lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Wajibkan Haiwan Ternakan Pasang QR
Terengganu Wajibkan Haiwan Ternakan Pasang QR
HULU TERENGGANU, 23 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu sedang merangka satu enakmen baharu yang bakal mewajibkan pendaftaran semua haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing menggunakan sistem kod QR, dalam usaha mengatasi isu haiwan berkeliaran yang tidak berkesudahan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah berani ini perlu diambil setelah lebih 70 tahun masalah ternakan liar gagal diselesaikan.  "Kita lihat masalah yang tidak berkesudahan berkaitan haiwan berkeliaran yang tidak selesai sejak belum merdeka lagi. "Mungkin kita perlu bertegas dengan menggubal satu enakmen yang mewajibkan pendaftaran semua ternakan, lembu, kerbau, kambing dan haiwan lain," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail. Beliau menjelaskan, penggunaan teknologi seperti QR code mampu mengubah sistem pemantauan dan tanggungjawab pemilik ternakan secara total.  "Dengan teknologi zaman ini, semua orang dapat imbas QR. "Bila kita scan, kita akan dapat tahu siapa pemilik haiwan tersebut.  "Haiwan yang tiada QR code kita ibaratkan seperti kereta tanpa nombor plat, mesti tiada pemilik dan boleh disita atau dilelong,” jelasnya. Menurut beliau, enakmen baharu ini akan digubal di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak memerlukan kelulusan akta persekutuan.  "Yang ada sekarang ini hanya undang-undang kecil PBT yang benarkan tangkapan haiwan, tapi tidak mewajibkan pendaftaran. "Kalau ditangkap pun, jika tidak dituntut, kita hanya mampu melelong sahaja," tambahnya. Dr. Azman berkata kerajaan negeri kini sedang dalam proses perbincangan menyeluruh termasuk aspek kos dan pemakluman awam sebelum pelaksanaan dimuktamadkan.  "Perkara ini perlu diteliti secara mendalam. "Perlu ada tempoh pemakluman kepada masyarakat dan melihat pada impak kos," kata beliau. Tambah beliau, langkah Terengganu ini tidak asing kerana negeri seperti Melaka telah berjaya melaksanakan sistem penternakan yang jauh lebih tersusun.  "Melaka negeri kecil tapi sangat aktif dan sistematik dalam penternakan, termasuk unggas. "Kita patut contohi negeri dalam negara sendiri," ujarnya.
23 Jun 25
362
Labuh 12 Tukun Konservasi, Pujuk Ikan 'Berkampung' Di Terengganu
Labuh 12 Tukun Konservasi, Pujuk Ikan 'Berkampung' Di Terengganu
SETIU, 23 Jun - Sebanyak 12 tukun konservasi dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Redang, hari ini sebagai usaha memperkaya pembiakan ikan dan hidupan laut.  Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang dimulakan sejak tahun 2006 itu dipertingkatkan kuantitinya sejak tahun 2018 dan ke atas bagi memastikan keterjaminan hasil laut negeri tersebut. "Tahun ni selain 12 yang dilabuhkan tadi, kita ada 80 tukun rekreasi yang akan dilabuhkan di beberapa daerah termasuk Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang akan dapat 16 unit bagi setiap lokasi. "Insya-Allah akan bermula mungkin pertengahan atau minggu keempat bulan Ogos bergantung kepada proses pembuatan tukun itu.  "Alhamdulillah, setakat ini berdasarkan data dan kajian, tukun kita memberi impak positif terhadap peningkatan hasil tangkapan nelayan pantai dan dalam masa sama berfungsi sebagai penampan bagi pukat tunda," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program melabuh tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda (konservasi) bersama Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang, yang berakhir tengahari tadi. Menurut Dr. Azman, usaha itu semakin memperlihatkan hasil dengan peningkatan hasil tangkapan sebanyak 39 peratus, daripada 33,000 metrik tan kepada 46,000 metrik tan. "Data untuk tahun 2024 masih menunggu, Insya-Allah (keluar) Julai ini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu. Berdasarkan maklum balas di lapangan ini, kita yakin hasil tangkapan meningkat.  "Kita (kerajaan negeri) mahu wujudkan garis sempadan tukun dari Kemaman ke Besut sejauh 245 kilometer dengan setiap kilometer kita sasarkan ada satu kelompok tukun.  "Sekarang, telah ada 1,600 unit tukun dari Besut ke Kemaman dan apabila program garisan tukun berjalan lancar, hasrat kita ialah ingin melindungi zon tangkapan nelayan pantai dalam jarak lima batu nautika dari pantai, daripada pencerobohan terutamanya pencerobohan pukat tunda," jelasnya. Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan negeri melalui portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi menyasarkan sebanyak 80 ke 100 tukun rekreasi akan dilabuhkan setiap tahun.  
