lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

530 Keluarga Sekitar Paka Terima Bantuan Beras
530 Keluarga Sekitar Paka Terima Bantuan Beras
DUNGUN, 8 Mei – Seramai 530 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menerima 10 kilogram beras sempena Program Sekampit Beras Satu keluarga. Pengerusi Masjid Taman Hadhari Paka, Tengku Amran Tengku Awang berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan. “Program ini kita buat untuk menyasarkan seramai 300 keluarga sahaja, tetapi sumbangan yang diterima melebihi daripada sasaran sehingga mencapai 530 keluarga.” “Keluarga tersebut terdiri dikalangan fakir miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan Mualaf,” katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media usai program berkenaan. Program anjuran Masjid Hadhari Paka itu diadakan saban tahun bagi membantu masyarakat di sekitar Paka ini. Di samping itu kata Tengku Amran, pengagihan yang dibuat pada kali ini sedikit berbeza dari tahun sebelum – sebelum ini bagi mematuhi SOP COVID-19. “Bagi melancarkan pengagihan, pihak masjid menyalurkan beras tersebut kepada 12 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Paka untuk agihan iaitu lapan di Zon B dan 4 do Zon A,” jelasnya. Menurutnya lagi, pengagihan sekampit beras tersebut akan mendarat di kawasan Felda pula selepas ini. “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua masyarat yang membeli dan menyumbang beras kepada masjid. “Harapan saya, dengan sumbangan ini dapat meringankan bagi golongan memerlukan bagi menyambut Hari Raya Aidilfiri,” ujarnya lagi.
08 May 21
669
Baca, Fahami Dan Aplikasi Al-Quran Dalam Kehidupan
Baca, Fahami Dan Aplikasi Al-Quran Dalam Kehidupan
KUALA TERENGGANU,  8 Mei -  Program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh negara pada tahun ini dengan bertemakan surah Al-Mulk harus disambut baik semua pihak demi memartabatkan al-Quran tercapai. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, supaya masyarakat sedar akan kepentingan menjadikan ia sebagai panduan utama dalam aktiviti seharian.  "Dalam erti kata yang lain boleh diibaratkan satu pekeliling dari langit yang membawa arahan daripada Allah SWT demi memastikan kehidupan kita ini terarah sebagaimana yang dikehendaki. "Supaya kita tidak tersesat dan menyimpang daripada tujuan sebenar kehidupan di dunia ini. Jika kita tidak fahami dan hayati maka kita tidak akan selamat. "Oleh kerana itu saya menasihati diri saya dan juga seluruh masyarakat agar mendampingi al-Quran dengan mengamalkannya melalui tuntutan sebenar yang terkandung di dalamnya," ujar beliau. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan program World #QuranHour, di Dewan Teater, Perpustakaan Awam negeri baru-baru ini. Mengulas lanjut, Ridzuan berkata program yang bertemakan 'Dunia Berbudi dan Penyayang' tersebut diharap mampu memberi galakkan dan didikan kepada rakyat untuk mengamalkan nilai-nilai positif. "Juga berupaya memupuk budaya kerja yang cemerlang serta melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang dilakukan. "Melalui peringatan bahawa setiap apa yang dilakukan di dunia ini semuanya akan dihisab dan dibawa ke hadapan pengadilan Allah untuk menerima balasan yang setimpal. "Dengan semangat itu mudah-mudahan akan menjadikan seluruh masyarakat adalah manusia yang terbaik dalam semua perkara," katanya.   Dalam pada itu Pengarah PPAT, Norliza Ismail berkata penyertaan rakyat negeri ini dalam menjayakan program berkenaan saban tahun berlaku peningkatan yang tinggi. "Terdiri daripada segenap lapisan masyarakat daripada pegawai, kakitangan pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian. "Telah meletakkan negeri ini kekal mengungguli tempat pertama dalam menyertai program ini,"ujarnya.    
