Artikel "Semasa" Terkini
3 Tahun Mentadbir, 70 Peratus Manifesto Dilaksana
KUALA TERENGGANU, 10 Mei – Sempena genap tiga tahun pentadbiran Kerajaan Terengganu hari ini, pelbagai kejayaan dicapai termasuk pelaksanaan 70 peratus manifesto iaitu 14 daripada 20 janji dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tanggal 10 Mei ini sangat penting untuk menyemak dan meraikan pelbagai pencapaian seterusnya melonjakkan kejayaan untuk tahun-tahun berikutnya.
“Alhamdulillah, dalam masa 3 tahun, sebanyak 70 peratus manifesto telah dilaksanakan.
“Malah, melalui Jawatankuasa Induk Manifesto Negeri Terengganu, meletakkan sehingga akhir tahun 2021 ini, tambahan 4 lagi agenda manifesto akan dilaksanakan, menjadikan jumlahnya 18 daripada 20 manifesto atau 90 peratus,” jelasnya dalam Perutusan Khas Sempena 3 Tahun Pentadbiran Kerajaan Terengganu.
Ujar Ahmad Samsuri, walaupun dalam keadaan suasana ekonomi yang mencabar, dan wabak pandemik COVID-19 yang ada, kerajaan negeri tetap berusaha untuk menunaikan janji yang telah diberikan kepada rakyat.
“Langkahan yang telah kita bina selama 3 tahun ini, akan terus kita pacu secara bersama, untuk masa hadapan Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera. Namun, harus kita sedari, bahawa kita berada pada zaman yang sukar, dan berbeza dari sebelum ini.
“Oleh kerana itu, corak pentadbiran kerajaan negeri juga, perlu mengikut realiti zaman yang ada, terutamanya ketika berhadapan dengan rakyat yang semakin kompleks. Penglibatan rakyat, NGO, kumpulan sasar tertentu akan menjadi antara penanda aras, dalam mendapatkan apa jua maklum balas untuk pertimbangan kerajaan.
“Kerajaan Negeri Terengganu, mesti bergerak seiring dengan keadaan semasa, dan perkembangan perubahan yang berlaku. InsyaAllah, dengan kerjasama semua pihak, bermula dari pihak atas hingga rakyat, kita mampu memberikan masa depan yang baik, untuk negeri Terengganu,” tambah beliau.
10 May 21
741
Dua Loji Air Di Marang Jangka Selesai Masalah Air Sebelum Aidilfitri Ini
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Lebih 7,000 pengguna akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Marang yang sebelum ini kerap kali berdepan dengan tekanan air rendah bakal pulih sepenuhnya sebaik Loji Air Pengkalan Berangan dan Loji Air Pasir Tinggi dijangka dapat beroperasi sebelum menjelang Aidilfitri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, dua loji itu sebelum ini berada di Kampung Pulau Bahagia, Manir dipindahkan ke kawasan itu pada awal April lalu berikutan penduduk Manir dan beberapa kawasan berdekatan sudah menerima loji lebih besar .
Katanya, Loji Air Pengkalan Berangan mampu menampung 3,000 juta liter padu (MLD) air untuk dibekalkan air bersih kepada 3,000 isi rumah dan Loji Air Pasir Tinggi pula berupaya menyalurkan 5,000 MLD air kepada 5,000 pengguna bekalan air pada satu-satu masa.
“Berdasarkan rekod, kampung yang bakal menerima manfaat adalah Kampung (Kg) Bukit Jetit, Kg Tasek, Kg Kubu, Kg Alor Wan Syed, Kg. Pengkalan Berangan, dan Kg Tanjung Belor.
“Mereka yang tinggal di Kg Tiruk, Kg Pasir Tinggi, Kg Pantai Ali, Kg Nyut-Nyut, Kg Padang Limau Nipis, Kg Padang Kacong, Kg Padang Pak Wan dan Kg Pak Madah turut mendapat kesan yang sama,” katanya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Menurutnya, kawasan itu sebelum ini mendapat sumber air daripada Loji Air Kepong 2, memandangkan jaraknya agak jauh selain kebanyakan rumah berada di kawasan berbukit, menjadi antara punca penduduk kerap kali berdepan dengan tekanan air rendah.
