Artikel "Semasa" Terkini
Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia Lebar Sayap Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 April - Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) di Petaling Jaya, Selangor yang didaftarkan secara rasminya dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 2012 kini melebarkan sayapnya keTerengganu.
Setiausahanya, Dr Asyraf Isyraqi Jamil berkata, tujuan utama penubuhan rabitah berkenaan adalah untuk menyampaikan wadah al-Azhar kepada ribuan lepasan al-Azhar di seluruh dunia serta menjalinkan hubungan yang lebih erat sesama ahli.
“Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), kami menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi faedah kepada ahli selain membawa mesej wasatiyah yang jauh dari pemikiran ekstrem,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap di Majlis Taklimat Dan Dialog Penubuhan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu di Pusat Bahasa Arab Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Lothman Awang dan Pengerusi Perhubungan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu, Abdullah Suhaimi.
Sementara itu, Abdullah yang menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Perhubungan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu pada majlis berkenaan menyifatkan, pembukaan rabitah di Pusat Bahasa Arab Terengganu itu merupakan suatu kebanggaan kepada Negeri Terengganu.
“Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasa Bahasa Arab di bumi Darul Iman ini.
“Dengan adanya rabitah cawangan Negeri Terengganu ini, saya harap dapat memberi sumbangan, menyebarluaskan lagi program-program seperti meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa arab dan sebagainya.
“Saya juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha memperkasa bahasa Arab ini,” ujarnya.
05 Apr 21
908
Hampir 40 Peratus Pengunjung Karnival Kerjaya Dapat Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April - Hampir 40 peratus daripada bilangan calon yang hadir ke temuduga Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 mendapat kerja setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selama dua hari program itu berjalan padanan pekerjaan berjaya adalah sebanyak 839 orang .
Katanya, peratusan tersebut adalah indikator utama kejayaan program daripada bilangan pendaftaran pengunjung mencecah hampir 3,000 pengunjung.
“Bilangan temuduga dijalankan berjumlah 3,665 iaitu seorang calon lebih satu temuduga, manakala jumlah yang berjaya untuk temuduga kedua adalah 936 orang atau 42.6 peratus.
“Kejayaan penempatan pekerjaan yang berlaku akan memberi 'spill over economics effect' atau limpahan ekonomi yang sangat baik kepada negeri dan negara," katanya
Tambahnya lagi, kesan limpahan ekonomi yang bakal wujud bermula bulan hadapan adalah sebanyak RM750,000 iaitu RM1,500 didarabkan dengan 500 orang.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam.
Turut hadir, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Mohd Sahar Darusman Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin.
Sementara itu, Nurkhuzaini turut mencadangkan agar ada lanjutan program kepada peserta yang berjaya ke temuduga kedua.
"Ini boleh dilakukan melalui kerjasama dengan PERKESO untuk latih dan sediakan mereka langkah seterusnya.
“Bagi mereka yang tidak dapat, jangan berputus asa, mungkin PERKESO akan adakan program sebegini di negeri terdekat serta usaha secara maya melalui pertubuhan tersebut juga boleh dilakukan.
Seorang pemburu kerja, Suhaimi Ghani, 36 yang juga seorang penghantar barang di Manir menyifatkan usaha pihak penganjur amat membantunya dalam mencari pekerjaan baharu dalam bentuk ‘one-stop center’.
“Saya telah bertemu dengan tiga majikan, walaupun tiada jawapan lagi namun rezeki peluang cerah, orang macam saya tak perlu lagi pergi jauh-jauh mencari kerja kerana pelbagai jenis majikan ada di sini,” katanya selepas ditemu bual di meja SAA Engineering dan Marine Sdn Bhd.
Nurkhuzaini beramah mesra bersama Suhaimi di salah satu booth
05 Apr 21
798
Wanita Bekerja Sendiri Diseru Rebut Dana RM10 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 April – Golongan wanita kategori orang bekerja sendiri (OBS) daripada pelbagai sektor diseru agar merebut faedah di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Prihatin Wanita (SPW).
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, dengan skim itu, bermula 1 April kerajaan akan membayar 70 peratus daripada pelan caruman berjumlah RM232.80, iaitu sebanyak RM163.
“Sementara para usahawan serta wanita bekerja sendiri hanya perlu membayar RM69.80 iaitu 30 peratus daripada caruman setahun Pelan 2 skim tersebut.
“Ini peluang baik untuk wanita OBS kerana dengan hanya peratusan itu akan mendapat faedah perlindungan setahun
“Contohnya seperti usahawan wanita meniaga atas talian, sekiranya berlaku kemalangan atau tidak mampu bekerja dalam tempoh sakit mereka berhak mendapat faedah, sama seperti kematian boleh mendapat pencen dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, Petang kelmarin.
