Artikel "Semasa" Terkini
Abang Mati Lemas Depan Mata Adik
KUALA NERUS, 27 Februari – Seorang adik tidak menyangka ajakan memukat ikan beberapa hari lepas menjadi petanda bahawa abangnya itu akan pergi buat selama-lamanya akibat lemas di Pantai Teluk Ketapang pagi tadi.
Harun Mahmud, 62, berkata, sudah beberapa hari arwah abangnya, Mohd Mahmud mengajak memukat ikan di pantai tetapi tidak dihiraukan kerana masalah mabuk laut.
“Akhirnya, saya menuruti juga ajakannya, tetapi saya biarkan dia memukat seorang diri sambil saya memancing bersama dua orang lagi adik saya di tepi pantai.
“Tiba-tiba saya melihat bot kecil yang abang saya naik tengelam dan melihat keadaan dia terkapai-kapai sambil memegang pendayung.
“Saya terus menggunakan bot yang ada berhampiran untuk pergi menyelamatkannya," ujarnya selepas kejadian lemas menimpa abangnya.
Katanya, sebaik sahaja dibawa ke darat, adiknya melakukan tekanan dada tetapi Mohd, 72, tidak memberi sebarang tindak balas.
Sementara itu, Pegawai Polis Balai Polis Gong Badak, Salleh Kabul berkata, pihaknya menerima laporan kejadian lemas itu pada 11 pagi.
"Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk siasatan dan sedang menunggu laporan daripada doktor," katanya.
27 Feb 21
1247
Dakwaan Jatuhkan Presiden PAS Tidak Masuk Akal
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa dakwaan menjatuhkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah tidak masuk akal.
"Itu adalah khabar angin yang tidak betul dan yang sengaja diada-adakan apatah lagi pada zaman media sosial sekarang,"katanya.
Menurutnya lagi, seluruh kepimpinan parti PAS itu berada dalam keadaan yang baik dan tidak mempunyai sebarang masalah.
"Saya merasakan dakwaan itu tidak masuk akal kerana saya tidak fikir ada sesiapa yang merasai diri mereka berada di tahap seperti Presiden Pas sekarang ini.
"Jadi tidak timbul sebarang dakwaan dan saya percaya itu hanya perkara yang diadakan oleh pihak-pihak luar sahaja."
Katanya ketika ditemubual wartawan dalam sidang media sebaik sahaja selesai Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.
Mengulas lanjut, berkaitan Sidang Parlimen, beliau berkata, biarlah Putrajaya yang putuskan sama ada mereka hendak bersidang atau tidak.
"Saya percaya jemaah menteri akan mempunyai pandangan mereka sekiranya perlu mengadakan sidang parlimen dalam masa dan waktu yang sesuai," tambahnya.
27 Feb 21
709
Hargai Komitmen Guru Tuisyen Rakyat, PIBG Sekolah
MARANG, 27 Februari - "Terima kasih di atas curahan ilmu dan komitmen yang para guru berikan untuk menjayakan Tuisyen Rakyat termasuk kerjasama yang diberikan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam kita menempuhi norma baharu ini.
Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata guru dan PIBG juga telah banyak membantu dalam penglibatan program kelas tambahan sebagai satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu anak-anak menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
"Program ini telah digerakkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di semua peringkat Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) dengan mensasarkan calon SPM 2020.
Beliau berkata ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tuisyen Rakyat dan Sumbangan PIBG Sekolah-Sekolah di Dewan Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang baru-baru ini.
Seramai lima orang guru dan sembilan PIBG dari seluruh Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah menerima sijil penghargaan dan sumbangan.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Muhammad Nawawi Rani, Pengerusi PIBKS Daerah Marang, Muhammad Ropaat Khamid, dan Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Hasan Awang.
Menurutnya lagi, tahun 2020 merupakan tahun ujian, di mana telah merubah kehidupan kepada norma baharu dan memberikan kesan kepada sektor pendidikan negara terutama anak pelajar yang terlibat dalam peperiksaan penting.
"Negeri Terengganu antara negeri yang mendahului dan mendapat keputusan yang terbaik secara keseluruhan di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun berturut-turut serta sebelum-sebelumnya.
"Mengambil kesempatan ini, saya mewakili Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
"Komitmen dan keperihatinan semua pihak untuk anak-anak pelajar kita pasti mendapat ganjaran pahal berpanjangan," tambahnya lagi.
27 Feb 21
564
Limpahan Rezeki Buat Penduduk RMM Telok Kalong
KEMAMAN, 28 Februari - Penduduk Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong, Kijal kini lega apabila pelbagai sumbangan diterima mereka akibat banjir yang melanda taman perumahan tersebut tahun lepas.
Selain kerajaan pusat dan kerajaan negeri, banyak di kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta syarikat swasta di sekitar kawasan tersebutn turut memberi sumbangan seperti wang tunai, barangan dapur, perkakas elektrik dan tikar getah.
