lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Penantian 19 Tahun Berakhir
Penantian 19 Tahun Berakhir
KUALA NERUS, 25 Jun – Penantian hampir dua dekad seorang nelayan dan suri rumah untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai apabila kerajaan negeri menyerahkan kunci rumah pangsa kepada mereka, semalam.  Norbaizura Zainal Abidin, salah seorang penerima unit kediaman tersebut, melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas rezeki yang dinanti sejak 19 tahun lalu. “Syukur sangat kepada Allah SWT dan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu serta PMINT kerana akhirnya impian saya memiliki rumah sendiri tercapai. Saya telah memohon pelbagai projek perumahan sebelum ini termasuk Flat PPR Hiliran. “Daripada anak pertama sampai lah lima orang anak, Alhamdulillah hari ini baru dapat. Terima kasih banyak kepada semua yang membantu,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci. Seorang lagi penerima, Bibi Izzati Nadia Kama turut berkongsi rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima unit rumah mampu milik tersebut. “Sebelum ini kami menyewa rumah di Gong Badak dengan bayaran RM550 sebulan. Saya mohon sejak 2012 melalui projek perumahan sebelum ini, sehiggalah berusaha lagi dan mengemas kini permohonan bagi mendapatkan RPMM Tok Jembal sejahtera  akhirnya kini kami sekeluarga, saya, suami dan dua anak mempunyai kediaman sendiri dengan bayaran sewa bulanan yang sangat rendah. “Syukur sangat-sangat, ini satu rahmat besar buat keluarga kecil kami,” katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas komitmen kerajaan negeri yang terus membela nasib rakyat melalui penyediaan perumahan yang selesa dan mampu milik. “Penyerahan rumah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri serta agensi seperti PMINT dan SUK Bahagian E-Perumahan yang bertungkus-lumus memastikan projek ini siap dan boleh didiami tidak lama lagi, insya-Allah,” katanya. Beliau turut mengingatkan para penerima agar bertanggungjawab dalam melunaskan bayaran bulanan tepat pada masanya. “Dengan kadar sewa bulanan yang sangat rendah, kita harap semua penerima tidak culas. Kita tidak mahu berulang seperti kes sebelum ini, tunggakan sewa mencecah ribuan ringgit. “Juga, jaga keharmonian dan hormat antara jiran tetangga. Kehidupan di rumah pangsa ini memerlukan tolak ansur dan saling menjaga persekitaran demi keselesaan bersama,” tegas beliau. Majlis penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman mampu milik dan patuh syariah kepada rakyat berpendapatan rendah.
25 Jun 25
337
Terengganu Pastikan Industri CCUS Untungkan Rakyat, Negeri
Terengganu Pastikan Industri CCUS Untungkan Rakyat, Negeri
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan bahawa pelaksanaan industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) akan dirangka agar memberi pulangan ekonomi kepada rakyat dan kerajaan negeri. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun pembangunan CCUS merupakan inisiatif nasional yang digerakkan bersama dengan kerajaan Persekutuan (PETRONAS), Terengganu akan memastikan kedudukannya sebagai lokasi strategik dalam industri ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk faedah tempatan. “Kita sedang berbincang dengan PETRONAS dan GLC negeri untuk melihat bagaimana pelaksanaan CCUS ini boleh direalisasikan dengan manfaat maksimum kepada Terengganu, bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada penyimpanan karbon,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 di Taman Tamadun Islam, kelmarin.  Beliau menegaskan bahawa segala inisiatif CCUS yang akan dijalankan perlu memberi pulangan dalam bentuk hasil negeri, pembangunan kapasiti sumber manusia serta peluang kepada syarikat tempatan agar rakyat tidak sekadar menjadi pemerhati. “Kita mahu CCUS dilaksanakan secara menyeluruh, berdaya tahan dan inklusif. Terengganu tidak boleh dikesampingkan daripada mendapat pulangan sewajarnya,” tegasnya. Tambah beliau, kelulusan Rang Undang-Undang CCUS 2025 oleh Parlimen pada Mac lalu membuka jalan kepada pertumbuhan industri baharu yang dapat menjana pelaburan dan peluang pekerjaan. Namun ujarnya, kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan di peringkat negeri berlangsung secara terancang dan memberi kesan positif kepada ekonomi rakyat. Persidangan ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari itu dirasmikan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.  Ia menghimpunkan pemain industri tenaga serantau bagi membincangkan masa depan sektor minyak, gas dan tenaga boleh baharu, termasuk potensi besar industri CCUS di Pantai Timur.
