Artikel "Semasa" Terkini
PB Hotel Terima Anugerah Chalet Resort Halal Terbaik
KUALA TERENGGANU, 26 Jun – Paya Bunga Hotel Terengganu melakar sejarah dalam bidang perhotelan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Chalet / Resort Halal Terbaik sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H / 2025M.
Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias, berkata anugerah itu menjadi bukti pengiktirafan kerajaan negeri terhadap usaha berterusan pihak hotel dalam memperkukuh elemen mesra Muslim dalam sektor pelancongan dan hospitaliti negeri.
"Pengiktirafan berprestij ini merupakan satu penghormatan yang cukup besar kepada seluruh warga kerja Paya Bunga Hotel.
"Mereka sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan hospitaliti yang mematuhi piawaian halal dan patuh syariah, sejajar dengan visi untuk menjadi hotel Mesra Muslim unggul di rantau ini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail telah berkenan menyampaikan
anugerah berprestij itu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Paya Bunga Hotel, Yang Berhormat Haji Ahmad Shah Muhamed.
Abdul Hadi berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JHEAT dan kerajaan negeri atas kepercayaan ini.
"Semoga anugerah ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja PB Hotel untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti tinggi," tambahnya lagi.
Sementara itu, Pencipta Kandungan Paya Bunga Hotel, Muhammad Akid Hafriz Muhamad, juga telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Video Pendek Terbaik, sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 dan sijil penghargaan.
27 Jun 25
257
Ceramah Ustaz Abdul Somad Gamit Kehadiran Lautan Manusia
BESUT, 27 Jun — Sambutan ambang Maal Hijrah 1447H di Dataran Tapak Pasir Tani Kuala Besut malam tadi mencatat sejarah tersendiri apabila lautan manusia membanjiri kawasan tersebut untuk menghadiri ceramah istimewa oleh Tokoh Dakwah Nusantara, Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad Batubara sekali gus mencipta Fenomena yang tersendiri.
Kehadiran beliau bukan sahaja menyerlahkan aura keilmuan dan semangat perjuangan Islam, malah menghidupkan kembali roh penghijrahan Rasulullah SAW dalam konteks masa kini.
Ribuan hadirin dari segenap pelusuk negeri, terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang telah berkumpul bagi menyelami hikmah dakwah dan pesanan rohani yang disampaikan dengan gaya penyampaian yang menyentuh hati.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa awal tahun yang dipimpin oleh pendakwah terkemuka, Ustaz Mokhtar Yacoob, sebagai simbolik memohon keberkatan Ilahi dan petunjuk dalam melangkah ke tahun Hijrah yang baharu.
Dalam ucapan yang penuh keinsafan dan harapan, Ustaz Abdul Somad menyatakan rasa takjubnya terhadap ketentuan Ilahi yang mempertemukan beliau dengan masyarakat Terengganu pada detik penting ini
"Semasa kami menyusun jadual ini, tidak terlintas di fikiran saya, kita akan menyambut malam tahun baharu Hijrah di Terengganu.
"Rupa-rupanya sudah tertulis di Luh Mahfuz, tahun baharu ini berjumpa dengan orang-orang baik, di negeri yang baik, mempunyai kerajaan yang baik. Maka saya optimis, saya semangat, tahun ke hadapan ini kita semua lebih baik," ujarnya.
Program rohani ini turut mendapat sokongan penuh daripada pimpinan negeri dan daerah yang hadir bagi meraikan kebangkitan semangat ummah, antaranya, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi merangkap Dato' Dr Azman Ibrahim, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat.
Dalam pada itu, ADUN Kuala Besut Azbi Salleh, menyampaikan penghargaan dan kesyukuran atas kehadiran ribuan masyarakat yang menjadikan sambutan ini suatu kejayaan luar biasa.
“Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya kita dapat berkumpul sempena sambutan Maal Hijrah pada hari yang penuh barakah ini," katanya.
Beliau juga turut menyeru semua agar menjadikan hijrah bukan hanya sekadar sejarah, tetapi sebagai agenda perubahan.
