Artikel "Semasa" Terkini
Vaksin Covid-19 Beri Kesan Terhadap Mata Tidak Tepat - Pakar Perubatan
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Dakwaan bahawa program vaksinasi COVID-19 telah dihentikan susulan laporan kesan terhadap mata adalah tidak benar, menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah.
Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal meneruskan program imunisasi COVID-19 kerana manfaat vaksin jauh melebihi risiko kecil yang dikenal pasti dalam kajian.
“WHO tidak pun menghentikan program vaksinasi COVID-19 kerana manfaatnya melebihi daripada sedikit risiko. KKM juga tidak memberhentikan program imunisasi atas jawapan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Mengulas lanjut, Dr. Suhazeli menekankan bahawa kesan sampingan seperti yang dilaporkan dalam kajian terhadap kornea mata adalah sangat rendah dan jarang berlaku, serta pemantauan berterusan sedang dilakukan.
“Kesan sampingan yang rendah dan jarang sebegini akan sentiasa dipantau dari masa ke semasa,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan penularan satu artikel berkaitan kajian di Istanbul, Turki yang mendapati perubahan kecil pada struktur kornea selepas menerima vaksin mRNA jenis Pfizer-BioNTech. Kajian itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang kecacatan penglihatan berlaku dan kesan perubahan juga bersifat sementara.
22 Jul 25
111
Terengganu International Esport Showdown 2025 Platform Promosi Sukan Digital
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Kejohanan Terengganu International Esport Showdown 2025 menjadi platform dalam mempromosi budaya dan diplomasi sukan digital kepada semua peserta, khususnya pemain luar negara.
Presiden Persatuan Esport Malaysia Terengganu (ESMT), Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani berkata, dengan mengetengahkan nilai 'Terengganu Hospitality' , acara ini diharap bakal mengisi kalendar pelancongan negeri.
“Insha Allah, saya berharap kejohanan bertaraf antarabangsa ini akan dimasukkan ke dalam kalendar rasmi e-sukan antarabangsa,” katanya.
Kejohanan berprestij ini merupakan edisi pertama kejohanan e-sukan antarabangsa yang dianjurkan di luar Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu dipilih sebagai lokasi penganjurannya.
Seramai 504 peserta dari seluruh negara termasuk sembilan negara luar merangkumi Indonesia, Laos, Thailand, Brunei, Myanmar, Jepun, India dan Nigeria telah mengambil bahagian menjadikannya antara acara e-sukan terbesar di Malaysia setakat ini.
Tiga permainan dipertandingkan merangkumi E-football, Mobile Legends Bang Bang (MLLB) dan PUBG Mobile.
Sementara itu, pemain e-sukan muda berbakat, Ahmad Muhaimin Abd Razak, 20, dari Selangor atau lebih mesra di sapa Minbappe mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Terengganu International Esport Showdown 2025, sekaligus membawa pulang hadiah utama bernilai RM10,000.
Minbappe mempamerkan kehebatan luar biasa sepanjang kejohanan, menewaskan beberapa pemain profesional antarabangsa sebelum muncul juara mutlak.
Kejayaan Ahmad Muhaimin menjadi bukti bahawa Malaysia mempunyai bakat muda yang mampu bersaing di pentas dunia menjadi satu petanda positif untuk masa depan e-sukan negara.
22 Jul 25
323
Jelajah Silang Budaya SG4 Perkukuh Kerjasama Pelancongan Empat Negeri
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 2025 berjaya memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pelancongan antara negeri-negeri di bawah gagasan SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, jelajah di tiga negeri SG4 itu turut disusuli dengan program silang budaya yang mengetengahkan persembahan seni dan budaya masing-masing.
Katanya, jelajah itu bukan sahaja memberi peluang untuk mempromosikan pelancongan Terengganu, malah turut mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri.
“Program ini dimulakan di Kelantan menerusi kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud serta penganjuran program silang budaya di Dewan Gelanggang Seni, Kota Bharu.
“Silang budaya itu menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian dan nyanyian daripada negeri Terengganu dan Kelantan sekali gus menampilkan keunikan kedua-dua negeri tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Perkarangan Menara Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Program Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 ini turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan barisan konvoi.
Razali berkata melalui siri jelajah ini, pihaknya dapat berkongsi pengalaman, idea serta perancangan strategik bersama negeri-negeri dalam SG4 dalam usaha memperkasa industri pelancongan serantau secara kolektif.