25 Jun 25
532
Mahasiswa Teruja Impak ECE 2025, Sokong Terengganu Teroka Hasil baharu
Mahasiswa Teruja Impak ECE 2025, Sokong Terengganu Teroka Hasil baharu
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini ternyata memberi impak besar kepada mahasiswa dan mahasiswi Terengganu. Ia susulan Terengganu kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri peneraju dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui negara. Rata-rata pelajar yang ditemui pada hari kedua penganjuran persidangan yang menghimpunkan lebih 1,000 perwakilan termasuk pembuat dasar, pemimpin industri tenaga, pelabur dan inovator dari dalam dan luar negara itu amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan pada persidangan berkenaan. Pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Zakwan M. Fadhli yang mengikuti Program Pemimpin Muda sempena persidangan tersebut berkata, ECE 2025 membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk lebih memahami tentang industri tenaga di Pantai Timur. “Program ini sangat bagus untuk pelajar, selain didedahkan dengan pelbagai ilmu tentang teknologi baru ia turut memberi kami maklumat yang lebih mendalam tentang keperluan industri untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas ini,” ujarnya kepada pemberita. Dalam pada itu, beliau turut menyokong ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena majlis perasmian program berkenaan yang ada menyatakan bahawa Terengganu tidak perlu mengharapkan seratus peratus kepada sumber petroleum. “Sebaliknya perlu menjana pendapatan baharu bagi menyaksikan negeri kita muncul sebagai peneraju dalam transformasi tenaga bersih berasaskan inovasi, daya tahan dan pemerkasaan serantau,” ujarnya. Malah katanya, Terengganu mempunyai potensi yang cukup besar untuk melangkah lebih jauh sebagai peneraju utama dalam pembangunan sumber tenaga hijau negara. “Contoh terbaik yang Petronas sedang hasilkan sekarang ini iaitu teknologi hidrogen. “Justeru, dengan adanya sumber tenaga baharu ia memberi harapan kepada negeri kita untuk lebih maju tanpa bergantung kepada hasil petroleum,” ujarnya. Sementara itu rakannya, Nurul Alya Farhana Nasruddin dan Nurul Hidayah Ekasah turut menyokong pandangan Zakwan. Katanya, selain industri tenaga, persidangan berkenaan turut mendedahkan mereka dengan Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin popular. “Bagi kami, sebagai pelajar kita wajar dikuasai AI kerana kita boleh mengaplikasikannya semasa belajar malah boleh menjadikan bidang tersebut sebagai haluan kerjaya,” ujarnya.
