lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Peranan Wanita Wajar Dihargai
Peranan Wanita Wajar Dihargai
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Wanita sama ada ibu, isteri atau guru perlu dihargai dengan penuh kasih sayang sebagai lambang penghormatan dan penghargaan terhadap peranan mereka dalam kehidupan seharian. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, wanita adalah penyumbang kepada kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan dan pengukuhan masyarakat penyayang. Katanya, sifat kelembutan yang ada pada wanita bukanlah satu halangan untuk terus mara ke hadapan malah di sebalik kelembutan itu tersimpan kekuatan utuh dan bersemangat waja. “Meskipun dunia dilanda pandemik Covid-19, kepayahan demi kepayahan mengajar golongan wanita  tetap bangkit mendepani cabaran. Hayatilah tema hari wanita “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”yang sinonim dengan keadaan semasa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu kelmarin. Sempena majlis itu, Pertandingan Penulisan Kreatif Sempena Hari Sayyidatina Aisyah 2020 bermula pada Mac 2020 turut diadakan dengan membuka peluang kepada semua rakyat Terengganu yang mempunyai bakat atau berminat dalam penghasilan esei, cerpen, puisi, sajak dan pantun. Juara bagi pertandingan esei yang bertemakan 'Sayyidatina Aisyah Sumber Inspirasi Srikandi Ummah' adalah Ruhiyah Sakinah Kayati, 30, dari Kampung Teluk Pasu, Manir. Ruhiyah berkata, dia terharu dengan kepercayaan urus setia program sehingga melayakkan karya miliknya, A'isyah Insprirasi Ummah' diterbitkan. “Kemenangan itu memberi semangat untuk saya terus  berkarya dan memperbanyakan kajian tentang  isi kandungan al-Quran dan seterusnya jika diizinkan Allah turut menerbitkan buku berdasarkan kajian itu. “Apa yang dimenangi ini juga seiring dengan cita-cita mahu menjadi penulis buku,” kata pelajar Ijazah Doktor Falsafah Psikologi  Universiti Malaysia Terengganu.  
27 Mar 21
783
Rumah Reput, Warga Emas Terima Kediaman Baharu
Rumah Reput, Warga Emas Terima Kediaman Baharu
SETIU, 27 Mac - “Paling membimbangkan saya sekiranya hujan, ia mengakibatkan atap zink bocor dan dinding kayu banyak yang reput, rumah akan selalu basah," luah Rokiah Ibrahim atau Kak Yah, 70, dari Kampung Banggol di sini. Kata ibu tunggal itu, rumah yang didiaminya sebelum ini terbiar dan bertambah usang, manakala lantai dan dinding pula reput akibat dimakan anai-anai. "Saya tidak mampu membaikinya kerana hanya bergantung pada pemberian wang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sahaja,” kata Kak Yah kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebelum menerima rumah baharu di bawah Bantuan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit baru-baru ini. Jelas Rokiah, dia berasa amat lega dan bersyukur selepas ada pihak yang sudi membantu dan membina sebuah rumah baharu yang lebih selesa dan selamat. “Terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu ‘menghadiahkan’ saya sebuah rumah baharu. "Walaupun rumah ini kecil tetapi ia mempunyai bilik yang memberi keselesaan kepada saya.  “Syukur kepada Allah SWT, jika dahulu saya tinggal di rumah usang  kini kehidupan saya lebih selesa setelah menerima sumbangan rumah baharu daripada Kerajaan Terengganu," ujarnya. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, perancangan awal adalah untuk membaik pulih rumah Kak Yah dengan menggunakan Bantuan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit. Namun katanya, selepas melihat pelbagai faktor pihaknya berpendapat sebuah rumah baharu perlu dibina. “Pembinaan rumah ini memakan masa selama tiga minggu bermula pada 20 Februari dan siap sepenuhnya pada 5 Mac lalu,” katanya.
