Artikel "Semasa" Terkini
Tiada Zumba, Hanya Senamrobik Bersyarat Dibenar
KUALA TERENGGANU, 4 April – Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa aktiviti zumba di negeri ini tidak dibenarkan sejak beberapa tahun lalu, sebaliknya hanya acara senamrobik dengan beberapa syarat ketat diberi kebenaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bagi aktiviti senamrobik pihaknya telah memberi penerangan kepada penganjur mengenai garis panduan yang perlu dipatuhi ketika acara itu dilaksanakan supaya ia menepati syariat.
“Pada tahun 2019, syarat dan garis panduan telah diterangkan kepada beberapa persatuan kecergasan berkaitan cara pengendalian program yang berlandaskan agama.
“Alhamdulillah sambutan pihak penganjur amat positif dan dipatuhi, namun begitu, baru-baru ini kita menerima teguran Daie Ummah, Ustaz Azhar Idrus (yang dimaksudkan di Taman Rekreasi Hiliran, Bukit Besar), kita terima pandangan ini secara terbuka.
“Hasilnya, saya bersama timbalan, Hishamuddin Abdul Karim sekali lagi berbincang bersama persatuan dan jurulatih terlibat bagi penerangan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Urus setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri sentiasa menyokong aktiviti kecergasan dalam melahirkan rakyat yang sihat dan cergas.
“Dalam masa sama kita beraktiviti sebagai sebuah negeri menjadikan Islam sebagai dasar,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan syarat-syarat senamrobik yang ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini antaranya instruktor lelaki sahaja dibenarkan di tempat terbuka manakala instruktor perempuan dibenarkan untuk peserta perempuan sahaja.
"Penganjuran untuk kaum wanita akan dipindahkan ke kawasan atau dewan-dewan yang sesuai dengan aktivtiti secara tertutup. Bagi tempat awam pula, pihak kami akan mengemukakan cadangan kepada pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merangka cadangan ruang khas yang lebih mesra pengguna wanita di taman-taman rekreasi awam.
"Konsep reka bentuk itu akan dinilai bersama terlebih dahulu bagi memastikan agar konsep Right Things Right Every Time (betul dan tepat setiap kali) bagi mengelakkan pembaziran dan kegagalan.
"Selain itu, kaum wanita perlu berpakaian longgar dan hanya aktiviti senam robik, senaman regangan biasa dan tai chi sahaja dibenarkan di tempat awam dan tidak dibenarkan aktiviti zumba di tempat awam. Pemilihan muzik juga perlu sesuai dan aksi tidak keterlaluan," katanya lagi.
Ujar Wan Sukairi, penganjur aktiviti sukan tersebut bersama Urus setia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) telah bercadang untuk menjadikan dewan di Kompleks Seri Iman sebagai lokasi utama aktiviti itu bagi kaum wanita.
Untuk rekod, aktiviti senam robik tersebut telah bermula semenjak tahun 1991, dianjurkan oleh Kelab Sukan Kecergasan Warisan dan telah berlangsung semenjak 28 tahun yang lalu.
03 Apr 21
4796
Persidangan TeMIC 2021, Wadah 188 Kajian Pelbagai Bidang
DUNGUN, 11 April - Sebuah persidangan kajian tiga bidang atau Terengganu Multidisciplinary International Conference atau TeMIC 2021 yang menempatkan hasil kumpulan sebanyak 188 kertas kerja menuju ke arah inovasi dan transformasi masa hadapan.
Pengerusi TeMIC 2021, Assoc. Prof. Ts. Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman berkata, persidangan pelbagai disiplin itu adalah hasil gabungan trio jurusan atas faktor strategi dan melibatkan bidang seperti pendidikan, pentadbiran, ekonomi, sains dan sebagainya.
“Program dwitahunan ini kali kedua diadakan sejak tahun 2018, dan pertama kali dijalankan secara maya dengan penglibatan peserta tempatan dan luar negara.