25 Jun 25
314
Sultan Mizan Berkenan Isytihar Surat Baginda Omar Sebagai Warisan Dunia
Sultan Mizan Berkenan Isytihar Surat Baginda Omar Sebagai Warisan Dunia
KUALA NERUS, 25 Jun – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan mencemar duli berangkat mengisytiharkan Koleksi Surat Persendirian Baginda Omar sebagai dokumen warisan dunia di bawah Program Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP), satu pengiktirafan tertinggi daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Majlis bersejarah itu turut dirasmikan sendiri oleh baginda, menzahirkan komitmen tinggi institusi diraja dalam memelihara khazanah warisan negara. Dalam titahnya, Sultan Mizan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai bukti bahawa koleksi warisan yang dikumpulkan sejak abad ke-19 merupakan aset sejarah bangsa yang bernilai tinggi di mata dunia. "Beta dengan sukacitanya mengisytiharkan bahawa koleksi surat persendirian Baginda Omar secara rasminya telah diiktiraf sebagai dokumen warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). "Dan merasmikan Seminar Warisan Asia Pasifik Surat Persendirian Baginda Omar anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT)," titah baginda. Pengisytiharan itu dimasyhurkan secara rasmi dalam Majlis Peristiharan dan Seminar Warisan Asia Pasifik Surat Persendirian Baginda Omar, yang berlangsung penuh adat istiadat di Dewan Sultan Mizan, UMT, di sini semalam. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut penuh istiadat oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandami, dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman. Turut mengiringi baginda ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, serta paduka-paduka anakanda. Koleksi bersejarah yang terdiri daripada 56 naskhah surat persendirian Sultan Omar, pemerintah ke-9 Terengganu dari tahun 1839 hingga 1876, telah terlebih dahulu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 30 September 2010. Pengiktirafan antarabangsa oleh UNESCO ini bukan sahaja mengangkat martabat sejarah dan intelektual Terengganu, malah menjadi lambang keunggulan warisan ilmu, pentadbiran dan diplomasi Melayu yang terdokumentasi dengan penuh ketelitian sejak lebih satu abad lalu.  
25 Jun 25
302
“Dulu Menyewa, Sekarang Miliki Rumah Sendiri” – Luahan Syukur Penjual Sayur
“Dulu Menyewa, Sekarang Miliki Rumah Sendiri” – Luahan Syukur Penjual Sayur
KUALA NERUS, 25 Jun – "Tiga kali temuduga, enam tahun menunggu, akhirnya rezeki Allah bagi juga," itu luahan penuh syukur wanita yang mahu dikenali sebagai Nora, 33, seorang penjual sayur yang bersama suaminya Mohd Zubir Ngah, 35. Impian mereka untuk memiliki rumah pertama akhirnya ternokhtah selepas menerima inisiatif Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal Sejahtera di bawah Kerajaan Negeri Terengganu. Bagi pasangan ini, rumah bukan hanya tempat berteduh namun ia hadiah paling bermakna selepas bertahun menabung mimpi. “Abang (suami) dah tiga kali temuduga, masa bujang, masa awal kahwin, sekarang ni, lepas enam tahun kahwin, baru dapat. Syukur sangat,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman dengan senyuman yang menahan sebak semalam. Pasangan ini menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual sayur di pasar pagi Bukit Besar, warisan tapak niaga ibunya yang kini menjadi punca rezeki mereka. Kini mereka perlu keluar rumah lebih awal setiap hari kerana jarak dari Tok Jembal ke tapak niaga agak jauh berbanding dahulu ketika tinggal di Panji Alam. Namun, kata Nora, semua itu tidak menjadi masalah apabila dibandingkan dengan rezeki besar yang Allah kurniakan. “Dulu sewa RM600 di Bukit Tunggal. Sekarang cuma RM320 (bayaran sewa beli) sekali dengan kos ‘maintenance’. “Banyak sangat dapat jimat. Tak sangka, rezeki besar macam ni datang pada kami juga,” jelasnya. Bagi seorang lagi penerima, Mohd Hasbullah Halmi, 37, detik menerima kunci rumah ibarat menyambut kelahiran harapan baru dalam hidupnya. “Sejak pecah tanah lagi saya mohon. Enam tahun tunggu. Akhirnya hari ni Allah izinkan saya genggam kunci rumah sendiri. “Terima kasih Kerajaan Terengganu. Ramai mohon, bukan senang nak dapat. Tapi hari ini, saya tahu, setiap doa itu akhirnya akan sampai,” katanya yang berkali-kali mengulang ucapan syukur. Terdahulu Kerajaan Negeri memaklumkan, sebanyak 160 unit rumah pangsa dibina di atas tanah seluas 4.2 ekar di Kampung Tok Jembal. Seramai 142 penerima sudah menerima kunci, dan 12 lagi akan menyusul tidak lama lagi. Dengan harga bersubsidi RM80,000 (harga asal RM150,000), pemilik hanya perlu membayar serendah RM221.10 sebulan, dengan RM100 bayaran penyelenggaraan. Rumah berkeluasan 801.48 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, tempat letak kereta berbumbung, dewan serbaguna dan taman permainan sebuah pakej sempurna buat keluarga yang baru bermula. Di sebalik tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam rakyat, program RPMM benar-benar membantu mereka yang memerlukan.  
