Artikel "Semasa" Terkini
Tiga Pesara Tentera Panjat Pokok, Demi Selamatkan Diri
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Tiga pesara tentera terperangkap lebih enam jam di atas dua batang pokok Leban apabila kawasan kebun di Paya Dadeh, Kampung Bukit Tok Bat di sini.
Banjir setinggi lebih semeter itu menenggelamkan kawasan tersebut hanya beberapa jam bermula 12 tengahari hingga menjadi seperti lautan.
Kapten Abd Latif Jamaludin, 54 , dari Kampung Undang berkata dia dan dua lagi rakannya Wan Azmi Wan Ibrahim, 50, dan Rusli Muhammad, 42, seperti biasa mengusahakan kebun sayur
milik koperasi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Hulu Terengganu.
Menceritakan detik cemas itu, dia bersama dua rakannya seperti biasa ke kebun pada jam 8 pagi, Ahad dan ketika itu hujan renyai.
"Tengah buat kerja tu, dalam jam 10 pagi hujan turun dengan lebatnya dan sekitar jam 12.45 tengahari, Rusli keluar untuk membeli makanan tapi gagal keluar kerana jalan dah mula ditengelami air.
"Kami berehat di pondok sementara menunggu hujan berhenti dengan harapan air surut sehingga malam namun sia-sia bila kereta ditenggelami air pada jam 1 pagi.
"Air semakin tinggi dan kami terpaksa memanjat pokok Leban yang berdekatan kerana semua tempat dinaiki air lebih dua meter bersama sedikit bekalan makanan seperti maggi dan biskut,"ujarnya ketika ditemui di lokasi.
Tambahnya, mereka bernasib baik kerana satu telefon masih berfungsi, dan digunakan untuk mendapatkan bantuan dari Mohd Fauzi Sufian, 51, yang berada diluar.
Namun katanya, bantuan sukar didapatkan susulan cuaca dan keadaan gelap yang membahayakan operasi menyelamat dilakukan.
"Pengalaman kami sebagai bekas tentera digunakan sepenuhnya bagi memastikan situasi selamat sementara menunggu bantuan tiba.
Sementara itu, Mohd Fauzi berkata dia dihubungi rakannya pada hari kejadian dan terpaksa menunggu sehari selepas itu untuk masuk ke kawasan terlibat.
"Saya masuk menggunakan bot awam dan menyusuri air lebih lima kilometer untuk sampai kepada mereka.
"Berpandukan tiupan wisel, saya berjaya menyelamatkan mereka pada jam 10 pagi tadi dan bersyukur ketiga-tiganya selamat," tambahnya.
19 Dec 22
428
Mangsa Banjir Terengganu Terus Bertambah
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Hujan tak ‘celik’ mata atau lebat sejak malam tadi sehingga kini menyebabkan jumlah mangsa terus meningkat di Terengganu kepada lebih 5,000 orang.
Marang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir menjadikan keseluruhan tujuh daerah di negeri ini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.
Paling terjejas di Hulu Terengganu, apabila lebih 2,000 orang berada di 34 PPS di Telemong, Ajil dan Kuala Berang.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), 103 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu 40 di Besut, Hulu Terengganu (34), sembilan di Dungun, masing-masing satu di Kuala Terengganu dan Marang, Setiu (11), Kemaman ( tujuh) setakat ini.
Seramai 13 orang daripada tiga keluarga terbabit di Kuala Terengganu, Setiu (725 orang daripada 227 keluarga), Dungun (196 orang daripada sembilan keluarga), Kemaman (598 orang daripada 146 keluarga), Besut (1712 orang daripada 461 keluarga) dan Hulu Terengganu (2207 orang daripada 732 keluarga).
Sehingga kini, hujan lebat masih berterusan dan dijangka jumlah mangsa banjir akan terus meningkat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada awal pagi tadi mengeluarkan amaran cuaca tahap bahaya dengan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan bermula hari ini hingga Selasa.
18 Dec 22
580
Banjir : Guna Jalan Alternatif
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Semua pengguna jalan raya di negeri ini dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif akibat penutupan beberapa jalan di Setiu, Besut dan Dungun.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya kesesakan setelah jalan-jalan utama ditutup susulan bencana banjir.
"Di Kilometer (KM)67- KM68 Jalan Kuala Terengganu Ke kota Bharu (Petronas Permaisuri, Kampung Balik Bukit) tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan, pengguna perlu melalui jalan alternatif Batu Rakit- Pantai Penarik- Saujana- Kuala Besut- Tok Bali- Bachok.
"Besut, jalan Padang Luas ke Bukit Yong ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, jalan alternatif bagi pengguna adalah melalui Jalan Pantai Kuala Besut- Tok Bali -Bachok.
