Artikel "Semasa" Terkini
'Jangan Lari Dari al-Quran' - Nasihat Qariah OKU Penglihatan
KUALA TERENGGANU, 8 April - Walaupun menjalani kehidupan tanpa deria penglihatan, namun ia bukan suatu yang mustahil bagi Afzam Mustafa, 41, bagi mewakili daerahnya ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman pada tahun ini.
Qariah yang berasal dari Kertih berkata, kemahirannya dalam taranum diasah sejak di bangku sekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bharu dan kini mengajar di Pusat Pengajian al-Quran Braille, Paka.
“Kini hampir 10 orang pelajar saya mengajar cara baca bentuk tulisan ini daripada tidak pandai kepada sekarang mampu untuk mengaji, reaksinya orang ramai kagum dan memberi semangat kepada kita.
“Dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang mengenali memberi semangat kepada saya untuk mendalami teknik baca braille sehingga kini pertama kali dipilih untuk ke peringkat negeri.
“Sebelum ini sudah banyak menyertai pertandingan sebegini, malah turut mewakili Terengganu dalam majlis tilawah al-Quran 2019 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat di Melaka dan diangkat sebagai naib johan," katanya ketika ditemubual pemberita, kelmarin.
Anak keempat daripada 8 orang adik beradik (3 Orang Kurang Upaya penglihatan) menyifatkan kekurangannya bukan penghalang kepada jiwanya untuk menguasai bacaan taranum dan tajwid melalui titik Braille.
“Jadi saya menyeru mereka yang celik terutamanya pada bulan Ramadan ini supaya tadarus dan perbanyakkan bacaan al-Quran.
“Bukan sahaja pada bulan puasa, maknanya jangan kita lari daripada kitab suci ini, kita perlu sentiasa bersama al-Quran dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya lagi.
Afzam adalah di antara 16 peserta dari seluruh daerah yang menyertai program tersebut selama tiga hari.
Setakat ini, Pusat al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Besut mempunyai 12 pelajar sementara di Paka 10 pelajar dengan masing-masing mempunyai seorang guru.
Untuk rekod, Kerajaan Terengganu turut merancang dalam menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu.
07 Apr 21
804
Usahawan Perlu Cakna Masalah Dalam Masyarakat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 7 April- Golongan usahawan yang berkemampuan dari segi kewangan hendaklah mengambil cakna masalah yang dihadapi dalam masyarakat di sekelilingnya.
Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia adalah tanggungjawab tidak langsung yang perlu dipikul bersama seperti mana menjalankan program tanggungjawab sosial (CSR).
“Golongan usahawan yang berada, yang diberikan rezeki lebih mereka ambil cakna yang mana golongan seumpama ini memberi kesan yang sangat baik kepada masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ‘Reunion SMTIZ, Dungun di Paya Bunga Hotel, baru-baru ini.
Mengulas lanjut berkenaan program tersebut, Dato' Yahaya memaklumkan, pertemuan sahabat Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah (SMTIZ), Dungun batch 77/78 itu dapat membina kembali ukhuwah yang terputus sekian lama dan dapat menjalinkan hubungan dengan pelbagai kepentingan.
“Kalau kita sebagai sebuah Alumni NGO, kita juga mempunyai kepentingan kepada kerajaan negeri.
“Oleh kerana itu barangkali ada di kalangan kawan-kawan kita dalam bidang kemahiran masing-masing, boleh mengambil inisiatif untuk berbincang dengan mana-mana pihak, samaada Menteri Besar, Exco dan pelbagai jabatan kerajaan untuk mengambil manfaat daripada kemahiran dan pengalaman yang ada pada kawan-kawan kita,” ujarnya.
Dato Yahaya menambah, tanggungjawab sebenar bukan sekadar kepada diri sendiri, keluarga tetapi kita punyai kewajipan sosial pada masyaarakat.
“Sebab kekuatan yang ada pada masyarakat ini adalah penting untuk kita bina.
"Yang pertama kekuatan dari segi ukhuwah, kedua, nak melahirkan pemimpin yang adil samada pemimpin dari segi politik, pentadbiran, pemimpin keluarga supaya kekuatan yang ada pada kepimpinan itu boleh memberikan manfaat yang besar dalam kepimpinan kita.
