lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Ahli Parlimen Besut Bidas PM Tangguh Kes Yusoff Rawther
Ahli Parlimen Besut Bidas PM Tangguh Kes Yusoff Rawther
BESUT, 14 Jun – Ahli Parlimen Besut merangkap Ketua Portfolio Undang-Undang Blok Pembangkang, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memohon penangguhan perbicaraan kes sivil berkaitan dakwaan serangan seksual terhadap Muhammad Yusoff Rawther. Menurut beliau, permohonan tersebut menimbulkan persoalan serius terhadap integriti dan ketelusan kepimpinan negara, serta mengundang persepsi berlakunya campur tangan politik dalam institusi kehakiman. “Sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya menjadi teladan dalam menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. “Tindakan menangguhkan perbicaraan bukan sahaja mencetuskan persepsi negatif, malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman yang sepatutnya bebas dan adil,” ujarnya dalam kenyataan media semalam.  Che Mohamad turut menegaskan bahawa langkah tersebut bercanggah dengan semangat reformasi institusi yang sering dilaungkan oleh Perdana Menteri sendiri, selain memberi gambaran seolah-olah wujud layanan istimewa kepada pemimpin berkedudukan tinggi. Tambah beliau, rakyat Malaysia berhak mendapatkan keadilan melalui proses kehakiman yang telus, serta bebas daripada sebarang pengaruh politik. “Perdana Menteri perlu menghormati proses mahkamah dan berhenti daripada terus mencari alasan untuk menangguhkan perbicaraan kes bersama Muhammad Yusoff Rawther ini,” katanya lagi. Perikatan Nasional, jelas beliau, akan terus memantau rapat perkembangan kes ini dan menyeru institusi kehakiman supaya mempertahankan kebebasan serta integriti sistem perundangan negara daripada sebarang tekanan politik. Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan prinsip keadilan dan ketelusan dalam sistem kehakiman negara demi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara.
13 Jun 25
186
Penerangan Isu Semasa Bantu Rakyat Fahami Perkembangan Terkini
Penerangan Isu Semasa Bantu Rakyat Fahami Perkembangan Terkini
HULU TERENGGANU , 15 Jun – Ceramah menjadi wadah penting bagi memperjelaskan perkembangan pasca Sidang DUN serta membincangkan pelbagai isu semasa yang melibatkan pentadbiran negeri dan perjuangan rakyat di peringkat nasional.  Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid berkata, program seumpama itu penting bagi memberi pencerahan kepada rakyat tentang isu-isu semasa di peringkat negeri dan negara. “Penerangan seperti ini sangat penting supaya kita sama-sama faham apa yang sedang berlaku dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat,” katanya kertika berucap di Ceramah Isu Semasa Pasca Sidang DUN yang diadakan di Balairaya Kampung Langgar semalam. Menurutnya, kehadiran orang ramai walaupun pada waktu malam menunjukkan semangat dan keprihatinan mereka terhadap isu semasa. Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pemimpin untuk terus mendekati rakyat serta menjelaskan halatuju dan dasar kerajaan kepada masyarakat.
