lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

SST : Shahidan Minta PM Bersumpah
SST : Shahidan Minta PM Bersumpah
SETIU, 22 Jun - Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim meminta Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim  bersumpah  bahawa kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan menaikkan harga barangan. Katanya, kegagalan seorang pemimpin menunaikan janji, khususnya yang dibuat secara terbuka adalah sesuatu yang amat tidak wajar kerana mencerminkan kelemahan integriti kepimpinan. Ujar beliau, seorang pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan baik dengan berpegang teguh kepada janji, bukannya menjadikan isu sebagai modal politik semata-mata. "Perdana Menteri (PMX) perlu bersumpah dengan nama Allah bahawa tiada sebarang kenaikan harga barang berkaitan pelaksanaan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 Julai ini. "Jika tidak, ia hanya tinggal janji kosong kerana kita perlu bertanggungjawab dari sudut hukum," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu kali ke-47 di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, pada semalam. Menurut beliau, dalam Islam janji adalah amanah dan tidak boleh dimain-mainkan. “Kalau orang Islam sendiri berani buat janji secara terbuka, tetapi tidak tunaikan itu amat mengecewakan.  “Nanti orang bukan Islam pun tak akan hormat pada kita. Orang Islam sendiri pun sudah tidak peduli. Bersumpah, Anwar, tak jadi (laksanakan),” tegas beliau. Mengulas isu kemungkinan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan mungkin menggantikannya dengan pelaksanaan SST secara menyeluruh, walaupun sebelum ini menolak GST atas alasan ia membebankan rakyat. "Kalau kerajaan melaksanakan GST secara menyeluruh, maka SST ini akan digantikan sepenuhnya, jika itu yang cuba dipertahankan mereka. "Seluruh dunia menggunakan GST, tetapi sekarang mereka mungkin kata mahu perkenalkannya secara berperingkat atau ditangguhkan dahulu. "Saya pun tak pasti, apa sebenarnya yang dimaksudkan 'General Service Tax' atau 'Goods and Services Tax'?" soalnya secara sinis.
22 Jun 25
111
RM2 Juta Pulih Sekayu, Bakal Beroperasi Pada Julai
RM2 Juta Pulih Sekayu, Bakal Beroperasi Pada Julai
HULU TERENGGANU, 22 Jun – Taman Pertanian Negeri Sekayu yang pernah menjadi ikon pelancongan Terengganu kini dalam fasa kebangkitan semula selepas menerima peruntukan pemulihan berjumlah RM2 juta, dan dijangka kembali dibuka kepada pengunjung seawal Julai ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata proses baik pulih dilaksana secara berperingkat ekoran kerosakan teruk yang berlaku akibat banjir besar, gangguan gajah liar dan fenomena kepala air pada tahun 2022. "Pagi ini, saya bersama Pengarah Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail turun ke lokasi meninjau usaha pemulihan taman yang pernah menjadi tumpuan seluruh negara. "Taman ini pernah gemilang, namun kini sunyi dan rosak akibat bencana alam.  "Kita mulakan semula dengan bajet yang terhad," katanya kepada pemberita ketika lawatan ke Taman Petanian Negeri Sekayu, di sini hari ini. Menurutnya, kerja pemulihan tidak dijalankan secara menyeluruh sekali gus, sebaliknya dilakukan secara bertahap dengan penglibatan pelbagai jabatan dan komuniti tempatan. "Setakat ini, lebih RM2 juta disalurkan untuk membaik pulih kawasan-kawasan utama. "Saya berterima kasih kepada Pejabat ADUN Telemong, JKR, Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan semua agensi yang mengambil kawasan angkat untuk dijaga dan diceriakan semula," jelasnya. Tambah beliau, dalam tempoh setahun ini, banyak perubahan ketara telah dicapai hasil semangat gotong-royong dan komitmen semua pihak. "Taman tema air di sini sangat unik kerana menggunakan air semula jadi yang mengalir secara graviti tanpa pam. "Kita juga ada pelbagai spesies pokok buah, tapak perkhemahan dan kemudahan aktiviti outdoor yang mampu tarik pengunjung," tambahnya. Beliau memaklumkan kadar bayaran masuk masih dalam pertimbangan, namun ia dijamin sangat rendah dan tidak membebankan. "Bayaran masuk belum ditentukan, tapi kalau ada pun hanya bayaran minimum seperti parkir. "Jangan risau soal bayaran, keindahan taman ini jauh lebih berharga daripada harganya," ujarnya.  
