lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Raja Muda Terengganu Cemar Duli Ziarah Mangsa Banjir
Raja Muda Terengganu Cemar Duli Ziarah Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 26 Disember – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir pada hari kedua di daerah Hulu Terengganu dan Dungun di sini semalam. Terdahulu, pada hari pertama baginda telah melawat mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu dan Setiu. Turut mengiringi baginda, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut serta, Setiausaha Kerajaan Terengganu Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja. Lokasi pertama dilawati baginda dan rombongan iaitu di PPS Balai Raya Kampung Kemat, Hulu Terengganu yang menempatkan 82 keluarga yang berjumlah 255 mangsa. Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Adnan Abdullah menyampaikan taklimat ringkas sebelum majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir. Sejurus kemudian, rombongan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kua, Pengkalan Ajal untuk menyerahkan sumbangan keperluan kepada 147 keluarga di PPS berkenaan. Yang di-Pertuan Muda bersama rombongan kemudiannya ke PPS SK Pulau Serai Kuala Dungun bagi menyampaikan sumbangan kepada 116 keluarga. Lawatan berakhir di PPS Tebing Tembah, Dungun dengan penyampaian sumbangan kepada 236 keluarga.  
26 Dec 22
751
Permai Hotel Bantu Mangsa Banjir
Permai Hotel Bantu Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Seramai 20 sukarelawan terdiri dari warga kerja Permai Hotel Kuala Terengganu turun padang menyampaikan bantuan kepada komuniti yang terjejas banjir melalui program tanggungjawab sosial korporatnya bertempat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah kebangsaan (SK) Kampung Gemuroh dan SK Bukit Guntong serta penduduk sekitar. Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata, inisiatif tersebut bukan hanya menjadi satu tanggungjawab sosial korporat hotel untuk meringankan beban mangsa banjir, tetapi ia juga merupakan konsep yang diterapkan oleh Permai Hotel sejak azali iaitu mencari keberkatan dengan menjadikan kerja bakti, kebajikan dan sedekah sebagai nilai teras dalam setiap urusniaga yang dijalankan. “Saya percaya bahawa usaha dalam mencari keberkatan di dalam perniagaan bermula dengan bersedekah. “Program ini dilakukan setiap tahun bagi menerapkan sifat empati dan menzahirkan semangat kemanusian dalam kalangan warga kerja Permai Hotel untuk membantu insan-insan yang ditimpa musibah tanpa mengira kaum, jantina dan status," ujarnya dalam satu kenyataan. Noralizan berkata, lebih dari 400 pek makanan yang dimasak dan disediakan secara gotong royong oleh warga kerja hotel diedarkan terus kepada komuniti yang terjejas menerusi misi tersebut. “Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi Permai Hotel, Ustaz Hishamuddin Abd Karim yang juga turut meluangkan masa bagi menyantuni mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS.  “Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir dan sebagai tanda solidariti bersama mangsa banjir yang diuji kehilangan tempat tinggal dan harta benda,” ujarnya. Difahamkan, hujan lebat berterusan sejak awal Isnin minggu lalu telah mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan DUN Tepoh cemas apabila kediaman mereka mula ditenggelami air sehingga tiga meter.   
26 Dec 22
349
1,438 Mangsa Banjir Masih Di PPS
1,438 Mangsa Banjir Masih Di PPS
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Seramai 1,438 mangsa banjir daripada 385 keluarga masih berada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut daripada empat daerah di negeri ini. Katanya, sebanyak 12 PPS yang masih diaktifkan bagi menempatkan mangsa manakala Kemaman, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu pula telah pulih sepenuhnya semalam. “Kuala Nerus merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,090 mangsa daripada 312 keluarga yang masih berada di empat PPS. “Manakala di Besut mencatatkan seramai 183 mangsa daripada 51 keluarga yang ditempatkan di lima PPS ,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambahnya, Marang dan Kuala Terengganu pula menempatkan seramai 76 dan 86 penghuni yang masih tinggal di tiga PPS di daerah berkenaan. “Secara keseluruhan hujan telah berhenti dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu kini mendung,” jelasnya.  
26 Dec 22
140
PTA Service Tawar Servis Peralatan Elektrik Percuma
PTA Service Tawar Servis Peralatan Elektrik Percuma
BESUT, 25 Disember - PTA Sales & Service Sdn Bhd (PTA Service) cawangan Kampung Raja menawarkan perkhidmatan servis peralatan elektrik percuma buat mangsa banjir.  Pengurus PTA Service, Mohd Azam Ramia berkata tawaran secara percuma ini terbuka buat semua mangsa banjir terpilih sehingga Rabu (28 Disember) ini.  “Misi ini pertama kali diadakan pihak PTA Service melihatkan kepada keadaan bencana teruk kali ini. “Sebagai tanda keprihatinan PTA Service, kami menawarkan bantuan berupa khidmat servis barangan elektrik secara percuma khas buat mangsa banjir,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.  PTA Service menerima apa-apa barangan elektrik dan elektronik ke ousat operasi kami di Besut.  Sebarang persoalan boleh diajukan terus kepada pihak PTA Service di talian 011-51134656.  
