Artikel "Semasa" Terkini
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Mula Reda
KUALA TERENGGANU, 21 April - Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di Terengganu kini mengalami penurunan kepada 1.15 setelah direkodkan menjadi negeri dengan kadar nilai tertinggi di Malaysia, baru-baru ini.
Menurut statistik yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Terengganu masih antara negeri dengan kadar Rt melebihi 1 diikuti Selangor and Sabah (1.10), Johor and Kedah (1.09), Melaka (1.06), and Pahang (1.0).
“Kelantan kini mempunyai angka Rt dengan 1.43 melepasi Rt negara iaitu 1.19.
“Nilai tersebut merupakan jangkaan mengikut kes harian pada Selasa,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Terengganu turut merekodkan penurunan kepada satu kes sahaja jumlah kes baharu COVID-19 seperti perlis (1 kes) diikuti dengan Labuan (2 kes) manakala jumlah kumulatif kes sebanyak 2,340 kes dalam negara, pada hari ini.
Untuk pengetahuan, nilai Rt merujuk kepada tahap penularan virus, iaitu berapa jumlah individu yang mampu dijangkiti oleh satu kes positif.
Contohnya, semakin rendah nilai tersebut, kemungkinan jangkitan bagi kes positif adalah berkurang.
21 Apr 21
1160
Ihya’ Ramadhan: Usaha Dakwah Perlu Dipergiat
Oleh : Hafiz Sahidi
KUALA NERUS 19 April– Usaha dakwah dan penghayatan bulan Ramadhan perlu dipergiatkan agar dapat memberi kesan yang lebih mendalam kepada masyarakat beragama Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Yang Berhormat Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, program-program menghidupkan bulan Ramadhan perlu dilakukan dan dijalankan secara berkala dalam menghayati kesucian bulan ini.
“Usaha YADIM dalam menghidupkan bulan ramadhan ini sepatutnya disambut baik oleh semua pihak dalam kita menghayati dan memperbanyakkan amal ibadat kita di bulan suci ini” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bicara Dakwah dan Majlis Pelancaran Ihya Ramadan Sebulan YADIM (IRSYAD 360) YADIM Terengganu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Batu Rakit pada 19 April.
Turut diadakan dalam majlis ini ceramah Bicara Dakwah bertajuk “Rahsia Sihat Bulan Ramadhan” yang disampaikan oleh Prof. Dr Harmy Yusof dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Timbalan Presiden 1, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia.
Kira-kira 100 orang peserta daripada kalangan kakitangan dan mahasiswa IPG menyertai program Bicara Dakwah yang dianjurkan ini.
Turut hadir ke majlis ini, Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia Terengganu, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Abd. Rashid Che Ali dan Timbalan Pengarah IPG Dato’ Razali Ismail, Aminuddin Abu Bakar.
21 Apr 21
271
Modul Itqan Insani Bangunkan 10 Segmen Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 21 April – Modul Itqan Insani menyasarkan pembangunan insan secara holistik kepada 10 segmen masyarakat selaras dengan dasar Islam yang dibawa kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia merupakan komitmen kerajaan dalam membangunkan aspek fizikal, intelektual dan spiritual melalui penghayatan modul yang digerakkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS).
“Segmen yang terlibat bermula daripada pegawai dan penjawat agama negeri sehinggalah ke peringkat tenaga buruh.
“Ia juga akan melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Guru KAFA di bawah kerajaan negeri, pimpinan ulamak dan pendakwah bebas, mahasiswa, remaja (belia dan beliawanis), peniaga dan usahawan serta golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempromosikan Modul Itqan Insani, di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini.
Mohd Nor turut mengajak seluruh masyarakat menyertai majlis pelancaran modul tersebut pada 28 April ini secara maya.
“Insya-Allah, perasmian akan dibuat oleh Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dapat ditonton secara rasmi di laman Facebook Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI), TV Darul Iman atau ‘Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS),” katanya lagi.
Untuk rekod, sebanyak RM3.75 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan modal tersebut bersama Program Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) sebahagian daripada teras pertama iaitu meneguhkan pelaksanaan agenda islam dan pembangunan modal insan.
Sementara itu, Mohd Nor turut mengajak warga islam dalam mengikuti program Ramadan Di Hati bersama Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang berlangsung sepanjang bulan tersebut.
“Antara pengisian adalah program Sahur Rohani (5.30 pagi) dan Ihya Ramadan (10.00 pagi) yang diadakan secara langsung di Facebook DUAT dari Ahad hingga Khamis, manakala setiap hari akan diisi dengan rancangan seperti 'Time for Quran' (1.30 petang) dan 'Time for Hadis' (5.00 petang),” jelasnya.
