Artikel "Semasa" Terkini
Banjir, PETRONAS Bantu 2,700 Keluarga Di Pantai Timur
KEMAMAN, 21 Disember –Sebanyak 2,700 keluarga yang terjejas banjir di tiga negeri Pantai Timur menerima sumbangan daripada Yayasan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menerusi Program Sentuhan Kasih Disaster Relief (SKDR) 2022.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha berterusan yang dijalankan oleh Yayasan di dalam usaha membantu mangsa banjir.
"Melalui pakej prihatin, setiap keluarga menerima sumbangan kelengkapan asas seperti air mineral, selimut, tuala mandi, peralatan mandian, ubat gigi dan berus gigi serta makanan.
"Sumbangan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga sementara mereka berada di PPS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumbangan mangsa banjir Terengganu disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir Saiful Azmi Suhaili di dalam satu majlis ringkas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kemasek di sini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan bin Abdul Wahab.
Sumbangan yang disampaikan melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tersebut turut disampaikan kepada kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 10 buah negeri yang terjejas banjir seluruh negara dengan kos hampir RM1 juta.
Terdahulu, M Ahmad Shazly berkata PETRONAS turut menyumbang 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan di 14 negeri di seluruh negara.
Jelasnya, sumbangan itu sebagai tanda terima kasih atas komitmen yang diberikan pihak berkuasa negeri dalam usaha menyelamat mangsa banjir.
Tambah beliau lagi, Yayasan PETRONAS turut membantu penduduk di kawasan berisiko tinggi di Pekan Pahang dan Tumpat Kelantan melakukan persiapan yang lebih sistematik menghadapi banjir melalui Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM).
21 Dec 22
339
Empat Sungai Lepasi Paras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Paras air di empat sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat jam 3.45 petang ini merekodkan tiga sungai melepasi paras amaran manakala dua sungai paras waspada.
Di Hulu Terengganu iaitu di Sungai Telemong di Kuala Ping merekodkan bacaan paras bahaya iaitu 19.91 m.
Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun melepasi paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 13.3 meter (m).
Sementara itu, Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman juga mencatatkan bacaan paras bahaya iaitu 4.8 m.
Satu lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya ialah Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus iaitu 4.59 m.
Tiga sungai yang mencatatkan paras amaran ialah Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu iaitu 24.13 m; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu iaitu 13.19 m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu iaitu 20.87 m.
Selain itu juga, dua sungai lagi berada paras waspada iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu dengan bacaan 7.79 m dan Sungai Terengganu di Muzium Negeri, Kuala Terengganu mencatatkan bacaan 1.97 m.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata hujan lebat berterusan (peringkat buruk) diramalkan berlaku di Terengganu membabitkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman; Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; serta Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.
Hujan berterusan (peringkat waspada) pula dijangka berlaku di Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu); Pahang (Jerantut dan Maran) serta Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian).
21 Dec 22
276
Banjir Paling Teruk Rumah Sewa Dinaiki Air
KUALA NERUS, 21 Disember - Selama menyewa lima tahun di Taman Murni Permai, Mohd Shahril Othman tidak menyangka banjir kali ini begitu teruk sehingga merosakkan banyak harta benda kerana tidak sempat diselamatkan.
Katanya belum sempat menarik nafas lega setelah berhadapan dengan situasi yang sama sebelum ini, dia terpaksa menghadapinya sekali lagi dengan keadaan yang lebih teruk berbanding sebelum ini.
"Pada kali ini, air naik begitu cepat di kediaman saya ketika saya mula sedar pada jam 6.00 pagi hari ini, bangun nak Solat Subuh, tengok rumah dah mula dinaiki air, saya segera mengambil tindakan untuk mengalihkan dua biji kereta milik saya dan memindahkan isteri.
"Sekejap sahaja air naik kalau sebelum ini hanya satu kaki tapi pada kali ini mencecah tiga kaki banyak barangan yang tidak berjaya diselamatkan seperti peti sejuk, mesin basuh, almari dan sebagainya bagi saya ini paling teruk saya alami walaupun diceritakan oleh mereka yang lama tinggal di sini bencana banjir paling teruk adalah pada tahun 2014.
