lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Muaz, Rozilah Dinobat Qari Dan Qariah Setiu
Muaz, Rozilah Dinobat Qari Dan Qariah Setiu
SETIU, 24 Mac - Muhammad Muaz Mokhtar dan Rozilah Yaacob masing-masing dinobatkan sebagai Qari dan Qariah bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 2021 yang berlangsung malam tadi. Seramai enam orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing yang menyaksikan penyertaan empat lelaki dan dua wanita pada majlis tilawah tahun ini yang diadakan di Perkarangan Pejabat Majlis Daerah Setiu, Bandar Permaisuri. Muaz yang mengalunkan bacaan Surah Al An'am yang membawa lagu wajib Soba dan Rast itu berkata, penyertaan tahun ini merupakan kali yang kedua selepas 2019. Katanya, ketika itu beliau hanya mendapat saguhati dan penyertaan tahun ini sangat berbaloi selepas diangkat sebagai johan. "Saya mendapat latihan terus melalui ayah mertua yang juga imam di masjid Kampung Ladang Bari dan membentuk jiwa Al-Quran dalam diri saya lebih-lebih lagi dalam bidang fasohah, tajwid dan taranum," katany ketika ditemui UPDI semalam. Sementara itu, Rozilah pula yang membacakan Surah Ali Imran berkata, pada mulanya beliau tidak mahu menyertai tilawah pada kali ini tetapi atas saranan dan nasihat kawan-kawan beliau membuat penilaian dan diterima masuk. "Saya berlatih dalam masa dua hari selepas mendapat surah apa yang nak dibaca dan saya kena buat latihan lagi bagi peningkatan bacaan selepas ini". Pada majlis itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan saguhati kepada pemenang. Masing-masing membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan, plat penghargaan dan piala pusingan. Terdahulu majlis perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim. Hadir sama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Permaisuri dan Langkap serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
24 Mar 21
1245
Pengadil Perlawanan Terengganu Menentang Sabah Dihukum
Pengadil Perlawanan Terengganu Menentang Sabah Dihukum
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Pengadil Liga Super, Khirulazuan Kidam yang mengadili perlawanan Terengganu FC menentang Sabah FC baru-baru ini digantung tugas selama dua minggu berkuatkuasa serta-merta. Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' S. Sivasundaram memaklumkan, pengadil terbabit didapati menunjukkan prestasi kurang memuaskan sepanjang perlawanan Liga Super yang dilangsungkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu. “Tindakan ini berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut. “Justeru, pengadil terbabit telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta. “Khirulazuan juga akan mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah merujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM,” katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, Khairulazuan akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan. Terdaahulu, mutu pengadilannya dikritik ramai selepas dia membatalkan jaringan pertama Jordan Mintah atas alasan penyerang import itu terlebih dahulu mengasari penjaga gol lawan. Dalam perlawanan itu, Terengganu FC tewas 1-2 selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama sebelum Mintah meledak jaringan pertama TFC. Selepas perlawanan itu juga, TFC difahamkan telah menghantar bantahan rasmi kepada FAM. Berdasarkan rekod pada 2016, Khirulazuan pernah digantung tiga bulan oleh FAM kerana gagal membuat keputusan dengan tepat ketika aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia antara pasukan kelab T-Team (Terengganu) dengan FELDA United yang diakhiri dengan seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.
23 Mar 21
6834
Tuduhan Skim Hafazan Dihapuskan Adalah Fitnah
Tuduhan Skim Hafazan Dihapuskan Adalah Fitnah
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Tuduhan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan negeri menafikan atau menghapuskan Skim Hafazan Dewasa adalah fitnah berniat jahat. Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Zahari Sulong berkata, program itu berjalan seperti biasa pada tahun 2018, 2019 dan 2020. "Cuma bagi tahun ini ia belum dilaksanakan lagi ekoran kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan sekarang PKP Pemulihan. "Insya-Allah dalam bulan April nanti, program itu kita akan mulakan dan iklankan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi UPDI sebentar tadi. Menurut Zahari, maklumat lengkap tentang program terbabit sejak 2018 hingga 2020 akan dikeluarkan esok. "Insya-Allah nanti esok kami bagi jawapan yang lengkap tentang jumlah peserta dan kos yang diperuntukkan," tambah beliau. - Gambar fail.
