Artikel "Semasa" Terkini
Wanita Mesti Cakna, Jangan Leka
KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) komited dalam usaha memperkasakan wanita negeri ini secara holistik merangkumi aspek akidah, ilmu, akhlak dan kemahiran.
Menurut Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, wanita Terengganu bukan sahaja perlu celik ilmu dan berkemahiran, malah mesti tampil sebagai pemimpin yang berprinsip dan berwibawa.
“Kita adalah pemimpin yang perlu teguh dalam memimpin.
“Wanita Terengganu sedang membangun daripada segi akidah, dan ilmunya terus berkembang melalui pelbagai program dan inisiatif di seluruh negeri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Wanita Terengganu Berinformasi yang berlangsung di Dewan PPR Hiliran, kelmarin.
Tuan Roslina turut menekankan keperluan menangani isu sosial secara serius, khususnya masalah anak luar nikah yang berlaku di dalam negeri sendiri.
“Isu ini sememangnya berlaku dalam negeri kita. Sebagai pemimpin wanita, kita tidak boleh leka. Kita perlu sentiasa proaktif dan berfikir secara serius bagaimana untuk menangani isu ini dengan berkesan,” tegas beliau.
Tambah beliau, USWa juga menekankan anjakan paradigma kepimpinan yang berteraskan prinsip dan nilai, serta memastikan hak wanita sentiasa terpelihara.
“Kerja kami adalah membangunkan wanita dan juga memastikan anjakan paradigma Terengganu berprinsip, paradigma dan berwibawa.
“Melestarikan wanita dengan pastikan hak wanita terpelihara,” ujarnya.
Menurutnya lagi, rakyat perlu mengambil peluang berjuta-juta ringgit peruntukan kerajaan pusat ke negeri Terengganu dalam bidang usahawan.
“Rakyat kita perlu bijak ambil peluang. Berjuta-juta ringgit peruntukan usahawan disalurkan melalui pelbagai agensi, ambillah inisiatif untuk ke pejabat koperasi dan usahawan.
“Rebut peluang yang ada,” serunya.
Tuan Roslina memaklumkan bahawa satu Himpunan Wanita Berwibawa akan dianjurkan pada Julai ini, menghimpunkan para pemimpin wanita pelbagai peringkat.
“Saya tidak mahu wanita yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau pemimpin NGO hanya sekadar ada jawatan, tetapi tidak tahu bagaimana untuk membawa manfaat kepada orang bawah.
“Ini yang paling penting,” tambah beliau lagi.
20 Jun 25
66
Sawit TDM Diiktiraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – TDM Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai pelopor industri sawit mampan negara apabila anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) berjaya meraih pengiktirafan tempatan dan antarabangsa atas komitmennya terhadap kelestarian alam dan pematuhan etika industri.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menyatakan bahawa pensijilan yang diterima membuktikan pendekatan TDM bukan sahaja selari dengan dasar hijau negara, bahkan membuka akses pasaran yang lebih luas dan bernilai tinggi.
"TDMP telah diiktiraf menerusi pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), yang melibatkan pengeluaran Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK)," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai manifestasi usaha konsisten dalam mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan industri, dengan menekankan aspek kelestarian, hak pekerja, pemeliharaan biodiversiti dan integriti rantaian bekalan.
"Ini adalah pengiktirafan terhadap amalan ladang yang bertanggungjawab, dan sekaligus meletakkan TDM sebagai peneraju industri sawit yang beretika dan berpandangan jauh," ujarnya.
TDMP turut melaksanakan transformasi ladang secara menyeluruh, melibatkan sistem pemantauan berasaskan data seperti Estate Block Analytical System (E-BAS), penggunaan teknologi GPS dan GIS, serta mekanisasi penuaian bagi meningkatkan hasil secara mampan.
Menurut beliau lagi, pensijilan ini akan meningkatkan daya saing syarikat di peringkat antarabangsa, khususnya di pasaran Eropah dan Asia Timur yang amat menitikberatkan sumber sawit yang beretika dan mapan.
19 Jun 25
235
TFC Adakan Sesi Soal Jawab Bersama Peminat
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Terengganu Football Club (TFC) akan akan menganjurkan sesi soal jawab bersama peminat bagi menjawab persoalan berkenaan pasukan tersebut dalam masa terdekat.
Perkara itu telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.
"Saya faham banyak persoalan yang ada di dalam kalangan peminat tentang perkembangan semasa pasukan.
"InsyaAllah, satu majlis dialog terbuka bersama peminat akan dianjurkan oleh TFC dan PBSNT pada awal Julai tahun ini," katanya dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui akaun rasmi Facebooknya.