Tambahnya, permohonan untuk program SPW tersebut boleh dibuat mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.
Mengulas tentang Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, Farihah memaklumkan, pihaknya menerima pendaftaran 109 OBS di karnival tersebut dan masih mengalukan mereka yang belum mendaftar.
“Sehingga Mac 2021, kira-kira 4,400 OBS telah mendaftar dan kita masih mewar-warkan usaha ini supaya mereka ini mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja,” jelasnya.
Untuk rekod, pihaknya menganggarkan terdapat kira-kira 25,000 individu yang bekerja sendiri di negeri itu.
Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my/ atau ke kaunter fizikal di Wisma Perkeso, Kuala Terengganu.
05 Apr 21
9940
Transformasi KQT Jadi Kolej Universiti
KUALA TERENGGANU, 4 April - Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) sedang melalui proses transformasi untuk dijadikan Kolej Universiti menjelang tahun 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia akan direalisasikan melalui peruntukkan sebanyak RM11 juta untuk pengoperasiannya termasuk kerja menaik taraf cawangan di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu serta membina kampus baru di Durian Mentangau, Dungun.
Menurut beliau, usaha secara bertahap selama empat tahun itu bagi memenuhi keperluan sektor pendidikan di negeri ini.
"Kita juga sedang memantapkan program diploma sedia ada di samping dua pengajian baharu yang akan diperkenalkan iaitu Diploma Pengajian Hadis dan Tafsir Al-Quran yang mendapat akreditasi sementara serta dalam proses untuk mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).
“Serta kita juga menjalinkan kerjasama akademi dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi memperkenalkan program baru Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pengkhususan syariah,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Presiden institusi tersebut berkata demikian ketika ditemui pemberita, pada sidang media di Majlis Imaratul Ilmi kali ke-2, di Dewan Permata, Permai Hotel di sini hari ini.
Dalam program berkenaan seramai 36 pelajar lepasan Diploma Al-Quran dan Bahasa Arab (DQTB) dan Diploma Tahfiz Al-Qur’an dan Qiraat (DTQQ) diraikan.
Dalam perkembangan yang sama katanya, kuliah al-Fur’qan yang diadakan selama ini akan diperluaskan ke setiap daerah bagi memberi peluang kepada seluruh masyarakat untuk mempelajari al-Quran
“Kemaman dan Besut akan dijadikan sebagai projek perintis untuk kuliah ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pengambilan pelajar bagi peringkat ijazah di institusi berkenaan akan dimulakan pada September.
“Di samping mencukupkan kadar bilangan doktor falsafah (PHD) untuk berkhidmat dengan KQT yang akan menempatkan pelajar di Pengkalan Gawi.
“Kerana kampus di padang Midin sudah penuh , insya-Allah pada bulan Jun segala proses untuk baik pulih dan melengkapkan segala keperluan serta dijangka akan memuatkan pelajar seramai 500 orang,” ujarnya.
04 Apr 21
1161
89 Bot 'Berlayar' Bersihkan Sungai Nerus
KUALA NERUS, 4 April – Sebanyak 89 bot nelayan bergotong-royong menyelusuri lembangan Sungai Nerus semalam bagi memelihara sumber alam tersebut.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ekspedisi meliputi tiga daerah itu disertai 224 peserta dan dicetuskan oleh para nelayan darat setempat.
“Ini bertujuan sebagai usaha dalam pembersihan sungai daripada sisa sampah, jala-jala dan sebagainya.
“Penglibatan mereka adalah besar untuk negara kerana idea ini datang dari mereka (nelayan), oleh itu ia wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas upacara pelepasan Ekspedisi Sungai Nerus 2021 Negeri Terengganu Darul Iman di Jeti Kampung Tanjung Sabtu, pagi tadi.
Turut hadir, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan sungai sepanjang 76 kilometer meliputi Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu adalah nadi sumber hidupan yang wajib dipelihara.
“Sebanyak 20 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk JPKK Tanjung Sabtu mengambil bahagian dalam kecaknaan ini melibatkan empat kawasan DUN demi mengembalikan kegemilangan Sungai Nerus.
“Usaha usaha yang sewajarnya digembleng terutamanya melibatkan masyarakat di sepanjang sungai ini bersama-sama memelihara khazanah alam yang tidak ternilai.
“Masyarakat sekitar tebing sungai juga seharusnya memupuk kesedaran menjaga,” jelasnya.
