Artikel "Semasa" Terkini
76 Keluarga Mangsa Banjir Terima Sumbangan
HULU TERENGGANU, 21 Januari – Nasib mangsa banjir di daerah ini terus mendapat perhatian daripada luar membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Syarikat Swasta bagi meringankan kesukaran mereka berdepan kehilangan dan kerosakan harta benda.
Syarikat AHT Norlan United & Carriage Sdn. Bhd turut tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di negeri ini dengan memberikan sumbangan 76 pek makanan di beberapa buah Kampung di Hulu Terengganu di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, sumbangan itu menunjukkan keprihatinan pihak luar dan merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan yang terjejas akibat banjir melalui bantuan makanan.
“Kerjasama erat dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta, seperti itu dapat dijalankan dengan jayanya. Kepedulian dan keprihatinan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial ini sangat terpuji dan saya amat hargai.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang dan badan korporat yang tampil memberikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir di seluruh Malaysia.Semoga kerjasama ini wajar menjadi titik permulaan untuk berganding bahu dan meneruskan inisiatif projek-projek bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Pengkalan Ajal, semalam.
Sementara itu, Penyelia Norlan United Terengganu State Road Care Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fauzi Ramli berkata, beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan mangsa banjir.
"Atas dasar kemanusiaan. ia telah menggamit perhatian pihak kami untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan." katanya.
21 Jan 21
484
Rumah Daif Milik Rahmat Dibaik Pulih
MARANG, 21 Januari - Kehidupan keluarga Rahmat Hidayat @Rahmat Sarmin yang serba daif, di Kampung Batangan, di sini dibantu Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Rhu Rendang dengan membaik pulih rumah.
Rahmat bersama Siti Aminah Habsu serta tujuh orang anak dan tiga daripadanya masih bersekolah mendiami rumah tanpa lantai konkrit dan tiada kemudahan asas seperti bilik, tandas dan dapur itu sejak 18 tahun lalu.
Rahmat baru berkerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah tapak projek manakala isterinya pula menjual produk tradisional nisan.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, setelah mendapat maklumat, pihaknya telah turun segera untuk meninjau keadaan keluarga tersebut.
"Kita membawa kakitangan Pusat Giat Mara dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menyalurkan terus bantuan kepada mereka.
“Rumah ini akan dibaik pulih seperti membina lantai, membina bilik dan tandas yang lebih sempurna memandangkan tandas yang ada berada sangat jauh di bawah bukit dalam kawasan reban itik,"katanya.
Dua agensi itu juga bersetuju untuk membantu melalui peruntukan baik pulih rumah di bawah KPLB dan Giat Mara sebagai pelaksana.
Pasangan itu turut menjaga ibunya yang uzur dan sakit terlantar
PKM Rhu Rendang turut panjang perkara itu kepada Tabung Darul Iman bagi bantuan pampers dan barangan keperluan lain kerana pasangan itu didapati menjaga ibu yang sakit terlantar.
21 Jan 21
466
PKP : Terengganu Benar Solat Jumaat, Solat Fardu Berjemaah
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid serta surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, pelaksanaan solat Jumaat di masjid dibenar didirikan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang.
“Iaitu daripada kalangan anak mukim tidak termasuk lmam, Bilal, Ahli Jawatankuasa Masjid dan mana-mana orang yang diberi kebenaran oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.
“Pelaksanaan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan kepada imam, bilal dan Ahli Jawatankuasa Masjid sahaja dengan bilangan tidak melebihi 12 orang,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Sementara itu, Osman turut memaklumkan, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain termasuk kuliah maghrib, kuliah subuh dan kuliah dhuha adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.
“Jawatankuasa masjid dan surau diarahkan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dari semasa ke semasa supaya perlaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dapat berjalan dengan baik.
“Jawatankuasa masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP berkaitan dan arahan yang ditetapkan, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid atau surau berkenaan,” jelasnya.
Katanya lagi, semua Pegawai Agama Daerah diarahkan untuk membuat pemantauan secara serius bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP dan syarat-syarat yang ditetapkan.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa yang akan dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,” tambah beliau.
