Artikel "Semasa" Terkini
'Ingatkan Panas Hingga Ke Petang, Rupanya...' - Rintih Dr Nor Azimi
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - "Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya 'joong' (redup) di tengah hari," rintih Dr Nor Azimi Yunus di facebooknya selepas Terengganu mencatatkan 22 kes positif hari ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu itu berkata, pihaknya menjangkakan kes COVID-19 di negeri ini semakin berkurang, namun ia berlaku sebaliknya gara-gara individu merentas negeri.
"R-naught (Rt) Terengganu pada 5 Mac adalah 0.56. Kes terbaharu hari ini melibatkan beberapa keluarga dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang balik untuk menziarahi datuk yang meninggal dunia.
"Apabila ada kematian, kebiasaannya akan ada majlis tahlil dan kenduri tahlil melibatkan perkumpulan keluarga yang agak ramai iaitu sekitar 45 orang. Akhirnya 15 dari mereka disahkan positif," jelasnya.
Katanya lagi, dalam keluarga terbabit ada yang bergejala turut serta dan ia menyebabkan jangkitan sangat tinggi.
"Sepatutnya sudah tahu bergejala tangguhkan dulu atau patuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.
"Sama seperti kisah di Besut sebelum ini. Beberapa keluarga dari Kuantan dan Johor balik menziarahi nenek yang berumur 100 tahun dan sakit tua. Akhirnya lima ahli keluarga dijangkiti pandemik termasuk nenek ini. Nenek ini akhirnya meninggal dunia.
"Ada juga kisah jiran disahkan positif COVID-19 hanya kerana menziarahi keluarga arwah," ujarnya.
Nor Azimi.
Susulan itu, beliau merayu agar orang ramai mengambil serius tentang wabak yang sedang dihadapi.
"Tolonglah, kita dah hadap wabak ini lebih setahun. Bila ramai kes baru maka proses mengesan kontak rapat yang ramai itu akan bermula lagi. Sampai bila lagi kita nak macam ini.
"Tolonglah, ambik iktibar dari kisah ini. Elak perkumpulan keluarga ramai, kecuali kita boleh sahkan tiada pembawa COVID-19 dalam keluarga kita," rayu beliau.
06 Mar 21
50818
Sinovac Bukan Vaksin Murahan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Tanggapan segelintir pihak mengenai Sinovac sebagai vaksin murahan adalah tidak benar kerana proses kelulusan di bawah kawal selia Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) sangat ketat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin yang dibeli secara pukal dari China itu adalah lebih mahal dan dipercayai di peringkat dunia kerana penghasilannya menggunakan teknologi ternama.
“Proses pembotolan dijalankan oleh Pharmaniaga Berhad, namun lambat sedikit dari segi kelulusan, kerana ia tidak bergantung kepada kelulusan 200 liter vaksin secara pukal.
“Vaksin tersebut perlu diproses dan dibotolkan dengan betul seperti ditetapkan piawaian,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi tadi.
Mengulas isu vaksin Pfizer-BioNTech yang menjadi rebutan warga kasta tinggi, Ahmad Amzad memaklumkan, semua vaksin mempunyai keberkesanan yang sama.
“Bagi meningkatkan keyakinan masyarakat awam, saya telah mendaftar untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera dan sedang menunggu giliran.
“Bila sampai giliran saya, vaksin selain Pfizer yang diluluskan NPRA akan disuntik, jika ia Sinovac maka itulah vaksin saya, semoga ini menimbulkan keyakinan terhada vaksin yang diluluskan kerajaan,” jelasnya.
Menjawab dakwaan sesetengah penerima vaksin meninggal setelah disuntik, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menegaskan NPRA iaitu badan kawal selia ubat-ubatan di Malaysia dirujuk sebagai agensi yang paling ketat dalam kerja kelulusan vaksin.
“Berkaitan insiden kematian, apabila diteliti tiada kaitan langsung disebabkan vaksin, jika berlaku sedemikian maka laporan penerima vaksin akan dirujuk untuk mengkaji punca kematian.