22 Jun 25
2777
PHB Buka Peluang 300 Juta Unit AHB Untuk Warga Terengganu
PHB Buka Peluang 300 Juta Unit AHB Untuk Warga Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Penaja Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) telah mengumumkan pembukaan sebanyak 300 juta unit AHB, mulai hari ini. Pengerusi PHB, Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda berkata pembukaan itu boleh dilanggan oleh pelabur bumiputera di seluruh negara, khususnya di wilayah Pantai Timur. "300 juta unit AHB ini merupakan peluang terbaik bagi Bumiputera, untuk menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan mereka dengan risiko yang rendah serta disokong oleh aset hartanah sebenar. "Sebagai penaja kepada AHB, saya berbesar hati untuk berkongsi sedikit maklumat bahawa sehingga hari ini AHB telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 82,000 pelabur individu Bumiputera dan sekitar 19 institusi pelaburan Bumiputera. "Setiap pelabur ini memiliki pegangan unit dalam hartanah strategik yang menjana pendapatan sewaan tetap dan pemilikan benefisial hartanah komersial bernilai tinggi," katanya ketika sembah ucapan dalam majlis perasmian pusat beli-belah Mayang Mall, semalam. Menurut Tan Sri Arshad, sejak pelancarannya pada tahun 2010, sebanyak RM2.32 bilion pendapatan telah diagihkan kepada pelabur AHB. Mengulas lebih lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHB, Mohamad Damshal Awang Damit menjelaskan pembukaan sedia ada itu ditujukan kepada individu yang berminat untuk melanggan pelaburan tersebut. "Sempena majlis perasmian Mayang Mall pada hari ini, kami akan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu (untuk melanggan AHB). "Untuk makluman, individu Terengganu yang melanggan kepada AHB secara kasarnya lebih dalam 2800 orang. Keseluruhan pelaburan dalam Terengganu lebih kurang 200 juta, jadi ianya amat membanggakan.  "Walaupun baru buka hari ini, respon dalam pembukaan akaun amat tinggi. Beliau berkata demikian kepada pihak media dalam satu sesi sidang media selepas majlis perasmian itu tadi. "Pada hari ini, kami memperkenalkan MyAHB, satu aplikasi baharu dimana individu atau pelabur yang baru boleh melabur secara 'direct' kepada PHB melalui MyAHB. "Ianya merupakan satu perkhidmatan digital yang kami sediakan kepada pelabur individu AHB," tambahnya. Bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat pendaftaran dan mengetahui lebih lanjut mengenai AHB, reruai AHB telah dibuka di Mayang Mall pada 19 Jun hingga 28 Jun 2025. Untuk makluman, AHB adalah unit amanah patuh syariah pertama di Malaysia, diuruskan oleh PHB yang dilancarkan pada 29 November 2010 dengan permulaan 1 bilion unit.
22 Jun 25
858
Usaha Berbaloi: Pelajar Cemerlang Terima Pengiktirafan
Usaha Berbaloi: Pelajar Cemerlang Terima Pengiktirafan
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Seramai 159 pelajar cemerlang diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 Peringkat DUN Batu Buruk yang berlangsung baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi melahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar atas kejayaan yang dicapai pada SPM 2024 tersebut. "Pencapaian ini sebagai hasil daripada usaha gigih, doa, tawakal dan keberkatan ilmu yang dicari dengan keikhlasan. "Kejayaan ini bukan untuk dibanggakan semata-mata, tetapi digunakan untuk berbakti kepada keluarga, masyarakat dan agama. Cemerlang di dunia biarlah menjadi jambatan menuju akhirat,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bertempat di Dewan Terengganu Equestrian Resort (TER) baru-baru ini. Majlis tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Buruk. Dr. Khalil berkata bahawa ilmu adalah jalan yang mendekatkan diri kepada Allah, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud sesiapa menempuh jalan mencari ilmu, Allah permudahkan baginya jalan ke syurga. "Majlis ini turut memperkukuh komitmen DUN Batu Buruk dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berbakti. "Seiring dengan aspirasi “Batu Buruk Sejahtera” dan visi negeri Terengganu ke arah Terengganu Maju Berkat Sejahtera," ujarnya.