“TeMIC 2021 bertujuan untuk memberi peluang yang sangat baik kepada para profesional, jurutera, ahli akademik dan orang industri untuk berkongsi dan bertukar idea, kemajuan dan output penyelidikan serta aplikasi dalam berbagai bidang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup TeMIC 2021, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, baru-baru ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diringi Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh.
Sementara itu, Dr. Sarifah memaklumkan, antara objektif acara tersebut adalah untuk mempromosikan perbincangan dan pertukaran idea dan pengetahuan di kalangan penyelidik dari pelbagai negara dalam pelbagai bidang sains sosial, kejuruteraan, dan teknologi.
“Selain itu, untuk memudahkan pembentukan jaringan di antara industri dan antara institusi akademik tempatan dan antarabangsa dan untuk mengumpulkan dan membincangkan kertas kerja mengenai bidang multidisiplin.
“Banyak penemuan baharu telah dikongsi dan para pengkaji terlibat boleh ambil peluang untuk aplikasi dalam kerja kajian dalam bidang berkaitan. Ia sangat membantu dan kebanyakan kertas selidik selari dengan revolusi industri 4.0,” jelasnya.
Untuk rekod, TeMIC 2021 menggabungkan tiga sidang iaitu Terengganu International Business and Economics Conference (TiBEC VII), International Academic Conference (IAC V), and International Conference of Emerging Challenges in Engineering and Current Technology (ICECT III).
02 Apr 21
633
Permint Plywood Catat Hasil Membanggakan
DUNGUN, 1 April - Anak syarikat Golden Pharos Berhad, Permint Plywood Sdn Bhd kini mula meraih keuntungan sejak memiliki mesin pengering viner bernilai RM440,000 pada November tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, berkata hasil yang diperoleh sangat membanggakan selain mampu mengembalikan modal selepas tiga bulan beroperasi.
"Hasil jualan produk viner (papan lapis bahagian atas dan bawah) dalam tempoh itu atau berakhir Februari lalu berjumlah RM665,000," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Dryer Machine (Mesin Pengering) Terbesar di Terengganu *di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, di sini hari ini.
Menurut Tengku Hassan, melihat peningkatan jualan sangat positf itu, pihak syarikat turut bercadang menggantikan mesin pengering teras utama papan lapis supaya mampu menggandakan pendapatan syarikat.
"Seterusnya menambah jumlah pekerjaan kepada 120 untuk tahun depan berbanding tahun ini 85 pekerja.
"Pihak syarikat sangat memerlukan mesin teras utama itu kerana yang sedia ada di kilang itu sudah berusia hampir 40 tahun dan tidak boleh dibaik pulih.
"Kos pembelian mesin itu juga agak tinggi dianggarkan antara RM800,000 sehingga RM1 juta," katanya yang juga Pengerusi Kumpulan Golden Pharos Berhad.
Beliau berkata, pihaknya sedaya upaya akan mengumpulkan modal bagi mengantikan mesin itu dengan kadar segera.
"Buat masa sekarang mesin pengering viner hanya mampu hasil produk lapisan papan lapis atas dan bawah.
"Pasaran juga sangat terhad walaupun permintaan tinggi hanya untuk tempatan dan dieksport ke Australia dan India," katanya
01 Apr 21
1755
PMINT Terengganu Pula Tubuh Taska Baharu
KUALA TERENGGANU, 1 April - Sebahagian kakitangan jabatan di negeri Terengganu sekali lagi mampu menarik nafas lega dengan pertambahan Taska Permata Keluarga di negeri berkenaan selepas Taska Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pula dirasmikan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyifatkan, perasmian taska berkenaan melengkapkan lagi manifesto kerajaan negeri iaitu membuka pusat asuhan di setiap jabatan kerajaan negeri.
Hanafiah Mat.
"Saya ucapkan tahniah kepada PMINT dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang menubuhkan taska ini dan diwujudkan hasil inisiatif majikan untuk kebajikan pekerjanya.