"Manakala di Dungun KM67 Jalan Jerangau- Jabor (Stesen Timbang JPJ Bukit Besi) ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif melalui Tol Paka - Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2- Tol Bukit Besi (untuk ke Pahang), "ujarnya menerusi Kenyataan Media Polis, di sini, hari ini.
Dalam pada itu menurutnya, setakat laoporan yang dikeluarkan sehingga 8.00 malam tadi dua jalan utama yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang yang masih boleh dilalui seperti biasa adalah Jalan Pantai Kemaman -Dungun - Marang- Kuala Terengganu - Setiu- Besut.
Serta LPT Pantai Timur Fasa II boleh dilalui oleh pengguna seperti biasa untuk ke Negeri Pahang.
18 Dec 22
267
Belantara 4x4 Besut Bantu Pindah Mangsa Banjir
BESUT, 19 Disember - Pasukan badan bukan kerajaan (NGO), Belantara 4x4 Adventure Club bertindak pantas bersama pihak berkuasa memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang terperangkap di sekitar Besut.
Seorang kru, dikenali sebagai Sufian berkata pihaknya bersama Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masuk ke beberapa kampung bagi melakukan operasi menyelamat.
“Pasukan kami mula lancarkan operasi pagi tadi bersama pihak berkuasa, kejadian banjir ini luar jangkaan. Air naik dengan begitu mendadak.
“Insya-Allah kami akan terus bantu penduduk yang terkandas bersama pihak berkuasa. Diharap semua yang terjejas berpindah bagi mengelakkan musibah lebih besar,” katanya ketika dihubungi.
Suffian turut memaklumkan setakat petang tadi, laluan utama di Kampung Jerubun, Hulu Besut terputus apabila air telah melebihi paras bahaya menyebabkan laluan ditutup bagi semua kenderaan.
Terdahulu, Besut mencatatkan korban banjir pertama di Kampung Apal melibatkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
Foto oleh: Belantara 4x4 Adventure Club
18 Dec 22
181
Kanak-Kanak Korban Pertama Banjir di Besut
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, Nur Hilwa Edrea Hariz Zaifan menjadi korban pertama banjir di Kampung Apal, Jerteh petang tadi.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Mohd Isa berkata, mangsa dipercayai keluar dari rumah melalui pintu belakang ketika ahli keluarganya sedang bersiap ke pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat.
“Mangsa terjatuh ke dalam air banjir sekitar rumah sedalam tiga kaki dan dihanyutkan arus sebelum dijumpai terapung selepas 40 minit pencarian dengan jarak 20 meter dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa Nur Edrea, 2
Rohaimi turut mengingatkan kepada semua pihak terutamanya ibu bapa agar lebih berhati-hati dan waspada terhadap keselamatan anak-anak.
Semalam, Terengganu mula menerima taburan hujan lebat sehingga mengakibatkan beberapa kawasan telah dinaiki air.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, sehingga jam 6 petang, sebanyak 57 PPS telah beroperasi dengan jumlah mangsa seramai 2,862 orang.
18 Dec 22
1961
Banjir Hulu Terengganu Makin Buruk, Lebih Seribu Mangsa Dipindahkan
HULU TERENGGANU, 18 Disember - Keadaan banjir di daerah ini makin buruk apabila lebih ramai mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat jam 6 petang pada Ahad , seramai 1185 orang daripada 349 keluarga ditempatkan di 25 PPS yang mula dibuka sejak jam 12 tengahari.
Ketua Polis Daerah, DSP Hasmerra Hassan, ia melibatkan beberapa kampung seperti Kampung Lubuk Periuk, Kampung Pereh, Kampung Cheting, Kampung Belukar Bukit, Kampung Kuala Ping, Kampung Pangkalan Ajal, Kampung Tengkawang dan beberapa lokasi lain.
"Semua mangsa bencana banjir yang melibatkan perpindahan seramai (349) buah keluarga berjaya dipindahkan ke (25) buah PPS yang telah ditetapkan dengan pantas dan tiada sebarang kemalangan jiwa yang terjadi.
"Turut serta dalam pemantauan dan operasi menyelamat mangsa bencana banjir kali ini ialah Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), SMART Team dan Pasukan Sukarelawan (RELA)," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, tujuh jalan terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya segera berpindah ke PPS yang berdekatan jika kawasan yang didiami mengalami kenaikan aras air bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
18 Dec 22
449
'Kami dah banyak kali pindah ke PPS' - Mangsa
HULU TERENGGANU, 18 Disember - "Kami dah banyak kali pindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), setahun entah berapa kali dah," demikian kongsi Mariani Mohd Razali, 43, seorang daripada mangsa banjir di Kampung Tapah di sini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, kejadian banjir di kawasan itu sudah terlalu kerap berlaku hinggakan penduduk sendiri lali dengan keadaan itu.
Menurutnya, setiap kali tiba musim banjir, dia akan bersiap sedia untuk berpindah demi keselamatan mereka sekeluarga lebih-lebih lagi pada kali ini suami terkandas di Besut dan gagal dihubungi.