Kenyataan itu adalah sorotan daripada kunjungan beliau Ke padang latihan TFC yang terletak di Gong Badak untuk bertemu barisan kejurulatihan dan pemain-pemain skuad negeri.
Turut hadir dalam kunjungan itu, Naib Presiden Persatuan Bola Negeri Terengganu (PBSNT), Mohammed Sekanther Abdul Hamed dan Setiausaha Agung PBSNT, Ahmad Syahrizal Yahya.
Tambahnya, barisan pemain baharu TFC bakal memulakan latihan pertama mereka pada awal Julai tahun ini manakala pemain yang masih berkontrak telahpun mula berlatih.
"Mereka semua telah memulakan latihan kelmarin (16 Jun) dan pemain baharu akan mula menyertai latihan pada 1 Julai 2025," jelasnya.
Mengikuti perkembangan yang sama, Badrul Afzan Razali, mantan jurulatih skuad bola sepak negeri itu sekali lagi telah diserahkan baton untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih TFC musim ini.
Walaupun dengan kekangan yang dihadapi, Badrul dengan penuh harapan menyuarakan keinginannya untuk meletakkan pasukan di bawah seliaannya itu di tahap pencapaian yang lebih memberansangkan berbanding musim yang lepas.
"Pada musim baru ini, kita (TFC) adalah antara pasukan yang tidak berbelanja besar, namun saya percaya dengan komitmen dari semua, kita tetap mampu menyaingi pasukan-pasukan besar lain serta boleh melakukan kejutan dalam misi merebut piala," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut sumber, TFC akan memperkenalkan secara rasmi pemain-pemain yang bakal masuk sebelum 5 Julai 2025.
19 Jun 25
93
Pusat Rawatan Kanser Swasta TDM Pertama di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Satu lagi sejarah bakal dilakar apabila TDM Berhad melalui anak syarikatnya, Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare), akan membina pusat rawatan kanser swasta pertama di Pantai Timur.
Projek bernilai RM70 juta itu bakal didirikan di KMI Kuantan Medical Centre (KMC) dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun 2027, menjadikan ia antara pusat onkologi swasta paling lengkap di rantau ini.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pembinaan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kumpulan dalam memperkukuh sektor penjagaan kesihatan swasta yang lebih inklusif dan pakar.
"Pusat Onkologi ini akan dilengkapi fasiliti menyeluruh termasuk rawatan kemoterapi, radioterapi dan perubatan nuklear.
"Ketika ini, kemoterapi sudah pun bermula di KMC dengan kehadiran pakar onkologi, Dr. Hadi Ab Jalil.
"Tapi pembangunan pusat khusus ini akan menambah baik kemudahan sedia ada termasuk rawatan radioterapi yang perlukan peralatan khas berasaskan bahan radioaktif," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 TDM Berhad yang berlangsung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Tambah beliau, kehadiran pusat ini amat dinanti kerana sebelum ini pesakit kanser dari Pantai Timur terpaksa bergantung kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjutan.
"Dengan adanya pusat onkologi ini, pesakit dari Kuantan, Kemaman, Dungun dan kawasan sekitar yang ada perlindungan insurans atau mahukan rawatan swasta kini ada pilihan lebih dekat dan selesa," katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa satu lagi pusat rawatan kanser bakal dibina di Terengganu.
"Kita belum umum secara rasmi, tetapi memang dalam perancangan jangka panjang untuk bina pusat onkologi di KMI Kuala Terengganu," ujarnya.
19 Jun 25
923
TDM Pacu Agenda Sifar Karbon, Tenaga Hijau Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad melangkah berani ke hadapan dengan komitmen jangka panjang untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050, seiring hasrat menjadi peneraju kelestarian dalam sektor strategik negara.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menjelaskan bahawa syarikat telah menyusun pelan halatuju jelas bagi menangani isu perubahan iklim secara berkesan.
"Kami menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030, dan akhirnya mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Menurutnya, TDM telah melaksanakan pelbagai pendekatan hijau bagi memastikan matlamat itu bukan sekadar retorik, malah realiti yang boleh diukur dan dikekalkan.
"Antara usaha utama termasuk pemasangan panel solar, sistem pendingin HVAC cekap tenaga, pelaksanaan dandang hijau di kilang sawit, serta inisiatif program kredit karbon yang menyokong imbangan pelepasan," jelasnya.
Beliau turut menyifatkan keberkesanan strategi itu dapat dilihat menerusi peningkatan prestasi dua loji biogas milik TDM di Sungai Tong dan Kemaman yang mula beroperasi sepenuhnya sejak 2022.