"Taska Permata Keluarga PMINT pasti dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat untuk anak-anak dihantar di sini.
"Di samping dapat memberikan ketenangan bekerja kepada para ibu bapa dalam meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan di tempat mereka bekerja," katanya ketika berucap merasmikan Taska PMINT di sini pagi tadi.
Hadir sama dalam majlis tersebut, isteri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Nur Diyana Takri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman dan Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.
Dengan berkeluasan lantai 4,902 kaki persegi di tingkat 2 Menara PMINT, taska itu merupakan taska di tempat kerja yang ketujuh diwujudkan selain di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Wisma Darul Iman dan Majlis Perbandaran Dungun (MPD).
Wan Adnan Wan Derahman.
Sementara itu, menurut Wan Adnan Wan Derahman, pihaknya meneruskan kerjasama dengan pihak YPKT untuk menguruskan taska ini menggunakan kurikulum dan modul PERMATA serta guru-guru yang terlatih sebagaimana taska permata keluarga yang lain.
"Taska kita telah memulakan operasi di Menara PMINT bermula pada 1 Februari 2021 dengan menempatkan seramai 80 orang kanak-kanak yang berumur seawal 3 bulan hingga 4 tahun dengan 9 orang tenaga pengajar.
"Sebahagian daripada anak-anak adalah daripada Taska Permata Keluarga UTC yang sedia ada dan selebihnya adalah penyertaan baharu daripada anak-anak kakitangan PMINT, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Syarikat Anak PMINT, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta jabatan dan agensi swasta sekitar Bandar Kuala Terengganu.
"Inilah kelainan penubuhan Taska PERMATA Keluarga PMINT berbanding taska jabatan lain yang tidak terhad kepada anak-anak warga kerja PMINT sahaja," jelasnya.
01 Apr 21
1773
Naib Johan KRT 2021 Peringkat Kebangsaan Diraikan
KUALA TERENGGANU, 1 April - Kerajaan negeri sentiasa meraikan dan menyokong usaha Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dalam kejayaan dan pembangunan ekonomi setempat melalui pelbagai penghasilan produk keluaran tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kejayaan yang dicipta KRT Kampung Gong Baru dalam meraih Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 sebagai Naib Johan peringkat kebangsaan adalah tanda tercapai matlamat penubuhannya.
“Oleh itu, pada bulan lepas saya hadir di kampung ini bagi mendengar keluhan KRT di sini yang memerlukan dana pembaikan infrastruktur dan atap dewan.
“Jadi kerajaan negeri telah agihkan RM10,000 bagi membantu Kampung Gong Baru dan meningkatkan lagi semangat komuniti dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Dulunya KRT ditubuhkan di bawah portfolio perpaduan dan pembangunan masyarakat, cuma pada dekad ini kita letak bawah skop perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Mesra Bersama KRT Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, petang semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Sementara itu, Muhammad Khalil menyatakan sokongan penuh terhadap usaha KRT di Batu Buruk itu dalam menambahkan keunikan pelancongan serta produk hasil komuniti.
“Kita telah dikenali dengan produk-produk dihasilkan masyarakat setempat seperti batik, songket, keropok lekor dan sebagainya, namun bukan sahaja boleh dibeli malah pengunjung boleh datang melihat kerja penghasilan oleh penduduk setempat,” jelasnya.
Menurut Pengerusi KRT Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, Hanafiah Ismail, pihaknya pernah meraih Johan kategori Rukun Tetangga Terbaik pada tahun 2008 dan 2012, dan kini terkenal dengan produk seperti Songket Gong Baru.
01 Apr 21
621
UBSNT Buka Kaunter Di KTCC, Galak Masyarakat Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 2 April- Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) membuka kaunter pendaftaran di KTCC Mall bagi menggalakkan orang ramai mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Timbalan Pengarah UBSNT, Ahmad Zul Karami Salleh berkata, pembukaan kaunter pentaftaran itu merupakan inisiatif pihaknya menyemarakkan kempen daftar vaksin sekali gus membantu kerajaan meningkatkan kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah.