20 Jan 21
16030
JAM Kumpul 5,351 Beg Darah, Bantu Pesakit Seluruh Negara
MARANG, 20 Januari – Kejayaan Jabatan Amal Malaysia (JAM) mengumpul 5,351 beg darah melalui penganjuran Amal Mega Blood Donation 2021 di 58 lokasi di seluruh negara sewajarnya dipuji.
Jumlah itu dikumpulkan dalam tempoh hanya tiga hari program bermula, 15 sehingga 17 Januari lalu bagi menampung keperluan pesakit di seluruh hospital dalam negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apa yang diusahakan anggota JAM itu perlu dijadikan contoh oleh semua pihak kerana jumlah yang dikumpul itu pastinya dapat menyelamatkan ribuan pesakit.
“Dengan satu bag darah yang dikumpul, akan dapat digunakan oleh tiga orang penerima, maka program AMBD2021 ini telah berjaya menyumbang bekalan darah kepada 16,053 pesakit,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman ‘Facebook’ rasmi miliknya hari ini.
Menurutnya lagi, terdapat beberapa golongan yang tidak boleh menderma darah, selain daripada faktor kesihatan yang diketahui umum seperti penyakit kronik, mengandung dan sebagainya.
“Mereka yang menggunakan hormon tumbesaran juga tidak dibenarkan menderma darah. Sesiapa yang layak menderma, boleh mengambil peluang berbuat demikian pada 23 Januari ini yang akan diadakan di Dewan Serbaguna PPR Hiliran, Kuala Terengganu.
“Semoga penderma yang menyumbang ini dikurniakan pahala berpanjangan,” tambah yang juga merupakan Naib Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS),” katanya.
20 Jan 21
229
Terengganu Dikenakan PKP Bermula 22 Januari
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri Terengganu bermula 22 Januari hingga 4 Februari depan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, dan Perlis turut dikenakan perintah berkenaan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas enam negeri tersebut merekodkan jumlah kes positif yang agak tinggi sehingga 18 Januari 2021.
“Bagi negeri Terengganu, sehingga 18 Januari 2021 secara kumulatif sebanyak 875 kes positif telah direkodkan di negeri ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan di negeri ini mula merekodkan kes penularan tempatan yang tinggi iaitu 403 kes telah dilaporkan dalam masa 14 hari, daripada 42 mukim di mana satu mukim telah menjadi merah, dua mukim zon jingga dan 39 mukim zon kuning.
“Sehubungan dengan itu, atas penilaian risiko dan nasihat KKM berdasarkan peningkatan kes, maka kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sebelum ini, pada 11 Januari, negeri Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Sabah dan Melaka diletakkan di bawah PKP sehingga 26 Januari.
Pengumuman PKP itu diikuti dengan negeri Kelantan dan daerah Sibu, Selangau dan Kanowit di negeri Sarawak dikenakan pada 16 Januari hingga 29 Januari 2021.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) PKP dikemaskini untuk negeri-negeri baru dikenakan PKP akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“KKM juga akan meneliti sama ada PKP akan diteruskan atau diturunkan kepada PKPB seminggu sebelum PKP tamat. Tunggu keputusan KKM,” tambah beliau.
19 Jan 21
2878
Rasa Sikit Sama Sikit, Norlan United Kongsi Tanggungjawab Kebajikan
MARANG, 20 Januari - Demi melaksanakan agenda kebajikan, pihak Norlan United telah bersama-sama membantu dan berkongsi tanggungjawab dalam memberikan sumbangan kebajikan kepada beberapa orang penduduk yang memerlukan.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh pihak Norlan United, ibarat kata mereka rasa sikit sama sikit.
"Saya bersama-sama Norlan United telah meninjau tiga orang penduduk kurang berkemampuan iaitu saudara A Halim Zakaria yang pernah tinggal di bawah tangki air di Kampung Paya, keluarga Azlan yang tinggal bersama tiga keluarga seramai 21 orang di Rhu Renggeh yang mendapat tawaran rumah di Taman Perumahan Bukit Gasing serta keluarga Zakaria Mohamad yang tinggal di rumah yang tiada bilik air di Kampung Kelulut.
"Mereka merupakan beberapa individu atau keluarga yang mendapat perhatian dan keutamaan yang telah kita bantu seperti membina rumah, baik pulih rumah dan mendapatkan bantuan rumah," katanya.
