Artikel "Semasa" Terkini
ADUN Batu Buruk Ziarah Ahmad Izz
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama isterinya, Dr Farhaana Husainy Hasbullah hadir menziarahi kanak-kanak berusia 4 tahun, Ahmad Izz Danish Abdul Muhaimin yang menderita kanser saraf tahap empat dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), baru-baru ini.
Pertemuan dengan kanak-kanak berkenaan dan ibunya Noraisah Abdul Aziz, 36, sekadar bertanya khabar di samping menghulurkan sumbangan dari pihaknya.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan permohonan bantuan daripada Tabung Darul Iman bagi adik Ahmad Izz telah diluluskan.
“Kita harap semoga bantuan ini dapat menampung kos rawatannya serta kos perbelanjaan harian Puan Noraisah dan keluarga," katanya.
Menurut ibunya, penyakit kanser tersebut disedarinya setelah di'diagnose' oleh doktor pada November 2020 yang lalu.
"Ahmad Izz Danish kini sedang mendapatkan rawatan kimoterapi di HSNZ setelah menjalani pembedahan membuang ibu kanser yang berada di belakang perutnya," jelas Noraisah yang turut memaklumkan, anaknya itu akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan pemindahan sumsum tulang, pada Mei nanti.
Noraisah merupakan ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai, kini tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anaknya sepenuh masa di hospital.
29 Mar 21
742
Yayasan Petronas Ringankan Beban 1,600 Pelajar
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Seramai 1,600 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah dan kit kebersihan diri daripada Yayasan PETRONAS sempena program PETRONAS Back To School 2021 semalam.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, penerusan program yang dilancarkan sejak tahun 2003 itu menunjukkan pihaknya terus komited membantu golongan miskin dalam bidang pendidikan di negeri ini.
"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sejumlah sumbangan diagihkan kepada 250 murid terpilih di daerah Kuala Terengganu, 250 di Besut, 220 di Dungun, 220 di Hulu Terengganu, 213 di Kemaman, 185 di Setiu, 132 di Marang dan 130 murid di Kuala Nerus.
“Seiring dengan perkembangan pandemik semasa, kami juga turut menerapkan kepentingan penjagaan kebersihan diri. Kami berharap agar ianya dapat membantu membendung penularan COVID-19 di kalangan pelajar sekolah," tambah Che Ahmad Tarmizi.
Dalam majlis tersebut, sumbangan simbolik diserahkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Mohd Shariff Abdul Latif di pejabat JPNT.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.
Mengulas lanjut, Che Ahmad Tarmizi memaklumkan, PETRONAS juga sentiasa berusaha memupuk minat pelajar kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Sehubungan itu, setiap murid penerima turut dibekalkan dengan set buku kerja kaedah pembelajaran STEM yang praktikal dan menyeronokkan," jelasnya.
Bagi murid tahun enam, Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Kemaman, Amal Dayana Ahmad Sufian, 12, dia berterima kasih tas sumbangan yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS tersebut.
"Sumbangan yang diterima saya membantu meringankan beban bapanya yang merupakan seorang pesara," ujarnya.
Dayana ialah salah seorang daripada 21,000 penerima bantuan PETRONAS Back To School 2021 yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS di lima belas negeri seluruh negara.
Setiap murid tersebut menerima sumbangan dua pasang pakaian seragam sekolah, sebuah topi, sepasang kasut sekolah, sepasang stokin, sebuah beg galas dan sebuah botol minuman serta keperluan pembelajaran terdiri daripada set alat tulis dan buku nota.
Setiap pelajar juga turut menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan (boleh digunakan semula), dua helai tuala muka dan sekotak sabun kertas.
29 Mar 21
1286
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Hasrat SKM Bantu Belia Koperasi
BESUT, 31 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh usaha baik Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu (SKM) menjadikan koperasi sebagai penyumbang ekonomi dan mengharapkan ia dapat direalisasikan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dalam memastikan usaha kerajaan itu berjaya, SKM mengambil inisiatif mengadakan Program Belia Berkoperasi di negeri Terengganu dengan mengumpul belia dan beliawanis di daerah Besut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya di kalangan belia mengenai kewujudan koperasi dan kepentingan golongan iyu dalam membantu menambahkan pendapatan ekonomi masyarakat.
“Matlamat utama adalah mewujudkan koperasi bagi membolehkan mencapai objektif program terutamanya dalam meneraju tranformasi generasi belia melalui Gerakan Koperasi serta dapat menerapkan budaya berkoperasi di kalangan belia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam dalam ucapan perasmiannya di Tanjung Demong Resort, Besut.