“Maal Hijrah bukan sekadar mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, tetapi membawa maksud yang jauh lebih mendalam agar kita melakukan penghijrahan dalam diri daripada kegelapan kepada cahaya, keinsafan daripada kelalaian, menuju ke arah ketakwaan yang sejati.
"Jutaan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Amal Malaysia dan barisan anggota polis yang telah memainkan peranan penting melancarkan pergerakan dan kawalan trafik bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan semua yang hadir.
"Majlis ini bukan sahaja membuktikan kebangkitan roh ukhuwah dalam kalangan rakyat Besut, bahkan menjadi simbol perpaduan dan keazaman masyarakat menuju kehidupan yang lebih diberkati, berlandaskan iman dan taqwa dalam melangkah ke tahun baharu Hijrah," ujar beliau.
27 Jun 25
26714
Pakar Nefrologi Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan IDMD Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Ghazali Ahmad diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1447H sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau yang memiliki pengalaman hampir empat dekad dalam bidang perubatan, khususnya dalam Nefrologi dan Transplantasi, merupakan antara tokoh penting dalam landskap kesihatan Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
Dr. Ghazali juga merupakan antara pakar yang terlibat dalam merawat Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di IJN baru-baru ini, selain pernah memberikan khidmat perubatan kepada tokoh-tokoh besar negara seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta beberapa menteri kanan yang lain.
“Pada tahap apa sekalipun, apabila seseorang datang mendapatkan rawatan, dan kita pula memiliki kepakaran serta kemahiran, maka itu adalah ruang untuk kita menyumbang kepada negara.
“Ramai pemimpin negara dari pelbagai peringkat telah saya rawat. Ia satu pengalaman sangat berharga kerana dalam masa yang sama saya memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia yang ingin berbakti kepada tanah air,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, adalah sangat penting bagi negara untuk memiliki kepakaran dalam bidang kritikal seperti perubatan, bagi mengelak kebergantungan kepada negara luar yang mungkin mempunyai kepentingan tersendiri.
“Bayangkan jika pemimpin atau Raja-raja kita mengalami masalah kesihatan dan kita terpaksa bergantung kepada negara luar untuk rawatan. Dalam situasi tertentu, kuasa asing boleh menekan kita dan menyebabkan kita tunduk demi mendapatkan rawatan yang sepatutnya kita sendiri mampu sediakan jika memiliki kepakaran,” katanya.
Mengenai anugerah yang diterima, beliau merasakan bahawa penghargaan itu sangat berharga dan sangat menghargainya.
"Sebenarnya berat nak terima anugerah ini sebab saya rasa sumbangan saya tidaklah seberapa dan saya rasa lebih ramai warga negeri Terengganu yang telah berbakti dengan lebih cemerlang bukan sahaja di peringkat negeri tetapi di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Bagaimanapun, saya bersyukur insya-Allah dengan anugera ini akan meningkatkan lagi azam dan usaha saya untuk memperkasa ummah di saat kita tahu umat Islam diganyang di peringkat antarabangsa jadi kita mesti sama-sama memperkuatkan di antara satu sama lain dengan mengabungkan pelbagai kepakaran," ujarnya yang merupakan anak jati Kijal.
Sepanjang empat dekad terlibat dalam dunia perubatan beliau telah menyandang beberapa jawatan antaranya menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persatauan Trasplantasi Asia (2017-2025), Ahli Lembaga Penasihat, Doctor Against Forced Organ Harvesting (DAFOM) (2011-2025)
Selain itu belia juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Korean Vitalink International (2024-2025), Penasihat Nefrologi, Yayasan Buah Pinggang Papua New Guinea (2021-2025), Ahli Jawatankuasa Penasihat Perubatan, Lembaga Zakat Selangor.
Antara anugerah tertinggi yang diperolehi ialah Anugerah Chugh-kirpal- Persatuan Nefrologi Asia Pasifik (2021), Anugerah Tan Sri Abu Bakar-Persatuan Nefrologi Malaysia (2019).
