Artikel "Semasa" Terkini
Kerajaan Giat Harungi Rintangan Wujudkan Peluang Pekerjaan
KUALA LUMPUR, 4 Mei - Pandemik Covid-19 telah menjadi suatu cabaran buat kerajaan dalam usaha membangunkan negeri Terengganu dari sudut meningkatkan ekonomi rakyat serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasrat berkenaan mengalami sedikit kesulitan kerana suasana yang ada memberi kesan kepada kemasukan pelaburan namun kerajaan tetap optimis.
"Situasi semasa pelaburan yang menunjukkan projek-projek besar boleh menghasilkan peluang pekerjaan yang banyak itu dengan sendirinya kini mengalami proses yang sukar.
"Pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat kesan berantai disebabkan pandemik Covid-19, walaupun begitu insiatif masih berjalan, saya tak nak sebut berapa jumlahnya, tetapi masih mencapai bilion jumlah pelaburan yang masuk terutama dari syarikat Petronas," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sidang Meja Bulat Pimpinan NGO Terengganu Di Perantauan Berserta Majlis Iftar Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri, di Sunway Putra Hotel, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pegawai Kewangan negeri, Samiun Salleh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urus Setia, Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera, Mohd Nasir Abdul Razab dan Ketua Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.
Mengulas lanjut, Dr Samsuri berkata, dari sudut nilai semasa telah mengalami perubahan yang ketara.
"Fakta yang sangat penting untuk diperhalusi ialah 200 juta nilai pelaburan pada 10 tahun dahulu jika dibandingkan pada waktu ini berbeza, dahulu ia membawa maksud akan mencipta peluang pekerjaan yang banyak.
"Saya hendak kongsi satu projek oleh Petronas telah dihasilkan dalam setahun dua ini, namun peluang pekerjaan itu masih berada di tahap rendah yang dahulunya boleh menghasilkan ribuan peluang apatah lagi selepas wujudnya Revolusi Industri 4.0.
"Semua orang bercakap dan teruja sedangkan kita tak sedar bahawa ia memberi kesan kepada anak-anak Terengganu dari sudut berkenaan," ujarnya.
Namun katanya, komitmen pihak kerajaan dalam usaha berkenaan terus dilakukan dengan pelbagai insiatif serta program yang diadakan.
Dalam pada itu katanya, pertemuan di antara pihak kerajaan bersama perantau melalui perbincangan sidang meja bulat tersebut sangat bermanfaat.
"Sebagai satu komitmen untuk bersama-sama bertemu dan mengadakan perbincangan bagi mengemukakan idea-idea yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan dalam usaha untuk kita melaksanakan apa jua kebaikan bagi membangunkan negeri Terengganu ke arah sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera," ujarnya.
04 May 21
482
80 Anak Yatim, Asnaf Dan OKU Terima Sumbangan Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Perasaan gembira dan teruja jelas terpancar pada wajah seramai 80 anak yatim,asnaf dan orang kurang upaya (OKU) dari keluarga asnaf sekitar Ajil, Hulu Terengganu apabila diberi peluang menikmati juadah berbuka puasa dan menerima sumbangan Aidilfitri semalam.
Mereka yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun teruja dan gembira diberikan peluang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil untuk menikmati pelbagai jenis makanan dan menerima sumbangan itu di Terengganu Equestrian Resort (TER).
ADUN Ajil, Maliaman Kassim berkata, majlis berbuka itu adalah acara tahunan yang diadakan setiap kali Ramadan bagi meraikan mereka yang kurang bernasib baik walaupun pada tahun lepas ia tidak dapat diadakan ekoran daripada Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Katanya, majlis berkenaan adalah program khidmat masyarakat yang diadakan untuk mengeratkan hubungan di antara Jabatan Amal Malaysia (JAM) DUN Ajil sebuah agensi di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia dan masyarakat luar.
"Saya berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini dan berharap majlis sebegini sedikit sebanyak dapat memberi senyuman kepada mereka di bulan mulia ini.
“Anak-anak ini akan dijadikan anak angkat kepada Dun Ajil,apa apa permasalahan JPKK jangan segan atau malu untuk berhubung dengan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Ajil.
“Saya amat teruja berpeluang menggembirakan mereka sambil menikmati hidangan dan menerima sumbangan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Ustaz Ismail Osman.
Bagi Muhammad Muith Multazam Mohd, 13, dari Kampung Jak, peluang menghadiri program itu bukan setakat menggembirakannya, malah berasa dikasihi oleh insan lain yang tiada pertalian persaudaraan dengannya.
“Arwah abah, meninggal dunia sejak saya berumur 4 tahun dan sejak itu, ibu, yang membesarkan saya,” katanya.
