lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

EPIC Berhad, GTR Kerjasama Jayakan Projek Panel Solar di Terminal Kargo
EPIC Berhad, GTR Kerjasama Jayakan Projek Panel Solar di Terminal Kargo
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) bagi meneroka projek pemasangan panel solar di Terminal Kargo dan Pusat Penyelenggaraan Peralatan Perkhidmatan Darat milik GTR. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, menerusi perjanjian itu, EPIC Berhad melalui anak syarikatnya, Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB), akan menjadi penyedia utama infrastruktur solar, manakala GTR akan menilai integrasi sistem tenaga solar dalam operasi utama mereka. Jelas beliau, kerjasama berkenaan adalah langkah signifikan menyokong peralihan tenaga rendah karbon negara. “Kerjasama ini satu komitmen bersama dalam mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor sokongan penerbangan. “Melalui inisiatif ini, kami menyokong matlamat kelestarian GTR dengan kepakaran EPIC dalam pemasangan sistem solar dan penyelesaian tenaga hijau,” katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung sempena pembukaan Energy Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Menandatangani MoU tersebut ialah Dr. Muhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Musdalifa Abdullah. Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Haji Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun serta Ketua Pegawai Operasi GTR, Bobban Phillip Jose. Menurut Dr. Muhtar, kerjasama tersebut seiring dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan memberi hasil nyata dalam pelaksanaan tenaga bersih. Sementara itu, Musdalifa berkata kerjasama dengan EPIC adalah satu langkah penting ke arah operasi darat yang lebih mampan. “Dengan mengintegrasikan tenaga solar dalam fasiliti kargo dan penyelenggaraan kami, kami memperkukuh komitmen terhadap penerbangan lestari. Kami yakin kerjasama ini akan membawa impak yang ketara dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia,” jelasnya. Untuk rekod, GTR sebelum ini mencatat kejayaan dengan pelancaran armada Traktor Elektrik (EV Tractors) terbesar dalam industri penerbangan Malaysia pada 2024, dan kini terus melangkah maju dalam strategi nyahkarbon melalui pelaburan dalam teknologi hijau.
17 Jun 25
579
Kerajaan Negeri Telah Hantar Surat Jaminan Bayar Rawatan Mangsa Nahas UPSI
Kerajaan Negeri Telah Hantar Surat Jaminan Bayar Rawatan Mangsa Nahas UPSI
IPOH, 17 Jun - Kerajaan Negeri menerusi Tabung Darul Iman telah menghantar Surat Jaminan (Guarantee Letter) kepada pengarah hospital bagi menanggung sepenuhnya kos rawatan mangsa kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlaku di Gerik, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pihaknya telah menerima surat rasmi daripada Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh berhubung kos rawatan salah seorang mangsa, Nur Erika Elisha Mohd Zaidi. Menurut beliau, jumlah kos rawatan yang dikenakan kepada pesakit tersebut adalah sebanyak RM18,588. “Alhamdulillah, kita telah menghantar Surat Jaminan (Guarantee Letter) kepada pengarah hospital yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu akan menanggung sepenuhnya kos tersebut melalui Tabung Darul Iman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.  Maliaman turut memberi jaminan bahawa keluarga mangsa tidak perlu risau atau bimbang mengenai beban kewangan rawatan kerana kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat. Tambah beliau, sebelum ini kerajaan negeri juga telah menanggung kos rawatan dua lagi mangsa iaitu Tuan Muhammad Adhan sebanyak RM2,900 dan Wan Masyitah sebanyak RM600, di mana kedua-dua mereka telah pun pulang ke rumah masing-masing di Besut. “Mengikut maklumat terkini, masih terdapat beberapa lagi pelajar yang sedang menerima rawatan di beberapa hospital iaitu dua orang di Hospital Ipoh, seorang di Hospital Taiping, seorang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, seorang di Hospital Jerteh dan seorang lagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).” Beliau turut memaklumkan telah pun melawat salah seorang mangsa yang menerima rawatan di Hospital Jerteh baru-baru ini. Dalam pada itu, beliau menyeru agar mana-mana keluarga mangsa yang masih memerlukan bantuan atau menanggung kos rawatan agar segera menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN masing-masing untuk tindakan lanjut dan bantuan daripada Tabung Darul Imam. “Masyarakat juga diharap dapat sama-sama mendoakan agar semua mangsa diberikan kesembuhan segera dan kelapangan untuk menyambung semula pengajian mereka seperti biasa,” katanya.
