lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pesuruhjaya Pas Terengganu Positif COVID-19
Pesuruhjaya Pas Terengganu Positif COVID-19
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang telah disahkan positif COVID-19 pada hari semalam. Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Muhyidin Abdul Rashid memaklumkan, walau bagaimanapun kondisi beliau masih sihat tanpa sebarang gejala dan kini sedang ditempatkan di Hospital Setiu untuk rawatan lebih lanjut. "Dukacita dimaklumkan, Senator Dato' Husain Awang, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu telah disahkan positif Covid-19 hari ini.  "Marilah bersama kita berdoa agar beliau dilindungi Allah serta dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
24 Jan 21
1365
Kluster Bukit Biah, Terengganu Babitkan Aktiviti Agama
Kluster Bukit Biah, Terengganu Babitkan Aktiviti Agama
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Satu kluster baharu COVID-19 membabitkan aktiviti keagamaan dikesan di Terengganu hari ini. Kluster Bukit Biah yang dilaporkan di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Besut dan Kemaman sudah merekodkan 39 kes daripada saringan yang dijalankan terhadap 131 individu. Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, kluster ini melibatkan satu perhimpunan keagamaan di Kuala Lumpur dan dihadiri beberapa kes dalam kluster ini. Sementara itu, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kes indeks bagi kluster ini ialah kes 788 yang merupakan seorang lelaki, berusia 38 tahun dan dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Januari 2021. "Kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke Seri Petaling, Kuala Lumpur mengikuti majlis ilmu bersama ahli rombongan," ujar kenyataan itu. Mengulas lanjut, JKNT turut memberitahu, satu lagi kluster baharu yang didaftarkan di Terengganu hari ini ialah Kluster Kampung Guntong Luar. "Ia melibatkan daerah Setiu dan Kuala Nerus di. Kes indeks bagi kluster ini ialah Kes 621 yang merupakan seorang lelaki berusia 51 tahun dan dilaporkan positif COVID-19 pada 13 Januari 2020. "Kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke Kuala Lumpur bersama beberapa orang yang lain. "Saringan kontak rapat telah berjaya mengesan kes-kes yang mempunyai kaitan dengan kes ini," tambah kenyataan itu.
23 Jan 21
8369
'SOP' Cegah Wabak Ikut Syariat
'SOP' Cegah Wabak Ikut Syariat
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Zulkifly Muda menafikan dakwaan berkenaan penjarakan fizikal yang disarankan oleh pihak berautoriti termasuk ketika beribadah di masjid dikatakan mengikut amalan dan arahan musuh Islam seperti Yahudi dan Kristian. Katanya, ia adalah tidak benar sama sekali kerana penjarakan yang dilakukan adalah usaha dan ikhtiar untuk menghindarkan diri daripada merebaknya penyakit virus COVID-19 daripada terus menular. "Kita ada tiga kategori, yang pertama akidah, yang kedua syariah dan ketiga akhlak atau tasawwur. Akidah itu datang semuanya daripada Allah dan kita tak dapat nafikan perkara itu. "Tetapi dari segi syariat, patuh yang kita lakukan di antaranya kita berusaha untuk lari dari penyakit seperti yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW, 'kamu  hendaklah lari dari penyakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa', Itu adalah usaha," jelasnya ketika ditemui selepas menandatangani perasmian Surau Al- Ikhsan Kampung Che Hassan, Kampung Gelugur Kedai, Marang, baru-baru ini. Katanya, penjarakan fizikal adalah usaha yang berteraskan kepada syariat (Islam).  Sementara itu, kata Dr Zulkifly masih ramai lagi yang keliru dengan dakwaan yang mengatakan penyakit COVID-19 ini berpunca daripada penyakit yang sengaja diwujudkan. "Tidak ada bukti yang kukuh, sebab kalau kita kata perkara itu daripada (perbuatan) Yahudi, sedangkan negara Israel sendiri lebih kena penyakit ini. "Kalau mereka rancang kenapa rakyat mereka sendiri kena. Kalau Yahudi rancang kenapa orang Yahudi yang kena. Jadi tidak ada bukti perkara itu," ujarnya. Justeru itu, kata beliau, anggaplah ini (COVID-19) satu pendemik yang perlu diusahakan (ubat) supaya rakyat seluruh dunia terselamat dari wabak yang berbahaya ini.
