lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Anak Terengganu Dilantik Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Baharu
Anak Terengganu Dilantik Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Baharu
PUTRAJAYA, 17 Januari - Anak kelahiran Terengganu, Azman Adam dilantik sebagai Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang baharu berkuat kuasa 5 Januari lalu. Pelantikan beliau bagi menggantikan Dato' Iskandar Halim Sulaiman yang bersara wajib pada 16 Disember tahun lalu. Dilahirkan pada 16 Januari 1971, Azman mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara, Marang sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM). Menteri KPDNHEP, Dato' Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelantikan itu berdasarkan pengalaman beliau yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 28 tahun lalu bermula sebagai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred N27 sehingga 2000. Katanya, Azman juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Sarawak bermula 2000 sehingga 2002 dan seterusnya berkhidmat di Pejabat KPDNHEP Terengganu pada 2004 di atas kenaikan pangkat. "Beliau juga berpengalaman luas dan mempunyai daya kepimpinan di dalam bidang penguatkuasaan berdasarkan jawatan dan tanggungjawab yang dipikul di beberapa negeri seperti Ketua Pegawai Penguat Kuasa Selangor sebelum berkhidmat di Ibu Pejabat Putrajaya sebagai Timbalan Pengarah Pencegahan," katanya dalam satu kenyataan media. Alexander juga diberi penghormatan untuk menyempurnakan sesi pemakaian pangkat Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP kepada Azman yang diadakan secara tertutup di kementeriannya membabitkan pengurusan tertinggi KPDNHEP dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Pelbagai pengiktirafan pernah dianugerahkan kepada Azman, antaranya anugerah Sijil Penghargaan (TSSC) oleh Sultan Selangor, Sijil Penghargaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Sijil Penghargaan Ketua Setiausaha KPDNHEP. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pegawai Contoh KPDNHEP Terengganu dan sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah menerima anugerah High Performance Award, Maybank Finance Berhad pada 1992 sebelum menerima lima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDNHEP pada tahun 1998, 2005, 2007, 2009 dan 2011. Alexander berkata, beliau dan warga KPDNHEP memberi sokongan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Azman untuk menggalas amanah dan tanggungjawab itu. Katanya, beliau yakin Azman akan terus mendokong misi dan visi Kementerian dalam keadaan penuh siap siaga menyelia pematuhan perundangan kementerian dalam kalangan peniaga bagi melindungi kepentingan pengguna.
17 Jan 21
4498
Lagi RM30,000 Disalur Untuk Keperluan Mangsa Banjir
Lagi RM30,000 Disalur Untuk Keperluan Mangsa Banjir
KEMAMAN, 16 Januari – Bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir terus berjalan termasuk sumbangan terbaharu sebanyak RM30,000 melalui inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman. Menurut Ariffin, sumbangan untuk mangsa di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan Bukit Besi itu turut dicetuskan personaliti media sosial, Nurfarahin Romli atau Farah Lee dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM). “Rombongan 50 orang ini telah mengagihkan berbentuk barangan harian, bantal dan gandum di Kampung Jongok Batu, Kampung Belimbing, Kampung Shukor dan Kampung Fikri. “Bantuan bernilai RM30,000 merupakan sumbangan pihak DUN Alur Limbat berjaya diagihkan pasukan kami mengikut Operasi Standard Prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya selepas Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di Kampung Fikri, petang kelmarin. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Setiausaha BPTM SUK, Zuwislan Awang. Sementara itu, Farah Lee berkata, beliau berjaya meraih lebih RM100,000 dana banjir hasil sumbangan orang ramai di media sosial dan kesemuanya diagihkan kepada mangsa banjir di Kemaman serta Dungun. “Sebelum memulakan projek ini, saya membuat undian idea di sosial media untuk pendapat pengikut, kebanyakan mereka sudah cukup bahan makanan tetapi keselesaan beribadah perlu ditambah baik lagi. “Sumbangan bagi ‘#FLbanjirAID1.0’ ini sebanyak RM53,640 diagihkan dalam bentuk 1,000 kit solat (telekung, sejadah, kain pelikat, kain batik dan tuala) supaya mereka yang terkesan boleh beribadah dengan selesa. “Kita juga agih baju muslimah sebanyak 200 helai, bantal (200), di samping tajaan lain seperti anak tudung dan barangan kebersihan diri,” katanya. Beliau juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri khususnya ADUN Alur Limbat, Pusat Khidmat DUN Bukit Besi dan BPTM SUK dalam membantu dari segi operasi, logistik dan tenaga kerja dalam melancarkan urusan pengagihan efektif. “Lebihan bantuan yang diraih akan disalurkan dalam misi seterusnya,” katanya lagi.  