17 Jun 25
874
Rumah Pengerusi UMNO Musnah Terbakar, ADUN Salur Bantuan Segera
Rumah Pengerusi UMNO Musnah Terbakar, ADUN Salur Bantuan Segera
KUALA NERUS, 17 Jun – Hasrat membawa keluarga bercuti ke Pulau Redang bertukar menjadi detik duka apabila rumah milik Ahmad Kamarul Aslam, 40, atau lebih dikenali sebagai Mamat Wook, musnah hampir keseluruhannya dalam satu kebakaran yang berlaku ketika ketiadaan mereka di rumah. Kejadian menyayat hati itu melibatkan kediaman beliau di Kampung Banggol, yang hanya tinggal rangka setelah dijilat api. Mamat Wook yang juga Pengerusi UMNO Kampung Banggol, difahamkan sedang bercuti bersama ahli keluarga ketika insiden berlaku, mujurlah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Prihatin dengan musibah yang menimpa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail segera turun padang menziarahi mangsa dan menyampaikan sumbangan awal bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan. “Saya telah berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Darul Iman serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk menyegerakan bantuan, sama ada dalam bentuk segera atau one-off,” ujar beliau. Tambah beliau, pihaknya akan terus memantau keadaan dan bekerjasama rapat dengan agensi terlibat agar keluarga ini mendapat pembelaan sewajarnya. Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan moral kepada keluarga mangsa. “Saya amat tersentuh melihat keprihatinan pelbagai pihak yang turut turun membantu. Doa kita bersama agar Ahmad Kamarul dan keluarganya terus diberi ketabahan dalam menghadapi ujian besar ini,” katanya.  
17 Jun 25
76
Masalah Elektrik Kampung Jerlan Bukan Isu Baru, Dah 30 tahun
Masalah Elektrik Kampung Jerlan Bukan Isu Baru, Dah 30 tahun
HULU TERENGGANU, 16 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, tampil memberikan penjelasan berhubung isu ketiadaan bekalan elektrik yang dihadapi enam keluarga di Kampung Jerlan, Ajil, yang tular baru-baru ini. Menurut beliau, isu tersebut bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu melibatkan tiga isu utama iaitu ketiadaan jalan perhubungan, bekalan air bersih dan bekalan elektrik. “Penduduk di kawasan ini sebenarnya tinggal agak terpencil, kira-kira 1.5 kilometer dari perkampungan utama Jerlang. Ketika kami mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018, saya sendiri telah memohon kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit. “Alhamdulillah, dua daripada tiga masalah utama telah berjaya diselesaikan. Bekalan air bersih telah disalurkan dengan kos sebanyak RM280,000, manakala kemudahan jalan juga sudah dibina sehingga ke hadapan rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Maliaman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, mengakui bahawa bekalan elektrik masih belum dapat disalurkan ke kawasan berkenaan berikutan kos pemasangan tiang elektrik yang agak tinggi. “Saya sendiri telah membuat permohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak tahun 2019. Malah pihak TNB juga sudah turun padang meninjau lokasi tersebut, dan perkara ini telah saya bangkitkan berkali-kali dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah. “Kita harap selepas tularnya berita ini, semua pihak akan memberikan perhatian serius terhadap keperluan penduduk Kampung Jerlan,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan individu yang prihatin dengan nasib penduduk dan berharap usaha membawa bekalan elektrik ke kawasan tersebut dapat direalisasikan dalam masa terdekat. “Saya amat menghargai keprihatinan semua pihak. Insya-Allah, dengan kerjasama semua, masalah ini akan dapat diselesaikan demi keselesaan dan masa depan anak-anak di kampung ini,” katanya lagi. Sebelum ini, Harian Metro melaporkan enam keluarga di Kampung Jerlan, Ajil, masih bergantung kepada generator sejak lebih 30 tahun lalu untuk mendapatkan bekalan elektrik terhad hanya lima jam setiap malam, dengan kos bahan api mencecah RM300 sebulan.
