lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Serangan Israel Terhadap Iran Agenda Lemahkan Palestin
Serangan Israel Terhadap Iran Agenda Lemahkan Palestin
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Dakwaan bahawa Iran membina bom nuklear hanyalah alasan rekaan Israel untuk menyerang negara itu, sedangkan hakikat sebenar adalah usaha tersirat bagi melemahkan satu-satunya negara yang lantang mempertahankan Palestin. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, naratif yang digembar-gemburkan oleh media barat tidak mencerminkan realiti sebenar situasi geopolitik di Asia Barat. Menurut beliau, Iran sejak awal Revolusi 1979 lagi telah menjadikan pembebasan Palestin sebagai antara agenda utama yang menjadi tunjang kepada pembentukan Republik Islam Iran. “Setiap tahun, Iran secara konsisten memperuntukkan dana tanpa had bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin. Ini adalah komitmen dasar yang tidak pernah berubah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook beliau, semalam. Jelas beliau lagi, kekuatan sokongan Iran terhadap Palestin itulah yang menjadikan negara itu sasaran berterusan kuasa Barat dan Israel melalui pelbagai bentuk tekanan termasuk perang Iraq-Iran serta sekatan ekonomi berpanjangan. “Namun segala usaha untuk menjatuhkan Iran gagal, malah negara itu kekal menjadi benteng utama dalam menentang penjajahan rejim zionis,” tambah beliau. Katanya, antara kejayaan terbesar Iran dalam membina kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak adalah pembangunan teknologi roket yang tidak mempunyai had jangkauan, di mana hanya beberapa negara sahaja di dunia memiliki teknologi seumpama itu, iaitu Amerika Syarikat, Rusia dan China. Mengulas mengenai realiti yang berlaku ketika ini, beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat menjelaskan bahawa Barat sebenarnya mahu Iran tunduk kepada kehendak mereka agar tidak menjadi ancaman dan menggugat keselamatan negara haram Israel. “Namun Iran kekal dengan prinsip pembebasan Baitulmaqdis dan menamatkan penjajahan rejim zionis Israel ke atas bumi Palestin. “Jika Iran menurut kehendak Barat, maka nasibnya akan menjadi sama seperti negara-negara Arab lain yang hanya menjadi 'pak turut' dan tidak mempunyai jati diri,” tegasnya. Tambah beliau, Israel merasakan masa yang sesuai untuk menentang Iran adalah apabila dua tahun konflik berlaku di Gaza, yang telah melemahkan Hamas dan Hizbullah, selain kerajaan Basyar al-Assad dijatuhkan dan Yaman terus diserang. “Itulah hakikat sebenarnya. Adapun alasan-alasan lain hanyalah untuk mengaburi mata semata-mata. Bebaskan Masjid Al-Aqsa, merdekakan Palestin,” ujar beliau dengan penuh pengharapan.
16 Jun 25
92
Pelantikan JPKK: Amanah Untuk Pahala Berpanjangan
Pelantikan JPKK: Amanah Untuk Pahala Berpanjangan
SETIU, 15 Jun - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir menzahirkan ucapan tahniah dan selamat bertugas kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Setiu yang menerima watikah pelantikan. Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan itu berlangsung di Dewan Tertutup Sungai Tarom, Permaisuri, dan turut dihadiri barisan pemimpin masyarakat serta wakil agensi kerajaan. "Saya mengucapkan selamat bertugas kepada semua yang dilantik sebagai anggota JPKK.  "Semoga menjadi pahala jariah berpanjangan di atas jasa yang diberikan. Siruu ‘ala barakatillah," katanya di facebook rasmi beliau baru-baru ini. Turut hadir bersama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, ADUN Langkap, Azmi Maarof, ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid. Beliau turut menekankan peranan penting Pengerusi JPKK sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, serta berharap agar amanah ini dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan keikhlasan. Katanya, pelantikan ini bukan sahaja sebagai satu tanggungjawab pentadbiran, tetapi juga peluang untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara berterusan. Beliau menzahirkan keyakinan bahawa kehadiran barisan baharu JPKK mampu memperkukuh pentadbiran komuniti dan memastikan kebajikan penduduk sentiasa terbela.  