16 Jan 21
1032
Tun Salleh Abas Meninggal Dunia
Tun Salleh Abas Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas, 91, meninggal dunia pada pukul 3.20 pagi tadi. Arwah menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh anak-anaknya menerusi aplikasi WhatsApp. “Dengan amat dukacita, ayahanda kami, Tun Mohd Salleh Abas telah kembali ke rahmatullah pada pukul 3.20 pagi, Sabtu 16 Januari 2021,” kata mereka. Sebelum ini, Allahyarham yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd. disahkan positif COVID-19. Allahyarham berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988. Mohd Salleh juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih daripada PAS apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999.  
16 Jan 21
2194
Sinar Baharu Buat Anak OKU
Sinar Baharu Buat Anak OKU
KUALA NERUS, 14 Januari – Usaha Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkenalkan pendidikan awal Orang Kurang Upaya (OKU) melalui Program Quranic Playgroup memberi sinar baharu buat golongan tersebut. Ketua SIG OKU Kanak-kanak UniSZA, Prof. Madya Dr. Norsuhaily Abu Bakar berkata, langkah yang memfokuskan anak autisme dan sindrom down itu akan diperluaskan lagi pada masa akan datang mengikut perkembangan semasa. Katanya, ia disebabkan wabak COVID-19  yang masih belum berakhir di mana hanya 10 orang anak istimewa terlibat dalam program itu buat masa ini. "Pendidikan ini membawa kelainan dengan menjemput anak bersama ibu bapa dalam kelas bersama terapi dan jurupulih. Ini adalah salah satu usaha dan titik tolak kepada bagaimana kita akan mulakan resolusi pembinaan Pusat Psikologi dan Rehabilitasi di pantai timur dan mengembleng tenaga pakar dari UniSZA. “Perancangan ini merupakan wadah dan sinar kepada anak-anak istimewa tempatan supaya ibu bapa tidak lagi perlu beratur di institusi luar yang amat terhad. “Terapi dan rawatan di institusi swasta juga memakan kos tinggi manakala kelas-kelas pendidikan khas tercampur dan tiada pengkhususan khas untuk kanak-kanak keperluan khas berlainan,” ucapnya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perasmian Program Quranic Playgroup Autisme di UniSZA Kampus Gong Badak, baru-baru ini. Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UniSZA merangkap Penasihat SIG OKU Kanak-kanak UniSZA, Prof. Dr. COL (B) Wan Pauzi Wan Ibrahim. Tambah Norsuhaily, program berkenaan juga diisi dengan terapi ruhyah dan psikospiritual, aktiviti bermotor, terapi pertuturan dahasa dan sebagainya mengikut kategori ‘kinder’ (5-6 tahun), ‘primary’ (7-11 tahun) dan ‘secondary’ (12-14 tahun). Terdahulu, Norsuhaily menghargai keprihatinan Menteri Besar merangkap pengerusi SATU, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi usaha tanggungjawab sosialnya (CSR) menyampaikan bantuan pendidikan supaya rawatan diperluaskan dengan terapi-terapi terlatih dalam ruang kondusif. Sementara itu, salah seorang ibu kepada peserta program, Norul Hazri Ibrahim, 42, menyifatkan usaha UniSZA sebagai langkah baik dalam menyediakan alternatif kepada hospital luar yang mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk satu sesi terapi. “Anjuran program ini membolehkan anak saya Tuan Badrun Irsyad, 14, yang didiagnos dengan defisit intelektual, mendapat rawatan dan pendidikan awal. “Suasana kelas turut membolehkannya belajar berkomunikasi bersama insan sepertinya tanpa bercampur dengan kelainan diagnos,” katanya.  
14 Jan 21
1813
Peniaga Lega Premis Dibenar Beroperasi Sehingga 12 Malam
Peniaga Lega Premis Dibenar Beroperasi Sehingga 12 Malam
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Rata-rata peniaga di negeri ini berasa lega apabila premis perniagaan mereka dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pemilik gerai Arzam Burger, Ahmad Arzam Zakaria berkata, kelonggaran itu memberinya peluang untuk berniaga seperti biasa. "Legalah apabila diberi kebenaran berniaga sampai pukul 12 tengah malam. Kerana saya peniaga gerai burger sahaja, mula berniaga pada jam 6 petang. Jika dibenarkan beroperasi sampai jam 6 petang tak berniagalah saya.  "Jika dibenarkan sampai pukul 8 malam atau pukul 10 malam, maka pendapatan saya tidak seberapa," ujarnya ketika ditemui pemberita di gerai burger miliknya, semalam. Arzam mengakui, semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, sangat memberi kesan terutama kepada peniaga sepertinya. "Bagi memastikan ekonomi setiap rakyat pulih kembali maka sebagai peniaga yang bergantung harap kepada pendapatan harian, kami menyambut baik apa jua langkah yang dilakukan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19," ujarnya. Sementara itu, pemilik Bobby's Kitchen, Abdul Hakim Abdul Halim berkata, impak daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu sangat memberi kesan kepada perniagaan kedai makan diusahakannya. "Sehinggakan Bobby's Kitchen cawangan Kuala Terengganu dihentikan operasi dan yang tinggal hanya di Paka, saya melahirkan perasaan syukur apabila PKPB yang dikuatkuasakan semalam membenarkan operasi perniagaan sehingga jam 12 malam kerana baru hendak tarik nafas lega dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini, kini terpaksa akur kembali kerana menyedari kes yang begitu tinggi saban hari. "InsyaAllah saya menyambut baik apa jua langkah kerajaan dalam memastikan rakyat kembali hidup seperti biasa. "Segala syarat yang telah ditetapkan termasuk mengamalkan penjarakan dan juga mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) akan diikuti dengan sebaik-baiknya," ujarnya.