“279 juta dos vaksin telah disuntik sehingga kini di 107 negara, sehari purata enam juta orang disuntik, kesan sampingan iaitu anaphylaxis pada kadar sangat minimum iaitu sekitar 0.0003 hingga 0.0004 peratus.
“Di United Kingdom, alahan kacang lebih tinggi berbanding kesan vaksin pada 0.025 peratus atau 1/200 orang dewasa boleh alami kesan sampingan daripada makanan tersebut,” tambahnya.
06 Mar 21
612
Akademi Robotik Pertama Di Terengganu, Lahir Generasi Al-Jazari
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kewujudan Akademi Robotik TD1303 X Jazari Robot (JAZRO) pertama dalam negeri mampu menjadi platform pembelajaran teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan nilai kemahiran teknologi dan pembentukan sahsiah.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, selaras dengan agenda kementeriannya, pelbagai peringkat daripada kanak-kanak sehingga golongan belia boleh memanfaatkan fasiliti dalam meningkatkan penguasaan teknologi.
“Kita tidak lagi boleh bergantung semata-mata penggunaan tenaga buruh upah, melalui pendidikan robotik produktiviti yang efisien dapat diwujudkan dalam pelbagai sektor.
“Ini dapat dilihat hasil pandemik COVID-19, menyebabkan Malaysia mempercepatkan penguasaan dan penggunaan teknologi sebegini dalam pelbagai sektor.
“Contohnya seperti Robot FARMO yang diperkenalkan dalam sektor pertanian digunakan untuk kerja penyemburan racun, baja dan memetik buah-buahan,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri yang juga Pengerusi TD1303, Ariffin Deraman, Ketua Pengurus JAZRO Robotic Academy, Ir Dzulfarqeish Zainuddin.
Ketua Pengurusnya, Ir Dzulfarqeish memaklumkan, penyertaan program tersebut telah melibatkan antara 40 hingga 50 pelajar sebulan disertai pelajar berusia seawal lima tahun sehingga 17 tahun.
“JAZRO Robotic Academy komited untuk berkongsi kemahiran yang relevan dengan IR 4.0, seterusnya membolehkan warga muda di Terengganu tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global.
“Modul disediakan bukan sahaja menekankan kemahiran teknologi semata-mata, malahan menyelitkan elemen pembentukan sahsiah melalui modul al-Jazari berteraskan nilai-nilai murni Islam,” jelasnya.
06 Mar 21
920
Bekalan Air Mula Pulih Di Semua Kawasan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan di negeri ini mula pulih sejak pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, 100 peratus kawasan termasuk di Kampung Ladang, Pulau Kambing, Pasir Panjang dan Gong Kapas telah mendapat semula bekalan.
"Buat masa ini dengan sebahagian pengguna mengalami tekanan rendah daripada kebiasaan. Kami memerlukan beberapa hari untuk kembali normal sepenuhnya.
"Saya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan berharap agar semua bersabar, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk selesaikan masalah ini sepenuhnya," katanya ketika dihubungi UPDI hari ini.
Ir Atemin.
Sementara, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh memaklumkan, masalah yang berlaku adalah berpunca daripada sistem penapisan.
"Ia sebenarnya berkaitan dengan masalah ketiadaan air minggu lepas.
"Bermula kelmarin proses penggantian giat dijalankan, tetapi kadar tekanan air rendah menyebabkan berlaku pula masalah tak boleh nak 'flush'.
"Dalam tempoh gangguan air itu kawasan yang terjejas pihak SATU sediakan lori tangki air," katanya.
Pada Januari lalu pihak SATU memberitahu, tiga loji baharu sedang dibina bagi menyelesaikan masalah air yang sering membelenggu penduduk di beberapa daerah .
Penyelesaian jangka panjang itu dijangkakan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu bermula Aidilfitri nanti.
"Insya-Allah, Loji Air Bukit Berapit, Kuala Nerus dan Loji Air Losong (tambahan) yang sedang dibina pada dijangka siap dan boleh beroperasi awal April depan.
