lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Tiada Laporan Penganjuran Iftar Di Kawasan Lapang
Tiada Laporan Penganjuran Iftar Di Kawasan Lapang
KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Sehingga kini tiada sebarang laporan diterima pihak berkuasa berkenaan penganjuran majlis berbuka puasa di kawasan terbuka dan lapang di negeri ini selepas aktiviti itu dilarang sejak awal Ramadan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihak penguatkuasa akan segera bertindak sekiranya terdapat laporan tentang pelanggaran arahan tersebut. “Walau bagaimanapun, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar Ramadan masih boleh dipertingkatkan. “Kesalahan biasanya seperti penjarakan fizikal yang kurang memuaskan kerana faktor ramai pengunjung yang hadir membeli juadah berbuka, tetapi nasihat akan terus diberi manakala kompaun adalah tindakan terakhir sahaja,” katanya ketika ditemubual pemberita. Sebelum ini, pihak berkuasa negeri tidak membenarkan sebarang aktiviti iftar di kawasan terbuka dan lapang sepanjang Ramadan 2021. Mengulas mengenai salah faham arahan had umur kanak-kanak bawah 12 tahun, Dr Alias menjawab, larangan tersebut hanya termaktub di bazar Ramadan sahaja. “Tiada keperluan untuk bawa anak-anak kerana urusan penting adalah hanya untuk membeli atau menjual juadah berbuka, hanya ibu bapa sahaja boleh belikan. “Ini untuk kita kurangkan penularan COVID-19 di tempat yang sesak kerana risiko jangkitan kepada kanak-kanak adalah tinggi," katanya. Tambah beliau, had umur kanak-kanak tersebut tidak melibatkan Ekspo jualan pakaian Aidilfitri. “Salah faham ini timbul kerana had tersebut hanya melibatkan bazar Ramadan dan bukan bagi urusan pembelian pakaian raya,” jelasnya.  
02 May 21
232
Naik Taraf Penggunaan Teknologi Digital - Dato’ Yahaya
Naik Taraf Penggunaan Teknologi Digital - Dato’ Yahaya
Oleh : Rohayati Ripin KUALA NERUS, 30 April - Penggunaan teknologi digital di universiti perlu diperkasakan lagi bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, perkhidmatan jalur lebar perlu lebih agresif dalam merealisasikan penggunaan teknologi digital sejajar untuk meningkatkan lagi produktiviti negara Katanya, Terengganu telah melancarkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu, salah satu pemboleh daya Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) sebagai persediaan memasuki era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). "Di peringkat negeri kita (kerajaan) telah melancarkan Taman Maya (AI). Cuma cabaran kita sekarang ini bagaimana dari segi infranya,” soal beliau ketika bersiaran langsung bersama radio di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Gong Badak, baru-baru ini. Menurutnya, taman maya itu bertindak sebagai satu asas dan infrastruktur dalam mempelbagaikan sektor-sektor yang terlibat melalui kemajuan pembangunan dan kajian. Yahaya berpendapat, walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 tetapi penguasaan dari segi digitalisasi tidak dapat dipisahkan. "Kalau kita cakap soal pendidikan di peringkat pusat pengajian tinggi (IPT) kadang-kadang ada cabaran yang dihadapi. "Umpamanya, sesetengah tempat kurang akses internet yang baik, keluarga miskin tidak mampu ada gajet yang sepatutnya,” jelas beliau. Justeru itu, katanya perkara itu hendaklah ditangani dengan segera kerana penggunaan teknologi digital sangat penting pada zaman sekarang. “Kalau kita ambil dari satu sudut berkait bisnes dulu menggunakan teknologi maklumat termasuk 'marketing online' itu berlaku, tetapi tidak sehebat sekarang. "Begitu juga perkara yang perlu dilihat dan diberi fokus bagaimana boleh meneroka benda-benda baharu, bagaimana kebaikan moden ini boleh membantu mengembangkan bidang ekonomi, sosial dan lain-lain,” ujarnya. Selain itu, katanya soal pendidikan juga berkait dengan soal bisnes dan sosial bersifat lebih global. "Sebab itu peranan universiti ini bukan sahaja kita nak melahirkan golongan yang berbangga dengan segulung ijazah.  "Apa yang lebih penting ialah mahasiswa berkenan mesti ada sumbangan kepada masyarakat, dengan kajian dan inovasi termasuk dengan benda baharu,” tegasnya. Yahaya menjelaskan, sebagai pulangan kepada masyarakat dalam bentuk penemuan kajian perkara yang boleh membantu menyelesaikan isu semasa sebagaimana dalam suasana cabaran pandemik.