23 Jan 21
462
PKP 2.0 Lebih Teratur Pelaksanaan
PKP 2.0 Lebih Teratur Pelaksanaan
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 23 Januari- Negara dilihat lebih bersedia dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0,  berbanding pelaksanaan kali pertama, pada Mac tahun lalu.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, umumnya rakyat telah ada pengalaman menghadapi PKP kali pertama sebelum ini. Malah, katanya negara juga pada kali ini lebih bersedia dari segi aspek ekonomi dan kebajikan kepada rakyat. “Saya menasihatkan supaya (rakyat) mengambil langkah pencegahan dan amal kebersihan serta jarak sosial yang selamat bagi mengelakkan jangkitan COVID-19,” ujarnya ketika diminta mengulas penguatkuasaan PKP 2.0 di seluruh negara kecuali Sarawak. Beliau yang juga Ketua Ameerah negeri Terengganu mengingatkan rakyat agar tidak mengambil mudah nasihat elakkan 3C dan amalkan 3W. Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering kali berpesan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. “Elakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang dengan jarak yang dekat (close conversation). "Manakala, amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala,” jelasnya. Tambah beliau, hikmah berada di rumah sepanjang PKP dengan meningkatkan amalan serta menjaga hubungan dengan Allah SWT.
23 Jan 21
368
Terengganu Pertimbang Salur Bantuan Rakyat Terjejas Covid-19
Terengganu Pertimbang Salur Bantuan Rakyat Terjejas Covid-19
KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Terengganu akan mengkaji serta menilai bantuan Covid-19 yang diperlukan oleh mereka yang terjejas berdasarkan kes dan laporan sewajarnya. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan sentiasa menilai keperluan rakyat melalui Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin komuniti di seluruh Terengganu. "Saya percaya semua wakil rakyat di Terengganu daripada semua parti politik sentiasa terbuka untuk menerima apa jua maklum balas daripada rakyat atas kesusahan yang dialami dan menyelesaikan masalah tersebut. "Buat masa ini, kita meminta mereka yang terkesan untuk berhubung terus dengan wakil rakyat, ahli majlis atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan masing-masing. "Kerajaan negeri juga akan melihat keperluan dari masa ke semasa bagi memberi bantuan kepada mereka yang betul-betul terkesan. "Kita juga akan berusaha dan mencari jalan bagi mengurangkan beban mereka, walaupun setakat ini masih tidak dibuat sebarang keputusan," katanya. Beliau berkata ketika ditemubual wartawan sebaik sahaja selesai menghadiri program Amal Blood Donation 2021 yang diadakan di sini hari ini. Mengulas mengenai program terbabit, Ahmad Samsuri menyatakan aktiviti tersebut bertujuan membantu meningkatkan bekalan darah negara. "Program ini telah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara memandangkan Pusat Darah Negara kekurangan bekalan darah. "Hari ini, sebanyak 131 beg darah telah berjaya dikumpulkan dalam program anjuran Jabatan Amal Malaysia (JAM) ini, tambahnya.
