lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Optimis Program 'Bina Insan' Buah Hasil Lumayan
Optimis Program 'Bina Insan' Buah Hasil Lumayan
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Terengganu optimis program pembinaan insan yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini mampu membuahkan hasil lumayan di masa hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah walau bagaimanapun menegaskan, program yang disusun itu akan gagal sekiranya rakyat tidak mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan. "Apa yang paling penting sekali saya harap agar rakyat Terengganu mengambil manfaat daripada ilmu yang disampaikan pada majlis-majlis ilmu, dan akhirnya rakyat beramal dengan ilmu yang ada seterusnya membuahkan 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghaffur', insya-Allah. "Hal ini kerana, impian besar kerajaan bukan sahaja negeri maju dalam apa jua bidang, tetapi yang besarnya adalah berkat daripada Allah SWT," ucap beliau dalam Majlis Perasmian Tausiyah Dhuha Daie bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari di Duyong Marina Resort, dekat sini baru-baru ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Ridzuan Hashim, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor. Tambah Mohd Nor, pihaknya melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah menyusun pelbagai program dan aktiviti untuk membangun masyarakat bersama Islam di setiap kampung, mukim dan daerah "Kita membawa pendekatan dakwah yang pelbagai yang insya-Allah diterima pelbagai pihak," jelasnya. Terdahulu, dalam majlis yang dihadiri seramai hampir 200 peserta itu menerima perkongsian ilmu secara langsung daripada Syeikh Nuruddin.
19 Mar 21
253
Berkerusi Roda Tidak Menghalang Tamatkan Ijazah
Berkerusi Roda Tidak Menghalang Tamatkan Ijazah
MARANG, 21 Mac - "Saya bertekad untuk menamatkan pengajian ijazah saya dalam bidang Syariah Islamiyah di Kaherah, Mesir. Itu impian saya", Begitulah ungkapan yang tidak putus-putus keluar daripada bibir adik Nurul Aisyah Romzi, 22 dari Kampung Bukit Rhu Rendang. Nasib pelajar syariah tahun 3 itu kurang baik apabila beliau terjatuh dalam bilik air ketika berada di Mesir baru-baru ini.   Berikutan impian besar Nurul Aisyah untuk menamatkan pengajian dalam masa terdekat, ayahnya Romzi Ramlee, 52, bertekad menerbangkan anaknya ke Malaysia kerana ingin melakukan rawatan di sini. Beliau sekeluarga ditemui pemberita ketika program ziarah mingguan isteri ahli Parlimen Marang, To Puan Hajah Zainab Awang.  Ziarah ini diadakan setiap minggu bersama Halwa peringkat parlimen Marang dengan menumpukan keempat-empat DUN di kawasan ini yang melibatkan ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
18 Mar 21
478
Majlis Pekerjaan Belia Atasi Masalah Pengangguran
Majlis Pekerjaan Belia Atasi Masalah Pengangguran
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Malaysia sedang berusaha menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan anak muda di negara ini melalui penubuhan Majlis Pekerjaan Belia. Ahli Dewan Negara, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya yakin majlis itu mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada seramai 500,000 belia melalui tiga insiatif. "Pertama, 'My Future Job' dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah pun dilaksanakan boleh diakses melalui internet, kedua ialah program Skim Perantisan Nasional (SPN) dibawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS). "Terakhirnya ialah 'Mari Kerja' di bawah Institut Automotif, Robotik dan Internet Of Things (IoT) Malaysia atau di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran di TV Darul Iman melalui E-Forum : 'Survival Hidup Belia, Apa Kata Senator? ', baru-baru ini. Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia memberitahu bahawa usaha tersebut merupakan cadangan daripada pihaknya yang telah diterima oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Ditakdirkan Allah perkara itu  diangkat dalam bajet 2021 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri. "Jika kita dapat menyelesaikannya melalui insiatif ini, tinggal lagi 300,000 belia menganggur yang boleh kita uruskan pula pada tahun 2022, pada waktu itu insya-Allah pandemik Covid-19 lebih terkawal dengan adanya vaksin," ujarnya. Kata beliau, impian untuk mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia menjadi prinsip asas kepada belanjawan negara di samping meningkatkan percambahan ekonomi rakyat dan mengawal inflasi untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
