lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Jabatan Mufti, MAIDAM Perkukuh Kefahaman Ilmu Falak
Jabatan Mufti, MAIDAM Perkukuh Kefahaman Ilmu Falak
KUALA TERENGGANU, 30 Jun- Jabatan Mufti Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menganjurkan Program Bulan Falak Malaysia Peringkat Negeri Terengganu bagi memperkukuhkan kefahaman ilmu falak di kalangan umat Islam khususnya di negeri ini. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, program sebegini merupakan platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang perkembangan dalam ilmu falak. “Contohnya mengenai penggunaan teknologi moden, kaedah cerapan, arah kiblat dan pelbagai lagi aspek penting dalam menyokong ketepatan hukum dan amalan umat Islam. “Malah panel jemputan dapat menjernihkan dan mencerahkan lagi kefahaman kita terhadap ilmu falak,” ujarnya. Beliau yang mewakili Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bulan Falak Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu di sini, semalam. Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas usaha yang begitu gigih mengatur program yang amat bertepatan dengan keperluan masa kini. “Ilmu falak bukan sahaja berkaitan dengan pengiraan waktu solat atau penentuan awal Ramadan dan 1 syawal tetapi ia juga cabang ilmu yang mencerminkan keagungan ciptaan Allah S.W.T. “Kegemilangan tamadun Islam terdahulu banyak dipandu oleh kehebatan ilmuan falak seperti Ibnu Yunus yang secara tidak langsung membuktikan Islam sangat menekankan kepentingan ilmu dan ketepatan dalam melakukan amal ibadah,” ujarnya. Justeru, beliau mengharapkan program sebegini akan terus diperkasa dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam memartabatkan ilmu falak sebagai teras kecemerlangan umat Islam.  
30 Jun 25
118
Kayak Fishing Antarabangsa Terengganu Tarik Minat Thailand, Singapura, Brunei dan Laos
Kayak Fishing Antarabangsa Terengganu Tarik Minat Thailand, Singapura, Brunei dan Laos
KEMAMAN, 29 Jun – Penganjuran Kayak Fishing International Terengganu Challenge 2025 (KFIT2025) di Pantai Teluk Kalong, Kijal berjaya menarik penyertaan peserta dari luar negara termasuk Thailand, Singapura, Brunei dan Laos. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kejohanan tersebut bukan sekadar aktiviti memancing, tetapi satu fenomena yang menggabungkan elemen sukan lasak, rekreasi dan pelancongan. “Terengganu bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi turut kaya dengan warisan budaya yang unik. “Kejohanan seperti ini menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan negeri kita kepada dunia,” katanya ketika berucap pada program berkenaan semalam. Razali berkata, penganjuran itu membuktikan bahawa potensi besar Terengganu sebagai hab pelancongan sukan air bertaraf antarabangsa. “Ia selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan melalui penganjuran program berimpak tinggi. “Saya merakamkan penghargaan kepada GL Kayak Fishing Club selaku penganjur bersama sokongan Pejabat Daerah Kemaman, Tourism Malaysia, serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya. Tambah beliau, kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran program sebegini kerana ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat khususnya kepada peniaga, pengusaha homestay, dan industri pelancongan. “Saya menjemput para peserta dan pengunjung untuk menikmati pelbagai produk pelancongan dan sajian tradisional negeri seperti Lemang Kijal, nasi dagang, Ikan Celup Tepung (ICT) serta keropok lekor cicoh colek (KLCC). “Insya-Allah, kejohanan ini menjadi antara acara utama pelancongan sukan negeri dan dijangka terus berkembang sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa,” ujarnya. Untuk makluman, program tersebut turut diserikan dengan aktiviti sampingan seperti Geng Lipak FMC 3.0, Food Fest dan sesi perkongsian ilmu, menjadikannya bukan sahaja medan pertandingan tetapi juga sebagai platform membina jaringan dan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan.                    
