lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Bantuan RM10 Ribu, RM1,000 Untuk Mangsa Banjir Terengganu - MB
Bantuan RM10 Ribu, RM1,000 Untuk Mangsa Banjir Terengganu - MB
KEMAMAN, 23 Disember - Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan peringkat awal bernilai RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir manakala keluarga yang terlibat dengan kehilangan nyawa akan diberi sumbangan bernilai RM10,000. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif kerajaan negeri itu akan membabitkan lebih 18,000 keluarga. Katanya, sumbangan tersebut bagi meringankan beban rakyat yang berhadapan bencana banjir terburuk. "RM10,000 peruntukan kerajaan negeri kepada setiap keluarga yang kehilangan ahli keluarga disebabkan bencana banjir. "Di samping setiap KIR bagi mangsa yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) turut menerima RM1,000, setakat ini kita sedang meneliti rekod setiap mangsa sebelum bantuan tunai ini diagihkan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir mendengar taklimat pengurusan bencana banjir di Pejabat Daerah Kemaman, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, bantuan-bantuan lain seperti membaiki rumah yang rosak, membina baru bagi kediaman musnah dan lain-lain kerosakan akan dilaksanakan oleh Kerajaan negeri secepat mungkin. "Setakat ini penilaian penuh sedang dibuat, bantuan-bantuan tersebut akan kita laksanakan selepas ini," ujarnya. Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan mana-mana agensi kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan untuk turut menghulurkan bantuan serta kerjasama dalam membantu mangsa-mangsa banjir. "Kita mempunyai Tabung Darul Iman (TDI) di bawah Kerajaan negeri jika mereka ingin menyerahkan sumbangan untuk diuruskan oleh Kerajaan negeri. "Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan segera sebanyak RM 50 juta. "Terima kasih juga kepada kerajaan Selangor atas sumbangan bantuan RM500,000, kerajaan Kedah RM200,000 serta Pahang menghulurkan bantuan RM150,000," ujarnya. Sementara itu Hanafiah merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu yang meluluskan peruntukan segera. "Ini menandakan beliau sangat prihatin dan mengambil cakna terhadap kesusahan serta penderitaan rakyat ketika menghadapi musibah banjir ini  insya-Allah ia akan dibayar dengan kadar segera," ujarnya.    
23 Dec 22
3660
"Saya Minta Maaf" - MB
"Saya Minta Maaf" - MB
KEMAMAN, 23 Disember - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf kepada mangsa banjir kerana tidak dapat bersama mereka selama empat hari pada 18 hingga 21 Disember. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu bagaimanapun berkata, beliau membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke luar negara atas urusan keluarga setelah berlaku penurunan mangsa banjir gelombang pertama. "Saya sentiasa meneliti suasana yang berlaku mengenai banjir di negeri ini dari semasa ke semasa, malangnya semasa gelombang kedua melanda pada 18 hingga 21 Disember saya berada di luar negara. "Sebenarnya kerajaan negeri dari awal lagi sejak beberapa bulan lalu telah melakukan segala persediaan, ketika bencana melanda kami mengadakan peebincangan meneliti keadaan sungai, air dan isu-isu perpindahan pada setiap hari termasuklah pada 18 hingga 21 Disember. "Sewaktu ketiadaan saya, saya masih lagi berkomunikasi dengan semua agensi yang terlibat dimana saya tetap boleh membuat keputusan kerana setiap hari berlaku perbincangan dengan ahli-ahli jawatankuasa bencana negeri," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas hadir mendengar taklimat mengenai banjir di Pejabat Daerah Kemaman di sini hari ini. Terdahulu Ahmad Samsuri memaklumkan, beliau juga telah turun ke lapangan bertemu dengan mangsa banjir fasa pertama bermula 10 Disember. "Namun, oleh kerana saya tidak dapat bersama dengan mangsa banjir pada 18 hingga 21 Disember Maka saya memohon sejuta kemaafan atas apa yang telah berlaku," ujarnya lagi   
23 Dec 22
705
Banjir : Bersedia Hadapi Gelombang Kedua
Banjir : Bersedia Hadapi Gelombang Kedua
KEMAMAN, 22 Disember – Semua pihak diminta bersedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir di negeri ini. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesiapsiagaan tersebut perlu diambil segera oleh semua agensi terlibat dengan bencana banjir.   Katanya, memandangkan gelombang kedua diramal telah berlaku bermula semalam sehingga 28 Disember ini.   “Antara persedian tersebut iaitu meningkatkan aset yang mencukupi bagi menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir.   “Sebelum ini terdapat masalah kelewatan penghantaran disebabkan kekurangan aset logistik, jalan-jalan terputus hubungan dan sebagainya,” jelasnya.   Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan banjir di Kampung Bukit Mentok, di sini, hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.   Tambah Zahid, masalah tersebut berlaku akibat banjir luar jangka yang terjadi di negeri ini.   Beliau berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah diminta memobilisasikan trak (Angkatan Tentara Malaysia) di depoh-depoh bekalan terlibat.   “Hal ini supaya dapat mengatasi dari segi masalah pergerakan di kawasan-kawasan yang mengalami banjir.   "Di samping, soal bekalan makanan, pengangkutan bot dan kesihatan dapat diatasi dengan segera," ujarnya.      