16 Jun 25
74
Dr. Sam Hargai Pengorbanan Petugas Kesihatan Tangani Nahas Gerik
Dr. Sam Hargai Pengorbanan Petugas Kesihatan Tangani Nahas Gerik
IPOH, 15 Jun – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menghargai pengorbanan seluruh warga kesihatan yang terlibat dalam memberikan rawatan kepada mangsa-mangsa nahas bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik baru-baru ini. "Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pihak hospital dan pasukan doktor termasuk doktor pelatih yang telah bertungkus-lumus memastikan semua mangsa, terutama yang cedera parah, mendapat rawatan terbaik," ujar beliau selepas menziarahi mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Taiping hari ini.  Beliau mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk mengendalikan jumlah mangsa yang ramai dalam satu masa.  Namun beliau yakin bahawa komitmen dan profesionalisme ditunjukkan oleh semua anggota kesihatan, daripada doktor, jururawat hingga petugas wad sangat mengagumkan dan wajar dihargai. "Saya percaya, komitmen yang sama juga akan diteruskan apabila mangsa-mangsa ini dihantar pulang dan menerima rawatan susulan di hospital-hospital di Terengganu, termasuk beberapa yang dijangka menjalani pembedahan," tambahnya. Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu dari sudut sokongan kebajikan dan pemulihan mangsa, dan menyeru semua pihak agar terus mendoakan kesembuhan mereka.
16 Jun 25
115
Terengganu Pantau Rapat Proses Pemulihan Pelajar UPSI
Terengganu Pantau Rapat Proses Pemulihan Pelajar UPSI
IPOH, 15 Jun – Kerajaan Terengganu terus memantau rapat perkembangan pemulihan mangsa kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memastikan mereka menerima rawatan terbaik dan kembali pulih sepenuhnya.  Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang turun padang menziarahi mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan Hospital Taiping hari ini memaklumkan bahawa tiga pelajar masih dirawat di hospital.  Katanya ia membabitkan dua pelajar di HRPB, Ipoh dan seorang lagi di Taiping. “Alhamdulillah, saya berkesempatan bertemu dengan mangsa dan meninjau sendiri keadaan mereka. Kita akan terus ikuti perkembangan dan pastikan tiada yang terabai,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menziarahi mangsa di sini.  Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.  Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohd Nor, ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan ADUN Ladang, Zuraida Md Nor.  Jelas Ahmad Samsuri, sejak hari pertama kejadian, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan, hospital, UPSI dan agensi berkaitan dalam menyelaras bantuan perubatan serta sokongan kepada keluarga mangsa.  Menurut beliau, beberapa pelajar mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang dan masih memerlukan rawatan susulan serta pembedahan yang dijalankan secara berperingkat. “Proses pemulihan akan ambil masa. Ada yang akan menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat, sama ada di sini atau setelah dipindahkan ke hospital di Terengganu,” jelasnya. Ujar Ahmad Samsuri, pihak negeri kini sedang menyelaras keperluan dan pengurusan rawatan lanjutan bagi memastikan pelajar terbabit menerima rawatan menyeluruh tanpa gangguan.  Mengulas mengenai kos perubatan, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos rawatan termasuk pembedahan bagi mangsa yang tidak dilindungi insurans atau tidak menerima bantuan lain.  “Kita tak mahu bebankan keluarga mangsa. Fokus mereka hanya pada kesihatan anak-anak. Bagi yang perlukan bantuan kaunseling atau sokongan lain, kerajaan juga akan bantu uruskan,” katanya. Beliau turut menyeru agar keluarga mangsa sentiasa berhubung dengan pegawai kerajaan atau wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk sebarang keperluan susulan.
15 Jun 25
290
TDM x TI Skill Festival 2025 Sasar 5,000 Peserta
TDM x TI Skill Festival 2025 Sasar 5,000 Peserta
KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Seramai 5,000 peserta dijangka menyertai National Training Week (NTW) 2025 dalam memperkukuhkan budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya warga Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata TDM x TI Skill Festival 2025 diadakan pada 15 dan 18 Jun 2025 di dua lokasi terpilih iaitu di PSKT dan juga di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Menurutnya, pogram tersebut merupakan kerjasama strategik dengan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp). "Dengan misi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, inisiatif ini dijangka memberi manfaat langsung kepada komuniti, belia, pelajar, graduan, penjawat awam, pekerja swasta dan usahawan di Terengganu. "Menariknya kami turut panjangkan penglibatan murid-murid sekolah di ladang-ladang kami di Sungai Tong, Setiu, Bukit Besi, Dungun dan juga Kemaman," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu, satu majlis perasmian telah diadakan di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim. Tambahnya, inisiatif itu selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk mencapai 30,000 penyertaan sepanjang minggu latihan kebangsaan yang berlangsung di seluruh negara.  "Program ini juga diadakan sebagai momentum kepada kejayaan TDM dalam NTW 2024 tahun lalu, di mana syarikat berjaya mencatat pencapaian cemerlang dan mendapat pengiktirafan sebagai Rakan Strategik Pantai Timur daripada KESUMA dan HRD Corp  semasa Majlis Kemuncak NTW 2024," ujar beliau.