“Jelajah diteruskan ke Kedah dan Perlis, di mana delegasi Terengganu mengadakan pertemuan bersama Exco Pelancongan Kedah, Dato’ Salleh Saidin di Menara Alor Setar, dan Exco Pelancongan Perlis, Abu Bakar Hamzah di Dewan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
"Dalam pada itu, jelajah ini turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa menerusi lawatan rasmi ke Narathiwat, Thailand," ujarnya.
Di sana, delegasi Terengganu telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Narathiwat, Mr Ruslan Arong dan Timbalan Gabenor Narathiwat, Mr Kritsananan Kamrai.
21 Jul 25
133
Empat Loji Rawatan Air SATU Terima Penarafan Bintang Oleh CGSO
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Komitmen Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam memastikan keselamatan fizikal fasiliti air dan persekitaran kerja yang selamat mendapat pengiktirafan apabila empat buah Loji Rawatan Air (LRA) kendaliannya dianugerahkan penarafan bintang oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
Antara yang menerima pengiktirafan tertinggi ialah LRA Bukit Bunga di Besut yang berjaya memperoleh penarafan lima bintang, manakala LRA Sungai Tong (Setiu), LRA Kepong dan LRA Losong (Kuala Terengganu) masing-masing dianugerahkan empat bintang.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts. Abdul Karim Endut berkata, pencapaian itu merupakan hasil daripada pelaksanaan berterusan prosedur keselamatan ketat serta pematuhan kepada standard keselamatan yang digariskan oleh CGSO.
"SATU telah berjaya meraih pengiktirafan lima bintang dalam audit Jabatan Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia buat pertama kalinya sejak penubuhan SATU pada 1999.
"Pencapaian bersejarah ini mencerminkan komitmen seluruh warga kerja SATU dalam memastikan tadbir urus keselamatan maklumat, infrastruktur dan operasi yang terbaik bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat Terengganu.
"Ia juga membantu mengurangkan potensi ancaman keselamatan dalaman dan luaran selain memberi dorongan untuk penambahbaikan berterusan dalam aspek operasi dan HSSE," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Minggu Keselamatan, Kesihatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE Week) SATU 2025 yang berlangsung di Permai Hotel, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Ir. Noorazman Soud; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, PPjB Nor Mahathir Muhamad; wakil CGSO negeri, Nazrul Hisyam Sidik serta rakan operator air dari negeri lain seperti Ranhill SAJ dan PAIP.
Tambah Abdul Karim, melalui penarafan bintang tersebut tahap keyakinan pelanggan terhadap servis SATU dari segi profesionalisme dan keselamatan operasi loji SATU dijangka akan meningkat.
"Pencapaian ini juga mencerminkan Keselamatan infrastruktur kritikal nasional (critical national infrastructure) terjamin. SATU mempunyai enam Loji Rawatan Air berstatus 'Sasaran Penting' sekaligus menunjukkan bahawa SATU mampu membekalkan bekalan air yang berkualiti dan terjamin," katanya lagi.
Beliau juga berkata, WEEK 2025 dengan tema 'Safe Steps, Green Future' merupakan program tahunan SATU bagi menunjukkan komitmen anak syarikat kerajaan negeri itu dalam penjagaan aspek keselamatan, kesihatan, dan alam sekitar.
20 Jul 25
172
Terengganu Lancar Skim Beli Motosikal Tanpa Caj Tambahan
KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan sebanyak RM844,000 di bawah Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa 'interest' bagi membantu rakyat kurang berkemampuan memiliki kenderaan untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban kewangan individu yang menjadikan motosikal sebagai alat utama dalam operasi harian mereka.
Menurutnya, skim tersebut dijangka memberi manfaat kepada 160 orang di seluruh 32 Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan lima penerima akan dikenal pasti di setiap kawasan.
“Penyelaras DUN akan memilih lima usahawan berkelayakan di kawasan masing-masing, mengesahkan latar belakang mereka, dan memastikan pemohon memenuhi semua syarat yang ditetapkan di bawah Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal.
“Golongan sasaran skim ini merangkumi pekerja sektor gig seperti penghantar makanan, kurier, dan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan e-dagang, selain individu yang baru memulakan perniagaan kecil dan memerlukan motosikal sebagai modal utama,” katanya.
Ariffin menambah, bantuan berkenaan bukan sahaja berperanan meningkatkan peluang menjana pendapatan, tetapi turut menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui perkembangan perniagaan mikro dan kecil.
