lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Selepas Berunding, Pemaju Janji Sambung Projek Terbengkalai
Selepas Berunding, Pemaju Janji Sambung Projek Terbengkalai
KUALA TERENGGANU, 28 April –  Selepas dipanggil berbincang bersama kerajaan negeri hari ini, pemaju perumahan Kampung Gong Cempedak, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd berjanji untuk menyambung semula projek terbengkalai itu sebaik sahaja selesai Aidilfitri nanti. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, komitmen pemaju swasta terbabit memberi sinar harapan kepada 120 pembeli. “Insya-Allah mereka berjanji untuk memulakan kembali projek ini selepas perayaan Aidilfitri tahun ini setelah isu kewangannya diselesaikan. “Kerajaan negeri memberi persetujuan untuk membantu semaksimum mungkin bersama Pejabat Tanah dan Daerah Marang melalui beberapa cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak mereka. “Pemaju ini akan usaha untuk mendapat pembiayaan melalui beberapa kaedah dengan bantuan kerajaan negeri bagi menyiapkan lagi 30 peratus proses pembinaan lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini. Katanya, projek tersebut dianggar memerlukan dana sekitar RM5 juta lagi bagi menyiapkan fasa ketiga yang terdiri daripada 120 unit rumah teres berukuran sekitar 830 kaki satu unit. Mengulas lanjut faktor perumahan tersebut tidak menepati tarikh siap pada 2019, Dr Alias memaklumkan, pemaju memaklumkan mereka mengalami keuntungan kurang memberangsangkan hasil penyiapan fasa satu dan dua. “Pemaju sudah komited kembali dalam menunaikan janji rumah yang selesa dengan harga murah, kita akan pastikan mereka dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi. Untuk rekod, tahun terdahulu pihak kerajaan melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri telah menghantar aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT) untuk tindakan lanjut kerana ia melibatkan 100 peratus tanggungjawab pemaju swasta. Tegas Dr Alias, pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri dan tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri. Jelasnya, projek ini kemudiannya terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan sejak dari itu sehingga 2019. “Mengikut prosedur ditetapkan, antara penyelesaian awal kita (kerajaan negeri) pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT). “Walau bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri  masih menunggu jawapan, oleh itu, satu lagi inisiatif proaktif disusun iaitu dengan perbincangan bersama pihak pemaju dan Pejabat Tanah Marang pada minggu ini (hari ini) bagi menyelesaikan isu tersebut," jelasnya.
28 Apr 21
956
770,000 Penduduk Terengganu Sudah Dibanci
770,000 Penduduk Terengganu Sudah Dibanci
KUALA TERENGGANU, 28 April - Seramai 770,000 atau 61 peratus daripada 1.26 juta penduduk di negeri ini selesai dibanci meliputi 220,000 tempat kediaman setakat tempoh sehingga semalam. Ketua Perangkaan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Banci Malaysia 2020 mendapat kerjasama yang baik daripada seluruh penduduk negeri Terengganu. Bagaimanapun katanya, bagi respon mengikut etnik pula, kaum Cina dan India mencatatkan peratus respon yang agak rendah iaitu masing-masing 27 dan 20 peratus. “Respon penduduk yang melebihi 70 peratus melibatkan daerah Setiu (98.59 peratus), Besut (78.65 peratus), Marang (78.1 peratus), Hulu Terengganu (71.82 peratus) dan Kuala Nerus (71.1 peratus).  “Manakala Kuala Terengganu (67.08 peratus), Kemaman (55.56 peratus) dan Dungun (54.61 peratus) mencatatkan kadar respon di bawah 70 peratus,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program turun padang operasi Banci Malaysia 2020 di Seberang Takir, hari ini. Katanya, dengan kekuatan 300 pembanci beliau yakin, kesemua daerah di Terengganu disasarkan akan selesai sepenuhnya kerja-kerja pembancian di lapangan pada pertengahan Jun ini. “Hari ini kita adakan program turun padang di Terengganu bertujuan memantau operasi Banci Malaysia 2020 secara bersemuka di lapangan dan membuat publisiti terhadap pelaksanaan banci secara bersemuka dan operasi pembancian.  “Program sebegini secara tidak langsung dapat menyebarluaskan maklumat mengenai program Banci Malaysia 2020 secara bersemuka yang sedang dijalankan di seluruh negara sehingga 30 Jun 2021. “Diharap program publisiti seperti ini akan membantu hebahan di kalangan kaum Cina dan India  selain Melayu untuk memberi respon kepada pihak kami samada menerusi kaedah bersemuka ataupun secara atas talian,” ujarnya. Katanya, Banci Malaysia 2020 amat penting bagi kerajaan medapatkan data untuk merancang pembangunan termasuk pendidikan, kesihatan, capaian internet serta kemudahan awam seperti jalan raya, rekreasi, bekalan air dan elektrik. “Data yang dikumpul menjadi sumber utama dalam pembentukan dasar oleh kerajaan dalam merangka program serta inisiatif yang lebih bersasar untuk rakyat,” jelasnya. Menurut beliau, diperingkat negara, jumlah penduduk yang telah dibanci sehingga semalam adalah seramai 17.02 juta orang atau 52.1 peratus berbanding 32.7 juta anggaran penduduk tahun 2020.  