25 Jun 25
212
Impian Tercapai, 142 Keluarga Termasuk OKU Terima Rumah
Impian Tercapai, 142 Keluarga Termasuk OKU Terima Rumah
KUALA NERUS, 24 Jun - Seramai 142 buah keluarga bertuah menerima kunci pemilikan bagi projek Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Jembal Sejahtera yang telah dibangunkan di Kampung Tok Jembal, daerah Kuala Nerus. Mewakili Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri sentiasa cakna akan keperluan rakyat, khususnya dalam aspek penyediaan kediaman yang selesa, berkualiti dan mampu dimiliki oleh semua golongan terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. "Usaha ini dilaksakan dengan penuh iltizam walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi dan kos pembinaan. Walaupun tekanan ekonomi global memberi kesan kepada industri pembinaan, kerajaan negeri tetap komited dalam menyediakan rumah yang selesa dan patuh syariah. "Hari ini kita menyaksikan hasil usaha itu melalui pembinaan sebanyak 160 unit rumah pangsa mampu milik (RPMM) Tok Jembal Sejahtera di atas tapak seluas 4.20 ekar yang diperuntukkan khas untuk penduduk di Kuala Nerus dan sekitarnya.  "Projek perumahan ini merupakan cerminan keprihatinan dan keutamaan kerajaan dalam kesejahteraan rakyat dengan pemilikan rumah sendiri", katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Kunci RPMM Tok Jembal Sejahtera bertempat di Dewan Serbaguna Tok Jembal, pagi tadi. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato' Wan Adnan Wan Derahman; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat; ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail serta ADUN Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak. Bertemakan 'Rumah Selesa, Rakyat Sejahtera', Wan Sukairi berkata, projek yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM27.9 juta itu memuatkan lima blok bangunan bertingkat empat dengan keluasan selesa 801.48 kaki persegi bagi setiap unit rumah. "Setiap rumah dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air serta satu tempat letak kereta berbumbung.  "Perumahan ini turut menyediakan kemudahan sokongan bagi memastikan keselesaan dan keharmonian komuniti setempat termasuklah enam unit gerai niaga, sebuah taska, sebuah tadika, surau, bilik pengurusan jenazah, taman permainan kanak-kanak, gelanggang badminton serta sebuah dewan terbuka bagi kegunaan bersama," katanya.  Tambah beliau, sebuah pejabat pengurusan juga telah disediakan bagi memastikan pengurusan penyelenggaraan fasiliti di kawasan perumahan baharu itu berjalan dengan lancar yang turut bertujuan untuk menjamin keselamatan penduduk. Namun begitu jelasnya, untuk memastikan setiap keperluan dan penyelenggaraan yang perlu dilakukan secara berkala dapat dijalankan dengan sempurna, beliau berpesan kepada bakal penghuni RPMM tersebut untuk memainkan peranan masing-masing dengan baik. "Saya mewakili kerajaan negeri ingin menyeru kepada semua penerima agar menjaga amanah ini sebaik mungkin, laksanakan tanggungjawab dengan memebuat bayaran bulanan secara berdisiplin. "Insya-Allah jawatankuasa yang menjaga kawasan perumahan ini akan dibentuk dan akan ada bayaran bulanan yang pemilik-pemilik perlu bayar dengan harga yang paling minima demi untuk jaga kebersihan, keharmonian dan keselamatan yang ada dalam kawasan kejiranan kita semua ini," pesannya.