23 Jun 25
447
Terengganu Pimpin Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui - Petronas
Terengganu Pimpin Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui - Petronas
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Terengganu kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri peneraju dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui negara. Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong dalam ucapan beliau sempena Seminar East Coast Energy (ECE) 2025 di Kuala Terengganu hari ini. Katanya, perkara itu boleh dilihat menerusi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi termasuk Ladang Solar Terapung Hibrid Kenyir dan pembangunan hab hidrogen hijau pertama di Terengganu. "Projek Ladang Solar Terapung Hibrid Kenyir mampu menjana sehingga 1,000 megawatt kuasa solar dan separuh daripada kapasiti tersebut akan digerakkan khusus untuk projek hab hidrogen hijau pertama Terengganu hasil kerjasama Terengganu Inc, PETRONAS,TNB," katanya. Tambah beliau, langkah tersebut bukan sahaja meneruskan legasi Terengganu sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, malah menandakan permulaan era baharu di mana negeri itu memimpin peralihan kepada tenaga bersih dan lestari. "Projek ini akan terus meletakkan Terengganu di peta, memperkukuh legasi minyak dan gas serta memimpin tenaga boleh diperbaharui," ujar beliau lagi. Selain tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau, PETRONAS juga ujarnya terus komited dalam memperkasa komuniti setempat serta memelihara kelestarian alam sekitar di Terengganu. "Antara inisiatif utama yang turut digerakkan PETRONAS di negeri ini termasuk Akademi Peralihan Tenaga PETRONAS ditubuhkan di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Terengganu, bagi melatih tenaga kerja masa depan dalam industri rendah karbon. "Program Pembangunan Vendor dan Pembiayaan yang telah menyalurkan lebih RM342 juta kepada 54 syarikat berasaskan Terengganu sejak 2018, serta melibatkan penyertaan aktif 10 vendor tempatan di bawah program pembangunan vendor Bumiputera. "Projek Pemuliharaan Marin seperti Rigs-to-Reef dan Tubular-to-Reef yang berjaya meningkatkan biodiversiti ikan sehingga 30 peratus, mencatat peningkatan tahunan 10 peratus dalam nutrien ikan dan pengesanan 42 spesies unik di sekitar struktur terumbu tiruan di Pulau Kapas," jelasnya. Ir. Bacho turut menegaskan bahawa pembangunan pesat sektor tenaga tidak seharusnya terhad kepada keuntungan industri semata-mata, sebaliknya perlu memberi impak secara menyeluruh kepada kehidupan masyarakat dan alam sekitar. "Dengan pelbagai inisiatif strategik dan sokongan menyeluruh daripada semua pihak, Terengganu dilihat semakin kukuh mendepani perubahan dan berpotensi menjadi hub tenaga baharu negara menjadikan Pantai Timur bukan sahaja pengeluar utama sumber tenaga, malah peneraju transformasi ke arah masa depan yang lebih lestari dan mapan," tambah beliau.
23 Jun 25
1858
Iran Diserang, Ummah Bersatu
Iran Diserang, Ummah Bersatu
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Serangan ketenteraan Zionis Israel terhadap Iran yang disangka mampu memecah-belahkan rakyatnya ternyata menjadi pemangkin penyatuan umat Islam sejagat — tanpa mengira mazhab, etnik mahupun fahaman politik. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, rancangan Amerika Syarikat dan Israel untuk mencetuskan pemberontakan dalaman di Iran nyata meleset dan memakan diri. "Amerika dan Zionis menyangka serangan ke atas Iran akan menyebabkan rakyat bangkit menjatuhkan kepimpinan Ayatullah Ali Khamenei. "Tetapi realitinya, rakyat Iran bersatu, Syiah dan Sunni, Parsi, Arab, Azeri, Kurdis dan Turkuman, fahaman Islamis atau Sekular, semuanya sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah air mereka," katanya dalam satu Kenyataan Media di laman sosial rasmi beliau hari ini. Menurut beliau, sokongan terhadap Iran turut diluahkan secara terbuka oleh tokoh-tokoh besar dunia Islam yang bangkit mengecam kezaliman Israel dan membela solidariti ummah. "Syeikh Al-Azhar, Syeikh Ahmad Tayyib menyifatkan serangan Israel sebagai satu tindakan kejam, dan mengkritik sikap masyarakat antarabangsa yang hipokrit. "Bekas Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Ahmad Al-Raisuni pula menyeru umat Islam supaya berdiri di belakang Iran serta mengiktiraf jasa Iran yang sangat besar dalam menyokong dan mendokong perjuangan pembebasan Baitulmaqdis," jelasnya. Beliau turut menyatakan, suara ulama besar dari dua Tanah Haram dan negara Teluk juga jelas berpihak kepada Iran dalam isu ini. "Imam Masjidil Haram, Syeikh Yasir al-Duwsiri, mengajak seluruh umat Islam mendoakan Iran agar tetap tabah dan kuat. "Mufti Oman, Syeikh Hamad al-Khalili sentiasa konsisten dan tidak berganjak dalam isu Palestin menegaskan serangan balas Iran ke atas Zionis Israel menyejukkan hati umat Islam yang lebur akibat kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Gaza," tambahnya. Jelas beliau, apa yang berlaku bukan hanya sebuah krisis geopolitik, tetapi detik kebangkitan kesedaran kolektif umat Islam terhadap musuh bersama. "Penyatuan ini bukan lagi retorik. "Sebaliknya ia adalah bukti bahawa keperitan Iran membawa hikmah besar, iaitu menyatukan ummah dalam menentang kezaliman Zionis Israel," tegasnya.