22 Jun 25
28
Lebih 350 Peserta Sertai Kejohanan Badminton Piala MB
Lebih 350 Peserta Sertai Kejohanan Badminton Piala MB
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu berlangsung dengan penuh meriah apabila berjaya menarik penyertaan seramai 350 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat. Program tersebut telah dianjurkan oleh Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT) merangkumi lima kategori iaitu 'Open', 'Novis C', Bawah 15 Tahun (U15), Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 9 Tahun (U9). Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejohanan berkenaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam menjayakan program Sukan Untuk Semua (SUS) yang bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia ke arah negara bersukan. “Malah, kejohanan ini bukan sekadar satu acara sukan semata-mata, bahkan menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta mencungkil bakat-bakat baharu khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Negeri, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ab Rasid Jusoh dan Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin. Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut menyatakan bahawa sambutan hangat rakyat Terengganu terhadap kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu membuktikan sukan badminton mempunyai kelompok peminat tersendiri di negeri ini. “Saya percaya program seperti ini memberi impak langsung kepada pembangunan sukan dari peringkat akar umbi dan menjadi platform terbaik untuk melahirkan atlet masa depan dari Negeri Terengganu yang mampu mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa,” katanya.
22 Jun 25
407
Produk Tradisional Terengganu Gamit Senyuman Sultan Mizan
Produk Tradisional Terengganu Gamit Senyuman Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli meluangkan masa sehingga satu jam setengah meneliti hasil buatan tangan tradisional yang dipamerkan dalam karnival sempena Sambutan Dua Dekad Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), hari ini. Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda iaitu Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Seri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja melawat semua reruai yang ada. Antara pameran yang menjadi tumpuan Baginda tentunya produk tradisional seperti peralatan seni keris, batik, songket, ukiran kayu dan anyaman kercut. Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Nara Setia, serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato' Mohd Fadzli Yusof pada jam 3.00 petang. Sebaik tiba, Sultan Mizan bersama Sultanah dan paduka-paduka anakanda berkenan mencemar duli meluangkan masa kira-kira 15 minit bagi menyaksikan pameran bergerak gajah asia, salah satu aktiviti yang diwujudkan dalam karnival itu. Pameran berkenaan adalah satu inisiatif YDSM bersama Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) bagi menjelajah komuniti untuk menyemai kesedaran dan kasih sayang terhadap penjaga rimba negara itu. Seterusnya, Tuanku berkenan melawat tarikan utama karnival yang menampilkan pameran produk usahawan-usahawan bimbingan YDSM. Pada jam 4.45 petang, Tuanku berkenan menyempurnakan Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Dua Dekad YDSM yang dihadiri pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri. Sultan Mizan, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu bersama paduka-paduka anakanda berangkat pulang pada jam 5.30 petang.  
