lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kanak-kanak Lelaki Maut Disyaki Didera Bapa, Ibu Tiri
Kanak-kanak Lelaki Maut Disyaki Didera Bapa, Ibu Tiri
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos — Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan maut dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya dalam kejadian di Kampung Banggol, Manir di sini pada Sabtu. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.05 petang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat pendarahan dalam kepala berpunca daripada hentakan objek tumpul. Beliau berkata kejadian terbongkar apabila pegawai perubatan Zon Merah HSNZ menerima pesakit tidak sedarkan diri pada 6 Ogos lalu kira-kira jam 1 tengah hari. “Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada badan, muka dan leher mangsa. Siasatan awal mendapati suspek pertama iaitu bapa kandung berusia 27 tahun dan suspek kedua iaitu ibu tiri berusia 30 tahun mengaku pernah memukul mangsa menggunakan penyangkut baju di bahagian betis,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurut Azli, sehari sebelum kejadian mangsa dipercayai jatuh selepas memanjat pagar penyekat pintu bilik namun kembali aktif seperti biasa.  Pada pagi kejadian, bapa mangsa keluar rumah meninggalkan anaknya bersama ibu tiri sebelum pulang sekitar jam 11 pagi dan mendapati mangsa sedang tidur. Sekitar jam 12 tengah hari, bapa cuba mengejutkan mangsa untuk diberi susu namun mendapati badan anaknya lembik sebelum mengurut leher mangsa dengan alasan mengurut urat sawan, menyebabkan kesan lebam di leher. Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Manir sebelum dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut. Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami pelbagai kesan lebam, luka melecet serta kecederaan otak yang dipercayai bukan berpunca daripada kemalangan, selain terdapat kesan lebam lama dan baharu pada betis. Polis turut merampas penyangkut baju berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Kedua-dua suspek ditahan pada 10 malam selepas selesai pengurusan jenazah dan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Anak sulung pasangan itu yang berusia tiga tahun diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan sementara.
10 Aug 25
73
Terengganu, Syarikat Gergasi Arab Saudi Pacu Pelaburan Tenaga Bersih
Terengganu, Syarikat Gergasi Arab Saudi Pacu Pelaburan Tenaga Bersih
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Selepas kejayaan pelancaran projek solar terapung di Tasik Kenyir baru-baru ini, Terengganu kini bergerak pantas bagi menggerakkan gelombang pelaburan baharu dalam sektor tenaga bersih dan ekonomi lestari. Pada Khamis lalu, kerajaan Negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) menerima kunjungan ACWA Power, peneraju global dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui dari Arab Saudi, yang diketuai Pengerusinya, Mohamad Abunayyan. Pertemuan berimpak tinggi itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun. Pertemuan itu bagi terus mengorak langkah strategik dalam tenaga solar, teknologi penyahgaraman air dan inisiatif hidrogen hijau. Menurut kenyataan Terengganu Inc, pertemuan tersebut turut memberi fokus kepada projek-projek yang selaras dengan objektif peralihan tenaga jangka panjang Malaysia, di samping membuka peluang memperkukuh hubungan dua hala antara Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia. “Perbincangan ini bukan sahaja membincangkan pelaburan strategik, malah melihat kepada potensi komitmen peringkat tinggi untuk membentuk kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan ekonomi Terengganu,” kata kenyataan itu hari ini selepas pertemuan terbabit. Sebagai entiti pelaburan utama negeri, Terengganu Inc. menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah penting selepas pelancaran solar terapung, yang akan mempercepatkan agenda tenaga lestari, membuka peluang pekerjaan dan meletakkan Terengganu sebagai hab tenaga bersih bertaraf antarabangsa.
10 Aug 25
854
Tradisi Tarik Pukat Raih Sambutan Luar Biasa
Tradisi Tarik Pukat Raih Sambutan Luar Biasa
DUNGUN, 11 Ogos - Lebih 200 penduduk membanjiri Pantai Sura Tengah menyertai aktiviti menarik pukat dan menghidupkan semula tradisi lama nelayan yang kian jarang kelihatan di pesisir pantai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, yang turut serta menarik pukat bersama penduduk berkata, acara berkenaan bukan sekadar mencari hasil laut tetapi juga mengeratkan hubungan antara generasi. “DUN Sura ini mempunyai jajaran pantai yang sangat luas, rugi jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebagai sumber ekonomi, pusat rekreasi dan tapak aktiviti komuniti yang mampu mengeratkan hubungan penduduk setempat. "Acara seperti ini wajar diteruskan kerana memberi peluang anak muda mengenali laut sebagai sumber rezeki yang bernilai, bukan sekadar pemandangan indah. “Kalau kita kembangkan acara ini, ia bukan sekadar memelihara tradisi nelayan, tetapi juga berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang unik di Dungun. Pelancong bukan hanya datang tengok pantai, tapi boleh rasa sendiri pengalaman hidup nelayan,” katanya ketika ditemui selepas program itu, baru-baru ini.   Aktiviti tersebut, yang menjadi acara utama program YB Cakna Komuniti Sejahtera itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dan turut menarik perhatian pengunjung luar yang teruja merasai sendiri pengalaman menarik pukat secara beramai-ramai, sekali gus menghidupkan kembali suasana tradisi yang semakin jarang kelihatan di pesisir pantai.  
