Artikel "Semasa" Terkini
PAS Optimis Bersama Bersatu, Umno Dalam PRU15
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - PAS optimis kerjasama parti itu dengan Bersatu dan Umno akan terus berjalan termasuk dalam mendepani Pilihan Raya Umum akan datang.
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Bersatu dan Umno kini dilihat tidak sehaluan tetapi pihaknya yakin ia dapat diselesaikan dengan baik.
"Langkah akan diambil oleh barisan kepimpinan PAS, Bersatu dan Umno dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit.
"PAS sendiri sudah menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan kedua-dua parti itu bagi menjamin keharmonian antara parti," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Menjawab tuduhan pihak tertentu mengenai proses agihan kerusi antara ketiga-tiga parti menemui jalan buntu, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menafikan perkara tersebut.
"Dalam pendapat saya, situasi sekarang masih tidak buntu, dan pihak kami telah mengadakan dua pertemuan, jadi keadaan sekarang tidak boleh dikatakan menemui jalan buntu.
"Kita optimis dalam kerjasama ini supaya ia akan berjaya," jelasnya.
Katanya, itu adalah pandangan peribadi mereka dan sebagai kepimpinan utama semua pihak perlu mencari jalan terbaik.
Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, perbincangan dengan rakan sekutunya di Terengganu mungkin sudah menemukan jalan buntu berikutan Umno negeri itu menuntut 16 kerusi DUN dan empat parlimen.
Difahamkan tuntutan itu juga tidak selari dengan persetujuan agihan kerusi di peringkat pusat iaitu pengekalan status quo atau PAS dan Umno kekal bertanding di kerusi yang mereka menangi.
24 Feb 21
278
Vaksin COVID-19 Tiba Di Terengganu Esok
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech akan tiba di Terengganu esok, 25 Februari 2021 dan fasa pertama suntikan dijadualkan pada 26 Februari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja pemvaksinan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan dimulakan dengan kakitangan barisan hadapan termasuk mereka yang terpilih.
"Difahamkan bahawa Menteri Besar akan menjadi orang pertama yang akan disuntik vaksin.
"Fasa pertama ini juga akan melibatkan dalam 15,000 orang yang telah disusun oleh pihak berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman pagi tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata perincian tempat dan masa suntikan pertama tersebut ditentukan oleh JKNT.
"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diuruskan bersama 'frontliner' di tempat masing-masing.
"Semua ADUN tidak mengira parti akan dijadualkan untuk suntikan bagi mereka yang sukarela," tambahnya.
24 Feb 21
2987
Giliran Nelayan Kemaman Terima Bantuan RM57,500
KEMAMAN, 23 Februari - Lebih 1,000 nelayan di daerah ini menerima bantuan sebanyak RM57,500 secara berperingkat bermula hari ini.
Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu seramai 416 orang nelayan di Kemasik dan Kertih menerima sumbangan bantuan pagi tadi, manakala 200 orang nelayan di Kijal pada petang ini dan 500 lagi di Cukai pada esok.
“Sumbangan ini disampaikan dalam bentuk barangan dapur bagi meringankan beban para nelayan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan suasana masih dalam musim tengkujuh. Saya difahamkan di Kertih, baru hari ini mereka dapat turun ke laut.
“Kita juga telah memberikan sumbangan kepada mereka yang terjejas pendapatan termasuk tukang gunting rambut, pengusaha salon, pemandu bas sekolah dan lain-lain lagi khususnya yang tinggal di Parlimen Kemaman," ujar beliau.
Katanya, kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di perkarangan Pejabat Pengurusan Persatuan Nelayan Kemasik.
Turut hadir bersama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemasik, Saiful Azmi Suhaili, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Encik Mastam Nodo, Pengurus Persatuan Nelayan (PNK) Kemasik, Zakaria Bin Mamat dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kemasik (PNK), Abd Ghani Ismail,
Program berkenaan diadakan secara pandu lalu bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.