25 Dec 22
652
Mangsa Banjir Tinggal 5,810 Orang
Mangsa Banjir Tinggal 5,810 Orang
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Seramai 5,810 mangsa banjir daripada 1,651 keluarga masih berada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut terdiri daripada tujuh daerah di negeri ini. Katanya, sebanyak 44 PPS yang masih diaktifkan bagi menempatkan mangsa manakala Kemaman pula telah pulih sepenuhnya semalam. “Kuala Nerus merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 2,210 mangsa daripada 574 keluarga yang masih berada di 11 PPS. “Manakala Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu masing-masing mencatatkan seramai 1288 dan 916 mangsa daripada 482 dan 259 keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambahnya, sebanyak 13 PPS di yang menempatkan mangsa di dua daerah berkenaan. “Dungun pula masih mempunyai 773 mangsa daripada 207 keluarga yang berada di 10 PPS,” katanya. Beliau berkata seramai 421 mangsa daripada 105 keluarga masih berada di tujuh PPS di Besut. “Setiu dan Marang menempatkan seramai 126 dan 76 penghuni yang masih tinggal di tiga PPS di daerah berkenaan,” ujarnya.  
25 Dec 22
100
Manfaatkan Cuti Dengan Sertai Misi Banjir
Manfaatkan Cuti Dengan Sertai Misi Banjir
BESUT, 24 Disember - Sukarelawan T-Volt bawah kelolaan Urus Setia Belia Sukan dan NGO negeri (UBSNT) memanfaatkan hari cuti bekerja dengan menyertai misi bantuan pasca banjir.  Mardhati Husna Mohd Zailani, 23, berkata dia mendaftar sebagai sukarelawan T-Volt selepas mendapati penyertaan dibuka melalui media sosial rasmi UBSNT.  “Saya terkejut dan sedih ketika bencana ini menimpa negeri kita. Terkejut kerana tidak menyangka paras banjir itu tinggi dan sedih kerana banyak harta benda rosak.  “Jadi kebetulan cuti hujung minggu, sata rasa perlu untuk tolong sebab banyak tempat di Besut yang terkesan,” katanya ketika ditemui di Misi Bantuan Pasca Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuh Kawah, Besut hari ini.    Sementara itu, Anis Sakinah Mohd Zubir, 23, menjelaskan dia terpanggil untuk turut serta bagi memberikan sumbangan tenaga dan bantuan emosi buat mangsa terlibat.  Pasukan T-Volt hari ini dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyalurkan bantuan tenaga bagi mangsa banjir seluruh negeri dalam misi melakukan operasi pasca banjir.  
24 Dec 22
238
200 Sukarelawan T-Volt Diatur ke Misi Pasca Banjir
200 Sukarelawan T-Volt Diatur ke Misi Pasca Banjir
BESUT, 24 Disember - Pasukan sukarelawan Terengganu Volunteer (T-Volt) seramai 200 orang mula digerakkan ke kawasan terjejas banjir bagi operasi gotong-royong pasca banjir sejak semalam. T-Volt yang dikelola kerajaan negeri itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan sepanjang seminggu tempoh pendaftaran.  Pegawai Seranta (Unit Belia) Urus Setia Belia Sukan dan NGO (UBSNT), Syed Abdus Salam Syed Nazmi berkata, perancangan pergerakan T-Volt ini telah bermula sejak sebelum banjir melanda negeri ini.  “Hari ini kita adakan misi bantuan pasca banjir di Besut dengan pecahan kepada tiga kumpulan di lokasi yang berbeza.  “Perancangan ini sudah kita susun dan bersedia daripada awal kerana kita maklum setiap hujung tahun kita hadapi musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di Misi Bantuan Pasca Banjir 2022 di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah, Besut hari ini.    Beliau turut berkata, kerajaan negeri sudah mewartakan peruntukan khas bagi persediaan menghadapi musim banjir terutamanya bagi misi bantuan pasca banjir.  Pasukan sukarelawan terdiri daripada beberapa entiti antaranya T-Volt bawah UBSNT dengan kerjasama Majlis Muafakat NGO Terengganu, Al-Azhar Care dan juga sukarelawan persedirian. Misi bantuan pasca banjir T-Volt dijangka akan ke semua daerah yang terlibat bencana banjir bagi membantu mangsa melakukan operasi cucian dalam tempoh terdekat ini.  