27 Mar 21
424
Pencemaran Sungai Di Terengganu Terkawal
Pencemaran Sungai Di Terengganu Terkawal
KEMAMAN, 27 Mac- Pencemaran sungai di Terengganu tidak begitu serius jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan seluruh sungai di negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal. "Kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi persekutuan di bawah Jabatan Alam Sekitar sentiasa terjalin. "Kami dari semasa ke semasa berunding dan berbincang bagi mencari kaedah terbaik bagi memastikan tiada pencemaran air yang berlaku ke atas sungai di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas isu pencemaran sungai selepas menyempurnakan  Majlis Perasmian Program Gotong-Royong Bersempena Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Sungai Sekilir, Kemasik, hari ini. Turut hadir, Pengerusi, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak dan Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam,  Utiliti Dan Teknologi Hijau Negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili. Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air (KASA) dan agensi-agensi dibawahnya telah menganjurkan Program Gotong Royong Perdana yang melibatkan sungai-sungai di seluruh negara pada hari ini.  "Bagi Negeri Terengganu, selain Sungai Sekilir (Kemaman) program gotong- royong ini juga berlangsung serentak di enam lagi lokasi di seluruh Terengganu iaitu di Sungai Mercang (Marang), Sungai Tenang (Besut), Sungai Tersat (Hulu Terengganu). "Juga melibatkan Sungai Hiliran (Kuala Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Setiu (Setiu), " ujarnya  Menurut beliau, program gotong-royong ini secara khususnya bertujuan memupuk semangat tanggungjawab bersama di antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan persekitaran yang lestari khususnya di kawasan badan air. Tambah beliau, sambutan Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1993.  "Ianya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membaharui tekad semua lapisan rakyat di dunia untuk menangani isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara di seluruh dunia.  "Sambutan Hari Air Sedunia ini adalah bertujuan untuk memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), yang dilancarkan pada 2015 oleh PBB, iaitu bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih pada tahun 2030, menjadikan air sebagai isu utama dalam usaha untuk membasmi kemiskinan tegar," jelasnya.
27 Mar 21
448
PKM Rhu Rendang Buka Kaunter Bergerak, Tingkatkan Kesedaran Pendaftaran Vaksin
PKM Rhu Rendang Buka Kaunter Bergerak, Tingkatkan Kesedaran Pendaftaran Vaksin
MARANG, 27 Mac - Bagi meningkatkan kesedaran kepentingan vaksin, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah membuka kaunter bergerak di beberapa tempat. Perkhidmatan ini mula dibuka di perkarangan Pasar Marang, semalam bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi dengan dibantu petugas daripada Institu Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, usaha ini adalah bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat bagi membendung penularan wabak covid-19. “Seperti masa seruan kerajaan, vaksin ini merupakan satu ikhtiar yang boleh diambil dan telah mendapat kelulusan dari pihak kesihatan dan dari segi syarak, " “Untuk pengetahuan, peratus pendafataran vaksin di Marang masih lagi rendah di kalangan masyarakat, jadi kita harap dengan usaha ini dapat membuka mata masyarakat,',"kàtanya. Menurutnya, kaunter yang dibuka ini mampu memudahkan urusan pendaftaran lebih-lebih lagi melibatkan orang ramai yang kurang arif untuk mengisi atau mendaftar. “Mungkin ada yang tidak tahu, tidak pandai atau tidak mempunyai kemudahan asas capaian internet, sekaligus membantu golongan seperti ini,"katanya. Katanya kauter ini akan dibuka di empat kawasan berlainan pada 26 Mac iaitu hari ini, dan tiga kawasan lagi sebelum menjelang ramadhan. “Antaranya pada 4 Mac di Pasar Malam Sungai Kerak, 8 April di Pasar Gong Merawang dan terakhir pada 10 April 2021 di Pantai Pulau Kekabu. "PKM juga mendapat kerjasama baik daripasa pihak Majlis Daerah Marang. Seramai hampir 100 orang telah mendaftar di kaunter bergerak tersebut," tambahnya lagi.
