Artikel "Semasa" Terkini
Nelayan Terjejas Tengkujuh Tarik Nafas Lega
KUALA NERUS, 12 Januari – Nelayan terjejas tengkujuh di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini menarik lega selepas menerima bantuan kewangan dan barangan dapur daripada kerajaan negeri.
Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Mohd Fadhil Wahab berkata, sumbangan khas nelayan itu diwujudkan bagi membantu golongan itu yang tidak dapat turun ke laut sehingga dibebani beberapa masalah.
“Seperti kebiasaan, di pantai timur akan mengalami tengkujuh pada bulan November sehingga Mac.
“Pada waktu ini, mereka tidak dapat keluar menangkap ikan dan ianya menjejaskan pendapatan mereka pada tempoh itu.
“Situasi sebegitu mengakibatkan mereka tidak meraih pendapatan pada musim tersebut untuk menyara hidup,” katanya selepas ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Takir, Hamdan Mamat ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus dan Seberang Takir atas bantuan yang diberikan kepada golongan nelayan.
“Pada musim sebegini, kami memang tidak dapat turun ke laut.
“Jadi, dengan adanya bantuan RM100 dan barangan dapur, kami bagi pihak Persatuan Nelayan Seberang Takir mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian pimpinan setempat memberi bantuan ini,” katanya
Sementara itu, tekong bot, Azahari Azhar ketika ditemu ramah berkata, beliau terharu dan melahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas bantuan ini.
“Terima kasih kepada Pusat Khidmat dan kerajaan negeri kerana mewujudkan bantuan ini khususnya nelayan Seberang Takir.
“Bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujarnya.
12 Jan 21
92
GLC Terengganu Hulur Sumbangan Bantu Mangsa Banjir
KEMAMAN, 12 Januari – Seramai 150 orang kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan anak-anak syarikatnya menghulurkan bantuan kewangan bagi mengurangkan beban yang dihadapi mangsa banjir.
Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, selain Epic Berhad yang menyumbang dana sebanyak RM150,000, tenaga sukarelawan bagi mencuci rumah mangsa banjir turut digerakkan anak-anak syarikat lain.
“Di bawah pimpinan Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Terengganu Inc dan EPIC Berhad, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kami telah gerakkan kerja kebajikan sejak mulanya banjir.
"Antaranya seperti bantuan Kewangan oleh SATU sebanyak RM300,000 melalui Tabung Darul Iman.
"Tambah lagi, bantuan air mineral kepada kawasan terjejas, bekalan sumber air bersih dan air mineral oleh Syarikat Air Terengganu (SATU), serta penyerahan 500 pasang kasut but kepada anggota penyelamat dan sukarelawan semasa banjir di Teladas, November lalu.
“100 orang bersama-sama dengan EPIC Berhad turut dihantar membersihkan kawasan di sekitar Bandar Baru Bukit Mentok sejak semalam. Usaha ini dilihat dapat membawa kakitangan kami untuk dekat bersama masyarakat dan memahami keperitan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Jalan Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Strategik EPIC Berhad, Noor Tuah Jaafar.
Sementara itu, Noor Tuah berkata, pihaknya turut melaksanakan beberapa langkah lain seperti menyediakan tenaga pembersihan seramai 70 orang bersama jentera dan peralatan agar kesan banjir dapat dihapuskan dengan cepat.
"Kolaborasi berterusan sentiasa diadakan dengan DUN Chukai sekiranya ada keperluan usaha bantuan banjir di kawasan lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hanafiah Mat menyatakan, kira-kira RM100,000 telah dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan bagi lebih 1,000 buah rumah di Kemaman.
"Secara keseluruhan di Chukai, lebih 20 kawasan perumahan terdiri daripada hampir 2,000 rumah terjejas, pihak kami akan cuba sedaya upaya bermula dengan pembersihan 500 buah rumah pada hari ini
"Jutaan terima kasih kepada semua pihak sukarelawan GLC yang terlibat dalam usaha ini membersihkan Bandar Baru Bukit Mentok, Taman Seri Nilam, Pengkalan Pandan dan kawasan lain di sini,” katanya.