"Air mula naik pada jam 9 pagi apabila air sungai Berua melimpah susulan hujan lebat sejak semalam.Melihat keadaan semakin teruk, saya buat keputusan untuk keluar ke PPS.
"Saya bersama tiga orang anak yang berusia 19 hingga lapan tahun terpaksa mengharungi air setinggi satu meter sejauh 500 meter untuk sampai ke PPS.Penat tapi demi keselamatan...terpaksa juga," ujarnya ketika ditemui di PPS Balairaya Kampung Tapah.
Malah katanya, kediaman mereka juga banyak kali dimasuki air hingga mengakibatkan peralatan dan kelengkapan rumah sering rosak.
"Sedih apabila memikirkannya, ada yang baru beli seperti perkakas elektrik tapi dah musnah lagi.Hanya redha dan tak mampu nak kata apa-apa, nasib baik dokumen penting dapat diselamatkan," jelas Mariani.
Seorang lagi mangsa banjir, Norazlina Abdul Wahab, 33, berkata sudah lebih tiga kali dia pindah ke PPS termasuk rumah ayahnya kerana kawasan rumah sering banjir.
"Mahu kata lelah pun sudah tak tahu... sebab banjir berlaku setiap tahun. Barang-barang di dalam rumah rosak akibat ditenggelami banjir tidak mengapa, janji anak-anak selamat," kata ibu kepada dua anak itu.
18 Dec 22
270
Banjir : Keluar Rumah Segera
KEMAMAN, 18 Disember – Orang ramai dinasihatkan agar keluar rumah dengan kadar yang segera sekiranya kediamannya dilanda banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata kediaman mereka yang telah dimasuki air boleh mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah disediakan.
“Hal ini kerana untuk mengelakkan sebarang risiko bahaya yang berlaku kepada mangsa banjir.
“Di samping sentiasa bersiap siaga dalam sebarang kemungkinan serta memastikan semua ahli keluarga berada dalam keadaan selamat,” menurutnya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan kategori bahaya dijangka berlaku di seluruh negeri Terengganu sehingga Selasa depan.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mengeluarkan amaran banjir di lima daerah hari ini iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman.
“Amaran tersebut dikeluarkan hasil model ramalan banjir disebabkan jangkaan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di lima daerah tersebut terutama di pinggir sungai dan kawasan rendah,” katanya.
18 Dec 22
331
Mangsa Banjir Di Terengganu Naik Mendadak
KUALA TERENGGANU, 18 Disember – Mangsa banjir di Terengganu naik secara mendadak dengan penambahan sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata sebanyak lima PPS dibuka yang melibatkan daerah Kuala Terengganu, Dungun, Setiu , Besut dan Kemaman susulan banjir di beberapa tempat di daerah berkenaan.
Katanya, lima PPS tersebut menempatkan sebanyak 627 mangsa daripada 175 keluarga.
“Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 376 orang daripada 94 keluarga yang ditempatkan di empat buah PPS dalam daerah tersebut.
“Manakala di Setiu pula mencatatkan seramai 144 mangsa daripada 54 buah keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambahnya lagi, daerah Besut merekodkan seramai 88 mangsa daripada 22 keluarga sementara dua PPS dibuka di daerah berkenaan.
"Manakala di daerah Dungun dan Kuala Terengganu pula masing-masing mencatatakan sebanyak empat dan 15 mangsa daripada satu dan empat keluarga," katanya.
Malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan (kategori bahaya) dijangka berlaku di seluruh negeri Terengganu sehingga Selasa depan.
18 Dec 22
1076
Kampung Budaya Terengganu Raih Anugerah Program Terbaik
KUALA TERENGGANU, 18 Disember- Kampung Budaya Terengganu terus mendapat pengiktirafan dalam industri pelancongan apabila sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Program Pelancongan Kebudayaan Terbaik oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel Magazine.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, anugerah tersebut merupakan anugerah kedua yang diterima oleh Kampung Budaya Terengganu dalam masa tiga bulan.
Katanya, sebelum ini pihaknya menerima Anugerah Emas, kategori pusat pelancongan kebudayaan baharu sempena Majlis Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia di Sarawak pada 22 Oktober lalu.
“Turut menerima anugerah adalah Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (Program Pelancongan Pendidikan Terbaik), Primula Beach Hotel (Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel) dan Summer Bay Lang Tengah Island Resort (Aktiviti Pelancongan Resort Pulau Terbaik).
“Anugerah tersebut telah disampaikan di majlis gilang gemilang Malaysia Tourism Industry Award di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 16 Disember lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, sebanyak 60 anugerah telah disampaikan kepada individu, agensi kerajaan dan penggiat industri pelancongan dan perhotelan di majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Tan Sri Dr Ong Hong Peng.
18 Dec 22
270