24 Jun 25
369
Santuni Balu Veteran ATM, Hargai Jasa Pejuang Negara
Santuni Balu Veteran ATM, Hargai Jasa Pejuang Negara
DUNGUN, 30 Jun – Seramai 64 orang balu bekas Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Dungun menerima sumbangan bantuan berupa beras, ayam dan wang tunai dalam satu program yang diadakan di Pejabat Persatuan Veteran ATM Cawangan Dungun, baru-baru ini. Menurut kenyataan yang dikeluarkan di Facebook Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, program berkenaan bukan sekadar simbolik pemberian sumbangan, malah merupakan satu bentuk penghargaan dan kasih sayang masyarakat terhadap waris-waris pejuang negara yang telah banyak berkorban demi keamanan dan kedaulatan tanah air. “Pengorbanan anggota tentera tidak ternilai harganya dan jasa mereka wajar dikenang sepanjang zaman. Maka apabila seorang pejuang telah kembali ke rahmatullah, menjadi tanggungjawab kita untuk terus menyantuni keluarga yang ditinggalkan, khususnya balu yang memainkan peranan besar sebagai penyambung perjuangan di sisi keluarga. “Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung serta menyuntik semangat untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup. Usaha kecil ini diharapkan menjadi amal jariah dan bukti bahawa jasa para veteran tidak pernah dilupakan,” ujarnya dalam kenyataan itu. Tambahnya, program seumpama itu dilihat penting bagi membina jalinan kebersamaan antara masyarakat dan waris pejuang negara, di samping menyemarakkan semangat solidariti serta kesinambungan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. Sumbangan telah disampaikan oleh Pegawai Khas kepada YB Ahli Parlimen Dungun, Tuan Haji Mohd Amin bin Hamid, yang mewakili beliau dalam program tersebut.        
24 Jun 25
133
Amat Malang Jika Pendedahan Rafizi Benar
Amat Malang Jika Pendedahan Rafizi Benar
KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau selaku anggota Jemaah Menteri tidak dibenarkan memberi pandangan berbeza atau mengulas hal berkaitan kementerian lain dalam Mesyuarat Kabinet. Kenyataan tersebut mencetus persoalan tentang amalan keterbukaan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini didakwa menyekat suara dalam kalangan anggota kabinet sendiri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pendekatan yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu adalah jauh lebih terbuka dan telus. Menurut beliau, setiap keputusan penting di Terengganu dibuat secara kolektif menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang berlangsung setiap hari Rabu. “Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar dan turut dihadiri oleh SUK, LA, PKN, SU DUN serta semua 10 EXCO. “Jika terdapat ketidakpuasan atau kontroversi terhadap kertas cadangan yang dibawa, perdebatan akan berlaku secara terbuka. Lazimnya, kertas tersebut akan ditarik balik dan dibawa semula dalam mesyuarat akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam. Razali turut menjelaskan bahawa ruang untuk menyuarakan pandangan sentiasa dibuka melalui agenda 'Perkara Hal-Hal Lain', sekali gus memberi peluang kepada semua EXCO menyentuh isu-isu semasa dan memberi cadangan penambahbaikan. “Budaya menegur, memberi kritikan membina dan saling mengingatkan antara satu sama lain adalah perkara biasa demi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar untuk kepentingan agama dan rakyat. “Amat malang apabila Kabinet Madani menyekat suara dalam kalangan anggota Jemaah Menteri. Ini bukan semangat kolektif, ini hanya rubber stamp,” tegasnya.      
