lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Lebih RM1.5 Bilion Diperuntuk, Selesai Masalah Saliran Terengganu
Lebih RM1.5 Bilion Diperuntuk, Selesai Masalah Saliran Terengganu
KUALA TERENGGANU,14 Mac - Lebih RM1.5 bilion diperuntukkan kerajaan untuk projek pembangunan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Terengganu menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12. Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada peruntukan tersebut, dianggarkan RM861 juta untuk projek pemuliharaan muara sungai yang melibatkan muara Sungai Paka, Sungai Besut, Sungai Ibai, Sungai Merchang, Sungai Setiu dan Sungai Dungun. “Manakala RM105 juta untuk tujuan pengawalan hakisan Pantai Kuala Nerus dan Pantai Marang. “Bagi projek tebatan banjir sebanyak RM442 juta diperuntukkan yang melibatkan Sungai Kemaman, Bukit Payung, Kemasik, Guntung Luar, Gong Kiat dan Kuala Terengganu Utara,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.  Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman. Sementara itu kata Tuan Ibrahim, projek ramalan dan amaran banjir fasa satu berjumlah RM 28 juta, melibatkan Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Kelantan. “Projek ramalan dan amaran banjir fasa dua sebanyak RM5.3 juta melibatkan seluruh Negeri Terengganu, pemuliharaan Sungai Cepuh berjumlah RM15 juta dan projek penyenggaraan kolam takungan banjir berjumlah RM4 juta,” ujarnya. Katanya, diharapkan dengan kelulusan projek oleh kementerian yang melibatkan peruntukan agak besar ini dapat membantu mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan sungai di Negeri Terengganu.  
14 Mar 21
1464
Kalimah Allah : PAS Syor Kerajaan Buat Rayuan
Kalimah Allah : PAS Syor Kerajaan Buat Rayuan
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - “Kita sudah membuat keputusan di peringkat parti supaya kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan kita juga hormati hak mahkamah dalam membuat keputusan. "Apa yang penting pada kita adalah undang-undang tidak melihat soal sentimen, emosi dan kita tengok reaksi masyarakat Islam dalam isu ini sangat serius. Sebab itu, kita minta kerajaan buat rayuan supaya dapat semak kembali keputusan,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian bagi mengulas keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian. Katanya, PAS memohon kerajaan membuat rayuan semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu. Katanya, tindakan itu bukan bermaksud PAS tidak menghormati keputusan mahkamah sebaliknya ia hanya proses biasa selepas sesebuah keputusan mahkamah diputuskan. Menurutnya, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam negara ini. "Harapan kita perkara ini tidak perlu dijadikan isu yang boleh menimbulkan polemik. Peraturan mahkamah kita hormati tapi prosedur yang ada kita gunakan sepenuhnya," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.  Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.    
14 Mar 21
296
Semua Vaksin COVID-19 Dijamin Selamat
Semua Vaksin COVID-19 Dijamin Selamat
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Orang ramai dinasihatkan tidak memilih atau mempersoalkan jenis vaksin COVID-19 yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kesemuanya dijamin selamat serta sudah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin seperti Pfizer-BioNtech, Astrazeneca, Sinovac, Cansino Biologics dan Sputnik V memiliki keberkesanan yang sama. "Vaksin Sinovac yang dibotolkan akan mula diterima pada 15 Mac, saya sendiri bersama dengan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin akan mengambil suntikan itu. "Saya akan mengambilnya di negeri ini untuk memberi keyakinan kepada masyarakat awam khususnya rakyat negeri ini bahawa ia adalah selamat," katanya. Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata demikian selepas merasmikan program Semarak Dakwah 2.0 di Pasar Kedai Payang, pada hari ini. Mengulas mengenai kebimbangan rakyat terhadap beberapa eksiden berkait keberkesanan vaksin AstraZeneca di luar negara, beliau berkata laporan yang diterima selepas siasatan mengesahkan ia tidak benar. "Saya ingin memaklumkan vaksin itu telah diluluskan secara bersyarat dan Malaysia akan mula menerimanya pada sukuan ketiga, masih punyai tempoh ada tempoh tiga atau empat bulan lagi. "Jadi dalam tempoh ini kita akan memantau dengan teliti perkembangan di seluruh dunia berhubung dengan beberapa eksiden yang dimaksudkan," ujarnya. Dalam pada itu Ahmad Amzad berkata, sehingga semalam lebih 290,000 ánggota barisan hadapan telah menerima suntikan vaksin fasa pertama yang berakhir April ini. "Jumlah yang kita sasarkan untuk fasa pertama ini ialah 571,000 jadi untuk kadar vaksinasi yang sedang dilaksanakan sekarang sebenarnya kita agak terkehadapan. "Jadi saya yakin fasa ini akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dengan melihat perkembangan minat masyarakat sehingga sekarang melalui pendaftaran lebih 5.5 juta dengan purata setengah juta yang mendaftar setiap hari," katanya.    