23 Feb 21
275
Bimbingan Dan Nasihat Ramuan Kejayaan Anak-anak SPM
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Bimbingan nasihat daripada guru dan ibu bapa amat penting bagi memastikan para pelajar berada pada tahap terbaik dan sentiasa fokus ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, calon SPM hendaklah memberi tumpuan sepenuhnya pada peperiksaan itu kerana ia menentukan masa hadapan.
“Saya berharap sebagaimana pertemuan di antara guru dan pelajar selepas selesai peperiksaan kertas pertama tadi, saya menasihati mereka supaya kekal bertenang menghadapi peperiksaan dalam suasana COVID-19.
“Apa yang penting, saya katakan tadi ialah mereka (pelajar) mesti fokus kepada persiapan yang telah dibuat sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pihak media selepas mengadakan pertemuan bersama calon SPM di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang (SMASZA), Kuala Terengganu, semalam.
Turut bersama, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Asp Mohd Adirra Ramli, Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Almeida Mohd dan Pegawai Penyelidik DUN Terengganu, Mohd Khairul Nizam Suhaimi serta Pegawai Khas Speaker DUN Terengganu, Ukasyah Hasan.
Justeru itu, mewakili kerajaan negeri, beliau berdoa dan mengharapkan agar semua calon peperiksaan SPM akan mendapat keputusan terbaik.
“Saya ada bertanya beberapa orang pelajar, apa cita-cita dan apa yang mereka minat, sekiranya mereka mendapat keputusan yang cemerlang serta melayakkan mereka untuk menyambung ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Saya katakan kepada mereka, ia satu perancangan yang sangat baik," ujar Dato’ Yahaya.
Sementara itu, Pengetua SMASZA, Azanol Muda berkata, seramai 87 orang pelajar SMASZA menduduki peperiksaan SPM bermula hari pada 22 Februari, baru-baru ini.
Manakala, katanya seramai 10 orang petugas peperiksaan dilantik bagi memantau calon-calon peperiksaan berkenaan.
“Setakat ini kita (pihak sekolah) mengikuti SOP (prosedur operasi standard) dengan penjarakan fizikal, pelajar kita wajibkan pakai pelitup muka, penjarakan dalam kelas, jika kebiasaanya dalam kelas 30 orang namun sekarang ini hanya memuatkan 15 orang sahaja,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian pada peperiksaan ini hingga ke akhir penamatnya.
“Walaupun ada kekangan dan halangan serta sikit kepayahan prosedurnya, tetapi jangan jadikan itu halangan. Sebaliknya jadikan ia sebagai satu peluang untuk kita buktikan bahawa, kita sedia hadapi cabaran itu,” tegasnya.
Di Terengganu, seramai 18,743 calon SPM termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020, di 169 pusat peperiksaan seluruh negeri bermula 22 Februari hingga 25 Mac ini.
23 Feb 21
393
RM27,200 Disalur Kepada Pengayuh Beca, Pengusaha Bot Penambang
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Kerajaan Terengganu hari ini menyalurkan bantuan sebanyak RM27,200 kepada 50 pengayuh beca dan 18 pengusaha bot penambang di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya bertanggungjawab memberi bantuan itu agar golongan berkenaan mampu meneruskan hidup seperti biasa meskipun situasi terkini COVID-19 memberi tekanan kepada mereka.
"Kesemua mereka menerima sumbangan sebanyak RM400. Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung mereka selepas sektor pelancongan terjejas teruk.
"Ini adalah kesinambungan daripada program semalam iaitu bantuan untuk pemandu teksi dan pemandu pelancongan sebanyak RM300 seorang.
"Saya turut menyaran kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 (Sektor Pelancongan) di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berbeza, Ariffin memaklumkan, Terengganu menjadi antara destinasi utama pilihan pelancong domestik sepanjang tahun lalu.