"Tanpa berfikir panjang demi selamatkan anak, dan isteri saya terus pergi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal tanpa sempat saya menyelamatkan sijil-sijil pelajaran saya," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas dia kembali semula ke rumahnya untuk mengambil saki baki pakaian di kediamannya itu kelmarin.
Katanya, keadaan hujan lebat yang berterusan jika berlarutan sehingga ke malam mendatangkan perasaan cemas kerana akan mengakibatkan banyak lagi barangan akan rosak.
"Walaupun saya menyedari taman perumahan ini selalu banjir namun apakan daya, kerana sukar hendak mendapatkan rumah sewa yang lain,m hendak memiliki rumah sendiri masih tidak berkeupayaan.
"Hari ini terpaksa ambil cuti kecemasan, saya mengharapkan agar hujan lebat tidak berterusan dan keadaan akan pulih kembali seperti biasa," ujarnya.
Untuk rekod, pada ketika ini PPS SK Tok Jembal telah menempatkan 443 mangsa daripada 99 keluarga melibatkan penduduk Taman Murni Permai enam buah kg lagi ialah Pak Tijah, Tok Jembal, Taman Seri Makmur, Gong Badak, Kg. Baru Tok Jembal serta Kg. Kubang Badak
21 Dec 22
846
Banjir Terengganu : Lapan Stesen Minyak Ditutup
MARANG, 21 Disember - Lapan stesen minyak di negeri ini dihentikan sementara operasi akibat terjejas dengan banjir.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata lapan stesen minyak tersebut melibatkan empat daerah.
Katanya, tiga stesen minyak terletak di daerah Kemaman, dua di Hulu Terengganu dan masing-masing satu di Besut, Setiu serta Dungun.
“Penutupan sementara stesen minyak itu terpaksa dibuat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
“Untuk keselamatan amat membincangkan kerana minyak bercampur dengan air, di samping arus elektrik juga turut boleh menjejaskan operasi stesen minyak tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sivik Bukit Payong semalam.
Tambah Saharuddin, stesen minyak tersebut akan kembali beroperasi apabila banjir surut sepenuhnya seperti biasa.
Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan kenderaan stesen bergerak (ROVR) juga akan digerakkan ke lokasi yang terjejas teruk setelah beberapa penilaian dibuat.
“Perkara itu akan diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Justeru agensi penyelamat dan penduduk tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan bakar kenderaan di lokasi bencana," ujarnya.
21 Dec 22
796
Mangsa Banjir Di Terengganu Melebihi 40,000
KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 40,456 orang setakat jam 8 pagi hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut terdiri daripada semua daerah dalam negeri ini.
Katanya, susulan itu sebanyak 299 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan 11,097 keluarga mangsa di seluruh negeri ini.
“Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 9,147 orang daripada 2,441 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS dalam daerah berkenaan.
“Di daerah Besut pula merekodkan jumlah mangsa seramai 8,536 daripada 2,265 keluarga.
“Tambahnya lagi, daerah Hulu Terengganu dan Setiu masing-masing mencatatkan jumlah 5,893 dan 4,352 mangsa yang melibatkan 1,952 dan 1,246 keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Manakala, daerah Dungun dan Kuala Terengganu juga meningkat kepada 4,419 dan 2,777 mangsa daripada 1,239 dan 752 keluarga.
Sementara itu, Marang dan Kuala Nerus pula mencatatkan 1,735 dan 3,597 mangsa daripada 440 dan 862 keluarga yang di tempatkan di 28 PPS dalam daerah tersebut.
“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.
21 Dec 22
556
Penduduk Sifatkan Banjir Paling Buruk Selepas 36 Tahun
HULU TERENGGANU, 21 Disember - Banjir yang melanda daerah ini susulan hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lepas, disifatkan penduduk antara yang terburuk sejak 36 tahun lalu, apabila paras air naik secara mendadak.
