lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

KUTT Bangunkan Koridor Utiliti Terengganu
KUTT Bangunkan Koridor Utiliti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) bakal menjadi sebagai pemain utama dalam membangunkan Koridor Utiliti Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Majlis Menandatangani Perjanjian antara kerajaan negeri dan KUTT di Wisma Darul Iman hari ini mengesahkan syarikat terbabit akan bertindak sebagai Agensi Hentian Setempat (One Stop Agency) bagi semua pemohonan permit kerja-kerja pengorekan di seluruh Terengganu. Katanya, semua jajaran utiliti di negeri ini merangkumi tenaga eletrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan yang dinamakan sebagai Pengkalan Data Geospatial Negeri Terengganu (PDGNT). “Bagi menangani kelemahan pengurusan infrastruktur utiliti, Kerajaan Persekutuan menerusi agensi-agensi seperti Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (Plan MALAYSIA) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah berusaha merangka perlbagai garis panduan dan ketetapan bagi memastikan pengurusan dan perancangan infrastruktur utiliti dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam program terbabit. Menurut Ahmad Samsuri, demi memastikan keberkesanan garis panduan yang telah dirangka itu, pihaknya akan melaksanakan segala saranan daripda agensi terlibat. “Gabungan pelbagai garis panduan ini telah di rangkumkan oleh KUTT di dalam garis panduan baru yang dinamakan Garis Panduan Laluan Kemudahan Utiliti Negeri Terengganu – Edisi Pertama (2020). “Industri ini diyakini mampu memberi kesan kepada ekonomi negeri melalui nilai tambah dalam pekerjaan, pembangunan kemahiran dan perolehan data maklumat negeri serta secara tidak langsung juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Terengganu,” katanya..  
03 Mar 21
2545
Hampir 10,000 Jawatan Kosong Sempena Karnival Penjana Pekerjaan 2021
Hampir 10,000 Jawatan Kosong Sempena Karnival Penjana Pekerjaan 2021
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Karnival Penjana Pekerjaan Negeri Terengganu 2021 yang dijadualkan pada bulan April ini bakal membuka hampir 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, karnival tersebut akan diusahakan pada pertengahan April dengan cadangan tempatnya di Pusat Sains dan Kreativiti (PSKT), Chendering. “Peluang ini sangat menarik kerana ia mendapat sambutan baik daripada pelbagai majikan melalui peruntukan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menggunakan saluran ini. “Insya-Allah, kerajaan negeri bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan menjadi perantara antara majikan dan rakyat yang terkesan dengan kemelesetan ekonomi akibat COVID-19 serta yang ingin mencari peluang pekerjaan. “Setakat ini kita mendapat majikan-majikan berdaftar sama ada secara fizikal atau 'online' dengan menyediakan 9,900 lebih peluang pekerjaan yang menanti,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam. Sementara itu, beliau turut meramalkan sambutan akan mencecah hingga 50,000 orang yang akan memeriahkan karnival peringkat negeri tersebut. “Dengan norma baharu disebabkan pandemik, cadangan lokasi iaitu PSKT adalah strategik dan selesa buat para pengunjung," jelasnya. Sebelumnya, Khuzaini menyifatkan karnival itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam tempoh COVID-19 dengan penglibatan lebih 80 majikan daripada pelbagai bidang. Untuk rekod, Penjana Pekerjaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari pekerja tempatan.
