lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kerisauan Penduduk Adalah Kerisauan Hazri
Kerisauan Penduduk Adalah Kerisauan Hazri
KEMAMAN, 17 Mac - Kerisauan komuniti setempat terutama tuan rumah akibat tanah yang runtuh turut merisaukan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh selaku wakil kerajaan di Kijal. Tanah runtuh akibat hakisan air. Usaha menyelesaikan masalah tersebut akan dilakukan dengan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum menjalankan kerja membaikpulih dalam masa yang terdekat dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). "Insya-Allah kita akan usahakan supaya perparitan ini dibaiki secepat mungkin dengan membina dinding penahan 'gabion' yang baharu mengikut pandangan teknikal daripada pihak JPS. "Ia melibatkan sebuah rumah penduduk di sini di mana tanah yang runtuh semakin menghampiri belakang rumahnya," katanya. Hazri bersama pegawai dari JPS Kemaman semalam meninjau tahap kerosakan struktur tembok penahan tanah 'gabion' yang runtuh akibat daripada hakisan banjir tempoh hari di Kampung Darat, Kijal. Hazri (kiri) bersama pegawai JPS meninjau tahap kerosakan 'gabion'. Terdahulu, aduan kejadian ini telah dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Darat Kijal, Zabidin Awang kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kijal untuk diambil tindakan sewajarnya.
16 Mar 21
562
Jelajah Setiap Daerah, Perkenal Taman Negeri
Jelajah Setiap Daerah, Perkenal Taman Negeri
SETIU, 16 Mac - Jelajah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu ke semua lapan daerah menerusi Program Kembara Kenali Taman Negeri Terengganu bertujuan mendedahkan masyarakat kepada khazanah dalam negeri ini. Pengarahnya, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, konvoi motosikal yang disertai oleh 40 penunggang itu juga secara tidak langsung membantu kerajaan negeri dalam mempromosikan eko pelancongan negeri.  Katanya, dua taman negeri di Terengganu iaitu Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) dan Taman Negeri Kenyir mempunyai keunikan tersendiri. “Fokus kami (Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu) adalah untuk melindungi alam semula jadi terutamanya di Setiu Wetlands dan Tasik Kenyir kerana banyak memberi manfaat kepada generasi kini dan masa akan datang. “Diharapkan agar program Kenali Taman Negeri ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat mengenai kewujudan Taman Negeri Terengganu kepada orang ramai menerusi edaran risalah dan penerangan tentang taman negeri tersebut,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran ‘Signage’ Route 3684 Setiu Wetlands sempena program kembara tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Setiu Wetlands, hari ini. Menurut beliau, penganjuran program selama dua hari yang bermula semalam itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu yang bersama-sama dalam kerja penerangan melalui edaran risalah masing-masing kepada komuniti. Katanya, memandangkan dunia masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19, kembara tersebut diadakan dalam suasana sederhana berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).  