Katanya, data kadar purata penginapan di Malaysia yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) setakat November lalu mendapati Terengganu melonjak ke tangga ke empat berbanding tangga ke-11 bagi tempoh sama pada 2019.
"Menerusi data terbaharu ini, Terengganu berjaya mengatasi negeri-negeri lain, termasuk Perak, Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur yang dahulunya popular sebagai destinasi pelancongan.
"Apa yang membanggakan Terengganu pernah berada di tangga kedua keseluruhan pada bulan Julai dan September pada tahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang mengadakan kerjasama dengan pemilik Restoran Amber Chinese Muslim, Haji Ismail Nuh @ Cui Wei untuk membuka restoran berkonsepkan hidangan Cina Muslim di Bazar Warisan.
“Pembukaan restoran dijangka pada Mac ini, bermungkinan akan ditangguh atas pelbagai sebab termasuk Perintah Kawalan Pergerakan
“Bagaimanapun kerja-kerja pengubahsuaian bangunan kepada konsep yang diinginkan sedang giat dijalankan. Saya percaya dengan pembukaan restoran itu nanti, jumlah kedatangan pelancongan ke Terengganu semakin bertambah," katanya.
23 Feb 21
711
Mak Ngah Lah Terima Bantuan Pelbagai Pihak
MARANG, 23 Februari - Pelbagai pihak tampil membantu warga emas,Hamlah Ismail atau lebih dikenali Mak Ngah Lah, 73, yang ditimpa musibah kebakaran rumah di Kampung Kelulut baru-baru ini.
Dalam kejadian pada 11 Februari lalu, hampir separuh rumah milik Mak Ngah Lah hangus.
Sebelum ini warga emas itu menerima kunjungan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang yang hadir bersama-sama menyerahkan bantuan segera berbentuk keperluan asas pada hari kejadian.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, berkata di samping PKM Rhu Rendang, ada juga bantuan yang disampaikan daripada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang.
"Rata-rata sebahagian besar daripada 36 JPKK di Dun Rhu Rendang, telah membuat kutipan derma dan menyumbang sejumlah wang kepada mangsa kebakaran ini.
Katanya ketika dihubungi oleh Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Turut hadir sebelum ini, adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, dan JPKK Kampung Baru Bukit Kecil.
Menurutnya Nasaruddin, Makngah Lah juga akan menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara one-off bernilai RM3000.
"Manakala, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula sedang menunggu proses dokumen lengkap daripada pemohon untuk diangkat kepada Tabung Darul Iman bagi menyalurkan bantuan.
"Kita sangat berterima kasih kepada pihak-pihak yang tampil membantu sementara menunggu proses bantuan lain daripada agensi dapat disampaikan.
"Walaubagaimanapun, kita juga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku, dan proses siasatan telah dibuat oleh pihak forensik Jabatan Bomba Malaysia, tambahnya.
23 Feb 21
361
Pengusaha Teksi, Pemandu Pelancong Terima Bantuan RM44,100
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Lebih 100 pemandu teksi dan pemandu pelancong telah menerima insentif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) 2021 bernilai RM44,100 secara berperingkat pada petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, bantuan tersebut disalurkan kepada wakil setiap persatuan seperti Persatuan Pemandu Pelancong Bandar, Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi dan Persatuan Pemandu Teksi.
“Seramai 44 pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di samping 103 pemandu pelancong bandar dan alam semulajadi menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang.
“Terdahulu, pihak kami telah memaklumkan jumlah bantuan dalam RM200 seorang tetapi telah dinaikkan kepada RM300 seorang buat pemandu yang terkesan teruk akibat kemelesetan sektor tersebut akibat kekangan pandemik.
“Bantuan ini diberi secara berperingkat atas sebab pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan selebihnya akan disalurkan melalui akaun penerima masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.
Beliau berkata demikian semasa sidang media program agihan Berkat kepada pemandu teksi dan pemandu pelancong di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu di sini.
Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzaril Nizam Ibrahim.