14 Jan 21
1130
65 Rumah Berjaya Baik Pulih, Enam Bina Baru Di DUN Seberang Takir
65 Rumah Berjaya Baik Pulih, Enam Bina Baru Di DUN Seberang Takir
KUALA NERUS, 14 Januari – Sebanyak 65 buah rumah berjaya dibaik pulih manakala 6 buah sedang dalam pembinaan dan dijangka siap dalam masa terdekat di Dewan Undangan Negeri(DUN) Seberang Takir. Pegawai Penyelaras DUN, Mohd Fadhil Wahab berkata ia dibawah skop Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terbahagi kepada dua kategori iaitu Baik Pulih dan Bina Baharu. Tambahnya, spesifikasi pembinaan baharu ialah rumah batu dan patuh syariah iaitu  bilik. "Rumah batu bata berukuran 22x30 kaki iaitu 660 kaki persegi (201.1 meter persegi) manakala rumah panjang ialah 17.72x40 kaki iaitu 713 kaki persegi (217.3 meter persegi). “Bantuan Bina Baharu kepada pemohon yang belum mempunyai rumah atau rumah terlalu uzur dan tidak selamat untuk diduduki manakala Baik Pulih Pula melibatkan 3 elemen iaitu Penyelenggaraan, Penambahbaikan dan Permintaan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini. Menurut, Mohd Fadhil, objektif utama penyediaan  kediaman baharu adalah memberi  tempat tinggal yang selesa kepada asnaf fakir atau miskin sebagai salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di Seberang Takir. Sementara itu salah seorang penerima, Maizom Ambak, 53, berkata dia gembira dengan pemberian baik pulih ini memandangkan dirinya dan suami tidak mempunyai pekerjaan yang tetap tambahan keadaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.   .
14 Jan 21
226
Bilik Sejuk Beku Beri Manfaat Kepada 150 Nelayan
Bilik Sejuk Beku Beri Manfaat Kepada 150 Nelayan
Foto Oleh: Hidayah Azlin KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Bilik sejuk beku di Jeti Nelayan Kampung Batin, Seberang Takir di sini bakal memberi manfaat kepada 150 nelayan di sekitar kawasan itu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan kemudahan infrastruktur nelayan berharga RM165,000 itu dimulakan Ogos tahun lalu dan kini siap dalam tempoh sekitar tiga bulan. “Peti sejuk beku ini mampu menyimpan kira-kira lima metrik tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa dengan suhu penyejukkan sekitar -20 darjah celsius. “Kita harapkan infrastruktur yang ada ini boleh menyelesaikan masalah dari segi penyimpanan stok hasil laut samada ikan atau hasil laut lain terutamanya pada musim tangkapan melimpah atau berkurangan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bilik Sejuk Beku Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara di Kampung Batin, Seberang Takir, hari ini. Dr. Azman berkata, beliau mengharapkan kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh para nelayan dengan sebaiknya. “Dari segi pengurusan, pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu akan menyerahkannya kepada Persatuan Nelayan Kawasan Terengganu Utara. Katanya, kerajaan negeri menyasarkan untuk membina bilik sejuk beku di semua jeti pelabuhan dan perikanan di negeri ini secara berperingkat. “Untuk tahun ini, kita sasarkan dapat bina paling kurang dua atau tiga unit termasuk di Setiu dan tempat-tempat lain,” ujarnya.  