“Yang ketiga dalam kehidupan kita perlu berdamping bukan sahaja kita nak berdamping dengan orang berilmu dan pelbagai profesion sahaja tetapi harus dengan ulamak pewaris nabi sebagai pembimbing dalam kehidupan dengan peringatan daripada Al Quran dan Hadis,” tambah Dato Yahaya.
07 Apr 21
280
Zoo Mini Tok Dir Terima Peruntukan RM10 Ribu
KUALA TERENGGANU, 7 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM10 ribu bagi pembangunan Zoo Mini Kampung Tok Dir yang kini mula dikunjungi orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu diambil untuk menggalakkan penduduk memajukan produk pelancongan komuniti (CBT) sekali gus menjadi sumber ekonomi penduduk sekitar.
"Saya bangga dengan usaha Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tok Dir dan orang kampung dalam merancakkan lagi tempat ini sejak diviralkan baru-baru ini.
“Walaupun tak sama seperti Zoo Negara atau Zoo Kemaman, namun keunikan suasana kampung sekeliling cukup untuk menarik perhatian pelawat bukan sahaja dari Terengganu, malah di seluruh negara.
“Ini adalah contoh baik dalam CBT, di mana komuniti sendiri membina tarikan tersebut, antaranya di kawasan saya di Alor Limbat seperti Pengkalan Warisan dan Dataran Banggol Chempedak,” ucapnya dalam Majlis Perasmian Zoo tersebut di Perkarangan Zoo Kampung Tok Dir, Bukit Payong baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Pengerusi JPKK Kampung Tok Dir, Muda Abdullah.
Tambah Ariffin, lokasi strategik zoo tersebut yang terletak di kawasan baruh sawah padi mampu menjadi produk viral seperti dikenali di serata Malaysia seperti Warung Roti Canai Pok Ripin di Padang Maras, Batu Rakit.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang hadir sama berkata, pihaknya menghulurkan sokongan dalam bentuk pembinaan jalan tar bagi memudahkan kemasukan pengunjung ke zoo tersebut.
“Hasil komuniti dalam mewujudkan tempat ini memberi kebaikan sebagai pusat rekreasi penduduk sekitar, mudah-mudahan dapat memberi kebaikan dan sumber pendapatan kepada warga Bukit Payong,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik zoo berkenaan, Mohd Hilmie Muda, 30, berbesar hati menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan dia bertekad membangunkan lagi kawasan tanah milik ayahnya itu.
“Insya-Allah kita akan naik taraf dan beli binatang spesies lain seperti Rusa Bintik dan burung-burung yang ramai masih tidak kenali,” katanya.
07 Apr 21
3201
Permohonan 20 Tahun Kini Lulus
KEMAMAN, 7 April - Sistem pencahayaan di laluan masuk ke tanah perkuburan Kampung Pondok Pasir, Kijal yang pernah dimohon oleh penduduk 20 tahun lepas kini telah diluluskan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar, Zawawi Mohamed bersyukur dengan pemasangan lampu jalan tersebut.
Zawawi Mohamed.
"Alhamdulillah, akhirnya terang juga jalan ke tanah perkuburan ini setelah sekian lama menjadi rungutan penduduk kampung.
"Seingat saya sudah 20 tahun laluan ini gelap dan amat menyulitkan komuniti di kampung ini bagi menguruskan pengkebumian jenazah terutama pada waktu malam," katanya.
Zawawi yang ditemui di kediamannya di Kampung Pondok Pasir, Ibok tempoh hari oleh pemberita juga berkata, wakaf di kubur tersebut yang dulunya agak usang kini telah dinaiktaraf dengan struktur batu.
Struktur baru wakaf di tanah perkuburan Kampung Pondok Pasir.
"Wakaf di kubur telah dinaiktaraf dengan struktur batu dan insya-Allah kami dalam proses membuat permohonan untuk adakan lampu limpah di situ bagi kemudahan bila ada kematian yang perlu disegerakan pada waktu malam," katanya.
Zawawi juga berterima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menyejahterakan komuniti kampungnya, dia juga berharap agar tanah kubur seluas 4 ekar tersebut mendapat kelulusan dari kerajaan bagi mendirikan pagar.