27 Jun 25
2476
Festival Kahwin Mendonia Didik Rancang Rumah Tangga Berhemah
KUALA TERENGGANU, 26 Jun – Festival Kahwin Mendonia 2025 bukan sekadar pameran perkahwinan seperti kebiasaannya, sebaliknya berperanan sebagai platform pendidikan penting dalam membantu masyarakat khususnya golongan muda merancang kehidupan rumah tangga dengan lebih tersusun, berhemah dan mampu milik.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor berkata, festival tersebut memberi penekanan kepada aspek pengurusan kewangan, pemilihan pakej bajet serta perkhidmatan vendor yang mesra poket, agar bakal pengantin tidak terjerumus dalam belanja melebihi kemampuan.
“Apa yang ingin saya tekankan, festival ini bukan hanya ruang pameran tetapi medan menimba ilmu – khususnya berkaitan pengurusan perkahwinan.
“Kita mahu bantu anak-anak muda merancang majlis dengan baik, elak berbelanja berlebihan, dan pada masa sama memastikan mereka bersedia dari sudut ilmu dan tanggungjawab sebelum melangkah ke alam rumah tangga,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Festival Kahwin Mendonia 2025 di Ombak Payang, Mayang Mall, semalam.
Zuraida menambah, festival itu menghimpunkan pelbagai penyedia perkhidmatan perkahwinan seperti pelamin, katering, kad jemputan, pakej bulan madu dan khidmat guaman, menjadikannya sebagai ‘one-stop centre’ lengkap untuk keperluan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.
“Bagi saya, ini satu inisiatif yang sangat bagus dan perlu diteruskan sebagai agenda tahunan. Namun, perlu ada perancangan lebih kemas bagaimana kita nak menarik lebih ramai komuniti dan penduduk setempat hadir ke sini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, program keagamaan atau forum kekeluargaan yang turut berlangsung pada petang itu merupakan satu lagi nilai tambah penting kepada festival berkenaan.
“Ia bukan sekadar lawatan ke reruai pameran, tetapi juga medan percambahan ilmu berkaitan perkahwinan dan pengurusan keluarga.
"Ini amat penting kerana institusi perkahwinan hari ini semakin rapuh. Jadi, festival ini memberi manfaat berganda kepada pengunjung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar penganjuran festival seumpama ini diperluaskan kepada komuniti luar bandar melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), agensi pembangunan wanita dan keluarga serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
“Kita boleh perbanyakkan lagi klinik guaman, seminar kekeluargaan, kaunseling dan pengurusan kewangan. Ia boleh dijadikan kesinambungan kepada program akan datang supaya masyarakat dapat lebih banyak ilmu yang relevan dan berguna,” katanya.
Tambah beliau, festival itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pasangan bakal pengantin, tetapi juga membuka peluang kepada para usahawan tempatan memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka.
“Impaknya, saya mahu perkahwinan dirancang dengan baik, teliti dan berhemah dari segi perbelanjaan.
“Dalam masa yang sama, kita bantu vendor memperkenalkan produk mereka dan membangunkan keusahawanan, inilah sumbangan kita kepada pemerkasaan ekonomi komuniti hari ini,” tambah Zuraida.
27 Jun 25
81
Terengganu Sedia Terima Kapal 'Cruise' Mewah
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Buat pertama kali dalam sejarah, Terengganu bakal membuka pintu kepada ribuan pelancong bertaraf jutawan menerusi industri pelayaran mewah yang dijangka berlabuh di pesisirnya seawal tahun hadapan.
Dengan infrastruktur pelabuhan yang telah dinaik taraf dan kekayaan destinasi yang masih belum diteroka dunia, negeri ini bersedia melangkah ke pentas pelancongan antarabangsa, bukan sekadar sebagai tempat singgah, tetapi sebagai nadi baharu ekonomi laut dan mercu baharu pelabuhan pelancongan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, usaha membawa industri pelayaran ke Terengganu telah dimulakan sejak empat tahun lalu, iaitu sebelum pandemik Covid-19, namun tertangguh kerana isu teknikal seperti pendalaman dasar laut, masalah benteng ombak (breakwater), serta struktur drawbridge yang menghalang kapal besar.