“Sepatutnya penduduk di kawasan itu mendapat bekalan air lebih awal, disebabkan terdapat masalah teknikal dan berdepan dengan kekangan kakitangan yang bertugas, pihaknya memberi jaminan bekalan air yang lebih sempurna sebelum Aidilfitri ini,” katanya.
10 May 21
892
Terengganu Salur RM520,000 Untuk Pemandu Teksi, Pekerja Syarikat Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Kesempitan hidup 408 pemandu teksi serta lebih 1,300 pekerja di 141 syarikat agensi pengendalian dan pengembaraan pelancongan di Terengganu yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 terus mendapat perhatian kerajaan negeri.
Hari ini, sebahagian daripada mereka mula menerima bantuan wang tunai RM300 seorang hasil insentif khas Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) 2.0 bagi sektor pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, lebih RM520,000 disalurkan melalui insentif khas itu yang diharap dapat meringankan beban kewangan mereka terutama dalam membuat persiapan terakhir menyambut Aidilfitri.
"Bantuan ini akan disalurkan kepada semua penerima yang layak secara berperingkat dan akan dimasukkan terus ke akaun masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu kepada wakil pemandu teksi dan pemilik syarikat agensi pelancongan yang terpilih di sini hari ini.
Pada Februari lepas, kerajaan negeri menyalurkan bantuan Berkat sektor pelancongan 1.0 sebanyak RM150,200 untuk pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pemandu pelancong bandar dan alam semula jadi, pengayuh beca, pengusaha bot penambang, pemandu bot laju, pengusaha rumah bot Tasik Kenyir serta malim gunung.
Sementara itu, beberapa pemandu teksi yang ditemui Bernama menzahirkan rasa syukur dengan bantuan tersebut kerana dapat menggunakannya untuk membeli barangan keperluan dapur untuk musim perayaan tidak lama lagi.
Ahmad Che Noh, 67 berkata, pendapatan sebagai pemandu teksi merosot teruk kerana kedatangan pelancong tidak lagi meriah seperti sebelum berlakunya pandemik COVID-19.
"Nak dapat RM10 sehari pun susah. Ada hari tertentu satu sen pun tak dapat tapi kita faham sekarang ini musim pandemik. Semua yang terlibat dalam industri pelancongan pun terkesan teruk.
"Mujurlah kerajaan negeri prihatin dengan nasib kami beri sumbangan ini. Terima kasih juga kepada kerajaan pusat kerana beri RM500 kepada pemandu teksi pada awal tahun ini. Semua bantuan ini melegakan sedikit bebanan kami," katanya yang mula mencari rezeki sebagai pemandu teksi sejak 1994.
Bagi pemilik syarikat pengangkutan Sri Bumi Holidays, Nor Umirah Nordin, 30, sumbangan kerajaan negeri itu dapat mengukir senyuman untuk enam pekerjanya menjelang Aidiltri kali ini.
"Syarikat kami memiliki sebuah bas, empat van dan 10 kereta sewa yang berkolaborasi dengan pengusaha resort dan chalet di pulau-pulau peranginan seluruh Terengganu.
"Namun, pandemik memberi tamparan yang sangat hebat kerana pendapatan syarikat merudum teruk hingga 90 peratus. Sebelum ini, tempahan pelanggan lebih 20 pakej setiap hari namun sekarang nak dapat satu tempahan pun susah. Syarikat terpaksa beralih kepada penghantaran barangan untuk kelangsungan operasi sejak tahun lepas," katanya. - BERNAMA
10 May 21
295
Pelita Raya Kampung Budaya 'Terpadam', Sambutan Masih Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 di Kampung Budaya, Muzium negeri terpaksa menutup tirai awal semalam berbanding tarikh asal iaitu 11 Mei selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga 6 Jun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan tersebut mengambil kira pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan keadaan penularan COVID-19 yang meningkat, baru-baru ini.
“Namun begitu, hasil ‘walkabout’ menyaksikan sambutan sepanjang program amat luar biasa dengan had pengunjung 300 orang pada satu-satu masa dan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard oleh penganjur ke atas pengunjung.
“Pihak kami tidak merasa kesal malah menyambut baik sekatan penularan untuk kebaikan kita semua,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam.
Sementara itu, keputusan pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 kategori daerah dan atas-talian akan diumumkan selepas hari raya.