15 Jun 25
101
RXZ Members, Takafulgo Jalin Kerjasama Lindungi 100,000 Peserta
RXZ Members, Takafulgo Jalin Kerjasama Lindungi 100,000 Peserta
KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Buat julung kalinya, RXZ Members menjalin kerjasama strategik bersama Takafulgo Venture dalam menyediakan perlindungan takaful kepada 100,000 peserta yang dijangka hadir ke Program RXZ Members 7.0. Kerjasama ini dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Duyong Marina & Resort petang tadi. Langkah tersebut merupakan satu inisiatif inovatif ke arah meningkatkan kesedaran dan akses terhadap perlindungan takaful dalam kalangan komuniti permotoran, khususnya pemilik motosikal Yamaha RXZ di seluruh Malaysia. Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, penawaran skim takaful itu merupakan satu penambahbaikan penting dalam usaha menjadikan acara permotoran terbesar itu lebih selamat dan bertanggungjawab. "Peserta datang dari seluruh negara, dari Johor, Melaka, malah ada yang sanggup hadir dari Sabah dan Sarawak.  "Kita sentiasa mengharapkan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden, namun hakikatnya kejadian tidak diingini boleh berlaku. Justeru, dengan adanya perlindungan takaful ini, sekurang-kurangnya peserta akan dilindungi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri majlis tersebut, di sini, hari ini.  Beliau berharap agar para peserta mengambil peluang untuk mencarum dalam skim yang ditawarkan agar keselamatan dan kebajikan mereka lebih terjamin sepanjang program berlangsung. "Sebagai penganjur program ini, saya sarankan ambillah takaful ini di samping itu saya nasihatkan agar masing-masing menjaga keselamatan dengan memastikan rehat yang cukup, jaga kesihatan dan pastikan motor dalam keadaan baik serta mengikut undang-undang apabila memulakan perjalanan untuk ke program nanti,"ujarnya, Dalam pada itu, Pengarah Takafulgo Venture, Irwan Ima Mahmud berkata, skim takaful yang ditawarkan serendah RM70 sahaja setahun meliputi perlindungan harian sepanjang 24 jam setiap hari tanpa mengira di mana peserta itu berada.  "Sekiranya berlaku kematian kita akan lindungi sehingga RM50,000, disampaikan buat orang tersayang kerana kita tahu rata-rata peserta yang datang dan pemilik RXZ ini merupakan mereka yang sudah berkeluarga. "Peserta juga akan kita lindungi apabila berlakunya hilang upaya akibat kemalangan, biasanya apabila ini berlaku ada yang terjejas kehidupan kerana tidak boleh bekerja seperti biasa," ujar beliau. Tambah beliau, permohonan bagi mendapatkan skim takaful itu amat mudah, hanya melalui atas talian serta tidak perlu melalui ujian kesihatan. Untuk maklumat lanjut peserta boleh layari website www.takafulgoo.com  
15 Jun 25
191
80 JPKK Setiu Terima Watikah Pelantikan
80 JPKK Setiu Terima Watikah Pelantikan
SETIU, 15 Jun - Sebanyak 80 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daerah Setiu menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu (MDS), Sungai Tarom. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata JPKK seharusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di bawah lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan dan juga sebagai pemudah cara. "Di negeri Terengganu sebanyak 1,050 JPKK, dan kita semua adalah sebahagian daripada itu, cari titik persamaan dalam semua perkara dan menyelesaikan dengan kebijaksanan. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK Daerah Setiu. JPKK daerah Setiu melibatkan Dewan Undangan Negeri kawasan Langkap dan Permaisuri masing-masing terdiri sebanyak 34 dan 46. Terdahulu disampaikan taklimat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu. "Saya ingin berkongsi beberapa tips dan panduan bekerja dalam JPKK, kita hendaklah biasakan menyenarai kerja yang nak dibuat supaya semuanya teratur, tingkatkan disiplin dalam organisasi dan menilai daripada segi keutamaan dalam membuat keputusan,"ujarnya lagi.  
