Artikel "Semasa" Terkini
Warisan Terengganu Dipelihara Melalui Digitalisasi
KUALA NERUS, 22 Mac - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus bergerak ke hadapan dalam memelihara warisan Terengganu apabila melaksanakan langkah mendigitalkan khazanah negeri tersebut.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, usaha itu penting bagi mengembalikan semula minat masyarakat khususnya pencinta budaya terhadap wasrisan negeri seiring dengan perkembangan dunia.
Katanya, langkah terbaru yang dilakukan Pusat Kesenian dan Warisan (PKW) UniSZA ialah mengangkat usaha pendigitalan khazanah berkenaan ke peringkat nasional.
"Kita telah menyertai ArtScience di balai Seni 'Maybank's Virtual Reality Gallery' di Kuala Lumpur dan peringkat antarabangsa dengan membuat penyertaan di 'Digital Representation dan Research in Art', 'Humanities and Culture di Centre For Greater China Studies' dan ' The Hang Seng University Of Hong Kong' di China," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada Majlis Perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara universiti berkenaan dengan Husa Network Sdn Bhd serta Avantcom International Sdn Bhd, di sini semalam.
Majlis yang telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali itu turut dihadiri oleh Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd ,Ozarizan Mohd Nor, Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman, serta Ketua Pegawai Eksekutif Avantcom International Sdn Bhd, Farhana Abdullah.
Menurut Dr Hassan, pendigitalan manuskrip mengenai khazanah kesenian dan warisan juga sedang dibangunkan.
"Melalui kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP) selain arkib dari negeri ini dikumpulkan, kita juga telah turut menerima 30,000 naskah manuskrip dari luar dan dalam negara.
"Perbincangan telah dijalankan dengan beberapa buah negara seperti eropah, timur tengah dan juga dari negara untuk tujuan itu bagi mengikut langkah sebagaimana Perpustakaan di British terkenal kerana menyimpan benda lama seperti manuskrip ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Dato' Yahaya Ali berkata, usaha dilakukan pihak universiti terbabit diyakini akan mencetuskan kesan yang baik untuk negeri ini.
"Perjanjian yang dimenterai itu akan menjadi nilai tambah dalam memperkenalkan seni warisan yang kita ada sekali gus mengalakkan pelancong untuk hadir ke negeri ini.
"Kita mahu pembinaan kekuatan yang berkaitan kesenian warisan budaya kita ini akan lebih dikenali, dipandang hebat dan boleh dihayati oleh seluruh masyarakat," ujarnya.
Mewakili HUSA Network Sdn Bhd, Ozarizan berkata melalui kerjasama yang telah dimeterai, pihaknya mengambil langkah kehadapan.
"Kita akan memberikan kerjasama bagi memastikan hasrat untuk memartabatkan kesenian dapat dicapai melalui penyampaian kandungan berbentuk kesenian dan kebudayaan melalui siaran radio Manis FM yang kita miliki," ujarnya.
21 Mar 21
1087
Jangan Khuatir, Suntikan Vaksin Selamat
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Orang ramai diminta agar tidak khuatir akan tahap keselamatan suntikan vaksin Covid-19 biarpun pelbagai berita palsu banyak tersebar mutakhir ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi, tidak dinafikan bahawa sesetengah individu berkemungkinan akan mengalami kesan sampingan tertentu selepas suntikan.
“Namun, saya dimaklumkan oleh doktor bahawa kesan sampingan itu hanyalah sementara,” katanya kepada pemberita setelah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering, kelmarin.
“Justeru, saya mengajak orang ramai untuk mendaftar suntikan vaksin Covid-19 di aplikasi MySejahtera bagi melancarkan urusan suntikan imunisasi tersebut di masa akan datang,” tambahnya lagi.
Klinik Kesihatan Chendering telah memulakan program suntikan vaksin Covid-19 sejak 2 Mac lalu untuk petugas barisan hadapan.
21 Mar 21
320
BERKAT Kembalikan Senyum Rakyat
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Senyuman jelas terukir di wajah rakyat Terengganu yang terjejas COVID-19 selepas kerajaan negeri menyalurkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) bernilai RM19 juta.
Mohd Armin Seman, 51, yang berkhidmat sebagai malim gunung berkata, rata-rata penerima berpendapat bahawa pemberian insentif tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Saya sendiri terpaksa menukar kerja selepas sektor pelancongan tidak dibenar beroperasi. Sekarang melakukan kerja kampung untuk menyara keluarga kerana kewangan saya dan keluarga terjejas.
“Alhamdulillah, insentif daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga berdepan permasalahan ini,” ujarnya yang sudah berkecimpung dalam pekerjaan malim gunung sejak empat tahun lalu.