04 Apr 21
473
PKM, JPKK Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Daftar Vaksin
SETIU, 5 April - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) giat mengadakan kempen pendaftaran vaksin COVID-19 bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan segala berita yang disebarkan pihak tertentu tentang vaksin kerana pakar dalam bidang terbabit sudah memberi penjelasan.
"Alhamdulillah, pagi ini saya telah melengkapi jadual suntikan vaksin untuk kali ke dua dan setakat ini tiada apa-apa gejala atau kesan yang teruk termasuk tiada sebarang alahan..
"Vaksin ini adalah sebahagian usaha untuk kita melindungi diri dan masyarakat daripada pandemik COVID-19 di samping pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima suntikan di Klinik Kesihatan Rahmat,l semalam.
Sijil digital melengkapi dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, rekod pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi daerah Setiu setakat 2 April mencatatkan bilangan seramai 7959 orang dengan kadar 18.5 peratus.
Orang ramai terus disaran untuk mendaftarkan diri dan tanggungan melalui aplikasi MySejahtera atau melalui laman www.vaksincovid.gov.my/daftar.
04 Apr 21
764
Labuh Unjam, Tingkat Pendapatan Nelayan
KUALA NERUS, 4 April - Kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan Malaysia melabuhkan unjam komuniti nelayan Tanjung di perairan Kuala Terengganu hari ini diyakini mampu memberikan impak positif kepada nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program melabuh unjam itu bertujuan menambah habitat pelbagai spesies ikan sekaligus meningkatkan pendapatan nelayan sekitar.
“Program memperkayakan sumber perikanan pada hari ini melibatkan 22 orang nelayan Tanjung, Pangkalan Kuala Terengganu yang menggunakan peralatan kail mengail, bubu dan pukat hanyut.
“Sebanyak 40 unit unjam dijalankan secara bergotong-royong bersama ahli komuniti perikanan sehari sebelum program melabuh unjam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Melabuh Unjam Nelayan Tanjung dan Perasmian Jeti Nelayan Kampung Batin di jeti tersebut, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.
Menurut Dr Azman, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM160,000 tahun ini bagi pembangunan unjam di seluruh Terengganu.
“Sebanyak 280 unit unjam akan dilabuhkan di tujuh kawasan yang terlibat di mana Kuala Terengganu (nelayan Tanjung), Kuala Nerus (Batu Rakit), Setiu (Pangkalan Bari), Besut (Kuala Besut), Marang (Pasir Putih), Dungun (Kampung Sura) dan Kemaman (Kijal) yang mana setiap kawasan dilabuhkan 40 unit unjam seperti hari ini,” ujarnya.
Katanya, program melabuh unjam yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu ternyata memberi impak positif kepada sumber perikanan negeri ini.
Sementara itu, mengulas mengenai Jeti Nelayan Kampung Batin beliau menyifatkan infrastruktur untuk kegunaan nelayan itu walaupun dilihat kecil berbanding kemudahan lain, ianya cukup bermakna buat komuniti terbabit.
“Jeti yang dibina November lalu dengan kos kira-kira RM100,000 dan siap dalam tempoh tiga bulan sebenarnya keperluan penting buat nelayan disini.
“Sebenarnya tidak perlu kepada projek megah yang tidak dapat mereka nikmati, sebaliknya jeti ini lebih bernilai dan memberi manfaat kepada sekitar 20 bot nelayan di kawasan ini,” ujarnya.
04 Apr 21
783
KASA Tekad Selamatkan Pantai Berpasir Di Terengganu
KUALA NERUS, 4 April – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta kerajaan negeri tekad mahu memelihara keindahan pantai berpasir di Terengganu melalui beberapa strategi termasuk melaksana kajian mendalam.
Menteri KASA, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha itu sentiasa berjalan namun hakisan teruk memaksa penggunaan kaedah pemecah ombak (breakwater) menyebabkan kehilangan pantai pasir di beberapa kawasan.
“Oleh itu, kajian terperinci perlu diperhalusi dalam mengelakkan kehilangan pasir kerana ia sebahagian daripada nikmat negeri ini.
“Melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebuah modul baharu dibangunkan yang telah dibentangkan dalam Majlis Air Negara baru-baru ini tentang risiko hakisan pantai tentang bagaimana kita perlu lakukannya.
“Pantai perlu dibekalkan dengan pasir cukup, paling tidaknya di kawasan muara dimana banyak pasir mesti ditambung balik, ini kaedah yang ditumpukan JPS,” katanya kepada pemberita selepas program Ekspedisi Sungai Nerus 2021 di Jeti Kampung Tanjung Sabtu, semalam.