29 Jun 25
786
Artis Ternama dan UAI Bakal Gegarkan TIBW 2025 Julai Ini
Artis Ternama dan UAI Bakal Gegarkan TIBW 2025 Julai Ini
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Terengganu International Bike Week (TIBW) 2025 bakal menjadi medan luar biasa apabila menghimpunkan nama-nama besar dari dunia hiburan dan dakwah dalam satu pentas yang sama. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata acara yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Julai 2025 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu itu bakal dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Dato’ Hattan, Hazama dan Aweera, selain slot istimewa Sembang Santai bersama ikon dakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus bersama Zizan Razak. “Pendekatan seimbang ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan TIBW bukan hanya tumpuan golongan peminat motor, tetapi juga keluarga dan komuniti umum. “TIBW 2025 bukan sahaja akan menghiburkan, malah menitikberatkan dalam aspek keagamaan. Inilah keunikan Terengganu,” katanya ketika Sidang Media Majlis Peluncuran TIBW 2025 yang berlangsung di Ace Café Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir, Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Razali berkata, selain persembahan pentas, acara lain seperti ‘stunt show’, ‘slow race’, ‘auto show’, persembahan ‘Brass Band’, jualan usahawan tempatan serta kehadiran lebih 40 kelab permotoran dari dalam dan luar negara bakal memeriahkan lagi festival itu. ‘Dengan tema ‘Maghi Awal, Balik Lambat’, penganjur menyasarkan lebih 150,000 pengunjung, satu lonjakan besar berbanding kehadiran 10,000 orang pada edisi 2024. ‘Orang ramai boleh mengikuti info terkini TIBW 2025 melalui saluran rasmi media sosial Beautiful Terengganu Malaysia dan Terengganu Bike Week,” ujarnya.    
29 Jun 25
2252
Penguatkuasa Agama Pantau Kubur Nurly Elak Amalan Khurafat
Penguatkuasa Agama Pantau Kubur Nurly Elak Amalan Khurafat
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Besut akan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan tiada sebarang perbuatan khurafat berlaku di kawasan kubur arwah Nurly Shahirah Azman, mangsa bahas bas pelajar UPSI. Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, pemantauan itu adalah sebahagian daripada usaha mengekang sebarang aktiviti yang bercanggah dengan hukum syarak di kawasan tanah perkuburan. Menurutnya, pihaknya memberi amaran tegas bahawa mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan khurafat akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001. “Seksyen 3A – Perbomohan dan Sihir memperuntukkan bahawa mana-mana individu atau pusat rawatan yang melakukan atau menjalankan amalan perbomohan, sihir, atau apa-apa perbuatan bercanggah dengan hukum syarak boleh dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan. “Hukuman itu meliputi denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran oleh kenalan ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Nazrul, yang meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila segelintir individu mengambil kesempatan melakukan amalan khurafat ketika menziarahi kubur arwah Nurly. Antara perbuatan yang dikesali termasuk tindakan individu tertentu yang mengambil tanah dari kubur arwah, kononnya untuk membantu menyelesaikan urusan kehidupan mereka. Dalam satu hantaran berasingan, Ahmad Nazrul memaklumkan bahawa tali penghadang telah dipasang mengelilingi kubur arwah sebagai inisiatif ahli keluarga bagi mengelakkan kawasan tersebut dicemari dengan unsur syirik dan khurafat. Dalam pada itu, wakil keluarga Allahyarhamah Nurly memaklumkan bahawa mereka hanya menerima kunjungan tetamu dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, dan tidak akan menerima sebarang kunjungan pada 2 hingga 5 Julai atas sebab-sebab tertentu.
29 Jun 25
240
Terengganu Rayu Kerajaan Persekutuan Tangguh Pelaksanaan SST
Terengganu Rayu Kerajaan Persekutuan Tangguh Pelaksanaan SST
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Kerajaan Persekutuan dirayu menangguhkan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 1 Julai 2025 kepada tarikh lain untuk memberi lebih banyak persediaan kepada semua pihak berikutan beberapa aspek yang masih memerlukan penjelasan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan agar peluasan SST dilaksanakan dengan kadar lebih rendah, sebanyak empat peratus dalam tempoh dua tahun pertama (2026–2027) bagi meringankan beban cukai terhadap perniagaan dan pengguna. Menurutnya, langkah itu bertujuan memberi lebih banyak masa kepada para peniaga dan pengguna untuk membuat persediaan menghadapi situasi ekonomi yang dijangka tidak menentu akibat pelaksanaan cukai tersebut. “Kadar yang kekal rendah dalam pelaksanaan SST akan mengundang pertumbuhan ekonomi negara apabila para peniaga masih berkeupayaan mengembangkan perniagaan dengan keuntungan yang munasabah, dan harga barang tidak membebankan pengguna kerana kuasa beli mereka masih tidak terjejas. “Tahap kuasa beli pengguna di Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi dan sosial, termasuk inflasi, kadar pengangguran, pertumbuhan gaji serta kestabilan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau, kadar hutang isi rumah Malaysia masih tinggi iaitu kira-kira 86 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus mengehadkan keupayaan berbelanja dalam kalangan rakyat. Ujarnya lagi, kajian Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa golongan B40 dan M40 mengalami penurunan kuasa beli, manakala T20 masih mempunyai daya belian yang stabil. “Simpanan kebanyakannya digunakan untuk keperluan asas, bukan untuk pembelian berasaskan kehendak (wewenang). ‘Purchasing Power Parity’ (PPP) Malaysia dianggarkan sekitar RM135,313.42 pada tahun 2024, mencerminkan kuasa beli yang sederhana,” katanya.  Menurut Ariffin, kuasa beli pengguna di Malaysia kini sedang tertekan akibat inflasi, gaji yang tidak mencukupi serta kos sara hidup yang tinggi. “Namun, dengan bantuan kerajaan dan pertumbuhan ekonomi yang stabil, terdapat harapan untuk pemulihan secara beransur-ansur,” jelas beliau lagi. Justeru itu, katanya, kerajaan persekutuan perlu membuat pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan beberapa pihak termasuk Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berhubung penangguhan pelaksanaan SST tersebut demi kebaikan rakyat.