27 Mar 21
511
Terengganu Bakal Haramkan Jualan Telur Penyu
Terengganu Bakal Haramkan Jualan Telur Penyu
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Kerajaan Terengganu bakal mengharamkan sepenuhnya penjualan telur penyu di negeri ini bagi memastikan spesies itu terus terpelihara. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, larangan itu akan terpakai selepas Enakmen Pemuliharaan Penyu 1951 (Pindaan 1987) dipinda dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November depan. "Enakmen sedia ada tidak melarang penjualan telur penyu. Sebelum ini, larangan hanya melibatkan telur penyu belimbing tetapi spesies lain (agar, lipas dan karah) dibenarkan menyebabkan ia dijual secara terbuka termasuk di Pasar Payang, Kuala Terengganu "Sebelum ini juga kadar hukuman terlalu rendah dan tidak mampu berfungsi sebagai enakmen yang mampu mencegah dan menakutkan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pemuliharaan Penyu di Pantai Mak Kepit, Pulau Redang, di sini semalam. Susulan itu katanya, dalam tempoh berbaki sebelum akta itu dikuatkuasakan sepenuhnya, para penjual yang terlibat digesa bersedia. Menurut Dr Azman, kerajaan negeri serius melaksanakan perkara itu bagi memastikan ikon pelancongan Terengganu tersebut dipelihara kerana ia menjadi penyebab kedatangan pelancong. "Langkah ini menerima maklum balas yang sangat baik daripada pelbagai pihak sama ada Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkait alam sekitar juga institusi pengajian tinggi," jelasnya. Dalam pada itu, Dr Azman memaklumkan, sempena Tahun Pertanian Negeri, RM300,000 telah diperuntukkan kepada 10 pusat pemuliharaan dan konservasi reptilia berkenaan  Untuk rekod Pusat Konservasi Pantai Mak Kepit yang mula diwartakan sejak tahun 1992 merupakan lokasi kedua tertinggi jumlah pendaratan penyu dan menetas secara semula jadi. Tahun lalu, sebanyak 1,032 sarang telah direkod oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.    
25 Mar 21
1704
Tiga Beradik OKU, Main Game Jana Duit
Tiga Beradik OKU, Main Game Jana Duit
MARANG, 25 Mac -  Tiga adik beradik Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghidap sakit lumpuh, mampu menjana pendapatan sendiri dengan menceburi bidang e-Sport Gaming walaupun keadan fizikal mereka tidak seperti orang lain yang normal. Dikhabarkan, ketua keluarga ini Omar Salleh, yang tinggal di kampung Paya, kehilangan isterinya kira-kira enam tahun lepas. Dia mempunyai tujuh orang anak di mana empat daripada mereka menghidapi penyakit saraf dan lumpuh anggota badan. Mohd. Adnan Omar, 35 berkata, dia bersama dengan abang, Osmanna Aziz, 53, serta kakak perempuannya, Nor Aini, 51 mampu meraih pendapatan sampingan sebanyak RM1,000 dalam permainan secara atas talian. "Kebiasaannya kami bermain permainan yang hanya menggunakan tetikus, kerana tidak mampu menggunakan papan kekunci disebabkan keadaan fizikal yang tidak mengizinkan. "Di kalangan peminat permainan secara atas talian 'Crusader', terdapat beberapa perkara yang melibatkan aliran wang dan jual beli untuk mendapatkan sesuatu dalam permainan tersebut, jadi di situ lah kami meraih sumber pendapatan. Menurutnya, peralatan komputer dibelinya secara sedikit demi sedikit untuk mencapai spesifikasi yang diperlukan bagi menceburi bidang tersebut. Katanya ketika menerima satu kunjungan daripada pihak agensi dalam program Mobile Team bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dan menyalurkan bantuan di Dun Rhu Rendang. Antara agensi yang turut hadir adalah Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Tabung Darul Iman (TDI) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya memuji inisiatif yang dilakukan bagi mencari sumber pendapatan buat keluarga ini. "Walaupun mereka tidak dapat bergerak secara sempurna seperti orang lain, mereka tetap berusaha mencari jalan untuk melakukan sesuatu apatah lagi dalam hal seperti ini. "Untuk pengetahuan, salah seorang daripada mereka yang lumpuh mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Salah seorang daripada mereka mula menderita penyakit ini hampir 15 tahun yang lalu." "Tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan Omar, iaitu Osmana Osman, Nor Aini, Osmanna Aziz dan Mohd. Adnan masing-masing lumpuh ketika berusia 28, 24, 21 dan 43 tahun. "Yang paling menyedihkan sekarang ini, Pak Omar sekarang ini juga memerlukan pampers kerana turut diserang penyakit lumpuh, tambahnya lagi. Sebelum ini, keluarga ini telah menerima bantuan daripada agensi tertentu seperti bantuan baik pulih rumah, bantuan am bulanan, pamper dan susu di samping pernah dikunjungi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.    