30 Apr 21
261
Bertahun Terdedah Bahaya, Jambatan Baharu Akhirnya Dibina
Bertahun Terdedah Bahaya, Jambatan Baharu Akhirnya Dibina
Oleh : Faris Ameir Ibrahim SETIU, 30 April - Pembinaan jambatan baharu di Kampung Sungai Lerek melegakan pengguna jalan raya terutamanya penduduk tempatan setelah sekian lama mereka berdepan risiko akibat infrastruktur terbabit yang tidak sempurna.  Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, projek berjumlah RM5.2 juta bagi menggantikan jambatan sempit yang sedia ada itu telah dimulakan. “Kawasan ini sering berlaku kemalangan disebabkan keadaan jambatan yang sempit dan laluan yang menuruni bukit bagi kenderaan yang datang dari arah utara. “Kelulusan pembinaan jambatan ini diperolehi pada akhir tahun 2019 melalui permohonan surat rasmi yang saya hantar kepada mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, semasa Sidang Dewan untuk Belanjawan 2020,” katanya kepada UPDI kelmarin. Mengulas lanjut, Shaharizukirnain berkata, ketika siding itu beliau telah memohon enam projek untuk kesejahteraan rakyat. “Namun hanya tiga yang diluluskan, antaranya bina baru jambatan Sungai Lerek dengan kos RM 5.2 juta dan bina baru jambatan Desa Jaya Sungai Tong dengan kos yang hampir sama. “Jambatan Desa Jaya dalam proses untuk iklan tender dalam masa terdekat selepas beberapa masalah teknikal diselesaikan,” tambah beliau. Selain itu juga jelasnya, kawasan ‘blackspot’ di sempadan Setiu iaitu di Felda Belara dan di selekoh bahaya Sungai Tong turut mendapat perhatian pihaknya. “Yang mana projek membaikpulih telah diluluskan dan diperuntukan sebanyak RM400 ribu bagi setiap satu,” tambah beliau.
29 Apr 21
2391
KETENGAH Peruntuk RM900 Ribu Bantu 4,500 Penerima
KETENGAH Peruntuk RM900 Ribu Bantu 4,500 Penerima
HULU TERENGGANU, 29 April - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan RM900,000 melibatkan 4,500 penerima menerusi Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH sempena Ramadan kali ini. Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata tabung yang diwujudkan sejak 2006 yang lalu bertujuan untuk memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan memerlukan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU). "Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban dan memenuhi keperluan semua penerima serta membelanjakannya untuk diri dan keluarga. "Majlis sumbangan ini akan diteruskan ke semua wilayah KETENGAH iaitu Dungun dan Kemaman yang dijangka berakhir pada 10 Mei ini, " ujarnya. Beliau berkata demikian sempena program KETENGAH Amik Cakne di Majlis Penyampaian Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH sempena Ramadan 1442H/2021M di Dewan Kampung Landas, di sini hari ini. Turut hadir, Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Ajil, Maliaman Kassim. Dalam majlis tersebut, seramai 426 orang daripada 11 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menerima sumbangan sebanyak RM200 dengan jumlah peruntukan RM85,200
29 Apr 21
648
Tablet Percuma Bantu Pelajar Luar Bandar Bukit Besi
Tablet Percuma Bantu Pelajar Luar Bandar Bukit Besi
Oleh : Amiruddin Zamri DUNGUN, 29 April - Pemberian tablet percuma melalui Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 membantu 50 pelajar luar bandar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi untuk belajar dengan lebih berkesan. Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, pemberian itu memberi lebih kepuasan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) yang akan kembali dilaksanakan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri. "Peranti ini sudah tentu penting bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. "Saya berharap agar ibu bapa atau penjaga berperanan untuk sentiasa memantau penggunaan agar tidak disalahgunakan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet berkenaan di sini semalam. Ghazali berkata, mewakili penerima, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan yang sangat bermakna dalam memastikan pelajar di sini tidak ketinggalan mengikuti sesi pembelajaran tersebut. Seorang pelajar, Ainul Nadhirah Syukri, 16, ketika ditemui menyifatkan beliau sangat bersyukur di atas pemberian berkenaan. "Ia dapat memudahkan saya mengikuti sesi pembelajaran kerana selama ini terpaksa berkongsi peranti itu," ujarnya. Manakala ibu kepada seorang pelajar, Asniza Wan Ismail, 45, berkata, sumbangan itu sangat membantu. "Sudah tentu dengan kemudahan yang diberikan ini akan memberi keselesaan untuk belajar di rumah tanpa terganggu," ujarnya.
