Artikel "Semasa" Terkini
Mangsa Banjir Terperangkap Diminta Tingkat Langkah Keselamatan
KUALA TERENGGANU, 19 Disember- Mangsa banjir yang masih terperangkap diminta untuk meningkatkan langkah keselamatan sementara menunggu bantuan tiba.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, agensi berkaitan dan pihak keselamatan ketika ini giat menjalankan kerja-kerja menyelamatkan dan memindahkan mangsa banjir ke tempat yang selamat.
"Sejak malam tadi, usaha menyelamat masih berjalan.
"Kita doakan semoga situasi hujan lebat ini tidak berlarutan lebih buruk, " ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Beliau turut mengingatkan mangsa banjir yang masih terperangkap agar tidak menghampiri tiang atau kabel elektrik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Sementara itu, menurut laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, setakat 6 petang tadi, sejumlah 23,164 mangsa terjejas di seluruh Terengganu telah dipindahkan ke 267 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) membabitkan kelapan-lapan daerah.
19 Dec 22
233
Kelonggaran Pengoperasian UMT Berikutan Bencana Banjir
KUALA NERUS, 19 Disember- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengumumkan beberapa kelonggaran dan inisiatif terbaik bagi mengimbangi antara pengoperasian UMT dan kebajikan warga kampusnya memandangkan universiti tersebut turut terkesan dengan kejadian banjir yang melanda Terengganu ketika ini.
Naib Canselor UMT, Prof Dato' Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, atas keprihatinan dan kecaknaan terhadap warga kampus, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan secara dalam talian dan
tertakluk kepada perubahan yang akan dimaklumkan kelak.
"Aktiviti luar seperti kerja lapangan atau amali pula hendaklah dijadualkan semula kepada suatu tarikh yang bersesuaian, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, warga kerja UMT yang ditimpa bencana banjir boleh memohon cuti khas (cuti bencana) manakala warga kerja yang terjejas untuk hadir ke kampus/pejabat
disarankan untuk memohon Bekerja Dari Rumah (WFH) melalui Ketua Pusat Tanggungjawab masing-masing.
Menurut beliau, terdapat beberapa kawasan berdekatan kampus iaitu Kampung (Kg) Tok Jembal, Kg. Gong Pak Jin, Kg. Pak Tuyu, Kg. Jati dan beberapa kawasan lain yang rata-rata merupakan kawasan kediaman pelajar UMT luar kampus (rumah sewa) turut dinaiki air.
"Selain itu, beberapa kawasan di dalam kampus UMT turut dinaiki air dan menyebabkan Bahagian Keselamatan UMT meminda laluan sedia ada untuk memudahkan pergerakan warga kampus keluar dan masuk, " ujarnya.
Justeru katanya, UMT amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan warga kampus ketika situasi yang penuh mencabar ini.
"Melihat kepada pola hujan yang masih lagi melanda negeri Terengganu, warga UMT adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.
"Pastikan senantiasa menjaga keselamatan diri serta patuh kepada nasihat pihak berkuasa demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, " ujarnya.
Katanya, pihak UMT juga menasihati para pelajar dan staf yang memerlukan bantuan dan pertanyaan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Bilik Gerakan Banjir di talian 09-6685059/4118.
19 Dec 22
325
UMT Agih Bantuan Zakat RM90,000 Kepada Pelajar Asnaf Mangsa Banjir
KUALA NERUS, 19 Disember- Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM90,000 kepada asnaf pelajar UMT yang terlibat dengan bencana banjir.
Naib Canselor UMT, Prof Dato Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, dana zakat sumbangan khas Etiqa General Takaful Berhad tersebut merupakan antara inisiatif UMT dalam membantu pelajar yang memerlukan.
"Hujan yang berterusan bermula semalam telah mengakibatkan jalan yang menghubungkan kampus UMT ditutup.
"Manakala sebahagian pelajar yang tinggal diluar kampus turut terkesan dengan musibah banjir telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir termasuk di dalam kampus UMT, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, menurut Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud, Dr Riswadi Azmi, tahun ini sahaja institusi terbabit telah mengagihkan lebih RM1 juta dana zakat kepada lebih 1,500 pelajar.
"Jumlah ini hanya mampu membantu 20 peratus daripada lebih 7,000 pelajar asnaf UMT.
"Pihak kami sentiasa membuka ruang kepada mana agensi korporat untuk menyumbang kepada Tabung Zakat Pelajar UMT, " katanya.
19 Dec 22
545
Penduduk Berhampiran Sungai Nerus Diminta Berwaspada
Oleh: Syahida Mohd
KUALA NERUS, 19 Disember- Banjir besar yang melanda Daerah Setiu telah memberi kesan apabila limpahan air terus mengalir ke Sungai Nerus dan ianya bakal memberi amaran awal kepada penduduk di sekitar Sungai Nerus.