08 May 21
246
Pelita Raya, Kembalikan Suasana Nostalgia
Pelita Raya, Kembalikan Suasana Nostalgia
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Program Pelita Raya di Kampung Budaya, Muzium Negeri di sini yang berkonsepkan perkampungan asli dalam norma baharu  berjaya mengembalikan nostalgia Aidilfitri tahun ini meskipun dalam keadaan dunia dilanda COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, program tahunan sehingga 11 Mei tersebut menyerlahkan suasana budaya lama ditambah lagi dengan pelbagai rumah dan tema tradisional. Katanya, antara replika pelita raya dihasilkan oleh pejabat tanah dan daerah (PTD) adalah seperti replika sotong (Marang), kapal terbang (Kuala Nerus), penyu (Dungun) dan lain-lain lagi iaitu simbolik dengan tarikan di daerah tersebut. “Pengunjung boleh datang setiap malam dari pukul 9 malam hingga 12 tengah malam tanpa cas kemasukan dan boleh menikmati suasana dihasilkan tujuh daerah yang terlibat dalam pertandingan ini. "Daerah Besut dikecualikan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 20 Mei, walaupun PTD tersebut belum terkesan akibat penularan virus,” katanya. Beliau berkata demikian semasa program Walkabout Pelita Raya di Musium Negeri Terengganu, malam semalam. Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah. Mengulas tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) di tarikan tersebut, Ariffin menjelaskan, had pengunjung adalah 300 orang pada satu-satu masa hasil saranan Majlis Keselamatan Negeri (MKN). “Kami sedar akan peningkatan kes positif COVID-19 baru-baru ini dan hasilnya SOP ketat diaplikasikan di sini. “Walaupun dengan peraturan sedemikian, namun kemeriahannya masih ada,” jelasnya. Seorang pengunjung, Saifol Nahrain Hashim, 43, berkata, program pelita raya mengembalikan kenangan nostalgik pada sewaktu dahulu yang menggunakan pelita sebagai sumber cahaya. Saifol Nahrain Hashim bersama keluarganya melihat replika Drawbridge Kuala Terengganu “Saya bawa isteri dan tiga anak untuk tunjuk kepada mereka bagaimana seronoknya malam raya pada zaman saya dahulu. “Ini memperkenalkan generasi muda kepada kehidupan sebelum elektrik, Kampung Budaya ini juga sesuai untuk pertunjukkan seperti ini,” katanya yang datang dari Rhu Rendang, Marang.  
08 May 21
1564
Setelah 22 Tahun... Geran Pengubat Luka
Setelah 22 Tahun... Geran Pengubat Luka
DUNGUN, 6 Mei- Selepas 22 tahun membuat permohonan untuk mendapatkan tanah daripada kerajaan negeri akhirnya rezeki berpihak kepada mereka apabila diberikan geran sekali gus menjadi pengubat luka. Mewakili rakan-rakannya, Mariatul Kibtiah Abas, 49 menceritakan, mereka yang tinggal sekampung di Kampung Pulau Serai memohon bersama-sama pada 22 tahun lepas ketika anak-anak masih lagi kecil. "Adalah dengar ura-ura permohonan kami untuk mendapatkan tanah berdekatan dengan kampung berjaya, masa itu seronok tetapi mungkin bukan rezeki waktu itu. "Alhamdulillah, kalau sudah rezeki, tidak ke mana... walaupun dah 22 tahun berlalu, tidak disangka-sangka, berjaya juga dapat hak milik dengan dapatnya geran walaupun tanahnya jauhlah sikit, tetapi kami tetap bersyukur," katanya yang merupakan peserta RTB By-pass Batu Tiong . Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran RTB di Dewan Al-Husna, Markaz Tarbiyah Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini, semalam.  Majlis tersebut dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun. Turut hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan Pegawai Penyelidik di Pejabat Menteri Besar, Azman Shafawi Abdul Rani.  Pada majlis tersebut, seramai 102 orang menerima geran tanah tapak rumah yang merupakan peserta-peserta RTB Tapak Rumah Rhu Batil II, Bypass Batu Tiong, Serdang, Tok Kah, Alor Mak Bah dan Kampung Paya, Balai Besar.  Sementara itu, seorang ibu tunggal, Nurul  Hidayah Ja'afar, 32 yang merupakan peserta RTB Rhu Batil, memuji kerajaan yang dilihatnya tidak pernah berhenti berusaha keras menunaikan satu demi satu janji manifesto semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu. "Kalau kerajaan sebelum ini, janji-janji pilihan raya yang lepas hanya akan sibuk dilaksanakan bila hampir pilihan raya yang baru, tetapi ini tidak, saya sebagai ibu tunggal pun rasa sangat diambil berat oleh kerajaan.  "Hari ini juga terbukti janji pilihan raya untuk beri satu lot tanah tapak rumah kepada rakyat Terengganu yang berumur 21 tahun ke atas telah ditunaikan," ujarnya. Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berharap agar tanah yang sudah menjadi hak milik mestilah dibina rumah.  "Jangan nanti dijual atau digadaikan kerana ini adalah tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat dan membantu rakyat memiliki tanah  seterusnya dapat didirikan rumah di atas tanah tersebut," katanya. 