Siti Nor Amri Sabri, 9, berkata dia hanya dapat menikmati kasih sayang ayah sementara sahaja kerana arwah bapanya meninggal dunia ketika dia berusia lapan tahun.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi membawa saya dan anak yatim lain untuk berbuka puasa dan menerima sumbangan duit raya,” katanya.
03 May 21
476
Aset Penting Kerajaan, 200 Asatizah Dirai
KUALA TERENGGANU, 3 Mei – Golongan pendakwah, guru pondok serta asatizah yang menjadi aset penting kerajaan negeri diraikan dalam majlis Kalam Nuqaba Ramadan di Hati dan Iftar Jamaei bersama Murabbi Ummah baru-baru ini sebagai menghargai jasa mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas segala curahan ilmu agama dan nasihat dalam mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti penat lelah.
“Majlis kali ini bukan saja iftar, tetapi meraikan ustaz dan ustazah yang membantu dan memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan segala usaha dakwah yang dilakukan oleh kerajaan negeri khususnya Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT),” ucapnya ketika merasmikan majlis tersebut, dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Pemuafakatan Barakah Terengganu, Ustaz Ismail Osman, Pengarah Akademi (DUAT), Ustaz Ramlan Hj Mahmood, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS), Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Ustaz Nasir Abdul Razak.
Menurut Mohd Nor, momentum kecemerlangan dakwah yang ada hari ini perlu dikekalkan dan diperluaskan ke peringkat-peringkat lain.
“Ada tugas-tugas dakwah yang ada ruang-ruang yang perlu disempurnakan.
“Maka dalam menyempurnakan kerja dakwah khususnya yang melibatkan pendakwah-pendakwah yang tidak ada ikatan dengan pejabat agama, Yayasan Islam Terengganu atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) perlu dikumpulkan dan digerakkan, perlu dipegang tangan masing- dalam melaksanakan kerja dakwah ini.
“Alhamdulillah, sudah tentulah di hadapan saya ini memiliki peranan yang besar dalam melaksanakan semua dasar-dasar dan polisi-polisi kerajaan negeri khususnya dalam memperkasakan usaha dakwah, bukan sahaja di dalam masjid tetapi juga di luar masjid seiring bersama membangunkan negeri dengan gerak kerja dakwah yang bersepadu dan usaha yang jitu di seluruh pelusuk kampung,” katanya.
Beliau turut menyeru agar para daie bukan sahaja pandai berkata-kata dan menjadi penonton tetapi libatkan diri secara langsung dalam menyeru berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran sama ada secara bersemuka ataupun dalam talian.
03 May 21
214
'Maghi Candat Sotong' Kembali Dengan Norma Baharu Ketat
KUALA NERUS, 3 Mei - Kerajaan negeri melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu sedang berbincang mengenai pelaksanaan dan kaedah sesuai bagi penganjuran Program Maghi Candat Sotong pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, program tersebut berikutan musim mencandat sotong bermula April hingga September ini akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.
Katanya, peraturan dan prosedur akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut keadaan semasa untuk memastikan pelancong domestik boleh datang bagi menyertai aktiviti tahunan tersebut.
"Antaranya pengusaha bot bagi aktiviti perairan ini bersedia untuk mengurangkan kira-kira 50 peratus jumlah peserta berbanding musim biasa.
"Tahap ketersediaan pengusaha terlibat semuanya dalam keadaan baik dalam pematuhan-peraturan yang ditetapkan supaya aktiviti mencandat berjalan tanpa sebarang masalah.
"Berkaitan SOP bagi sesebuah bot, jumlah kapasiti peserta akan dikurangkan kepada 12 orang berbanding 20 orang bergantung kepada muatan dan saiz bot," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis moreh bersama media, malam semalam.
Mengulas lanjut berkenaan pemeriksaan terperinci peserta yang akan terlibat, Ariffin memaklumkan, pihaknya akan menjalankan tindakan sesuai bagi memastikan risiko penularan dikurangkan.
"Tambah lagi, kita juga akan meneliti aspek kebenaran penyertaan sama ada hanya boleh diberikan kepada mereka yang sudah lengkap menerima dos vaksin, atau telah menjalani ujian calitan dan disahkan sihat sebelum memasuki Terengganu," jelasnya.
Untuk rekod, Program Maghi Candat Sotong merupakan program pelancongan pertama di Terengganu selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada Julai tahun lepas.
03 May 21
400
Orang Ramai Dipelawa Sertai Pertandingan Pelita Raya
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Orang ramai khususnya rakyat Terengganu dijemput menzahirkan kreativiti masing-masing dalam pertandingan Pelita Raya bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertandingan Pelita Raya anjuran kerajaan negeri itu akan dimulakan pada 6 Mei ini.
