Artikel "Semasa" Terkini
Masalah Teknikal Punca Bekalan Air Terputus
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Bekalan air paip yang terputus dalam sehari dua ini di beberapa tempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang adalah disebabkan masalah teknikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, disebabkan gangguan bekalan eletrik dalamannya, tangki-tangki air Syarikat Air Terengganu Berhad (SATU) gagal beroperasi.
"Ini menyebabkan bekalan air paip di Gong Kapas, Pasir Panjang, Bukit Besar dan kawasan sekitar terputus bekalan air," katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, masalah tersebut sedang diatasi dengan baik oleh SATU.
" Alhamdulillah sehingga pagi ini, kebanyakan tempat telah mendapat bekalan air semula, cuma satu, dua tempat lagi masih belum pulih dan SATU sedang berusaha untuk membaik pulih sepenuhnya," ujarnya.
Katanya lagi, terdapat beberapa masalah teknikal yang tidak boleh dibaiki segera agar bekalan air pulih sepenuhnya, dimana pihak SATU terpaksa mendapatkan barang-barang untuk membaik pulih daripada luar negara dan ini sudah tentu memakan masa untuk mendapatkannya .
"InsyaAllah, loji yang dibina akan beroperasi paling lewatnya bulan April ataupun sebelum puasa.
"Saya berharap agar rakyat bersabar kerana kita berusaha menyelesaikannya bahkan kita meminta bantuan dari Kelantan untuk menghantar air ke kampung-kampung dan diagihkan kepada penduduk terjejas," jelasnya.
25 Feb 21
162
Vaksin Selamat Tiba Di Tiga Daerah Dalam Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Kumpulan pertama vaksin Pfizer BioNTech yang mengandungi lebih 16,000 dos telah selamat sampai ke tiga daerah di dalam negeri ini termasuk di Unit Farmasi Utama, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini 1.30 tengah hari tadi.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan, ketibaan vaksin tersebut yang dibawa oleh sebuah van DHL telah disambut pihak Jabatan Kesihatan Negeri bersama kontinjen polis peronda Terengganu dari Subang, Selangor.
"Seperti mana dimaklumkan, majlis pelancaran pemvaksinan akan bermula dengan suntikan pertama yang akan diterima oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Manakala proses pemberian vaksin bagi petugas barisan hadapan sama ada daripada Kementerian Kesihatan (KKM) atau bukan KKM akan bermula pada 2 Mac ini," katanya ketika ditemui pemberita tengah hari tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa melaporkan penghantar vaksin ke tiga daerah penyimpanan vaksin iaitu di Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu telah diringi tiga kenderaan polis bersama lapan orang anggota melalui Op Pelali.
"Pihak kami akan membuat rondaan berkala di tempat penyimpanan vaksin tersebut dari semasa ke semasa," katanya.
25 Feb 21
1719
MAIDAM Tidak Guna Wang Zakat Beli Pelitup Muka Untuk Calon SPM 2020
HULU TERENGGANU, 25 Februari - Pembelian pelitup muka untuk diagihkan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) tidak menggunakan wang zakat.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, ia diperolehi melalui hasil sumbangan kakitangan jabatan berkenaan termasuk pegawai dan kakitangan anak syarikat agensi kerajaan negeri.
"MAIDAM juga menggunakan peruntukan pentadbiran untuk memenuhi permintaan pengurusan beberapa sekolah menengah di negeri ini.
"Jika ada permohonan dari pengurusan sekolah, kita akan pertimbangkan, tetapi bergantung kepada hasil sumbangan dan peruntukan pentadbiran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan pelitup muka untuk kegunaan calon SPM 2020, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan Kuala Berang, di sini hari ini.
Pada majlis itu, M Rozi yang mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda menyerahkan 2,000 pelitup muka dan pelbagai jenis makanan dan minuman ringan bernilai RM3,000 kepada Pengetua SMK Tengku Ampuan Intan, Mohd Sohaimi Zakaria.
