Artikel "Semasa" Terkini
Banjir Di Terengganu Bertambah Teruk
KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila 2,410 mangsa daripada 655 keluarga dipindahkan ke 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga 10 malam ini berbanding 910 mangsa (238 keluarga) di 10 PPS setakat 3 petang kelmarin.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, banjir gelombang kelima di negeri ini bertambah teruk sekali gus menyebabkan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir di empat daerah negeri ini.
Katanya, hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang besar telah menyebabkan banjir mula merebak ke daerah Setiu dan Hulu Terengganu selain Kemaman dan Dungun.
“Kemaman kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,665 mangsa daripada 422 keluarga telah dipindahkan ke 16 PPS.
“Seramai 612 penduduk dari 186 keluarga pula telah berpindah ke lima PPS di Dungun,” katanya.
Selain itu katanya, di Hulu Terengganu, dua PPS dibuka bagi menempatkan 126 mangsa daripada 43 keluarga.
"Manakala, Sebuah PPS telah diaktifkan di Setiu dengan tujuh mangsa daripada empat keluarga sudah mula berpindah masuk."
Che Adam berkata, hujan lebat masih berterusan terutama di bahagian pedalaman Terengganu.
07 Jan 21
1074
'PAS Tak Campur Urusan Dalaman Parti Lain'
KUALA TERENGGANU, 6 Januari – PAS hari ini mengulangi pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lain.
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebaliknya berkata, parti itu akan memberi komitmen sepenuhnya untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan rakyat serta negara.
"PAS tidak akan masuk campur dan tidak akan menjawab dalam hal urusan parti lain.
“Kami tetap dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan baik antara MN dan PN kerana itu adalah jalan terbaik untuk keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dalam negeri dan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MOU Antara Terengganu Football Club Sdn Bhd Dan Universiti Sultan Zainal Abidin di Wisma Darul Iman, tengah hari tadi.
Mengulas mengenai hasrat UMNO Terengganu yang ingin bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN di negeri terbabit beliau berkata ia hanyalah masih di peringkat awal.
"Selagi rundingan kerusi (antara parti) belum selesai ia dilihat sebagai ‘wishlist’ sahaja.
“Pada masa sama, pengeluaran watikah pelantikan calon bagi semua parti-parti diputuskan di peringkat pusat dan dikeluarkan oleh presiden parti masing-masing,” ulasnya.
06 Jan 21
2163
Sekolah Terima Sumbangan Tangani COVID-19
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Sekolah-sekolah di Terengganu menerima sumbangan khas daripada kerajaan negeri bagi mengatasi impak COVID-19 dalam sektor pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata sebanyak 14 buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang turut mendapat manfaat daripada sumbangan tersebut.
"Tanda ingat kita kepada sekolah dalam menangani pandemik COVID-19. Hati kita memang dekat dengan sekolah dan menjadi tanggungjawab membantu sekolah dan penduduk di DUN Ladang," katanya.
Beliau yang juga ADUN Ladang berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Tengahari Tautan Ukhuwah Sekolah - Sekolah Di DUN Ladang di sini hari ini.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh 28 orang Guru Besar dan Pengerusi Persatuan Ibu bapa Dan Guru (PIBG)
Dalam perkembangan berbeza, beliau mengalu-alukan warga DUN Ladang ke pejabatnya bagi memohon sebarang bantuan.
"Kita cuba cepatkan bantuan yang diminta, bersedia mendengar keluhan daripada semua orang," ujarnya.
06 Jan 21
371
Pusat Pemindahan Kampung Shukor Ditenggelami Banjir
DUNGUN, 6 Januari - Situasi semasa banjir di Hulu Dungun bertambah buruk selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Shukor di sini turut dinaiki air hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Ngah berkata, paras air mula meningkat secara mendadak sejak pagi tadi akibat hujan lebat.
Katanya, ia menyebabkan pada mangsa-mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke lokasi lain.
“PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Shukor dan dewan serbaguna tersebut kini dinaiki air banjir paras pinggang menyebabkan kira-kira 20 keluarga atau 88 mangsa terpaksa berpindah sekali lagi.
“Mereka telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Minda, rumah pengerusi kampung dan menumpang rumah penduduk lain.
“Sehingga 4.00 petang, kira-kira 74 keluarga telah dipindahkan di kawasan Hulu Dungun dan jangkaan situasi sekarang air akan meningkat lagi,” katanya ketika dihubungi UPDI.
Beliau yang juga Sekretariat Pengurusan Bencana Banjir Daerah Dungun memaklumkan, cabaran dari segi logistik kenderaan sedang dihadapi dalam banjir kali ini
Namun katanya, hasil kerjasama semua pihak beberapa perkara masalah dapat diatasi.
"Bantuan makanan dan keperluan bagi mangsa turut diagihkan di rumah pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
06 Jan 21
2251
Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Ke 910 Orang
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu kini mencecah 910 orang, sehingga jam 3 petang.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu meningkat berbanding 267 orang pada pukul 8 pagi tadi.
Katanya, Hulu Terengganu adalah daerah terbaharu yang dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong yang menempatkan 30 mangsa.
"Di Kemaman, mangsa terus meningkat kepada 657 orang di tujuh PPS iaitu Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, SK Bukit Mentok, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, SK Binjai, Dewan Sivik Air Putih dan Dewan Serbaguna Kampung Baru Felda Neram.
“Sementara di Dungun pula, mangsa seramai 223 orang di tempatkan di dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor," katanya.
06 Jan 21
577
Salur Bantuan RM500 Selepas Banjir Berakhir
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas selepas berakhirnya fasa banjir di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan pertindihan sumbangan kepada mangsa yang sama.
“Pada peringkat awal kerajaan berhasrat menyalurkan bantuan sebelum 15 Januari ini tetapi memandangkan situasi banjir yang tidak menentu dan belum berakhir, kita terpaksa mengambil sedikit masa.
“Setakat ini, kita masih lagi dalam proses untuk mengemaskini data mangsa banjir yang terkesan ekoran Terengganu masih lagi berada dalam fasa kelima dan kebimbangan akan berlaku gelombang seterusnya agak tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi mengupas situasi banjir, bantuan dan tindakan pemulihan di Terengganu ketika bersiaran di Astro Awani, hari ini.
Sementara itu Hanafiah berkata, mangsa banjir tidak perlu bimbang mengenai bantuan pasca banjir kerana semua pihak berganding bahu memastikan kebajikan mereka terjaga.
“Selain daripada bekalan makanan yang dihantar pihak kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, ramai juga NGO-NGO yang memberikan sumbangan kepada mangsa banjir.
“Baru-baru ini kami bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada di Kemaman turut menghantar tilam, tikar getah dan juga keperluan dapur kepada mereka,” ujarnya.
Menurut Hanafiah, pihaknya turut menjalankan misi membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka yang terjejas.
“Di Terengganu juga ada sukarelawan dapur rakyat yang menyediakan juadah tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir,” ujarnya.
06 Jan 21
2461
Segerakan Projek Kawalan Hakisan- Khairuddin
KUALA NERUS, 6 Januari - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Negeri akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan struktur lapis lindung batu (840m³ batu besar) sepanjang 60 meter bagi mengawal hakisan pantai di Pantai Tok Jembal dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya sudah membuat tinjauan dan perbincangan bersama Pegawai JPS Malaysia dan akan menyegerakan projek kawalan hakisan pantai di Tok Jembal memandangkan ia semakin teruk.
Katanya, saban tahun apabila tiba musim tengkujuh penduduk di sekitar pantai Kuala Nerus akan dihantui rasa resah dan gelisah berikutan fenomena ombak besar yang menyebabkan kawasan pantai semakin terhakis sehingga memusnahkan kediaman dan premis perniagaan mereka.