25 Mar 21
1083
THT Mampu Bergelar Juara Liga Esok
THT Mampu Bergelar Juara Liga Esok
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Pasukan Hoki Terengganu (THT) mampu bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL) jika berjaya memungut tiga mata dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tewas atau seri dalam perlawanan terakhir esok (Khamis). THT kini berada di kedudukan kedua liga yang hanya ketinggalan satu mata berbanding pendahulu liga, UniKL dengan 16 mata. Dalam perlawanan kelima kelmarin, THT terus menghimpit UniKL selepas melakar kemenangan 6-1 ke atas Nurinsafi HT/Sports. Ketua Jurulatih THT, K Rajan berkata, pasukannya mengharapkan tuah memihak sepenuhnya kepada Maybank bagi perlawanan bertemu pendahulu liga UniKL. “Keputusan perlawanan penentuan di antara UniKL bertemu Maybank menjadi penentu buat THT. “Jika kedua-dua pasukan ini terikat seri, kita hanya perlu menang dengan TNB untuk menjadi juara liga. Itu sasaran kita,” ujarnya. Namun, keupayaan TNB tidak seharusnya dipandang mudah kerana berdasarkan keputusan perlawanan terdahulu pasukan itu mampu mengikat Maybank 1-1 dalam saingan terdahulu. Perlawanan THT menentang TNB akan bermula pada jam 8 malam dan disiarkan secara langsung di RTM Sport. Manakala, sebelumnya, pada pukul 6 petang, UniKL dijadualkan bertemu Maybank.  
24 Mar 21
1912
‘Biar SPRM Siasat, Jangan Buat Spekulasi’ - MB
‘Biar SPRM Siasat, Jangan Buat Spekulasi’ - MB
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap penahanan seorang pengarah yayasan, dua pengarah syarikat dan seorang penjawat awam di Terengganu sejak kelmarin. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kes itu masih dalam siasatan awal pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). “Kerajaan negeri memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat. Biarlah pihak berkuasa menjalankan kerja mereka, sebarang spekulasi dibimbangi akan menimbulkan fitnah. “Ia juga boleh mengakibatkan proses siasatan terganggu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebentar tadi. Ahmad Samsuri. Semalam, pengarah yayasan terbabit ditahan di rumahnya pada jam 4.30 petang. Lelaki berusia 55 tahun itu kemudiannya direman selama tujuh hari kerana disyaki menerima suapan berkaitan usahasama bagi projek pengeluaran pelitup muka bernilai RM9 juta Difahamkan, pengarah itu didakwa menerima suapan daripada pengarah syarikat lain sebagai balasan mencadangkan pelaburan usahasama. Manakala, penjawat awam berusia 59 tahun dan dua pengarah syarikat berumur 49 serta 51 tahun pula telah ditahan serta direman lebih awal iaitu pada 22 Mac berhubung siasatan kes sama. Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa.