Ahli Dewan undangan Negeri (Adun) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ekoran banjir besar bermula dari Setiu, ianya akan membawa limpahan kepada penduduk di berapa buah kampung dalam kawasan tersebut.
"Penduduk yang perlu berwaspada adalah Kampung Sungai Ikan, Kampung Pengkalan Gelugor, Kampung Jeram Hulu, Kampung Jeram Hilir, Kampung Banggol Binjai, Kampung Bukit Nangka, Kampung Padang Air dan Kampung Tok Jiring, "ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Tambah Hishamuddin, faktor air laut pasang ketika ini turut menyumbang kepada peningkatan paras banjir ditambah dengan hujan lebat yang berterusan.
"Bagi penduduk di Kawasan Kampung Padang Nenas, Kampung Pak Jin, Kampung Gong Datuk dan Kampung Pak Tuyu, aliran air keluar melalui mengabang dilihat semakin perlahan kerana air laut agak tinggi pada waktu sekarang dan ianya memberi kesan kenaikan paras air di kawasan rendah," ujarnya.
Hujan lebat yang bermula tengah malam semalam dan masih berlarutan hingga ke hari telah menyebabkan air mula naik dan menyebabkan banjir di beberapa tempat termasuk yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini.
19 Dec 22
652
Enam PPS Di Hulu Terengganu Dinaiki Air
HULU TERENGGANU, 19 Disember- Enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini turut dilanda banjir sejak semalam sehingga menyebabkan penduduk yang berlindung di tempat yang sepatutnya 'selamat' itu cemas dan kebimbangan.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Hanafi Mohd berkata ia melibatkan PPS Balairaya Kampung Kepah, PPS Paya Besar, PPS Bukit Tok Bat, PPS Pengkalan Ajal, PPS Kampung Padang Setar dan PPS Kampung Lubuk Periuk.
"Kebanyakan mangsa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat dan ada sebahagiannya berpindah ke tingkat atas PPS.
"Pihak bomba sentiasa memantau dari masa ke semasa keselamatan kesemua mangsa bagi memastikan tidak kejadian buruk berlaku," katanya kepada pemberita ketika di temui di Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, di sini hari ini.
Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 19,601 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat jam 4 petang tadi, mangsa daripada 5,699 keluarga kini ditempatkan di 243 PPS di lapan daerah.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 5,726 orang daripada 1,799 keluarga dipindahkan ke 50 PPS
19 Dec 22
1109
Jangan Sebar Berita Tidak Sahih - Polis
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Orang ramai sekali lagi dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih kerana ia akan mengundang kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, polis tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan lebih drastik terhadap mereka yang cuba gugat ketenteraman awam.
Katanya, ia termasuk menggunakan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi mereka yang melakukan kesalahan itu.
"Ada kes-kes yang berlaku di luar negara namun mereka mengwar-warkan seperti kejadian itu berlaku di negara atau di negeri ini
"Jadi apa yang kita tengok tahun lalu benda ini berlaku dan kita tidak nafikan benda ini akan berulang," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di PPS Kampung Kua, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Rohaimi berkata, tengah malam semalam berlaku satu lagi limpahan air dari cerun bukit di Kilometer 392 dan buat masa ini hanya satu laluan dibuka.
Menurutnya, laluan dari arah Ajil ke Kuantan saja dibuka buat masa ini manakala dari arah Kuantan ke Ajil masih ditutup dan pengguna LPT2 dinasihat mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berwajib.
19 Dec 22
531
Bekalan Elektrik Terpaksa Diputuskan di Kemaman
KEMAMAN, 19 Disember - Bekalan elektrik di beberapa kawasan di daerah ini terpaksa diputuskan seawal jam 4 pagi hari ini selepas air akibat hujan lebat memasuki kawasan Pencawang Masuk Utama (PMU).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pihak dan petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga kini sedang bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja membaik pulih.
“Hampir 20,000 orang pengguna dari kawasan Kampung Geliga, Kampung Air Puteh dan Kampung Neram terjejas bekalan elektrik awal pagi tadi.
“Sehingga petang ini, sebahagian pengguna iaitu sekitar 10,000 orang sudah dapat bekalan elektrik tersebut,” menurutnya dalam satu kenyataan media di laman Facebook miliknya pada hari ini.
Tambah Hanafiah, pihaknya menjangkakan bekalan tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini.
“Orang ramai diminta bersabar kerana kerja membaik pulih sedang dijalankan dengan baik oleh petugas-petugas TNB,” katanya.