Prgram semalam disertai kakitangan Terengganu Inc, EPIC Berhad, SATU, TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu, Golden Pharos Berhad, TI Properties, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel.
11 Jan 21
908
Banjir Di Terengganu Pulih, Semua Pusat Pemindahan Tutup
DUNGUN, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu pulih selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 2 petang tadi.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, mangsa banjir terakhir yang menghuni PPS di Kemaman dan Dungun sudah dibenarkan pulang sebentar tadi.
“Semalam, dua PPS di Kemaman dan Dungun merekodkan data terakhir pada pagi tadi sebanyak 1,694 mangsa lagi.
“Banjir gelombang ini turut merekodkan data tertinggi mangsa dipindahkan sejak bermula musim banjir pada bulan November dengan hampir 14,000 ribu di seluruh negeri pada hari keenam,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita selepas tinjauan ombak di Pantai Teluk Lipat, Dungun, tengah hari tadi.
Tambah Che Adam, beliau menasihati penduduk supaya bersiap sedia, walaupun tiada jangkaan amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Terutamanya mereka di kawasan hulu dan pedalaman dan kita sentiasa kemas kini data terbaharu dengan jabatan berkenaan.
“Tempoh amaran ombak laut dan angin kencang kini bertiup dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj sehingga 12 Januari manakala air pasang setinggi 2.7 meter direkodkan di Kuala Terengganu,” ujarnya.
11 Jan 21
284
Misi Bantuan Khidmat Malaysia Tak Pilih Bulu
Oleh SYAFIQ SAPAI
RAUB,11 Januari – Bantuan yang digerakkan oleh sukarelawan Khidmat Malaysia Kuala Terengganu kepada mangsa bencana banjir dilakukan secara adil dan tidak berlaku pilih ‘bulu’ kepada penerimanya.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, bencana banjir yang sedang berlaku di negeri pantai timur termasuk Pahang ini bukan sesuatu dirancang oleh manusia.
"Ini satu musibah yang tidak dijangka. Apa yang boleh kita buat adalah mengumpul secukupnya bantuan dan memastikan mekanisma pengagihan itu dapat dilakukan seadil-adilnya, Insya-Allah.
“Bagi bantuan yang disalurkan oleh Khidmat Malaysia, kita tidak pernah memilih ‘bulu’ dan saya tidak pernah tanya pun (awak) parti mana? Semua yang susah kita bantu dan rakyat mengharapkan pembelaan daripada kita semua,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menyertai Misi Bantuan Banjir Ke Pahang, di Raub, semalam.
Mengulas isu pihak tertentu yang masih bermain politik ketika rakyat menghadapi musibah Covid-19 dan banjir besar, Ahmad Amzad menegaskan sekarang bukan masa untuk bermain politik.
“Ini bukan masanya, dalam keadaan dan situasi rakyat menghadapi kesusahan pada hari ini. Terpulanglah kepada mereka hendak bermain politik pada masa ini. Apa yang penting kepada kita, jaga keselamatan rakyat dan jaga kesihatan rakyat.
“Covid-19 adalah suatu perkara yang besar dan kita ditambah lagi dengan musibah banjir. Ini yang perlu diutamakan,” ujarnya dengan nada kesal.
Sehubungan itu, kata beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut mengingatkan rakyat tentang ancaman Covid-19 yang semakin serius.
“Saya faham dalam keadaan ini, tumpuan kita adalah untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda. Tetapi, usahlah lupa dengan Covid-19 menjadi suatu ancaman serius kepada kesihatan kita," katanya.
Dalam program berkenaan, Khidmat Malaysia Kuala Terengganu telah menggerakkan misi bantuan dengan agihan barangan bernilai lebih RM100,000 melalui penghantaran dua buah lori treler serta berpuluh buah pacuan empat roda.
Ini termasuklah, skuad bantuan pembersihan pasca banjir yang membersihkan rumah kediaman penduduk setelah air banjir surut.
Hadir bersama dalam misi ini ialah pengerusinya, Wan Sukairi Wan Abdullah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.