"Pada tahun 2024 sahaja, loji-loji ini berjaya menjana lebih 18.8 juta kilowatt jam tenaga boleh diperbaharui, meningkat lima peratus berbanding tahun sebelumnya," tambahnya lagi.
Menurut beliau, lonjakan ini membuktikan keupayaan TDM dalam memanfaatkan teknologi hijau bukan sahaja demi kelangsungan alam sekitar, bahkan menjana pulangan operasional yang mampan.
19 Jun 25
88
Wanita Desa Peneraju Pelancongan Komuniti
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Wanita desa di Terengganu kini muncul sebagai antara peneraju utama dalam menggerakkan sektor pelancongan komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penglibatan aktif telah memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi setempat.
"Pengusaha inap desa adalah kalangan wanita. Sebagai contoh di Kampung Mangkuk, Setiu.
"Bukan sekadar bagi sewa tapi memberi pelancong sebuah sebuah pengalaman kehidupan kampung," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Wanita Terengganu Berinformasi yang diadakan di Dewan PPR Hiliran, semalam.
Walau bagaimanapun, penyertaan wanita Terengganu dalam bidang pemandu pelancong bertauliah masih rendah berbanding negeri lain seperti Kelantan, yang telah berjaya melahirkan ramai pemandu pelancong wanita Muslimah.
"Di Kelantan, ada pemandu pelancong wanita muslim. Mereka bagi gambaran keislaman produk islam di negeri kelantan. Alhamdulillah mereka berjaya," ujarnya.
Sebaliknya kata beliau, di Terengganu, wanita tidak berminat dengan program berkait dengan seminar.
"Kita ada juga produk pelancongan tempatan dipanggil 'Community Beach Tourism' satu Produk baru.
"Ada yang berjaya dan produk makan tradisi cukup hebat, contoh keropok lekor, nasi dagang, 70 peratus dalam bidang pelancongan," tambah beliau lagi.
18 Jun 25
67
Akui Silap? - Menteri Padam Gambar Abdul Hadi di Wad IJN
MARANG, 18 Jun – Menteri Kesihatan dilapor telah memadam gambar privasi berkait lawatan beliau terhadap Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) selepas menerima kritikan berhubung pelanggaran privasi pesakit dan keluarga.
Semakan TRDI.my setakat jam 9.20 malam ini mendapati gambar berkenaan, yang dimuat naik melalui akaun rasmi Facebook Dr. Dzulkefly Ahmad petang tadi, telah dipadamkan daripada tatapan umum.
Terdahulu, tindakan berkongsi gambar tersebut mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarga dan orang ramai yang menyifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap privasi pesakit yang sedang menjalani rawatan kritikal.
Pihak keluarga Presiden PAS itu turut menyatakan rasa kecewa dengan penyebaran gambar tersebut yang dianggap melanggar etika ziarah dan tatacara hospital.
Gambar berkenaan memaparkan Menteri berdiri di sisi katil pesakit dalam wad CCU, ruang yang lazimnya memerlukan kawalan ketat dari segi lawatan dan dokumentasi bergambar.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kementerian berhubung pemadaman gambar tersebut.
18 Jun 25
882
'Menteri Tak Hormat Privasi Keluarga, Tak Beretika'
MARANG, 18 Jun - Pihak keluarga Ahli Parlimen Marang yang Juga Presiden PAS meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang disifatkan tidak menghormati privasi pesakit dan keluarga semasa lawatan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Menurut wakil keluarga, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, lawatan tersebut bukan sahaja melanggar tatacara dan SOP hospital, malah gambar-gambar lawatan yang dimuat naik ke media sosial Menteri Kesihatan juga dianggap tidak wajar serta mencabuli etika privasi perubatan.
“Kami menyatakan rasa kecewa dengan sikap YB Menteri Kesihatan yang tidak menghormati privasi keluarga dan SOP lawatan di hospital, ketika melawat Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) di wad CCU, IJN.
“Malah penyebaran gambar Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) yang dimuat naik di Facebook YB Menteri untuk tatapan awam amatlah tidak wajar dan sangat tidak beretika,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri itu dalam satu kenyataan hari ini.
Tindakan tersebut menurut beliau bukan sahaja tidak profesional, malah mengecewakan.
“Sikap tidak profesional ini sangat dikesali,” tambahnya.
Setakat ini, tiada sebarang penjelasan rasmi atau permohonan maaf dikeluarkan oleh pihak Menteri Kesihatan berhubung isu berkenaan.
