Artikel "Semasa" Terkini
Jenayah Rasuah Dalam Negeri Masih Terkawal
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Berdasarkan statistik dari 2018 sehingga awal tahun ini, jenayah rasuah dalam negeri ini masih terkawal.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Ruslan Che Amad melaporkan, hanya tiga tangkapan dibuat dari Januari sehingga 8 Mac 2021
Katanya, manakala jumlah maklumat tentang aktiviti rasuah yang diterima pihaknya adalah sebanyak 23 aduan, namun aduan tersebut masih belum disahkan lagi.
"Manakala trend tangkapan dari tahun 2018 sebanyak 44 tangkapan menurun kepada 25 tangkapan pada tahun 2019 dan kemudian 55 tangkapan dibuat sepanjang tahun lepas.
"Tangkapan ini kita tidak boleh ambil kira kerana ia masih dalam proses siasatan, jika ditangkap tidak bermakna pelaku itu bersalah, sehingga mahkamah mendapati dia itu didapati bersalah.
"Begitu juga dengan aduan yang diterima suruhanjaya iaitu sebanyak 304 maklumat pada tahun 2018, menurun kepada 213 pada tahun 2019, manakala 211 maklumat diterima pada tahun lepas dan dari awal tahun ini sehingga kini hanya 23 maklumat diterima," katanya kepada pemberita di pejabatnya, pagi semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan ADUN Ajil, Maliaman Kassim.
Tambah Ruslan, sumber maklumat tersebut diterima daripada aduan awam, panggilan telefon, pengadu yang datang ke pejabatnya dan lain-lain lagi di mana ia perlu melalui proses pengesahan bagi tujuan membuktikan kesahihan dan kualiti maklumat tersebut.
"Siasatan tidak akan dibuat sewenang-wenangnya, info diterima perlu ada asas dan kita tidak mahu maklumat yang dihantar ada unsur-unsur dengki, khianat dan sebagainya," katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai jenis kes rasuah dalam negeri, hanya tiga kes utama iaitu melibatkan penjawat awam atau kakitangan awam menerima rasuah (Seksyen 13 A), orang awam memberi atau terima rasuah (Seksyen 17 B) dan kesalahan tuntutan palsu.
"Walaupun agak sukar untuk dihapuskan sepenuhnya, namun kita akan pastikan unsur-unsur sebegini dikurangkan dalam negeri.
"SPRM akan sedaya upaya bantu kerajaan negeri seperti mana hasrat Menteri Besar dalam mewujudkan Terengganu bebas daripada rasuah dengan mengekalkan integriti tinggi dalam kalangan pegawai kerajaan," jelasnya.
08 Mar 21
416
Optimis Capai 20,000 Penerima Kad Sejahtera Fasa 2 April Ini
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri optimis sasaran 20,000 penerima Kad Sejahtera bagi fasa kedua berjaya dicapai April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, setakat ini seramai 18,181 penerima baharu telah dikenalpasti.
Katanya, pemilihan pada kali ini diuruskan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) sebagai agensi pelaksana program.
"Hari ini, kita telah menandatangani perjanjian pengurusan Kad Sejahtera antara pihak TSIS yang mewakili kerajaan negeri dengan pihak Selcare Management Sdn. Bhd yang diberi kepercayaan untuk menguruskan program Kad Sejahtera.
"Melalui perjanjian ini, program Kad Sejahtera Terengganu bakal beroperasi pada skala penuh dengan jangkaan 20,000 penerima faedah daripada pelbagai latar belakang di negeri ini, dengan limitasi tertakluk kepada pendapatan isi rumah," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kad Sejahtera TSIS dan Selcare Management Sdn. Bhd di Ibu Pejabat TSIS, hari ini.
Pada majlis tersebut, TSIS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Wan Mat Sulaiman manakala Selcare Management Sdn. Bhd diwakili Pengerusi dan Pengarahnya, Noor Hisham Mohd Ghouht.
Menurut Alias, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri itu bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapat rawatan di klinik swasta terpilih.
"Mereka yang layak akan menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun menerusi Kad Sejahtera membabitkan peruntukan RM10 juta setahun.
"Sehingga kini, kira-kira 60 klinik menawarkan perkhidmatan Kad Sejahtera ini dan kita sangat mengalu-alukan lebih banyak lagi yang akan turut bersama-sama kerajaan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dalam mendapatkan rawatan kesihatan terbaik," ujarnya.