29 Jun 25
6234
10,000 ‘Y Suku’, ‘Y16’ Gegar Litar Gong Badak
10,000 ‘Y Suku’, ‘Y16’ Gegar Litar Gong Badak
KUALA NERUS, 29 Jun – Lebih 10,000 pemilik motosikal Yamaha Y15ZR (Y Suku) dan Yamaha Y16ZR (Y16) dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Gong Badak semalam sempena penganjuran Cara Geng Y Members 2.0 yang berlangsung dengan penuh meriah. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Kerajaan Negeri Terengganu amat mengalu-alukan kehadiran peserta yang datang dari pelbagai negeri untuk menyertai acara komuniti permotoran tersebut. “Terima kasih atas kehadiran semua pemilik Y Suku dan Y16 ke negeri Terengganu. Semoga segala urusan permusafiran sepanjang berada di sini dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya ketika hadir menyantuni peserta. Menurut beliau lagi, pihak kerajaan berharap setiap peserta yang hadir menerima layanan baik daripada rakyat Terengganu serta membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negeri ini. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan program tersebut untuk kali kedua, serta berharap agar sebarang kelemahan sebelum ini telah diperbaiki. “Sekiranya Terengganu terus menjadi tuan rumah pada masa akan datang, kita harap penganjuran ini dapat dipertingkatkan lagi dan mampu memberikan pengalaman terbaik kepada semua peserta,” tambahnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup program, turut diserikan dengan hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta jenama Range Rover, lima buah motosikal Y Suku dan Y16, serta pakej melancong ke Turki dan mengerjakan umrah. Dalam ucapannya, Hishamuddin turut menitipkan nasihat agar para peserta sentiasa menjaga adab, tatasusila dan mematuhi peraturan jalan raya sepanjang perjalanan pulang ke destinasi masing-masing. “Sepanjang bermusafir, carilah masjid atau surau untuk kita jadikan tempat sujud kepada Allah sebagai tanda kehambaan. “Mudah-mudahan ia menjadi saksi di hari akhirat bahawa kita pernah singgah ke rumah Allah SWT ketika berada di negeri Terengganu, dan melabuhkan dahi merendah diri kepada-Nya, sebagai tanda kepatuhan kepada Pemilik segala-galanya,” ujarnya.
29 Jun 25
2086
Permainan Sepak Raga, Motor Lambat, Semai Ukhuwah ADUN dan Masyarakat
Permainan Sepak Raga, Motor Lambat, Semai Ukhuwah ADUN dan Masyarakat
DUNGUN – Program Yang Berhormat (YB) Bersama Rakyat di UDM Gong Pasir, semalam berlangsung dengan penuh kemeriahan, sekaligus berjaya merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat. Program yang dimulakan dengan solat subuh berjemaah dan kuliah subuh bersama penduduk kampung ini diikuti dengan sesi minum pagi, memberi ruang untuk kepimpinan setempat beramah mesra sambil mendengar sendiri pandangan serta keluhan masyarakat. Selain pengisian rohani, pelbagai aktiviti santai turut diadakan antaranya pertandingan motor lambat, permainan sepak raga, bola beracun serta khidmat tukar minyak hitam motosikal secara percuma yang mendapat sambutan sangat baik daripada penduduk Gong Pasir. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata program seumpama ini bukan sahaja mendekatkan kepimpinan dengan rakyat, bahkan menjadi salah satu platform penting untuk membina hubungan baik dan kefahaman antara satu sama lain. “Program seperti ini akan diteruskan di kesemua kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang. Ia menjadi peluang untuk saya bertemu dengan seluruh komuniti setempat dengan lebih dekat lagi, memahami keperluan mereka dan berkongsi rezeki serta kegembiraan bersama,” ujarnya. Suasana harmoni dan mesra sepanjang program ini jelas menunjukkan betapa pendekatan turun padang mampu memperkukuhkan ukhuwah dan menyemai rasa kebersamaan dalam membina sebuah komuniti yang progresif dan sejahtera.