"Manakala sebuah lagi iaitu Loji Air Pulau Bahagia dijangka siap dan boleh beroperasi dalam beberapa masa lagi," ujar SATU.
Difahamkan sistem termasuk infrastruktur di loji air di Terengganu sudah berpuluh tahun tidak diperbaharui dan diganti.
06 Mar 21
3091
Suami Tembak Isteri : Keluarga Harap Pembunuh Dihukum Setimpal
HULU TERENGGANU, 6 Mac - "Sekiranya dia (suspek) benar-benar didapati bersalah, kami harap hukuman setimpal dikenakan terhadapnya," luah adik perempuan mangsa yang ditembak suami sehingga mati sebelum ditanam dalam sebuah tong air di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Johor Bahru.
Katanya, ahli keluarganya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
"Kami akan cuba 'mengunci' mulut daripada memberi sebarang kenyataan yang dirisaukan akan menganggu siasatan polis nanti selain ingin menjaga perasaan kedua orang tua kami yang hari ini (Sabtu) baharu dilihat ada sedikit kekuatan selepas dikhabarkan berita menimpa arwah.
"Bukan bermaksud tidak mahu memberi kerjasama kepada sesiapa terutama pihak media, cuma situasi sekarang masih tidak membenarkan untuk kami mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Kami tahu tragedi menimpa arwah hari ini sudah menjadi tular di media sosial, jadi disebabkan itu kami hendak menjaga hati kedua orang tua kerana risaukan mungkin ada terbaca komen-komen negatif daripada netizen, semangat mereka akan jatuh kembali," katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian.
Dia berkata, kali terakhir anak kedua daripada 11 beradik itu balik ke rumah di Kampung Telaga, Kuala Berang, di sini sekitar Ogos tahun lepas, tetapi mereka memang sentiasa berhubung dengan membuat panggilan video.
"Malah pada malam terakhir arwah dilaporkan hilang, dia masih sempat membuat panggilan video kepada kami dalam keadaan yang gembira selain dia masih sempat membuat memuat naik video mengajar anak-anaknya mengaji di dalam status Facebook (FB) miliknya.
"Walaupun arwah jarang balik ke kampung tetapi kami kerap berhubung dengan membuat panggilan video bersama dua anak saudara masing-masing berusia 4 dan 2 tahun," katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, ayah mangsa, Alias Salleh, 62, berkata, menantunya adalah lelaki yang baik dan tidak pernah membuat sebarang masalah sebelum ini.
"Dia (suspek) adalah seorang suami dan menantu yang baik dan tidak ada buat apa-apa masalah sebelum ini. Kami tak sangka yang perkara sebegini akan berlaku.
"Kami sekeluarga sedih dengan perkara ini tapi redha dengan apa yang berlaku,” katanya ketika dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh hari ini.
Misteri kehilangan seorang wanita yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Johor Bahru.
Lebih mengejutkan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.
Kes bermula apabila jiran mereka membuat laporan berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan, pada Isnin lalu dan membawa penahanan suami wanita itu serta seorang lagi lelaki berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya, pada keesokkan harinya, bagi membantu siasatan.
05 Mar 21
1675
Aspek Kebersihan Harus Berada Di Tahap Terbaik
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Aspek kebersihan di setiap tempat pelancongan harus dipertingkatkan pada tahap terbaik agar imej pelancongan negeri dipandang positif oleh para pengunjung.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, nilai kebersihan adalah salah satu tarikan dan menjadi satu usaha supaya negeri ini terus menjadi destinasi pilihan pelancong untuk datang ke Terengganu.
"Tarikan pelancongan bukan semata-mata kerana keindahan semula jadi seperti Pulau Kapas serta perkhidmatan memuaskan yang diberikan oleh pihak pemain sektor ini.
"Namun ia juga melibatkan aspek kelestarian dan kebersihan yang menjadikan negeri kita sebagai pilihan utama pelancong," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program 'Gotong Royong Bersih Pulau Kapas, semalam.