29 Apr 21
484
Bangunkan Negeri Atas Prinsip Islam
Bangunkan Negeri Atas Prinsip Islam
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 29 April – Kemajuan dalam sesebuah negeri wajar berpandukan prinsip agama Islam yang jelas supaya segala aspek seperti pengurusan pemerintahan dijalankan dengan sempurna. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, kepentingannya dalam memajukan negeri di pelbagai sektor sesuai dengan tema 'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'.  “Perlu diingatkan bahawa kemajuan dibina itu mesti ada prinsip nyata supaya apabila kita uruskan pemerintahan dengan baik, isu pembaziran, penyelewengan dan perkara yang bercanggah dengan syariat dapat dielakkan. “Apa yang kita harapkan adalah nilai keberkatan dapat diwujudkan daripada prinsip dan tema tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Radio Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini. Kata Yahaya, teras agama hendaklah diamalkan oleh segala lapisan masyarakat termasuk pemerintah agar mendapat keredhaan Allah SWT.  “Sebab itu dalam soal pembangunan sesebuah negara ada ulama-ulama menyebutkan beberapa perkara mesti ada kalau kita nak masyarakat sejahtera.  “Yang pertama mesti ada pemimpin yang adil, bertanggunjawab, berusaha melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dengan melaksanakan apa yang diperintahkan. “Yang kedua mesti ada ulama yang sentiasa memberi peringatan kepada masyarakat supaya rakyat sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam,” ujar beliau. Beliau menambah, kesejahteraan akan wujud apabila ada kesedaran dalam kalangan ‘orang yang berada’, memanfaatkan harta dimiliki untuk tanggungjawab sosial serta membantu golongan kurang berkemampuan.
29 Apr 21
145
Kepakaran Anak Negeri Potensi Majukan Ekonomi
Kepakaran Anak Negeri Potensi Majukan Ekonomi
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 29 April – Kerajaan Terengganu mengharapkan agar khidmat tenaga pakar anak Terengganu di luar negeri dalam membantu negeri untuk memacu sektor ekonomi berdaya saing. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, kemajuan yang mahu dibangunkan mestilah mempunyai prinsip untuk menambahbaikkan prestasi negara dalam bidang kepakaran masing-masing.  “Kita di Terengganu tidak boleh bergantung hasil minyak semata-mata. Nak pelbagaikan ekonomi itulah fungsi tenaga pakar yang pengalaman untuk berkhidmat di sini. "Mereka meneroka samada bidang-bidang dan kepakaran baharu, masih banyak lagi potensi bakat yang telah diasah di luar negara umpamanya untuk di bawa balik ke negeri ini. “Kerajaan melihat golongan ini perlu diberikan peluang untuk pergi ke peringkat lebih jauh, tinggal lagi sekarang ini bagaimana kita boleh manfaatkan tenaga mereka,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Radio Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini. Katanya, pihak kerajaan mengambil sikap terbuka dan mengalu-alukan para mahasiswa yang sudah berjaya dan berkhidmat di negara luar supaya pertimbangkan untuk berkhidmat di negeri Darul Iman. “Kita tidak boleh memanfaatkan jika mereka sendiri tidak tekad bersedia untuk berkhidmat, orang ibaratkan seperti 'telur dengan ayam', siapa nak mulakan dulu,” ujarnya. Dato' Yahaya mengesyorkan, golongan tersebut boleh terlibat langsung samada dalam sektor bidang kerajaan ataun pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Terengganu. “Kalau pihak yang berkenaan merasakan mereka ingin menyumbang kepada pihak kerajaan, kerajaan mengambil sikap mengalu-alukan kehadiran  mereka serta penempatan mereka boleh dibincangkan," tambah beliau.
29 Apr 21
124
Anak Yatim Terengganu Dapat Duit Raya
Anak Yatim Terengganu Dapat Duit Raya
KUALA TERENGGANU, 29 April - Seramai 226 anak yatim daripada pertubuhan berdaftar seluruh Terengganu menerima bantuan duit raya daripada kerajaan negeri semalam. . Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya prihatin terhadap golongan sasar tersebut dan bersetuju untuk membantu dengan menyalurkan sumbangan itu kepada mereka. “Tambah lagi, lapan pertubuhan sukarelawan anak yatim berdaftar juga menerima bantuan berjumlah RM40,000 sebagai imbuhan dan pencetus semangat ikhlas daripada Kerajaan Negeri Terengganu. “Antara penerimanya seperti Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Seberang Takir, Asrama Perkaya Marang, Pertubuhan Asrama Anak-Anak Saudara Kito Yatim, Fakir dan Miskin PERKIM Negeri Terengganu. “Bagi pertubuhan yang belum berdaftar ramai lagi yang saya yakin bulan ini masing-masing berkejar untuk memberi sumbangan,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Perayaan Aidilfitri, di Wisma Darul Iman. Menurut Pengetua Asrama Kebajikan Anak Anak Yatim/Fakir Darul Akhyar Mukim Batu Rakit, Ahmad Irshad Mustaqim Zamri yang hadir sama berkata, beliau berterima kasih kepda kerajaan negeri dan akan memanfaatkan bantuan itu untuk pengurusan asrama. “Kami di Darul Akhyar mempunyai 125 orang pelajar (40 anak yatim) dari Tingkatan Satu sampai Lima, jumlah tersebut akan digunakan bagi kebajikan pelajar dan penambahbaikan peralatan sekolah,” katanya ketika ditemubual pemberita. Pertubuhan lain yang menerima sumbangan ialah Tahfiz Perkaya Dungun, Pusat Jagaan Berkediaman Baitul Cakna, Hulu Terengganu, Pusat Jagaan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Hijrah, Kemaman dan Asrama Darul Falah Marang.