23 Mar 21
1575
Empat Manfaat SUT Usahawan Perlu Tahu
Empat Manfaat SUT Usahawan Perlu Tahu
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Terdapat empat manfaat utama yang perlu diketahui usahawan dalam negeri jika mendaftar dan menyertai Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), supaya dapat menggembleng pelbagai kemudahan demi memajukan perniagaan. Pengurus Pembangunan Usahawan YPU, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad berkata, antara manfaatnya adalah bantuan pembiayaan seperti Tabung Pemulihan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Terengganu COVID-19 yang menyokong 333 usahawan (sehingga 2020) terjejas akibat pandemik. “Manfaat kedua ialah mereka akan direkod dalam data usahawan, tetapi ramai bertanya ‘tak jadi ahli tak bantu ke?’, jawapan kami jika tidak mendaftar tiada data lengkap sekali gus menyukarkan pihak kami dalam mengetahui permasalahan lebih lanjut. “Bagi mengetahui angka tepat dan masalah yang dihadapi, maklumat asas jenis keusahawanan seperti penjaja jalanan, bisnes atas talian boleh diketahui. “Manfaat ketiga adalah pembangunan usahawan, kami mengadakan kursus dan khidmat jurulatih bagi mengelakkan bisnes anda tidak berhasil, walaupun laku tapi tidak mahir pengurusan kewangan. Ini sama seperti sakit berjumpa doktor, jika perniagaan berpenyakit maka daftar SUT,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai faedah keempat, pihaknya menawarkan fokus pembangunan produk dan perniagaan melibatkan diskaun perkhidmatan analisa nutrisi, kod bar dan lain-lain lagi. “Kita ada ilmu dan produk tetapi bila tiada rupa dan solekan orang ramai tidak akan beli. Melalui SUT kod bar produk kita buat secara percuma dan kandungan nutrisi makanan juga separuh harga (tidak melebihi RM100) berbanding makmal lain (RM300 sehingga RM400). “Manakala berkaitan bisnes kita sediakan tunjuk ajar cara berkembang memasuki pasaran lain seperti pasar raya, platfom e-dagang dan sebagainya. “Bukan menjual sahaja, kita juga menyediakan teknik-teknik mendapat ramai pengikut dan ‘suka’ media sosial, semuanya pakej lengkap jika mendaftar dengan kami,” tambahnya. Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran SUT, boleh melayari laman Facebook di https://www.facebook.com/YPUTerengganu atau https://www.ypu.com.my/
23 Mar 21
739
Tarif Air Terengganu Kedua Terendah
Tarif Air Terengganu Kedua Terendah
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Terengganu merekodkan tarif air kedua terendah berbanding negeri lain dengan kadar 0.42 sen bagi setiap 0 sehingga 20,000 liter penggunaan air untuk  kediaman. Kadar itu masih kekal  dan tidak disemak sejak 20 tahun lalu walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membenarkan untuk membuat semakan dalam tempoh tiga tahun sekali. Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, pihaknya dengan arahan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih mengekalkan kadar harga lama walaupun terpaksa menanggung kos operasi yang sangat tinggi pada setiap tahun. Katanya, antaranya termasuk pembelian bahan kimia, kadar elektrik dan kos penggantian dan penyelenggaraan peralatan dan aset. “Pengguna sewajarnya bersyukur dan tidak banyak merungut kerana kadar yang dikenakan itu sudah terlalu murah. “Jika difikirkan secara logik harga sebotol air mineral 1.5 liter boleh  mencecah harga RM3.00 sedangkan air yang perlu dibayar untuk kegunaan harian termasuk memasak, membasuh dan membersih diri hanya 0.42 sen bagi 1,000 liter,” katanya. Menurutnya, berdasarkan maklumat Malaysia Water Industry Guide (MWIG) 2018, purata kos merawat dan mengagih setiap 1,000 liter air kepada pengguna domestik adalah RM2.31. “Namun purata harga yang dibayar pengguna untuk setiap 1,000 liter air bagi 20,000 liter pertama adalah RM0.42 sahaja. “Baki selebihnya perlu ditanggung oleh SATU dan itu belum lagi mengambil kira perbelanjaan melengkapkan industri dengan teknologi terbaharu, termasuklah menambah baik loji rawatan mahupun menukar paip yang uzur,” katanya. .  