22 Dec 22
215
Penyerang Thailand Sertai Terengganu FC
Penyerang Thailand Sertai Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Terengganu Football Club (TFC) harini mengumumkan penyertaan penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn bagi menghadapi saingan bersama TFC musim 2023. Adisak sebelum ini beraksi bersama kelab Muangthong United selaku kelab yang beraksi di liga utama Thailand menandatangani kontrak bersama TFC selama tempoh 2 tahun (1+1).  TFC dalam satu kenyataan menyatakan bahawa dia akan mengisi kuota pemain asing Asean yang ditinggalkan oleh Manuel Ott. "Adisak memutuskan untuk berhijrah dari liga Thailand bagi mendapatkan cabaran baru melihatkan saingan Liga Malaysia sebagai salah sebuah liga kompetitif di Asia Tenggara. "Adisak bakal menyarung jersi bernombor 9 bersama Terengganu FC. Pemain yang mempunyai ketinggian 1.83m ini semestinya bakal memberi lebih variasi dalam jentera serangan pasukan ini," katanya. Untuk rekod, beliau pernah menjuarai kejohanan ini bersama pasukan Thailand bagi tahun 2014 dan 2020 selain memenangi gelaran penjaring terbanyak bagi kejohanan ini untuk tahun 2018.   
22 Dec 22
440
Tentera Darat Hantar Jentera Berat Bantu Mangsa Banjir
Tentera Darat Hantar Jentera Berat Bantu Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Tentera Darat bermula semalam telah menghantar empat trak tujuh tan ke negeri ini sebagai bantuan tambahan atur gerak bagi membantu mangsa banjir. Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, trak berkenaan digunakan bagi operasi penghantaran bekalan makanan dan membantu pemindahan mangsa banjir di kawasan tidak boleh dilalui kenderaan ringan. Katanya, pihaknya serta Tentera Darat secara amnya akan sentiasa memantau situasi banjir yang melanda ketika ini dan bekerjasama dengan semua agensi. "Atur gerak semasa Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Terengganu membabitkan kekuatan seramai 21 pegawai dan 388 anggota, selain 14 trak pelbagai, enam bot tempur dan enjin serta pelbagai peralatan tambahan perairan dan alat perhubungan komunikasi," ujarnya dalam satu kenyataan. semalam. Mengulan lanjut katanya, Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat selaku formasi bertanggungjawab di seluruh semenanjung sudah bersiap sedia dari awal demi menjaga keamanan dan keselamatan negara serta membantu dalam apa-apa situasi apabila diperlukan.  
22 Dec 22
171
Nadir An Nuri Seru Bantu Mangsa Banjir
Nadir An Nuri Seru Bantu Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Rakyat Malaysia tunggal di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman menyeru rakyat Malaysia untuk bersolidariti membantu mangsa banjir. Beliau yang juga penaung Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) berkata, pihaknya tidak melepaskan peluang turun ke Terengganu bagi membantu mangsa banjir di sini dan kali ini ia misi kali keduanya pihaknya. "Ini kali kedua kami sampai ke Terengganu bagi misi banjir, kali pertama merupakan pada awal tahun lepas. "Sedikit nasihat saya kepada mangsa banjir adalah jaga keselamatan, bersabar serta yakin bahawa di sebalik ujian ada hikmah untuk menghapuskan dosa serta mendekatkan diri kepada Allah. "Bagi mereka tidak diuji pula, ini adalah ruang untuk kita bantu. Biasanya saya menyeru CGM bantu Palestin tapi kini saya mengajak bantu mangsa banjir buat masa ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika turun di sekitar Kuala Terengganu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah kelmarin.    
22 Dec 22
385
Kedah Sumbang RM200,000 Kepada Terengganu, Kelantan
Kedah Sumbang RM200,000 Kepada Terengganu, Kelantan
KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Kerajaan Kedah bersetuju menyumbangkan bantuan kewangan berjumlah RM200,000 kepada Terengganu dan Kelantan sebagai tanda solidariti banjir di kedua-dua negeri itu. Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian tersebut akan dibahagian secara sama rata iaitu RM100,000 untuk setiap negeri. “Selain itu, empat kontena berisi 24,000 beg beras serta bahan makanan asas lain akan turut dihantar ke Kelantan dan Terengganu hasil sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). “Penghantaran sumbangan makanan tersebut akan dibuat sebaik keadaan mengizinkan,” katanya dalam satu kenyataan. di sini hari ini. Langkah untuk memberi sumbangan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dipengerusikannya di Wisma Darul Aman, semalam. Katanya, sumbangan itu adalah bantuan bagi menghadapi banjir di Pantai Timur untuk dua negeri tersebut. Pada Selasa, Kerajaan Negeri Selangor juga menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM500,000 masing-masing kepada kerajaan Kelantan dan Pahang untuk membantu mangsa banjir di dua negeri berkenaan.  