Ketika bertanya tentang konsep penganjuran tersebut, Ariffin menjelaskan, pelita raya melambangkan suasana lebih 50 tahun dahulu yang tiada elektrik.
“Kebanyakan rumah guna pelita dan apabila masuk malam tujuh likur Ramadan, cahaya api menerangi laluan sepertimana asas dilakukan orang terdahulu.
“Penganjuran di Kampung Budaya juga adalah unik kerana suasana budaya dan rumah-rumah lama ditambah seri dengan cahaya pelita menggamit suasana tradisional,” tambahnya.
10 May 21
1243
Air Percuma Diperluas Kepada Seluruh Rakyat Sempena Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Kerajaan negeri bersetuju untuk memperluaskan pemberian air percuma kepada seluruh rakyat Terengganu sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar berkata, air percuma sebanyak 20 meter padu pertama itu melibatkan perbelanjaan berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan bermula 1 Mei hingga 31 Mei 2021.
"Ia bagi membantu rakyat negeri ini menghadapi suasana hari raya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta dalam situasi pandemik COVID-19.
"Pemberian air percuma ini akan memberi manfaat kepada lebih 1.33 juta rakyat," katanya melalui Facebook rasminya, sebentar tadi.
Menurut beliau, sebelum ini, Kerajaan Negeri telah pun memberikan bekalan air percuma 20 meter padu kepada penerima bantuan eKasih, Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak 2019.
"Inisiatif ini diharapkan dapat meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak COVID-19 yang melanda dan sebagai tanda simpati serta prihatin kerajaan terutama di musim perayaan tahun ini," jelasnya.
09 May 21
689
Gelombang COVID-19 Terengganu Lebih Besar Berbanding Tahun Lepas
BESUT, 9 Mei – Gelombang terbaru COVID-19 di Terengganu pada tahun ini menunjukkan trend peningkatan lebih parah berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) pada Mac tahun lepas.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, situasi membimbangkan di Besut dengan peningkatan kes tinggi merebakkan penularan lebih meluas berbanding gelombang sebelumnya.
“Bilangan kes positif Covid-19 yang direkodkan di Besut pada hari ini cukup tinggi dengan 45 kes berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 71 kes.
“Sekiranya perkara ini tidak dibendung, pergerakan kes positif Covid-19 akan berhijrah ke daerah terdekat seperti Setiu, yang kini turut mencatatkan pertambahan jangkitan dalam tempoh beberapa hari lepas.
“Paling menakutkan jika Covid-19 menular ke seluruh daerah di Terengganu, jadi saya merayu rakyat agar mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, Terengganu akan menjadi seperti negeri lain jika kes melonjak tinggi sehingga berlarutan berbulan-bulan menjadikan kawalan penularan sukar diturunkan.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu-Kelantan, semalam.
Sementara itu, Ahmad Samsuri turut menyuarakan kerisauan terhadap peningkatan jumlah kenderaan masuk ke Terengganu menjelang Aidilfitri.
“Ini amat dikhuatiri akan cetuskan pertambahan kes positif virus terutama jika pergerakkan berasal dari zon merah,” jelasnya.
09 May 21
911
Amalkan SOP, Jangan Sia-siakan PKP
BESUT, 9 Mei – Keadaan terkini penularan COVID-19 di Besut menggambarkan situasi membimbangkan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai salah satu usaha kawalan dan pencegahan wabak yang lebih teruk.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, kadar insiden adalah tinggi dengan 117 kes bagi 100,000 penduduk dengan 16 kes keseluruhan kematian dalam negeri, 8 daripada jumlah itu adalah penduduk Besut.
Justeru itu, beliau menasihati seluruh rakyat Terengganu aga mengikuti had pergerakan dan mengelak aktiviti perkumpulan dalam jumlah yang ramai.
“Sesungguhnya PKP akan gagal jika hanya rentas negeri atau daerah yang diambil berat, sedangkan rakyat masih berhimpun dan bebas bergerak ke sana sini.
“Tambah lagi jika tiada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemakaian topeng pelitup muka dan amalan kebersihan tangan, usaha PKP kita akan jadi sia-sia.
“PKP hanya akan berjaya jika setiap orang amalkan kawalan kendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, semalam.