Penduduk Kampung Padang Setar Ulu Sat, Latifah Jusoh, 61, berkata kali terakhir 'banjir besar' berlaku di kampung berkenaan pada 1986 namun hanya beberapa rumah sahaja terjejas terutamanya di kawasan yang rendah.
"Kampung kami dah biasa banjir setiap tahun tetapi setakat 0.5 meter hingga satu meter sahaja... 2014 pun sama dan masa awal tahun baru-baru ini sahaja hampir satu meter.
"Namun, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 36 tahun lalu kerana arus air agak deras sehingga rumah saya dinaiki air hampir paras bumbung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Berkongsi cerita, ketika kejadian, dia sedang berada di dalam rumahnya untuk menyimpan apa yang perlu ke bahagian lebih tinggi.
"Masa tengah kemas barang tu, air dah paras pinggang tetapi tak sampai 15 minit air dah cecah paras bahu saya.
"Oleh kerana keadaan makin merbahaya, saya terus mengharungi air dalam keadaan berdebar untuk menyelamatkan diri," katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Saifuddin Wahab, 44, dari Kampung Tengkawang berkata dia tidak pernah menjangkakan kejadian banjir kali ini teruk dari kebiasaan tahun-tahun sebelumnya.
"Memang dah biasa hadapi banjir tapi kali saya tak tahu nak kata apa sebab memang teruk...lebih teruk dari 2014 apabila rumah ibu dinaiki air sehingga dua meter.
"Paras air tinggi di luar jangkaan menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian besar akibat kemusnahan harta benda serta barang perniagaan yang tidak sempat diselamatkan," ujarnya.
21 Dec 22
635
Jalan Mendap: Laluan Jalan Simpang Gaung-Sungai Tong, Setiu Ditutup
HULU TERENGGANU, 20 Disember - Laluan Jalan Simpang Gaung-Sungai Tong, Setiu ditutup sepenuhnya bermula petang tadi susulan jalan mendap di Kampung Jeneris, Hulu Terengganu.
Ketua Polis Hulu Terengganu, DSP Hasmerra Hassan berkata,
kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi.
"Susulan kejadian itu, jalan ditutup kepada semua kenderaan ringan dan berat," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pengguna jalan raya diminta menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Simpang Kuala Jeneris - Simpang Basung- Simpang Kampung Teris, Hulu Terengganu.
20 Dec 22
945
Terlelap, Tidak Sempat Alih Kereta
KUALA NERUS, 20 Disember - Seorang penduduk di kawasan perumahan Taman Desa Tanjung Damai, Mohd Shahrul Nizam Abdul Ghani, 27, menyatakan telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kerana hujan lebat berterusan dan berjaga sepanjang malam.
Namun dirinya terlelap selepas solat Subuh, sebaik sahaja terjaga daripada tidur air telah melimpah masuk ke dalam rumah mengakibatkan dia tidak sempat mengalihkan kereta miliknya.
"Tahu-tahu kawasan perumahan Ini telah menjadi seperti sungai, apa yang berlaku adalah di luar jangkaan, sekelip mata sahaja mujurlah kereta satu lagi telah berjaya dialihkan ke tempat Selamat, semalam.
"Dalam keadaan telah bersedia pun, saya tetap diuji hanya pasrah dan berdoa agar keadaan tidak bertambah teruk jika saya buat keputusan untuk tetap keluarkan kenderaan saya ini risau akan mengakibatkan kerosakan rasanya dah tidak boleh nak mengharungi banjir macam ni,"ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, ketika melakukan tinjauan banjir di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kejadian yang berlaku dengan sangat cepat itu juga dia tidak sempat alihkan segala barangan dalam rumah.
"Termasuk ketuhar besar, peti sejuk, dan segala peralatan membuat kuih muih, saya dan isteri, Adawiyah Hashim sebenarnya berniaga dari rumah membuat kek dengan melakukan hantaran tempahan.
"Hari ini banyak jugalah tempahan yang terpaksa saya batalkan, tidak fikir lain hanya mahu memastikan isteri, serta seorang anak berusia satu tahun Selamat kerana itu segera bergegas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak dengan membawa dokumen-dokumen penting," ujarnya.