SMK Tengku Ampuan Intan Kuala Berang mempunyai seramai 94 calon SPM 2020, dan 56 calon tinggal di asrama sekolah berkenaan.
25 Feb 21
158
Mak Nik Terharu Terima Rumah Baharu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Mangsa kebakaran rumah di Kampung Gong Nangka, Nik Abdullah atau Mak Nik, 85, menyatakan kesyukuran apabila menerima sumbangan rumah baharu semalam.
“Syukur alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyak saya ucapkan atas keperihatinan wakil rakyat terhadap nasib kami,” luah Mak Nik ketika ditemui oleh pemberita baru-baru ini.
Sumbangan rumah tersebut diberikan susulan tragedi kebakaran yang telah mengakibatkan rumah beliau hangus sepenuhnya pada 7 September lalu.
“Alhamdulillah, rumah ini telah siap sepenuhnya dan hari ini kami serahkan rumah ini kepada Mak Nik.
“Insya Allah rumah ini akan memberikan kehidupan baru yang lebih baik kepada Mak Nik sekeluarga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merasmikan majlis penyerahan rumah tersebut.
Rumah tersebut merupakan hasil bantuan dana daripada Tabung Darul Iman dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan diuruskan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk.
Terdahulu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk bersama agensi-agensi kebajikan telah hadir menghulurkan sumbangan secara ‘one-off’ bagi meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh Mak Nik.
25 Feb 21
413
Bantuan Banjir RM6.4 Juta Lebih Disalurkan Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan banjir sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) bermula sabtu, 27 Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sumbangan keseluruhan bernilai RM 6,406,500.00 kepada 12,813 KIR di seluruh negeri akan dimulakan di daerah Kemaman dengan perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“150 penerima akan menerima bantuan pada majlis di daerah yang boleh dikatakan paling terjejas akibat musim banjir pada Januari lalu.
“Manakala dalam 8,300 mangsa banjir di seluruh Terengganu akan mendapat bantuan dalam bentuk wang melalui Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah masing-masing.
“Peruntukan hampir RM7 juta ini melibatkan mangsa yang terjejas akibat banijr pada akhir tahun lepas dan awal Januari,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi semalam.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, bagi setiap daerah adalah di bawah Pejabat Daerah kemudian diagihkan di Pejabat DUN masing-masing oleh wakil rakyat atau pegawai penyelaras berkenaan.
“Insya-Allah, pembayaran akan selesai dilunaskan pada minggu hadapan.
“Jumlah mangsa yang paling ramai adalah di Kemaman, iaitu di DUN Chukai dan DUN Air Putih dengan jumlah keseluruhan mangsa di Chukai seramai kira-kira 3,200 orang,” tambahnya.
25 Feb 21
2725
Tindakan Segera Atasi Kekurangan Bekalan Makanan Ternakan
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Mesyuarat penyelarasan Kerajaan Negeri bersama pihak terlibat sedang mengambil tindakan segera tentang isu kenaikan harga serta kekurangan bekalan makanan ternakan yang membelenggu penternak di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia berpunca daripada pelbagai perkara yang terlibat dalam rantaian pengeluaran makanan ternakan sehingga mengakibatkan kenaikan harga serta kekurangan bekalan.
Sehubungan itu katanya, jalan segera perlu diambil bagi menggelakkan masalah itu berpanjangan.
"Di Gong Badak, Kuala Terengganu terdapat kilang makanan ternakan milik Koperasi Peserta-Peserta Felcra Berhad (KPFB) dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 60 ribu beg sebulan bagi setiap beg seberat 50 kilogram berjenama Sepadurumi.
"Antara strategi yang diputuskan ialah akan memanfaatkan sepenuhnya kewujudan kilang makanan ternakan KPFB yang ada di Terengganu. Selain itu, PPRNT akan memainkan peranan penting dari segi pemasaran dengan memanfaatkan kemudahan 54 outlet pemasaran milik ahli PPRNT yang terdapat di seluruh Negeri Terengganu.