16 Mar 21
713
Kajian Mendalam, Strategi Tangani Hakisan Pantai
Kajian Mendalam, Strategi Tangani Hakisan Pantai
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Kerajaan negeri sentiasa peka serta menjalankan kajian dan pendataan konsisten dalam menyelesaikan isu hakisan pantai bagi jangka masa pendek dan panjang. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pihaknya menyarankan agensi-agensi yang berkenaan dalam mengurangkan masalah hakisan supaya melakukan kajian terperinci dalam bidang hidrolik dan pemulihan pantai atau ‘beach nourishment’. “Berkaitan projek pemulihan hakisan, pantai kita agak panjang dengan jarak 244KM dari Besut sampai Kemaman, dengan waktu kemuncak ombak pada musim tengkujuh iaitu bulan November, Disember dan Januari. “Kerajaan negeri dan persekutuan telah membina beberapa struktur seperti pemecah ombak (break water), t-groin dan pulau pesisir pantai (near shore island). “Struktur sedemikian sememangnya berjaya dalam mengekang kerosakan pantai, namun kajian terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menentukan kaedah terbaik di setiap kawasan terkesan termasuk di muara sungai,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai usaha terkini, Dr Mamad memaklumkan, tiga pantai adalah dalam fokus membaikpulih. “Untuk Pantai Teluk Lipat, projek pembinaan diusahakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mengalami kekangan pada tahun 2014 dengan empat unit ‘headland’ dibina. “Namun begitu, melalui ECER telah diluluskan kira-kira RM65 juta untuk menyiapkan penuh lapan ‘headland’ mengikut perancangan asal dan sekarang giat dalam proses pembinaan. “Bagi Pantai Rusila iaitu di Pelabuhan Chendering sehingga Marang (6KM), pihak kementerian telah meluluskan RM15 juta untuk kerja awalan pemulihan pantai yang akan ditender pada tahun ini, bagi jangka masa panjang, Datuk Tuan Ibrahim mencadangkan peruntukan RM150 juta bagi pelan atasi kerosakan secara bersepadu,” katanya lagi. Katanya lagi, kajian terperinci masih dijalankan untuk Pantai Kuala Nerus melibatkan peruntukan RM90 juta yang masih belum ditender. “Di Mengabang Telipot, dengan kos RM6.2 juta sedang dalam proses pembinaan dan dijangka akan siap akhir bulan Ogos tahun ini,” jelasnya.
16 Mar 21
1467
Sahut Cabaran Pelancongan Budaya 4.0, Eksport Keunikan Luar Sempadan
Sahut Cabaran Pelancongan Budaya 4.0, Eksport Keunikan Luar Sempadan
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Negeri Terengganu wajar meletakkan sasaran dalam mengeksport kekayaan budaya ke luar negeri dan negara dalam menghadapi norma Pelancongan Budaya 4.0 atau Cultural Tourism 4.0. Galakan tersebut disuarakan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis, yang melihat kepelbagaian budaya seperti penceritaan sejarah, makanan dan seni kraftangan sebagai potensi produk eksport ke luar sempadan negara. “Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam mengerakkan usaha ini, apa kata kita eksport produk pelancongan ini seperti yang dilakukan negara Korea Selatan. “Contohnya, negara tersebut berjaya memperkenalkan dan memperkukuhkan budaya mereka seperti restoran makanan Korea, rancangan K-Drama dan sebagainya dalam negara kita, mengapa mereka berjaya? “Ini kerana inisiatif dalam Cultural Tourism 4.0, Nasi Dagang sudah sampai ke London, namun usaha ini perlu dipertingkatkan lagi supaya mereka di luar sana kenali dan boleh rasai keunikan negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah World Excellence Tourism Awards di Puncak Gamelan, Primula Beach Hotel di sini kelmarin. Sementara itu, beliau turut kagum dalam usaha Terengganu mengeluarkan pelbagai inovasi produk dan aktiviti pelancongan secara konsisten untuk menggalakkan lebih pelancongan domestik. “Walaupun berhadapan pandemik COVID-19, tapi di sini sentiasa ada pengisian tarikan pelancongan, diharapkan momentum ini diteruskan dengan produk inovasi seperti ‘virtual tourism’ seperti Facebook Live untuk pancing lagi pelancong luar,” tambahnya. Mengulas lebih lanjut mengenai usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan penggiat dan pekerja pelancongan, Uzaidi menyifatkan langkah tersebut adalah sangat berkesan dalam membantu golongan sasar itu. “Ini sedikit sebanyak dapat bantu penggiat pelancongan seperti pemandu bot, ejen pelancongan, para pengusaha dalam negeri dan sebagainya yang terkesan akibat kemelesetan pelancongan.  