03 Mar 21
4046
'YouTuber, Jurutera Dan Terengganuan di Jepun' - Kisah Ridzwan
'YouTuber, Jurutera Dan Terengganuan di Jepun' - Kisah Ridzwan
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Walaupun terpisah dengan jarak lebih 5,000 kilometer (km) daripada keluarga di Kuala Terengganu, ia bukan alasan bagi Muhammad Ridzwan Normahazan, 25, untuk berjaya dan bekerjaya sebagai jurutera dan 'YouTuber' di negara Matahari Terbit. Ridzwan atau lebih mesra disapa Ridzwan-san di Jepun berkata, dia mula menjejakkan kaki di Jepun pada tahun 2016 bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Meiji, Tokyo dalam bidang kejuruteraan mekanikal selama dua tahun selepas menghabiskan dua tahun pengajian di Malaysia. “Kini saya telah menetap dan nak masuk tahun ketiga bekerja sebagai jurutera reka bentuk mekanikal, melukis cipta ‘design’ robot pembungkus di sebuah syarikat bernama Syntegon Technology, rumah saya di Wilayah Saitama kira-kira 30 km dari ibu negara," katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini. Ridzwan yang juga anak kedua daripada tiga adik beradik, mengulas, antara cabaran dalam menyesuaikan diri dengan budaya negara lain adalah dari segi makanan dan bahasa. “Walau bagaimanapun, nasihat dan bantuan daripada senior warga Malaysia berpengalaman di sini telah mengajar saya dan alhamdullilah setelah hampir lima tahun menetap di tempat orang, perbezaan budaya tidak menjanggalkan lagi," katanya lagi. Ridzwan (di tengah hadapan) bersama warga Malaysia di Jepun. Berkongsi mengenai karier sampingan sebagai YouTuber, beliau berkata, hobinya itu bermula sejak di bangku sekolah menengah sekitar 2011 dengan nama akaun 'ridzBORED', menghasilkan video alih suara inspirasi daripada YouTuber Malaysia seperti Faradyable. Kini, jumlah 'subscribers' mencecah 46 ribu yang mengikuti salurannya berkaitan dengan kehidupannya dan isu-isu berkaitan budaya Jepun dan Terengganu. “Antara video yang pernah viral seperti video berjudul 'Bila Orang Terengganu Cakap KL' dengan jumlah view mencecah 800 ribu serta 'Do Japanese Like Malaysia?' dengan jumlah penonton melebihi 400 ribu. “Kebanyakan video dibikin sendiri yang ideanya datang daripada keinginan berkongsi pengalaman dan budaya di Jepun, mengisi ruang kekosongan Youtuber Malaysia di luar negara seperti 'Matluthfi90' (Australia)," jelasnya. Beliau yang juga fasih berbahasa Jepun, turut menceritakan bisnes baharunya ‘Kirim Barang Jepun’, di mana perkhidmatan tempahan barangan dari Jepun diusahakan melalui platform Instagram. “Memandangkan saya pulang ke Malaysia, tempahan dibuka untuk beli dan bawa pulang barangan seperti jam G-Shock, baju anime dan sebagainya sebagai pendapatan tambahan. “Sekarang masih belajar lagi selok belok perniagaan dan juga merancang untuk mengirim barangan Malaysia ke Jepun juga,” tambahnya. Ikutilah Ridzwan di saluran YouTube ‘ridzBORED’ manakala maklumat lebih lanjut berkenaan perkhidmatan kirim barang dari Jepun di profil Instagram ‘@kirimbarangjepun’.
02 Mar 21
2239
Jambatan Baharu Kampung Kuala Por Bakal Dibina
Jambatan Baharu Kampung Kuala Por Bakal Dibina
Oleh : Hanif Hamdan dan Mohd Adli HULU TERENGGANU, 2 Mac - Jambatan baharu dengan peruntukan RM7 juta yang menghubungkan Kampung Kuala Por dan Kampung Pasir Nering bakal dibina dalam masa dua bulan lagi bagi menggantikan jalan yang runtuh akibat mendapan pada akhir tahun lepas. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata kerja-kerja awal pembinaan jambatan boleh dilakukan sebaik sahaja 'soil investigation' selesai. "Jambatan yang bakal dibina ini sejauh 40 meter dan selebar 11 meter. Ketinggiannya dari aras air 7 meter pada masa air pasang dan kita anggar harganya dalam RM7 juta. "Jentera untuk melakukan 'Soil Investigation' sudah sampai hari ini dan kerja-kerja telah dimulakan yang mana proses ini mengambil masa dua hingga tiga hari," ujarnya  ketika mengadakan lawatan ke tapak jambatan di Kampung Kuala Por pada pagi tadi. Tambahnya, apabila selesai proses tersebut, ia akan diberikan kepada 'consultant' untuk membina jambatan baharu dalam masa sekitar satu bulan setengah. Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata, beberapa alternatif untuk penyelesaian sementara bagi memudahkan pengguna jalan raya tersebut telah difikirkan namun beberapa faktor tertentu perlu diambil kira bagi menjaga keselamatan bersama. ''Kita ada jalan raya daripada Kuala Berang ke Kampung Dusun melalui jambatan di Kuala Pueh, tetapi jarak perjalanan lebih panjang daripada biasa. "Satu lagi kita ada jalan yang tidak didaftarkan ataupun tidak digazet melalui tanah-tanah kebun milik orang kampung tetapi agak bahaya kepada pengguna kerana sempit, berselekoh dan ada kawasan yang apabila hujan berlaku takungan air serta licin," katanya sebagai menjawab kekeliruan yang ditimbulkan ADUN Kijal, Ahmad Said. Untuk rekod, pada Disember tahun lalu, Dr Mamad telah melakukan tinjauan ke kawasan terbabit dan mengarahkan agar tindakan segera diambil. Pelantikan konsultant untuk kerja pembinaan telah dibuat pada 2 Februari baru-baru ini.      