28 Apr 21
1721
COVID-19 : Terengganu Catat 61 Kes Baharu
COVID-19 : Terengganu Catat 61 Kes Baharu
KUALA TERENGGANU, 28 April - Jumlah kes harian COVID-19 di Terengganu kembali meningkat apabila sebanyak 61 kes baharu direkodkan semalam. Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Terengganu melonjak kepada 4,097 orang dengan 182 kes aktif. Mengikut laporan Jabatan Kesihatan Negeri, daripada 61 kes itu sebanyak 49 di Besut, Kuala Nerus (8 kes) dan Dungun (4 kes). Manakala, sebanyak 10 kluster aktif didaftarkan di negeri ini iaitu Taman Rakyat, Gong Dermin, D' Lahar, Kampung Tanjung, Ara Murni, Jalan Kota Kubang Labu, Ladang Bukit, Chendering Height, Wakaf Chagak dan Kampung Belaoh.    
27 Apr 21
475
Sumbangan Tablet Tepat Pada Masanya
Sumbangan Tablet Tepat Pada Masanya
SETIU, 27 April - Rata-rata penerima tablet di bawah inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 2021 (BERKAT) gembira kerana sumbangan itu hadir tepat pada waktunya. Ia susulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui menterinya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) akan kembali dilaksanakan. Sesi PdPR selama dua minggu selepas sesi perayaan Aidilfitri adalah bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan. Caption Menurut pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit, Siti Nur Balqis Mazlan, tablet sumbangan kerajaan negeri itu akan lebih memudahkan beliau untuk fokus belajar secara dalam talian. "Sebelum ni saya terpaksa meminjam telefon dengan emak saudara disebabkan tidak mampu beli yang lain. Terima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan ini," katanya. Seramai 50 orang pelajar yang layak menerima tablet dalam program penyerahan yang disampaikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof pagi tadi di Dewan Komuniti Sejahtera Sri Langkap. Azmi Maarof berpesan agar ibu-bapa atau penjaga sentiasa memantau penggunaan agar tidak disalahgunakan "Semoga anak-anak pelajar dapat memanfaatkan sumbangan ini sebaiknya, gunakan dengan betul bagi menuntut ilmu. Azmi Maarof turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Jabatan Penyelidikan Komuniti TSIS, Mohd Alghazali Abu Bakar dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Suridah Sufian atas segala kerjasama yang diberikan.