Katanya, para peserta boleh mempamerkan idea kreatif dengan membina replika atau monumen menggunakan lampu pelita bagi menceriakan kawasan rumah dan kampung mereka.
"Pertandingan Pelita Raya ini juga diadakan di setiap kampung melibatkan lapan daerah di Terengganu menerusi dalam talian. Pertandingan Pelita Raya dari 6 hingga 11 Mei ini akan diadakan di Kampung Budaya melibatkan rumah-rumah daerah.
"Saya rasa tahun ini ia lebih terurus, terarah dan lebih ceria," katanya kepada pemberita selepas Majlis Moreh Kolaborasi KAWAT- Exco Pelancongan di Kafe Kahve, malam tadi.
Beliau berkata menjadi kelaziman dan tradisi penduduk terutama di kawasan kampung memasang pelita di sekeliling rumah dan sepanjang jalan bagi menceriakan suasana waktu malam pada hari-hari terakhir bulan Ramadan.
03 May 21
1000
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Kembali Tertinggi Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Terengganu kembali menyaksikan peningkatan mendadak Kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia dengan mencatatkan nilai 1.66.
Menurut statistik yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia turut menunjukkan kenaikan kepada 1.11 semalam daripada 1.10 pada hari sebelumnya.
Terengganu turut mengalami peningkatan jumlah kes baharu positif virus merekodkan 184 kes baharu pada hari Isnin berbanding 42 kes pada awal minggu ini.
"Jumlah kes aktif yang sedang dirawat dalam negeri adalah 404 kes dengan jumlah kumulatif kes berjumlah 4,419 kes," sepertimana dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi laman Facebook rasmi.
Sementara itu, Kelantan, Kedah, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan adalah di antara negeri dengan kadar kebolehjangkitan tinggi melebihi angka 1.0.
Statistik angka tinggi di negeri lain yang melebihi 1.0 juga direkodkan di Johor, Melaka, Perak, Putrajaya, Sarawak dan Pulau Pinang.
Untuk pengetahuan, nilai Rt merujuk kepada tahap penularan virus, iaitu berapa jumlah individu yang mampu dijangkiti oleh satu kes positif.
Contohnya, semakin rendah nilai tersebut, kemungkinan jangkitan bagi kes positif adalah berkurang.
03 May 21
529
Kerajaan Hulur RM100,000 Bantu Perantau
KUALA LUMPUR, 3 Mei - Nasib rakyat Terengganu di perantauan yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19 terbela apabila kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia merupakan usaha yang jitu daripada pihak kerajaan negeri kepada anak rantau untuk terus membela kebajikan mereka.
"Menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri kepada seluruh anak Terengganu yang berada di perantau dengan harapan ia akan memberi kebaikan dan manfaat yang mampu membantu meringankan beban dialami mereka," katanya,
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan berkata demikian ketika berucap pada Program Sidang Meja Bulat Pimpinan NGO Terengganu di Perantauan Beserta Majlis Iftar Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Sunway Putra Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh, Timbalan Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera, Mohd Nasir Abdul Razab dan ketua Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.
Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, pertemuan yang diadakan itu membawa mesej bahawa kebajikan anak jati negeri tersebut tidak terabai walau di mana sahaja berada.
"Tetap merupakan antara mereka yang berasal dari negeri Terengganu, terutama apabila masih mengekalkan pendaftaran untuk mengundi di Terengganu.
"Beerti kerajaan masih mempunyai tanggungjawab terhadap mereka,"ujarnya.
Dalam pada itu Prof Dr Kamaruzaman berkata dengan sumbangan berkenaan kerajaan telah menunjukkan keprihatian yang tinggi demi membela nasib perantau.
"Saya rasa jumlah ini sangat besar dan kita akan cuba sedaya upaya bagi memastikan wang ini dapat kita kongsi kepada semua pihak yang terlibat.
"Kerana kita dapati sekarang ini ramai yang terkesan terutama yang bekerja sendiri seperti meniaga secara kecil-kecilan sebagai contohnya.
"Jadi saya rasa ini merupakan bantuan yang sangat baik untuk membantu mereka yang berada di luar ini, dan masih memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan negeri," ujarnya.
02 May 21
2756
COVID-19 : Terengganu Rekod 184 Kes, Setiu Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Situasi penularan COVID-19 di Terengganu kembali ke tahap membimbangkan selepas merekodkan 184 kes baharu hari ini dengan Setiu sebagai penyumbang terbesar.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan, daripada keseluruhan kes positif 154 daripadanya datang dari daerah Setiu manakala Besut 24, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing tiga.