16 Mar 21
548
RM284 Ribu Diagihkan KIR Mangsa Banjir Kijal
RM284 Ribu Diagihkan KIR Mangsa Banjir Kijal
KEMAMAN, 16 Mac - Seramai 568 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima wang sumbangan berjumlah sebanyak RM284 ribu. Ekoran daripada banjir yang melanda negeri Terengganu pada tahun lepas, kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap KIR mangsa banjir. Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh dalam ucapan ringkasnya di majlis agihan tersebut menyeru agar semua yang terlibat bersabar dan redha di atas ujian dan ketentuan Ilahi. Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap. "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita harus bersabar dan redha dengan ujian Allah, mudah-mudahan ia akan meningkatkan lagi keimanan kita kepadaNya insya-Allah. "Menjadi keutamaan dan dengan sedaya mungkin kami berusaha untuk menaiktaraf sistem saliran yang sedia ada bagi mengelakkan bencana ini agar tidak akan berulang lagi pada masa akan datang," katanya. Gimik penyerahan bantuan oleh Ustaz Hazri Jusoh ( dua dari kiri). Salah satu punca banjir di kawasan Perumahan Mampu Milik Telok Kalong adalah ekoran daripada saluran airnya yang merentasi Jalan Telok Kalong - Kijal agak sempit, serta ia telah dikenal pasti oleh pihak kerajaan. Hazri juga bersyukur dan berterima kasih kepada semua agensi kerajaan dengan kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa syarikat swasta tampil menghulurkan bantuan semasa dan selepas banjir tempoh hari. Suasana di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, DITC. Majlis tersebut diadakan di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC) di Telok Kalong semalam dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan akibat pandemik Covid-19.
15 Mar 21
553
Projek Lembu Sado Beri Pulangan Lumayan
Projek Lembu Sado Beri Pulangan Lumayan
SETIU, 15 Mac - Usaha kerajaan negeri memperkenalkan Projek Pembangunan Lembu Sado Berkelompok dijangka mampu memberi pulangan kepada penternak di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia apabila daging diperoleh hasil projek terbabit setaraf dengan hotel terkemuka. "Insya-Allah sekiranya semua pihak berganding bahu, termasuk peserta bijak mengambil peluang ini harga daging sekitar RM500 hingga RM600 dapat dicapai sekali gus memberi pulangan lumayan buat mereka. “Untuk mencapai piawaian itu, penternak perlu mahir dengan kaedah pemotongan daging, selain perlu menerapkan amalan pengurusan penjagaan ternakan secara sistematik,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Projek Pembangunan Lembu Sado Berkelompok peringkat Terengganu, di Dewan Jabi, di sini hari ini. Dr Azman turut memberitahu, projek lembu sado berkelompok itu memberi impak sangat positif  khususnya kepada 35 sehingga 70 orang penternak lembu sado sedia ada. “Pada masa sama mewujudkan padang ragut secara terancang yang boleh menyumbang rumput minyak kepada ternakan dengan anggaran 43.92 metrik tan setahun bagi setiap keluasan 1 ekar. “Untuk tahun kedua, dengan anggaran hanya sebanyak 60 peratus kelahiran anak daripada jumlah induk pengganda mampu menghasilkan 21 ekor anak lembu sado  di mana setiap ekor  yang berusia 12 bulan boleh mencecah harga  RM 8,000 seekor,” katanya.  