Sementara itu, seorang penerima, Rustam Mokhtar, 48, menceritakan, pengalaman pahit ketandusan rezeki ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini amat memeritkan.
“Boleh dikatakan 80 peratus terkesan, satu minggu itu hanya meraih dalam RM30 sahaja berbanding kebiasaanya dalam RM100 sehari sebelum dilanda musim COVID-19.
“Namun begitu, alhamdullilah pemandu-pemandu persatuan kami bersyukur dengan bantuan diberi kerajaan negeri, ini sedikit sebanyak akan ringankan beban dan kami akan terus redha menghadapi ujian ini,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Rustam yang juga antara 44 pemandu teksi LTSM menyokong usaha kerajaan Terengganu yang akan memohon kelonggaran rentas daerah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri untuk melancarkan ekonomi penggiat pelancongan.
23 Feb 21
996
'Kerja Gila' Tempa Pisau Buahkan Kejayaan
HULU TERENGGANU, 23 Februari - Dalam perniagaan, cabaran dan rintangan itu pasti ada, begitu juga cerita usahawan muda kali ini , Lokman Nurhakim Sukry, 22, yang kini boleh tersenyum bangga apabila pisau buatannya berjenama LNH mendapat tempat dalam kalangan masyarakat termasuk luar negara seperti Thailand, Brunei dan Korea Utara.
Mungkin sesetengah orang beranggapan dia melakukan ‘kerja gila’ apabila hampir 200 bilah pisau yang dihasilkan tidak menjadi seperti yang diharapkan dan terpaksa dibuang begitu sahaja.
Katanya, setelah apa yang dipelajarinya dengan orang-orang yang berpengalaman dalam bidang ini tidak mendatangkan hasil, dia mula belajar cara pembuatan bilah pisau menerusi Youtube kira-kira dua tahun lalu.
“Minat ini timbul begitu sahaja selain mahu memanfaatkan sisa arang memandangkan ayah, Sukry Abdullah, 57, adalah pengusaha arang tradisional.
"Sisa arang itu masih boleh digunakan, jadi daripada dibuang begitu sahaja, saya guna untuk pembakaran dan proses menghasilkan pisau.
“Peringkat permulaan saya gagal beratus kali tapi bila pisau pertama yang berjaya dihasilkan, saya cukup teruja lebih-lebih lagi pembelinya memberikan respon positif,”katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kuala Menjing.
Selain pisau, Lokman turut menghasilkan golok sembelih, golok tulang, golok lasak, kapak tulang, pisau serbaguna dan pisau melapah.
Pernah menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke kolej selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau yang lebih terkenal dengan nama Derr berkata dia tidak pernah menyesal dengan pilihannya menceburi pembuatan pisau secara tradisional ini.
Walaupun terpaksa bermandi peluh dan menahan bahang api, Derr berkata kepuasannya memang tidak dapat digambarkan berbanding dengan menghasilkannya menggunakan mesin kerana kualiti pembuatan tangan lebih tinggi nilainya.
Katanya lagi, dia juga tidak menyangka pisaunya mendapat permintaan dari luar negara dengan setiap pisau jenama LNH dijual pada harga antara RM80 hingga RM450 mengikut panjang (RM10 untuk satu inci).
Derr berkata tidak pernah menyangka pembabitan awalnya sekadar untuk mengisi masa lapang kini menjadi sumber rezekinya yang mampu mencecah RM4,000 sebulan bergantung kepada tempahan yang diterima.
“Dalam sehari, saya mampu menyiapkan empat bilah pisau namun bergantung kepada jenis dan saiz bilah pisau.
"Untuk tahun ini, saya terpaksa tutup tempahan kerana perlu menyiapkan hampir 400 bilah tempahan yang dibuka pada awal tahun baru-baru ini,” katanya lagi.
Anak kedua dari empat beradik itu turut menghasilkan golok sembelih, golok tulang, golok lasak, kapak tulang, pisau serbaguna dan pisau melapah.