"Cruise akan ke Terengganu awal tahun depan. Perancangan ini telah dirintis sejak dua tahun sebelum pandemik.
"Ia dibincang dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri dan mendapat sokongan, cuma tertangguh akibat cabaran fizikal dan teknikal yang kini sudah ditangani," katanya pada sidang media selepas program Cruise Familiarization Tour di Permai Hotel, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato' Azman Shah Mohd Yusuf, Ketua Pegawai Eksekutif Duyong Cruise Holidays Sdn Bhd, Kapten Mohd Tarmizi Mejam.
Tambah beliau, Terengganu kini memiliki tiga jeti yang telah dinaik taraf, Jeti EPIC di muara Kuala Terengganu dengan kos naik taraf lebih RM30 juta, Jeti Duyong Marina dan Jeti Taman Tamadun Islam (TTI), yang bersedia menyambut pelancong dari seluruh dunia.
"Walaupun Jeti EPIC lazimnya untuk industri minyak dan gas, mereka bersedia menyokong pelancongan. Duyong Marina kita letakkan sebagai jeti utama.
"Kita telah buat kajian kedalaman, arus, keselamatan, dan yakin tiga jeti ini mampu terima hingga tiga kapal besar serentak," jelas beliau.
Ariffin berkata, Cruise Fam Tour adalah langkah penting memperkenalkan Kuala Terengganu kepada penggiat industri pelayaran antarabangsa, dengan sasaran awal kepada kapal bersaiz kecil dan sederhana yang mampu membawa ribuan orang pelancong dan kru.
"Saya percaya kehadiran pelancong akan beri impak langsung kepada usahawan kita, dari Pasar Payang, TTI, Muzium Negeri, Setiu Wetland, hingga ke pulau-pulau kita yang menawan.
"Ramai pelancong Cruise adalah jutawan yang biasa melancong ke seluruh dunia. Bila mereka jumpa destinasi baharu, mereka akan datang lagi," katanya lagi.
Menurutnya, walaupun mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Datuk Razali Idris yang masih dalam perjalanan pulang dari Makkah, beliau turut memberikan komitmen penuh sebagai EXCO yang menjaga portfolio keusahawanan.
"Ini bukan pelancongan biasa, tapi pelaburan masa depan. Kita buka laluan untuk cruise ‘high-end’ selepas kapal sederhana mula berlabuh.
"Kita mahu Kuala Terengganu jadi perintis, kalau berjaya, negeri-negeri lain boleh ikut," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato’ Azman Shah Mohd Yusuf menjelaskan tumpuan kini ialah kepada kapal kategori explorer, premium dan luxury yang mengutamakan pengalaman baharu dan sanggup membayar lebih untuk destinasi eksklusif.
"Di Kuala Terengganu sahaja, kita boleh tawarkan tujuh jenis ekspedisi, dari warisan, alam semula jadi, kulinari, aktiviti lasak hingga ke budaya pesisir.
"Cruise bukan lagi untuk golongan pencen. Sekarang ramai pelancong muda dan keluarga besar yang melancong bersama, impaknya berlapis," katanya.
Menurut beliau, Malaysia kini sedang merangka rangkaian pelabuhan strategik agar negara dapat muncul sebagai Homeport, pusat permulaan pelayaran pelancong antarabangsa.
"Kita sedang bina rangkaian pelabuhan Malaysia supaya negara ini jadi Homeport, pelancong mendarat, menginap di hotel, naik cruise dan pulang ke negara asal melalui lapangan terbang.
"Destinasi yang hanya memberi lawatan 8 jam mesti susun aktiviti padat dan memikat supaya pelancong mahu kembali. Tapi kalau cruise mewah, mereka akan bermalam, itu lebih tinggi nilai ekonominya," tambahnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman menyertai Persidangan Cruise Global di Miami, April lalu.
"Sebelum sempat saya tandatangan apa-apa, sudah ramai bertanya tentang Kuala Terengganu.