Turut hadir ialah Yang DiPertua Majlis Daerah Marang, Fadli Yusof Zakaria dan Timbalan Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Khairunnisa), To' Puan Hajah Zarani Othman.
Menurutnya, beliau seronok dapat terlibat sama dengan program tersebut, yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Marang dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi yang lain termasuk Pejabat Daerah Marang, Jabatan Pelancongan dan Permint.
"Saya (juga) menekankan Daerah Marang perlu merancang dan memperkasakan sektor pelancongan ke tahap yang boleh dibanggakan dengan memanfaatkan segala potensi dan sumber yang ada," ujar Dato' Yahaya.
Mengulas lanjut berkenaan usaha terkini di daerah Marang, beliau memaklumkan kerajaan pusat juga akan melaksanakan projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu.
'Pembinaan jambatan baharu di Sungai Marang yang telah dimasukkan dalam bajet 2021 Kerajaan Persekutuan," katanya.
04 Mar 21
261
THRDC Terima 3,500 Surat Tunjuk Minat, Peluang Buat 'Pemburu' Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) merekodkan kira-kira 3,500 surat tunjuk minat (LOI) sekali gus memberi berita gembira kepada mereka yang sedang menganggur atau mencari kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, surat daripada majikan pelbagai sektor tersebut menawarkan 3,000 lebih kekosongan pekerjaan.
“Proses itu akan dilaksanakan dalam memastikan rakyat yang tiada pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau baru tamat pengajian, kita akan isi kekosongan yang ada.
“Melalui THRDC, kita akan menjadi jambatan antara majikan bagi memenuhi keperluan tenaga dan institusi-institusi latihan yang membekalkan seperti mana yang diperlukan.
“LOI menyatakan apa kepakaran yang dikehendaki, oleh itu kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan elaun bagi melatih mereka yang berminat bagi mengisi keperluan tersebut,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.
Tambahnya, THRDC sentiasa berhubung rapat dengan pelbagai majikan dan institusi latihan tentang maklumat kekosongan dalam bidang-bidang berkaitan bagi menjayakan konsep penyediaan tenaga kerja sesuai atau ‘Place and Train’.
“Di peringkat negeri, bagi mereka yang berminat untuk pendaftaran atas talian program ‘Place and Train’ boleh melawat laman web https://bit.ly/belia_kerja.
“Sementara itu, pencari kerja juga boleh berdaftar dengan https://www.myfuturejobs.gov.my/ , ini platform perkeso dimana Terengganu bergerak sekali dalam mencari jodoh pekerjaan bagi mereka yang ingin menceburi apa-apa bidang,” katanya lagi.
04 Mar 21
785
'Sediakan Payung Sebelum Hujan' - Isu Caruman Perkeso
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kesedaran mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dalam kalangan individu terutamanya usahawan dalam negeri masih perlu diwar-warkan supaya golongan tersebut tidak terlepas bantuan dan manfaat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, apabila Kerajaan Persekutuan menurunkan bantuan melalui Perkeso seperti Program Subsidi Upah (PSU), hanya 30 peratus usahawan Terengganu yang layak menerimanya.
“Ini berlaku kerana kebanyakan mereka tidak pernah berdaftar dengan pertubuhan tersebut, situasi ini merugikan kerana walaupun besar peruntukan insentif, tetapi tidak digembleng dengan sebaiknya.
“Oleh itu, melalui kolaborasi bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), sesiapa yang menjadi ahli Sahabat Usahawan Terengganu (SUT), ini menjadi lesen kepada mereka untuk layak dapat permohonan dengan Perkeso.
“Sehingga kini, senarai berdaftar hanya mencatatkan 6,000 usahawan sahaja, tetapi Perkeso bersetuju untuk jadikan kita sebagai rakan strategik, keahlian SUT kini mencecah lebih 9,800 usahawan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Tambah Nurkhuzaini, beliau juga menggalakkan individu bekerja untuk mendaftar terus melalui Perkeso.
“Kepentingan dalam mencarum adalah supaya mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja.