Mohd Armin
Bagi pemandu bot laju, Mohd Sabri Idris, 49, memberitahu bahawa langkah memperkenalkan BERKAT tersebut menunjukkan bahawa kerajaan negeri amat memahami keperluan rakyat dalam tempoh sukar ini.
“Pertama sekali, saya mewakili rakan-rakan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberikan bantuan ini kepada kami. Insya-Allah kami gunakan bantuan ini untuk membiayai keperluan keluarga memandangkan pendapatan berkurangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang peniaga Kedai Urutan Tradisional (SPA) dari Kampung Surau Haji Daud, Marang, Norhayati Mohammed, 39, pula berkata, bantuan itu sangat bermakna kerana sepanjang pelaksanaan PKP peniagaannya mengalami kemerosotan teruk.
"Saya sangat bersyukur, dengan bantuan ‘one-off’ yang diberikan ini dapatlah saya membeli barangan alatan yang diperlukan lagi dalam kerja SPA ini,” katanya.
Mohd Sabri.
Manakala bagi, Syarifah Mohd Nor, 47, yang mewakili suaminya terharu dengan sumbangan itu berikutan suaminya yang tidak dapat bekerja akibat pelaksanaan PKP 2.0.
"Terima kasih JPKK Tok Jembal, Kuala Nerus kerana memberi sumbangan ini dan terima kasih kerajaan, semoga dengan bantuan ini ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kami,” katanya.
Pada 4 Februari lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan tujuh insentif khas bagi membantu rakyat negeri ini yang terjejas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari lalu.
“Rakyat yang memerlukan tetapi tidak termasuk dalam golongan seperti disebutkan boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing untuk memohon bantuan,” tambahnya.
Syarifah menerima bantuan bagi pihak suaminya.
21 Mar 21
686
Dasar Perhutanan Malaysia Garis Hala Tuju
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) menggariskan hala tuju jelas termasuk strategi dan pelan tindakan pragmatik dalam mendepani cabaran baharu sektor perhutanan di peringkat domestik serta antarabangsa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, DPM telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-78 pada 29 Januari lalu.
“DPM merupakan dasar inklusif mengambil kira kepentingan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ke arah mencapai pembangunan mampan serta pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan berkekalan.
“Penerimaan satu dasar perhutanan di peringkat persekutuan secara amnya telah melakarkan sejarah dalam bidang pengurusan perhutanan di negara ini yang kini menjangkau usia 120 tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ahmad Samsuri telah mengikuti Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 Peringkat Negeri Terengganu secara virtual melalui aplikasi Zoom di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor.
21 Mar 21
264
“Doakan Dua Loji Air Baharu Siap Menjelang Aidilfitri’ – MB
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Kerajaan Terengganu komited untuk menyiapkan dua lagi projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu menjelang perayaan Aidilfitri nanti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua agensi termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kerja Raya dan kontraktor telah diarahkan untuk memberikan kerjasama penuh bagi menyiapkan kerja-kerja pembinaan di tapak termasuk kawasan bandar.
“Petang tadi (semalam), saya sempat meninjau perkembangan LRA Pulau Bahagia, Manir yang telah beroperasi pada 18 Mac 2021.
“Loji ini merupakan satu daripada tiga LRA baharu yang akan membekalkan 100 juta liter air untuk kegunaan 100,000 orang penduduk,” katanya selepas tinjauan tersebut.
Menurut Ahmad Samsuri, loji sedia ada hanya mampu menampung jumlah akaun yang wujud hingga tahun 2012 sahaja.
“Selepas sembilan tahun, pengguna bertambah, pembangunan meningkat dan ini memberi kesan kepada pengguna sedia ada,” jelasnya.
21 Mar 21
555
Terengganu Sedia Bantu Promosi Pelancongan Perlis
KANGAR, 21 Mac – Terengganu sedia membantu Perlis dalam memajukan industri pelancongan negeri terbabit melalui pelbagai pendekatan termasuk penggunaan teknologi digital.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dari semasa ke semasa dan akan war-warkan keunikan Perlis.
“Terutamanya melalui media sosial, masyarakat lebih cepat mendapat maklumat dan kenali perkembangan baharu di situ, bentuk pemasaran ini lebih efektif berbanding dengan kaedah konvensional lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke delegasi pelancongan Perlis di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer di sini, pagi semalam.
Turut hadir,, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.
Sementara itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan kunjungan dan sokongan padu kerajaan negeri Terengganu dalam mengiklankan pelbagai tarikan pelancongan yang ada di negerinya.
“Di Perlis, fokus adalah alam semula jadi dan eko-tourism, kita sedia maklum bahawa Terengganu terkenal dengan kepelbagaian tempat menarik di sana juga.
“Melalui kerjasama pemasaran kedua-dua negeri, secara tidak sengaja kita dapat mempromosikan antara dua negeri,” katanya.