18 Mar 21
389
'Jemari' Emas Mampu Tambah Pendapatan
'Jemari' Emas Mampu Tambah Pendapatan
MARANG, 18 Mac - Kelas jahitan 'Bengkel Jemari Emas' yang disertai golongan wanita, terutama suri rumah dan ibu tunggal  boleh diaplikasikan sebagai 'Benchmark' atau sempadan yang mampu menambah pendapatan keluarga. Isteri Menteri Besar Terengganu, Tuan Ab Rahman berkata, dia  harap peserta ambil peluang ini, kerana daripada kemahiran itu, peserta pastinya  boleh menjana pendapatan yang tinggi lebih-lebih lagi jika berupaya mengeluarkan jenama dan produk sendiri. "Walaupun kita mungkin tidak sama seperti pereka fesyen di luar sana, guna sempadan ini untuk kita jana pendapatan sendiri di samping membantu kehidupan masing-masing. "Ambil lah ilmu ini untuk menghasilkan produk sendiri dan jika boleh dipasarkan, itu adalah usaha yang sangat baik. Khairunnisa' juga boleh menawarkan khidmat untuk memasarkan produk tersebut melalui jualan atas talian seperti 'Shopee', tambahnya. Beliau berkata ketika merasmikan program Bengkel Jemari Emas Parlimen Marang, di Balairaya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pengkalan Berangan, semalam. Bengkel yang diadakan itu adalah salah satu program di bawah kluster ekonomi dan keusahawanan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'). Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN), Sulaiman Sulong, dan isteri-isteri wakil rakyat dalam parlimen Marang. To' Puan Seri Tuan Faizah turut memberitahu golongan wanita sebenarnya sangat istimewa di mana dalam al-quran juga disebut dalam satu surah iaitu surah an-nisa, malah ibarat kata pepatah 'Tangan Yang Menghayun Buaian, Mampu Mengoncangkan Dunia' serta tema hari wanita tahun ini juga, adalah 'wanita bangkit menghadapi cabaran'. "'Oleh itu rebutlah peluang yang ada, tambahan pula sekarang ini pelbagai bantuan kerajaan ditawarkan semata-mata mahu membantu rakyat menambah sumber pendapatan,"katanya.              
18 Mar 21
243
Syukur, Akhirnya Terima Bekalan Elektrik
Syukur, Akhirnya Terima Bekalan Elektrik
MARANG, 18 Mac - Penderitaan sebuah keluarga yang tinggal di rumah tidak berelektrik selama lebih 15 tahun berakhir setelah mendapat bekalan asas itu baru-baru ini. Zakaria Mamat, 48, berkata, dia dan keluarga sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya mereka dapat hidup seperti orang lain. Katanya, sebelum ini mereka hanya menyambung tenaga elektrik dari rumah bersebelahan akibat tidak mampu menanggung kos pendawaian dan deposit elektrik. "Biasanya kami hanya menggunakan sebiji lampu mudah alih bagi menerangi rumah pada waktu malam, ke dapur dan kemana-mana hanya bergantung pada lampu tersebut. "Bilik anak-anak juga bergelap dan saya juga tidak berani menambah serta menyambung lebih banyak peralatan elektrik kerana bimbang berlaku masalah," jelasnya. Beliau berkata ketika menerima kunjungan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, ke rumahnya setelah selesai pemasangan tersebut. Sebelum ini, keluarganya turut dikunjungi oleh PKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Bukit Kecil. Sementara itu, Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah berusaha membawa permasalahan keluarga Zakaria kepada agensi terbabit iaitu MAIDAM, bagi mendapatkan bantuan dana pendawaian tersebut. "Saudara Zakaria juga mempunyai masalah kewangan, di mana dia yang berkerja sebagai pemandu bas persiaran sebelum ini tidak dapat berjalan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekaligus menyebabkannya hilang mata pencarian. "Usahanya sebelum ini memohon bantuan daripada beberapa pihak tidak mendapat perhatian, jadi kita merasa bersyukur kerana dapat membantu keluarganya untuk tinggal di rumah yang lebih selesa dengan mempunyai bekalan elektrik. "Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih, kepada mereka yang terlibat dalam membantu menyelesaikan masalah keluarga ini terutamanya MAIDAM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Marang dan JPKK Kampung Baru Bukit Kecil." PKM juga telah memaklumkan kepada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai cadangan penama e-kaseh, bagi membantu penduduk kurang berkemampuan, tambahnya.