16 Jun 25
722
Nahas Pelajar UPSI : Liyana Selamat Jalani Dua Pembedahan
Nahas Pelajar UPSI : Liyana Selamat Jalani Dua Pembedahan
TAIPING, 16 Jun – Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Liyana Zanudin, 23, yang cedera parah dalam nahas bas di Jalan Raya Timur Barat dekat Gerik baru-baru ini, kini dilaporkan stabil selepas menjalani dua pembedahan bagi merawat kecederaan serius pada bahagian tangan kirinya. Pegawai Perubatan Ortopedik Hospital Taiping, Dr. Arvind Rao berkata, mangsa mengalami luka terbuka parah sehingga menampakkan tulang yang patah, selain kehilangan sebahagian besar kulit di bahagian hadapan dan belakang tangan. “Dalam pembedahan pertama, kami membersihkan luka dan memasukkan besi untuk menstabilkan tulang patah. Dua hari kemudian, kami lakukan pembedahan kali kedua apabila luka didapati belum menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. “Namun, selepas pemeriksaan pagi ini, luka kelihatan lebih bersih dengan aliran darah yang baik. Ini satu petanda positif terhadap proses penyembuhan,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping, semalam.  Tambahnya lagi, pemulihan penuh dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan kerana kecederaan turut melibatkan struktur tulang dan saraf. “Saraf yang tercedera dijangka pulih dalam tempoh lima hingga enam minggu, bergantung kepada tindak balas tubuh pesakit terhadap rawatan. Besi yang dipasang buat masa ini hanyalah sementara. Selepas risiko jangkitan menurun barulah kami akan mempertimbangkan prosedur susulan untuk pemasangan besi dalaman secara kekal,” jelasnya. Beliau turut memaklumkan bahawa tahap kesakitan yang dialami mangsa kini berkurangan dengan kawalan ubat tahan sakit dan pesakit menunjukkan tanda-tanda stabil untuk dipertimbangkan bagi discaj dalam masa terdekat. “Kami pantau luka setiap hari. Jika tiada lagi keperluan untuk ubat tahan sakit yang kuat dan keadaan pesakit kekal stabil, kemungkinan besar beliau akan dibenarkan keluar hospital esok atau lusa,” katanya. Jelas Dr. Arvind lagi, keluarga mangsa juga telah membuat permohonan pemindahan ke Terengganu bagi membolehkan rawatan susulan dilakukan lebih dekat dengan kediaman mereka. Mengulas keadaan emosi pesakit, Dr. Arvind berkata, Nur Liyana masih dalam keadaan trauma dan terkesan dengan apa yang berlaku. Dalam pada itu, kakak mangsa, Shafiqatul Najwa Zanudin, 27, memaklumkan urusan membawa adiknya pulang ke Terengganu sedang dibincang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri. Menurutnya, keadaan Nur Liyana yang masih trauma memerlukan pertimbangan rapi termasuk cadangan menggunakan helikopter untuk pemindahan. Mengimbau detik cemas yang dialami keluarga mereka, Shafiqatul berkata, pada sekitar jam 3 pagi, mereka menerima panggilan telefon daripada ayah memaklumkan bas dinaiki Nur Liyana kemalangan.  "Ayah cuma beritahu kena terus ke hospital (di Perak) tanpa nyatakan keadaan sebenar,” katanya. Jelasnya, dalam perjalanan, mereka sempat melihat satu hantaran di Facebook adik bongsu yang menyebut Nur Liyana duduk di bahagian kiri bas, lokasi kebanyakan mangsa tercedera parah. “Memang terasa antara hidup dan mati. Abang sulung keluarga yang tiba terlebih dahulu di Hospital Gerik terus ke Jabatan Kecemasan dan bertanya kepada petugas mengenai keberadaan adiknya. “Mula-mula tak jumpa. Tapi bila diberi petunjuk berdasarkan warna kulit pesakit, alhamdulillah, dia masih bernyawa. Allah beri peluang kedua untuk hidup,” katanya sebak.