15 Mar 21
1990
Terokai, Kenali Taman Negeri Terengganu
Terokai, Kenali Taman Negeri Terengganu
KEMAMAN, 15 Mac – Rakyat tempatan digalakkan menerokai khazanah alam semula jadi serta kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di Taman Negeri Terengganu. Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, dua taman negeri iaitu Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) dan Taman Negeri Kenyir mempunyai keunikan tersendiri. “Contohnya seperti Setiu Wetlands yang mempunyai sembilan ekosistem semula jadi dengan keluasan 1596 hektar, semua ini boleh dilihat dan dihayati di Boardwalk Setiu. “Di Kenyir pula dengan keluasan 30,000 hektar adalah kaya dengan hidupan liar, ikan dan flora berbagai jenis, sesuai untuk aktiviti lasak dan hiking. “Tujuan pihak kami melalui program ini adalah mendedahkan masyarakat kepada khazanah dalam negeri kita melalui edaran risalah dan penerangan tentang Taman Negeri tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian semasa Program kembara Kenali Taman Negeri Terengganu, di Mesra Mall Kemasik, tengah hari tadi. Terdahulu, program pelepasan kembara tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md. Azahar di Wisma Darul Iman, pagi tadi. Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Mengulas lanjut mengenai program kembara tersebut, Tengku Mohd Ariffin memaklumkan, konvoi motosikal dengan 40 penunggang terlibat dalam usaha mempromosikan eko pelancongan negeri. “Bersama saya juga terdiri daripada Jabatan Pelancongan Negeri dan KPDNHEP turut sertai dalam kerja penerangan melalui edaran risalah masing-masing kepada komuniti di Pasar Marang, Pasar Dungun, Mesra Mall dan seterusnya di Bandar Kemaman. “Sambutan daripada daerah setakat ini positif, seterusnya kita akan menjelajah ke Hulu Terengganu, Setiu dan Besut dalam usaha mempromosikan Taman Negeri Terengganu dalam usaha memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap tempat tersebut,” jelasnya. Kembara tersebut diadakan dalam suasana sederhana berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan Taman Negeri Terengganu boleh didapati di laman web www.mptn.terengganu.gov.my berkenaan waktu operasi dan harga kemasukan.
15 Mar 21
3448
‘Street Dakwah’ Ajak Masyarakat Hidupkan Solat Jemaah
‘Street Dakwah’ Ajak Masyarakat Hidupkan Solat Jemaah
HULU TERENGGANU,15 Mac - Dengan menjadikan persimpangan lampu isyarat laluan utama, Street Dakwah Dewan Pemuda Pas Hulu Terengganu (DPPHT) berjaya mengedar risalah kepada pengguna jalan raya dalam mempromosikan kempen Jom Solat Berjemaah dalam usaha merancakkan lagi program Bulan Penghayatan Ibadat Solat peringkat negeri Kerajaan Negeri Terengganu di Kuala Berang, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, program kali ini yang dianjurkan dihadapan Majlis Daerah Hulu Terengganu., Kuala Berang secara santai dan terbuka mendapat sambutan luar biasa. “Objektif untuk menyampaikan dakwah Islam dalam bentuk santai dan bersahaja tercapai apabila rata-rata pengguna jalan raya yang ditemui menyambut baik kaedah berkenaan bersesuaian dan ia perlu diketengahkan lagi. “Lebih bermakna apabila kita juga berjaya mengedarkan risalah “ Jom Solat Berjemaah” dengan gabungan orang lama dan ramai golongan muda yang turut serta dalam program yang bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengahari, semalam,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan risalah ‘Jom Solat Berjemaah’ di Dataran MDHT Kuala Berang di sini semalam. Menurutnya, program sebegini sudah banyak dilakukan di luar negara dan mengapa kurang pendekatan berkenaan digunakan sebagai medium dakwah tempatan. “Saya berharap Street Dakwah dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa tanggungjawab berdakwah bukan hanya terletak dibahu pihak berkuasa terutama Kerajaan negeri semata-mata. “Sebaliknya, setiap individu Muslim itu sendiri berperanan dan bertanggungjawab menyampaikan dakwah dengan pelbagai medium mengikut kemampuan masing-masing,” katanya. Sementara itu, salah seorang jawatankuasa penganjur Street Dakwah, Ketua DPPHT, Mohd Harun Esa berkata, program ini adalah bertujuan untuk memberi peringatan betapa besar dan pentingnya penjagaan solat secara berjemaah. "Walaupun kita masih lagi dilanda wabak COVID19, namun ianya bukanlah alasan untuk tidak melakukan solat berjemaah dengan mengambil kira SOP. “Berhadapan dengan cuaca panas sejak awal lagi, ia tidak menghalang para peserta untuk terus mengedarkan risalah ‘Jom Solat Berjemaah ‘ di persimpangan lampu isyarat hadapan MDHT Kuala Berang .malah mereka tidak berganjak sehingga risalah habis diedarkan kepada pengguna jalan raya,” katanya.  