18 Mar 21
1342
Khairunnisa' Sumbang RM2,000 Setiap DUN, Bantu Mangsa Banjir
Khairunnisa' Sumbang RM2,000 Setiap DUN, Bantu Mangsa Banjir
MARANG, 14 Mac - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') bergerak aktif dalam menyumbang bantuan kepada mangsa banjir di mana setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan sebanyak RM2,000. Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, setiap DUN terdiri daripada 20 orang penerima yang terlibat dalam bencana dan musibah banjir baru-baru ini, juga merupakan mereka yang kurang berkemampuan. Bantuan ini adalah usaha Khairunnisa' untuk membantu penduduk di seluruh negeri Terengganu khususnya tempat yang terjejas teruk di samping bantuan daripada agensi terlibat. Beliau berkata ketika hadir menyerahkan bantuan tersebut kepada beberapa orang penduduk kampung di sekitar DUN Rhu Rendang baru-baru ini. Turut hadir adalah petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Rhu Muda, Kijing, Rhu Dua dan Rusila. "Sebenarnya bantuan ini telah bermula lama dulu, tetapi ada beberapa tempat yang menerima bantuan agak lambat kerana kekangan pergerakan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Alhamdulillah, selepas pergerakan kembali seperti biasa, dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, sumbangan ini dapat diserahkan semula," tambahnya lagi. Beliau juga sempat menyantuni beberapa orang penduduk yang kurang sihat, sakit kronik dan baru menerima cahaya mata kembar seiras di sini.
18 Mar 21
262
Jangan Timbullkan Kekeliruan Tentang Vaksin
Jangan Timbullkan Kekeliruan Tentang Vaksin
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Golongan agamawan dan daie di negeri ini diingatkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan perlu berhati-hati dalam mengemukakan sebarang pandangan mengenai vaksin COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebarang pandangan yang dikemukakan seseorang di luar bidang ilmu dan kepakarannya dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan. “Pada masa sama, pastinya akan timbul salah tanggapan dalam kalangan masyarakat terutamanya orang awam. “Pihak yang mempunyai kepakaran khusus mengenai vaksin COVID-19 adalah mereka yang berkecimpung dalam bidang perubatan seperti doktor, pengamal perubatan, ahli farmasi dan sebagainya. “Sekiranya tetap mahu beri pandangan mestilah berdasarkan kajian terperinci dan tidak bertentangan dengan apa yang dikemukakan oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya. Beliau berkata demkian ketika berucap dalam Program Tausiyah Dhuha Daie Terengganu bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al Makki di Dewan Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort, hari ini. Mohd Nor turut mengingatkan daie agar sentiasa mencari ilmu baru dan menjaga adab ketika menyampaikan ceramah. Katanya, menyampaikan ilmu bergantung kepada keadaan masyakat setempat. Jika orang kampung, sewajarnya menggunakan bahasa yang mudah difahami. “Ketika menggunakan laman sosial pula, setiap kata-kata perlu diperhalusi kerana setiap apa yang dipaparkan akan menjadi ikutan terutama bagi mereka yang cetek ilmu agama,” katanya.    
17 Mar 21
1052
Empat OKU Ungguli 'Top Ten' Runner Grab Food Terengganu
Empat OKU Ungguli 'Top Ten' Runner Grab Food Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Mac- Sering kali kita mendengar penghantar makanan dibarisi golongan sempurna dan sihat, maka sesuatu yang luar biasa jika penghantar makanan (runner) itu adalah Orang Kurang Upaya (OKU). Ini terbukti apabila empat OKU tersenarai antara 10 penghantar makanan terbaik Grab Food di Kuala Terengganu mengatasi runner yang sempurna segala sifatnya. Salah seorang daripada 10 penghantar makanan OKU yang ditemui,  Mohammad Asyraf Anuar, 24, berkata, baginya kudrat yang ada tidak akan dipersia-siakan. Katanya yang juga bertindak sebagai penterjemah bahasa isyarat bagi rakan-rakan, selagi mampu mereka akan berusaha tanpa mengharap bantuan dan tugas dijalankan penuh keikhlasan. "Saya pernah rasa kecewa apabila permohonan ditolak oleh satu syarikat penghantar makanan hanya kerana bergelar insan istimewa. "Setelah mendapat tawaran daripada Syarikat Penghantar