Katanya, pelaksanaan kad sejahtera fasa pertama bermula pada Julai 2019 hingga Julai 2020 telah memberi manfaat kepada 12,126 penerima di seluruh negeri Terengganu.
08 Mar 21
768
Loji Air Baharu Dijangka Beroperasi Minggu Ini
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Sebahagian rakyat di negeri ini boleh menarik nafas lega apabila loji air baharu di Pulau Bahagia, Manir di sini dijangka akan mula menyalurkan bekalan air bersih kepada 200,000 penduduk minggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, antara penduduk yang bakal menerima manfaat daripada loji yang mampu menampung 20 juta liter padu air ialah mereka di sekitar Manir, Pulau Bahagia dan sebahagian Hulu Telemong.
Kata beliau, sepatutnya loji itu beroperasi pada Februari lalu, namun disebabkan terdapat masalah teknikal dan berdepan dengan Perintah Kawalan Pengerakan (PKP), ia ditangguhkan ke bulan ini.
“Manakala dua lagi loji yang dalam pembinaan iaitu Loji Bukit Berapit, Gemuroh dan Loji Losong dijangka boleh digunakan dalam tempoh beberapa bulan nanti
“SATU yakin apabila ketiga-tiga logi itu beroperasi kelak, kira-kira 700,000 pengguna melibatkan sebahagian Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang tidak akan berdepan gangguan bekalan air terutama ketika waktu puncak dan menjelang Aidilfitri,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Ir Atemin turut memberitahu, sebanyak enam pam penggalak dibina di beberapa tempat strategik bagi meningkatkan tekanan bekalan air di kawasan terlibat seperti di PMINT Perdana (Seberang Takir), Jalan Sungai Ikan untuk Felda Sentosa, Gong Kapas, perumahan KT Golf (Tok Jembal), Felda Bukit Sudu dan Taman Telaga Daing.
Katanya, sementara semua projek itu disiapkan, catuan bekalan air di tangki-tangki utama terpaksa dilakukan setiap malam di antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi meningkatkan simpanan air untuk membolehkan penduduk menjalankan aktiviti seharian di waktu siang dengan selesa.
“Kerja-kerja pembaikian kebocoran dan pecah juga dilaksanakan dengan cepat bagi mengelakkan pembaziran air.
“Semua ini dilaksanakan semata-mata untuk keselesaan dan tidak mahu melihat penduduk di negeri ini berdepan gangguan bekalan air dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya.
08 Mar 21
7387
Kelas Jahitan YPKT Bantu Tingkatkan Kemahiran Menjahit
MARANG, 8 Mac - Penganjuran Kelas Jahitan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, mampu menjadi salah satu impian dan fokus untuk menyemarakkan kemahiran menjahit dalam kalangan rakyat Terengganu.
Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, pada tahun 2021 ini, beliau sangat gembira atas penganjuran kelas jahitan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sebagai memberi kemahiran kepada penduduk setempat khususnya.
"Dengan kelas jahitan ini, Kak Zah sendiri secara peribadi berharap kelas jahitan ini dapat memberikan pulangan yang baik kepada para peserta nanti.
"Saya juga berharap para peserta kena meletakkan impian dan cita-cita yang tinggi. Tidak hanya sekadar berhenti di kelas jahitan ini sahaja, namun ada cita-cita untuk mendalami kemahiran menjahit yang lebih 'advance',"katanya.
Beliau berkata ketika hadir menyempurnakan majlis perasmian Kelas Jahitan Komuniti Dun Rhu Rendang yang diadakan di Balairaya Kampung Medan Jaya 1.
Turut hadir adalah Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Zaki Wan Abdullah, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman dan Penghulu Mukim Rusila, Mohd Shukri A Ghani serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Medan Jaya 1 Azmi Salleh
Menurutnya, beliau sendiri sebelum ini yang berlatar belakangkan bidang Agama di Universiti tempatan telah menukar bidang kepada 'Fashion Design' sewaktu mengikuti suami, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di United Kingdom.
"Ini kerana, bidang jahitan ini boleh pergi jauh kehadapan sebagai sumber pendapatan kepada semua golongan terutamanya kaum wanita dan suri rumah.