14 Mar 21
244
RM7.5 Juta Diluluskan Untuk Kerja Pemuliharaan Sungai Atasi Risiko Banjir
RM7.5 Juta Diluluskan Untuk Kerja Pemuliharaan Sungai Atasi Risiko Banjir
KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM7.5 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengatasi risiko banjir untuk Negeri Terengganu tahun ini. Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada peruntukan tersebut, RM4.8 juta kerja akan dilaksanakan secara undian yang melibatkan 103 kerja di semua lapan daerah yang melibatkan kerja di bawah RM100,000 bagi kontraktor kelas G1 pada hari ini dan selebihnya akan dilaksanakan pada fasa kedua dalam masa terdekat. “Hari ini saya telah merasmikan Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah Peruntukan  Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) bagi kerja-kerja pemulihan sungai untuk mengurangkan risiko bencana banjir di Negeri Terengganu.  “Pelaksanaan perolehan kerja secara undian ini adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja disamping membantu kontraktor bumiputera Kelas G1 dalam menjana semula ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.  Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman. Menurut Tuan Ibrahim, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk kerja-kerja pemulihan sungai bagi mengurangkan risiko bencana banjir di seluruh negara bagi tahun 2021 selaras dengan hasrat utama kerajaan untuk melihat sektor ekonomi domestik terus digerakkan.  “Saya percaya melalui kaedah pemilihan secara undian akan dapat memastikan bahawa proses pelantikan kontraktor dapat disempurnakan secara terbuka dan telus.  “KASA akan bertindak tegas dalam perkara ini bagi meminimumkan bilangan projek sakit, termasuk menamatkan kontrak atau membuat penyenaraian hitam terhadap kontraktor yang gagal memenuhi syarat yang telah dipersetujui,” ujarnya. Katanya, tawaran kerja untuk fasa pertama melibatkan negeri Johor yang telah diadakan pada 8 Mac lalu, negeri Terengganu (hari ini), diikuti dengan Kelantan, Pahang, Melaka, Kedah dan Perlis. “Manakala, fasa Kedua pula melibatkan Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Labuan, Sabah dan Sarawak,” ujarnya. Jelas beliau, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pemuliharaan sungai dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan selepas kontraktor berjaya mendapat projek terbabit menerusi proses undi yang dilakukan.  
14 Mar 21
568
Abdul Hadi Selesai Divaksin Covid-19
Abdul Hadi Selesai Divaksin Covid-19
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, 74, hari ini menerima vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering di sini. Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah disuntik Ketua Jururawat, Raziah Hanim Mamat kira-kira pukul 10.15 pagi. Beliau antara penerima vaksin Covid-19 terawal di kalangan pemimpin PAS di negeri Terengganu. “Saya sudah biasa setiap dua minggu sekali ke hospital, jadi proses vaksinasi yang dilakukan tadi adalah seperti biasa. “Mendapatkan suntikan Covid-19 adalah antara ikhtiar kita selain bertawakal kepada Allah dan usaha untuk mencegah sebelum sakit itu sangat penting. "Prosedur vaksinasi Covid-19 yang dijalankan hari ini sama seperti rutinnya mendapatkan rawatan di hospital sebelum-sebelum ini," kata Abdul Hadi sebelum beredar meninggalkan klinik pada jam 10.40 pagi tadi.  
14 Mar 21
465
Dakwah Wujudkan Suasana Sejahtera, Selamat
Dakwah Wujudkan Suasana Sejahtera, Selamat
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Program dakwah yang dianjurkan pelbagai pihak termasuk oleh badan bukan kerajaan (NGO) diyakini mampu mewujudkan suasana yang sejahtera dan selamat. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, impak baik kepada seluruh masyarakat termasuk kalangan yang bukan beragama Islam dapat dilihat melalui aktiviti Semarak Dakwah 2.0 oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini. "Mesej-mesej yang disampaikan bersifat umum, bukan semata-mata melibatkan ibadat khusus tapi sebahagian mesej bersifat umum seperti anjuran untuk menjadi rakyat yang baik dari segi akhlak, menjaga kebersihan juga keselamatan. "Jadi ia juga selari dengan 'Maqasid Syariah' melalui dakwah dibawa YADIM ini," ujarnya. Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata demikian selepas menyempurnakan gimik perasmian program Semarak Dakwah 2.0 (Street Dakwah & Musa'adah Covid-19) di Pasar Kedai Payang, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah kanan Sektor Latihan & Pengkaderan YADIM, Kapten (B) Shamsuddin Moner, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Muhammad Ramlan Mahmood, Timbalan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Sazali Mohd Noor.                               Mengulas mengenai program terbabit, Ahmad Amzad berkata ia melibatkan 300 sukarelawan YADIM dengan kerjasama Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) menerusi Terengganu Volunteer ( T-Volt) Katanya, dakwah di lokasi tumpuan ramai itu merupakan suatu inovasi yang lebih efektif dan menyeluruh. "Kita membawa keluar daripada konsep yang biasa dilakukan di institusi-institusi seperti surau, masjid dengan cara memasyarakatkan dakwah itu sendiri dengan masuk ke akar umbi . "Ini menjadi kesinambungan kepada program yang telah diadakan tahun lepas di mana ia mendapat maklum balas yang positif, ini menunjukkan satu lagi kemajuan apabila masyarakat terdiri daripada peniaga kecil, penjaja dan pemandu-pemandu bas sekolah turut didekati," katanya.  