07 Apr 21
1743
Genap Enam Dekad Bangunkan Ummah Rabbani
KUALA TERENGGANU, 7 April - Genap 64 tahun Majlis Tilawah Al-Quran diadakan di peringkat negeri dan ia selari dengan hasrat kerajaan Terengganu dalam meletakkan prinsip Islam selari dengan pembangunan semasa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan majlis norma baharu bertemakan ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’, kerajaan menekankan prinsip agama dan penghayatan taqwa.
“Ini adalah penting dalam pembangunan modal insan dan fizikal negeri demi kecapi keharmonian dan rahmat Allah.
“Usaha ini direalisasikan oleh kerajaan negeri melalui pendidikan dengan penubuhan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung, Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1442H/2021M di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh, Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-Ahli Parlimen.
Hadir Sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, penyertaan masyarakat di peringkat daerah amat menggalakkan dengan penyertaan 159 orang terdiri daripada 109 Qari dan 50 Qariah.
“Sejak 64 tahun lalu, Menteri Besar Terengganu pada masa itu, Mohd Daud Abdul Samad menyahut hasrat Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mengadakan majlis seumpama itu.
"Kesinambungan daripada itu, buat julung kali majlis sebegini diadakan pada 14 Mac 1960 di Istana Maziah," jelas beliau.
Katanya, sejak dari itu sehingga kini, Terengganu menjadi salah sebuah negeri yang mencatat sejarah penting dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.
“Johan kali ini akan mewakili Terengganu di peringkat negeri yang dicadangkan berlangsung pada 13 sehingga 18 Jun di Ibu Negara,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri.
Program berkenaan berlangsung selama tiga hari ini melibatkan 16 peserta dari seluruh daerah.
07 Apr 21
215
5,478 Kedai Makan Di Terengganu Diserbu
KUALA TERENGGANU, 7 April - Sebanyak 5,478 kedai di seluruh negeri Terengganu dijalankan pemeriksaan melalui satu Operasi bersepadu “Ops Kedai Makan Tumpuan” Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan, berikutan Ops tersebut, sejumlah enam tindakan kompaun dengan nilai RM26,000 dikenakan dengan pemeriksaan dijalankan bermula 13 Mac sehingga semalam.
“Tujuan Ops ini adalah bagi memastikan semua masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPP ini.
“Dari enam tawaran kompaun yang dikeluarkan, lima kompaun telah dijelaskan dengan nilai kutipan sebanyak RM4,015," katanya.
Mengulas lanjut berkenaan Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, beliau memaklumkan, arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan itu berperanan dalam menangani penularan wabak COVID-19.
"Perintah ini berkuatkuasa daripada 11 Mac 2021 yang merangkumi pindaan lima peruntukan sedia ada dan penambahan lima peruntukan baharu.
“Salah satu pindaan berkaitan pengkompaunan kesalahan. Kadar kompaun asal adalah tidak melebihi RM1,000 dipinda kepada tidak melebihi RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi pertubuhan perbadanan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, semua lapan pejabat kesihatan daerah di negeri Terengganu telah menjalankan operasi oleh Pasukan Task Force Pematuhan SOP PKPP.
“Operasi adalah serentak dan melibatkan seramai 52 orang anggota penguatkuasa.
“Sepatutnya setiap rakyat mengambil pendekatan kawalan kendiri bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak menular akibat ketidakpatuhan kepada SOP. Penguatkuasaan adalah jalan terakhir.
“Namun pihak jabatan perlu bertindak tegas jika didapati perlangaran SOP berlaku dengan terang," jelasnya.
Sementara itu, pihaknya turut melaporkan sebanyak 14 kesalahan di bawah Akta PPKHT 2004 (merokok di kedai makan) juga dikesan dengan nilai kompaun sebanyak RM3,500.
06 Apr 21
3659
Terengganu, Pahang Perkukuh Kerjasama
KUANTAN, 6 April - Pertemuan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan Pahang menjadi simbolik kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang legislatif antara dua negeri pantai Timur itu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, lawatan yang diadakan itu juga merupakan kesinambungan kepada mengukuhkan hubungan sedia ada di antara dua negeri berkenaan.