02 Mar 21
1732
Kursus Tampal Cantum Jana Ekonomi Wanita
Kursus Tampal Cantum Jana Ekonomi Wanita
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Penganjur Program Kursus Jahitan Intensif mensasarkan 20 orang wanita yang terlatih dalam bidang jahitan tampal cantum dari setiap daerah di Terengganu bagi menjana ekonomi kendiri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata program yang diberi nama Program Kursus Jahitan Intensif Penghasilan Produk Dari Perca Kain / Pakaian Terpakai Melalui Jahitan Tampal Cantum (Patchwork / Quilting) itu merupakan salah satu daripada siri-siri Projek Jom Cipta Kerjaya (JCK) anjurannya. Zuraida berucap ketika majlis perasmian. Menurut beliau lagi, objektif utama penganjuran ialah untuk memberi kemahiran jahitan sulam tampal pelbagai jenis produk kepada wanita di samping bagi menambah pendapatan sampingan dengan memasarkan produk secara atas talian. “Untuk program ini, kami sasarkan 20 usahawan jahitan tampal cantum di setiap daerah. Kami sudah selesai berkursus di Daerah Kuala Nerus, sekarang sedang berlangsung di Daerah Marang dan insya-Allah selepas ini, akan ke kawasan-kawasan lain pula. “Pada masa yang sama, kami ingin beri pendedahan kepada wanita bahawa penghasilan produk tampal cantum ini boleh dilakukan dengan kos minima dan dengan hanya menggunakan mesin jahit ringan," ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika merasmikan kursus tersebut di Bengkel Jahitan Komuniti KAFA Masjid Titian Baru Kuala Terengganu, baru-baru ini. Dalam majlis yang sama, turut berlangsung gimik perasmian Pusat Komuniti Wanita Sejahtera Marang yang disempurnakan oleh ADUN Wanita dan penyerahan mesin jahit kepada penerima oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu. Hadir bersama-sama, Pengerusi Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH), To’ Puan Zarani Othman, Isteri Ahli Parlimen Marang, To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah dan Isteri ADUN Bukit Payung, Zainun Abdul Wahab. Sebahagian peserta program.  