"Semasa ombak besar yang berlaku baru-baru ini, hakisan telah meruntuhkan sebuah gerai kecil dan merosakkan jalan raya yang menjadi laluan pengunjung ke pesisir pantai.Ia merupakan kawasan tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga dan banyak gerai-gerai makanan berhampiran dengan pesisir pantai ini.
"Faktor keselamatan sudah tentu menjadi keutamaan ketika berkunjung di sini. Insha Allah, pihak kami dan JPS Malaysia akan usahakan dalam masa terdekat dengan menambung 840m³ batu besar sepanjang 60 meter bagi mengurangkan hakisan" katanya ketika ditemui di Pantai Tok Jembal di sini, baru-baru ini.
Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan kerajaan pusat telah meluluskan RM90 juta bagi kos projek kawalan hakisan pantai di Kuala Nerus yang tergolong dalam kawasan kritikal.
Projek itu sedang giat dijalankan bermula di Pantai Pengkalan Maras disusuri kawasan Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Tok Jembal.
06 Jan 21
376
PPS Di Dungun Ditutup Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Banjir yang melanda Dungun pulih sepenuhnya dan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di daerah itu ditutup sejak pagi tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, ketiga-tiga PPS terbabit iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda yang menempatkan seramai 154 mangsa membabitkan 45 keluarga itu ditutup pada pukul 10 pagi.
Che Adam berkata, sehingga 12 tengaha hari tadi hanya satu daerah terjejas banjir fasa kelima di negeri ini iaitu di Kemaman dengan seramai 876 mangsa.
“Kesemua mangsa membabitkan 273 keluarga itu ditempatkan di lapan PPS di daerah itu.
“PPS tersebut adalah Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Haji Othman, Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, Dewan Orang Ramai Pasir Gajah dan Balai raya Padang Kemunting,” katanya.
Katanya, keadaan cuaca ketika ini hujan renyai-renyai di beberapa tempat.
05 Jan 21
352
Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 1074 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Setakat jam 8 pagi tadi, kesemua mangsa daripada 330 keluarga dipindahkan ke 12 PPS di Dungun dan Kemaman.
Daripada jumlah itu, seramai 920 mangsa membabitkan 285 keluarga dipindahkan ke sembilan buah PPS di Kemaman iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Haji Othman, Masjid Tebak Batu 16, Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, Dewan Orang Ramai Pasir Gajah dan Balai Raya Padang Kemunting.
Sementara itu, di daerah Dungun pula seramai 154 mangsa daripada 45 keluarga berpindah ke tiga buah PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.
Tengah hari semalam, hanya 815 mangsa daripada 207 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di daerah sama.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata Kemaman sekali lagi menjadi daerah yang paling teruk terjejas menerusi banjir gelombang kelima.
“Berdasarkan keadaan cuaca semasa, berlaku hujan renyai sesekali lebat serta angin kencang di bahagian pantai,” ujarnya.
05 Jan 21
2405
815 Mangsa Banjir Fasa Kelima Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Seramai 815 mangsa banjir dari daerah Dungun dan Kemaman dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 12 tengah hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 615 mangsa membabitkan 146 keluarga dipindahkan ke lima buah PPS di Kemaman iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih dan SK Teluk Kalong.
Sementara itu, di daerah Dungun pula seramai 200 mangsa daripada 61 keluarga berpindah ke tiga buah PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Che Adam A Rahman berkata, berlaku pertambahan bilangan mangsa banjir yang dipindahkan awal pagi tadi.
"Sementara sebuah PPS ditutup iaitu SK Kemasik di Kemaman.
Berdasarkan keadaan cuaca semasa, berlaku hujan renyai sesekali lebat serta angin kencang di bahagian pantai,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, paras tiga sungai utama iaitu Sungai Kampung Tebak, Sungai Kampung Baru Kemasik dan Sungai Kuala Jengai melebihi paras bahaya.
Terengganu dilanda banjir fasa kelima bermula semalam dengan daerah Kemaman antara yang diramalkan mengalami hujan sangat lebat susulan amaran cuaca bahaya dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
04 Jan 21
1481