13 Jan 21
1112
APM Perlukan 3,500 Anggota Berjawatan Tetap
APM Perlukan 3,500 Anggota Berjawatan Tetap
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memerlukan sekurang-kurangnya 3,500 anggota baharu berjawatan tetap bagi memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan pasukan itu di seluruh negara. Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Nor Hafifi Ismail berkata, pertambahan anggota itu amat wajar kerana kekuatan 576 anggota yang sedia ada tidak mencukupi. Katanya, tugasan dan tanggungjawab yang diharapkan pula semakin bertambah pada setiap tahun, di samping penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara kita. “Tugasan hakiki lain membantu mangsa banjir, menjaga sempadan, memastikan harta awam dan keselamatan penduduk terjamin.  “Ia menjadi mudah kerana dibantu kira-kira 4,000 anggota sukarelawan terlatih APM. “Di sebaliknya pula, pihak kami tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada mereka, kerana anggota itu terikat dengan komitmen lain, selain kurang mahir menangani kes-kes tertentu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Rasmi Pasca Banjir ke Terengganu di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman. Menurut Nor Hafifi lagi, jika anggota itu berjawatan tetap, mereka pastinya serba boleh sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dan mahir menangani situasi genting. “Melihat keadaaan itu, APM berharap pihak kerajaan terutama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan permohonan pihaknya untuk menambahkan anggota berjawatan tetap dalam pasukan APM,” katanya.  
13 Jan 21
2299
Bakat, Pengorbanan Pelukis Tempatan Perlu Terus Dijulang
Bakat, Pengorbanan Pelukis Tempatan Perlu Terus Dijulang
Oleh : Ahmad Fahmi Mokhtar KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Bakat serta pengorbanan pelukis tempatan terutama yang lahir di negeri ini perlu dihargai lebih-lebih lagi dalam suasana COVID-19. Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Terengganu, Mohd Adram Musa berkata, ini kerana usaha mereka cukup besar menterjemahkan sesuatu perkara menjadi menarik untuk tatapan umum. "Sebelum ini mungkin kita hanya rasa tugas melukis ini mudah, namun sebenarnya ia tidak mudah bagi saya kerana ia memerlukan tahap kekreatifan yang tinggi. "Oleh itu, semoga dengan pertemuan bersama pelukis hari ini ia menjadi pemula untuk kita terus mengangkat seni lukisan dan peranan pelukis di Terengganu. "Jasa para pelukis sebenarnya cukup besar kepada masyarakat daripada sesuatu yang biasa, para pelukis boleh menjadikannya menarik. "Selain memberikan peluang kepada pihak kerajaan untuk menjadikan seni lukisan sebagai produk pelancongan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis bersama Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer) di Bangunan Warisan, Jalan Tok Lam di sini hari ini. Dalam pertemuan tersebut, wakil daripada Pelukis Terengganu ada menyampaikan beberapa pandangan dan hasrat bagi meningkatkan lagi program dan kegiatan pelukis dalam mempromosikan Terengganu.   Selain berdialog bersama pihak persatuan, Adram juga sempat melawat galeri seni dan menyerahkan sumbangan daripada Menteri Besar Terengganu.
12 Jan 21
1087
Muzium Negeri Lancar Kalendar Aktiviti 2021
Muzium Negeri Lancar Kalendar Aktiviti 2021
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Kerajaan Terengganu melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah melancarkan Kalendar Aktiviti 2021 serta Pelan Stratregik 2021-2025 yang akan menjadi panduan penganjuran program pelancongan dan kebudayaan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya optimis aktiviti yang dirangka mampu mencapai kejayaan di masa hadapan. "Syabas dan tahniah juga saya rakamkan kerana saya difahamkan tradisi pelancaran Kalendar Aktiviti bermula sejak tahun 2009 lagi. "Ini membuktikan komitmen yang cemerlang diberikan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya ketika ucapan perasmian sempena Majlis Pelancaran Kalender Aktiviti 2021 serta Pelan Stratregik 2021-2025 di Dewan Batu Bersurat kompleks Muzium Negeri Terengganu baru-baru ini. Katanya, Muzium Negeri Terengganu saban tahun merancang dan merencanakan pelbagai program bagi menarik pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar Terengganu. "Program-program yang memberi manfaat kepada masyarakat dan rakyat dapat diwujudkan selari dengan moto Muzium Negeri Terengganu iaitu “Pusat Pemuliharaan dan Rujukan Kearifan Tempatan. "Menyelusuri sepintas lalu program-program 2021 ini, saya melihat beberapa aktiviti menarik yang memberikan manfaat dan impak yang besar kepada masyarakat serta sektor pelancongan tempatan. "Pihak kerajaan negeri memandang ia sebagai satu usaha yang sangat baik dan sewajarnya yang perlu digembeleng secara bersepadu antara agensi dan kerajaan,” jelasnya. Selain itu, dalam fenomena pandemik COVID-19 yang belum berakhir ini, beliau menyeru pihak muzium agar lebih peka, kreatif dan inovatif dengan menyediakan pelan-pelan alternatif bagi setiap program yang dirancang agar ia dapat dilaksanakan bersesuaian keperluan setempat. “Saya penuh yakin dengan prasarana, teknologi serta sumber manusia yang ‘multi-tasking’ yang terdapat di Muzium Terengganu ini. Segala persediaan telah dibuat dalam merealisasikan segala perancangan ini terlaksana,” tambah beliau.
12 Jan 21
660