"Sementara itu, TADC juga akan membantu memasarkan produk makanan ternakan jenama Sepadurumi. Malah, FGV Kernel Produk yang memiliki kilang makanan ternakan di Semambu Kuantan akan meningkatkan jumlah makanan ternakan ke Terengganu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, formula pemakanan produk Kilang KPFB adalah menggunakan kepakaran Professor Dr Wan Zahari, seorang pakar dan penyelidik yang dikenali dalam bidang makanan ternakan.
"Isunya ialah produk ini tak dikenali oleh penternak Terengganu lalu ia tidak menjadi pilihan penternak tempatan yang lebih meyakini produk luar yang telah lama dikenali serta biasa digunakan sebelum ini.
"Suka untuk dimaklumkan bahawa produk makanan ternakan dengan jenama lain yang dikenali ramai juga sebenarnya menggunakan kepakaran Professor Dr Wan Zahari. Produk Kilang KPFB tak kalah dari segi kualiti cuma memerlukan beberapa penambahbaikan dari segi promosi dan pemasaran.
Dalam pada itu, harga makanan keluaran KPFB juga lebih rendah berbanding jenama luar yang biasa digunakan.
"Suatu kerugian apabila Terengganu mempunyai kilang makanan ternakan tetapi produknya dihantar ke negeri-negeri lain dalam keadaan penternak negeri sendiri tak cukup bekalan.
"Semoga langkah penyelesaian jangka pendek ini dapat merungkai sebahagian permasalahan yang sedang dihadapi penternak kita di Terengganu. Penyelesaian cara kita dengan memanfaatkan sumber tempatan sedia ada.
Orang ramai boleh menghubungi Kilang Koperasi Peneroka-Peneroka Felcra Berhad di atas talian 01114969893 (Siti Nur Syeefa).
25 Feb 21
859
Pusat Kanak-kanak Terbiar Dibuka Bulan Mac
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Terengganu bakal membuka pusat kanak-kanak terbiar bernilai RM2 juta pada 15 Mac nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, 'Raudhatul Jannah' itu akan berpusat di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman.
Katanya, ia akan menempatkan kanak-kanak yang diabai, didera atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
"Buat permulaan kita akan masukkan seramai 20 lelaki dan 20 perempuan dalam usia lingkungan pelajar sekolah rendah, bukan sahaja dalam kalangan anak Terengganu.
“Ini kerana kes-kes serius seperti penderaan tidak berlaku dalam negeri sahaja, oleh itu pusat ini untuk seluruh negara, terutamanya ketika menghadapi tekanan hidup akibat kekangan wabak pandemik COVID-19.
“Pengisian bagi mereka semasa di pusat ini akan menggunakan modul keagamaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi semalam.
Tambah Hanafiah, walaupun isu itu tidak terlalu serius dalam negeri ini, kerajaan tetap memberi tumpuan terutamanya kepada mereka yang terbiar dan didera.
Mengulas lanjut berkenaan kos menyiapkan pusat tersebut, Hanafiah memaklumkan, kos baikpulih dan kelengkapan prasarana melibatkan hampir RM600,000.
"Jika dicampur bersama kos operasi jumlahnya dalam sekitar RM2 juta.
“Pusat ini merupakan fasa pertama dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Amal, jika fasa ini berjaya, maka kita akan lihat kepada keperluan untuk berkembang ke daerah lain,” jelasnya.
25 Feb 21
1039
Bekalan Air Dijangka Pulih Sepenuhnya 5 Pagi Khamis
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Syarikat Air Terengganu (SATU) menjangkakan masalah air yang berlaku sekitar daerah ini, Kuala Nerus dan Marang akan pulih sepenuhnya jam 5 pagi Khamis, 25 Februari.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, gangguan bekalan air dan tekanan air rendah bermula 4.30 petang itu berpunca daripada masalah teknikal di Loji Kepong 1, Serada, Kuala Terengganu.