10 Aug 25
32
KOKITAB Berada di Kedudukan Ke-48 Koperasi Terbaik Negara
KOKITAB Berada di Kedudukan Ke-48 Koperasi Terbaik Negara
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos  – Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu (KOKITAB) Berhad terus mengukir kejayaan apabila tersenarai sebagai salah satu daripada 100 koperasi terbaik Malaysia, berada di kedudukan ke-48 secara keseluruhan. Lebih membanggakan, KOKITAB berjaya mengekalkan kedudukan dalam senarai 100 koperasi terbaik negara selama empat tahun berturut-turut sejak 2022. Pada tahun 2022, KOKITAB berada di kedudukan ke-80, meningkat ke tangga ke-70 pada 2023, ke-68 pada 2024, sebelum melonjak ke tangga ke-48 tahun ini. Pengerusi Kehormat KOKITAB, Alias Mustaffa berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kepercayaan ahli, kerjasama erat dalam pengurusan serta semangat yang menjadi tunjang kekuatan koperasi sejak penubuhannya. “Antara pencapaian bersejarah ialah pembinaan Wisma KOKITAB Kuala Terengganu pada tahun 1970. “Kemudian, kompleks perniagaan di Padang Midin, Setiu dan Kuala Nerus, diikuti Wisma KOKITAB Kuala Nerus bernilai RM11 juta yang siap pada 2020,” katanya  ketika berucap di Majlis Sambutan 75 Tahun Penubuhan KOKITAB di Wisma KOKITAB Kuala Nerus di sini hari ini. Menurutnya, dalam tempoh 75 tahun, KOKITAB turut aktif dalam pelaburan hartanah termasuk projek perumahan, penjualan rumah dan tanah lot kepada ahli bagi menjana pendapatan koperasi serta memberi manfaat terus kepada anggota. Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata KOKITAB telah memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan ekonomi komuniti sejak penubuhan. “Penubuhannya menjadi mercu tanda keteguhan, dedikasi dan keprihatinan terhadap kebajikan anggota. Saya berharap KOKITAB terus melakar kejayaan dan menjadi contoh kepada koperasi lain,” katanya yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia,  
10 Aug 25
1114
518 Penduduk Tak Sangka Terima Tanah daripada MB
518 Penduduk Tak Sangka Terima Tanah daripada MB
MARANG, 10 Ogos – Seramai 518 penduduk Rhu Rendang hari ini pulang dengan senyuman apabila menerima dokumen tanah yang dinantikan sejak sekian lama. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata agihan itu meliputi 425 surat hak milik dan 93 notis Borang 5A.  “Alhamdulillah, sejak 2018 kerajaan negeri telah meluluskan 3,784 lot tapak rumah dan pertanian di Marang, dan khusus di DUN Rhu Rendang sahaja 1,830 lot tanah telah berjaya diselesaikan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis agihan dokumen Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) membabitkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang hari ini.  Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang mengucapkan tahniah kepada semua penerima, sambil mendoakan tanah tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan keluarga dan generasi akan datang.  
10 Aug 25
159
Projek Terengganu-PETRONAS-Arab Saudi Dalam Perbincangan Teknikal Akhir
Projek Terengganu-PETRONAS-Arab Saudi Dalam Perbincangan Teknikal Akhir
MARANG, 10 Ogos – Projek pembangunan tenaga solar membabitkan Kerajaan Terengganu, PETRONAS dan sebuah syarikat dari Arab Saudi, ACWA Power kini berada pada peringkat perbincangan terakhir sebelum dimuktamadkan. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek mega itu adalah salah satu daripada inisiatif yang dibangunkan di Tasik Kenyir yang dilancarkan baru-baru ini. “Sebenarnya ada dua projek berkaitan pembangunan tenaga solar di Tasik Kenyir. Projek ini juga berskala besar dan telah melalui perbincangan antara kerajaan negeri melalui anak syarikatnya bersama PETRONAS serta syarikat ACWA Power dari Arab Saudi. “Projek ini sedang berjalan dan kini berada di fasa akhir bagi penentuan perincian teknikal,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) DUN Rhu Rendang, di sini, semalam. Mengulas lanjut mengenai satu lagi projek yang dirasmikan Perdana Menteri sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata kajian rintis telah pun dijalankan. “‘Pilot study’ telah dibuat. Kalau pergi ke Tasik Kenyir, kita sudah dapat lihat panel solar berkapasiti kilowatt yang dipasang,” ujarnya.