15 Mar 21
1292
Cuaca Panas : Paras Air Empangan Seluruh Negara Normal
Cuaca Panas : Paras Air Empangan Seluruh Negara Normal
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Paras air di semua empangan seluruh negara berada pada tahap normal walaupun Malaysia kini berdepan musim kemarau.  Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, paras air di semua empangan masih belum mencapai tahap membimbangkan dan masih mampu menampung keperluan harian rakyat. Katanya, kerajaan sentiasa memantau situasi terkini sumber air negara dan mendapati paras di semua empangan masih lagi berapa pada paras yang selesa. "Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan keadaan kepanasan negara lebih rendah berbanding tahun lepas dan kadar kelembapan agak tinggi namun kita memantau. "Keadaan air di empangan kita masih di paras selesa dan isu gangguan bekalan air yang dibangkitkan di Baling, Kedah baru-baru ini juga sudah diselesaikan oleh kerajaan negeri," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.  Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman. Untuk rekod, terdapat 104 empangan yang berfungsi menakung air di seluruh negara yang mana 63 daripadanya di bawah pengurusan KASA.  
15 Mar 21
183
Drawbridge Menang Anugerah Ikon 2020
Drawbridge Menang Anugerah Ikon 2020
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Drawbridge mendapat pengiktirafan tertinggi di persada dunia setelah meraih Anugerah Kecemerlangan Pelancongan kategori Ikon Baharu Malaysia Terbaik tahun 2020 (Best Malaysian Ikon). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kejayaan tersebut adalah pengiktirafan atas usaha kerajaan negeri dan sektor pelancongan termasuk yang sebelum ini. “Terima kasih kepada Malaysia Tourism Council yang menyampaikan anugerah ini, walaupun sepatutnya diterima di Berlin, Jerman, namun dengan kekangan COVID-19, majlis tersebut terpaksa dibatalkan," jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah World Excellence Tourism Awards di Puncak Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini, malam semalam. Turut hadir, Presiden  (Majlis Pelancongan Malaysia) MTC, Uzaidi Udanis dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzaril Nizam Ibrahim serta para penggiat industri perhotelan dalam negeri. Kata Ariffin lagi, jumlah pengunjung ke jambatan itu sejak dibuka 1 Ogos 2019 dianggar sehingga ratusan ribu pengunjung. “Dalam masa beberapa bulan seperti September dan Oktober tahun lalu, dalam 200 ribu lebih sebulan jumlah kehadiran melimpah ruah yang datang untuk bergambar di situ dan kawasan datarannya," jelasnya. Jelas Ariffin, perancangan baharu untuk Drawbridge adalah pembukaan restoran di atas jambatan tersebut. “Namun begitu, kita masih dalam proses pemutihan dan pemilihan pengusaha yang layak, ramai tawaran yang diterima tetapi kita masih menunggu keadaan supaya lebih stabil selepas pandemik ini surut kembali," katanya. Sementara itu, Uzaidi Udanis memaklumkan bahawa negeri Terengganu sahaja telah mendapat pengiktirafan ikon bertaraf dunia sedemikian. “Rakan-rakan eropah dan Amerika Syarikat memaklumkan mereka tidak sabar untuk menghantar pelancong kembali ke negeri ini. “Walaupun di negeri lain seperti Pahang juga mempunyai mercu tanda seperti Menara Teruntum, namun impak jambatan angkat tersebut amat tinggi, boleh dibandingkan seperti London Bridge dan reputasinya kini seakan sama seperti Menara Berkembar PETRONAS,” tambahnya.
15 Mar 21
1866