23 Mar 21
1548
Pemeteraian MoU Cetus Kesan Kepada Kerajaan Negeri
Pemeteraian MoU Cetus Kesan Kepada Kerajaan Negeri
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 22 Mac – Memorandum Persefahaman (MoU) antara Husa Network Manis FM dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal mencetuskan satu impak dalam komunikasi dan penyampaian ilmu di peringkat kerajaan negeri. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, ia meliputi beberapa aspek terutama dari segi maklumat dan penerangan supaya berkembang secara lebih meluas lagi. "Pada masa yang sama sebagai pemegang taruh (stakeholder), UniSZA juga memainkan peranan penting dari segi apa yang akan digerakkan selepas daripada ini. "Kita mahu dari segi pembinaan kekuatan yang berkait dengan kesenian warisan budaya Islam menjadi lebih hebat dan juga dihayati sama ada di kalangan masyarakat mahasiswa tetapi juga (masyarakat) di luar sana insya-Allah," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara UniSZA Dan Husa Network Sdn.Bhd di Laman  Pusat Kesenian dan Warisan, Universiti  Sultan  Zainal Abidin pada semalam. Turut hadir bersama ialah Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Pendaftar UniSZA, Ismail Musa, Pengurus Besar Husa Network Sdn. Bhd, Ozarizan Mohd Nor dan Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman. Menurut Yahaya lagi, antara bidang yang akan dilaksanakan melalui MoU tersebut ialah pertukaran dan perkongsian kepakaran teknikal dan konsultansi dalam bidang pertanian dan perniagaan.  “Penganjuran bersama dalam mengadakan seminar bengkel kursus dan aktiviti kesenian dan perniagaan. “Dan apa-apa bidang kerja sama lain yang dipersetujui bersama oleh pihak-pihak dari semasa ke semasa,” ujar Yahaya.
23 Mar 21
295
Mahasiswa Tidak Boleh Jadikan Media Sosial Sebagai Rujukan
Mahasiswa Tidak Boleh Jadikan Media Sosial Sebagai Rujukan
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Golongan mahasiswa tidak wajar menjadikan media sosial sebagai rujukan utama tetapi mereka mesti kembali kepada ilmu dalam bentuk yang teratur supaya dapat maklumat yang tepat. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, oleh sebab itu, mereka perlu membaca dan membuat kajian yang memberikan satu inovasi kepada masyarakat. “Mereka tidak boleh melihat ilmu dalam konteks untuk lulus peperiksaan semata-mata tetapi masyarakat di luar sana mengharapkan sesuatu yang lebih tinggi dan bermakna. “Saya juga melihat golongan mahasiswa yang diharapkan masyarakat ialah mereka yang kritis dari segi pemikiran dan mesti mengikuti sama perkembangan –perkembangan yang ada samada dalam masyarakat kampus ataupun luar kampus,” jelasnya. Yahaya berkata demikian dalam siaran langsung bersama Persona FM selepas perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dan Husa Network Sdn.Bhd di Laman Pusat Kesenian dan Warisan di Gong Badak, pada semalam. Selain daripada itu, beliau turut menekankan golongan mahasiswa mesti mempunyai maklumat dan pengetahuan baik dari segi sejarah. “Sebab kadang-kadang kalau golongan mahasiswa tidak mempunyai maklumat yang baik dalam sejarah mereka tidak dapat mengambil satu sikap dan benda baik  bila bertembung dengan isu-isu semasa yang ada dalam negara kita ini. “Ini penting supaya golongan mahasiswa melayu Islam ini kena tahu sejarah dan mereka tahu kemana batasnya apabila mereka nak memperjuangkan,” ujarnya. Menurutnya lagi, mahasiswa mesti mempunyai jati diri sebagai seorang Islam walaupun diiktiraf sebagai golongan berpendidikan tinggi. “Ini sangat penting. Kita mahu jati diri mahasiswa  ini bukan sahaja di fahami tapi di perlihatkan dalam tindak tanduk mereka. “Mesti ada dalam diri seorang Islam agar mereka tidak mudah hanyut apabila ada isu-isu yang mereka hadapkan dalam konteks  yang ada dalam negara kita ini supaya apa yang dikatakan  pengaruh fahaman sekular itu tidak tumbuh dalam masyarakat mahasiswa di mana-mana Institut Pengajian Tinggi (IPT),” tambahnya lagi. Justeru itu, beliau berharap para pelajar tidak terpengaruh dalam suasana masyarakat majmuk yang berlaku pertembungan ideologi dan juga pemikiran.