"Pengalaman-pengalaman yang ada di setiap badan dalam dua negeri ini boleh saling dimanfaatkan untuk kesejahteraan di masa hadapan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan kunjungan hormat ke DUN Pahang, semalam.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Dato Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta Yang DiPertua DUN Pahang, Dato' Seri Ishak Haji Muhamad. .
Mengulas lanjut, Yahaya menyifatkan perpaduan yang ada pada hari ini melalui Muafakat Nasional perlu digunakan sebaik mungkin demi menjamin kelangsungan Melayu Islam.
Jelasnya, ia menjadi hasrat semua pihak di negara ini untuk memastikan tidak lagi timbul konflik yang membawa kepada pergeseran yang tiada kesudahan.
"Saya tidak boleh jadi pemegang polisi parti tapi apa yang saya suarakan ini daripada sudut harapan rakyat.
"Hubungan yang sedia ada ini perlu diperkukuhkan sama ada Pahang, Terengganu ataupun mana-mana negeri," ujarnya
Sementara itu, Ishak berkata pertemuan antara dua badan itu membincangkan penambahbaikan untuk kedua-dua badan perundangan.
"Sudah sampai masanya sesetengah 'Standing Order's' pada tahun 1959 dikaji kembali melalui kewujudan panel kajian secara bersama kedua-dua negeri ini.
"Kita akan cari formula bagaimana hendak mempastikan kualiti ,mutu dan prestasi dewan dalam melayani ahli-ahli dewan yang tentunya datang dari pelbagai latar belakang parti politik.
"Kita perlu berperanan lebih efektif dan progresif untuk memastikan dewan kita ini sentiasa segar dan bermutu tinggi,"katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kunjungan delegasi dari Terengganu itu merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada negeri Pahang.
"Dalam masa yang sama menjalinkan ikatan yang lebih kukuh antara dua kerajaan, walaupun hubungan sudah ada, kita perkemaskan lagi dan disimpul mati,"ujarnya.
06 Apr 21
628
Kerajaan Negeri, Perkeso Bantu Pemburu Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April – Kerajaan Terengganu akan meneruskan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dalam negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, cadangan tersebut tercetus hasil sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setelah 936 orang berjaya mendapat temuduga kedua dalam Karnival Penjana kelmarin.
“Insya-Allah dengan Perkeso, kerajaan negeri akan cuba bantu mereka yang sudah sebelah kaki untuk dapat kerja, kalau dapat lagi separuh (peserta) mungkin akan tolong 1,500 orang mendapat pekerjaan.
“Perkeso boleh cadangkan untuk panggil majikan bagi pemusatan kerja temuduga, alternatifnya kita boleh diteruskan padanan kerja secara bentuk maya, ia boleh ditingkatkan kerana data pencari kerja sudah ada.
“Pihak kami melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) akan bersedia untuk menyokong usaha sebegini jika dapat direalisasikan,” jelasnya semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam.
Perkara sedemikian turut disuarakan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusman yang menceritakan pelbagai inisiatif karnival kerja dijalankan pihaknya dalam bentuk fizikal dan maya.
“Jika hasrat ini diteruskan di Terengganu, pihak kami boleh aturkan sokongan kewangan dan tenaga dengan setiap program temuduga kerja pada setiap suku tahun,” jelasnya.
Mengulas lanjut berkenaan usaha Perkeso berkenaan temuduga secara maya, ia melibatkan dalam lingkungan 40 majikan dengan satu pegawai Perkeso mendidik beberapa calon untuk ditemuduga.
“Setiap hari, sebarang kekosongan akan dipromosikan dalam portal Perkeso, manakala setiap minggu pihak kami adakan temuduga kecil bersama majikan dan pekerja (mengikut jadual dan kekosongan),” ulasnya.
Untuk maklumat lebih lanjut, boleh layari https://www.myfuturejobs.gov.my/ atau laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my.
06 Apr 21
1425
'Mini Slipway' Baharu Beri Manfaat Kepada 600 Nelayan
MARANG, 5 April - Pembinaan 'mini slipway' atau tempat pembaikian bot dan bilik sejuk yang membabitkan peruntukan lebih RM700,000 nyata melegakan hampir 600 nelayan di daerah ini.
