lightning-solid
Berita :
"'Scammer' Ke Ni?’ – Peniaga Tak Sangka Zizan Razak Sedekah
"'Scammer' Ke Ni?’ – Peniaga Tak Sangka Zizan Razak Sedekah
Adli Mohamad
17 Jul 25
1068

KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Seorang peniaga kecil tidak menyangka menerima sumbangan mengejut daripada pelakon dan pelawak popular tanah air, Zizan Razak ketika sedang menjalankan siaran langsung di TikTok pada awal pagi.

Kejadian itu dikongsikan oleh pengguna Threads, Arinah Ahmad, yang ketika itu sedang melapis kek sambil membuat siaran langsung sekitar jam 2 pagi.

Lebih mengejutkan kata Arinah, figura terkenal yang juga anak jati Terengganu itu muncul secara tiba-tiba di ruangan komen siaran langsung tersebut.

"Semalam saya melapis lewat malam sebab anak tidur lambat. Jadi saya buat 'live' di TikTok. Tak ramai pun yang tengok, dalam 8 ke 10 orang sahaja," tulisnya.

Menurut Arinah, ketika sedang menyiapkan lapisan terakhir keknya, dia mendapati akaun bernama Zizan Razak masuk ke siaran langsung itu dan memberi komen.

"Dia komen ‘hai’ dan tanya ‘sale berapa hari ini?’ Saya baca, tapi memang saya fikir itu akaun palsu. Saya pun balas, kata tak banyak sangat sekitar ratus-ratus sahaja untuk hari itu," katanya.

Arinah turut memaklumkan bahawa dia baru seminggu berniaga secara langsung di platform TikTok.

Lebih mengujakan, Zizan kemudiannya meminta nombor akaun bank untuk memberi sumbangan sebagai tanda sokongan terhadap perniagaan kecil yang diusahakan Arinah.

"Saya kata, ni mesti ';fake account'. Tapi saya layan saja sebab saya pun dah mengantuk dan tak tahu nak sembang apa. Bagus jugak ada orang tanya-tanya," katanya.

Siaran langsung itu berakhir tanpa sebarang jangkaan besar, namun, tidak lama kemudian, Arinah menerima satu notifikasi daripada Maybank.

"Tertera nama Mohd Zizan Bin Razak. Memang sah, itu akaun betul," katanya teruja.

Menurut Arinah lagi, Zizan turut menyampaikan rasa terharu melihat kesungguhan orang berniaga hingga lewat malam dan menyatakan hasratnya untuk bersedekah kerana Allah.

"Dia ucap terima kasih sebab izinkan dia bersedekah. Sekarang saya sedang cari surau atau masjid yang ada program untuk saya salurkan sumbangan yang Zizan berikan ini," ujarnya.

Tindakan Zizan Razak itu menerima pujian ramai warga maya yang menyifatkannya sebagai contoh selebriti yang merendah diri dan prihatin terhadap rakyat marhaen.


Artikel Berkaitan