23 Mar 21
352
Rumah Usia Lebih 30 Tahun Hampir Runtuh
Rumah Usia Lebih 30 Tahun Hampir Runtuh
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Keadaan sebuah rumah yang berusia lebih 30 tahun di Kampung Raja Chendering telah uzur dan hampir runtuh akibat dimakan anai-anai. Pemiliknya, Che Ku Sanuwa Che Ku Man, 52, memaklumkan, keadaan lantai rumah tersebut yang rapuh telah mengancam keselamatan beliau sekeluarga. Beliau yang bekerja sebagai tukang rumah pernah menerima bantuan tahunan sebanyak RM600 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk menampung kos sara hidup. Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah turun merasmikan gimik penyerahan rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa hari ini. Menurut beliau, kos bagi membaikpulih rumah yang uzur tersebut sangat tinggi dan hampir sama nilainya dengan pembinaan rumah yang baharu. Oleh itu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah membuat permohonan bagi membina rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa.   “Rumah merupakan keperluan asas bagi seseorang manusia walau di mana sekalipun mereka berada. “Justeru, pihak kami terus berhubung dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak Parlimen Kuala Terengganu untuk mempermudahkan kelulusan permohonan rumah baharu ini,” katanya. Kos pembinaan rumah tersebut telah ditanggung oleh Kementerian Pembangungan Luar Bandar dan agensi Giat Mara yang telah mengambil perjalanan dalam membina rumah tersebut. “Semoga pembinaan rumah baharu ini dapat menghilangkan kegusaran dan memberikan keselesaan kepada tuan rumah sekeluarga. “Saya ucapkan terima kasih semua pihak dan agensi yang terlibat dalam pembinaan rumah ini,” tambahnya lagi.
22 Mar 21
1840
Rakyat Lega, Rawatan Kesihatan Percuma Ringankan Beban
Rakyat Lega, Rawatan Kesihatan Percuma Ringankan Beban
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Inisiatif kerajaan Terengganu yang melaksanakan pakej rawatan kesihatan percuma di klinik swasta terpilih melalui program Kad Sejahtera berjaya membantu mengurangkan ‘derita’ rakyat. Bagi seorang peniaga kedai, Md Bidin Muda, 67, memberitahu, subsidi berkenaan mampu mengurangkan perbelanjaan perubatan kencing manis dihidapinya yang mencecah ribuan ringgit. Menceritakan detik awal ketika penyakit itu mula merebak, dia yang lebih mesra disapa sebagai Pak Din berkata, pada Jun 2019 kakinya terkena tongkat motosikal sehingga menyebabkan pendarahan teruk di bahagian atas kaki. “Akibat kejadian itu saya terlantar di hospital lebih seminggu dan terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang kuman-kuman di bahagian dalam kaki. “Ketika itulah pihak hospital memberitahu saya bahawa penyakit itu mula membarah dan berkemungkinan besar kaki saya terpaksa dipotong,” ujar bapa kepada empat orang anak itu. Namun kata Pak Din, dia berkeras tidak mahu membuat pembedahan memotong kaki itu sebaliknya bersetuju hanya kuman dicuci dan isi kotor dibuang. “Alhamdulillah, sekarang saya beransur pulih, ditambah pula dengan bantuan rawatan kesihatan percuma yang disediakan kerajaan sudah pasti ia mengurangkan beban kos yang saya dan keluarga tanggung, dengan kad ini saya boleh membeli ubat asa untuk sakit saya,” jelasnya Sementara itu, menurut seorang lagi penerima Kad Sejahtera, Salina Abdul Ghani atau Kak Na, 54, menyifatkan bantuan tersebut akan memudah dan menyenangkan orang ramai untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka terutamanya warga emas di kawasan luar bandar. “Nilai dalam Kad Sejahtera