"Bidang ini sangat berpotensi, sekarang Khairunnisa' juga menganjurkan kelas jahitan dalam membuat kraftangan, dan target kami adalah untuk turun di kesemua parlimen di seluruh negeri Terengganu'
Katanya lagi, tenaga pengajarnya adalah beliau sendiri dan untuk target seterusnya adalah untuk ke Hulu Terengganu sebelum turun ke dun-dun di Terengganu.
Sebelum ini, kelas jahitan komuniti ini telah ditempatkan di Balairaya Kampung Rhu Renggeh dan Balairaya Kampung Kelulut yang diadakan secara dua sesi melibatkan waktu pagi dan petang selama hampir tempoh enam bulan.
07 Mar 21
1365
Tukang Gunting Rambut Guna Kerusi 'Rare' Dibantu
MARANG, 8 Mac - Nasib tukang gunting, Abdul Hassan, 34, dari Kampung Paya, di sini yang hanya menggunakan kerusi kayu ketika menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan mendapat perhatian Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah
Ustaz Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, berkata beliau mendapat makluman daripada Pengerusi Belia 4B Terengganu, Mohd Shahril Mazuki, yang menyatakan seorang belia di Kampung Paya, yang memerlukan kerusi menggunting rambut.
"Saya segera berhubung dengan beliau dan nyatakan bahawa saya ingin melawat belia itu. Alhamdulillah pagi semalam, saya telah melawat belia tersebut yang di rumahnya.
"Saya rasa cukup sayu apabila melihat suasana tempat mengunting rambut tersebut dan kerusi tempat menggunting juga dibuat sendiri menggunakan kayu yang diklasifikasikan sebagai agak 'rare'.
"Namun saya merasakan usaha pemuda ini wajar dipuji dengan kesungguhannya yang mempunyai semangat yang cukup tinggi,"' katanya.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman yang mewakili Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang dan Pengerusi 4B Terengganu, Mohd Shahril Mazuki,
Menurutnya lagi, Abdul Hassan akan dibantu Kerajaan negeri Terengganu melalui Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dengan membina tempat menggunting rambut dan memberi sumbangan alat-alat untuk menggunting rambut.
"Saya amat komited untuk terus membantu belia-belia yang mempunyai semangat tinggi seperti ini. InsyaAllah di pihak Kerajaan Negeri Terengganu juga akan membantu sebaiknya buat belia yang berminat untuk menceburi bidang usahawan ini, tambahnya lagi.
Kerja-kerja membina ruang dan kedai gunting di rumahnya telah dimulakan dan akan dilakukan dalam masa terdekat, bagi membantu belia ini mencari sumber pendapatan.
Sebelum ini, Abdul Hassan telah menerima bantuan terjejas pendapatan Berkat 2021, yang disampaikan oleh Belia Dun Rhu Rendang dan Norlan United.
07 Mar 21
165
Bantuan Banjir Kemasik Mula Diagihkan
KEMAMAN, 8 Mac - Seramai 322 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir Monson Timur Laut fasa kelima yang lepas, telah mendapat bantuan dari Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili, menyerahkan sumbangan kewangan dan barangan keperluan harian dalam majlis ringkas yang diadakan di Kemasik Pusat Pembangunan Usahawan & Latihan (KEMPUS).
Pemuda Jabatan Unit Amal Malaysia (JAM) membantu mengangkat barangan mangsa banjir.
Setiap mangsa banjir mendapat RM500 dari kerajaan negeri dan 13 barangan keperluan daripada MAIWP seperti dapur, periuk nasi, toto, kit peribadi (sejadah, kain batik, kain pelikat, tuala), pampers bayi dan beberapa lagi barangan keperluan yang lain.
Ameerah Malaysia membantu mengangkat barangan yang diperoleh mangsa banjir.
Dalam DUN Kemasik terdapat 2 Mukim, iaitu Mukim Kemasik dan Kertih. Mukim Kemasik yang paling teruk terjejas adalah di Kampung Baru Kemasik.
"DUN Kemasik mencatatkan jumlah mangsa paling sedikit berbanding 3 DUN lain di daerah Kemaman.
"Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan MAIWP atas bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir di Kemaman," ujarnya.
07 Mar 21
159
‘Gugurkan’ Kes Sekutu Politik, Perundangan Era PH Bermasalah
KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Beberapa peristiwa yang berlaku ketika era pemerintahan kerajaan terdahulu seperti pengguguran kes sekutu politik membuktikan sistem perundangan Pakatan Harapan (PH) bermasalah.
Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia laksana lampu Aladdin yang memanggil jin iaitu untuk membebaskan pemimpin-pemimpin dengan cepat atau tidak melalui proses yang betul.
“Lebih parah ketika itu, PH berani membuat kenyataan yang mencabar kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, hak istimewa bumiputera, dan beberapa asas dalam Perlembagaan yang lain.
“Semuanya berlaku sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Putrajaya,” ujar Presiden PAS itu dalam satu kenyataan sempena setahun Pemerintahan Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Tegas Abdul Hadi, kegelojohan PH tidak terhenti setakat itu sahaja apabila mereka turut ‘berebut’ menentukan kerusi siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.
“Laksana berebut pusaka ketika si ayah masih hidup segar. Masing-masing menunjukkan penumbuk sesama sendiri, selepas beberapa hari pilihan raya berlalu.
“Sehingga mereka yang bersama dalam PH mula menyedari bahawa sudah tiada harapan lagi, yang tinggal hanya harapan pada namanya sahaja,” jelasnya.
Katanya lagi, kedudukan pakatan politik PH yang rapuh juga memberi kesan besar kepada negara dan rakyat.
“Laksana sudah mahu bercerai dan bersedia membahagikan perabot rumah dan membahagi-bahagikan anak pinak. Bahkan sekarang pun mereka sedang berebut anak pinak antara PAN dan PKR, apabila slogan amanahnya berkecai, keadilannya terpilih,” ujar Abdul Hadi.
Tambah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, kini wujud dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak berpolitik secara melampau ketika tempoh darurat tidak ubah seperti Burung Kasuari Padang Pasir.
“Padahal mereka tetap juga berpolitiking dengan mendesak agar diadakan Sidang Parlimen ketika tempoh masa darurat kerana Tuanku yang mengisytiharkannya boleh bersidang.
“Telatah mereka yang kononnya tidak berpolitiking, seperti burung kasuari padang pasir yang menyembunyikan diri dengan menyorok kepalanya yang kecil ke dalam tanah, dan mendedahkan badannya yang besar nampak dari jauh mata memandang,” katanya.
07 Mar 21
801
RM13 Juta Projek Penempatan Semula Nelayan Di Tiga Daerah
KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan peruntukan sebanyak RM13 juta tahun ini untuk Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) yang melibatkan tiga daerah di Terengganu.
Timbalan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan I, Dato’ Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu bagi melaksanakan projek di Pulau Sekepeng, Kemaman, Seberang Penarik, Setiu dan Benting Lintang, Besut.
"Setiap kawasan ini masing-masing membabitkan sebanyak 50 buah rumah dengan peruntukan pembinaan rumah RM3,500,000 dan RM2,500,000 kos infrastruktur," katanya pada sidang akhbar selepas Program Misi Bantuan Pasca Banjir MAFI Prihatin 2021 di Pelabuhan Perikanan LKIM Chendering di sini, semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan Ahmad berkata, misi MAFI Prihatin yang dilancarkan di Wisma Tani, Putrajaya pada 21 Januari lalu melibatkan penghantaran bantuan keperluan makanan, barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas ke negeri yang terjejas banjir iaitu Pahang, Kelantan, Sabah, Johor dan Terengganu.
"Terengganu merupakan negeri kelima Misi MAFI Prihatin Banjir 2021 dengan menyasarkan nelayan, petani dan penternak yang terjejas banjir. Antara bantuan yang akan disampaikan ialah keperluan makanan, barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas.
"Seramai 500 penerima dalam kalangan peladang, penternak dan nelayan di pelbagai kawasan dikenal pasti untuk menerima bantuan MAFI Prihatin iaitu dari Kemaman, Kijal, Kemasik, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
"Program yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial dan keprihatinan MAFI dan LKIM kepada golongan sasar turut menghulurkan sumbangan keperluan makanan seperti ikan segar beku (Q' Fish) kepada penerima yang diagihkan oleh LKIM," katanya.
Beliau turut menasihatkan kepada para nelayan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan semasa menjalankan tugas atau menangkap ikan di laut seperti sentiasa memakai jaket keselamatan dan menghubungi pihak berkuasa jika melihat jenayah di laut.