10 Aug 25
303
Golden Pharos Bangunkan Loji Biochar di Dungun
Golden Pharos Bangunkan Loji Biochar di Dungun
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos — Golden Pharos Bhd (GPB), syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, akan membangunkan sebuah loji pengeluaran biochar di Dungun menerusi kerjasama dengan syarikat kejuruteraan tempatan, GK Vest Sdn Bhd. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, GPB berkata loji berkenaan akan dibina di atas tanah seluas 0.48 hektar milik anak syarikatnya, GP Plywood Sdn Bhd. Biochar ialah sejenis arang yang dihasilkan daripada bahan organik seperti sisa kayu melalui proses pirolisis, dan digunakan secara meluas dalam sektor pertanian serta pengurusan karbon bagi memperbaiki struktur tanah, mengekalkan kelembapan dan menyerap karbon untuk jangka masa panjang. Projek tersebut akan dilaksanakan melalui perkongsian hasil, dengan GK Vest menerima 80 peratus daripada hasil bersih manakala GP Plywood memperoleh 20 peratus.  Perjanjian itu akan disemak secara berkala berdasarkan keadaan operasi, kewangan dan peraturan semasa. Menurut GPB, GP Plywood akan memudahkan urusan mendapatkan lesen dan permit berkaitan projek, selain menyediakan kawasan serta kemudahan operasi. GK Vest pula bertanggungjawab membiayai sepenuhnya kos modal dan operasi, memastikan loji siap selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2026, serta mengurus program karbon dan penjualan produk alam sekitar berkaitan. Lembaga Pengarah GPB yakin projek ini mempunyai potensi besar memandangkan kumpulan mempunyai akses kepada lebihan hasil hutan daripada anak syarikat yang sebelum ini kurang dimanfaatkan. “Dengan bekalan balak dan sisa hutan yang tersedia, kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa bagi produk biochar, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan yang mampan dan menguntungkan,” kata kenyataan itu. Kerajaan negeri Terengganu memiliki 68.94 peratus pegangan dalam GPB melalui Terengganu Incorporated Sdn Bhd (60.80 peratus) dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (8.15 peratus).
10 Aug 25
123
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
BESUT, 9 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh agenda pelancongan sukan udara dengan memacu Bukit Bubus di Tembila sebagai hab bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Terengganu International Air Festival (TIAF), yang disasar mencapai kemuncak pada Tahun Melawat Terengganu 2027. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran tahun ini merekodkan penyertaan sembilan negara melibatkan 66 peserta, sekali gus melonjakkan status TIAF daripada acara nasional kepada antarabangsa. "Bila sudah melebihi lima negara, kita boleh angkat program ini sebagai antarabangsa. "Tahun hadapan Bukit Bubus akan jadi tuan rumah kepada Liga Negara-Negara Asia dan World Cup Paragliding," katanya pada sidang media selepas merasmikan TIAF 2025 di Besut Paragliding Park, Bukit Bubus, di sini semalam. Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin. Menurutnya, sokongan terhadap TIAF selari dengan komitmen negeri memposisikan Terengganu sebagai destinasi sukan ekstrem dan berprestij di rantau ini. "Ini melambangkan negeri Terengganu menyokong sukan-sukan yang ekstrem dan juga berprestij. "Sukan ini juga adalah 'signature event' negeri Terengganu di bawah Jabatan Pelancongan Negeri," jelasnya. Bagi memperkukuh daya saing penganjuran, kerajaan negeri memperuntukkan RM20,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pengindahan kawasan Bukit Bubus, selain berusaha mendapatkan tambahan RM50,000 bagi menaik taraf infrastruktur termasuk cadangan memperkenalkan aktiviti rock climbing pada Air Festival 2026. "Kita mahu adakan sukan rock climbing untuk menambahkan lagi acara pada Air Festival 2026. "Kita akan mengangkat lagi supaya menjadi lebih besar menjelang 2027," tambah beliau. Razali turut menggesa Majlis Daerah Besut memastikan fasiliti dan imej kawasan sentiasa berada pada tahap terbaik. "Saya minta YDP Besut menceriakan lagi tempat ini, beberapa gerai usang itu perlu dibaik pulih. "Kebersihan juga adalah satu produk pelancongan negeri Terengganu," tegasnya. Beliau optimis penganjuran berskala antarabangsa itu akan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, terutama peniaga kecil dan pengusaha tempatan. "Dengan program seperti ini, ia akan memberi manfaat kepada sosioekonomi setempat. "Bila festival ini diangkat ke peringkat antarabangsa, makin ramai lagi yang akan dapat manfaat," katanya.