"Bila kita sebut tentang tarikan baharu, mereka terus tertarik. Memang ada pasaran, kalau kita berjaya di sini, pantai timur akan hidup," ujarnya.
26 Jun 25
5492
Lebih 500 Jemaah Hadiri Sambutan Ambang Maal Hijrah
HULU TERENGGANU, 26 Jun - Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah 1447H peringkat Negeri Terengganu diraikan dengan kehadiran lebih 500 jemaah di Masjid Pekan Ajil, hari ini.
Bertemakan 'Membangun Ummah Madani', majlis tersebut dimulakan dengan bacaan al-Mathsurat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Muhammad Ash- Shafie Abd Manan.
Seterusnya, beliau mengetuai bacaan doa akhir tahun sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim
ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh
ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) M Rozi Bidin.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah dan Yang di-Pertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Nasir Kasim.
26 Jun 25
74
TDM Berhad Salur Bantuan Buat 200 Asnaf DUN Tepoh
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - TDM Berhad meraikan seramai 200 asnaf menerusi program TDM Bersama Masyarakat Tepoh di Dewan Masyarakat Tok Jiring, hari ini
Antara pengisian program termasuk tazkirah Dhuha, perasmian serta penyampaian sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan wang tunai serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Ikram Gong Badak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyambut baik pelaksanaan program itu yang turut mendapat kerjasama erat Tepoh Care dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Tepoh.
Katanya, ia bukan sahaja meringankan beban rakyat, tetapi turut memperkukuhkan hubungan antara sektor korporat dan juga masyarakat khasnya komuniti Tepoh.
"Apa yang dilakukan oleh TDM pada hari ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi keprihatinan dan semangat kebersamaan yang semakin diperlukan dalam masyarakat kita.
"Usaha ini sangat selari dengan tuntutan agama dan lebih penting, ia lahir dari keikhlasan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan berimpak tinggi dalam membudayakan nilai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sebagai sebahagian daripada operasi korporat.
"Menyedari realiti peningkatan kos sara hidup, syarikat percaya bahawa kerjasama erat antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan komuniti adalah asas kepada kemampanan sosial," ujarnya.
Tambah beliau, program CSR ini memberi fokus utama kepada bantuan langsung kepada komuniti, khususnya golongan asnaf, warga emas dan keluarga kurang berkemampuan.
"Sebanyak RM40,000 zakat wakalah syarikat
diperuntukkan untuk komuniti Tepoh dan akan dikongsi juga kepada masyarakat melalui program-program kebajikan lain.
"Tepoh adalah peringkat DUN siri ke-7 di mana sebelum ini kami telah pun menjelajah DUN bagi Kota Putera, Jerteh, Ajil, Kuala Besut, Bukit Besi dan Rhu Rendang," ujarnya.
26 Jun 25
128
Warisan Diraja Terengganu Diiktiraf UNESCO
KUALA NERUS, 26 Jun – Pengiktirafan Koleksi Surat Persendirian Baginda Omar sebagai dokumen warisan dunia oleh UNESCO mengangkat martabat warisan diraja Terengganu di persada antarabangsa, membuktikan ketokohan pemerintahan Melayu abad ke-19 yang penuh wibawa dan berpengaruh dalam jaringan diplomasi serantau.
Majlis Perisytiharan dan Seminar Warisan Asia Pasifik yang berlangsung penuh adat istiadat di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan mencemar duli berangkat bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandami dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandami menyifatkan koleksi surat bersejarah ini sebagai lambang kecendekiawanan dan kewibawaan Sultan Omar ibni Sultan Ahmad Shah yang memerintah Terengganu dari tahun 1839 hingga 1876.
"Baginda Omar atau Sultan Omar merupakan Sultan Terengganu ke-IX yang memerintah dari tahun 1839 hingga 1876.