16 Jun 25
3292
EXCO Terengganu Rai Sukarelawan Bawa Pulang Jenazah Nahas UPSI
EXCO Terengganu Rai Sukarelawan Bawa Pulang Jenazah Nahas UPSI
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim  meraikan sukarelawan Pertubuhan Amal Komuniti Besut yang membantu menguruskan jenazah dalam tragedi kemalangan bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengorbankan 15 nyawa, baru-baru ini. Azman berkata, pertubuhan tersebut menyediakan khidmat pengurusan jenazah, van jenazah dan ambulan komuniti secara percuma kepada masyarakat. “Mereka tak minta dikenali tapi saya ingin memperkenalkan mereka. Inilah wajah-wajah wira tak didendang yang telah berkorban masa, tenaga, wang ringgit, hati dan perasaan dalam menguruskan mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas Jalan Raya Timur Barat samada yang terkorban atau mengalami kecederaan. “Bukan sedikit cabaran yang mereka semua lalui. Dengan pertolongan Allah, tragedi besar ini dapat diuruskan dengan sebaiknya. Allah menyatukan hati-hati kita semua atas rasa kebersamaan dan kemanusian,” tulisnya dalam satu hantaran di laman facebook. Katanya, majlis makan malam yang diadakan itu adalah sebagai penghargaan daripada pihaknya kepada anggota pertubuhan yang telah mengurus dan membawa pulang jenazah ke Terengganu mengikut perancangan tanpa sebarang masalah, “Malam ini sebagai tanda penghargaan, kita raikan wira-wira ini dalam majlis seadanya. Ia terlalu kecil berbanding khidmat yang telah dicurahkan.  “Terima kasih serta penghargaan yang setulusnya kepada penaung, pengerusi dan semua sahabat-sahabat Pertubuhan Amal Komuniti Besut. Saya sangat menghargainya,” ujar beliau.
16 Jun 25
592
“Saya Sedar Masa Bas Nak Terbalik” – Liyana Terselamat di 'Seat' Maut
“Saya Sedar Masa Bas Nak Terbalik” – Liyana Terselamat di 'Seat' Maut
IPOH, 16 Jun – “Saya tidur sejak naik bas dari Jerteh sebab takut mabuk. Bila sedar, bas dah berpusing nak terbalik. Saya tak sempat buat apa, muka saya jatuh dulu,” luah Nur Liyana Zanudin, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terselamat dalam tragedi menyayat hati di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.  Tragedi tersebut meragut 15 nyawa yang majoritinya duduk di bahagian kiri bas, lokasi tempat duduk Liyana.  Ujar Liyana, dia sedih apabila mendapat berita rakan-rakan meninggal dunia walaupun tidak mengenali mereka secara dekat.  “Saya duduk di kerusi ketiga, sebelah kiri, sebelah cermin. Memang kawasan itu yang paling teruk, saya betul-betul di tempat bas jatuh dan tersepit. Ramai yang meninggal dunia duduk di bahagian kiri,” katanya.  Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas diziarahi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Hospital Taiping semalam.  Jelasnya, selepas bas terbalik, dia masih sedar namun tak mampu berbuat apa-apa apatah lagi membantu kawan-kawan.  “Saya cuba kuatkan diri, cuba pusingkan badan, tapi tangan saya langsung tak rasa apa-apa. Saya tak boleh bergerak, apatah lagi keluar. Saya cuma mampu tunggu,” ujarnya. Dia turut memaklumkan bahawa pihak bomba mengambil masa untuk menyelamatkannya kerana perlu menyelamatkan beberapa mangsa lain yang lebih kritikal terlebih dahulu. Katanya, pihak bomba juga terpaksa memotong struktur bas yang remuk untuk membebaskan semua mangsa.  “Saya dengar orang luar bas cakap, siapa yang boleh berjalan, mereka cuba bantu dulu. Tapi saya memang tak boleh. Tersepit dan tak ada daya,” ceritanya.  Liyana turut memaklumkan bahawa selepas beberapa hari menerima rawatan, dia menunjukkan perkembangan positif namun masih dibayangi trauma. “Alhamdulillah, hari ini saya rasa sedikit lebih baik. Terima kasih kepada semua yang doakan, bantu dan datang ziarah. “Keluarga saya pun datang dari jauh, mereka semua jadi kekuatan untuk saya teruskan hidup, terima kasih warga Terengganu dan Malaysia,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.