“Dengan kemudahan motosikal, para usahawan berpeluang meluaskan pasaran, menyertai perkhidmatan penghantaran seperti e-hailing atau delivery, serta mengurus operasi harian dengan lebih efisien sekali gus membuka ruang kepada pendapatan yang lebih stabil dan berterusan,” ujarnya.
20 Jul 25
6666
Jualan Ayam, Beras Murah Ringankan Beban Rakyat Dungun
DUNGUN, 19 Julai – Dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin menghimpit, Kelab Usahawan Parlimen Dungun (NGO) menganjurkan program jualan ayam dan beras pada harga rendah khusus untuk golongan yang memerlukan.
Penasihat Kelab Usahawan Parlimen Dungun, Siti Zaliha Mohd, berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan mengurangkan beban pengguna, malah menggalakkan semangat solidariti dalam kalangan masyarakat.
Katanya, program itu menerima sambutan hangat daripada penduduk setempat, dengan ramai hadir sejak awal pagi untuk mendapatkan bekalan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam membantu rakyat berdepan kenaikan harga barangan harian.
“Ini antara ikhtiar kami supaya tiada keluarga terputus bekalan makanan asas.
“Insya-Allah, program seperti ini akan diadakan setiap bulan,” katanya.
Bagi memastikan bantuan diagihkan secara adil, jualan ini dihadkan kepada 100 penerima sahaja, yang dipilih berdasarkan keperluan sebenar.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli turut menyumbang sebahagian dana bagi menampung kos, sekali gus membantu menurunkan harga jualan untuk rakyat.
Penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas usaha tersebut, yang dianggap sangat membantu terutama keluarga berpendapatan rendah.
Orang ramai berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaatnya.
19 Jul 25
184
'Bersenam Waktu Malam Tidak Salah, Asal Ikut Syarat'- Pakar
KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Aktiviti bersenam tidak menjadi masalah asalkan dilakukan dengan kaedah yang betul, terutama bagi mereka yang baru berhasrat memulakan gaya hidup sihat.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah, berkata orang ramai digalakkan bersenam pada bila-bila masa, termasuk pada waktu malam, asalkan langkah keselamatan dan persediaan fizikal diberi perhatian.
“Bersenam pada waktu malam tiada masalah, tetapi pastikan ia dilakukan mengikut cara yang betul. Jangan terus melakukan senaman berat tanpa pemanasan badan (‘warm-up’), terutamanya bagi individu yang sebelum ini jarang atau tidak pernah bersenam,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menasihatkan golongan berusia 40 tahun ke atas yang baru mahu memulakan rutin senaman agar menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu bagi menilai tahap kesesuaian fizikal.
“Tidak kira sama ada anda bersenam pada waktu pagi, petang, atau malam, langkah berhati-hati amat penting untuk mengelakkan sebarang risiko kesihatan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, individu perlu memulakan senaman dengan intensiti rendah sebelum beralih kepada bentuk senaman yang lebih mencabar, agar tubuh dapat menyesuaikan diri secara berperingkat.
Nasihat tersebut selari dengan saranan umum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang menekankan kepentingan mengekalkan gaya hidup aktif secara selamat dan beransur-ansur mengikut kemampuan setiap individu.
19 Jul 25
98
Terengganu Sedia Modal Niaga RM1.6 Juta Tanpa Riba untuk Belia
KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta bagi pelaksanaan Skim Dana Usahawan Belia Terengganu (DUTE), khas buat golongan belia yang ingin memulakan perniagaan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, bantuan tersebut bakal memberi kelegaan besar kepada usahawan muda yang masih bertatih dalam dunia perniagaan.
Menurut beliau, inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong usahawan dan peniaga kecil, khususnya dalam kalangan anak muda Terengganu.
“Melalui skim ini, kita akan agihkan sebanyak RM50,000 kepada setiap 32 Dewan Undangan Negeri (DUN). Bantuan yang disalurkan kepada individu yang layak adalah antara RM1,000 hingga RM5,000, bergantung kepada keperluan dan kelayakan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Sembang Usahawan @ Kuala Terengganu/Kuala Nerus Sempena SME Open Day 2025 yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.
Tambahnya, skim ini turut menjadi platform penting bagi membantu belia yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan tanpa perlu bergantung kepada sumber kewangan berisiko tinggi.