Tambah Asmaiza, beliau turut menjemput kedatangan pelancong daripada Terengganu dan menasihati untuk menginap sekurang-kurangnya satu malam bagi pengalaman pelancongan terbaik.
“Antara lokasi eko-pelancongan yang boleh dikunjungi seperti Rimba Herba Perlis, Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Taman Rekreasi Tasik Melati, Gua Kelam dan banyak lagi. Jarak diantara tempat ini juga tidak begitu jauh,” katanya lagi.
Untuk rekod, pelancongan Terengganu miliki lebih 300 ribu pengikut di media sosial seperti ‘page’ media sosial di Instagram dan Facebook antaranya seperti ‘Page’ Facebook ‘Amazing Terengganu’ dengan ‘like’ mencecah 200 ribu.
21 Mar 21
514
Ganding Bahu Tarik Pelancong Antara Negeri
ALOR SETAR, 21 Mac – Penggiat pelancongan daripada Terengganu serta Kedah dapat menarik nafas lega kerana dapat berganding bahu dalam membantu sektor masing-masing melalui program Bisnes dengan Bisnes (B2B).
Timbalan Pengerusi Cawangan Kedah/Perlis Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Rohanee Ismail berkata, 30 ejen telah berjaya dikumpul untuk hadir ke program tersebut bagi menjalinkan hubungan memantapkan kemasukan pelancongan domestik.
“Dengan adanya program ini, kita boleh bersua muka dengan penggiat hotel Terengganu, antara kerjasama yang boleh diadakan adalah pihak kami boleh menyediakan pengangkutan dan agen pelancongan daripada Kedah ke Terengganu.
“Sitausi ini adalah ‘win-win’, Insya-Allah kita akan rangkakan pelan dan pakej bagi merealisasikan tujuan tersebut, bermula dengan pertukaran maklumat pada hari ini,” katanya Ketika ditemubual pemberita di Hotel Grand Alora, petang kelmarin.
Kenyataan positif tersebut turut dikongsi Penolong Pengurus, Pengurusan Acara Dan Promosi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Muhammad Fakhri khazali, katanya inisiatif tersebut menaikkan nama kawasan wilayah Ketengah dan memasarkan nama di Kedah.
“Sekarang ini produk kami belum dikenali di sini, Ketengah bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah menganjurkan Tahun Melawat Kenyir 2021 dengan 30 acara.
“Matlamatnya agar sambutan dengan lebih 15 agensi ke meja kami dapat memperkenalkan Tasik Kenyir di negeri ini,” jelasnya.
Ketua Jualan Duyong Marina and Resort Terengganu, Farhana Adila Mohamad Yunus, juga menerima sambutan positif daripada lebih 10 agen pelancongan.
“Platform program ini lebih membantu kerana kita dapat menjalankan perbincangan dengan ‘face to face’ bagi rundingan lebih produktif bagi pelbagai pihak terlibat,” ujarnya.
Siri pertama daripada lapan keseluruhan itu amat menggalakkan kepada sektor ekonomi negeri kerana sambutan lebih 30 pemain pelancongan Kedah, ulas Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu, Suaibah Harun.
“Hasilnya, impak tinggi terutamanya sokongan kuat daripada Tourism Terengganu menampakkan hasil tinggi dalam merancakkan kembali industri yang penting bagi negeri Terengganu,” katanya.
20 Mar 21
548
Terengganu Gerak Awal Ligatkan Pelancongan Domestik
ALOR SETAR, 22 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengerakkan usaha Program Jelajah Beautiful Terengganu “Pakat Maghi Teganu” untuk mempromosikan sektor pelancongan domestik negeri berkenaan.
Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu menjadikan Kedah sebagai negeri pertama dalam siri tersebut bagi kolaborasi Bisnes Dengan Bisnes (B2B).
“Sambutan hangat melibatkan 40 pemain industri terdiri daripada agensi pelancongan Terengganu kita bawa ke sini untuk membincangkan pakej-pakej sesuai bersama penggiat sektor di sini.
“Dengan harapan supaya pelancong dari negeri Kedah dapat datang ke Terengganu dan sebaliknya, dan peluang ini akan digunakan sebaiknya.
“Ia juga dilihat sebagai salah satu usaha untuk memulih dan merancakkan kembali industri pelancongan terutamanya dalam tempoh pasca Covid-19 selaras dengan inisiatif kerajaan yang membenarkan gelembung perjalanan domestik pelancongan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Beautiful Terengganu “Pakat Maghi Teganu” di Hotel Grand Alora, petang kelmarin.
Tambahnya, peningkatan ketara dari segi kedatangan pelancong dari negeri Kedah dan negeri-negeri di sebelah utara adalah matlamat bagi pihaknya.
“Objektif utama adalah mewar-warkan tentang kelebihan dan keunikan negeri. Kita harapkan agensi terlibat dapat hasilkan pakej-pakej menarik untuk rakyat Kedah dan buat seluruh zon utara Malaysia.