22 Jun 25
1190
PHB Nyata Hasrat Untuk Terus Melabur Di Terengganu
PHB Nyata Hasrat Untuk Terus Melabur Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengesahkan komitmen jangka panjangnya untuk melabur di pantai timur, khususnya di Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata kenyataan itu adalah sorotan daripada pembukaan Mayang mall, bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan portfolio hartanah syarikat di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Pahang. Menurutnya, Mayang Mall dengan jumlah pelaburan melebihi RM400 juta bukan sekadar pusat beli-belah, malah simbol kepada pembukaan peluang pelaburan strategik PHB di wilayah pantai timur. "Bukan hanya tertumpu kepada pusat beli-belah, kita akan tengok pendidikan dan juga 'healthcare' di Terengganu. Sebab kami melihat Terengganu ini banyak potensi terutamanya dari segi pendidikan dan 'healthcare'. "Memang ada kami telah membuat perbincangan secara formal dengan beberapa institusi korporat dan pendidikan di Terengganu. Tetapi ianya masih di tahap perbincangan.  "Tapi insya-Allah kami yakin ia akan membuahkan hasil perkongsian perniagaan yang berdaya maju dan kolaborasi yang lebih berjangka panjang," katanya. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pelaburan Hartanah Berhad, Mohamad Damshal Awang Damit Sebagai syarikat pengurus amanah hartanah untuk Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), PHB juga optimis pelaburan di Terengganu akan memberikan pulangan jangka panjang kepada para pelabur, khususnya rakyat negeri itu yang melabur dalam AHB. "Istimewanya, kami bukan sahaja menawarkan unit 'trust' AHB, tetapi kami akan berusaha keras untuk dapatkan pelaburan di Terengganu. "Rakyat Terengganu yang melabur dalam AHB akan dapat merasai hasil daripada pembangunan aset di negeri mereka sendiri.  "Meskipun ia mengambil masa, usaha ke arah pelaburan tersebut telah pun dimulakan. Beliau yang juga merupakan mantan Pengarah Eksekutif (Pelaburan) LembagaTabung Haji (TH) berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media yang bertempat di Mayang Mall, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Damshal turut menjelaskan bahawa pihaknya hanya akan menumpukan fokus kepada hartanah komersial seperti pembangunan kediaman. "Kami tidak masuk dalam industri perhotelan, kami lebih kepada 'commercial property' tetapi dari segi 'living quarters' yang berkaitan dengan penempatan, kemungkinan kita juga boleh masuk dalam kuarters pekerja ataupun penginapan pelajar.  "Tetapi bukan hotel," ujarnya.
22 Jun 25
1752
Fatwa SIS : Semua Negeri Mesti Bersatu – Dr. Khalil
Fatwa SIS : Semua Negeri Mesti Bersatu – Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kerajaan Terengganu menggesa semua negeri di Malaysia bersatu mempertahankan akidah umat Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia yang dilihat membuka ruang kepada penyebaran fahaman sesat melalui institusi yang berselindung atas nama Islam.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan keputusan tersebut sebagai cabaran besar kepada usaha negeri dalam mengekang ideologi liberalisme dan pluralisme agama. Beliau turut menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan fatwa terhadap fahaman liberalisme dan pluralisme agama.  "Kami menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan status fatwa bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. "Ia juga mengesahkan bahawa ia sah dari sudut perlembagaan dalam konteks kuasa negeri seperti termaktub dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini. Namun, beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila mahkamah memutuskan bahawa fatwa itu hanya terpakai ke atas individu dan bukan terhadap pertubuhan seperti SIS Forum Malaysia.  "Kerajaan Negeri Terengganu berkongsi rasa dukacita sebagaimana dizahirkan oleh DYMM Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor. "Keputusan ini boleh mengundang kekeliruan kepada masyarakat awam terhadap apa yang dikira sebagai benar dan sah menurut ajaran Islam," ujarnya. Tambah beliau, penyebaran fahaman songsang melalui pertubuhan berdaftar yang membawa nama Islam amat berbahaya dan mesti ditangani dengan tegas.  "Perkataan ‘Islam’ tidak wajar disalah guna dalam nama syarikat atau pertubuhan yang membawa agenda bertentangan dengan prinsip syariah. "Sebarang entiti sama ada individu, pertubuhan mahupun syarikat yang mengangkat fahaman ini perlu dihadapkan tindakan," tambah beliau lagi. Dr. Khalil turut menyokong pandangan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) oleh YA Hakim Dato’ Abu Bakar Jais.  "Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menilai dan memutuskan isu sebegini. "Pertubuhan yang ditadbir oleh individu Muslim tidak boleh dikecualikan daripada fatwa berkaitan," jelasnya. Beliau menyeru Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan untuk memperkukuh undang-undang serta mekanisme penguatkuasaan.  "Ini penting untuk membanteras penyebaran fahaman sesat melalui medium bukan individu. "Kerajaan Terengganu komited memartabatkan syariah Islam serta mengukuhkan dakwah dan pendidikan akidah kepada masyarakat,” tegasnya.
