Artikel "Semasa" Terkini
Pusat Kuarantin, Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 Diaktifkan
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengaktifkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kolej Kejururawatan, Kuala Terengganu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu dibuat susulan peningkatan ketara kes positif yang melibatkan individu tidak bergejala dan bergejala ringan.
"PKRC ini yang mula dibuka semalam dan telah menempatkan seramai enam orang pesakit COVID-19 berisiko rendah yang dikuarantinkan selama 10 hari bagi mengelakkan daripada penularan bertambah.
“Pembukaan dibuat secara berfasa dengan kapasiti maksima sebanyak 150 buah katil. Kapasiti bagi permulaan ini adalah sebanyak 58 buah katil yang kemudian akan ditambah secara berperingkat.
“Pengoperasian PKRC ini diletakkan di bawah Hospital Sultanah Nur Zahirah dengan bantuan tenaga kerja dari hospital-hospital di negeri Terengganu, jadi elakkan daripada menjadi penyebab tambahnya beban kepada ‘frontliners’ yang banyak berkorban untuk kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) ILKKM, Terengganu di Kolej Kejurawatan di sini.
Hadir sekali, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Menurut Dr Alias, sehingga kini sebanyak enam 'Home Surveilance Centre (HSC)' atau Pusat Kuarantin dibuka.
“Empat HSC berkenaan adalah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), Marang, Institut Pendidikan Guru (IPG), Batu Rakit, Akademik Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Marang, Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur (ILIM), Besut, Pusat Latihan dan Pembungan Pengembangan (PLPP) Wilayah Timur, Wakaf Tapai dan Darul Iman Training Center (DITC), Kemaman.
“Sehingga 9 Januari 2021, seramai iaitu 482 Person Under Surveillance (PUS) atau belum positif lagi, masih di kuarantin bagi tujuan pengawasan dan pemerhatian.
“Individu yang diletakkan di bawah pengawasan dan pemerhatian kerana mempunyai risiko jangkitan COVID-19 dan dikuaratin selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan bagi memastikan selamat sebelum discaj,” ujarnya.
10 Jan 21
2448
Lebih 70 Peratus Kes Positif COVID-19 Berkait Rentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Sebanyak 73.6 peratus kes positif COVID-19 di Terengganu sejak 7 Disember adalah melibatkan individu rentas negeri dari kawasan berisiko.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya mendapati kes melibatkan golongan itu meningkat selepas saringan ke atas individu yang memasuki Terengganu diperluas.
“Ramai yang didapati positif hasil rentas negeri, apabila mereka pulang ke kampung dan berjumpa dengan ahli keluarga, perkara ini berpotensi akan menyebarkan lagi wabak tersebut secara tidak sedar.
“Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta semua yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi pihak berkaitan bagi penilaian risiko COVID-19.
“Saya juga ingin menyampaikan pesanan agar semua terus mengambil perhatian aspek keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) ILKKM, Terengganu di Kolej Kejurawatan, Kuala Terengganu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi menyatakan, keseluruhan kes positif COVID-19 di Terengganu sejak awal penularan telah mencecah 455 kes sehingga 9 Januari 2021.
“112 kes sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya lagi.
Tambah beliau, sehingga kini, tiada lagi rekod kes positif wabak melibatkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sama ada yang disahkan, disyaki atau bergejala.
10 Jan 21
819
Mahkamah Sesyen, Majistret Setiu Mula Operasi Hari Ini
SETIU, 10 Januari - Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu di Taman Tarom Permai, Mukim Tasek Setiu mula beroperasi, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, perpindahan dua mahkamah itu ke premis baharu bertujuan memberi keselesaan kepada orang awam serta pihak yang berurusan dengan mahkamah.
"Perpindahan ini juga diharap dapat melengkapkan kemudahan dan memberi keselesaan kepada pegawai dan kakitangan mahkamah yang bertugas di kedua-dua mahkamah berkenaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu yang baharu di Sungai Tarom di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Menurut Takiyuddin, Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu sebelum ini beroperasi di sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat yang terletak di tengah-tengah Bandar Permaisuri.
“Premis mahkamah di tapak asal yang berusia kira-kira 33 tahun mempunyai ruang pejabat terhad dan kurang kemudahan khas bagi orang kelainan upaya (OKU) dan orang awam yang berurusan dengan mahkamah.
“Ketika membuat lawatan kerja ke Mahkamah Setiu pada 22 Jun tahun lepas, saya telah bersetuju agar Mahkamah Setiu dipindahkan sementara ke bangunan baru yang lebih selesa dan kondusif,” ujarnya.
Katanya, pada masa yang sama kerajaan sedang mengusahakan satu bangunan kekal bagi Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu ini di Kampung Binjai Manis, Mukim Hulu Setiu.