Mengenai cara penghasilan pisaunya, Derr berkata, dia menggunakan bahan 'planner blade' atau mata ketam, spring terpakai dan 'high carbon steel' serta 'high speed steel' yang turut diimport dari Jerman mahupun Amerika Syarikat.
23 Feb 21
2156
Jangan Takut Kepada Vaksin
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Rakyat Malaysia diseru agar tidak takut dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menjalankan kawal selia secara menyeluruh demi keselamatan para penerima.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, proses di bawah Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) adalah lebih teliti sebelum diluluskan.
“Ini kerana, Malaysia tidak bergantung kepada pandangan negara lain, kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang baru tiba, telah melalui fasa-fasa pengesahan dengan lebih 40,000 ujian klinikal.
“Contohnya seperti di Australia pembikinan vaksinnya diberhentikan serta merta kerana tidak lulus ujian fasa ketiga, maknanya proses pemilihan vaksin perlu dipastikan keberkesanan sebelum melalui proses kelulusan.
“Sekarang, kita bukan lagi dalam fasa ketiga, program vaksinasi sedemikian sedang berjalan di seluruh dunia dengan tahap penerima vaksin sebanyak 200 juta dos suntikan diberi, melibatkan 87 negara pada masa kini,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini
Tambah Ahmad Amzad, vaksin Pfizer-Biontech yang dicipta saintis Islam mempunyai kesan sampingan iaitu anaphylaxis pada kadar sangat minimum iaitu sekitar 0.0003 hingga 0.0004 peratus.
“Bagi meyakinkan lagi rakyat, suntikan pertama pada 24 Februari (esok) akan diberikan kepada pemimpim iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
“Ini sebagai simbol komitmen daripada pemimpin sendiri dan proses yang sama dibuat di peringkat kementerian-kementerian, menteri yang akan menerima suntikan itu.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, proses pengedaran vaksin ke 16 pusat simpanan di seluruh negara iaitu di Selangor (enam), Johor (empat) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (tiga), Pulau Pinang (dua) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (satu) sedang berjalan.
23 Feb 21
124
Tiada Perancangan Wajibkan Vaksin COVID-19
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Kerajaan Malaysia tidak merancang untuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 pada fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kerana berpegang kepada prinsip suntikan secara sukarela.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan prinsip program pemvaksinan pertamanya adalah percuma (ditaja kerajaan) dan kedua berhubung dengan persoalan kewajibannya.
“Kita mahu rakyat menerimanya dalam keadaan rela dan yakin atas keperluan vaksin tersebut.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan menyampaikan penerangan tentang inisiatif ini secara konsisten sebelum dan sepanjang tiga fasa bermula dengan ketibaan vaksin suntikan Covid-19 Pfizer-BioNTech, baru-baru ini.
“Fasa pertama dijadualkan pada 24 Februari melibatkan petugas kesihatan seramai 300,000 dan ada baki lagi 200,000 itu berkait dengan mereka yang terlibat langsung dengan anggota keselamatan seperti polis, askar dan imegresen,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.
Tambahnya yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu, fasa kedua dijadualkan bermula April melibatkan kira-kira 9 juta orang yang dikenalpasti terdiri daripada warga emas, golongan berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya (OKU).
“Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas (kecuali umur 18 tahun kebawah), bermula pada bulan Mei,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan keperluan pemvaksinan wajib yang ditetapkan oleh negara asing bagi tujuan perjalanan ke luar negara.
“Contohnya seperti Amerika Syarikat dan Australia, mereka mewajibkan pembuktian kita divaksin, ini bukan perkara baharu kerana demi menjaga keselamatan negara masing-masing.
“Situasi sama turut wujud di Arab Saudi, seperti urusan umrah ke tanah suci, mereka yang tidak dicucuk tidak boleh masuk,” tambahnya.
23 Feb 21
605