11 Jan 21
517
Mangsa Banjir Terengganu Tinggal 1,694 Orang
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu semakin surut dengan hanya tinggal 1,694 mangsa daripada 504 keluarga yang masih berada di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 pagi ini.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, Kemaman masih mempunyai 1,302 mangsa daripada 404 keluarga.
“Kesemua mangsa banjir terbabit masih ditempatkan di sembilan PPS di seluruh Kemaman.
“Manakala lapan PPS pula masih aktif di Dungun dengan menempatkan 392 mangsa daripada 100 keluarga,” katanya.
Che Adam berkata, cuaca mendung dilaporkan di kebanyakan kawasan terlibat dengan cuma sebahagiannya masih hujan.
Tambah beliau, paras lembangan sungai utama di kedua-dua daerah itu juga menunjukkan trend penuranan di bahagian hulu.
Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu telah menjejaskan lebih 13,000 penduduk di lima daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
11 Jan 21
239
Pacuan Empat Roda Pamer Aksi Cabaran Sukan Lasak
MARANG, 11 Januari - Cuaca mendung dan hujan tidak mematahkan semangat 30 pemandu pacuan empat roda untuk beraksi dalam pertandingan Cabaran Sukan Lasak di Kampung Tertak Batu, di sini, semalam.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, ia dapat dilihat melalui penyertaan ramai para peserta meskipun keadaan merisikokan diri mereka.
"Dalam masa yang sama, kami sangat menyokong aktiviti seperti ini dijalankan lebih-lebih lagi ia dapat menarik minat belia di Terengganu.
"Saya juga teruja melihat kesungguhan pihak penganjur yang sanggup mengeluarkan wang terlebih dahulu bagi menghidupkan dan membersihkan kawasan ini supaya boleh dijadikan litar," katanya ketika merasmikan majlis penutup.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tertak Batu, Zulkifli Taha berkata, pertandingan kali ini agak berjaya walaupun dirancang dalam tempoh yang agak singkat.
"Tujuan kita mengadakan pertandingan ini di sini, untuk menyuarakan cadangan lokasi ini sebagai tempat khusus bagi masyarakat atau ahli sukan ini melakukan aktiviti secara lebih baik," tambahnya.
Beliau yang juga pengarah program juga berhasrat untuk mengadakan pertandingan melibatkan Motocross pada masa akan datang.
Mengulas mengenai tapak sukan permotoran, Wahad berkata sebelum ini cadangan permohonan telah diangkat kepada pihak pentadbir tanah untuk menjadikan kawasan di sini sebagai litar rasmi untuk aktiviti itu.
"Walau bagaimanapun, ia akan melibatkan sedikit proses dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan hasrat ini di peringkat seterusnya.
Katanya, cadangan bagi membina litar di Kampung Gong Tepah terpaksa dibatalkan ekoran ia telah digazetkan untuk rakyat setempat.
"Namun, Tertak Batu ini berpotensi besar untuk dihidupkan bagi menggantikan lokasi yang dibatalkan itu," jelasnya.
11 Jan 21
529
Bantuan Banjir YADIM Legakan Mangsa Musa'adah Banjir
MARANG, 11 Januari - Seramai 100 orang mangsa yang terlibat dalam musibah banjir di daerah ini khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah menerima bantuan musa'adah banjir.
Sumbangan bantuan berbentuk barangan keperluan dapur yang bernilai RM100, telah diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Katanya, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) telah mengerakkan bantuan musa'adah banjir di Terengganu untuk kali ke-14 dan telah bergerak dengan bersungguh-sungguh di seluruh Malaysia..
"Antara fokus kita adalah tempat ibadat di Pusat Perpindahan Sementara (PPS), memberi keperluan telekung dan juga kit banjir. Manakala 40,000 sumbangan barang dapur sahaja juga turut disumbang.
"Seramai 300 orang sukarelawan YADIM dari negeri Terengganu telah terlibat dalam khidmat seperti mencuci rumah mangsa banjir, masjid dan surau.
"Jadi dengan kerjasama seperti ini, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada YADIM dan agensi lain yang terlibat di atas kesungguhan yang telah diberikan."katanya.