27 Apr 21
838
Terengganu Manfaat Kepakaran Ulama Bangunkan Negeri
Terengganu Manfaat Kepakaran Ulama Bangunkan Negeri
KUALA NERUS, 27 April - Kerajaan Terengganu terus komited untuk terus memanfaatkan ilmu dan kepakaran golongan ulama dalam membangunkan negeri mengikut landasan yang dihasratkan demi kepentingan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya sangat gembira apabila banyak pandangan dilontarkan mengenai pentadbiran islam semasa pertemuan secara bersemuka bersama para asatizah terbabit. "Daripada awal lagi selaku pemimpin kerajaan kita mengambil prinsip sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah iaitu agama itu nasihat, jadi kita berlapang dada dalam setiap teguran demi penambahbaikan untuk masyarakat. "Sebagaimana pertemuan bersama Syeikh Syed Suhaimi Syed Hassan Abdul Hadi, pada hari ini, ia memberi satu semangat kepada kami untuk berwaspada memikul amanah yang sangat berat ini, bukan sahaja mengingatkan tentang kerja dunia tetapi juga mengenai akhirat. "Kesimpulan terbaik pada hari ini ialah kita bersedia untuk bersama-sama dengan tuan guru pondok dalam usaha membina negeri ini, agar mendapat berkat daripada Allah SWT," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas menziarahi Syeikh Syed Suhaimi di Madrasah Darul Muhajirin, Bukit Jong, di sini, pada hari ini. Turut hadir, Timbalannya, Ridzuan Hasim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah, Pengarah Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood dan Timbalan Pengarah (Operasi) Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Sazali Mohd Noor. Mohd Nor berkata pertemuan dengan guru pondok berkenaan sangat bermakna apabila diberi pandangan serta nasihat untuk dilaksanakan pihak kerajaan. "Saya juga telah menceritakan beberapa perkara terakhir yang akan kita laksanakan dan beliau memberi respon yang sangat positif. "Insya-Allah melalui DUAT dan i-MiTS juga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar terjalin hubungan yang lebih baik agar mendapat kebaikan yang berterusan. Mewakili kerajaan negeri, beliau mengajak seluruh rakyat mendoakan kesembuhan Tuan Guru Syeikh Suhami ketika ini sedang uzur agar berupaya untuk terus menyampaikan ilmu bagi melahirkan lebih ramai ulama di negeri ini.
27 Apr 21
472
Penggiat Media: Pertahan Kerajaan Melalui Penerangan
Penggiat Media: Pertahan Kerajaan Melalui Penerangan
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 27 April- Seluruh penggiat dan aktivis media di dalam negeri diseru memperkukuhkan kerajaan Islam di Terengganu melalui pencerahan efektif, tepat dan sahih. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, masyarakat perlu diyakini akan kerajaan sekarang melalui pemberitaan dan penyampaian inisiatif dan hasil yang telah dibuat untuk rakyat. “Kita sebagai orang yang berperanan dalam media mesti meyakinkan rakyat menerima kerajaan sekarang ini sebagai sebuah pemerintahan yang lebih baik daripada sebelum ini agar dikekalkan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang. “Saya yakin kita sebagai penggiat media sama ada pengiat media kerajaan, NGO atau mana-mana pertubuhan yang menyokong pemerintahan ini mesti memainkan peranan secara di luar kotak dan luar biasa,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) di Permai Hotel, Kuala Terengganu, baru-baru ini. Menurutnya, peperangan sengit akan berlaku sama ada dalam media umum sosial sekiranya berlaku pilihan raya dalam keadaan norma baharu akibat COVID-19. “Sejauh mana peranan kita sebagai pengamal dan penggerak media telah dapat menyakinkan rakyat bermula dengan anggota perkhidmatan awam yang ada di sekeliling kita. “Dan secara umumnya boleh menerima kita (PAS) sebagai sebuah kerajaan  yang lebih baik daripada pelbagai pihak yang bercita-bercita menjadi kerajaan termasuk pemerintah sebelum daripada ini,” jelasnya. Tambah Dato’ Yahaya, Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) merupakan 'training ground' (latihan lapangan) tempat untuk melatih pengamal media supaya mereka mempunyai kemahiran, pengalaman yang akhirnya menjadi sebahagian orang 'penting' dalam kerajaan. “Kita tidak boleh dilihat kerajaan yang ada ini milik Menteri Besar, Exco, tidak boleh. Mereka melaksanakan tanggungjawab mereka tapi kita sebagai orang yang berperanan dalam media mesti mengukuhkan kerajaan dalam apa bentuk sekalipun. “Pada saya, mereka telah melaksanakan tugas dengan baik tetapi untuk menjadi sebuah kerajaan yang ideal. “Bagaimana seorang pemimpin apabila berada dalam suasana mencabar ini, buat kerja mesti berlipat kali ganda. Tidak boleh biasa, kerajaan yang ada ini adalah kerajaan bersama,” tegasnya. Justeru itu, beliau menambah pemerintahan yang ada ini mesti dilihat kerajaan yang kuat, yang sangat memberikan kebaikan pada rakyat. “Kerajaan yang balik pada Islam, kerajaan yang berkomitmen tinggi dalam menguruskan kepentingan pada rakyat,” tambahnya. Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said, Pengerusi KAMI, Naraza Muda dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad. Barisan penggiat media KAMI  