29 Apr 21
1112
RTB Terkilan Beris Meraga Dan Telok Kalong Diundi
RTB Terkilan Beris Meraga Dan Telok Kalong Diundi
KEMAMAN, 29 April - Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Kawasan Beris Meraga dan Telok Kalong, Kijal diatur penyelesaiannya dengan majlis pengundian lot yang berlangsung kelmarin. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap di majlis tersebut bersyukur dan berterima kasih kepada semua kakitangan yang terlibat dan dengan kesabaran peserta, ianya hampir diselesaikan. Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap. "Alhamdulillah dengan kerja keras oleh semua kakitangan Pejabat Tanah Kemaman, RTB ini akan diselesaikan sehingga ke proses pembahagian geran dengan secepat mungkin. "Berkat kesabaran dan doa dari peserta RTB setelah belasan tahun menunggu saat ini, akhirnya ia berjaya diuruskan walaupun terdapat sedikit kesukaran di situ," ucapnya. Sebelum itu, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh@Wan Ali yang turut berucap berkata, tanah tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat ini. Acara pengundian lot RTB Terkilan. "Insya-Allah, RTB Terkilan di Kijal akan kami selesaikan tahun ini juga walaupun terdapat sedikit kerumitan yang timbul kerana ada sesetengah peserta yang telah meninggal dunia. "Bukan kami sahaja yang bekerja keras, malah ini semua juga hasil dari kerjasama daripada pihak Penyelaras DUN Kijal yang turut memainkan peranannya," katanya. Majlis yang diadakan di Dewan Sivik Kijal itu dihadiri oleh baki peserta seramai 56 orang dari kedua RTB yang dinafikan haknya pada tahun 2004 bagi menentukan lot kediaman masing-masing.  Peserta bergambar sebagai kenangan. Turut hadir ialah Ketua Penolong Pembangunan Tanah Kemaman, Mohamad Hafiz Che Awang, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang, Penghulu Mukim Tebak, Mohd Azlan Ibrahim dan kakitangan Pejabat Tanah yang terlibat serta kakitangan Pejabat Penyelaras DUN Kijal.
28 Apr 21
769
Raih Pahala Dengan Wakaf Al-Quran Bersama YIT
Raih Pahala Dengan Wakaf Al-Quran Bersama YIT
KUALA TERENGGANU, 28 April - Yayasan Islam Terengganu (YIT) membuka ruang kepada orang ramai yang ingin menyumbang bagi program wakaf al-Quran sekali gus meraih ganjaraan bernilai. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata sumbangan itu akan membantu kepada mereka yang daif dan meluaskan lagi medium kebajikan serta kemanusiaan untuk membantu mereka yang memerlukan al-Quran. Katanya, dengan wang tersebut, ia akan digunakan untuk mencetak al-Quran untuk disumbangkan ke pusat-pusat pengajian al-Quran, masjid, surau dan pihak yang memerlukan. "Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama membuat pelaburan yang modalnya serendah RM5 yang mampu dilakukan oleh semua golongan masyarakat tetapi ganjarannya cukup besar.  "Bayangkan pahala mengalir masuk daripada setiap ayat yang dibaca oleh penerima wakaf al-Quran secara berterusan," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengurusan Wakaf Al-Quran Yayasan Islam Terengganu sempena Sambutan Hari Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu tahun 2021 di Dewan Tingkat 4, Menara YIT, hari ini. Turut hadir, Pengarah YIT, Rozali Salleh. Tambahnya lagi, wakaf al-Quran ini bermula dengan harga RM5 iaitu 1/4 bahagian daripada senaskah al-Quran yang bernilai RM20 bergantung kepada kemampuan pewakaf. Mohd Nor berkata pihaknya juga akan merancakkan aktiviti wakaf al-Quran secara berterusan bagi menggalakkan umat Islam untuk beramal jariah tanpa mengira bulan. Tambah beliau, pihaknya turut akan memperluaskan program wakaf al-Quran ke luar negara bagi mereka yang memerlukan seperti di Syria dan Yaman jika mendapat permintaan. Orang ramai yang berminat untuk salurkan sumbangan boleh melayari laman Web Rasmi  Yayasan Islam Terengganu https://yit.gov.my atau facebook yayasanislamterengganu_official atau https:yit.onpay.my.  
28 Apr 21
407