09 Aug 25
951
Empat Peserta ‘King Of Subuh Warrior’ Bawa Pulang Basikal
Empat Peserta ‘King Of Subuh Warrior’ Bawa Pulang Basikal
KEMAMAN, 9 Ogos – Empat peserta Program ‘King Of Subuh Warrior’ mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya hadir ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut tanpa gagal, sekali gus membawa pulang hadiah basikal sebagai penghargaan. Pengarah Program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar, berkata empat peserta tersebut ialah Isma Fakhrusy Syakirin Ismail, Isma Farish Syazreen Ismail, Muhammad Adam Yusuf Ishak dan Muhammad Umar Uwais Ishak. “Cabaran Solat Subuh berjemaah 40 hari ini bukan sekadar membiasakan bangun awal, tetapi juga membentuk kekuatan rohani, disiplin diri dan hubungan erat dengan masjid. “Selain empat peserta yang berjaya menamatkan cabaran penuh, kita juga meraikan pencapaian lain seperti 34 hari, 25 hari, 14 hari, 13 hari dan 10 hari,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penutup ‘King Of Subuh Warrior’ bertempat di Masjid Batu 9 semalam. Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid Batu 9, Ustaz Abdul Halim Bahari, serta barisan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) Batu 9. Sementara itu, Ishak Ibrahim, 47, bapa kepada dua peserta cilik, Adam Yusuf (12) dan Umar Uwais (11) berkongsi pengorbanan keluarga demi memastikan anak-anaknya menamatkan cabaran tersebut. “Alhamdulillah, anak-anak saya mudah bangun Subuh. Pernah satu hari saya kerja syif malam dari jam 7 malam hingga 7 pagi. Mereka risau kerana biasanya ke masjid bersama saya menaiki motosikal bertiga. “Namun, mereka tetap bertekad hadir dan meminta ibu mereka menghantar ke masjid supaya cabaran 40 hari tidak terhenti. “Sepanjang program ini, kami banyak membatalkan aktiviti lain demi memastikan cabaran ini berjaya. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.                
09 Aug 25
945
Malaysia Mesti Pertahan Prinsip Sokong Perjuangan Palestin – Dr. Khalil
Malaysia Mesti Pertahan Prinsip Sokong Perjuangan Palestin – Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Malaysia perlu terus mempertahankan prinsip asas dalam dasar luar negaranya iaitu menyokong mana-mana pihak yang berjuang menentang penjajahan, termasuk kumpulan Hamas yang kini berada di barisan hadapan mempertahankan tanah air Palestin daripada penjajah Zionis. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf kewujudan haram rejim Israel mesti kekal dipertahankan tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa asing. “Kita sebagai rakyat Malaysia mesti mempertahankan mana-mana pihak yang berjuang demi agama dan tanah air mereka. Itu prinsip teras yang perlu kita pelihara. Dalam konteks Palestin, Hamas adalah kumpulan pertama yang wujud untuk mempertahankan agama dan tanah air mereka daripada dijajah,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Apresiasi Media Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam. Dr. Khalil turut menegaskan bahawa desakan supaya Hamas meletakkan senjata adalah bercanggah dengan prinsip Islam dan undang-undang antarabangsa, yang mengiktiraf hak setiap negara mempertahankan diri daripada penjajahan. “Dalam piagam antarabangsa termasuk Piagam United Malaysian, jelas menyatakan bahawa perjuangan pembebasan termasuk secara bersenjata adalah sah dan wajar. "Maka Hamas berada di pihak yang benar kerana mempertahankan tanah air mereka yang dijajah,” ujarnya. Beliau menambah, Malaysia perlu konsisten dengan pendirian itu melalui pelbagai saluran, termasuk mengemukakan usul di Parlimen, menggalakkan boikot ekonomi terhadap entiti pro-Zionis, serta menggerakkan solidariti rakyat melalui demonstrasi aman dan kempen kesedaran. Justeru, beliau menyeru kerajaan supaya bertegas dan tidak berganjak walaupun berdepan tekanan luar. “Kita ada tanggungjawab moral dan prinsip terhadap isu ini,” tegas beliau.
09 Aug 25
53