“Kita jangkakan projek pembinaan mahkamah di atas tanah seluas 3 ekar ini dapat dilaksanakan pada 2023 dengan anggaran kos RM30 juta,” ujarnya.
Katanya, Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu baharu yang beroperasi di bangunan yang disewa sementara ini akan dijadikan model untuk dilaksanakan di lokasi lain di seluruh negara.
“Selain itu, kita juga telah kenal pasti lima mahkamah litar yang sedang beroperasi di bangunan yang tidak berapa selesa untuk orang awan serta pegawai dan kakitangan sendiri.
“Masing-masing dua di Sabah dan Sarawak serta satu di Johor. Untuk tahun ini kita akan naik taraf atau melakukan penambahbaikan tiga buah terlebih dahulu iaitu di Pengerang (Johor), Papar (Sabah) dan Mukah (Sarawak).
10 Jan 21
2235
Tuisyen Rakyat Beri Nilai Tambah Persediaan SPM
SETIU, 11 Januari - Program Tuisyen Rakyat yang diadakan melalui inisiatif kerajaan Terengganu menjadi satu nilai tambah kepada persediaan pelajar menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Februari nanti.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, langkah itu merupakan usaha kerajaan negeri dalam memastikan kecemerlangan pelajar SPM di negeri ini terus dikekalkan
"Setelah segala usaha kita lakukan, kita serahkan kepada Allah SWT dengan segala kebergantungan kepadaNya, insya-Allah mudah-mudahan segala usaha kita semua diredhai olehNya."
Beliau berkata demikian ketika ucapan penutup pada program motivasi pelajar SPM DUN Permaisuri di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim, Kampung Guntung Luar baru-baru ini.
Program Tuisyen Rakyat yang diadakan selama tiga hari itu sebagai lonjatan dan pecutan akhir kepada pelajar tingkatan lima menghadapi peperiksaan SPM.
10 Jan 21
113
Graduan Syariah Buka Warung Ayam Penyet Berapi
MARANG, 10 Januari - Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari luar negara, Mohd Farzlie Syafiq Mohd Ali, tidak segan mengusahakan Warung Nasi Ayam Penyet Berapi di perkarangan Masjid Rhu Rendang pada Januari 2019.
Tanpa pengalaman berniaga, cuma ada keberanian mencuba hasil resipi yang dipelajari dari seorang peniaga ketika belajar di Indonesia, kini warung Farzlie mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Farzlie berkata, idea untuk membuka warung makanan itu muncul selepas balik ke Malaysia ditambah dengan kekangan peluang pekerjaan.
"Ketika belajar di Indonesia, saya terinspirasi daripada seorang peniaga yang juga kini resepi berasaskan sambal penyet ini berjaya saya buka untuk diperkenalkan kepada masyarakat di sekitar sini.
"Masakan berasaskan penyet ini juga sentiasa mendapat tempat di kalangan masyarakat sekitar khususnya penggemar makanan atau santapan yang pedas-pedas, "katanya.
Selain ayam penyet, terdapat juga ikan talapia penyet, ikan keli penyet, ikan siakap penyet dan puyuh goreng penyet.
Menurutnya lagi, warung ini mula dibuka pada awal Januari 2019, dengan dibantu oleh keluarga pada permulaannya sehingga sekarang mempunyai seramai tiga orang pekerja.
"Kita juga menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dari Kampung Kelulut sehingga Cendering, malah warung ini juga berdaftar mempunyai perkhidmatan 'Food Panda'.
"Waktu beroperasi kedai ini adalah bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang, pada setiap hari kecuali hari Jumaat," tambahnya.
Kepada penggemar masakan pedas sambal penyet, boleh dapatkan maklumat terkini dengan mengunjungi laman rasmi Facebook 'Warung Ayam Penyet Berapi' atau cari lokasi di applikasi 'Google Maps'.
10 Jan 21
1339
PPS Di Hulu Terengganu Ditutup Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan seramai 88 mangsa banjir di Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya hari ini.
Penutupan PPS di Kampung Batu 23 dan Paya Besar, Kuala Berang itu secara rasminya pukul 4 petang tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas paras air di dua kawasan yang terjejas surut sepenuhnya.
“Semua mangsa melibatkan 21 keluarga ini sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat," ujarnya.
Sementara itu, Che Adam berkata, jumlah mangsa banjir di dua daerah yang masih terjejas iaitu Kemaman dan Dungun semakin menurun.
Katanya, setakat pukul 4 petang tadi jumlah mangsa yang ditempatkan di 50 PPS daerah berkenaan merekodkan 10,124 mangsa daripada 2,566 keluarga.
"Di Kemaman seramai 7,897 mangsa daripada 1,930 keluarga ditempatkan di 25 PPS.
"Sementara, 25 PPS di Dungun pula menempatkan 2,227 daripada 636 keluarga," ujarnya.