27 Apr 21
154
Projek Terbengkalai, Kerajaan Jumpa Pemaju Rabu Ini
Projek Terbengkalai, Kerajaan Jumpa Pemaju Rabu Ini
MARANG, 25 April – Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan projek perumahan bermasalah di Kampung Gong Cempedak di sini melalui beberapa kaedah termasuk dengan mengadakan pertemuan bersama pemaju swasta terlibat, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd pada rabu ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan lanjut itu diambil selepas projek seluas 48.671 ekar itu masih tertangguh meskipun aduan kepada pihak berwajib telah dibuat. Katanya, pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri dan tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri. “Mengikut prosedur ditetapkan, antara penyelesaian awal pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT). “Walau bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri  masih menunggu jawapan, oleh itu, satu lagi inisiatif proaktif disusun iaitu dengan perbincangan bersama pihak pemaju dan Pejabat Tanah Marang pada minggu ini bagi menyelesaikan isu tersebut. “Sebenarnya projek ini sudah terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan, meskipun pada tahun 2018 Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah Senator Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sendiri, sepatutnya pada waktu itu beliau boleh menyelesaikan isu ini dan membantu pembeli, namun itu tidak berlaku sehingga menyebabkan pembeli terus sengsara,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Sementara itu, Ketua Penolong SUK (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah Dan Tanah Marang untuk menghantar aduan kelewatan projek ke peringkat pusat. “Kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara kerana langkah selanjutnya akan diambil oleh JPN,” katanya. Dalam pada itu, Pegawai Khas Menteri Besar DUN Rhu Rendang, Wahad Osman memaklumkan, pihaknya telah mengambil langkah sejak 2019 melalui perbincangan bersama Pegawai Bahagian SUK Perumahan mengenai aduan berkenaan. “Hasil siasatan, pengisian projek tersebut bukan di bawah Pengkalan Data SUK Perumahan Negeri, tetapi pembelian terus pembeli dengan pemaju. “Projek bermula tahun 2006 dengan tanah kerajaan (MMKN) bersetuju menyerahkan kepada pemaju (di bawah konsep penswastaan) telah diserah secara pajakan selama 99 tahun membabitkan 497 buah rumah dan dipecahkan kepada lima zon. “Zon 1 (53 unit) dan 2 (112 unit) telah siap manakala zon 3 melibatkan 120 buah unit yang sepatutnya siap pada tahun 2018 masih dalam pembinaan dan hanya mencecah 70 peratus sahaja,” jelasnya. Tambahnya, zon 4 (104 unit) dan 5 (108 unit) masih belum mendapat pengesahan status tanah oleh Pejabat Tanah Marang.
25 Apr 21
1225
Penguatkuasaan Serius Ke Atas Pemborong
Penguatkuasaan Serius Ke Atas Pemborong
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu supaya tidak hanya memastikan peruncit atau peniaga sahaja mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sebaliknya pemantauan dan penguatkuasaan lebih serius juga harus dilakukan ke atas pemborong. Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dibuat pihaknya mendapati kebanyakan peruncit masih mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan walaupun terpaksa menerima margin keuntungan yang sangat kecil kerana tidak boleh menaikkan harga runcit sesuka hati. “Cuma ada beberapa isu yang diberitahu oleh peniaga antaranya pemborong kurang mematuhi harga yang dicadangkan pihak kerajaan. “Saya mengharapkan pihak penguatkuasa semak semula keadaan yang berlaku di pasar-pasar borong yang telah dikenalpasti kerana kita tidak mahu peruncit tertekan dengan kawalan harga ini,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau jualan barangan basah di Pasar Besar Kedai Payang, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya mengharapkan KPDNHEP Terengganu akan mengambil tindakan segera terhadap aduan peniaga berkaitan isu pemborong ini dan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. “Bila sembang dengan peniaga tadi, kita dapati mereka terpaksa menerima keuntungan yang sedikit kerana patuh akan saranan kerajaan ekoran berlaku kegagalan pematuhan di peringkat pemborong. “Sebagai contoh, harga maksimum ayam standard yang ditetapkan kerajaan untuk pemborong ialah RM7.10 tapi ditolak kepada peniaga sehingga RM7.50 ada yang dapat RM7.80 sedangkan harga saranan runcit RM7.90,” ujarnya. Katanya, bagi memastikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dipatuhi dan peniaga tidak ditindas, perkara ini perlu diselesaikan di peringkat pemborong terlebih dahulu.  