“Contohnya, jika ditimpa kemalangan jalan raya, jika didaftar pencarum akan mendapat bantuan kelas pertama, jika masuk wad ada elaun Perkeso. Jika ada kecacatan akibat kemalangan akan mendapat imbuhan, jika ada kematian, keluarga si mati akan dapat manfaat.
“Rakyat perlu faham dan manfaatkan sebaik mungkin bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’. Kos bagi mendaftar juga minimum serendah lingkungan RM100 hingga RM200 sahaja,” jelasnya.
04 Mar 21
347
BPIS : DUAT Sajikan Talaqqi Kitab Munyatul Musolli Setiap Hari Sepanjang Mac
MARANG, 6 Mac - Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) yang telah dilancarkan baru-baru ini dihangatkan lagi dengan penganjuran pengajian kitab untuk menambahbaik seterusnya menyempurnakan lagi mutu ibadah solat rakyat Terengganu khususnya.
Pegawai DUAT, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, pengajian kitab Munyatul Musolli yang diadakan secara terbuka secara dalam talian di laman rasmi Facebook Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu itu disiarkan bermula 1 hingga 31 Mac 2021.
"Pastikan setiap pukul 2.30 petang semua antara kita mengosongkan masa untuk sama-sama menadah kitab yang saya kira cukup penting ini kerana kitab ini insya--Allah akan menambahkan lagi nilai dan kualiti ibadah solat kita.
"Kitab ini hanya nipis sahaja tetapi sarat dengan ilmu fardu ain tentang solat yang wajib setiap muslim ketahui dan amalkan. Program talaqqi kitab ini dikupas oleh Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Haji Mohd Suhaimi," katanya.
Beliau berkata demikian sejurus selesai slot program Chit Chat bersama Daie anjuran Marang TV bertempat di Studio Marang TV, baru-baru ini.
Terdahulu, dalam sesi program tersebut, beliau turut memperkenalkan apa itu DUAT. DUAT mula beroperasi pada tahun 2019 di bawah Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan yang dipengerusikan oleh Mohd Nor Hamzah.
"Tertubuhnya Akademi DUAT yang dipimpin oleh Ramlan Mahmood bertujuan menyelaraskan kegiatan institusi dan badan dakwah agar berjalan seiring dengan gagasan kerajaan negeri, iaitu Terengganu, Maju Berkat Sejahtera," katanya.
04 Mar 21
510
Anak Muda Sahut Kempen 'Jom Solat Berjemaah'
KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Seruan kerajaan kepada seluruh masyarakat di negeri ini untuk menghidupkan solat berjemaah sempena Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) perlu disahut semua rakyat terutama anak muda.
Bagi seorang pemuda, Shahrul Hanif Osman, 27, berkata kempen jom solat berjemaah merupakan satu program yang sangat baik dalam meningkatkan kesedaran belia di Terengganu.
"Sebagaimana yang kita tahu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan, kita dah jarang ke masjid.
"Jadi bila ada program seperti ini sudah tentu ia menyemai semangat untuk anak muda kembali semula ke masjid apabila segala aktiviti keagaamaan telah mula dibenarkan bermula 8 Mac ini.
"Saya lihat program ini sangat bagus dan akan memberi impak yang baik serta menunjukkan kerajaan negeri sangat mengambil berat tentang rakyat dari pelbagai sudut termasuk solat yang menjadi tiang serta asas utama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Edaran Baju Kempen 'Jom Solat Berjemaah' sempena BPIS, di Pantai Batu Burok, semalam.
Dalam pada itu, menurut Adun Belia (AB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Amirah Liyana Ahmad Nazli berkata program berkenaan mampu menerapkan nilai-nilai murni di kalangan belia pada masa kini.
"Di mana kita tengok para belia dan beliawanis kita pada masa kini ramai yang terlibat dengan permasalahan gejala sosial maka penting untuk diserapkan kesedaran seperti ini.
"Kerana kesedaran melalui solat secara berjemaah ini ditambah pula dengan mengikuti kuliah agama, pasti akan dapat mencegah para belia kita ini dari terjebak dengan gejala-gejala negatif," ujarnya ketika ditemui.
03 Mar 21
1080