Ia selari dengan hasrat kerajaan dan dasar keusahawanan negara yang merupakan suatu garis panduan yang akan menjadi hala tuju kepada agenda pengukuhan keusahawanan peringkat nasional. Ia adalah salah satu usaha kerajaan untuk mempercepatkan kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara khususnya membabitkan penglibatan aktif daripada usahawan koperasi dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.
"Ia juga akan menjadi pemangkin buat kita untuk mencapai 41 peratus sumbangan sektor keusahawanan kepada pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya.
Nurkhuzaini mengharapkan agar gerakan koperasi mampu berjaya menjadi pemangkin serta agen penggerak utama dalam pembangunan ekonomi negara serta membantu rakyat jelata, khususnya di negeri Terengganu.
"Terima kasih SKM kerana menganjurkan program seperti ini dan menatijahkan perkara yang baik," ujarnya.
28 Mar 21
395
'Jaga Sumber Air, Tanggungjawab Bersama' - Shaharizukirnain
SETIU, 29 Mac - Penjagaan sumber air adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak pada satu badan atau jabatan semata-mata.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, air adalah sumber penting dalam urusan kehidupan manusia dan makhluk lain.
"Hari ini serentak di seluruh negeri Terengganu mengadakan gotong-royong dengan bertujuan bagi menjaga kawasan persekitaran sumber air bebas daripada tercemar.
"Saya harap usaha ini dimainkan sebaik mungkin setiap daripada kita dan usaha ini dilakukan berterusan".
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak gotong-royong peringkat daerah Setiu, Lata Cangkah, Hulu Setiu sempena sambutan Hari Air Sedunia 2021 kelmarin.
Sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun membawa tema "Valuing Water" (Hargai Air) dilihat bertepatan,.
Dalam program itu, turut diadakan penanaman anak pokok dan pelepasan anak ikan spesis baung sebanyak 750 ekor ke sungai.
Program yang melibatkan agensi kerajaan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Hulu Setiu itu diadakan dalam keadaan norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
28 Mar 21
226
‘Kecil Bagi Mereka, Besar Bagi Kami’
KUALA TERENGGANU, 28 Mac – Pemberian lesen motosikal percuma kepada belia kurang berkemampuan di negeri ini disifatkan sebagai bantuan yang cukup bermakna dalam kehidupan setiap anak muda meskipun nilainya kecil bagi segelintir pihak.
Penerima, Rabiatul Adawiyah Mohd Sukri, 16, berkata, program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2019 merupakan sesuatu yang positif dalam meringankan beban anak muda yang tiada sumber pendapatan.
“Saya berasa amat gembira dan bersyukur kerana kos belajar lesen motosikal telah dibiayai dan saya dapat memanfaatkan sepenuhnya dalam memudahkan urusan harian dan hal-hal kecemasan.
“Contohnya, saya senang bergerak untuk membeli barang di pasar dan untuk pergi beriadah di Bukit Besar. Urusan sebegini dulu susah kerana tiada keupayaan untuk keluar jauh-jauh tanpa lesen,” katanya.
Sementara itu, ibu Adawiyah, Manisah Safie, 42, turut menyuarakan rasa syukur terhadap bantuan diberikan kepada anak keduanya itu sambil menyifatkan ia sangat wajar dilaksanakan.
“Kakaknya juga menerima bantuan LMTS pada tahun lepas dan ia telah membantu keluarga dalam pelbagai urusan antaranya membolehkan urusan hantar adiknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam (SeNILAM).
“Bagi keluarga kami, ini adalah keperluan dan saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam dalam membiayai dan memenuhi keperluan ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima dari Kampung Beladau Selat, Noor Farihah Jusoh, 25, turut menyatakan rasa gembira kerana hasratnya untuk mendapatkan lesen secara percuma itu tercapai.
“Saya terus mengambil peluang tersebut pada akhir bulan September dan sekarang. Buat masa sekarang, saya sedang menunggu tarikh untuk menjalani ujian komputer di Institut Memandu Bitara.
“Alhamdullilah dengan kos yang ditanggung, saya tidak perlu risau dan bersusah-payah mengumpul duit, serta ia mengurangkan beban kos yang mencecah RM300 kepada keluarga.
“Insya-Allah, lesen ini akan memudahkan urusan saya ke kerja untuk mengajar di Pasti As-salam, Padang Midin, yang selama ini telah bergantung kepada kenderaan rakan dan keluarga untuk bergerak,” ujarnya.
Walaupun menghadapi kekangan akibat pandemik COVID-19, Farihah dan Rabiatul adalah di antara 15 ribu belia yang disasar dalam perancangan LMTS oleh kerajaan negeri, melibatkan peruntukan RM 5,900,500.00 untuk tahun lalu.