13 Jun 25
95
Ahmad Amzad Desak Siasatan Khas Kes Yusoff Rawther
Ahmad Amzad Desak Siasatan Khas Kes Yusoff Rawther
KUALA TERENGGANU, 13 Jun – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim menggesa kerajaan menubuhkan satu badan siasatan khas dan bebas bagi menyiasat sepenuhnya kes pendakwaan terhadap Muhammed Yusoff Rawther yang didakwa menjadi mangsa konspirasi terancang. Gesaan ini dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membebaskan Yusoff daripada pertuduhan mengedar 305 gram kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tanpa perlu membela diri. Pertuduhan yang membawa hukuman mati mandatori itu kini terbukti tidak berasas selepas mahkamah mendapati tiada bukti sahih yang mengaitkannya dengan barang-barang kes. “Pembebasan ini menunjukkan bahawa Yusoff adalah mangsa konspirasi jahat yang dirancang dengan licik. Penahanan, pendakwaan dan pemenjaraan selama sembilan bulan sepuluh hari adalah hasil daripada manipulasi kuasa oleh pihak yang sanggup memperalat sistem keadilan untuk mencapai agenda tersembunyi,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini. Ahmad Amzad mempersoalkan motif sebenar di sebalik pendakwaan tersebut dan menuntut agar dalang serta pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. “Persoalannya sekarang, siapakah yang merancang tuduhan ini? Apa kepentingan yang cuba dilindungi? Dan kenapa sanggup mengorbankan masa depan serta nyawa seorang individu tidak bersalah?," soalnya. Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keyakinan rakyat kepada sistem keadilan negara yang boleh terjejas jika insiden sebegini tidak disiasat secara menyeluruh. “Kejadian ini membuka ruang kepada kebimbangan wujudnya penyalahgunaan kuasa dan campur tangan dalam sistem keadilan jenayah. Ia menggugat asas kepercayaan rakyat terhadap integriti dan kebebasan institusi perundangan negara,” katanya. Justeru, beliau mendesak agar kerajaan segera menubuhkan sebuah badan siasatan bebas dan telus yang diberi kuasa menyeluruh untuk meneliti setiap aspek kes, termasuk proses siasatan, keputusan pendakwaan, serta kemungkinan wujudnya unsur manipulasi atau pengaruh luar. "Pembebasan ini bukan penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pencarian keadilan yang lebih besar. Rakyat berhak mengetahui kebenaran,” tegas beliau.  
13 Jun 25
138
Hotel Primula Anjur Tahlil 'Hadiah' Buat Mangsa Nahas Bas UPSI
Hotel Primula Anjur Tahlil 'Hadiah' Buat Mangsa Nahas Bas UPSI
KUALA TERENGGANU, 13 Jun -Primula Beach Hotel menganjurkan Majlis Tahlil Perdana  sebagai penghormatan terakhir kepada 15 Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Gerik awal pagi Isnin. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata walaupun tidak mengenali mangsa nahas secara peribadi, namun peristiwa itu memberi kesan besar kepada seluruh Malaysia terutama Terengganu. Menurutnya, pemergian mereka semua adalah satu kehilangan besar kepada negara terutama dalam bidang pendidikan. "Majlis ini merupakan hadiah doa daripada kami buat para syuhada yang terkorban dan pada masa sama, kita ingatkan diri kita bersedia andai tiba masanya nanti. "Kami mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan bersemadi bersama orang yang beriman dan beramal soleh serta ahli keluarga tabah berdepan ujian yang amat berat ini. "Tahlil ini untuk yang mereka yang tercedera juga. Mohon agar cepat sembuh dan kembali belajar seperti sedia kala," ujar beliau. Lebih 300 orang menghadiri majlis Tahlil tersebut terdiri dari Ahli Lembaga Pengarah hotel, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Bariah, Madrasah Seberang Takir Tuan Chik pihak masjid serta kakitangan Primula Beach Hotel. Tambah Suaibah, majlis itu bukan sahaja sebagai penghormatan, malah menjadi ruang untuk semua menzahirkan rasa kehilangan. Isnin lalu negara dikejutkan dengan kejadian menyayat hati itu yang turut menyebabkan 33 lagi mangsa cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza. Bas disewa khas oleh pelajar itu berlepas dari Jertih, Terengganu pada 9 malam Ahad dan sedang dalam perjalanan ke kampus di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.     