Muhamad Haiqal Shafie.
Pegawai Khas Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Mohamad Haiqal Shafie memberitahu, seramai 621 mangsa banjir yang disenaraikan di DUN Kijal menerima bantuan.
"Hari ini seramai 157 orang penerima bantuan banjir yang didaftarkan ketika banjir tempoh hari menerima bantuan masing-masing.
"Hari ini juga adalah hari kedua agihan di mana hari Sabtu minggu lepas kita telah selesaikan sebahagian pengagihan tersebut," katanya.
"Memandangkan penerimanya agak ramai, jadi kita adakan sebanyak dua sesi bagi mengurangkan jumlah keberadaan peserta di dalam satu masa di musim penularan pendemik Covid 19 ini," ujarnya.
Haiqal ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Pengagihan Sumbangan Banjir DUN Kijal di Kompleks Paya Lasir, Bandar Kijal Sejahtera semalam.
Sumbangan kali ini adalah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kemaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat Kemaman dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal.
Turut hadir pada majlis itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ameerah DUN Kijal dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal.
27 Feb 21
1185
PN Berjaya Keluarkan Rakyat Daripada Suasana Tak Harmoni
KUALA TERENGGANU, 27 Februari – Selama hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengeluarkan Malaysia daripada suasana tidak harmoni sejak awal 2018.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepimpinan kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjalankan tugas yang terbaik.
“Walaupun berdepan dengan kedudukan yang sukar terutamanya menghadapi ketidaktentuan politik dan keadaan ekonomi yang merudum, banyak perkara telah dibatalkan dan sebagainya, kita masih berjaya mengawal dengan baik.
“Dalam masa sama kita juga berdepan dengan kekangan pandemik COVID-19, namun kerajaan PN telah melakukan yang terbaik bagi mengeluarkan Malaysia daripada suasana yang tak begitu harmoni pada tahun sebelum ini semasa awal 2018,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.
Mengulas berkenaan dakwaan UMNO yang ingin ‘merampas' semula Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15), beliau berkata perbincangan masih berjalan di peringkat pusat.
“Ada formulanya, selagi belum berakhir perundingan kita akan pertimbangkan apa juga kemungkinan, tentulah mana-mana parti ingin mempertahankan hak masing-masing.
“Kita akan melihat kerusi-kerusi lain dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan menentukan siapa yang sesuai bertanding atas faktor boleh menang kerana kita ingin mencapai kemenangan yang maksimum dalam PRU-15,” tambahnya.
27 Feb 21
445
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd
KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Kolej Universiti TATI (UC TATI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd. bagi mewujudkan pentas kolaborasi kebajikan untuk meringankan beban pelajar dan kakitangan institusi berkenaaan.
Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, menerusi kerjasama yang ditandatangani dalam satu majlis di Bangunan Canselori, UC TATI di Kemaman, Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd. bakal berperanan menjadi pembekal cermin mata kepada para pelajar dan kakitangan UC TATI.
Katanya, sumbangan menerusi kad baucer eksklusif itu bernilai RM524,000.
"Melalui kad tersebut, pemegang kad baucer eksklusif berhak menerima diskaun sehingga 40 peratus untuk pembelian bingkai dan cermin di semua cawangan Ar Rayyan Optometrist.
"Bagi pelajar golongan B40 pula, Ar Rayyan Optometrist akan memberi sumbangan cermin mata secara percuma," ujarnya.
Katanya, penularan COVID-19 memberikan impak negatif kepada kehidupan dan keperluan semua lapisan masyarakat.
"Diharapkan sumbangan ini dapat membantu pelajar meneruskan pembelajaran dengan jelas dan yakin, demi mengejar cita-cita dan seterusnya mengubah nasib keluarga," tambah beliau.
Dalam pada itu Anuar berkata, dengan penarafan 5 bintang yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, UC TATI juga ingin meningkatkan kerjasama dari segi akademik, industri dan juga kebajikan.
26 Feb 21
962
Pemvaksinan Fasa Satu Terengganu Selesai Selewatnya Bulan Mei
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Proses pemvaksinan fasa satu di Terengganu iaitu kepada keseluruhan petugas barisan hadapan yang bermula 2 Mac ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Mei.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia akan melibatkan lebih 15,000 orang ‘frontliners’ di seluruh negeri berpandukan senarai nama petugas.
“Penerima tersebut terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dan juga petugas barisan hadapan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain lagi.
“Untuk makluman, bilangan dos vaksin diterima adalah sebanyak 16,380 dos yang disimpan di tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) sejurus sampai ke Terengganu sebelum diagihkan kepada kira-kira 20 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.
Tambah Nor Azimi yang juga antara penerima vaksin pertama, pusat pemberian vaksin akan melibatkan enam hospital dan 14 buah klinik kesihatan di seluruh negeri.