15 Jun 25
46
MB Terengganu Undur Diri
MB Terengganu Undur Diri
MARANG, 14 Jun – Dalam detik penuh emosi, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan pengunduran dirinya sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Marang dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang kali ke-41, yang berlangsung di Rusila. Langkah ini menandakan satu perubahan besar dalam landskap kepimpinan PAS kawasan bersejarah itu, yang telah sekian lama dipimpin oleh Ahmad Samsuri dengan penuh komitmen dan wibawa. "Saya undur kerana yakin sudah tiba masanya untuk individu lain menyambung perjuangan. "Kepimpinan ini bukan milik individu, ia milik jamaah,” ujar beliau.  Mohd Nor menyapa Dr. Sam di Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang.  Sebagai langkah penyusunan strategik saf kepimpinan, Timbalan YDP PAS Kawasan Marang,  Dato' Mohd Nor Hamzah, diumumkan sebagai pengganti rasmi dan kini menggalas tanggungjawab sebagai YDP yang baharu selepas menang tanpa bertanding (MTB).  Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman dipilih sebagai Timbalan YDP, juga MTB.  Di samping itu, jawatan Naib YDP, dipangku Wan Zuki Wan Ismail, selepas diumumkan MTB.
14 Jun 25
15292
Pertandingan Fotografi Sultan Mizan Diperluas ke Peringkat Antarabangsa
Pertandingan Fotografi Sultan Mizan Diperluas ke Peringkat Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pertandingan fotografi anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diberi nafas baharu apabila diperluaskan ke peringkat antarabangsa dengan nama baharu, Sultan Mizan International Photography Awards (SMIPA). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pertandingan ini akan berlangsung dari Jun hingga Disember 2025. Katanya, penyertaan terbuka kepada jurufoto profesional, penyelam serta pembikin filem pendek dari seluruh dunia. "Sebanyak lima kategori utama akan dipertandingkan, iaitu 'Underwater Wide Angle', 'Underwater Macro', 'Nature and Wildlife', 'Heritage, Culture and 'People, serta 'Short Film'. “Pertandingan ini bertujuan mempromosikan keindahan landskap, biodiversiti, warisan dan budaya Terengganu. Ia juga menjadi platform strategik untuk memperkenalkan negeri ini kepada komuniti antarabangsa,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SMIPA 2025 sempena Malaysia International Dive Expo (MIDE) 2025 bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur semalam. Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato’ Seri Tengku Baharuddin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan. Razali berkata penganjuran SMIPA bertepatan dengan usaha kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Terengganu Year 2027. “Kami yakin pertandingan ini mampu menarik perhatian penggiat seni visual dari seluruh dunia, sekali gus mengangkat Terengganu sebagai destinasi pelancongan dan sinematografi bertaraf antarabangsa. “Orang ramai yang berminat boleh menghantar penyertaan secara digital melalui laman web rasmi www.sultanmizanphotography.com," ujarnya. Untuk rekod, pertandingan ini dahulu dikenali sebagai Sultan Mizan Underwater Photography Awards (SMUPA) dan kini telah dinaik taraf sebagai Sultan Mizan International Photography Awards (SMIPA).  
14 Jun 25
234
"Tiada Sebab Perlu Tukar Presiden PAS" – Dr. Sam
"Tiada Sebab Perlu Tukar Presiden PAS" – Dr. Sam
MARANG, 14 Jun – Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa, isu pertukaran Presiden PAS tidak pernah timbul dalam kalangan kepimpinan parti. Jelas beliau, isu itu hanyalah mainan pihak musuh untuk menggugat keyakinan ahli parti serta rakyat. Ahmad Samsuri berkata, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membuktikan kepimpinan yang unggul dengan merangka strategi yang membawa kemenangan besar kepada parti dalam beberapa siri pilihan raya yang lalu. "Tidak timbul langsung soal nak tukar Presiden. Presiden inilah yang telah mengatur strategi kemenangan besar PAS.  "Isu ini sengaja dimainkan musuh untuk mencetuskan kekeliruan dan melemahkan kesatuan dalam parti," katanya ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang di Rusila hari ini.  Menurutnya, PAS kekal teguh dengan struktur kepimpinan yang berteraskan prinsip wala’ dan syura serta sentiasa berusaha memperkukuh perjuangan Islam dalam kerangka demokrasi berperlembagaan. Ahli Parlimen Kemaman itu turut mengingatkan ahli dan penyokong agar tidak mudah terpedaya dengan naratif luar yang berniat memecah-belahkan kesatuan jemaah. "Kita kena fokus pada agenda dakwah dan pentadbiran yang beramanah. Jangan terperangkap dengan permainan musuh yang hanya mahu melihat kita berpecah," tambah beliau. PAS sebelum ini mencatat kejayaan besar termasuk menyapu bersih kerusi DUN di negeri itu serta menjadi tulang belakang Perikatan Nasional dalam blok pembangkang Parlimen Malaysia. Terdahulu, ada segelintir pihak dan media yang cuba memainkan isu kononnya Abdul Hadi akan berundur sebagai Presiden PAS. 
14 Jun 25
538