19 Dec 22
4176
2,992 Pegawai, Anggota Polis Diatur Gerak Hadapi Banjir
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Seramai 2,992 orang pegawai dan anggota Polis Kontinjen Terengganu sedia digerakkan dalam menghadapi bencana banjir yang sudah melanda negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ketika banjir yang melanda Terengganu semakin buruk apabila semakin ramai mangsa dipindahkan dan berlaku pertambahan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut beliau, pihaknya ada menerima penambahan aset bagi menghadapi banjir kali ini dari beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) antaranya Kemaman, Besut dan Setiu.
"Kita tidak ada masalah dari segi kekuatan anggota bagaimanapun pihaknya mempunyai kekangan sedikit dari segi pengangkutan terutama untuk kerja-kerja memindah dan menyelamat mangsa banjir ke PPS.
"Buat masa ini kita guna aset-aset dari Terengganu sendiri dan kita turut memohon bantuan aset daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) selain aset Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persatuan (PSP).
"Tapi itu tidak mencukupi lagi, malah kita di maklumkan pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu akan memohon daripada Putrajaya bantuan segera dari segi aset jentera berat," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di PPS Kampung Kua, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kelewatan bekalan makanan tiba di PPS, beliau berkata, semua pihak yang terlibat terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah buat yang terbaik dalam menyampaikan bantuan.
"Ini kerana kita tiada satu kenderaan yang berat, bot yang kuasa mencukupi untuk meredah arus yang deras dan satu lagi masalah adalah tempat itu sendiri yang baru pertama kali dilanda banjir.
"Jadi tiada persediaan awal bagi pihak kita dan ia tidak dijangka sebelum ini jadi kita harap mereka (mangsa) dapat bersabar kerana kita terima semua maklumat tersebut berikutan semua bilik gerakan kita beroperasi dengan baik," katanya.
19 Dec 22
321
Golden Pharos Serah RM400,000 Zakat Perniagaan
KUALA TERENGGANU, 19 Disember- Golden Pharos Berhad menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM400,000 kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Zakat disampaikan Pengerusi Golden Pharos Berhad, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar
kepada Yang Dipertua Maidam, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu majlis ringkas di Pejabat Maidam, hari ini.
Tengku Hassan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM300,000 disumbangkan oleh anak syarikat iaitu Kumpulan Pengurusan kayu Kayan Trengganu Sdn Bhd dan Persama Timber Corporation Sdn Bhd (RM50,000) manakala bakinya oleh syarikat induk.
"Agihan zakat ini adalah daripada hasil pendapatan syarikat serta anak-anak syarikat dibawah Golden Pharos Berhad bagi tahun ini.
"Selain sebagai tanda sokongan kepada pihak Maidam, dengan penyerahan zakat ini kami di Golden Pharos Berhad percaya ianya dapat sedikit sebanyak membantu golongan asnaf dan fakir miskin mengekalkan dan meneruskan kelangsungan hidup mereka," ujarnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tersebut.
Sementara itu, Shaikh Harun berkata, pihaknya berbesar hati menerima zakat perniagaan daripada Golden Pahros Berhad yang menjadi antara organisasi wajib pada setiap tahun menjalankan tanggungjawab mereka bagi turut serta membantu golongan asnaf.
"Sehingga semalam, Maidam menerima RM186 juta bayaran zakat di seluruh Terengganu dengan bayaran tertinggi ialah dari kategori zakat pendapatan.
"Kita sasar kutipan zakat tahun ini ialah RM240 juta sebelum 31 Disember ini dan yakin jumlah itu akan tercapai kerana kebiasaannya akan ramai yang tampil membuat pembayaran zakat dalam minggu-minggu terakhir ini," ujarnya.
19 Dec 22
309
Banjir Terengganu Makin Teruk
KUALA TERENGGANU, 19 Disember – Banjir di negeri ini semakin teruk apabila mangsa meningkat kepada 17,515 mangsa daripada 5,013 keluarga.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut terdiri daripada semua daerah dalam negeri ini.
Katanya, Hulu Terengganu merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 5,726 orang daripada 1,799 keluarga yang ditempatkan di 50 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam daerah berkenaan.
“Di daerah Besut pula merekodkan jumlah mangsa seramai 4,525 daripada 1,243 keluarga.
“Manakala daerah Kemaman dan Setiu masing-masing mencatatkan jumlah 2,973 dan 2,412 mangsa yang melibatkan 770 dan 722 keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambahnya lagi, daerah Dungun dan Kuala Terengganu juga meningkat kepada 1,083 dan 277 mangsa daripada 284 dan 66 keluarga.
Sementara itu, Marang dan Kuala Nerus pula mencatatkan 263 dan 256 mangsa daripada 48 dan 21 keluarga yang di tempatkan di lima PPS dalam daerah tersebut.
“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.
19 Dec 22
1467