29 Jun 25
57
Tiga Pelancong Maut, Satu Kritikal dalam Tragedi Bot Terbalik
Tiga Pelancong Maut, Satu Kritikal dalam Tragedi Bot Terbalik
  BESUT, 29 Jun -Tiga maut manakala satu kritikal dalam tragedi sebuah bot pelancong terbalik akibat ribut kuat dan kepala angin yang melanda. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu Bakar berkata insiden yang berlaku di hadapan sebuah resort, kira-kira jam 11 malam. Katanya, berdasarkan maklumat awal bot berkenaan dinaiki 16 orang termasuk seorang pemandu bot. "Semua mangsa yang lain selamat dan masih berada di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian menunggu bantuan untuk dihantar ke Jeti Kuala Besut,"katanya
29 Jun 25
27
Nelayan Hilang : Masjid, Surau Adakan Solat Hajat
Nelayan Hilang : Masjid, Surau Adakan Solat Hajat
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Usaha mencari Mohd Nor Abdullah, nelayan yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu di perairan berhampiran Pulau Bidong, terus dipergiatkan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk pendekatan kerohanian oleh masyarakat setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, seiring pencarian fizikal yang dijalankan agensi penyelamat dan pasukan sukarelawan, masyarakat di sekitar turut memainkan peranan penting dengan mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat sejak malam pertama kehilangan mangsa. "Beberapa buah surau dan masjid di kawasan sekitar pusat operasi telah menganjurkan program kerohanian tersebut secara berjemaah, memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah SWT agar pencarian dipermudahkan serta mangsa ditemukan dalam keadaan selamat. “Hanya kepada Allah SWT tempat kita berserah. Doa dan harapan kita adalah agar misi pencarian esok hari lebih dipermudahkan dan membuahkan hasil,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri selepas meninjau operasi CARILAMAT hari ini. Dalam perkembangan terkini, Hishamuddin memaklumkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) telah menemui beberapa peralatan dipercayai milik mangsa, termasuk tong ikan dan pelapik duduk bot yang dikenal pasti oleh ahli keluarga.  "Namun, mangsa dan bot miliknya masih belum dijumpai. "Sementara itu, satu pasukan sukarelawan penyelam turut menjalankan pencarian bawah permukaan di kawasan berhampiran lokasi terakhir mangsa dipercayai berada. "Masyarakat diseru untuk terus mendoakan keselamatan Mohd Nor dan kekuatan buat keluarganya yang menanti dengan penuh harapan," tambah beliau. Operasi CARILAMAT mangsa ditangguhkan 7.30 malam dan akan dksambung semula 7 pagi esok.
27 Jun 25
1452
Penghijrahan Rasulullah Asas Tamadun Gemilang – MB Terengganu
Penghijrahan Rasulullah Asas Tamadun Gemilang – MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Sambutan Maal Hijrah setiap tahun mengangkat sebuah peristiwa agung dalam sejarah Islam yang wajar dihayati secara menyeluruh oleh umat Islam. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penghijrahan Rasulullah SAW bukan sekadar peristiwa fizikal semata-mata, tetapi membawa misi besar dalam membina tamadun yang gemilang berasaskan syiar Islam. “Peristiwa hijrah mengajar kita bahawa perubahan besar tidak berlaku dengan kekuatan fizikal sahaja, tetapi menuntut kesabaran, strategi, kebijaksanaan serta keimanan yang mendalam. “Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah bukan kerana kelemahan, tetapi kerana visi yang jelas untuk membina tamadun yang berteraskan tauhid dan keadilan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan. Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu itu turut diiringi Yang Amat Mulia Tengku Seri Setia Mahkota Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan hadiah dan anugerah kepada pemenang-pemenang dan tokoh-tokoh sempena Maal Hijrah bagi tahun ini.  
27 Jun 25
208