28 Mar 21
1165
Rakyat Perolehi Maklumat Tepat Tidak Musuhi Agenda Kebaikan
MARANG, 28 Mac - Penyebaran maklumat tepat secara konsisten daripada kerajaan persekutuan dan negeri berupaya membawa kebaikan menyeluruh buat rakyat sekali gus menafikan permusuhan yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, oleh kerana itu maklumat tepat yang perlu diketahui rakyat adalah melalui medium rasmi kerajaan itu sendiri.
"Di peringkat persekutuan melalui Jabatan Penerangan, di negeri dan daerah ada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) yang berperanan menyampaikan maklumat lengkap.
"Semua agensi berkait dengan penerangan ini sudah pasti dapat memberikan kerjasama sebaik mungkin dalam memberi kefahaman kepada masyarakat melalui setiap agenda yang dilakukan.
"Sudah tentu masyarakat tidak akan lagi menjadi musuh terhadap apa yang tidak diketahui, sebaliknya akan melihat kerajaan yang ada pada hari ini sedang melakukan agenda dan perancangan yang baik buat mereka, dan setiap kebaikan yang telah dirancang ini perlu dipertahankan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program 'Walkabout Pelancaran Komuniti @ Pusat maklumat Rakyat (PMR) Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Penolong Pegawai Tadbir Daerah, Mohd Ruqaim Asyrafi Sulaiman dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Shaiful Azuan Che Zuhar.
Katanya, pusat berkenaan berperanan sebagai hab maklumat atau pusat sehenti yang akan beroperasi di setiap daerah melalui Jabatan Penerangan.
"Kerajaan mengharapkan PMR ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dengan kerjasama semua pihak termasuk jawatankuasa masjid di setiap daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap cawangan untuk mengambil maklumat dengan datang ke jabatan ini agar apa jua perkembangan serta maklumat lengkap yang berkaitan dapat disampaikan," katanya.
Dalam kunjungan beliau, Mohd Nor berkata, banyak risalah berkait dengan kempen kehidupan norma baharu, Intipati Belanjawan 2021, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), pengetahuan mengenai Proklamasi darurat dan sebagainya disediakan untuk disebarkan kepada segenap lapisan masyarakat.
Selain itu pelancaran PMR itu juga bertujuan memperkasakan jabatan berkenaan melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti seperti kursus atau bengkel secara bersemuka bersama komuniti setempat juga program bersepadu dengan agensi tertentu bagi menggerakkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
28 Mar 21
152
Hasrat Miliki Rumah, Tanah Jadi Kenyataan
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Impian dan hasrat rakyat Terengganu yang benar-benar memerlukan terlaksana satu persatu dengan pelbagai manifesto kerajaan negeri direalisasikan, antaranya termasuklah dengan pembahagian satu unit Rumah Mampu Milik (RMM) dan membuka permohonan tanah baharu dengan terus memberi geran kekal.
Seorang penerima, Muhammad Safwan Abidin, 28, dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, menyifatkan rezekinya menerima kunci RMM sebagai hadiah yang tidak ternilai baginya kerana impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.
"Saya terlalu gembira, tak sangka impian saya dan isteri menjadi kenyataan. Selepas berkahwin saya terus memohon. Pendapatan saya sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah tak menentu, alhamdulillah dengan pemberian kerajaan negeri ini akan banyak meringankan beban kami.
"Insya-Allah kami akan memanfaatkan rumah ini dengan sebaiknya sebagai tempat berteduh, bukan untuk disewa kepada orang lain sebagaimana kami diingatkan," ujarnya ceria ketika ditemui pada majlis pengundian lot dan penyerahan kunci RMM kepada 18 penerima di Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Ia termasuk projek perumahan membabitkan lima kawasan di RMM Perasing Jaya (3), RMM Teluk Kalong (4), RMM Batu 7 (3), RMM Paya Lawas (5) dan RMM Bukit Gasing (3).
Lebih menggembirakan, sebahagian rakyat Terengganu yang lain pula bertuah menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) daripada kerajaan negeri.
Seorang penerima, Rezali Mamat, 60, dari Kampung Lapang Jambu Laut (Jambu Bongkok), Marang, terharu setelah penantiannya selama berpuluh tahun untuk memiliki tanah sendiri juga berakhir.
Beliau yang berkhidmat dalam tentera selama 18 tahun menceritakan, inilah kali pertama sepanjang perkhidmatan beliau mendapat tanah kurnia daripada kerajaan negeri.
"Setelah pencen baru sekarang saya dapat. Sebelum ini selama berpuluh tahun saya menumpang rumah pusaka peninggalan keluarga.
"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang benar-benar melaksanakan apa yang dijanjikan," katanya pada Majlis Penyerahan Hak Milik & Borang 5A RTB Jambu Bongkok di Balairaya Jambu Bongkok Darat, baru-baru ini.
Seramai kira-kira 42 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A RTB Jambu Bongkok di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam majlis tersebut.