"Hingga saat ni, 75 peratus bekalan daripada loji telah pun pulih, kami masih lagi dlm peringkat memenuhi tangki utama dalam bandar Kuala Terengganu, sebahagian pengguna masih lagi menerima air dgn tekanan rendah dan sebahagian lagi masih tiada air.
"Manakala di Marang sudah pulih 100 peratus, tetapi kami masih lagi memenuhi tangki-tangki utama.
"Kita jangka pengguna akan dapat bekalan air seperti jam 5 pagi esok dengan tekanan rendah," katanya ketika dihubungi UPDI sebentar tadi.
Menurutnya, dalam tempoh sekarang, pihaknya juga sedang giat menghantar air ke kawasan kritikal menggunakan lori tangki SATU.
"Kami memohon maaf dan bersimpati atas apa yang berlaku," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh ketika dihubungi memaklumkan bekalan air terputus kerana masalah elektrik dan pam di Loji Kepong I tengah hari tadi.
"Apabila masalah elektrik selesai, pam pula bermasalah, jadi ena tunggu air naik ke tangki dan buang angin dalam paip.
"Alhamdulillah kita telah berjaya hidupkan tiga biji pam. Insya-Allah masalah ini semakin pulih tetapi ia mengambil masa sedikit bagi lokasi yang jauh," tambah beliau.
24 Feb 21
631
BPIS Ajak Rakyat Hayati Nilai Dalam Sembahyang
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan negeri menganjurkan program bulan penghayatan ibadat solat (BPIS) untuk mengajak rakyat menghayati nilai-nilai yang ada dalam sembahyang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebelum menghayatinya, rakyat mesti mengambil cakna tentang ibadat itu sendiri.
“Pertama, mengetahui tentang sembahyang mengikut Rasulullah S.A.W. dan ajaran para ulama.
“Yang kedua, kita mesti menjaga sembahyang mengikut rukun-rukun dan syaratnya. Menjaga yakni sembahyang pada waktunya. Maknanya kita bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat berjemaah khususnya warga lelaki.
“Yang ketiga, barulah kita memohon rakyat memahami apa yang diajarkan ibadat solat itu sendiri,” ujarnya.
Katanya, Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu akan susun kitab yang kita anggap sebagai asas terhadap ibadat solat ini ialah munyatul musolli, ia banyak membincangkan tentang nilai-nilai sembahyang dan penghujungnya membincangkan tentang pemerintahan dan politik.
“Saya juga bukan hanya mengajak rakyat menghayati malah bekerjasama menghidupkan amar makruf dan nahi munkar ini.
“Di samping peranan kerajaan, masyarakat boleh memberi sumbangan ke masjid-masjid buat program tertentu ataupun dekati anak-anak muda dengan pendekatan tertentu melalui pejabat-pejabat pusat khidmat juga.
“Saya harap agar pusat-pusat khidmat kita bukan sahaja berbincang tentang projek-projek tetapi gunakan untuk menghayati ibadat solat dan pembangunan insan dan jabatan-jabatan mesti cakna kewangan yang ada untuk kita laksanakan kempen ibadat solat,” ujarnya.
24 Feb 21
297
RMM Tajin Dijangka Siap Pertengahan Tahun Ini
HULU TERENGGANU, 24 Februari - Proses pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Kampung Tajin dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata pembinaan RMM Tajin di atas tanah seluas 10 hektar sedang giat dijalankan sejak dirasmikan pada Julai 2019.
"Sebanyak 250 buah unit RMM sedang dibina dan proses pembinaan berjalan dengan lancar setakat ini.
"Pada bulan enam atau bulan tujuh tahun ini, projek ini akan siap dan kita akan agihkan kepada penduduk di Hulu Terengganu ini, " jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak RMM di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kampung Tajin, baru-baru ini.
Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata, pembinaan RMM Tajin sedang melalui kerja-kerja terakhir.
"Kerja-kerja akhir seperti pemasangan longkang, pendawaian elektrik, pagar dan kerja-kerja berkaitan dengan jalanraya berjalan dengan baik," katanya.
24 Feb 21
3500