02 Mar 21
216
Ahli Parlimen Kuala Nerus Sumbang Kelengkapan COVID-19 Sempena Pembukaan Sekolah
Ahli Parlimen Kuala Nerus Sumbang Kelengkapan COVID-19 Sempena Pembukaan Sekolah
KUALA NERUS, 3 Mac - Dalam memastikan hari persekolahan terutamanya pada hari pertama berjalan lancar tanpa mencetuskan bimbang penularan COVID-19, pihak Ahli Parlimen Kuala Nerus mengambil inisiatif berterusan dengan memberikan sumbangan kelengkapan cegah COVID-19 di sekolah sekitar Kuala Nerus. Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin berkata, antara sekolah yang disantuni pihaknya adalah di Sekolah Kebangsaan LKTP Belara di mana kelengkapan kesihatan seperti pelitup muka dan 'sanitizer' telah diagihkan buat kakitangan sekolah dan murid-murid. "Ini adalah satu usaha Dr. Khairuddin untuk memastikan murid-murid dan guru sekolah terhindar dari jangkitan Covid-19 yang sebelum ini telah mengakibatkan pembukaan sekolah tertunda. "Bagi hari pertama ini, ibu bapa merupakan insan yang sudah lama dan tidak sabar menunggu hari pembukaan sekolah yang dijadualkan bermula pada hari ini.  "Rata-rata ibu bapa meluahkan rasa puas hati dan berterima kasih apabila melihat anak-anak mereka disambut dengan baik walaupun dalam keadaan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya dalam satu lawatan di SK LKTP Belara, kelmarin. Guru besar sekolah tersebut, Zaid Yusof turut menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kehadiran murid yang memberangsangkan walaupun hari pertama persekolahan.  "Sekolah kami merupakan sekolah yang terletak di kawasan pedalaman dan sudah tentu prestasi kehadiran anak-anak ke sekolah adalah respon positif pada kami," jelasnya. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, lebih lima juta pelajar mula kembali ke sekolah secara berperingkat dengan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua sekolah rendah memulakan sesi persekolahan pada 1 Mac manakala murid Tahun Tiga, Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam sekolah rendah akan dibuka sepenuhnya pada 8 Mac ini. 
01 Mar 21
579
Ekonomi Malaysia Kembali Pulih
Ekonomi Malaysia Kembali Pulih
KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Kedudukan ekonomi Malaysia bergerak ke arah positif pada tahun ini selari dengan aktiviti perdagangan dunia yang semakin pulih sejak menghadapi pandemik COVID-19. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus. "Badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar 7.0 peratus dan 6.7 peratus. “Prestasi memberangsangkan melihat pasaran bon mencatatkan aliran masuk sebanyak RM23.1 bilion sehingga Ogos 2020 dan pelaburan asing bersih meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2020 berbanding RM22 bilion dicatatkan pada suku kedua 2020. “Antara faktor keyakinan pelabur luar ini kerana usaha giat kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan (PKP),” katanya. Beliau berkata demikian dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini, di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan kepimpinan kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta. Sebelum ini Ahmad Samsuri menyifatkan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Malaysia berada di landasan baik dalam mengurangkan ketidaktentuan politik dan meningkatkan kedudukan ekonomi meskipun dalam pandemik COVID-19. "Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri dan barisan kepimpinan negara yang bertungkus-lumus dengan pelbagai agenda demi kesejahteraan rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan walaupun negara berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya pandemik COVID-19 ketika ini. "Kerajaan negeri menyambut baik perkara yang disampaikan terutamanya agenda pemerkasaan bumiputera, usaha untuk membasmi kemiskinan dan pembangunan negara," katanya menerusi ciapan di halaman Facebooknya.
01 Mar 21
164
Pemilik Tanah Terbiar Disaran Tanam Durian
Pemilik Tanah Terbiar Disaran Tanam Durian
MARANG, 28 Februari - Penduduk luar bandar yang memiliki tanah terbiar di negeri ini digalakkan untuk mengusahakan tanaman durian, terutama Musang King.   Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, potensi masa depan tanaman komoditi berkenaan adalah sangat tinggi, selain mampu memperoleh pendapatan ratusan ribu bagi setiap musim. Katanya, langkah itu bukan saja mampu memperoleh pendapatan tinggi, malah permintaan terhadap ‘raja buah’ itu sangat menggalakkan. “Jumlah tanaman durian yang ada di Terengganu sekarang ini termasuk dengan keluasan kebun durian 2,000 ekar di Kampung Jerung masih tidak mencukupi untuk pasaran tempatan. “Kerana faktor itu juga, kerajaan masih belum memikirkan untuk mengeksport durian ke mana-mana negara,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Cantuman Durian sempena Program Pemantapan Modal Ihsan Untuk Petani dan Pekebun di Kampung Bukit Jerung, di sini hari ini. Menurutnya, kerajaan mengambil beberapa langkah dengan menawarkan kursus berkaitan secara percuma kepada pekebun durian di negeri ini. “Seperti apa yang diajar hari ini adalah kursus cantuman anak durian, cantuman pokok dewasa, mengenali kualiti tanah dan kawalan makhluk perosak. “Pendekatan itu, saya yakin pendapatan pekebun bukan saja bertambah, malah berupaya memperoleh hasil durian  lebih bermutu, memendekkan jangka masa berbuah daripada tujuh tahun kepada dua tahun. “Apa yang lebih penting, berbuah di luar musim atau dengan kata lain mampu mengeluarkan hasil  dua kali setahun berbanding setahun sekali sebelum ini," katanya.