22 Dec 22
379
Peka Situasi Banjir, Pindah Awal Walaupun Tidak Berisiko
Peka Situasi Banjir, Pindah Awal Walaupun Tidak Berisiko
MARANG, 22 Disember - Penduduk yang tinggal di kawasan tidak berisiko banjir diingatkan supaya peka terhadap perkembangan terkini banjir bagi mengelak berlakunya situasi banjir di luar jangkaan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, maklumat terkini mengenai perkembangan bencana boleh diperoleh melalui portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Katanya, langkah tersebut perlu diambil memandangkan kejadian banjir di luar jangka dilaporkan banyak berlaku pada musim tengkujuh ini “Selain itu, kita juga akan berbincang dengan Pegawai Daerah mengenai tahap kesiapsiagaan, apa lagi langkah-langkah yang kita boleh ambil bersama untuk memperkemaskan lagi persiapan. “Bila tak pernah berlaku (kawasan jarang banjir) tu susah sikit, tapi kita ambil berat untuk susun atur persiapan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau stok bekalan makanan dan kelengkapan asas mangsa banjir di Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM di Pulau Kerengga di sini, hari ini. Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, pihaknya akan bincang bersama pegawai daerah berhubung langkah segera yang boleh diambil bagi memperkemaskan lagi persiapan berdepan bencana luar jangka terutama dalam berdepan gelombang banjir seterusnya di negeri itu. "Kita akui apabila berlaku bencana di kawasan yang tidak pernah terlibat banjir, ia agak sukar, namun kita mengambil berat berhubung perkara itu. "Persediaan untuk berdepan situasi itu perlu diperkasakan lagi bagi mengelak situasi sama berulang," ujar beliau.  
22 Dec 22
120
36,341 Mangsa Banjir Terengganu Masih Berada Di 254 PPS
36,341 Mangsa Banjir Terengganu Masih Berada Di 254 PPS
KUALA TERENGGANU- Seramai 36,341 mangsa daripada 9,769 keluarga masih ditempatkan di 254 pusat pemindahan sementara (PPS), di seluruh negeri ini. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, memaklumkan, setakat 10 pagi ini Kemaman kekal daerah paling terjejas dengan 7,547 mangsa daripada 2,009 keluarga masih berada di 25 PPS. “Seramai 7,281 mangsa daripada 1,752 keluarga pula berada di 67 PPS di Besut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Katanya, sebanyak 41 PPS masih beroperasi di Dungun dengan 6,072 mangsa daripada 1,594 keluarga masih berlindung. Tambah beliau, Hulu Terengganu masih mempunyai 5,738 mangsa daripada 1,921 keluarga yang berada di 45 PPS. “Seramai 3,890 mangsa daripada 986 keluarga masih berada di 17 PPS di Kuala Nerus. “Sebanyak 13 PPS yang mempunyai 2,863 mangsa daripada 751 keluarga masih dibuka di Kuala Terengganu,” katanya. Menurut kenyataan tersebut, Setiu pula masih mempunyai 2,065 mangsa daripada 542 keluarga yang ditempatkan di 35 PPS daerah itu. Manakala, seramai 885 mangsa daripada 214 keluarga berada di 11 PPS di Marang.  
22 Dec 22
353
Khidmat Malaysia Bantu Mangsa Banjir Dungun
Khidmat Malaysia Bantu Mangsa Banjir Dungun
DUNGUN, 22 Disember- Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turun padang membantu meringankan beban mangsa banjir di daerah ini termasuk Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) kawasan Dungun. Pengerusinya, Khairul Ismail berkata, Khidmat Malaysia bersama beberapa NGO lain ikhlas menyantuni mangsa banjir dan menghulur bantuan, sama ada sumbangan barangan keperluan atau dalam kerja pembersihan. “Kami bergerak bersama Jabatan Amal ke Durian Mentangau, Kampung Nyior, dan Pinang Merah untuk memberi bantuan makanan, minyak petrol, dan 'jenset' kerana di Durian Mentangau terputus bekalan api dari semalam lagi.  "Terdapat satu Pusat Pemindahan Sementaraq (PPS) sahaja di Durian Mentangau, ada juga beberapa mangsa di Durian Mentangau terpaksa dialihkan ke PPS lain, cuma kami pihak Khidmat Malaysia bersama-sama dengan Jabatan Amal dan PADAT akan bergerak memberi bantuan sokongan kepada agensi yang terlibat termasuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan sebagainya," ujarnya ketika ditemui di Pejabat PAS Kawasan Dungun, semalam. Katanya, orang ramai dialu-alukan untuk turut sama membantu mangsa banjir dengan menyediakan barang-barang keperluan untuk dihantar ke PPS.  "Antara yang menjadi keutamaan bagi mangsa banjir ketika berada di PPS adalah makanan, tilam, selimut, tuala wanita, susu dan lampin bayi pakai buang serta lain-lain. “Kalau ada yang ingin menyalurkan bantuan boleh hubungi terus bilik gerakan kami yang bertempat di Pejabat PAS Kawasan Dungun," katanya          
22 Dec 22
756