Mengulas tentang dua keutamaan dalam memelihara khazanah alam tersebut, Tuan Ibrahim menerangkan, pertama adalah fokus keselamatan di muara dan kuala buat para nelayan untuk keluar masuk di beberapa muara dalam negeri.
“Contohnya insiden di Muara Kuala Dungun, beberapa nelayan mati kerana kapal dipercayai terdampar di pasir mengakibatkan kapal terbalik dipukul ombak.
“Kedua, kita perlu pastikan pasir yang diambil akan dipulangkan kepada pantai semula supaya pantai itu kekal indah,” katanya lagi.
Tambah beliau, antara projek yang sedang dijalankan dibawah kementeriannya bersama kerajaan negeri di Kuala Nerus adalah seperti projek tebatan banjir Kuala Terengganu Utara di kawasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebanyak RM10 juta.
“Selain itu, projek pengawalan hakisan Pantai Kuala Nerus berjumlah RM90 juta, kerja-kerja pengawalan hakisan pantai di kawasan Sungai Kampung Telipot dalam RM6.2 juta.
“Keempat, kerja-kerja pengawalan hakisan tebing Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Maras kira-kira RM600 ribu, pengawalan hakisan tebing pantai Kampung Tanjung Gelam berjumlah RM250 ribu, sistem tebatan banjir dan pencegahan hakisan pantai di UMT RM40 juta dan RM87 juta untuk projek tebatan banjir Tok Jiring,” ucapnya.
04 Apr 21
1403
Tubuh Kelab, Bantu Ibu Tunggal
MARANG, 4 April - Penubuhan Kelab Ibu Tunggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang nyata mampu menjadi medan perkongsian terbaik dan memperkasakan golongan itu ke arah penambahbaikan lebih positif, selain bertujuan menjaga kebajikan.
Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, dia bersyukur kerana diberi kesempatan, ruang dan peluang untuk duduk bersama ibu-ibu yang kuat serta cekal dalam meneruskan kehidupan yang lebih baik kepada diri sendiri lebih-lebih lagi kepada anak-anak.
"Tujuan ini diadakan juga untuk mengumpulkan ibu tunggal di samping mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita, katanya ketika merasmikan program Bual Bicara Bersama Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang anjuran Kelab Ibu Tunggal DUN Rhu Rendang di Rusila,"katanya.
Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Mohd Embong dan petugas Insititut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang.
Menurutnya lagi yang merupakan Pengerusi Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), platform itu juga boleh dijadikan sebagai satu tempat untuk menambah ilmu pengetahuan terutamanya kefahaman agama dalam kalangan ibu tunggal.
"Dalam masa yang sama, kita dapat sampaikan ilmu yang ada kepada anak-anak, jiran-jiran, masyarakat dan sebagainya.
"Kita juga sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan idea penambahbaikan dalam soal pembangunan wanita sama ada melibatkan hal pekerjaan, ekonomi dan menjana pendapatan sampingan" tambahnya.
Beliau juga sempat memberikan sedikit sumbangan daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kepada 50 orang ibu tunggal yang hadir dalam majlis bual bicara santai tersebut.
04 Apr 21
394
Karnival Pekerjaan Elak Rakyat 'Tanam Anggur'
KUALA TERENGGANU, 4 April - Karnival Penjana Kerjaya Terengganu yang berlangsung semalam dan berakhir hari ini berupaya mengurangkan kadar penganguran di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri,Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, inisiatif itu merupakan kesinambungan usaha Kemementerian Sumber Manusia dalam memastikan kestabilan pasaran buruh negara.
Katanya, lebih 10,000 kekosongan jawatan melibatkan sekitar 80 majikan mengambil bahagian dalam program temu duga terbuka di Duyong Marina Resort.
"Berita gembira buat semua pencari kerja, di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 kali ini, mereka yang menerima tawaran kerja dalam lingkungan jarak di bawah 100 kilometer akan diberi bantuan mobiliti sebanyak RM500.
"Manakala bagi mereka yang sanggup berpindah keluar dari tempat mereka bermastautin dengan jarak 100 kilometer ke atas, layak diberikan bantuan mobiliti sebanyak RM1,000," katanya ketika berucap dalam program terbabit semalam.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya teruja melihat kesungguhan kerajaan negeri, Perkeso dan THRDC dalam menjayakan karnival terbabit.
"Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Nurkhuzaini, Perkeso dan THRDC atas penganjuran program yang amat bermakna ini," jelasnya.
Sementara itu beberapa graduan yang ditemui berkata karnival penjana kerjaya itu membuka ruang dan peluang untuk mereka mendapat pekerjaan dengan kadar segera.
04 Apr 21
801