"Sebanyak 56 naskhah Surat Persendirian Baginda Omar disimpan di Arkib Negara Malaysia sebagai khazanah sejarah yang amat bernilai," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa koleksi tersebut dikumpulkan oleh Syeikh Ulama Tok Ku Tuan Besar Paduka Indera Engku Syed Seri Perdana Engku Muhammad, penasihat utama Sultan Omar, sebelum diwarisi oleh keturunannya dan diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia pada tahun 1992.
"Surat-surat asal telah disumbangkan oleh waris Engku Pengiran Anum, iaitu Engku Wook dan Engku Mohsein.
"Koleksi ini mencakupi jangka masa dari tahun 1839 hingga 1893," jelasnya.
Menurutnya, dokumen berharga ini terlebih dahulu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 30 September 2010, sebelum menerima pengiktirafan peringkat serantau sebagai dokumen warisan dunia oleh UNESCO di bawah Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP) pada 8 Mei 2024.
Beliau turut memuji peranan Arkib Negara Malaysia yang telah melaksanakan pemuliharaan dan pendigitalan surat-surat asal bagi memastikan warisan ini terus hidup dalam simpanan negara.
"Arkib Negara Malaysia telah menyimpan surat-surat ini dalam bilik khas di repositori Kuala Lumpur.
"Dan kini proses pendigitalan telah pun disempurnakan," tambah beliau.
Saraswathy menekankan keupayaan pemerintahan Baginda Omar yang berjaya menjalin hubungan diplomatik dengan kuasa luar seperti Riau-Lingga, Siam dan British serta memperkukuh institusi agama Islam di negeri ini.
"Baginda berjaya meningkatkan perdagangan dan pentadbiran negeri serta mengekalkan hubungan dengan Kerajaan Rattanakosin di Thailand.
"Baginda juga melantik imam-imam dari Riau untuk memperkukuh ajaran Islam di negeri ini," ujarnya.
Beliau optimis lebih banyak dokumen warisan akan diangkat ke peringkat dunia menerusi usaha gigih Arkib Negara Malaysia.
"Saya percaya banyak lagi dokumen sejarah yang sedang dalam proses untuk diiktiraf di peringkat serantau dan global.
"Usaha ini perlu diberi sokongan penuh oleh seluruh rakyat," tegasnya.
26 Jun 25
817
Pemain Industri Sepakat Terengganu Teraju Hab Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Tokoh industri tenaga menyifatkan sikap proaktif kerajaan negeri Terengganu bakal melonjakkan negeri itu sebagai hab tenaga boleh baharu dan perkhidmatan sokongan industri minyak dan gas yang unggul di rantau ini.
Pengarah Urusan Advantage Marine Services, Andrew Teow, berkata Terengganu memiliki segala ciri yang diperlukan termasuk dari teknologi dan fasiliti lengkap hingga tenaga kerja mahir untuk menjadi pesaing serius kepada pusat industri serantau seperti Singapura.
“Sebagai contoh, pasukan pengurusan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) sangat agresif dan terbuka untuk mendengar pandangan serta aktif menjalin kerjasama dengan syarikat luar.
“Di samping itu jika kerajaan negeri kekalkan pendekatan yang proaktif dan sokongan yang berterusan seperti sekarang, saya yakin Terengganu boleh pergi jauh.
“Jika momentum ini diteruskan dan kerajaan terus memimpin secara berani, Terengganu bukan sahaja boleh jadi peneraju tenaga hijau malah boleh mengatasi beberapa hab serantau,” tegas beliau mewakili syarikatnya yang berpengkalan di Johor.
Delegasi luar yang turut hadir menyertai ECE 2025.
Beliau berkata demikian ketika ditemui East Coast Energy 2025 (ECE 2025) kelmarin.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak syarikat tempatan percaya pada kemampuan infrastruktur dalam negeri sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti luar negara.
Dalam nada yang sama, Shazli Razak, Bendahari Majlis Kejuruteraan Minyak dan Gas Malaysia (MOGEC), menyifatkan ECE 2025 sebagai bukti bahawa Terengganu kini sedang memacu ke hadapan dalam bidang tenaga masa hadapan dengan pelbagai kelebihan yang ada.