Sebelumnya, PKP telah dikuatkuasakan di Besut selama 14 hari bermula 7 sehingga 20 Mei.
“Mereka yang meninggal dunia ini datang ke hospital dalam keadaan sudah tenat. Empat pesakit warga Besut sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dengan bantuan alat pernafasan.
“Setiap hari puluhan kes positif virus dicatatkan di daerah itu, dengan peningkatan terbaru sebanyak 47 kes semalam.
“Sebanyak lapan kluster aktif sedang menular di Besut dengan paling besar iaitu Kluster D'Lahar dan Kuster Tok Has yang melaporkan ratusan kes positif,” tambahnya.
Untuk rekod, 71 kes baharu COVID-19 dalam negeri direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 4,799 kes.
09 May 21
184
Rentas Negeri, Daerah Dilarang Bermula 10 Mei
KUALA LUMPUR, 8 Mei - Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan, bermula 10 Mei hingga 6 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam dalam tempoh itu dilarang.
"Ini termasuk aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan serta swasta.
"Bagaimanapun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
08 May 21
874
OIC, Liga Arab Digesa Bertindak Tegas Terhadap Israel
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Semua pihak dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan seluruh dunia Islam perlu mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, pihak berkuasa juga disaran untuk membela umat Islam di Masjid al-Aqsa yang menjadi mangsa tentera zionis
“Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan biadap rejim Zionis Israel ke atas umat Islam di Masjid al-Aqsa sehingga mencederakan lebih 178 orang rakyat Palestin yang sedang berkumpul di perkarangan masjid.
“Mereka bertindak biadap dengan melemparkan bom tangan dan bom asap, malah melakukan serangan dengan menembak para jemaah di dalam Masjid al-Aqsa menggunakan peluru getah.
“Tentera rejim Zionis Israel juga turut menahan ramai jemaah Masjid al-Aqsa dan penduduk Palestin yang berlindung di dalam mahupun di pekarangan Masjid al-Aqsa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Presiden PAS itu berkata, tindakan biadap itu sangat tidak berperikemanusiaan dan menambah luka umat Islam tatkala sedang menunaikan solat serta beribadat di penghujung Ramadan.
“Ketegangan semakin memuncak sejak beberapa hari lalu dengan pertengkaran hampir setiap hari mengenai ancaman Israel terhadap pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka dan tangkapan beberapa orang rakyat Palestin serta serangan yang dilancarkan di perkampungan Sheikh Jarrah,” ujarnya.
Melihat perkembangan itu, beliau menyeru seluruh umat Islam bermunajat kepada Allah SWT untuk kesejahteraan umat Islam dan meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita di bumi al-Quds.
08 May 21
326
PKP Besut : Semua Pihak Digesa Patuhi SOP
BESUT, 8 Mei – Semua pihak digesa untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar penularan COVID-19 di daerah ini dapat dibendung dengan segera.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pengisytiharan PKP di seluruh Besut kecuali di Mukim Hulu Besut menggambarkan situasi yang agak cemas.
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut itu, peningkatan ketara kes positif pandemik berkenaan adalah sesuatu yang merisaukan rakyat.
“PAS Kawasan Besut sangat berharap agar rakyat di parlimen Besut mengikuti dan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.
“Pematuhan terhadap SOP harus dijaga oleh semua pihak. Kawalan pergerakan dan penjarakan sosial sangat mustahak di samping penggunaan ‘hand sanitizer’ dan pelitup muka,” katanya kepada UPDI hari ini.
Menurutnya, jika penetapan angka oleh pihak KKM tidak berubah dan meningkat maka Besut akan kekal dengan zon merah.
“Bagi zon merah (41 kes dan ke atas), Zon Jingga (20-40 kes), Zon Kuning (1-19 kes) dan Zon Hijau (0 kes), maka di hari pertama PKP di Besut kita berada di zon merah dengan 47 kes baharu di samping kes aktif (229), jumlah sembuh (948), jumlah kematian (8) dan kumulatif kes (1,185).
“Saya menyeru semua pihak mengambil berat soal pematuhan SOP. Kita bimbang peningkatan kes ini semakin memuncak.
“Tidak mustahil jika keadaan semakin serius beberapa kemudahan akan ditarik balik termasuk keizinan untuk solat Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.
08 May 21
290