Menurutnya, dia sangat mengalu-alukan kerjasama daripada pihak seperti Norlan United untuk turut menyumbang serta membantu masyarakat yang memerlukan.
"Sebelum ini juga, kita pernah berkerjasama dalam program-program kebajikan lain di sekitar kawasan DUN Rhu Rendang, " katanya.
Sementara itu, Pengurus Kawasan, Konsesi Selenggara Jalan Negeri Terengganu (Norlan United), Azmi Ahmad menjelaskan bahawa pihaknya membantu tiga penduduk ini di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Alhamdulillah, kita turun bersama Pusat Khidmat Masyarakat menziarahi mereka ini dengan tujuan bersama-sama untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.
"Ada antara mereka yang memerlukan pemasangan bekalan elektrik, bekalan air, barangan keperluan elektrik seperti lampu, kipas dan paip serta bayaran upah untuk menyiapkan tandas rumah.
"Kita harap dengan kos bantuan yang dikeluarkan berjumlah hampir RM8,000, tidak lama lagi mereka akan dapat menikmati keselesaan di rumah masing-masing, "katanya
Turut hadir adalah Eksekutif Pentadbiran dan Sumber Manusia Norlan United, Muhammad Faris Abdul Muluk dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung masing-masing.
19 Jan 21
732
Pasar Payang Kembali Lengang
KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Peniaga di Pasar Payang kembali 'tersepit' susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 13 Januari lalu.
Sebelum ini mereka mampu menarik nafas lega kerana kehadiran pelancong termasuk dari luar Terengganu ke pusat perniagaan tersohor terbabit memberi pulangan lumayan.
Kebenaran rentas negeri ketika pelaksanaan PKPP digunakan sebaik mungkin peniaga untuk meraih pendapatan menyara diri dan keluarga.
Bagaimanapun kini, keadaan kembali 'sayu' selepas hampir beberapa bulan menerima 'durian runtuh' berikutan Terengganu menjadi lokasi pilihan pelancong,
Tinjauan mendapati lokasi yang sering menjadi tumpuan ramai kembali lengang apabila kebanyakan aktiviti perniagaan hanya tertumpu kepada jualan barangan makanan kering dan basah.
Peniaga pakaian batik, Kamariah Abu Bakar, 45, berkata, kebanyakan peniaga sudah mula menutup kedai selepas waktu Zohor kerana kekurangan pelanggan sejak hari pertama PKPB.
"Sebagai peniaga, kita memang datang berniaga setiap hari tidak kira ada pelanggan atau tidak tetapi memang susah nak jual sebab kita banyak bergantung kepada pelancong luar.
"Baru sahaja kami mahu bernafas tetapi kini kami kembali runsing, namun saya bersyukur kerana ada menjalankan perniagaan secara dalam talian yang sedikit-sebanyak dapat membantu," katanya.
Bagi peniaga kuih, Ibrahim Jusoh, 66, berkata, dia terpaksa mengurangkan sehingga 40 peratus jualan kuihnya bagi mengelak kerugian.
Katanya, kebanyakan pelanggan di situ adalah pelancong luar seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
"Ketika PKP dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita sudah mula rasa kesannya tetapi apabila dilaksanakan hampir satu Malaysia, memang terjejas teruk pendapatan kami.
"Saya tahu pelaksanaan PKP ini untuk mengekang penularan COVID-19 tetapi saya berharap semua pihak memainkan peranan masing-masing supaya kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya
18 Jan 21
3079
PKM Marang Bantu Ringankan Keluarga Mohd Fakruddin
MARANG, 18 Januari – Kunjungan Kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang melegakan keluarga ahli Jabatan Amal Malaysia, Mohd Fakruddin Husin.
Enam sekeluarga, termasuk Mohd Fakrudin telah terlibat dalam satu kemalangan pada 3 Januari lalu di Wakaf Tapai.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, kedatangan PKM bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marang bertujuan menyalurkan sumbangan dan mendapatkan maklumat untuk bantuan yang sepatutnya.
"Pada masa sama, diharap mampu meringankan beban dihadapi keluarga mangsa, tambahan lagi keadaan Mohd Fakruddin yang masih tidak boleh berjalan dan terlantar akibat kecederaan di bahagian tulang belakang,"katanya.