25 Apr 21
241
Bergejala Tetapi Masih Merentas Negeri
Bergejala Tetapi Masih Merentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 24 April - Aktiviti rentas negeri melibatkan mereka yang bergejala tanpa kuarantin kendiri adalah pencetus utama berlaku penularan COVID-19 di dalam negeri. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, isu rentas negeri adalah sesuatu yang sensitif untuk diperkatakan kerana antara faktor penyebaran COVID-19 adalah merentas sempadan tanpa rasa tanggungjawab. "Yang jadi isu, seseorang yang bergejala balik rentas negeri tetapi tetap masuk kerja, masih ambil masa dua hari untuk pergi klinik (melakukan 'swab test') menyebabkan semua rakan sekerja disaring dan dikuarantin. "Contoh lain, yang bergejala masih lagi bersama dalam majlis berbuka puasa bersama 25 ahli keluarga, akhirnya semua terlibat terpaksa disaring dan dikuarantin, keluarga di sana sudah ada positif dan di sini belum tahu lagi. Kita berharap sangat tiada kluster baru akibat ini. "Kita perlu ingat tiga atau empat hari sebelum dan selepas seseorang itu bergejala, kadar jangkitan sangat tinggi," katanya di laman facebook rasminya, hari ini. Tambahnya, beliau menasihati agar semua masyarakat tidak mengambil mudah dengan situasi COVID-19 yang kini semakin membimbangkan. Sementara itu, beliau turut menyarankan supaya mengekalkan adab sopan berbudi bahasa serta empati kepada warga petugas kesihatan barisan hadapan. "Mereka bekerja tanpa rehat cukup sejak setahun yang lalu. Bulan puasa ini ke hulu hilir buat saringan, kesan kontak rapat, angkut pesakit ke hospital. "Orang tanpa segan silu maki, kutuk dan kecam. Kita sudah jauh terpesong daripada budaya adab sopan berbudi bahasa. Petugas kesihatan yang terkena tempias sedangkan mereka hanya menjalankan tugas," jelasnya. Beliau juga mengibaratkan cabaran pandemik sebagai berdepan dengan api dan bara yang perlu dipadam. "Jika api sahaja dipadam dan bara dibiarkan, bara ini lah nanti akan membakar semula," nasihatnya. Sehingga hari ini, Terengganu merekodkan 50 kes positif baharu dengan jumlah kes keseluruhan dikesan berjumlah 4,002 kes, peningkatan mendadak daripada 11 kes pada semalam.
24 Apr 21
656
509 Terima Kad Sejahtera
509 Terima Kad Sejahtera
KUALA NERUS, 25 April - Kad untuk rakyat, itulah yang boleh dikatakan.  Inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu  membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih.  Manifesto PAS PRU-14 lalu , Kad Sejahtera merupakan satu janji yang diberikan kepada penduduk Terengganu khususnya. Hari ini, pelaksaanan sudah menjangkaui lebih dari 20,000 orang penerima. Had maksimun penggunaan kad tersebut ialah RM 500.00 setahun dan minima RM 70.00 untuk setiap kali transaksi. “Dalam satu program di Felda Belara, ADUN Tepoh ,Hishamuddin Abdul Karim yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu telah menyerahkan Kad Sejahtera kepada penduduk Felda Belara. Seramai 20 orang penduduk telah menerima Kad Sejahtera semasa program penyerahan tersebut. “Dalam ucapan penyerahan tersebut, Beliau turut menyatakan bahawa usaha melaksanakan agenda kebajikan rakyat menjadi tanggungjawab utama kerajaan ketika ini.  Katanya lagi, Kad Sejahtera ini telah pun mula diagihkan hampir 509 orang penerima pada tahun 2020 dan telah tahun 2021 dimulakan kembali dengan penambahan bilangan penerima. "Inisiatif ini diharapkan dapat membantu mengurangkan beban kos rawatan kesihatan bagi golongan yang terlibat" Turut sama semasa penyerahan tersebut ialah  Encik Ahmad Bahrol Ulum Mohd Hadri, Pengurus Felda Belara dan Haji Wan Hassan Wan Mohd Zain, Pengerusi JPKK Felda Belara. “ Sempena program yang sama juga, Ustaz Hishamuddin turut mengagihkan sumbangan barangan dapur kepada golongan yang memerlukan”. 
22 Apr 21
106