13 Jun 25
156
Tangisan Pilu Iringi Serahan Barangan Peribadi 15 Mangsa Tragedi UPSI
Tangisan Pilu Iringi Serahan Barangan Peribadi 15 Mangsa Tragedi UPSI
BESUT, 13 Jun – Suasana pilu menyelubungi perkarangan Masjid Hadhari di sini apabila ahli keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi di Tasik Banding, Gerik, Perak baru-baru ini, menerima barangan peribadi milik insan tersayang mereka, pagi semalam. Tangisan dan esak tangis jelas kedengaran sebaik lori yang membawa barangan milik mangsa tiba sekitar jam 10.30 pagi, sebelum diserahkan kepada waris yang setia menanti dengan penuh emosi. Ketua misi, Prof Dr Mohd Azlan Nafiah berkata, barangan yang dibawa termasuk pakaian dari bilik penginapan lima kolej kediaman di UPSI, empat buah motosikal yang digunakan mangsa semasa di kampus, komputer riba, dan buku nota milik pelajar. “Setiap barangan ini bukan sekadar benda fizikal, tetapi menyimpan kenangan dan harapan yang tidak sempat disempurnakan,” katanya ketika ditemui di perkarangan masjid. Menurut beliau, misi penghantaran barangan ini diuruskan oleh Pusat Transformasi Komuniti UPSI dengan kerjasama Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) UPSI. Katanya lagi, bagi keluarga yang tidak dapat hadir, pihak mereka turut mengambil inisiatif menghantar sendiri barangan peribadi mangsa ke kediaman masing-masing. “Kami faham, dalam saat duka begini, setiap usaha untuk menyampaikan sedikit kenangan ini amat bermakna buat keluarga,” tambahnya. Tragedi yang menimpa pelajar-pelajar UPSI itu telah mengundang kesedihan seluruh negara, dan penghantaran barangan ini menjadi satu lagi momen memilukan dalam mengenang pemergian mereka. Kredit: Mohd Khairul Fikiri Osman | BERNAMA
12 Jun 25
223
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Tenaga Bersih Bertaraf Kebangsaan
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Tenaga Bersih Bertaraf Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Terengganu bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih negara apabila menjadi tuan rumah East Coast Energy (ECE) 2025. Program itu merupakan sebuah persidangan dan pameran peralihan tenaga utama yang akan berlangsung pada 23 sehingga 24 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, program itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak dari sektor awam dan swasta. "Ia adalah persidangan dan pameran yang melibatkan delegasi-delegasi bukan sahaja daripada Malaysia malah dari luar negara. "Kita ada beberapa rakan-rakan strategik yang banyak memebantu bagi menjayakan program ini. Antaranya ialah Terengganu Inc. selaku rakan strategik utama dan EPIC Berhad sebagai rakan korporat.  "Yang paling penting, kita juga mendapat sokongan dan dorongan yang penuh daripada Petronas selaku rakan ilmu atau rakan kepakaran," katanya. Dr. Muhtar berkata demikian dalam satu sesi wawancara Bicara Khas TV Darul Iman, semalam. Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Pemandu Program ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani yang juga merupakan Ketua Kualiti dan Jaminan (Kualiti Perusahaan), Penyampaian Projek dan Teknologi, PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja bagi program ECE 2025 menjelaskan bahawa penganjuran itu diusahakan oleh kerajaan negeri dan Terengganu Petroleum Council (TPC) dengan kerjasama bersama Informa Markets. "Informa Markets terkenal dengan penganjuran-penganjuran persidangan minyak dan gas termasuklah program utama di Malaysia yang dipanggil sebagai OGA atau 'Oil And Gas Asia'. "Penganjuran bersama ini untuk memastikan perlaksanaan program dapat dilaksanakan secara profesional dan dapat dianjurkan dengan baik," tambahnya. Dr. Ts. Muhtar Suhaili (Kiri) dan Mohd Zamri Abdul Ghani (Kanan) Selain itu jelasnya, beberapa pertubuhan lain turut terlibat, bertindak sebagai organisasi sokongan bagi membantu melaksanakan program tersebut.  "Antaranya, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Malaysian Petroleum Resources Council (MPRC) satu agensi di bawah Kementerian Ekonomi, Terengganu Oil And Gas Council (TOGC). "Dan ini juga termasuk beberapa lagi persatuan utama minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui di Malaysia," katanya. Menurutnya lagi, program yang sedemikian merupakan kali pertama bagi negeri Terengganu walaupun telah biasa dijalankan di negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak. Ujar beliau, di bawah tema 'Inovasi Tenaga, Memacu Pantai Timur', program yang telah bermula perancangannya dari tahun lepas itu turut telah berjaya mencuri perhatian delegasi-delegasi daripada luar serta dalam negara dengan bilangan penyertaan yang amat menggalakkan. "Penyertaan saya dimaklumkan setakat mesyuarat yang lepas, kita sudah ada sekitar 700 orang delegasi dan mungkin akan lebih lagi menjelang 23 dan 24 Jun nanti," ujarnya.    