Untuk maklumat lebih lanjut boleh melayari halaman page di Facebook @DUATterengganu.
21 Apr 21
736
'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'
KUALA NERUS, 21 April – “Alhamdullilah, dengan tablet ini saya tidak perlu lagi berkongsi telefon ibu untuk belajar ‘online’,” luah seorang pelajar tingkatan empat, Nurin Atikah Ayuni Mohd Sufian setelah menerima sumbangan peranti pintar di bawah Inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT).
Adik Nurin yang juga seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abbas berkata, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin gajet tersebut dalam membantu pembelajaran atas talian.
Menurut ibunya, Yusniza Maria Yasin, 41, situasi ekonomi keluarganya yang disara suami bekerja sendiri serta pendapatan tidak menentu memaksa empat orang anaknya berkongsi telefon bagi memperoleh bahan pendidikan digital.
“Sekarang ini susah sedikit kerana telefon saya terpaksa dikongsi antara anak-anak semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Tapi pemberian ini, saya sebagai ibu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha ini,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Pengagihan sumbangan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak, semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Murid Sekolah Di Bawah Inisiatif BERKAT 2021, semalam.
Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Dr. Alias memaklumkan, seramai 50 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kumpulan B40 kawasan Bukit Tunggal menerima peranti digital merangkumi pakej data BeOne untuk memudahkan pembelajaran dalam talian mereka.
“Harapan kerajaan negeri supaya ia dapat merapatkan jurang digital dan memberi peluang kepada para pelajar, membantu dalam hasil akademik mereka sambil terus mengikuti perkembangan teknologi,” jelasnya.
21 Apr 21
590
Hadiah Buat Peniaga Di Bazar Ramadan
KEMAMAN, 21 April - Jarang peniaga-peniaga di bazar ramadan diraikan namun, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Kemasik mengambil satu inisiatif untuk meraikan mereka dengan memberi apron berserta sapu tangan untuk kegunaan berniaga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili bersama kakitangan PKM ADUN Kemasik siap menghulurkan hadiah tersebut buat peniaga seramai 120 orang di bazar Ramadan Kampung Baru Kertih dan sekitarnya.
Tumpuan sudah semestinya di sini, kerana ia adalah bazar ramadan yang terbesar dalam DUN Kemasik. Jabatan-jabatan kerajaan juga membantu kami bagi memudahkan program ini berjalan dengan lancar.
Program ini turut dihadiri Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim bersama pegawai-pegawainya. Dalam pada itu, mereka juga mengedarkan risalah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dan membuat pemantauan.
Tidak ketinggalan dalam program ini, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman (Unit Inspektorat dan Perundangan) juga hadir bagi menjalankan audit pematuhan SOP COVID-19 serta menyampaikan maklumat dan panduan untuk terus mematuhi arahan yang telah ditetapkan.
“Kepada seluruh pengunjung yang mengunjungi bazar ramadan, tak kiralah di sini atau di mana sekali pun. Kerjasama anda amatlah diperlukan bagi keselamatan serta kebaikan kita bersama.
“Setakat ini untuk ranking pematuhan telah melebihi 80% (A), diharapkan semua terus patuhi setiap SOP yang telah ditetapkan," Ir Saiful.
20 Apr 21
370
Gadis Terengganu Dinobat Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia
KUALA TERENGGANU, 20 April - Niat tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah mendorong Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, dari Kampung Tengkawang, Hulu Terengganu untuk memperoleh markah tertinggi setiap kali menduduki peperiksaan.
Terbaru Fatin Nabihah dari Kampung Tengkawang, Kuala Berang, di sini diumumkan sebagai pelajar terbaik di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi peperiksaan Strategic Business Reporting (SBR).
Pelajar INTEC Education College (INTEC) di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu antara 92,000 calon di seluruh dunia yang menduduki peperiksaan tersebut baru-baru ini.
Fatin Nabihah berkata, ibunya seorang suri rumah manakala ayah tirinya hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
"Keadaan ini mendorong saya supaya sedaya upaya mencapai markah tertinggi setiap kali menduduki peperiksaan penting."ujarnya pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman.
Katanya lagi, apabila mendapat keputusan cemerlang sudah pasti akan ada pihak yang memberi biasiswa dan ia secara tidak langsung tidak akan membebankan keluarga untuk menanggung perbelanjaannya sewaktu belajar.