Jelas JKNT, kes di Setiu melibatkan kluster yang baru didaftarkan semalam iaitu Kluster Saujana selain satu kes daripada saringan bergejala.
“Ia merupakan kluster institusi pendidikan yang melibatkan daerah Setiu dan Besut, Terengganu. Nama kluster adalah berdasarkan kepada alamat institusi pendidikan kes indeks.
“Kes indeks bagi kluster ini ialah Kes 4106 yang merupakan seorang wanita berusia 13 tahun, Warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 28 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Saringan kontak rapat seterusnya berjaya mengesan kes-kes lain dalam kalangan rakan dan pengajar.
“Data saringan di Terengganu sehingga hari ini ialah berjumlah 386, 135 daripadanya negatif dan 153 positif, jumlah yang masih menunggu keputusan adalah 73,” ujar JKNT dalam satu kenyataan rasmi di facebook.
Dalam pada itu, JKNT turut memberitahu, selain kes-kes terbabit penularan positif baharu turut melibatkan tiga kes import C.
“Selain 12 kontak kes Kluster D’Lahar, 8 kontak kes Kluster Jalan Padang Tembak, 3 kontak kes Kluster Ara Murni,” tambah JKNT.
02 May 21
2614
Tak Mahu Buang Masa Budak SPM Jadi Penyadap Tuak
KUALA NERUS, 2 Mei - Hanya mempelajari kaedah menyandap nira (tuak) kelapa melalui you tube, dua sahabat karib Aidil Farhan Zailan Zainuddin dan Luqman Hakim Mohd Izham masing-masing berusia 18, kini seakan mahir melakukan pekerjaan itu bagi mendapatkan nira segar.
Lazimnya kerja itu dilakukan mereka yang sudah berusia dan pekebun yang berpengalaman tetapi ia tidak mendatangkan masalah bagi mereka berdua yang masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melakukan pekerjaan itu pada setiap hari di kebun kelapa pandan di Kampung Kesom, Manir, di sini.
Semua teknik, termasuk mengikat, menarah mayang dan memproses nira yang dibubuh keratan kayu cengal dilakukan sebaik mungkin sebelum dijual kepada pemborong dan warung-warung sekitar Batu Rakit.
Aidil Farhan berkata dia tidak mahu membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah sebaik tamat menduduki SPM, sebab itu pekerjaan menyadap kelapa menjadi pilihan.
“Walaupun tiada pengalaman, perkara itu tidak mendatangkan masalah, boleh mempelajarinya melalui you tube dan ada juga pemilik kebun Mohd Izham Mohd A Wahid yang ajarkan.
“Kini hampir tiga bulan melakukan perkerjaan itu, bulan ini (Ramadan) permintaan berganda daripada pengemar nira, jadi upah yang diterima pun lebih,” katanya.
Sementara itu Luqman Hakim yang juga anak pemilik kebun, berkata sambil membantu ayah, dapat juga duit belanja sementara menunggu keputusan SPM.
Katanya, upah yang diperoleh RM300 seminggu atau bergantung kepada hasil nira sangat bernilai baginya, kerana itu gaji hasil pekerjaan pertama sebaik tamat belajar.
“Saya akan gunakan sebaik mungkin hasil upah yang diperoleh, cadangnya mahu mengambil lesen memandu dan juga sebagai simpanan untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi kemahiran atau universitI nanti,” katanya.
Sementara itu, Mohd Izham berkata, dia kagum dengan anaknya Luqman Hakim bersama rakannya itu, walaupun masih remaja, sanggup menggantinya menjaga kebun seluas 1 ekar atau dengan anggaran 90 pokok pandan.
“Rutin harian mereka keluar bekerja seawal 7 pagi sehingga jam 8.30 pagi, kemudian kembali pula pada petang kira-kira jam 5 hingga 7 petang,” katanya yang bertugas di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
02 May 21
976
Peniaga Positif COVID-19, Dua Bazar Di Besut Ditutup
KUALA TERENGGANU, 2 Mei - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengarahkan bazar Ramadan di Kuala Besut dan Bukit Kenak, dalam daerah Besut ditutup tujuh hari bermula semalam hingga 7 Mei ini selepas ada peniaga di bazar itu positif COVID-19.
Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus, berkata kedua-dua bazar itu diarah tutup mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi mencegah penularan COVID-19.
"Siasatan mendapati tiga daripada enam pekerja sebuah kafe di daerah Besut yang didapati positif, turut berniaga di kedua-dua bazar berkenaan," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, 69 lokasi bazar Ramadan dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu dan daripada jumlah itu 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (6), Dungun (5), Marang (5) dan Hulu Terengganu (2). – BERNAMA.
02 May 21
2689