Beliau berkata ketika hadir menyempurnakan program penyampaian sumbangan YADIM Peduli Musa'adah banjir di Dewan Tok Guru, Rusila.
Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Penolong Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Bahagian Pendidikan, Mohd Zaini Mohd Nor Penolong, Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Nasrul Hadi Saidin dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Harun Yusuf.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Nor Arisa Salleh, 41 berkata, dia sangat bersyukur atas bantuan yang telah diberikan kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarganya.
"Tambahan lagi, suami saya yang berkerja sebagai seorang nelayan tidak mampu keluar berkerja kerana musim tengkujuh.
"Saya dan keluarga sangat gembira di atas inisiatif bantuan yang diberikan oleh pihak YADIM bersama-sama kerajaan negeri dan berharap agar dapat diteruskan lagi bantuan seperti ini kepada mangsa banjir di tempat-tempat lain," tambahnya.
11 Jan 21
223
Tidak Perlu Pembelian Panik
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik susulan pengumuman Perdana Menteri esok kerana bekalan barangan keperluan mencukupi.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, pengguna disarankan untuk membeli barangan mengikut keperluan serta tidak menyimpan stok berlebihan di rumah.
“Kerana ia akan mencetuskan pembaziran disebabkan tarikh luput sesuatu barangan yang dibeli tanpa penelitian
“Walau apa pun keputusan yang akan diumumkan oleh pihak Kerajaan (esok), bekalan barangan keperluan harian adalah dijamin mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Saharuddin memaklumkan, pihaknya dengan kekuatan anggota seramai 117 orang Pegawai Penguat Kuasa dan 59 orang Pegawai Pemantau Harga sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang masa.
“Langkah itu bagi memastikan keberadaan dan kestabilan harga barang-barang keperluan harian di pasaran.
“Pada masa yang sama, sejumlah 160 Peruncit Daerah Terpilih atau Dedicated District Retailer (DDR) dan 74 Pemborong Daerah Terpilih atau Dedicated District Wholesaler (DDW) telah dipilih di seluruh Negeri Terengganu sebagai pusat bekalan barangan keperluan asas.
“Pelantikan ini membenarkan DDR dan DDW untuk menyimpan barang kawalan berjadual melebihi 30 peratus daripada had simpanan dalam lesen bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang tempoh PKPP dan musim banjir ini,” katanya.
10 Jan 21
195
Banjir Gelombang Kelima Terengganu Makin Pulih
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Banjir gelombang kelima di Terengganu yang melanda sejak Ahad lalu beransur pulih.
Sehingga jam 4 petang tadi, seramai 6,613 mangsa ditempatkan di 22 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah negeri ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A Rahman berkata, ia membabitkan 1,612 keluarga di Kemaman dan Dungun.
"Setakat ini, masih terdapat seramai 6,045 mangsa daripada 1,416 keluarga ditempatkan di sebelas PPS di daerah Kemaman, manakala 568 mangsa daripada 151 keluarga juga masih ditempatkan di 11 PPS Dungun,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, cuaca semasa setakat hari ini mendung dan kadang kala hujan di beberapa tempat.
Terdahulu, banjir gelombang kelima yang melanda negeri ini pernah mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir melebihi 13,000 orang dengan daerah Kemaman paling teruk terjejas.
10 Jan 21
526
Laluan LPT Dibuka Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Semua laluan di lebuh raya pantai timur fasa 1 (LPT1) yang ditutup baru-baru ini telah dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan.
Lembaga Lebuh Raya Malaysia (ANIH Berhad) berkata, laluan antara persimpangan Chenor ke Temerloh iaitu lorong laju di KM126.3 di kedua-dua hala dibuka kepada lalu lintas sejak jam 4 petang tadi.
“Ini bermakna semua laluan di LPT1 kini telah boleh dilalui oleh semua kenderaan.
“Walau bagaimanapun pengguna dinasihati untuk mematuhi papan tanda di lokasi dan berhati-hati ketika memandu,” ujar ANIH Berhad dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu lalu, laluan tersebut ditutup di kedua-dua hala selepas ditenggelami air banjir. - Gambar Fail.
10 Jan 21
2055