"Sukarelawan pendaftaran vaksin COVID-19 telah kita lancarkan secara rasmi pada Isnin lalu dan telah mula bergerak termasuk di tempat tumpuan awam dan dari rumah ke rumah.
"Hari ini, kita buka kaunter di KTCC Mall yang menjadi tumpuan ramai bagi memberi pemahaman kepada pengunjung dan orang ramai mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksinasi ini dengan dibantu sukarelawan terlibat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kaunter pendaftaran terbabit kelmarin.
Menurut beliau, para sukarelawan bergerak dari tingkat ke tingkat di pasar raya berkenaan untuk membantu orang ramai membuat pendaftaran secara 'online'.
"Kita letakkan sasaran seramai 200 orang akan mendaftar pada hari ini dimana KTCC Mall merupakan lokasi tumpuan awam pertama yang kita buka kaunter pendaftaran.
"Selepas ini, UBSNT akan bergerak ke tempat tumpuan awam yang lain termasuk pasar malam, pasar pagi dan sebagainya," ujarnya.
01 Apr 21
810
Pusat Pakar Jantung Pertama Dibina Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 April - Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menubuhkan pusat pakar jantung di Terengganu bagi memenuhi keperluan kesihatan di luar ibu negara.
Usaha itu akan direalisasikan menerusi pembinaan Hospital Pengajar UniSZA di Gong Badak dan menjadi fasiliti pertama di luar Kuala Lumpur sejak ditubuhkan 29 tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, pihaknya akan mula bekerjasama peringkat awal dalam perkhidmatan perundingan dan khidmat nasihat kardiovaskular serta toraks (rongga dada) di Hospital Pengajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.
“Kita akan mulakan rawatan pesakit luar pakar terlebih dahulu, dan berkembang ke perkhidmatan lain seperti kardiovaskular dan toraks pediatrik.
"Pusat ini akan dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pesakit di Pantai Timur manakala baru-baru ini banyak permintaan sama ada kami akan memberikan rawatan di luar Kuala Lumpur.
"Jadi, ini adalah langkah pertama untuk membawa perkhidmatan kami kepada orang ramai, malah kami akan melihat kemungkinan pembukaan pusat seperti itu di kawasan lain selepas ini," katanya sebagaimana dilapor Harian Metro..
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara kedua-dua institusi bagi memeterai kerjasama, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Ketua Pegawai Klinik IJN, Dr Hasri Samion dan Pengarah UniSZA, Hilmi Mohd Nashir.
Memorandum dua tahun itu menggariskan kepentingan menjalin kerjasama dalam perkhidmatan perubatan, kesihatan, kemudahan, latihan, penyelidikan dan perkhidmatan perubatan lain yang berkaitan di Terengganu.
Menurut Dr Hassan Basri, pembinaan hospital itu sudah siap 85 peratus dan dijangka dibuka tahun depan. - Sumber foto: Muhammad Muhairi Jasmani dan Ahmad Kamal Ramli
01 Apr 21
2904
Tepuh Berbasikal Salurkan Sumbangan
KUALA NERUS, 1 April - Unik, cepat dan mesra, itulah pendekatan yang telah diambil oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh melalui Kelab Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) untuk menyantuni dan menyalurkan sumbangan kepada penduduk dengan berbasikal.
Aktiviti kayuhan basikal sambil berkebajikan itu antara satu rutin ziarah yang telah direncana dan dilaksanakan oleh DUN Tepoh dalam misinya mendekati masyarakat dan menyalurkan bantuan terus kepada golongan-golongan yang memerlukan.
Dalam satu program yang berlangsung pada 30 Mac lalu, TCCT telah mengunjungi Kampung Jeram Hilir, dalam siri jelajahnya untuk menyantuni dan menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang terlibat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim telah bersama-sama dalam kayuhan tersebut dan turut berkesempatan melawat 20 buah keluarga di sekitar Kampung Jeram Hilir. Beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur sempena menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.