22 Jun 25
87
Sultan Terengganu Rasmi Mayang Mall
Sultan Terengganu Rasmi Mayang Mall
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan kompleks beli-belah Mayang Mall bertempat di Dewan Bankuet Aras 5, Mayang Mall, pagi tadi. Berangkat sama, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku  Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda. Usai majlis, Sultan Mizan bersama Sultanah Nur Zahirah, Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda berkenan untuk meninjau sekitar kompleks beli-belah itu. Bangunan yang mampu memuatkan 308 lot kedai dengan berkeluasan sebanyak 1.66 juta kaki persegi itu merupakan pusat beli-belah kedua terbesar di Terengganu, menjadi mercu tanda pembangunan yang semakin pesat di negeri tersebut. Dato' Seri Arshad berkata,  perasmian pada hari ini merupakan tanda pelaksanaan strategik PHB di Terengganu. "Kuala Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama PHB di Pantai Timur berdasarkan potensi besarnya dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan. "Kedudukan geografinya yang strategik, kemudahan infrastruktur yang serba lengkap serta bekalan modal insan yang kukuh, Kuala Terengganu mampu menjadi hab ekonomi baharu Pantai Timur. Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada majlis perasmian kompleks berkenaan, di sini, hari ini. Tambah beliau, Mayang Mall merupakan pelaburan pemangkin utama oleh PHB di Terengganu menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (Kanan) berkenan menyempurnakan gimik perasmian diiringi Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda (Kiri) "Hasil hubungan baik bersama Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan, PHB kini sedang meneroka peluang pelaburan pembangunan hartanah baharu di negeri ini, khususnya dalam sektor kesihatan dan pendidikan. "Lebih membanggakan, Mayang Mall menjadi lokasi cawangan keempat SOGO di Malaysia dan yang pertama di Pantai Timur. Cawangan ini telah memulakan operasinya di sini sejak Disember 2024. "Kehadiran SOGO, diikuti jenama-jenama terkemuka antarabangsa dan tempatan yang kami bawa khas untuk kepelbagaian pilihan serta pengalaman membeli-belah yang lancar buat para pengunjung Mayang Mall," jelasnya. Dalam pada itu, Pengerusi PHB juga menekankan potensi Mayang Mall untuk menjadi pengganda ekonomi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat negeri tersebut. "Ia termasuk dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan penawaran platform kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan pasaran mereka di dalam Mayang Mall itu sendiri," ujarnya.  
21 Jun 25
967
GLC Terengganu, EPIC Berhad Catat Peningkatan Pendapatan, Untung
GLC Terengganu, EPIC Berhad Catat Peningkatan Pendapatan, Untung
KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) mencatat prestasi cemerlang bagi tahun 2024 dengan pendapatan berjumlah RM403.8 juta, peningkatan 17.4 peratus berbanding RM344 juta pada tahun sebelumnya. Keuntungan kasar syarikat turut meningkat kepada RM164.8 juta, berbanding RM129.8 juta pada 2023, hasil kecekapan operasi dan pengurusan kos secara berhemah. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, pencapaian kewangan dan kejayaan mendapatkan kontrak baharu meletakkan EPIC di landasan kukuh untuk meneruskan pertumbuhan berdaya saing dan mampan pada tahun 2025. “Gabungan prestasi operasi, pengambilalihan strategik dan projek baharu meletakkan EPIC dalam kedudukan bersedia untuk terus menyokong ekosistem minyak dan gas negara, khususnya di Pantai Timur,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-44 EPIC Berhad yang dipengerusikan oleh Pengarah EPIC, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, mewakili Pengerusi EPIC, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Untuk rekod, meneruskan momentum tersebut, EPIC Berhad berjaya memperoleh dua kontrak utama daripada PETRONAS. Kontrak pertama adalah bagi penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pentauliahan dan Ubah Suai (MCM & HUC) Pan Malaysia untuk Pakej A2 – Aset Gas Semenanjung Malaysia dengan tempoh perjanjian selama 5+3+2 tahun. Kontrak kedua pula melibatkan pelantikan sebagai kontraktor panel kerja pembinaan dan ubah suai (CMW) bagi unit operasi hiliran PETRONAS di tiga wilayah utama iaitu Pantai Timur, Pantai Barat dan Selatan, bagi tempoh 3+1+1 tahun.
20 Jun 25
1049