06 May 21
623
Lagi Serahan Suratan Hak Milik Tanah Terkilan Di Kijal
Lagi Serahan Suratan Hak Milik Tanah Terkilan Di Kijal
KEMAMAN, 8 Mei - Penyerahan geran dan borang 5A tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan 2004 terus berjalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal. Kelmarin seramai 215 orang lagi menerima suratan hak milik dan borang 5A yang melibatkan RTB kategori kediaman di Bukit Panjang, Beris Meraga, Teluk Kalong, Pondok Pasir dan RTB kategori pertanian iaitu di Sungai Mekelok. Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid ketika berucap di majlis perasmian bersyukur kerana diberikan nikmat di bulan yang mulia ini. "Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana pada bulan Ramadan bulan yang mulia ini kita semua dianugerahkan nikmat setelah 17 tahun kita nantikan iaitu semenjak tahun 2004. Ustaz Che Alias Hamid sedang berucap. "Ini adalah salah satu janji Kerajaan PAS Negeri Terengganu yang telah berjaya ditunaikan dengan kerjasama Pejabat Tanah iaitu menyelesaikan masalah tanah rakyat yang dinafikan di negeri Terengganu," ucapnya. Che Alias juga mengingatkan peserta yang menerima borang 5A supaya dapat menjelaskan bayaran premium tanah yang dianugerahkan. "Saya mengharapkan agar semua yang menerima tanah ini dapat menjelaskan bayaran premium tanahnya secepat mungkin. Salah seorang penerima geran hakmilik RTB Terkilan 2004. "Jika tidak mampu untuk melunaskan kesemuanya dalam satu masa, ianya juga boleh dilakukan secara berperingkat di Pejabat Tanah," katanya. Turut hadir ialah Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh@Wan Ali, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang serta kakitangan Pejabat DUN Kijal dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman yang terlibat. Majlis tersebut berlangsung di Dewan Sivik Kijal dengan mengikut peraturan pencegahan penularan wabak Covid-19 yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Di akhir ucapannya, Ahli Parlimen Kemaman itu juga menyeru agar semua rakyat Kemaman mendaftarkan diri untuk divaksinasikan dengan vaksin anti Covid-19 oleh kerajaan.
06 May 21
1471
Besut Mungkin Dikenakan PKP
Besut Mungkin Dikenakan PKP
BESUT, 5 Mei - Situasi pandemik COVID-19 besut yang menunjukkan ‘trend’ peningkatan kes secara berterusan memungkinkan daerah itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, ia dijangka akan diumumkan pada Jumaat ini berikutan penularan COVID-19 di hampir kesemua mukim. Justeru itu katanya, penduduk diminta bersabar bagi menghadapi kemungkinan PKP sekali lagi dari 7 hingga 21 Mei menerusi pengumuman rasmi yang bakal dibuat.  "Laluan tikus yang banyak di sempadan Besut-Kelantan menyukarkan lagi pengawalan, walaupun 16 lorong tikus ditutup tetapi wujud 20 lagi laluan haram baharu. “Maka, demi untuk mengawal penularan wabak, kita tiada justifikasi dan hujah yang kuat lagi untuk mempertahankan agar tidak diadakan PKP di seluruh Besut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya hari ini. Tambahnya, sehingga hari ini sebanyak tujuh kematian direkodkan di daerah berkenaan di samping empat pesakit yang dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU). Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, tiga bazar Ramadan dikenal pasti terlibat dalam penularan COVID-19 diikuti sebuah bank dan beberapa fasiliti kesihatan. Berdasarkan infografik di Facebook Jabatan Kesihatan negeri, sebanyak 176 kes COVID-19 direkodkan di Besut sehingga semalam dengan enam daripada keseluruhan lapan kluster membabitkan daerah berkenaan.
05 May 21
3812
1,500 pelajar UMT bakal pulang beraya
1,500 pelajar UMT bakal pulang beraya
KUALA NERUS, 5 Mei - Seramai 1,500 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dijadualkan pulang ke rumah masing-masing sempena sambutan Aidilfitri bermula Jumaat ini hingga 12 Mei. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Dr. Hafiz Zakariya berkata, daripada jumlah itu kira-kira 600 pelajar akan mengunakan perkhidmatan bas yang diuruskan universiti berkenaan. “Manakala baki 900 pelajar lagi pulang dengan kenderaan sendiri di samping dijemput ahli keluarga di kampus. “Bagi yang menaiki bas, segala maklumat tentang destinasi dan waktu perjalanan sudah dimaklumkan kepada mereka,” katanya Dalam perkembangan sama, Hafiz meminta para pelajar yang pulang berhari raya agar mengisi maklumat dalam aplikasi My3K setibanya di rumah masing-masing di samping semasa mendaftar masuk semula ke kampus mulai 16 hingga 20 Mei. Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan pihak universiti membuat analisis risiko sekali gus mencegah penularan Covid-19. “Semoga anak-anak selamat sampai ke destinasi mereka dan patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) serta nasihat kesihatan yang ditetapkan ketika berhari raya bersama keluarga,” katanya  
05 May 21
366
Anak Muda Diseru Sertai Pencalonan Anugerah Belia Terengganu