"Contoh jenayah kebiasaan berlaku di laut hari ini pencerobohan nelayan asing dan penyeludupan barangan terlarang dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Saya juga berharap warga kerja MAFI terutama semasa bertugas di lapangan dan masyarakat nelayan untuk terus mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, sehingga kini sebanyak 135 buah pasar nelayan dibuka di negara ini dan sembilan daripada jumlah tersebut beroperasi negeri ini.
"Daripada jumlah pasar nelayan yang beroperasi ini melibatkan seramai 550 peserta keseluruhannya telah berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM45 juta sehingga November tahun lalu.
"Dengan pencapaian memberangsangkan ini, kami mensasarkan jualan pada tahun ini sehingga RM55 juta," katanya.
07 Mar 21
663
Gajah Betina Seberat 2.5 Tan Berjaya Ditangkap Di Durian Bador
HULU TERENGGANU, 7 Mac – Seekor gajah betina yang dipercayai menceroboh Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) dan merosakkan kebun penduduk di Kampung Durian Bador dekat Kuala Berang, akhirnya berjaya ditangkap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Khamis lepas.
Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata haiwan liar seberat 2.5 tan itu ditangkap kira-kira pukul 10 pagi sewaktu berkeliaran di Kampung Durian Bador yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari TPNS.
Katanya, proses penangkapan gajah betina itu melalui kaedah tembakan ubat pelali dalam operasi yang dijalankan enam kakitangan Unit Tangkapan Gajah, Terengganu.
“Perhilitan Terengganu telah membuat pemantauan sejak Selasa (2 Mac), selepas menerima aduan daripada penduduk kampung sekitar mengenai sekumpulan gajah yang sering berkeliaran di kampung mereka dan merosakkan tanaman penduduk.
"Hasil risikan mendapati terdapat sembilan ekor gajah dalam kumpulan ini dan Perhilitan Terengganu akan terus memantau pergerakan gajah lain yang masih berkeliaran.
"Kumpulan gajah ini dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menceroboh masuk ke perkampungan penduduk untuk mencari makanan," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata berita kejayaan menangkapan haiwan itu, melegakan penduduk di sekitar Kampung Sekayu, Kuala Menjing, Durian Bador Kemat, Padang Setar dan Taman Pertanian Negeri Sekayu, kerana tanaman mereka sering dimusnahkan, sebelum ini.
Tambahnya lagi, gajah tersebut akan dilepaskan ke habitat asalnya di Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu pada masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.
“Lokasi pemindahan serta pelepasan semula gajah liar terbabit ialah di Taman Negara, Tanjung Mentong di Hulu Terengganu," kata Abdul Malek.
Media sebelum ini melaporkan lebih 117 pokok palma yang terdapat di TPNS telah musnah dirosakkan sekumpulan gajah sejak tahun lalu dan merosakkan tanaman sehingga penduduk kampung terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.
07 Mar 21
1074
Tiada Urusan Vaksin COVID-19 Swasta Buat Masa Ini
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kerajaan Malaysia masih menjadi pengendali utama proses vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala perancangan serta dasar pemvaksinan melibatkan sektor swasta masih belum ditentukan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, proses pembelian vaksin adalah di bawah Kerajaan Malaysia kerana ia melibatkan bekalan terhad.
“Jadi boleh dikatakan semua pengeluar vaksin berurusan dengan kerajaan, oleh itu, kami nasihatkan jangan percaya terhadap sebarang pihak yang menyediakan perkhidmatan perubatan demikian.
“Vaksin yang diperoleh kerajaan adalah diyakini dan melalui proses kawalan dan pengawasan ketat oleh Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).
“Kebelakangan ini, ada tular iklan jualan vaksin di platform e-dagang Shopee, jadi masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati dan ikuti saranan kerajaan,” katanya selepas merasmikan Akademi Robotik TD 1303 x Jazro di TD1303, pagi semalam.
Mengulas lanjut mengenai usul agar pihak swasta dibenarkan membeli dan menawarkan suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata, keputusan belum dikeluarkan kementerian.
“Namun Ia bukan mustahil, tetapi jika mengikut kerangka PICK, ia mungkin berkemungkinan dapat menimbulkan isu ketidakselarasan,” tambahnya.
Menurut Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, lebih dua juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19, manakala sehingga 5 Mac, kira-kira 112,000 petugas barisan hadapan telah disuntik.
06 Mar 21
190