'Mini slipway' yang ditempatkan di Kampung Alur Pak Bang dan bilik sejuk di hadapan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu itu mula dibina pada akhir 2019 dan kini dapat digunakan sepenuhnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini golongan nelayan terpaksa membaiki bot di 'slipway' swasta dan ada antaranya terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu.
Katanya, kemudahan itu sudah diserahkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan Marang dan beliau pasti ia dapat mengurangkan kos-kos berkaitan.
“Manakala kewujudan bilik sejuk pula mampu meringankan kudrat nelayan yang sebelum ini terpaksa menyediakan puluhan tong berisi ais untuk menyimpan hasil laut.
“Bilik sejuk mampu menyimpan sekurang-kurangnya 10 metrik tan ikan pada satu-satu masa, selain mampu mengekalkan daya tahan hasil laut dalam tempoh sebulan dengan penetapan suhu 0 hingga -25°C,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Mini Slipway dan Cold Room di hadapan LKIM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah LKIM, Mastam Nodo.
Pada majlis yang sama, Ahmad Samsuri turut menyatakan persetujuan untuk membaik pulih Jeti Marang dan meluluskan peruntukan RM500,000.
Katanya, melalui peruntukan sama, turut akan dibina kedai makan, surau dan tandas.
“Kerajaan faham dengan keperluan nelayan di kawasan ini yang mahukan jeti yang lebih selesa untuk mendaratkan hasil laut.
“Oleh itu, dia berharap pihak berkaitan menyegerakan pembinaan kemudahan itu dan berharap dapat dimanfaatkan awal tahun depan,” katanya.
05 Apr 21
922
TDM Plantation, Syarikat Perladangan Pertama Diiktiraf ISCC EU
KUALA TERENGGANU, 5 April – Bahagian perladangan TDM Berhad, TDM Plantation (TDMP) menjadi syarikat perladangan Terengganu pertama yang menerima pengiktirafan daripada Suruhanjaya Eropah (ISCC EU).
Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Mohd Ghozali Yahaya berkata, pengiktirafan kepada anak syarikat TDM itu diberikan selepas penilaian teknikal dijalankan terhadap rantaian bekalan, operasi dan gas rumah hijau (GHG) syarikat oleh badan pensijilan yang berdaftar dengan ISCC di unit operasi Zon Selatan TDMP.
“Ia telah diperakui dengan Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa yang diluluskan oleh ISCC EU berkuatkuasa mulai 17 Mac 2021 hingga 16 Mac 2022.
“Keputusan penilaian menunjukkan bahawa pendekatan kelestarian syarikat memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, TDMP telah diaudit pada 10 serta 11 Februari 2021 dan keputusan mengenainya diumumkan pda 13 Mac 2021 .
"Kami sangat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan yang memperkuatkan lagi komitmen berterusan syarikat terhadap amalan lestari.
"Kejayaan ini juga merupakan bukti dedikasi kami dalam menghijaukan operasi dan amalan syarikat melalui inovasi dan teknologi untuk mengurangkan jejak karbon dan kesannya terhadap persekitaran di samping menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, komitmen jangka panjang TDM terhadap kelestarian tidak hanya terhad di semua ladang dan kilang syarikat tetapi juga dapat dilihat dengan jelas di bahagian penjagaan kesihatan TDM.
“Empat hospital komuniti kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) yang menawarkan penjagaan sekunder dalam semua bidang utama kesihatan.
“Saya berbesar hati dapat menyaksikan satu lagi hasil titik peluh pasukan perladangan yang telah membawa syarikat ke arah kejayaan, satu perakuan nilai tambah diatas penghargaan dan penanugerahan yang sedia ada.
"Pencapaian yang signifikan ini juga memberikan inspirasi kepada kami untuk terus mengurus dengan teliti kesan operasi perniagaan terhadap alam sekitar, memberikan sokongan kepada komuniti di kawasan syarikat beroperasi, dan mengekalkan persekitaran kerja yang selamat," tambahnya lagi.
Untuk rekod, TDM berdiri sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Malaysia pertama yang memperolehi 100 peratus Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
05 Apr 21
1043