“Peluang mengadakan lawatan pembelajaran produk-produk tarikan pelancongan yang terdapat di negeri Kedah ini sekali gus dapat dijadikan rujukan bagi menambah baik produk-produk tarikan yang ada di Terengganu,” ujarnya.
Siri Jelajah Beautiful Terengganu “Pakat Maghi Teganu” melibatkan penyertaan penggiat-penggiat industri pelancongan negeri yang terdiri daripada lapan pengusaha hotel, tiga agensi pelancongan, dua agensi kerajaan negeri serta pengusaha produk nasi dagang Terengganu.
Untuk maklumat lanjut, perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri Terengganu boleh didapati menerusi laman sosial rasmi media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram, Wechat, Weibo dan Telegram dengan nama BEAUTIFUL TERENGGANU MALAYSIA dan di twitter @trgtourism.
19 Mar 21
537
Kerjasama Kedah, Terengganu Tarik Pelancong Antarabangsa
ALOR SETAR, 20 Mac – Kerjasama antara sektor pelancongan Terengganu dan Kedah bukan sahaja bakal merancakkan pertukaran pelancongan domestik antara dua negeri tetapi ia turut membuka pintu kepada kemasukan pengunjung antarabangsa di masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Seni, Budaya, Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan & Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad menyifatkan kerjasama antara negerinya adalah dinantikan kerana langkah itu memberi laluan kepada perkongsian pendapatan.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengajar kita bahawa pelancongan domestik dan persaudaraan antara negeri amat penting, ini adalah situasi menang-menang.
“Ia juga mendorong kita supaya mengeratkan ukhwah kerana talian tersebut akan beri satu persefahaman dan kolaborasi pelancongan bersama negeri Terengganu dalam bentuk sistem barter.
“Contohnya, mereka daripada Terengganu tidak tahu apa menarik tentang Kedah dan sebaliknya bagi Kedah, melalui usaha promosi dan pertukaran, pengunjung daripada Terengganu akan berminat untuk melawat Kedah dan mereka daripada sini berminat untuk ke negeri tersebut," katanya selepas kunjung hormat pelancongan Terengganu di Star Sky & Lounge, Menara Alor Setar, pagi semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abd Razak, Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak.
Tambah Firdaus, sebagai tindak balas terhadap jasa baik kerajaan negeri, pihaknya turut merancang untuk menghantar delegasi ke Terengganu.
“Kedah adalah pintu masuk bagi pelawat antarabangsa dan tempatan seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Alor Setar, dengan ada papan tanda di kawasan itu mungkin kita boleh bertukar dan promosikan keunikan negeri Terengganu,” katanya.
Sementara itu, Ariffin Deraman berkata, perbincangan dibuat adalah permulaan dan akan diikuti dengan perancangan lebih lanjut untuk dilaksanakan selepas tamat PKP serta dibenarkan rentas negeri.
“Pada masa kini, penggiat pelancongan dua negeri akan berkumpul dan bertukar pendapat dalam bentuk Bisnes dengan Bisnes (B2B) dengan harapan agar memajukan sektor mereka bersama,” jelasnya.
19 Mar 21
1002
PEMERKASA : Nasib Peniaga Terus Dibela
KUALA NERUS, 20 Mac - Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari terus memberi perhatian kepada golongan peniaga susulan kesan kelembapan ekonomi.
Beliau berkata dalam ucapanya, nasib golongan terbabit terus dibela melalui beberapa inisiatif antaranya geran khas Prihatin 3.0,.
"Usahawan wanita turut diperkasa melalui kempen E-Dagang PKS dan PKS Mikro serta Program Shop Malaysia Online dengan peruntukan dana RM30 juta untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian.
“Pemerkasa merupakan kesinambungan terbaik daripada inisiatif terdahulu, ia bukti kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat dan ekonomi negara," jelasnya dalam perutusan khas PEMERKASA.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika diminta mengulas berkata, pakej PEMERKASA itu mempunyai banyak inisiatif yang bersifat kebajikan serta boleh mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
“Seperti yang kita lihat pengumuman tersebut akan menghasilkan banyak ruang perniagaan dan pekerjaan bagi individu serta bantuan inisiatif untuk belia yang ingin berjinak-jinak dengan perniagaan," katanya.
Menurut beliau lagi, inisiatif bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 adalah sesuai sebelum mereka mendapat pekerjaan.
Seorang perniaga, Adhha Yassin, 31, berkata, bantuan tersebut menjadi penyelamat kepadanya yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, saya menyambut baik pengumuman tersebut membuktikan pemimpin memahami masalah kita.
“Dengan inisiatif ini, banyak membantu saya dan dengan keadaan dan tidak mempunyai pendapatan tetap,” ujarnya lagi.
19 Mar 21
569