16 Jun 25
665
Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera Kepada Mangsa Kebakaran di Bukit Kuang
Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera Kepada Mangsa Kebakaran di Bukit Kuang
KEMAMAN, 16 Jun – Kerajaan Terengganu menerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menyalurkan bantuan segera berupa wang tunai dan pelbagai bentuk bantuan lain kepada tiga keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Taman Rakyat Bestari, Bukit Kuang malam tadi. ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata, sebuah rumah akan dibina semula melalui peruntukan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), manakala dua buah rumah lagi akan dibaik pulih sepenuhnya dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan. "Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan barangan keperluan asas serta sebuah kerusi roda baharu kepada salah seorang mangsa yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), manakala MAIDAM bersetuju menanggung sepenuhnya kos rumah sewa mangsa sehingga rumah kekal siap dibina. "Mengulas lanjut mengenai kejadian malam tadi, tiga buah rumah teres terjejas hampir 80 peratus dalam kebakaran, namun kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian," katanya ketika ditemui pemberita selepas tinjauan di tapak lokasi pada hari ini. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.03 malam dan menggerakkan 11 anggota dari Balai Bomba Kemaman dan Kijal ke lokasi. “Setibanya di lokasi, api sedang marak. Operasi pemadaman mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran. Operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 12.14 tengah malam,” katanya. Menurut beliau, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Salah seorang mangsa, Norhayati Abd Rahman, 41, berkata dia bertindak pantas menyelamatkan suaminya, Rosmadi Abd Razak, 42, seorang OKU fizikal, serta anak perempuan mereka, Nur Aisy Aira, 7 tahun. “Saya terbau hangit dan terdengar bunyi percikan api. Dapur dipenuhi asap. Saya gagahkan diri pimpin suami keluar, walaupun dia tidak mampu berjalan,” katanya. Norhayati yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, tiada sebarang harta benda sempat diselamatkan kerana api marak dengan cepat. “Buat masa ini kami menumpang di rumah adik. Suami sudah lama tidak bekerja, hanya saya yang menyara keluarga. Bantuan segera daripada kerajaan negeri sangat melegakan,” ujarnya.  
16 Jun 25
189
Sembang Usahawan 'Platform' Lontar Suara Pengusaha
Sembang Usahawan 'Platform' Lontar Suara Pengusaha
KEMAMAN, 16 Jun - Program Sembang Usahawan yang dikelolakan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu membuka banyak peluang dan memberi limpahan manfaat kepada pada usahawan di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dato' Ariffin Deraman berkata, program tersebut mendedahkan usahawan kepada pelbagai agensi yang berkolaborasi dengan YPU. "Program ini beri ilmu yang banyak dan juga pendedahan kepada peniaga bagaimana untuk mendapatkan pinjaman, memajukan perniagaan, memulakan syarikat terutama mahasiswa yang sepatutnya mendapat pendedahan awal untuk meneruskan perniagaan. "Sebenarnya, semua agensi negeri dan peringkat persekutuan memberikan kerjasama yang baik khususnya dalam membantu usahawan," katanya. Beliau turut menyeru para pengusaha menggunakan peluang yang disediakan YPU bagi mengukuhkan serta memajukan perniagaan. "Kita ada pelbagai produk untuk membantu usahawan. "Dari segi digital contohnya, kecanggihan data perakaunan diperlukan untuk memajukan lagi perniagaan," tambahnya. Sembang Usahawan seterusnya akan berlangsung di Dewan Sungai Tarom, Setiu pada esok pagi.  
16 Jun 25
59
Beruang Matahari Ditangkap di Bukit Besi
Beruang Matahari Ditangkap di Bukit Besi
DUNGUN, 16 Jun – Seekor beruang matahari jantan dianggarkan berusia 40 tahun berjaya ditangkap di Kampung Besol, Bukit Besi selepas perangkap dipasang sejak 29 Mei lalu. Operasi penangkapan melibatkan kerjasama antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Besol, serta Pejabat Perhilitan Daerah Dungun. Menurut Ghazali, sebelum ini penduduk meluahkan rasa bimbang dan tidak selamat akibat gangguan beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kampung. "Penangkapan ini memberi sedikit kelegaan kepada penduduk Kampung Besol dan Bandar Bukit Besi. "Namun, orang ramai masih perlu sentiasa berhati-hati dan peka sekiranya mendapat maklumat mengenai keberadaan beruang di sekitar kawasan kampung," katanya. Beruang tersebut berjaya ditangkap menggunakan perangkap khas yang dipasang oleh Perhilitan. Pihak Perhilitan Dungun kini sedang menguruskan pemindahan haiwan tersebut ke habitat yang lebih sesuai dan selamat. Usaha kini diteruskan untuk menangkap dua lagi beruang (ibu dan anak) yang masih berkeliaran di kawasan sekitar.
16 Jun 25
183