Perkhidmatan Makanan (Grab Food), saya turut mempelawa rakan-rakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri (Pendidikan Khas) yang senasib untuk bersama-sama dalam bidang ini. "Alhamdulillah, kami semua berjaya menjana pendapatan hampir RM3,000 sebulan tanpa membebankan orang lain,"  ujarnya yang mempunyai masalah pendengaran. Sementara itu, bagi Ahmad Aiman Yaakob 22, dari Bukit Kecil berkata dia memilih kerjaya sebagai penghantar makanan kerana mampu menjana pendapatan lumayan dan pembahagian masa yang lebih terurus. Menurutnya yang tiada deria pendengaran (pekak) dan bisu, itu juga bukan alasan untuk tidak mara ke hadapan dan meratapi nasib diri. "Saya pernah menunggang motosikal meredah hujan lebat demi tugasan dan  ada juga pelanggan yang membatalkan tempahan saat akhir," ujarnya yang mempunyai Sijil Mekanikal Politeknik Shah Alam. Ditanya apakah cabaran sebagai seorang rider, Aiman memberitahu tidak banyak kesukaran yang dihadapinya kerana komunikasi antaranya dengan pembekal makanan dan pelanggan adalah menerusi aplikasi mesej. Lain pula bagi Ahmad Muhaimin Yatim, 29, dari Rusila, memilih kerjaya itu untuk mengumpul duit bagi melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya pada Julai ini. "Rasa bersyukur tunang dan keluarganya memahami apa yang saya sedang lakukan sekarang dengan hanya satu pesanan iaitu sentiasa menjaga keselamatan diri. "Insya-Allah, saya akan kerja sebaik mungkin untuk masa depan yang akan kami bina nanti,"katanya.            
17 Mar 21
2969
Dari Rusila Ke Litar Antarabangsa Sepang
Dari Rusila Ke Litar Antarabangsa Sepang
MARANG, 17 Mac - Seorang anak muda kelahiran Kampung Rusila telah memenangi tempat kedua dalam pertandingan Musc-Sic Sepang Drag Battle Drag Bike Test pada 12 Mac lalu  di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur. Bermula daripada suka-suka membaiki motosikal hanya di rumahnya di Kampung Rusila. Lama-kelamaan beliau membuka sebuah bengkel membaiki motosikal. Beliau yang dimaksudkan ialah Abdul Hadi Haris. Hadi, 23 tahun menetap di Kampung Rusila, Marang Terengganu.   Baru-baru ini Abdul Hadi telah memenangi tempat kedua dalam pertandingan Musc-Sic Sepang Drag Battle Drag Bike Test pada 12 Mac 2021 di Litar Antarabangsa Sepang. Sementara itu, Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Marang, Yusuf Abdul Hadi mengadakan lawatan ke bengkel beliau di Kampung Rusila. Sedikit sumbangan diberikan kepada anak muda ini bagi meraikan dan menghargai jasa mengharumkan nama kampung dalam Kawasan Marang.
17 Mar 21
14714
‘Kad Sejahtera’ Inisiatif Demi Kebajikan Dan Kesejahteraan Rakyat
‘Kad Sejahtera’ Inisiatif Demi Kebajikan Dan Kesejahteraan Rakyat
HULU TERENGGANU,17 Mac - Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kesihatan rakyatnya terus terpelihara dan menjadi masyarakat produktif yang membangunkan negara.  Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata,sehubungan dengan itu, Terengganu telah memperkenalkan Kad Sejahtera, satu inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapat rawatan di klinik swasta terpilih. “Disebabkan itu, golongan sasar itu bakal menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun.Menyedari kepentingan kesihatan, dasar kesihatan tetap menjadi keutamakan dalam semua rancangan pembangunan negeri. Jika dibandingkan dengan dasar-dasar lain, kesihatan adalah bidang yang tetap menjadi keutamaan kerajaan.  “Contoh di DUN Ajil, seramai 501 orang yang layak dapat Kad Sejahtera di sini hari ini, membuktikan komitmen kerajaan dalam soal kesihatan rakyat terus diutamakan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika Program penyerahan Kad Sejahtera kepada seramai 501 orang penerima di DUN Ajil hari ini. Tambahnya, usaha tersebut bertujuan membantu meringankan beban golongan berkenaan khususnya bagi menerima rawatan asas serta pelbagai manfaat perlindungan kesihatan.   "Sebab itu, kerajaan menyediakan peruntukan besar, seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 yang lalu. Kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri  Mokhtar akan terus melakukan pelbagai penambahbaikan, dan juga lonjakan dari segi kualiti perkhidmatan,"katanya.   
17 Mar 21
922