“Fasa pertama ini mungkin akan tamat pada bulan April atau Mei bergantung kepada setakat mana kita boleh selesaikan senarai penerima vaksin.
“Kita juga berbeza dengan negeri luar dan jumlah ‘frontliner berlainan dari negeri ke negeri,” katanya lagi.
26 Feb 21
601
'Semut Gigit Lagi Sakit' - Reaksi MB Disuntik Vaksin
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menjadi individu pertama di negeri ini yang berjaya disuntik vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech.
Dr Samsuri berkata, proses pemvaksinan berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesukaran.
"Semut gigit lagi sakit, jarum pun tidak ada apa-apa kesukaran, tidak ada rasa pening-pening semasa melalui rawatan tersebut.
"Oleh itu, saya seru semua rakyat supaya tidak perlu takut dan teruja menanti saat giliran masing-masing," katanya ketika ditemubual pemberita.
Dr Samsuri menerima suntikan pada jam 4.05 petang oleh jurusuntik, Sujanah Muhimin yang juga merupakan Ketua Jururawat Kesihatan HSNZ.
Suntikan itu sebagai tanda simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan.
Selain Menteri Besar, turut menerima suntikan vaksin ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Suntikan ke atas individu-individu berkenaan dibuat sempena pelancaran Program Vaksinasi Covid-19 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Rawatan Ibu Dan Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, sebentar tadi.
Majlis diakhiri dengan menandatangani perasmian program tersebut di peringkat negeri kemudian kesemua penerima dipantau 30 minit selepas disuntik sebelum pelepasan diberikan.
26 Feb 21
686
PAS-T Sedia Kemahiran Vokasional Anak Autism
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Terengganu kini dalam proses menyiapkan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu (PAS-T) iaitu pusat jagaan anak-anak autism yang menyediakan pendidikan kemahiran vokasional bagi memupuk nilai berdikari.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pusat tersebut telah menelan belanja kos kira-kira RM2 juta dan dijangka bakal beroperasi pada Jun depan di Batu Buruk
“Bangunan (belakang Kuala Terengganu Specialist Hospital) tersebut telah diubahsuai daripada kuarters kerajaan lama yang mempunyai empat bangunan, melibatkan kos termasuk kos operasi, kelengkapan pembelajaran kira-kira RM2 juta.
“Kita akan menempatkan golongan sasar tersebut seawal dari umur tiga tahun.
“Kebanyakan pusat autisme tidak memfokuskan pendidikan secara menyeluruh, oleh itu, model baharu yang dirangka ini akan memfokuskan kemahiran vokasional, kelas bersama pengajar pertuturan, kelas al-Quran dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Tambahnya, melalui kesinambungan pendidikan yang diberi secara percuma kepada golongan B40, pusat tersebut dapat melahirkan lepasan berumur 17 hingga 18 tahun dengan kemahiran melakukan kerja dan mampu membina hidup sendiri.
Terdahulu, cadangan pembangunan pusat model baharu itu telah dibentangkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Rina Mohd Harun dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.
Untuk rekod, terdapat lebih 500 kanak-kanak autism di seluruh Terengganu yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
26 Feb 21
935
164 Peserta RTB DUN Telemong Terima Borang 5A
HULU TERENGGANU 24 Februari - Seramai 164 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) pertanian dan perumahan di Dewan Undangan Negeri (DUN)Telemong menerima notis borang 5A.
Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, penerimaan borang berkenaan menandakan bahawa tanah tersebut akan dimiliki oleh peserta sepenuhnya tidak lama lagi
Katanya, ia melibatkan tiga kawasan RTB pertanian iaitu RTB Bukit Sireh di Kampung Kemat sebanyak 32 lot, Macang Gerahim di Kampung Matang 51 lot dan RTB Dusun 35 lot. Manakala satu RTB Perumahan di Bukit Jelutong 2, Kampung Nibong sebanyak 46 lot.
"Peserta hanya perlu menjelaskan bayaran premium tanah yang ditetapkan untuk mendapatkan geran hakmilik.
"Nak dapat tanah ini bukanlah suatu mudah, ada diantara kita telah menunggu sejak puluhan tahun untuk sampai ke tahap ini (Notis borang 5A),
"Saya harap peserta dapat segerakan pembayaran premium yang ditetapkan, kerana ianya akan menamatkan penantian sekian lama untuk mendapatkan geran kekal," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyerahkan borang 5A kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat, di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Telemong, baru-baru ini.
Tambah Safari lagi, pihaknya akan terus membantu rakyat untuk memiliki tanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto sebelum Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) lalu.
“Terdapat beberapa RTB pertanian dan RTB tapak rumah sedang dalam proses permohonan.
"Dalam masa terdekat ini kita akan adakan majlis pengundian RTB lot rumah Kampung Tapah dan RTB pertanian Sungai Dura di Mukim Jenagor,"tambahnya.
25 Feb 21
693