28 Mar 21
571
KETENGAH Serah 120 Geran Hak Milik Rumah
DUNGUN, 28 Mac – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyerahkan suratan hak milik (geran) kepada 120 orang pemilik rumah kos rendah melibatkan kos berjumlah RM3,000,000.
Pengerusinya, Dato’ Razali Idris berkata penyerahan melibatkan penghuni yang telah melangsaikan bayaran harga rumah iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) 37 orang, Bukit Besi (14), Ketengah Jaya (14), Seri Bandi (27) dan Ceneh Baharu serta Kampung tradisi lima orang.
Katanya, sebanyak 737 buah sahaja lagi yang masih dalam proses pemberian hak milik dan dalam proses penyediaan geran dari semasa ke semasa dari jumlah keseluruhan rumah iaitu 3940 buah di seluruh wilayah ketengah.
“Ketengah terus berusaha dari semasa ke semasa dalam memastikan sebarang isu berkaitan hak milik dapat diselesaikan dengan segera.
“Dalam penelitian kami, dijangka sehingga akhir September tahun ini, jumlah mereka yang akan memperolehi suratan hak milik ini dijangka akan mencapai 81 peratus, manakala pada tahun 2024 Ketengah dijangka mampu menyelesaikan 90 peratus urusan pemberian hak milik. InsyaAllah,”katanya.
Beliau berkata demikian di Program Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik (Geran) Wilayah Ketengah di Pusat Komuniti Desa (Pkd) Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun di sini hari ini.
Tambah Razali lagi, kerajaan negeri dan jabatan yang berkaitan juga sentiasa berusaha untuk memastikan urusan hak milik diselesaikan dengan kaedah yang terbaik demi kebaikan bersama.
“Ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar terpelihara.
“Adalah diharapkan usaha yang dilaksanakan kerajaan ini dapat membantu penduduk luar bandar hidup dalam keadaan yang lebih selesa dan seterusnya meningkatkan taraf hidup yang merupakan salah satu keutamaan dalam agenda pembangunan Wilayah KETENGAH,” ujarnya.
28 Mar 21
728
‘Syukur, Alhamdulillah…Akhirnya Dapat’
DUNGUN, 28 Mac- Rata-rata penerima notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Batu Putih, Mukim Kuala Dungun mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri.
Seorang penerima, Wan Abdullah Wan Mat, 60, berkata, dia sangat gembira kerana permohonan yang dibuat pada tahun 1985 akhirnya diluluskan.
“Alhamdulillah, syukur sangat kerana penantian hampir 36 tahun untuk memiliki tanah ini akhirnya berakhir.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri dibawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sangat cakna kepada keperluan rakyat seperti kami,” ujarnya.
Wan Abdullah ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Borang 5A RTB Batu Putih, Mukim Kuala Abang yang disempurnakan oleh Ahmad Samsuri di Dewan Al-Husna Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah, semalam.
Dia merupakan salah seorang daripada 45 orang peserta terkilan dan 292 orang awam yang memenuhi kelayakan pada sesi itu.
Seorang lagi penerima Mohamad Ali ,69, berkata, dia tidak menyangka permohonannya begitu cepat diproses.
“Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya sekeluarga,” ujarnya yang berasal dari Kampung Balai Besar.
Sementara itu, Mariani Mohd,39, yang menetap bersama ibunya di Kampung Peladang menyifatkan, pemberian Borang 5A itu sangat bermakna buat dirinya.
“Apabila diberitahu saya terpilih, perasaan tu suka sangat, InsyaAllah lepas nie boleh buat rumah sendiri di atas tanah yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri ini,” ujarnya.
28 Mar 21
1739
Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Sungai Petuang, Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 28 Mac – Seorang pemuda dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Rumah Rakit Cik Na, Jeram Harimau, Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata mangsa, Ami Azzizol Abu Bakri, 22, berasal dari Dungun dikatakan sedang bercuti bersama-sama isteri dan ahli keluarganya di rumah rakit berkenaan.
“Pihak Polis menerima maklumat pada pukul 6.20 petang semalam mengenai kejadian tersebut.
“Ketika kejadian, mangsa dikatakan berenang dari rumah rakit Cik Na ke dalam sungai Petuang di hadapan rumah rakit tersebut untuk mandi tanpa memakai jaket keselamatan.
“Tidak lama kemudian beberapa saksi termasuk isteri mangsa ternampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot. Salah seorang saksi iaitu anak pemilik rumah rakit telah cuba memberi pertolongan namun hampir lemas kerana mangsa memaut belakang saksi yang cuba membantu. Mangsa terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Adli berkata seramai 46 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam menyertai operasi mencari mangsa yang sehingga kini masih belum ditemui.
28 Mar 21
1580