“Ketika mengambil Diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, saya berjaya memperoleh biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Manakala ketika menyambung ijazah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor, rezeki masih menyebelahi saya kerana dapat pengecualian bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berikutan memperoleh Ijazah Kelas Pertama,” katanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu dibesarkan oleh ibu Noriah Ahmad, 47, dan ayah tiri, Mustape Che W Abdullah, 68, sebaik kematian ayah kandung ketika berumur 11 tahun akibat sakit jantung.
Bercerita tentang peperiksaan SBR secara dalam talian, Fatin Nabihah berkata, banyak cabaran yang terpaksa dilalui terutama berkaitan capaian internet.
“Saya hanya menggunakan telefon bukannya computer riba atau komputer meja, keadaan itu kadang kala menganggu tumpuan.
“Berkat doa dan dorongan ibu supaya terus berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan, akhir saya diumumkan pelajar terbaik Malaysia bagi peperiksaan SBR," katanya yang ketika ini menerima tajaan Yayasan Sime Darby.
Fatin Nabihah turut berkongsi petua untuk mudah faham, sentiasa tenang dan ingat apa yang dipelajari, antaranya memulakan ulangkaji pelajaran seawal 4.00 pagi hingga 6.00 pagi.
“Sebelum ulangkaji buat solat sunat n baca al-Quran, lepas itu amalkan sedekah waktu subuh dan seterusnya Solat Dhuha,”katanya.
20 Apr 21
78454
Kerajaan Perkemas Strategi Galak Rakyat Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 20 April – Kerajaan negeri terus memperhebat tiga strategi utama dalam meningkatkan kesedaran rakyat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, langkah itu diambil selepas jumlah pendaftaran PICK dalam kalangan rakyat Terengganu berada di tahap yang masih rendah.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan seramai 250,399 rakyat Terengganu atau 29.7 peratus sahaja telah berdaftar dalam MySejahtera berbanding dengan 36.1 peratus untuk seluruh Malaysia.
“Empat daerah telah menunjukkan pencapaian melebihi 30 peratus iaitu Kemaman tertinggi dengan 44,473 orang (33.6 peratus) diikuti dengan Kuala Terengganu seramai 59,713 orang (32.5 peratus).
“Marang seramai 26,017 orang (32.0 peratus) dan Kuala Nerus dengan 33,161 orang (30.8 peratus), daerah yang tidak disebut masing-masing mencatatkan kurang daripada 30 peratus,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran PICK Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Chendering semalam.
Mengulas lanjut Dr Alias menjelaskan, antara insiaitif yang diperkasakan ialah program bersemuka atau kempen rumah ke rumah oleh Pejabat Daerah masing-masing melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Kita pergi ke rumah untuk terangkan kepentingan vaksinasi dan kemudian terus daftar melalui secara langsung melalui pengisian borang atau aplikasi MySejahtera.
“Selain itu, kaunter bergerak juga diadakan di kawasan tumpuan seperti pasar raya, bazar Ramadan dan pasar harian untuk memudahkan mereka yang belum berdaftar melalui pegawai bertugas.
“Manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, kita buka pendaftaran statik di 40 buah Pusat Khidmat Masyarakat seluruh negeri di mana mereka boleh datang bila-bila masa untuk daftar,” katanya lagi.
Tambah beliau, imunisasi kelompok mampu diwujudkan pada penghujung tahun ini jika lebih ramai yang berdaftar di dalam MySejahtera.
20 Apr 21
486
Orang Ramai Dipelawa Sertai Skim Hafaz Al-Quran Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengadakan Skim Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu bagi penggal pertama tahun 2021.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, pihaknya mempelawa sesiapa yang berminat dan memenuhi syarat ditetapkan untuk menyertai program ini.
“Antara syaratnya adalah beragama lslam serta merupakan rakyat negeri Terengganu yang bermastautin di negeri ini.
“Tahap minima hafaz adalah tidak kurang dari 7 juzu' pertama mengikut susunan mashaf dan berumur tidak kurang dari 18 tahun dan tidak melebihi 29 tahun bagi mereka yang memohon tahap di bawah 30 juzu'.
“Manakala seseorang yang berumur 30 tahun dan ke atas hendaklah memasuki tahap 30 juzu',” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, mana-mana pelajar dan lulusan Maahad Tahfiz atau Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran atau yang seumpama dengannya yang ingin menyertai ujian ini hendaklah memasuki ujian tahap 30 juzu'.