12 Jun 25
647
Simulasi Haji Cilik Hidupkan Suasana Ibadah dikalangan Kanak-Kanak
Simulasi Haji Cilik Hidupkan Suasana Ibadah dikalangan Kanak-Kanak
HULU TERENGGANU, 12 Jun – Penganjuran program Simulasi Haji Cilik mencerminkan peranan besar institusi pendidikan Islam seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang membentuk generasi berakhlak dan celik agama sejak usia awal. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata usaha murni itu wajar dipuji kerana membentuk kesedaran rohani dalam kalangan anak-anak melalui pengalaman langsung yang menghidupkan suasana ibadah. "Hari ini kita berada di Dataran Ajil, macam Dataran Mekah juga untuk simulasi haji kanak-kanak PASTI. Walaupun haji ini biasanya untuk orang dewasa, tapi pendedahan dari sudut ilmu dan penghayatan kita buat ini untuk menunjukkan mood, aura dan gelombang ibadah dalam kalangan kanak-kanak. Terbaik PASTI... "Program anjuran PASTI Ajil itu bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai ibadah haji, bahkan menyemai rasa cinta kepada agama sejak kecil melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berkesan,' katanya ketika ditemui. Seramai 246 orang murid daripada empat buah Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil telah menyertai Program Simulasi Haji Cilik yang diadakan secara tahunan. Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu berakhir pada jam 10.30 pagi turut melibatkan aktiviti tawaf, saie, melontar jamrah dan bertahlul dalam suasana santai namun sarat dengan penghayatan ibadah, serta disambut baik oleh ibu bapa dan komuniti setempat. "Ini yang kita kata, PASTI merupakan satu institusi pendidikan daripada kecil sampai ke besar dan terus berkembang. Tahniah kepada guru-guru dan pihak pengurusan PASTI atas usaha berterusan ini," ujarnya lagi.    
12 Jun 25
206
Negara ASEAN Diseru Kukuhkan Solidariti Hadapi Krisis Iklim
Negara ASEAN Diseru Kukuhkan Solidariti Hadapi Krisis Iklim
Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Negara-negara ASEAN diseru  memperkukuh solidariti serantau dalam menghadapi krisis perubahan iklim, khususnya isu kenaikan paras laut yang semakin mendesak. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenaikan paras laut bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi merupakan cabaran masa depan yang menyentuh soal keadilan, identiti dan kelangsungan hidup rakyat di rantau ini. “Kita tidak boleh lagi menangguh.. laut sedang naik, dan kita semua perlu bangkit kerana ia bukan isu masa hadapan, ini adalah krisis hari ini. "ASEAN perlu merangka strategi kolektif yang menggabungkan adaptasi iklim, inovasi, pembiayaan mampan serta perlindungan alam semula jadi. “Daripada pelaburan infrastruktur tahan iklim, perlindungan ekosistem paya bakau, hingga kepada penglibatan belia dan komuniti, kita mesti bertindak dalam semangat bersama,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam Bengkel ASEAN mengenai Kenaikan Paras Laut di Duyong Marina & Resort, semalam. Majlis anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan dan Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan itu menghimpunkan pakar-pakar iklim dari seluruh ASEAN. Dalam sesi tersebut, para peserta turut diberi penerangan mengenai keperluan penubuhan Group Sea, sebuah kumpulan kerja teknikal serantau bagi menangani isu kenaikan paras laut secara sistematik dan saintifik. Bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan ASEAN menjelang COP seterusnya, dengan Terengganu menjadi tuan rumah yang menunjukkan komitmen padu terhadap kelestarian alam sekitar. Ahmad Samsuri  yang juga seorang ahli sains dan jurutera menegaskan, cabaran sebenar bukan hanya pada aspek sains dan teknologi, tetapi bagaimana untuk meyakinkan pembuat dasar, ahli politik serta rakyat tentang keperluan bertindak segera. “Kita perlukan ‘seni meyakinkan yang berterusan’ agar setiap fakta saintifik diterjemahkan kepada dasar yang inklusif dan berkesan,” katanya.  