23 Jan 21
3664
Peniaga Bersyukur Kerajaan Benar Berniaga Hingga 10 Malam
Peniaga Bersyukur Kerajaan Benar Berniaga Hingga 10 Malam
KUALA TERENGGANU, 22 Januari – Peniaga kecil di tepi jalan melahirkan rasa terharu kerana kerajaan membenarkan mereka beroperasi sehingga jam 10 malam sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula hari ini. Walaupun tidak ramai pelanggan namun, rata-rata mereka bersyukur kerana lanjutan masa perniagaan dari jam 8 malam kepada 10 malam itu sedikit sebanyak dapat menjana pendapatan. Sekiranya perniagaan dibenarkan sehingga jam 8 malam sahaja, rata-rata peniaga yang memulakan perniagaan antara jam 3 dan 4 petang terbabit mungkin menghadapi masalah kewangan.  Bagi peniaga ais krim gulung, Wan Muhammad Hazim Wan Muhammad Zulkifli, 27, berkata, meskipun pelanggan berkurang berbanding hari biasa, dia bersyukur kerana kerajaan masih membenarkan mereka untuk berniaga. "Daripada duduk rumah lebih baik saya berniaga, sekurang-kurangnya ada juga pendapatan walaupun tidak seberapa berbanding hari biasa sebelum PKP," katanya yang menjalankan perniagaan di kawasan Pantai Peranginan Batu Buruk, di sini, hari ini
22 Jan 21
392
Jemaah Patuh SOP Solat Jumaat Hari Pertama PKP 2.0
Jemaah Patuh SOP Solat Jumaat Hari Pertama PKP 2.0
KUALA NERUS, 22 Januari - Orang ramai didapati mematuhi pelaksanaan solat Jumaat di Terengganu dengan 40 jemaah sahaja dibenarkan tidak termasuk jawatankuasa dan mematuhi SOP sebagaimana digariskan. Timbalan Pengerusi Masjid Seberang Takir, Abd Halim Ibrahim, berkata, pada hari pertama, pihaknya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada jemaah yang dipilih mengikut peraturan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). "Kehadiran 40 jemaah itu tidak termasuk imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid dan pekerja am. “Selaku Timbalan Pengerusi dan bagi pihak ahli jawatankuasa Masjid Seberang Takir, kita mohon kehadiran jemaah ke masjid untuk mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan yang diputuskan Kementerian Kesihatan Melaysia (KKM),” katanya selepas solat jumaat disini hari ini. Bagaimanapun ujarnya, pelaksanaan kuliah maghrib, dhuha dan subuh serta kelas Al- Quran tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP 2.0 sehingga 4 Febuari depan. “Pihak masjid mengambil pendekatan dengan memberi kad kepada ahli kariah secara bergilir-gilir seramai 40 orang disamping 25 orang jawatankuasa dan pekerja am,” tambahnya. Beliau turut menasihatkan orang ramai bersabar dengan kaedah yang pihak masjid perkenalkan dan berlapang dada kerana segala keputusan diputuskan oleh mesyuarat. Seorang ahli kariah, Tarmizi Azhar menyatakan rasa bersyukur terpilih dan dapat menunaikan solat jumaat hari ini. “Namun, semua yang berlaku adalah atas takdir Allah dan berdoa agar pandemik Covid-19 ini akan segera berakhir agar masjid dan surau kembali penuh dengan jemaah," katanya.
22 Jan 21
398
Jemaah Hadir Solat Jumaat Seawal Jam 11.30
Jemaah Hadir Solat Jumaat Seawal Jam 11.30
KUALA NERUS, 22 Januari - Jemaah Masjid Mengabang Telipot hari ini hadir untuk solat Jumaat seawal jam 11.30 pagi.  Hal ini berlaku akibat daripada peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) yang menghadkan jumlah jemaah kepada 40 orang tidak termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.  Timbalan Pengerusi Masjid Mengabang Telipot, Mohd Irwami Abdul Wahab memaklumkan, ketika pintu pagar masjid dibuka sudah ada jemaah yang beratur untuk masuk. "Kami bagi pihak Masjid Mengabang Telipot hanya mengikut 'Standard Operation Procedure' (SOP) yang dikeluarkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 ini," tambahnya. Menurut beliau lagi, jemaah yang hadir telah cukup had 40 orang sekitar jam 12.20 tengahari tadi.  "Selain itu, SOP lain seperti kewajipan untuk memakai pelitup separuh muka, membawa sejadah dan memeriksa suhu telah menjadi amalan normal baharu bagi kami di sini. "InsyaAllah, bagi mereka yang tidak sempat untuk memenuhi kuota 40 tersebut, niat dan usaha mereka  hadir ke masjid pasti akan diterima sebagai amalan oleh Allah S.W.T.," katanya.  