23 Jun 25
72
Proses Pemulihan Abdul Hadi Luar Biasa
Proses Pemulihan Abdul Hadi Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Keadaan kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sedang menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini menunjukkan perkembangan positif. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, doktor yang merawat beliau memaklumkan proses pemulihan agak luar biasa dan cepat. “Saya pun dah melawat Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan saya amat teruja sebenarnya melihat prosedur yang dijalaninya berjalan dengan lancar dan proses ‘recovery’ sangat cepat dan insya-Allah beliau mampu untuk ‘come back’ dengan kerja beliau selepas ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tahap kesihatan Presiden PAS itu selepas Majlis Perasmian East Coast Energy 2025 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan menjalani prosedur rawatan di IJN selepas dimasukkan ke pusat rawatan berkenaan beberapa hari lalu. Ketika ditanya mengenai perkara berkenaan (rawatan di IJN) yang seolah-olah dirahsiakan sebelum ini beliau menafikan dan memaklumkan ia lebih kepada memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan Tuan Guru. “Saya rasa dua atau tiga hari sebelum jalani prosedur, anak Tuan Guru, Dr. Muhammad Khalil ada membuat kenyataan memohon kita semua berdoa dan sebagainya. “Jadi bukan rahsia, tapi berilah ruang untuk proses pemulihan beliau dengan lebih cepat sebab bila prosedur di hospital ini kalau ada tidak kena cara akan berlaku jangkitan dan sebagainya. “Dengan keadaan usia Tuan Guru kita kena meminimakan segala kemungkinan-kemungkinan yang menganggu proses pemulihan,” jelas beliau.  
23 Jun 25
435
Ikan Pemangsa Asing Ancam Sungai Terengganu
Ikan Pemangsa Asing Ancam Sungai Terengganu
HULU TERENGGANU, 23 Jun – Sungai-sungai utama di Terengganu kini berdepan ancaman senyap daripada spesies ikan pemangsa asing yang mampu menggugat kestabilan ekosistem perairan negeri, khususnya apabila ikan seperti baung ekor merah dan peacock bass semakin banyak ditangkap oleh nelayan tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, walaupun kehadiran ikan pemangsa ini belum sampai ke tahap membimbangkan, potensi ancamannya tidak boleh dipandang ringan. "Masalah ikan pemangsa masih ada di Terengganu, tapi tak terlalu ketara. "Kita terima laporan daripada nelayan tentang tangkapan ikan baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides), ikan 'peacock bass' dan beberapa spesies asing lain," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail. Menurut beliau, beberapa sungai utama termasuk Sungai Terengganu telah dikesan menjadi lokasi kewujudan baung ekor merah yang boleh membesar sehingga puluhan kilogram seekor. "Tidak seperti di negeri lain yang berdepan ledakan saiz luar biasa, di Terengganu keadaannya masih terkawal. "Namun kita perlu lebih berwaspada agar sungai-sungai kita tidak menjadi kolam gergasi untuk pemangsa asing," tambahnya. Beliau turut menegaskan bahawa spesies-spesies seperti ikan talapia, lampam jawa dan baung ekor merah sememangnya diluluskan untuk akuakultur, namun haram untuk dilepaskan ke perairan awam. "Kita memang nasihatkan kepada penternak akuakultur, sebab beberapa spesies ini memang diluluskan untuk penternakan. "Tapi tak diluluskan untuk dilepaskan ke perairan umum, seperti ikan talapia, ikan lampam jawa, ini adalah spesies asing,” jelasnya. Dalam masa yang sama, beliau menyelar sikap segelintir individu yang melepaskan ikan hobi seperti 'peacock bass' dan 'flower horn' ke sungai apabila sudah tidak mahu memeliharanya. "Ini adalah ikan hobi pada asalnya, termasuk ikan 'flower horn'. "Bila dah tak nak bela, orang lepas ke perairan umum dan menjadi ikan pemangsa yang mengancam ekosistem di perairan kita," ujarnya. Dr. Azman menyeru semua pihak lebih bertanggungjawab agar keseimbangan sungai warisan terus terpelihara daripada kerakusan spesies asing yang tidak diundang.  