“TCCT akan terus melaksanakan aktiviti kebajikan secara berbasikal ini dari semasa ke semasa dan akan singgah di lokasi-lokasi lain di masa akan datang," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jeram Hilir dan Pengerusi Masjid Kampung Jeram Hilir atas kerjasama erat yang telah diberikan semasa siri jelajah tersebut berlangsung.
Kelab TCCT ini secara rasminya telah dilancarkan pada bulan September 2020 dan telah menjadi sebahagian daripada program di bawah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh. Kelab itu ditubuhkan dengan misi berkebajikan secara berbasikal dalam mukim Tepoh.
31 Mar 21
290
Tepuh Luaskan Penternakan Arnab Pedaging
KUALA NERUS, 1 April - Ekoran permintaan Arnab Pedaging yang begitu tinggi dalam pasaran dan pengeluaran sedia ada tidak dapat menampung permintaan pengguna, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh telah mengambil langkah proaktif memulakan kerjasama untuk membangunkan perusahaan penternakan tersebut.
Dalam lawatan kerja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim ke Kampung Tempinis, Jabi, beliau melihat perusahaan penternakan Arnab Pedaging yang dimiliki usahawan muda tempatan, Fadil. Anak muda yang berusia 30 an tersebut mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang penternakan Arnab Pedaging.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut melihat satu peluang kerjasama yang boleh dibuat untuk menjayakan penternakan dalam kawasan DUN Tepuh itu.
Baka Arnab Pedaging yang sesuai untuk dikomersial mengikut saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan adalah jenis baka New Zealand White, Californian, Carolina, New Simonare dan Sepanyol. Baka tempatan juga boleh diusahakan untuk permulaan dan mempunyai kadar ketahanan terhadap serangan penyakit, namun kadar tumbesarannya adalah perlahan.
Dalam langkah merealisasikan perusahaan terbabit, beliau berkata, PKM akan membuka ruang kepada 10 individu pertama yang berminat untuk bersama-sama dalam projek penternakan tersebut.
Individu-individu berkenaan mestilah mempunyai semangat yang tinggi, tidak mempunyai kerja tetap dan yang berusaha untuk belajar
31 Mar 21
247
Kaunter Aduan Rakyat Terima Sambutan Menggalakkan
SETIU, 31 Mac - Program Kaunter Aduan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit dan Langkap mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat selepas sekitar 20 aduan diterima.
Ahli parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, aduan-aduan tersebut sangat penting bagi memastikan fungsi wakil rakyat dapat dioptimakan sebaik mungkin.
"Apa yang lebih penting ialah masalah orang ramai melibatkan pelbagai hal dapat diselesaikan supaya beban rakyat dirungkaikan.
“Di DUN Batu Rakit kita ada menerima aduan tentang jalan berlubang, selekoh tajam, isu paip air dan tiang lampu Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dibina di atas tanah milik penduduk. Segala aduan yang kita terima akan kita lanjutkan kepada pihak yang berwajib.
"Di DUN Langkap pula kebanyakkanya melibatkan masalah jalan yang rosak. Walau bagaimanapun, kita juga ada menerima aduan di Kampung Tayor tentang kerosakan paip yang mana paip tersebut menyalurkan air bukit ke kediaman penduduk dan kita telah meluluskan sejumlah bajet untuk membaiki kerosakan itu. Insya-Allah kita akan cuba selesaikan.” katanya selepas program tersebut baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras bagi DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan DUN Langkap, Azmi Maarof.
Jelasnya, program itu akan diadakan di setiap DUN bertujuan untuk mendengar lebih dekat tentang permasalahan yang rakyat. hadapi.
“Insya-Allah selepas ini Program Kaunter Aduan Rakyat akan diadakan pula di DUN Jabi dan diakhiri dengan Dun Permaisuri.”
31 Mar 21
216