berjumlah RM500, penerima dan ahli keluarga apabila hendak mendapatkan rawatan di klinik panel, hanya perlu membawa kad ini sahaja dan nilai akan dipotong mengikut kadar kos rawatan. “Kak Na sendiri mengalami penyakit kulit (gatal-gatal), setiap kali mendapatkan rawatan di klinik saya dikenakan caj sebanyak RM30, alhamdulillah dengan kad ini ia sedikit sebanyak meringankan kesusahan kami sekeluarga,” katanya. Tambah Kak Na, ibunya juga menghidapi penyakit saraf dan darah tinggi yang memerlukan rawatan berterusan. “Insya-Allah ubat-ubatan tidak akan terputus kerana kami boleh membayar melalui kad sejahtera ini,” ujar ibu tunggal terbabit. Program Kad Sejahtera merupakan satu program ‘Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan Asas’ yang mensasarkan 20,000 penerima daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta pada tahun permulaan dan RM10 juta pada 2021. Ia juga merupakan manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
22 Mar 21
1013
Jaga Warisan Berteraskan Islam Dalam Era Global
Jaga Warisan Berteraskan Islam Dalam Era Global
Oleh: Rohayati Ripin   KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Para mahasiswa diingatkan agar berusaha memelihara dan menjaga warisan seni kebudayaan bangsa yang berteraskan agama Islam terutamanya dalam ledakan teknologi maklumat serta komunikasi di zaman era global pada masa kini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, apa yang dilakukan ini adalah sangat penting agar budaya, warisan dan seni dalam Islam mesti selari dengan zaman digital dan ia tidak hilang ditelan zaman. “Sama-sama kita beri kefahaman kepada masyarakat bahawa warisan kebudayaan dan seni itu sangat bernilai terutamanya dalam menonjolkan identiti bangsa dan agama kita. “Tak salah untuk bersaing dalam era globalisasi digital namun sejarah dan warisan budaya kita yang berteraskan islam jangan sesekali kita tinggalkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dan Husa Network SDN.Bhd di Laman Pusat Kesenian dan Warisan di UniSZA, semalam. Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Pendaftar UniSZA, Ismail Musa, Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd, Ozarizan Mohd Nor, dan Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman. Yahaya menambah, pelaksanaan Galeri Digital Sanggar Seni merupakan inisiatif yang baik kerana ia dapat mempamerkan kepelbagaian bentuk kesenian dan warisan yang wujud di negeri Terengganu serta bermanfaat sebagai rujukan untuk generasi akan datang. Menurutnya lagi, galeri digital berkenaan turut mempamerkan koleksi foto bidikan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah iaitu koleksi hasil karya tradisional Terengganu yang mana baginda telah merakamkan peristiwa bersejarah pemerintahannya bagi mengekalkan tradisi. “Saya yakin sekiranya usaha-usaha seumpama ini dilakukan oleh pelbagai pihak yang lain, kita akan dapat mengumpulkan satu warisan yang lebih kuat. “Kerana warisan budaya ini merupakan budaya dan kesenian yang sangat penting, bukan sahaja untuk hari ini tetapi untuk generasi yang akan datang,” ujarnya. Justeru itu, beliau berharap dengan pelancaran pusat itu semua pihak dapat sama-sama berganding bahu untuk menjadikan ia bergerak semakin jauh ke hadapan dan dapat membina kekuatan dengan mengumpulkan segala maklumat serta apa sahaja kesenian, kebudayaan terutama mempunyai nilai teras kepada agama Islam. “Mudah-mudahan pusat kesenian di UniSZA ini akan menjadi institusi yang dibanggakan oleh semua pihak,” tambah Yahaya lagi.
22 Mar 21
176