09 Jan 21
386
Jumlah Mangsa Banjir Tiga Daerah Di Terengganu Semakin Berkurang
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 11,699 orang pagi ini berbanding 12,727 malam tadi.
Sehingga jam 10 pagi ini, kesemua mangsa daripada 2,982 keluarga masih ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.
Pada 10 malam tadi, semua mangsa yang terdiri daripada 3,364 keluarga dipindahkan ke 53 PPS di daerah sama.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata Kemaman kekal menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa seramai 9,314 orang.
Katanya, jumlah itu membabitkan 2,310 keluarga di 27 PPS berbanding 10,452 mangsa daripada 2,575 keluarga di 26 PPS.
"Di Dungun, seramai 2,297 mangsa membabitkan 651 keluarga ditempatkan di 24 PPS.
"Dua PPS masih dibuka di Hulu Terengganu bagi menempatkan 88 mangsa daripada 21 keluarga," ujarnya.
Che Adam berkata, ketika ini cuaca mendung dan ada kalanya hujan di beberapa tempat manakala paras sungai menunjukkan trend menurun di sebelah hulu.
09 Jan 21
171
Sungai Tiruan, 'Vaksin' Banjir Di Kemaman
KEMAMAN, 9 Januari – Kerajaan Negeri memohon kerajaan pusat mempercepatkan kerja-kerja pembuatan sungai tiruan (bypass) agar penduduk yang menghadapi banjir di Kemaman tidak lagi dibelenggu risiko bencana tersebut pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, difahamkan bahawa ‘tender’ akan dikeluarkan pada bulan tiga tahun ini untuk fasa pertama pembinaan.
“Bypass tersebut akan memakan masa selama lebih dua tahun untuk siap daripada Sungai Kemaman ke ‘Floodway’.
“Saya mengharapkan fasa kedua juga dipercepatkan supaya semua air mengalir turun dari Sungai Cerul dan Sungai Air Putih boleh berpecah kepada dua apabila sampai di Kemaman.
“Satu akan menghala ke Sungai Kemaman dan satu lagi arus memasuki Sungai Bukit Kuang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan udara mengenai keadaan banjir di daerah Kemaman dan Dungun, petang semalam.
Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar.
Tambah Hanafiah, birokrasi perlu dikurangkan bagi mengelakkan berlaku lagi bencana tersebut.
“Banjir hari ini mengulangi banjir pada tahun 2014, namun begitu, saya juga harap mangsa banjir di sini bersabar menerima ujian daripada Allah SWT,” katanya.
08 Jan 21
1618
Mangsa Banjir Di Terengganu Menurun Ke 12,727
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Mangsa banjir di Terengganu kini mencatatkan seramai 12,727 orang melibatkan 3,210 keluarga sehingga jam 10 malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sebanyak 52 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah ketika ini iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.
"Kemaman kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dimana 10,452 orang ditempatkan di 26 PPS.
"Dungun pula seramai 2,187 mangsa di 614 PPS manakala dua PPS di Hulu Terengganu masih lagi menempatkan 88 orang," ujarnya.
Che Adam berkata, keadaan cuaca semasa mendung dan kadang kala hujan di beberapa tempat.
"Paras sungai pula masih lagi menunjukkan trend menurun di sebelah hulu," katanya.
08 Jan 21
288
Berita Palsu Banjir : Tindakan Tegas Akan Diambil
KEMAMAN, 8 Januari - Polis Terengganu memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap isu penyebaran berita palsu oleh sesetengah individu mengenai bencana banjir.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik menyatakan perbuatan tersebut adalah budaya tidak sihat dan boleh menimbukan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat.
“Penyebaran perkara yang tidak betul atau ‘fake’ adalah satu lagi budaya viral yang tidak sihat, ia juga akan menyebabkan kegusaran orang ramai.
“Pihak polis akan bertindak tegas melalui kertas siasatan jika ada laporan dibuat berkenaan isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan udara mengenai keadaan banjir di daerah Kemaman dan Dungun, hari ini.
Tambahnya, individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kemudaratan dan bencana.
Sementara itu, mengulas situasi banjir di Kemaman dan Dungun, Roslee memaklumkan berdasarkan pemantauan yang dilakukan, banjir dilihat masih bertahan dan banjir di sesetengah kawasan mula surut.
"Hasil pemantauan bersama Unit udara PDRM hari ini, kawasan Air Putih, Kampung Pasir Gajah, dilihat masih digenangi air.
“Bagaimanapun, ada kawasan yang mulai surut juga dan InsyaAllah dengan cuaca yang baik, banjir akan pulih," katanya.
Menurutnya, dua balai polis iaitu Balai Polis Pasir Gajah di Kemaman dan Balai Polis Kuala Jengai turut terkepung ekoran limpahan air Sungai Pinang dan Sungai Dungun.
08 Jan 21
586