24 Mar 21
16859
Skim Hafaz Al-Quran : Peruntukan RM3.9 Juta Sejak 2018
Skim Hafaz Al-Quran : Peruntukan RM3.9 Juta Sejak 2018
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan lebih RM3.9 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi melaksanakan program Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka sejak 2018. Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Zulkefli Othman berkata, skim itu melibatkan 713 peserta yang melalui ujian tertentu dan sabit hafaz. Katanya, masing-masing 275 orang peserta pada tahun 2018, 302 pada tahun 2019 dan 136 orang pada tahun lepas, sekali gus menafikan fitnah bahawa skim itu dihapuskan. “Mereka yang menyertai skim ini terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berumur tidak kurang dari 18 tahun. Permohonan untuk menyertai skim ini adalah berdasarkan juzuk yang dipohon oleh peserta, iaitu 7 hingga 30 juzuk. “Jumlah keseluruhan pembayaran yang dibuat bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM1,543,548 melibatkan RM814,260 pada penggal pertama dan RM729,288 pada penggal kedua, manakala tahun 2019 adalah sebanyak RM1,677,228 membabitkan RM881,068 pada penggal pertama dan RM796,160 pada penggal kedua. “Pada tahun 2020, ujian bagi skim ini telah dijadualkan pada bulan April tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan COVID-19 di seluruh negara. "Oleh yang demikian, ujian hanya dapat dilaksanakan bagi satu penggal sahaja dan ujian ini telah diadakan pada bulan September 2020, melibatkan pembayaran sebanyak RM766,180”, katanya ketika ditemui UPDI di pejabat JHEAT pagi tadi. Tambah Zulkefli, peserta akan dibayar imbuhan mengikut kadar yang telah ditentukan mengikut juzuk hafazan masing-masing. "Contohnya, peserta yang sabit hafaz (lulus) bagi kategori 30 juzuk dibayar RM800 (jika tiada sumbangan) atau RM1,000 (ada sumbangan) sebulan dan bayaran dibuat adalah bagi satu penggal (6 bulan), iaitu peserta akan dapat bayaran berjumlah RM4,800 atau RM6,000.    “Sumbangan yang dimaksudkan adalah para hafiz dan hafizah hendaklah memberi sumbangan dalam kegiatan keagamaan kepada masyarakat di tempat tinggal mereka dengan mengadakan kelas fardhu ain atau pengajaran al-Quran secara sukarela tanpa dibayar gaji atau imbuhan," katanya lagi. Mengulas tentang pelaksanaan skim pada tahun ini, Zulkefli berkata, permohonan akan dibuka selepas Majlis Tilawah Al-Quran Tahun 1442H/2021M berakhir. Katanya, JHEAT akan mengeluarkan iklan/hebahan bagi mereka yang berminat untuk menyertai skim ini melalui Pejabat Agama Daerah masing-masing. "Kepada mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat agama di daerah masing-masing untuk penggal pertama. "Insya-Allah, Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka pada tahun ini akan laksanakan dua penggal seperti biasa, penyertaan terbuka kepada mereka yang berumur tidak kurang dari 18 tahun," tambahnya lagi.
24 Mar 21
668
Pengangguran Musim COVID-19, Mahasiswa Jangan Memilih
Pengangguran Musim COVID-19, Mahasiswa Jangan Memilih
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Para mahasiswa hendaklah mempunyai suatu pemikiran positif dan tidak terlalu bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata kerana ia mampu mendorong golongan lepasan universiti samada awam atau swasta ramai mengganggur pada musim COVID-19. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, isu pekerjaan ini berlaku di mana-mana dan menjadi lebih besar dan bersifat global. “Kepada golongan mahasiswa yang telah keluar ataupun bakal keluar daripada kampus akan menghadapi cabaran yang besar tetapi saya yakin sebenarnya di luar sana banyak peluang-peluang yang boleh diterokai. “Terutamanya dari segi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dengan penyesuaian dengan norma-norma baharu yang ada sekarang ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Persona FM di Laman Pusat Kesenian dan Warisan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), baru-baru ini. Katanya, walaupun negara maju tetapi kadar pengangguran sangat tinggi dan peluang pekerjaan sangat terhad oleh kerana ekonomi transaksi perniagaan tidak berjalan dengan lancar sebagaimana biasa disebabkan pandemik. Tambah Yahaya lagi, disebabkan itu, mereka yang telah ada pekerjaan tetapi hilang punca pendapatan menyebabkan sedikit sebanyak terjejas sumber rezeki. “Di peringkat kerajaan negeri kita mempunyai bajet bagaimana untuk meningkatkan skil kemahiran yang ada kepada golongan ini. "Dengan harapan supaya mereka mempunyai satu persediaan bagaimana mereka boleh terlibat untuk peluang pekerjaan yang seharusnya mereka terokai. “Salah satu bidang yang kita beri perhatian sekarang ini satu kegiatan ekonomi ialah bidang pertanian,” ujarnya. Justeru itu, beliau menyarankan para mahasiswa supaya fokus dan mengambil perhatian berkaitan bidang pertanian moden menggunakan pelbagai teknologi moden.  “Mereka yang keluar daripada kampus apabila terlibat dengan kegiatan pertanian ini mereka boleh bergantung hidup dengan pendapatan yang agak lumayan dalam bidang ini,” katanya lagi.
24 Mar 21
202