24 Jun 25
259
Terengganu Berpotensi Dalam Pembangunan Teknologi - Menteri
Terengganu Berpotensi Dalam Pembangunan Teknologi - Menteri
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Terengganu, Kelantan dan Pahang mempunyai potensi besar untuk terlibat dalam pembangunan teknologi masa hadapan. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata negeri-negeri itu akan terus diberi perhatian dari segi pelaburan, pendidikan dan sokongan pembudayaan STI agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh. "Sebagai contoh, pelaburan strategik dalam bidang seperti Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) di Terengganu bukan sahaja membuka ruang ekonomi baharu, malah memerlukan kemahiran khusus daripada tenaga tempatan. "Ini menandakan betapa pentingnya usaha memperkasakan bakat dalam kalangan anak muda untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai industri teknologi tinggi negara," ujarnya.  Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu. Lebih 5,000 peserta terdiri daripada pelajar, guru, pensyarah, penyelidik dan pemain industri dari seluruh Pantai Timur hadir memeriahkan program Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan kerjasama aktif kerajaan negeri, institusi pendidikan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat dalam menjayakan agenda pembangunan bakat STEM dan inovasi. Penganjuran Minggu Sains Negara 2025 turut menawarkan lebih 50 aktiviti dan pengisian menarik yang berteraskan STI untuk para pengunjung dan peserta di luar sana
24 Jun 25
104
Tuba, Renjatan Elektrik Gugat Ekosistem Sungai
Tuba, Renjatan Elektrik Gugat Ekosistem Sungai
HULU TERENGGANU, 24 Jun – Sungai-sungai di Terengganu terus berdepan kerosakan ekosistem akibat kegiatan haram seperti menuba ikan dan penggunaan renjatan elektrik, meskipun data terkini menunjukkan insiden ini semakin berkurang hasil peningkatan kesedaran masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kegiatan menuba yang menggunakan akar tuba (Derris elliptica) serta teknik kejutan arus elektrik masih berlaku dan memberi kesan langsung kepada sumber akuatik negeri. "Aktiviti tuba ikan, yang menggunakan akar tuba dan renjatan elektrik pada ikan masih ada. "Tapi pada akhir-akhir ini, mengikut data yang kita perolehi, angka itu sudah menurun," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail. Menurut beliau, pelaku kegiatan ini bukan hanya penduduk tempatan, malah terdapat laporan bahawa ia turut dipelopori oleh warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor dan menggunakan masa lapang mereka dengan cara merosakkan sumber. "Kita dapat laporan di kampung-kampung, aktiviti terlarang ini dipelopori oleh warga asing. "Pekerja asing yang datang bekerja di sini, antara kegiatan masa lapang dia ialah menangkap ikan dengan cara melanggar kaedah dan merosakkan sumber," jelasnya. Azman menyeru agar masyarakat menjadi barisan hadapan dalam memantau sungai dan segera melaporkan sebarang aktiviti haram demi menyelamatkan ekosistem air negeri. "Kalau di laut, biar kita rasa laut itu milik kita, kalau di sungai, biar kita rasa sungai itu sungai kita. "Cubalah jadi mata dan telinga untuk kita peka kepada kegiatan yang guna kaedah tangkapan yang merosakkan sumber seperti tuba, bom atau renjatan elektrik," tambahnya. Beliau menegaskan, dengan lebih 1,000 batang sungai dan perairan seluas 87,000 meter persegi, adalah mustahil untuk semua kawasan dipantau secara berkesan tanpa penglibatan komuniti setempat. "Jabatan tentu sekali tidak sempat nak letak kakitangan sepanjang aliran sungai. "Jadi orang kampunglah yang diminta perhatikan," ujarnya. Sebagai maklumat tambahan, menurut Akta Perikanan 1985 dan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993), penggunaan racun, bom atau arus elektrik dalam penangkapan ikan adalah dilarang sepenuhnya kerana boleh menyebabkan kepupusan spesies akuatik. Individu yang didapati bersalah boleh dikompaun sehingga RM500, didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada polis, pejabat perikanan berhampiran, atau hotline Fishcom di 03-88885019 / 03-88704058.
24 Jun 25
47