“Peserta juga perlu bersedia dan sanggup memberi sumbangan sukarela di negeri Terengganu sahaja iaitu di tempat-tempat yang diarahkan atau dipersetujui oleh jabatan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
“Penyertaan masyarakat/kanak-kanak (pelajar-pelajar tuan/puan) dalam sumbangan tersebut hendaklah melebihi 15 orang di mana sumbangan bermaksud kesediaan untuk mengadakan pengajaran kelas al-Quran, kelas fardu ain, mengajar Bahasa Arab, mengajar ilmu Tafsir Al-Quran,Tajwid, Fiqh dan lain-lain,” ujarnya.
Menurut beliau, setiap permohonan hendaklah dibuat melalui borang JHEAT/D 2021 yang boleh didapati dari Pejabat Agama Daerah masing-masing atau boleh dimuat turun melalui laman web http://jheatweb.terengganu.gov.my dan bagi hafiz/pemohon 30 juzu' hendaklah mengisi Borang Maklumat Sumbangan Sukarela Berkembar.
Katanya, borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke Pejabat Agama Daerah masing-masing untuk pengesahan dan sokongan sebelum atau pada 3 Mei depan.
20 Apr 21
1489
Bubur lambuk Permint Plywood Imarahkan Ramadan
DUNGUN, 20 April - Sebanyak 500 bekas bubur lambuk disediakan kakitangan Anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB), Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) kepada orang ramai sempena sambutan Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai PPSB, Ahmad Bazli Razali berkata, ia merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan buat julung kali di bulan Ramadan sejak pembukaan semula PPSB tiga tahun lalu bagi memupuk semangat kerjasama antara kakitangan sertai sifat bersedekah.
Katanya, program tersebut melibatkan 86 kakitangan serta Ahli Lembaga Pengarah PPSB.
"Pengagihan bubur lambuk dan kurma diadakan di dua lokasi iaitu Bazar Ramadan AMBS dan di Petronas AMBS bermula 3 petang selain agihan dari rumah ke rumah.
"Aktiviti memasak bubur lambuk dilakukan secara bergotong-royong dimana turut diselitkan pengisian keagamaan melibatkan semua kakitangan lelaki.
"Manakala kakitangan wanita seawal pukul 9 pagi memulakan tugas masing-masing dari proses penyediaan bahan mentah sehinggalah pembungkusan," ujarnya ketika ditemui selepas pembahagian bubur lambuk kepada orang ramai di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Kampung Pasir Raja dan Bandar Bukit Besi kelmarin
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah PPSB, Maliaman Kassim, hadir sama mengacau bubur tersebut untuk diagihkan
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, program gotong-royong oleh kakitangan Permint Plywood itu menyediakan sebanyak 500 bubur lambuk adalah salah satu amalan bersedekah.
“Ramadan tidak dapat dipisahkan dengan amalan bersedekah. Mudah-mudahan kita mendoakan Ramadan ini menjadi Ramadan yang terbaik dalam catatan amal kehidupan kita dan dapat kita optimumkan ruang dan peluang untuk memperbanyakkan amal dalam kekangan perintah kawalan pergerakan ini,” katanya.
Jelasnya, program julung kali itu sememangnya mencapai matlamat dengan tujuan mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat dan amalan bersedekah.
"Program ini juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan bersama masyarakat setempat selain mengimarahkan bulan Ramadan,” katanya.
20 Apr 21
369
Kongsi Rezeki, Hotel Primula Agih 800 Bungkus Bubur Lambuk
KUALA TERENGGANU, 19 April - Primula Beach Hotel salah sebuah hotel milik kerajaan negeri di sini, meneruskan tradisi memasak dan mengedarkan 800 bungkus bubur lambuk sempena bulan Ramadan sebagai tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata ia juga merupakan program tahunan hotel itu sejak 2017.
"Pengagihan bubur lambuk kali ini bertujuan menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam suasana wabak pandemik COVID-19 masih melanda negara.
"Walaupun penduduk tempatan bukan pelanggan utama yang menginap di sini, tetapi kita tetap menghargai mereka dan ia bukan alasan untuk kita tidak membuat kebaikan tambahan lagi pada bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas pembahagian bubur lambuk di Tempat Letak Kereta Zon F, Primula Beach Hotel, hari ini.
Suaibah juga berkata, sebanyak 30 kilogram (kg) beras digunakan untuk menghasilkan bubur lambuk menggunakan gabungan rempah ratus istimewa.
"Kerja memasak bubur ini bermula pada pukul 9 pagi dan selesai sekitar pukul 3 petang oleh 20 kakitangan hotel sebelum diagihkan," ujarnya.
Tambah beliau lagi, pihak pengurusan dan kakitangan hotel juga amat terharu dengan sambutan orang ramai yang datang untuk mengambil bubur lambuk yang diedarkan pada kali ini.
19 Apr 21
1111