23 Jun 25
865
ECE 2025 Peluang Terengganu Teraju Sumber Tenaga Hijau
ECE 2025 Peluang Terengganu Teraju Sumber Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 membuka ruang strategik buat Terengganu untuk melangkah lebih jauh sebagai peneraju utama dalam pembangunan sumber tenaga hijau negara. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persidangan berprestij selama dua hari itu menghimpunkan rakan teknikal serta para pemain industri yang telah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri, khususnya dalam sektor minyak dan gas. Menurutnya, ECE 2025 merupakan sebuah gerakan strategik ke arah masa depan, yang menyaksikan Terengganu muncul sebagai peneraju dalam transformasi tenaga bersih berasaskan inovasi, daya tahan dan pemerkasaan serantau. “Ketika Malaysia merangka laluan menuju ekonomi rendah karbon, Pantai Timur bersedia untuk memimpin dengan keyakinan. "Ia juga merupakan satu inisiatif baharu yang membuka ruang kerjasama antara kerajaan negeri dan semua rakan teknikal yang hadir hari ini, bagi meneroka dengan lebih mendalam keperluan serta potensi dalam mencapai matlamat tenaga hijau yang dihasratkan untuk Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas majlis perasmian pembukaan ECE 2025 yang dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tuanku Muhammad Ismail di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu di sini hari ini. Ahmad Samsuri berkata, setakat ini, projek ladang solar terapung berkapasiti 2 gigawatt (GW) sedang dibangunkan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bersama rakan strategik, Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta firma Arab Saudi, ACWA Power. ECE 2025 dianjukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bersama Majlis Petroleum Terengganu (TPC), menghimpunkan lebih 900 delegasi berpengaruh termasuk pembuat dasar, pemimpin industri tenaga global, pelabur serta inovator teknologi, yang komited membina masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan, inklusif dan rendah karbon untuk rantau ini dan negara. Bertemakan 'Menginovasikan Tenaga, Mengangkat Pantai Timur', ECE 2025 berperanan sebagai pemangkin pelaburan strategik, perkongsian teknologi dan penyelesaian kolaboratif terhadap cabaran tenaga dan alam sekitar.  
23 Jun 25
100
13,000 Anak Keli Dilepaskan di Dengir Perkasa Ekonomi Komuniti Luar Bandar
13,000 Anak Keli Dilepaskan di Dengir Perkasa Ekonomi Komuniti Luar Bandar
Oleh : Tengku Mohd Anwar. BESUT, 23 Jun - Sebanyak 13,000 ekor anak ikan keli dilepaskan di Kampung Dengir sebagai inisiatif memperkasakan komuniti luar bandar menerusi projek akuakultur berskala kecil. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Dengir, Mohd Samsul Bahari Daud berkata, projek itu melibatkan 10 buah kolam dengan setiap satu berkeluasan 700 meter dan diisi dengan 2,000 ekor anak tersebut. "Langkah ini diambil bagi membuka ruang kepada masyarakat kampung khususnya generasi muda untuk menceburi bidang penternakan akuakultur. "Ia bukan sahaja menjana sumber pendapatan, bahkan mengalakkan kerjasama komuniti serta peningkatan kemahiran,"katanya ketika ditemui di majlis pelepasan anak ikan yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, di sini, semalam. Dalam pada itu, Azbi ketika berucap menyatakan bahawa usaha yang dilakukan itu adalah selaras dan bertepatan dengan fokus pembangunan luar bandar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu.  