14 Mar 21
169
Pembangunan Projek ECRL Lepasi Sasaran
Pembangunan Projek ECRL Lepasi Sasaran
KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Status terkini Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga bulan Februari 2021 menunjukkan perkembangan membanggakan selepas peratusan kemajuan dalam negeri ini melepasi sasaran asal. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, keadaan pembangunan semasa projek tersebut adalah kehadapan dengan 3.82 peratus berbanding 1.46 peratus mengikut jadual asal. “Ini bermakna kita memintas jadual dan merupakan satu petanda baik, jika kita boleh lihat terowong di Paka sudah berjalan dan begitu juga di Bukit Bauk, Dungun dengan pembinaan terowong dalam proses untuk disiapkan. “Kerajaan negeri turut memulakan perancangan mengenalpasti tanah-tanah bersesuaian bagi pembangunan di sekitar stesen-stesen ECRL dalam lingkungan radius 5 kilometer. “Pembangunan ini di bawah Economic Accelerated Project (EAP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam mewujudkan hab kargo, pembangunan kawasan perindustrian dan juga pembinaan secara Townsed Oriendted Development (TOD),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini. Tambah Dr Mamad, pelaksanaan projek di sekeliling laluan kereta api akan berpotensi meligatkan ekonomi negeri khususnya mengukuhkan pelaburan sedia ada serta mengurangkan kos ‘doing business’ dalam negeri. Berdasarkan laporan sebelumnya, Terengganu akan mempunyai enam buah stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo. Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026 merangkumi laluan sepanjang 640 km dengan perubahan jajaran sebanyak 417 km atau 65.2 peratus daripada jajaran asal.
14 Mar 21
2821
Cawangan Pejabat LHDN Terengganu Ditutup, Jalani Proses Sanitasi
Cawangan Pejabat LHDN Terengganu Ditutup, Jalani Proses Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 13 Mac -  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada hari ini telah memaklumkan beberapa cawangan dan pejabat LHDN di sekitar Terengganu akan ditutup buat sementara mulai esok hingga 16 Mac bagi memberi laluan kepada kerja sanitasi. LHDN dalam satu kenyataan, menyatakan antara cawangan terlibat dalam proses tersebut adalah Pejabat Pengarah Negeri Terengganu dan Kelantan di Kuala Terengganu, Cawangan Siasatan Kuala Terengganu, Pusat Khidmat Hasil (PKH) Kemaman dan PKH Dungun. Menurut kenyataan tersebut lagi, cawangan alternatif lain bagi mereka yang ingin berurusan boleh menuju ke PKH Hulu Terengganu dan PKH Besut. Agensi tersebut turut menyarankan kepada para pelanggan yang hadir ke kaunter perkhidmatan LHDN agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penyebaran COVID-19. Untuk maklumat lebih lanjut, senarai pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara boleh dicapai melalui pautan di http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/Notis_Penutupan_Cawangan_LHDNM_Covid_19_1.pdf Bagi pertanyaan lanjut, talian Hasil Care Line di nombor 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara; HASiL Live Chat; dan melalui borang maklum balas di portal rasmi LHDN  
13 Mar 21
2125
SRIDI Berjaya Lahir Murid ‘Genius’
SRIDI Berjaya Lahir Murid ‘Genius’
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Rata-rata ibu bapa pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) sangat berpuas hati dengan institusi pendidikan baharu kerajaan negeri itu selepas anak-anak mereka mampu menguasai ilmu agama dan bertutur dalam bahasa arab dengan baik. Bermula pada tahun 2019, SRIDI yang kini mencecah usia tiga tahun mampu membentuk generasi yang cemerlang dalam ilmu dunia dan akhirat. Bapa kepada pelajar SRIDI, Muhamad Rizal Abu Seman, 34, memaklumkan institusi Pendidikan awal itu berjaya mengeluarkan potensi dan minat anaknya, Adni Safiyyah Muhamad Rizal, 9, untuk mempelajari agama dan bahasa Arab di SRIDI Buluh Gading. “Silibus yang diajar kebiasaannya hanya didapati pada peringkat sekolah menengah, tetapi SRIDI telah menyediakan acuan dalam pendidikan rendah dengan subjek seperti Feqah, Sirah, Tauhid dan