12 Jun 25
63
"Terima Kasih Semua Pihak Bawa Pulang Jenazah" - Exco
"Terima Kasih Semua Pihak Bawa Pulang Jenazah" - Exco
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan tragedi kemalangan bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengorbankan 15 nyawa pada Isnin lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, penghargaan tidak terhingga ditujukan kepada petugas perubatan di Hospital Gerik, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping yang bertungkus-lumus memberi rawatan terbaik kepada mangsa. Katanya, kerajaan negeri juga menzahirkan penghargaan kepada pasukan barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat serta semua anggota penyelamat yang bertindak pantas demi keselamatan dan kesejahteraan mangsa. “Di samping itu, terima kasih kepada kerajaan negeri Perak terutamanya Pejabat Daerah Gerik, Majlis Bandaraya Ipoh, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan yang memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan serta memberi sokongan logistik kepada waris dan keluarga mangsa. “Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung khususnya Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat kerana membantu mengurus dan membawa pulang jenazah. “Alhamdulillah, proses membawa pulang kesemua jenazah ke Terengganu mengikut perancangan tanpa sebarang masalah,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Maliaman berkata, kerajaan negeri amat menghargai keprihatinan semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan. “Terima kasih semua yang prihatin dan terus memberi sokongan kepada mangsa yang masih hidup dan ahli keluarga mangsa yang meninggal.  “Semoga semua mangsa yang cedera dikurniakan kesembuhan dan keluarga yang kehilangan insan tersayang terus diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat-saat duka ini,” katanya.
12 Jun 25
207
246 Jemaah Cilik PASTI Sertai Simulasi Haji
246 Jemaah Cilik PASTI Sertai Simulasi Haji
HULU TERENGGANU, 12 Jun – Seramai 246 orang murid daripada empat buah Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil telah menyertai Program Simulasi Haji Cilik yang diadakan secara tahunan. Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu menyaksikan semua peserta menaiki bas dari PASTI masing-masing sebelum tiba di tapak program sekitar jam 8.30 pagi. Simulasi ibadah haji itu berjalan lancar dan berakhir pada jam 10.30 pagi. Acara itu dikendalikan oleh mutawif berpengalaman, Muhammad Hamdi Abbas, yang membimbing para peserta melalui proses-proses utama dalam ibadah haji seperti tawaf, saie, melontar jamrah dan wukuf di Arafah dalam bentuk yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Program tahunan ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada anak-anak mengenai rukun Islam kelima serta menyemai kecintaan mereka terhadap ibadah haji. Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ajil, Yusof Sudin, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur, guru-guru dan ibu bapa yang memberi sokongan padu terhadap program tersebut. ”Tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar yang berjaya melengkapkan simulasi haji pada hari ini. “Simulasi seperti ini sangat penting untuk membina kefahaman asas tentang ibadah haji di peringkat awal usia.Semoga pengalaman ini menerbitkan rasa cinta dalam diri anak-anak untuk terus berusaha agar dapat melaksanakan rukun islam yang kelima apabila merewa dewasa nanti,"katanya dalam ucapan perasmian. Program tersebut mendapat sambutan hangat daripada murid, ibu bapa dan warga PASTI, dan turut diwarnai dengan gelak tawa serta semangat para peserta kecil yang berpakaian ihram seperti jemaah haji sebenar.
12 Jun 25
431