sampah sarap di lokasi terbabit.
"Kerja-kerja pembersihan jalan akan segera dilaksanakan, justeru pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengambil jalan alternatif melalui laluan Jalan Seberang Takir.
"Papan tanda amaran dan pemberitahuan telah dipasang ditapak dan disertakan juga lampiran peta jalan alternatif untuk panduan kepada pengguna jalan raya," ujar kenyataan itu.
Katanya, semua pengguna jalan raya diharap mematuhi papan tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan.
"Kerjasama sepenuhnya dari semua pengguna jalan raya amatlah dihargai, " katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika melakukan tinjauan pagi tadi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kuala Nerus bagi memastikan keadaan di situ terkawal.
"Tinjauan dari semasa ke semasa akan sentiasa dilakukan agar keselamatan orang ramai terjamin.
"Kerja-kerja pembersihan ini akan dipastikan berjalan sebagaimana dirancang," tambah beliau.
01 Jan 21
1696
Sambutan Tahun Baharu Terengganu Sarat Dengan Aktiviti Agama
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 di negeri ini semalam sarat dengan pelbagai program keagamaan.
Ia termasuk dengan program utama iaitu sambutan secara dalam talian atau Pentas Online 'Ambang Tahun Baharu 2021 Terengganu' yang diadakan di markas Tarbiah, Kuala Ibai.
Keraian melalui saluran Facebook dan YouTube Tv Darul Iman itu diisi dengan forum santai beberapa Exco Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pendakwah bebas.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang menjadi ahli panel forum berkata, sambutan tahun baharu menjadi kelaziman kerana digemari oleh masyarakat khususnya orang muda.
"Program-program tahun baharu pada masa kini banyak menjurus kepada hiburan dan unsur-unsur yang melalaikan.
"Justeru, kerajaan negeri mengambil satu alternatif untuk membuat program sebegini, khususnya buat orang muda.
"Dengan harapan supaya ambang tahun dapat diisi dengan nilai positif kepada rakyat, pertama kita boleh insafi perkara yang dialami tahun sebelumnya dan kita muhasabah supaya memperbaiki kelemahan untuk tahun hadapan," katanya dalam forum tersebut.
Turut hadir dalam panel tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pendakwah Bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed.
Hadir sama, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said Pengarah Urus Setia Belia Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak, dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Wan Din.
Program Ambang Tahun Baharu 2021 bermula pada 8.15 malam turut dibintangi dengan persembahan nasyid oleh Abu Hurairah Band dan Ustaz Ahmad Muzani Abd Rahman.
Serentak dengan program itu juga, aktiviti 'Street Dakwah' turut diadakan di seluruh negeri.
Di Daerah Kuala Terengganu, dakwah jalanan itu dijayakan di Pasarnita dan perkarangan 'Foodtruck' di sekitar Jambatan Angkat bermula jam 10.00 malam.
Program anjurah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) tersebut mengfokuskan aktiviti edaran risalah bagi mendidik masyarakat di kawasan tumpuan belia.
Manakala 'Operasi Cegah Maksiat Ambang Tahun Baru' juga dikuatkuasakan di sekitar negeri.
01 Jan 21
529
Ombak Besar Badai Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Beberapa kawasan di sekitar pantai Terengganu telah dibadai ombak besar semalam.
Kejadian tersebut menyebabkan jalan di bahagian pantai Seberang Takir dan Kampung Sura Tengah di Dungun terpaksa ditutup.
Berdasarkan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), perairan negeri menandakan amaran kategori ketiga dengan kelajuan angin sehingga 60 Kmsj dan ombak setinggi 4.5 meter.
Amaran tersebut dijangka akan berterusan sehingga 3 Januari.
Sementara itu, sekitar jam 9.30 malam, jalan raya berdekatan Mayangsari Resort Dungun diawasi oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri (APMM).
Berdasarkan tinjauan wartawan Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sekitar jam 11.00 malam semalam, pihak Polis Diraja Malaysia dilihat menutup laluan jalan tepi pantai dari Seberang Takir menghala Jambatan Drawbridge sehingga simpang empat berhampiran TD1303.
Hasil tinjauan hari ini juga mendapati keadaan jalan di 'Pantai Miami' Seberang Takir dipenuhi dengan pasir pantai dan serpihan kayu laut dan dalam proses pembersihan oleh pihak berkuasa.
31 Dec 20
1278