“Mungkin kita boleh cari lebih banyak kawasan untuk bangunkan ladang solar dan tenaga hijau yang lain. Negeri Terengganu luas dan masih banyak kawasan simpanan hutan, tasik serta pantai yang sesuai selain kelengkapan infrastruktur minyak dan gas sedia ada.
“Saya yakin Terengganu boleh realisasikan perancangan ini dalam 5 hingga 10 tahun, asalkan semua pihak bekerjasama. Kerajaan negeri juga dilihat sangat menyokong usaha ini dan memberi ruang serta galakan kepada syarikat-syarikat yang berminat.
Andrew memuji sikap proaktif kerajaan negeri.
“Terengganu sedang berada di landasan yang betul. Cuma yang penting sekarang ialah kerajaan negeri terus galakkan pelaburan, sokong penyelidikan dan buka ruang kepada kerjasama pelbagai pihak. Potensi Terengganu belum sampai ke kemuncaknya,” katanya.
Menurut beliau, bank-bank tempatan juga kini giat menyediakan pembiayaan khas seperti ‘Green Energy Financing’ untuk menyokong syarikat-syarikat yang mahu meneroka bidang tenaga boleh baharu.
Katanya lagi, rakyat akan mendapat hasil optimum apabila projek tersebut bermula.
“Rakyat akan dapat peluang pekerjaan. Bila beroperasi nanti pun, tenaga kerja diperlukan. Ekonomi setempat akan berkembang peniaga kecil, kedai makan, pasar mini semua akan dapat tempias manfaat,” katanya.
Shazli optimis dalam masa 5 hingga 10 tahun Terengganu bakal mencipta nama di mata dunia.
Persidangan ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari menjadi platform penting menghimpunkan tokoh industri dari dalam dan luar negara.
Antara topik utama ialah tenaga solar, turbin angin, hidrogen dan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) serta pelanjutan hayat aset industri sedia ada.
26 Jun 25
473
Gotong-Royong Madani SMKSS Kumpul 2.7 Tan Sampah
KUALA TERENGGANU, 26 Jun – Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) berjaya mengumpul sebanyak 2.7 tan sisa buangan menerusi Program Gotong-Royong Kitar Semula Madani.
Pengetua SMKSS, Mohd Fadzli Yusof berkata, program itu memfokuskan kepada usaha mengitar semula bahan buangan di sekitar sekolah serta kawasan pesisir pantai berhampiran sebagai usaha menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
“Program ini selaras dengan aspirasi Madani yang menekankan aspek kebersihan, kelestarian dan kerjasama dalam komuniti.
“Terima kasih atas komitmen semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menjadikan program ini realiti,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut, di sini semalam.
Beliau menjelaskan, amalan kitar semula tidak seharusnya dianggap remeh kerana setiap bahan yang dibuang secara sembarangan menyumbang kepada pencemaran jangka panjang.
“Botol plastik, kertas atau tin yang tidak diuruskan dengan betul akan terus membebankan alam sekitar.
“Dengan mengitar semula, kita bukan sahaja mengurangkan sampah, tetapi juga menjimatkan tenaga dan sumber asli,” jelasnya.
Tambahnya, SMKSS beriltizam menjadikan amalan kitar semula sebagai budaya harian yang dipraktikkan oleh semua warga sekolah.
“Marilah kita jadikan amalan ini satu kebiasaan, bukan sekadar aktiviti tahunan.
“Kesedaran ini perlu bermula dari dalam diri murid, guru dan seluruh komuniti sekolah,” tegas beliau.
Program tersebut disertai oleh murid, guru, alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru pendidikan Islam (GPI) serta dijayakan dengan kerjasama strategik Geng Plastik Ija (GPI), yang aktif dalam usaha advokasi kitar semula di peringkat komuniti.
“Apabila kita berganding bahu mengurus bahan buangan, kita sedang membentuk komuniti yang lebih beretika dan prihatin.
“Usaha ini bukan hanya kerja fizikal, tapi pendidikan nilai yang memberi kesan jangka panjang,” ujarnya.
26 Jun 25
293