Terdahulu Facebook rasmi Dr. Dzulkefly memuatnaik gambar Abdul Hadi yang selesai menerima rawatan di IJN.
Abdul Hadi Awang kini masih dalam pemantauan rapi di CCU, IJN dan keluarga memohon semua pihak terus mendoakan kesembuhan serta menghormati ruang privasi beliau sepanjang tempoh rawatan.
18 Jun 25
1285
Loji Biogas TDM Sumbang Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad memperkukuh langkahnya ke arah tenaga mampan apabila dua loji biogas miliknya berjaya menjana hampir 19 juta kWh tenaga hijau sepanjang tahun 2024, sekaligus menyumbang kepada grid nasional dan menyokong agenda sifar karbon negara.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pencapaian ini adalah bukti nyata bahawa pelaburan TDM dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui bukan hanya bersifat simbolik, malah memberi impak sebenar kepada alam sekitar dan ekonomi negara.
"Sepanjang tahun 2024, sejumlah 18,868,173 kilowatt-jam (kWh) tenaga boleh diperbaharui berjaya dijana dan disalurkan ke grid nasional,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya merupakan petunjuk jelas terhadap kecekapan operasi dan keupayaan loji tersebut dalam memenuhi sasaran kelestarian jangka panjang syarikat.
"Kita sedang memacu perubahan, daripada loji yang dulu hanya memproses sisa, kini menjadi sumber tenaga hijau yang menyumbang kepada sistem tenaga negara," jelasnya.
Tambah beliau, loji biogas TDM yang beroperasi di Sungai Tong dan Kemaman dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi hijau TDM yang turut merangkumi penggunaan panel solar, sistem HVAC cekap tenaga dan projek dandang hijau (green boiler).
Kejayaan ini sekaligus menyokong sasaran TDM untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030 serta mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050.
Menurut beliau, TDM akan terus meningkatkan kapasiti tenaga bersih dengan pelaburan tambahan dalam teknologi hijau dan memperluaskan skop tenaga boleh diperbaharui di ladang-ladang miliknya.
18 Jun 25
183
Tegas Kawal Aspek Keselamatan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Kerajaan Negeri menegaskan komitmennya dalam memastikan aspek keselamatan pelancong dan petugas sektor pelancongan, khususnya wanita, terus diberi perhatian serius.
Katanya ia seiring usaha memajukan pelancongan komuniti yang berteraskan nilai Islam dan budaya tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap soal pematuhan pemakaian sopan dalam sebarang bentuk pertunjukan, persembahan, penggambaran drama atau filem yang dijalankan di Terengganu.
“Kajian menunjukkan bahawa aspek pemakaian menjadi antara indikator kepada persekitaran sosial yang sihat atau sebaliknya.
"Sekiranya pakaian tidak mengikut garis panduan syariah, risiko keselamatan wanita akan meningkat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Wanita Terengganu Berinformasi yang diadakan di Dewan PPR Hiliran, semalam.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap keperluan penyediaan papan tanda keselamatan yang mesra wanita di lokasi pelancongan utama sebagai satu bentuk sokongan kepada perlindungan dan keselesaan pengunjung.
Bagi memperkukuh pemantauan keselamatan, kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), unit pelancongan daerah dan agensi berkaitan bagi memantau dan bertindak terhadap sebarang bentuk gangguan atau ancaman terhadap pelancong.
Dalam perkembangan berkaitan, Razali turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersedia untuk menerima wanita sebagai ketua komuniti pelancongan pantai (beach tourism), selaras dengan dasar pemerkasaan wanita di peringkat akar umbi.
“Kita tidak menolak wanita sebagai pemimpin komuniti pelancongan.
"Namun, pendekatan yang dibawa mestilah berdasarkan kekuatan produk tempatan dan kefahaman terhadap ekosistem pelancongan komuniti,” katanya.
Beliau mengambil contoh kawasan Tebakang Kampung, sebuah destinasi yang semakin dikenali kerana berjaya mengekalkan keunikan kampung sambil memajukan pelancongan berasaskan komuniti.
Tebakang Kampung kini menawarkan aktiviti ATV untuk pelancong, pasaraya komuniti, produk makanan tradisional seperti rempah gulai kawah, serta institusi pendidikan seperti madrasah.
Justeru itu, katanya, usaha ini seiring dengan hala tuju kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang mesra syariah, selamat dan inklusif.
"Di samping menjana pendapatan kepada komuniti setempat terutama golongan wanita," tambah beliau.
18 Jun 25
12