“Terdapat belia yang terjerat dengan hutang tidak sah akibat kekurangan akses kepada modal permulaan yang sah dan berpatutan.
“Situasi ini amat membimbangkan kerana bukan sahaja membebankan individu terlibat, malah boleh menggagalkan impian mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya,” ujar beliau.
17 Jul 25
3138
"'Scammer' Ke Ni?’ – Peniaga Tak Sangka Zizan Razak Sedekah
KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Seorang peniaga kecil tidak menyangka menerima sumbangan mengejut daripada pelakon dan pelawak popular tanah air, Zizan Razak ketika sedang menjalankan siaran langsung di TikTok pada awal pagi.
Kejadian itu dikongsikan oleh pengguna Threads, Arinah Ahmad, yang ketika itu sedang melapis kek sambil membuat siaran langsung sekitar jam 2 pagi.
Lebih mengejutkan kata Arinah, figura terkenal yang juga anak jati Terengganu itu muncul secara tiba-tiba di ruangan komen siaran langsung tersebut.
"Semalam saya melapis lewat malam sebab anak tidur lambat. Jadi saya buat 'live' di TikTok. Tak ramai pun yang tengok, dalam 8 ke 10 orang sahaja," tulisnya.
Menurut Arinah, ketika sedang menyiapkan lapisan terakhir keknya, dia mendapati akaun bernama Zizan Razak masuk ke siaran langsung itu dan memberi komen.
"Dia komen ‘hai’ dan tanya ‘sale berapa hari ini?’ Saya baca, tapi memang saya fikir itu akaun palsu. Saya pun balas, kata tak banyak sangat sekitar ratus-ratus sahaja untuk hari itu," katanya.
Arinah turut memaklumkan bahawa dia baru seminggu berniaga secara langsung di platform TikTok.
Lebih mengujakan, Zizan kemudiannya meminta nombor akaun bank untuk memberi sumbangan sebagai tanda sokongan terhadap perniagaan kecil yang diusahakan Arinah.
"Saya kata, ni mesti ';fake account'. Tapi saya layan saja sebab saya pun dah mengantuk dan tak tahu nak sembang apa. Bagus jugak ada orang tanya-tanya," katanya.
Siaran langsung itu berakhir tanpa sebarang jangkaan besar, namun, tidak lama kemudian, Arinah menerima satu notifikasi daripada Maybank.
"Tertera nama Mohd Zizan Bin Razak. Memang sah, itu akaun betul," katanya teruja.
Menurut Arinah lagi, Zizan turut menyampaikan rasa terharu melihat kesungguhan orang berniaga hingga lewat malam dan menyatakan hasratnya untuk bersedekah kerana Allah.
"Dia ucap terima kasih sebab izinkan dia bersedekah. Sekarang saya sedang cari surau atau masjid yang ada program untuk saya salurkan sumbangan yang Zizan berikan ini," ujarnya.
Tindakan Zizan Razak itu menerima pujian ramai warga maya yang menyifatkannya sebagai contoh selebriti yang merendah diri dan prihatin terhadap rakyat marhaen.
17 Jul 25
1074
102 Peserta Berjaya Tamatkan Kursus Auditor Dalaman Halal Bertauliah
KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Seramai 102 orang peserta terdiri daripada pelajar universiti, pekerja industri sektor halal dan usahawan halal negeri ini berjaya menamatkan kursus Auditor Dalaman Halal Bertauliah.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program yang bernilai RM3,700 seorang ini telah disubsidi sebanyak RM3,500 oleh Halal Development Corporation (HDC) dan Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) sebagai usaha melahirkan tenaga pakar halal tempatan bagi menyokong Pelan Induk Halal Negeri Terengganu.
“Pemegang Sijil Auditor Dalaman Halal Bertauliah adalah individu yang berkelayakan dan bertauliah untuk menjalankan audit halal dalaman di premis syarikat, kilang atau restoran, bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM dan pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena perasmian Program Sembang Usahawan@Besut, di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemunting di sini, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, Ariffin telah menyampaikan sijil kepada lima peserta yang telah berjaya menamatkan kursus berkenaan sebagai tanda simbolik dan selebihnya akan diraikan pada majlis akan datang.
Katanya, kursus Auditor Dalaman Halal Bertauliah amat penting dalam membantu industri memelihara standard halal dan membangunkan keyakinan pengguna terhadap produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.
17 Jul 25
123