22 Jan 21
911
Ketidakpatuhan SOP Di Tempat Kerja, Enam Kluster COVID-19 Direkodkan
Ketidakpatuhan SOP Di Tempat Kerja, Enam Kluster COVID-19 Direkodkan
KUALA TERENGGANU, 21 Januari- Sebanyak enam kluster COVID-19 direkodkan di negeri ini yang berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, terbaru pada 16 Januari lepas, berlaku satu kluster COVID-19 di tempat kerja dan sehingga kini ia telah menular di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Setiu.  "Kluster ini bukan terhad kepada rakan sepejabat sahaja tetapi sudah menular kepada keluarga pekerja dan kontak sosial yang lain dimana jumlah keseluruhan kes positif dari kluster ini seramai 35 orang. "Kluster COVID-19 sama ada di tempat kerja atau mana-mana pun masih boleh dicegah jika setiap orang amalkan kepatuhan SOP sepenuhnya. "Jangan ambil mudah nasihat elak 3C dan amal 3W yang sering dipesan Kementerian Kesihatan. Hanya ini tindakan paling berkesan buat masa ini untuk putuskan rantaian jangkitan COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, semalam. Menurut beliau, elakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang dengan jarak yang dekat (close conversation). “Manakala amalan 3W -  kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala,” jelasnya. Nor Azimi berkata semua pihak perlu menilai semula tahap kepatuhan SOP di tempat kerja dan tidak lagi mengulangi kesilapan sama untuk mencegah penularan COVID-19 pada masa akan datang dengan mengawal tingkah laku masing-masing walaupun dalam keadaan pejabat yang sempit.  
21 Jan 21
2330
SOP Bukan Untuk Menyusahkan
SOP Bukan Untuk Menyusahkan
Oleh: Rohayati Ripin MARANG, 21 Januari - Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bukan untuk menyusahkan rakyat,  tetapi bagi membendung penularan pandemik COVID-19 daripada makin berleluasa. Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Zulkifly Muda berkata, SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi kerana ia melibatkan nyawa manusia. “Saya tidak bersetuju dengan (pengkritik) perkara itu, sebab SOP bukan berhasrat untuk menyusahkan tapi menyelamatkan nyawa kita daripada terjebak dengan penyakit yang dipanggil COVID-19 ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Maljis Perasmian Surau Al- Ikhsan Kampung Che Hassan, Kampung Gelugur Kedai, baru-baru ini. Turut hadir, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali. Ketika ditanya mengenai ada pihak tidak bersetuju dengan pematuhan SOP yang dikuatkuasakan di rumah ibadah seperti masjid dan surau, menurut Dr Zulkifly, pihak berkuasa agama negeri patuh pada arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan yang lebih berautoriti. “Saya difahamkan sehingga hari ini tidak ada lagi kluster daripada masjid yang terlibat dengan COVID-19, alhamdulillah.  “Ini menunjukkan orang Islam memang memberi komitmen sepenuhnya pada SOP yang disarankan pihak berkuasa,” jelasnya. Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat akur dengan arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi melindungi diri dan masyarakat dari wabak yang merbahaya. “Kalau kita tak mengikut SOP itu, ada percanggahan dengan syariat itu sendiri yang suruh kita berusaha untuk menghindarkan daripada penyakit,” ujarnya. Sementara itu, kata Dato’ Dr Zulkifly lagi Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan satu penetapan bahawa vaksin untuk COVID-19 adalah harus digunakan.  “Kalau sekiranya ada pihak-pihak yang telah diwajibkan oleh pihak berkuasa  untuk menggunakan vaksin ini, mereka pun diwajibkan menggunakan vaksin tersebut. “Tetapi asasnya adalah harus dan pada pandangan saya bila meneliti fatwa-fatwa negeri lain selain daripada Terengganu, maksud saya (fatwa) luar negara mereka juga sependapat dengan pendapat saya.  “Jadi kalau perkara itu baik, apa salahnya kita ambillah (vaksin) itu demi kebaikan,” jelasnya.  
21 Jan 21
195