23 Jun 25
105
Kekurangan Bukan Halangan, Damia Cipta Sejarah di TTITC
Kekurangan Bukan Halangan, Damia Cipta Sejarah di TTITC
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Keterbatasan fizikal tidak menjadi penghalang buat seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU)dari Kampung Padang Setebu, Telemong untuk terus melangkah jauh dalam bidang kemahiran yang diminatinya. Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 18, yang dilahirkan tanpa anggota tangan dan kaki yang sempurna, membuktikan bahawa semangat dan ketekunan mampu membuka peluang besar apabila berjaya melanjutkan pengajian ke Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam jurusan Pelukis Kanan Rekaan Dalaman di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Kampung Teris. Menurut Damia, pengiktirafan yang diterimanya ibarat satu titik tolak kepada pencapaian lebih besar dalam hidupnya. “Saya mula mendalami bidang ini sejak Tingkatan Empat dan berjaya menyelesaikan SKM Tahap 1 dan 2 semasa di sekolah menengah. "Impian saya memang mahu teruskan ke Tahap 3, tetapi beberapa pusat latihan sebelum ini menolak permohonan saya atas alasan kekurangan kemudahan untuk pelajar OKU seperti saya,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat tawaran rasmi kemasukan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC, Maliaman Kassim. Namun semuanya berubah apabila TTITC membuka pintu dan memberi peluang kepada anak muda itu untuk merealisasikan cita-citanya. “Bila dimaklumkan saya diterima, perasaan saya bercampur baur , terharu, gembira dan rasa dihargai. Saya mahu buktikan bahawa walaupun saya berbeza dari segi fizikal, saya tetap mampu menyumbang sesuatu dalam bidang ini,” ujarnya. Sokongan padu daripada keluarga turut memainkan peranan penting dalam perjalanan Damia. Ibunya, Rosnaini Mohamad, 47, menyatakan mereka sekeluarga sentiasa berdiri teguh di belakang Damia. “Dia tidak pernah mengeluh. Kami percaya dia mampu mengharungi tempoh setahun ini. Setiap hari, kami akan bergilir menghantarnya ke pusat latihan, yang jaraknya hampir 60 kilometer pergi balik dari rumah,” kata Rosnaini. Sementara itu, Maliaman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menyatakan, kemasukan Damia menjadikan beliau pelajar OKU keempat yang menuntut di TTITC. “Tiga pelajar OKU sebelum ini terdiri daripada kategori pendengaran dan bisu. Kehadiran Damia jelas menunjukkan bahawa institusi ini mengutamakan inklusiviti dan peluang sama rata untuk semua,” katanya.
22 Jun 25
141
Penyu Mati, Paru-Paru Cedera Parah Terima Hentakan Kuat
Penyu Mati, Paru-Paru Cedera Parah Terima Hentakan Kuat
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Seekor penyu hijau (Chelonia mydas) ditemui mati terapung berhampiran Teluk Dalam, Pulau Redang baru-baru ini akibat kerosakkan teruk pada paru-paru selepas terhentak kuat pada objek tertentu. Penemuan menyedihkan itu dilakukan oleh pasukan penyelidik dari Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam misi pemuliharaan penyu dan ekosistem marin di kawasan Taman Laut Malaysia. Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT, Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, hasil bedah siasat mendapati penyu yang dianggarkan berusia 10 tahun itu mengalami kecederaan parah pada paru-paru serta keretakan teruk pada cangkerang dipercayai akibat hentakan kuat. “Pemerhatian lanjut menunjukkan berlaku pendarahan dalaman dan keradangan pada organ pernafasan yang menyebabkan penyu itu lemas,” ujarnya dalam kenyataan. Beliau berkata, insiden kematian penyu ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesan aktiviti pelancongan tidak terkawal di kawasan Taman Laut, khususnya pemanduan bot laju di habitat sensitif. “Kami dapati peningkatan aktiviti pelancongan yang tidak dipantau rapi termasuk pergerakan bot laju secara sembarangan memberi tekanan besar kepada ekosistem marin dan hidupan terancam seperti penyu,” katanya. Lebih membimbangkan, penyu-penyu di perairan Pulau Redang diketahui jinak dan tidak menghindari kehadiran manusia serta bot, menjadikan mereka lebih terdedah kepada perlanggaran. “Maklumat tidak rasmi daripada komuniti setempat menganggarkan sekurang-kurangnya dua ekor penyu mati setiap bulan,” jelasnya. Justeru, beliau menyeru agar penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan terhadap sebarang aktiviti pelancongan yang mengancam hidupan marin. Katanya, standard kompetensi pemandu bot pelancong perlu diperkukuh termasuk aspek pengetahuan zon larangan kelajuan dan kawasan habitat sensitif. “Kerjasama rentas agensi dan komuniti setempat juga perlu diperkasa bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan seiring dengan usaha memelihara biodiversiti marin negara,” ujarnya.
22 Jun 25
128