Keadaan kereta ketika kemalangan di Wakaf Tapai
Menurutnya lagi, ibunya juga sedang uzur dan menghidap sakit kronik iaitu lumpuh separuh badan, jantung dan kencing manis juga menerima sumbangan katil serta merta.
"Kita juga berdoa dan berharap agar keadaannya pulih seperti sedia kala kerana beliau merupakan seorang yang sangat komited dalam kerja-kerja amal serta membantu orang lain, terutamanya baru-baru ini sewaktu misi membantu mangsa banjir di beberapa kawasan Dun Rhu Rendang,"katanya selepas kunjungan itu. semalam.
Turut hadir adalah petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dun Rhu Rendang, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rhu Muda.
Sedikit sumbangan yang diberikan daripada PKM di samping membawa agensi JKM
Sementara itu, Fakhruddin memberitahu, anaknya masih berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu menjalani rawatan akibat cedera di bahagian lengan.
Katanya, keretanya melanggar lopak air menyebabkan hilang kawalan sehingga terbabas ke tengah jalan sebelum melanggar sebatang tiang lampu elektrik.
"Walau bagaimanapun, isteri dan dua lagi anaknya lagi termasuk yang masih bayi terselamat dan hanya cedera ringan," tambahnya.
Selain daripada itu, ada juga pihak-pihak lain yang membuat kutipan derma bagi membantu keluarga beliau memandangkan beliau adalah seorang yang sangat berjasa dengan orang ramai termasuk JPKK dan lain-lain.
18 Jan 21
540
Nelayan, Penoreh Getah Terjejas Terima 'One-Off'
SETIU, 14 Januari - Nelayan dan penoreh getah di Parlimen Setiu yang terkesan dengan musibah banjir dan COVID-19 menerima bantuan khas baru-baru ini.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, bantuan secara 'one-off' diberikan kepada golongan terbabit agar kehidupan seharian mereka tidak dibebani dengan masalah lain.
"Penerima bantuan ini tergolong dalam kalangan B40 yang terjejas mata pencarian dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini.
"Kita telah memperuntukkan sejumlah wang bagi diagihkan bukan sahaja kepada golongan penoreh dan nelayan, malah kepada anak yatim dan pelajar-pelajar yang dapat menyambung pelajaran mereka ke menara gading," ujar beliau kepada wartawan UPDI di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu, Sungai Tarom.
Tambahnya lagi, bantuan tersebu telah selesai diagihkan kepada DUN Batu Rakit dan Langkap.
"Manakala DUN Permaisuri dan Jabi pula akan menyusul selepas ini.
"Memandangkan ini telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Negeri Terengganu, kita terpaksa menangguhkan dahulu program pengagihan ini.
"Walaupun begitu, kita akan datangkan satu cara yang komprehensif dan sesuai agar seluruh rakyat Setiu yang layak dapat menerima bantuan ini dengan segera," katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Setiu kerana turut sama membantu dengan memberikan Bakul Makanan kepada golongan ibu tunggal
Hampir 4,000 rakyat Setiu dari golongan B40 menerima bantuan ini yang dijangka pengagihan akan diterima selewatnya awal bulan Februari.
18 Jan 21
309
Lima Masjid Di Terengganu Ditutup Sementara
KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Lima masjid di daerah ini ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan terdapat kes positif COVID-19 di Madrasatul Quran, Kubang Bujuk, yang mempunyai sejarah menunaikan solat di masjid terbabit.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ia melibatkan Masjid Baru Serada, Masjid Banggol Katong,
Masjid Al-Hidayah Banggol Mempelam, Masjid Beladau Selat dan Masjid Al Muttaqin Kepong.
Katanya, masjid tersebut ditutup sehingga 16 Januari (waktu Isyak) bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan nyahkuman selain mengelakkan perebakan penyakit berjangkit.
"Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu diharap mematuhi arahan kerja membasmi kuman di masjid-masjid berkenaan," ujarnya dalam satu kenyataan Khamis lalu.
Sehingga Khamis, Terengganu merekodkan 89 kes positif COVID-19.
Daripada jumlah itu sebanyak 62 adalah kluster sedia ada, 21 saringan kontak rapat dan enam lain-lain saringan.
17 Jan 21
5377