Seorang penduduk lagi, Syed Amir Syed Hamzah berkata ketika menghadapi situasi demikian, tiada lain difikirkan hanya mahu keluarganya Selamat.
"Saya beserta isteri Nadiah Izzati Mohamad membawa keluar segera empat orang anak yang berusia lingkungan tujuh tahun sehingga satu tahun ke PPS sebelum kembali semula ke rumah ini bagi meletakkan Televiyesn, peti ke tempat sedikit tinggi dan mengambil sedikit barangan penting yang mudah dibawa kerana risau dengan keadaan hujan berterusan air akan naik semakin tinggi," ujarnya.
20 Dec 22
147
Guna Helikopter Hantar Bantuan Makanan
KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Bantuan makanan kepada mangsa banjir di mana-mana pusat pemindahan sementara (PPS) yang tidak boleh diakses dengan kenderaan biasa di Terengganu akan mula diagihkan menggunakan helikopter hari ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, langkah drastik itu perlu dilakukan segera untuk memastikan mangsa banjir di kawasan terjejas yang terputus bekalan makanan tidak kelaparan.
Menurutnya, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan telah berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu untuk menggunakan helikopter pasukan penyelamat tersebut bagi tujuan itu.
"Bantuan pertama akan dihantar ke beberapa PPS di sekitar daerah Besut hari ini dan ke daerah lain yang turut terjejas.
"Semua mangsa di 310 PPS seluruh Terengganu jangan bimbang, kita akan segerakan penghantaran bekalan makanan dan kelengkapan yang lain untuk mereka.
"Kalau tak boleh guna kenderaan darat, kita hantar dengan helikopter agar kebajikan semua mangsa dijaga," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata bagi mengulas isu tular tentang kekurangan bekalan makanandan kelengkapan lain di beberapa kawasan terutama di tiga daerah iaitu Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.
Tambahnya, bencana yang berlaku sangat luar biasa kerana terjadi serentak di semua lapan daerah di negeri ini dan banyak laluan utama ditutup kepada semua jenis kenderaan setelah ditenggelami air dalam banjir buruk kali ini.
Sementara itu, beliau juga telah mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri serta pimpinan komuniti setempat untuk menyegerakan bantuan terhadap aduan yang diterima.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya minta maaf terhadap kesulitan yang dialami oleh mangsa banjir di PPS yang terlibat walaupun persiapan rapi telah dilakukan namun masih ada kes-kes terpencil kekurangan makanan dan keperluan lain berlaku di PPS yang terjejas," katanya.
20 Dec 22
810
Lebih 1,600 Mangsa Dipindahkan Kali Kedua
SETIU, 20 Disember - Sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 1,641 mangsa terpaksa ditutup dan dipindahkan ke lokasi lain selepas ditenggelami air berikutan banjir sejak Jumaat lalu
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia melibatkan dua PPS di Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu masing-masing lima PPS, serta tiga PPS di Setiu.
“Kesemua PPS ini terletak di kawasan baharu yang ditenggelami air dan diluar jangkaan. Malah situasi bencana banjir kali ini agak berbeza namun mangsa telah pun dipindahkan.
“Dengan kekuatan lebih 3,000 anggota penyelamat semua agensi, pembahagian penugasan telah dibuat untuk memberi keutamaan di lokasi kritikal,” katanya selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mangkuk, di sini hari ini.
Beliau berkata, situasi luar jangka itu memberi sedikit kesukaran kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat untuk mengurus serta menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa selepas situasi banjir semakin buruk di negeri ini.
Justeru itu, tumpuan utama diberikan kepada kawasan kritikal yang mempunyai pesakit kronik, ibu mengandung dan warga emas yang perlu pemindahan segera.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga perlu lebih tegas dengan kanak-kanak kecil yang bermain air kerana dikhuatiri disengat binatang berbisa yang boleh mendatangkan mudarat.
20 Dec 22
191