lain-lain lagi. “Oleh itu, siapa yang menduduki kelas di SRIDI sudah ada asas kukuh dalam subjek agama Islam tanpa ketinggalan dalam akademik, serta keupayaan menulis dan membaca bahasa Arab dan tulisan Jawi. “Dari segi kecekapan, anak saya juga menunjukkan peningkatan, contohnya subjek Feqah yang dipelajari ada perkataan dalam bahasa Arab yang kita tidak tahu, tapi dia sudah boleh kenal,” katanya yang juga seorang guru kepada UPDI baru-baru ini. Sementara itu, menurut seorang lagi penjaga, Rozaimah Awang, 36, yang juga ibu kepada seorang, Nur Fatin Salihah Muhamad Hanif, 9, peningkatan kemahiran menulis jawi dan mengaji Al-Quran anaknya selepas belajar di SRIDI sangat membanggakan. “Anak sulong kami daripada empat orang beradik ini mula di bangku SRIDI sejak darjah satu, pada mulanya dia kurang sedikit bab menulis arab dan jawi. “Tetapi sekarang dia sudah ada asas dalam subjek Diniyyah tersebut, tambah lagi dengan silibus Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) jadi pendidikan itu seimbang,” katanya. Tambah suri rumah kepada empat orang anak itu lagi, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang disediakan pihak sekolah semasa musim pandemik ini juga mencukupi. “Bahan belajar melalui aplikasi Google Meet, Telegram dan Whatsapp memberikan peluang kepada anak saya untuk belajar dengan baik, silibus juga tidak membebankan,” jelasnya. Dalam pada itu, bapa Nur Fatin, Muhamad Hanif Yahaya, 37, turut menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam menyediakan platform pendidikan agama bagi peringkat sekolah rendah. “Dulu, hanya ada pilihan sekolah swasta sahaja yang menyediakan pendidikan agama bersama KSSR, namun kini mujur kerana SRIDI mengisi keperluan itu,” jelasnya. Untuk rekod, SRIDI dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) merupakan manifesto kerajaan negeri bagi membangunkan modal insan seiring kehendak dunia dan akhirat.
11 Mar 21
4772
Ambil Iktibar Peristiwa Isra' dan Mikraj, Sempurnakan Ibadat Solat
Ambil Iktibar Peristiwa Isra' dan Mikraj, Sempurnakan Ibadat Solat
KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Umat Islam dalam negeri ini diseru supaya menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai satu tanda kebesaran serta kehebatan kuasa Allah. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, melalui ucapannya berkata, peristiwa tersebut menceritakan pertemuan antara Rasullulah SAW dengan Allah SWT yang telah memberikan perintah kefarduan solat lima waktu. “Begitu besarnya kefarduan solat ini maka ia adalah satu tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengambil inisiatif membesar-besarkan perihal solat di Terengganu. “Di Terengganu sejak tahun 2019, kita telah menggerakkan agenda solat ini selama sebulan melalui program Bulan Penghayatan Ibadah Solat, supaya kesedaran solat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat," kata Ahmad Samsuri. Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Israk Mikraj Peringkat Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi tadi. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Zulkifly Muda serta Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Rozali Salleh. Beliau turut menyifatkan peristiwa perjalanan Rasullulah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebagai perkara tidak tercapai dengan ilmu manusia pada waktu itu. “Di sinilah kita wajib bertambah yakin bahawa betapa kerdil dan ceteknya ilmu manusia, tetapi manusia tetap menjadi angkuh dengan meninggalkan ajaran Islam," tambahnya. Sementara itu, Mohd Nor Hamzah berkata, kedudukan ibadah solat adalah amat tinggi di sisi agama Islam kerana ia adalah penghubung umat dengan Allah SWT. “Salah satu inisiatif yang boleh dikatakan rutin tahunan mengelanya bulan Rejab adalah melaksanakan Bulan Penghayatan Solat. “Jelaslah bahawa, pendekatan Kerajaan Negeri Terengganu yang ditunjukkan ini adalah bagi melahirkan masyarakat yang bersifat Khairu Ummah menjadikan Negeri Terengganu sebagai sebuah negeri 'baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur',” jelasnya.
11 Mar 21
481