Anak Muda Diseru Sertai Pencalonan Anugerah Belia Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Belia dan beliawanis dalam negeri ini dipelawa untuk mendaftar dan menyertai pencalonan Anugerah Khas Belia Terengganu 2021 bermula 6 Mei. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, anugerah yang menawarkan hadiah terkumpul sehingga RM20,000 itu membabitkan lima kategori bagi mengiktiraf kemampuan anak kelahiran Terengganu. “Antara kategori tersebut adalah Anugerah Usahawan Belia Terengganu, Anugerah Belia Tani, Anugerah Sukarelawan, Anugerah Pemimpin Muda Terengganu (15 hingga 25 tahun) dan Anugerah Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu. “Sebaik pendaftaran dibuka, borang penyertaan boleh dimuat turun dan diisi secara atas di  www.beliaterengganu.org.my bermula 6 sehingga 20 Mei 2021. “Untuk pengetahuan, program ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) & Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT),” katanya. Beliau berkata demikian semasa Sidang Hebahan Program tersebut di Permai Hotel, malam semalam. Tambah Wan Sukairi, program tersebut mula diperkenalkan di peringkat negeri pada tahun 2019 bagi menghargai kumpulan belia dan beliawanis di dalam kategori Usahawan, Asas Tani, Permata dan Sukarelawan. “Pada tahun 2021, anugerah tersebut terus dikekalkan dengan penambahan bagi kategori khas ADUN Belia Terengganu. “Selain itu, ia juga meraikan kejayaan belia dan beliawanis yang menunjukkan potensi diri yang cemerlang serta menunjukkan kepada masyarakat mengenai sumbangan belia ke arah meningkatkan pembangunan belia,” jelasnya. Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.beliaterengganu.org.my atau talian Whatsapp di 09-624 2200.
05 May 21
419
Bantuan RM1,000 Untuk Mangsa Banjir
Bantuan RM1,000 Untuk Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Mangsa banjir di Terengganu terus mendapat bantuan kewangan berjumlah RM1,000 bagi mengurangkan beban yang ditanggung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, walaupun agak terlewat bantuan banjir diberi tetapi pihaknya akan cuba membantu dari segi kewangan mahupun prasarana. "Kali ini sebanyak RM500 daripada kerajaan persekutuan dan RM500 daripada kerajaan negeri, jadi sebanyak RM1,000 akan diterima seorang yang melibatkan 500 buah rumah mangsa banjir di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang," katanya. Tengku Hassan berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Banjir di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Turut hadir Penghulu Kanan Mukim Bandar Wan Abd. Halim dan Pegawai APM, Kapten Wan Shukri Abdullah. Menurut Tengku Hassan, longkang-longkang dan parit tali air turut dibaik pulih agar saliran di dalam DUN berkenaan tidak bertakung. "Kita tidak mahu hujan yang seketika sahaja berlaku boleh menyebabkan banyak kerosakan pada perabut, tilam dan barang-barang yang terpaksa dibuang begitu saja sebab sudah tidak boleh digunakan lagi," jelasnya.
04 May 21
419
Anak Kemaman Pembawa Jalur Gemilang Di Olimpik Tokyo 2021
Anak Kemaman Pembawa Jalur Gemilang Di Olimpik Tokyo 2021
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Jaguh memanah kelahiran Terengganu, Khairul Anwar Mohamad mencatatkan sejarah baharu sebagai pembawa bendera jalur gemilang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada Julai akan datang. Anak jati Kemaman itu akan bersama pemain badminton beregu campuran, Goh Liu Yang, menampilkan dua pembawa bendera negara buat kali pertama sepertimana diumumkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Isnin lalu. Khairul menyifatkan ia merupakan satu penghormatan buatnya dan beliau gembira dan berterima kasih kepada Lembaga Eksekutif MOM atas penghormatan dan kepercayaan tersebut. "Ia akan menjadi pemangkin semangat kepada saya semasa di pentas Olimpik nanti. "Daripada segi persiapan untuk Olimpik, program latihan saya di Bukit Jalil berjalan lancar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Khairul Anuar, 29, dari Kampung Pasir Gajah, yang bertanding sebagai pemanah recurve merupakan warga Terengganu kedua diberikan penghormatan tersebut setelah digalas oleh jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizul Hasni Awang di Beijing 2008. Sebelumnya, beliau yang juga merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Memanah Dunia 2019 akan menyasarkan kedudukan podium bagi acaranya di Olimpik selepas menyertai London 2012 dan Rio 2016. Tahun lepas, sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort, Khairul Anuar dan Azizulhasni Awang menerima insentif 'Olympian' sebanyak RM100,000 seorang. "Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dalam inisiatif terhadap atlet olimpik ini, saya boleh cakap buat kali pertama saya mendapat bantuan bernilai tinggi sebegini. "Harapan saya upaya seluruh warga Terengganu dan Malaysia terus menyokong atlet Malaysia yang akan bertanding, tidak mengira sukan atau latar belakang," katanya.  
04 May 21
1645