28 Feb 21
809
Warga Emas Hilang Dijumpai Selamat
Warga Emas Hilang Dijumpai Selamat
HULU TERENGGANU, 27 Februari - Operasi mencari seorang wanita warga emas yang hilang di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini menemui titik noktah apabila warga emas tersebut ditemui selamat malam tadi. Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Berang, mangsa dikenali sebagai Lijah Embong, 81, ditemui dalam lingkungan jarak 1 kilometer dari kediamannya, sekitar 10.30 malam. "Mangsa didapati sihat dan hanya mampu duduk dibawah pokok kelapa sawit. "Pihak bomba menghantar mangsa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan. Sementara itu, anak mangsa, Mohd Aziz, 49, berkata, dia bersama penduduk kampung meneruskan pencarian ibunya malam tadi selepas isyak terdengar suara memanggil “nak balik’. "Sejurus terdengar suara tersebut saya memanggil emak  berulang kali dan terus meluru ke tempat tersebut. “ Allhamdullilah, saya bersyukur mak ditemui dalam keadaan sihat hanya kepenatan dan kelaparan disebabkan beberapa hari hilang,"katanya. Kehilangan Lijah Embong, 81, yang tinggal bersendirian itu disedari anaknya yang datang menjenguk dan disedari hilang oleh keluarganya Rabu lalu. Mangsa dikatakan mempunyai tabiat gemar berjalan-jalan di sekitar kampung, namun, lazimnya balik ke rumah menjelang petang. Operasi mencari dan menyelamat warga emas itu, Lijah Embong, 81, bermula sejurus menerima laporan kehilangannya pada Khamis lalu. Khidmat anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan khidmat anjing pengesan Unit K9 Polis juga digunakan untuk mengesan mangsa hilang dari Kampung Gaung Hangus di sini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga semalam. Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau mengucapkan berterima kasih kepada semua Agensi Awam dan masyarakat yang bertungkus lumus beberapa hari ini mencari mangsa yang hilang sehingga ditemui malam ini.  Ia menandakan semangat berganding bahu masyarakat dalam menghadapi situasi sukar seperti ini yang tidak kenal erti penat lelah untuk membantu sehingga mangsa ditemui dengan keadaan selamat," katanya.  
28 Feb 21
893
Pencarian Warga Emas Hilang Masih Diteruskan
Pencarian Warga Emas Hilang Masih Diteruskan
HULU TERENGGANU, 27 Februari - Operasi mencari seorang wanita warga emas yang hilang di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini masih diteruskan pada hari ke tiga selepas disedari hilang oleh keluarganya Rabu lalu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, operasi mencari dan menyelamat warga emas itu, Lijah Embong, 81, bermula pada sejurus menerima laporan kehilangannya pada keesokannya.  Menurutnya, seramai 68 anggota membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Amal Hulu Terengganu terlibat dalam operasi tersebut. Pada masa sama, katanya, seramai 80 penduduk kampung turut membantu mencari warga emas itu yang juga mengalami masalah ingatan. “Operasi mencari dan menyelamat pada hari ini melibatkan kawasan seluas 10 kilometer dari rumah wanita terbabit. “Setakat ini, kita tidak menemui sebarang petunjuk ditemui sejak operasi itu dilancarkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gaung Hangus di sini hari ini. Sementara itu,  menantu mangsa, Muhamad Rashid, 42, berkata, ahli keluarganya  masih berharap agar mertuanya ditemui dalam keadaan selamat walaupun hilang kira-kira empat hari lalu. Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau memohon kepada semua supaya dapat sama-sama berdoa dan solat hajat agar makcik Lijah dapat ditemui dengan keadaan selamat. Maliaman turut meluangkan masa meninjau operasi pencarian pada hari ini.
27 Feb 21
566