24 Dec 22
357
Segerakan Projek Atasi Banjir
Segerakan Projek Atasi Banjir
KEMAMAN, 24 Disember - Kerajaan Persekutuan digesa menyegerakan projek yang telah diluluskan untuk mengatasi masalah banjir di Pantai Timur khususnya di Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek tersebut mampu menyelesaikan masalah banjir yang kerap menimpa rakyat. Katanya, ia juga berupaya menjimatkan kos perbelanjaan tambahan yang perlu ditanggung oleh kerajaan Malaysia bagi membantu mangsa banjir setiap kali bencana itu melanda. "Antara projek yang perlu diberi keutamaan antaranya kalau di Kemaman ini seperti Sungai Tiruan, pembinaan pembentung di Telung Kalong yang peruntukkanya telah diluluskan cuma pelaksanaannya memakan masa begitu lama, jadi saya rasa kena percepatkan perkara ini. "Kalau kita tidak buat perkara-perkara begini banjir besar akan berterusan serta sukar diuruskan, kalau kita dapat menyelesaikan tebatan banjir, 'culvert', dan sebagainya ia akan dapat mengatasi masalah banjir yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menghadiri Taklimat Pengurusan Bencana di Pejabat Daerah Kemaman, di sini semalam. Tambah beliau setiap agensi di bawah kerajaan persekutuan di negeri ini yang terlibat dengan projek penyelesaian banjir seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu kembali berbincang dengan kementerian masing-masing bagi mempercepatkan pelaksanaan projek. "Pada ketika ini ada yang berstatus di peringkat pelaksanaan, telah diluluskan bajet serta masih ada dalam proses. "Kerajaan negeri berpandangan perlu disegerakan jangan ditunggu, Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan dana-dana khas dan seumpamanya bagi memastikan perkara inj dapat diselesaikan segera untuk kepentingan rakyat," ujarnya lagi.  
24 Dec 22
386
Ahmad Samsuri Tak Kecil Hati Dilabel Haprak
Ahmad Samsuri Tak Kecil Hati Dilabel Haprak
KEMAMAN, 23 Disember - Menteri Besar Terengganu tidak berkecil hati dan tergugat dengan serangan bertali arus tentera siber parti musuh yang melabel dirinya haprak, tidak berguna serta lemah dalam pentadbiran. Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau langsung tidak kisah dengan apa jua yang didakwa kelompok berkenaan kerana rakyat menilai sebaliknya. "Dari satu segi saya teruja juga dengan dakwaan seumpama ini yang datang daripada 'cybertrooper' sebab kita boleh buat analisa dan mengetahui punca sebenar timbulnya perkara seperti ini  "Tetapi kalau saya boleh sebut ialah, kalau beginilah keadaan seorang Menteri Besar yang lemah sangat, beruntunglah Perikatan Nasional dan juga PAS mempunyai MB yang haprak tetapi (diberi kekuatan) boleh mentadbir negeri sehingga menempa sokongan rakyat," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Taklimat Pengurusan Bencana di Pejabat Daerah Kemaman, hari ini. Justeru katanya, rakyat sewajarnya melihat dan terus memberi kepercayaan serta keyakinan kepada Perikatan Nasional untuk terus membawa kebajikan kepada rakyat di negeri ini. "Lebih-lebih lagi kalau Terengganu ini mempunyai Menteri Besar atau Perdana Menteri yang tidak haprak daripada Perikatan Nasional sudah tentulah akan lebih baik. "Haprak pun begini baik, kalau tidak haprak itu saya rasa akan tersangat baik, jadi saya rasa tidak ada sebab kenapa rakyat tidak boleh membuat keputusan untuk terus memilih dan meletakkan keyakinan serta kepercayaan kepada PN dan juga PAS untuk terus mentadbir kerajaan negeri serta negara," ujarnya lagi.
23 Dec 22
785
Gantian Dokumen Percuma Kepada Mangsa Banjir - JPJ
Gantian Dokumen Percuma Kepada Mangsa Banjir - JPJ
KUALA TERENGGANU, 23 Disember -Mangsa bencana banjir di Terengganu tidak perlu khuatir kerana layak mendapatkan semula perkhidmatan penggantian dan pembaharuan dokumen  yang musnah secara percuma. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata,  penggantian secara percuma itu membabitkan lesen memandu Malaysia (LMM), lesen kenderaan motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC). Menurutnya, pembaharuan dan penggantian secara percuma itu membabitkan dokumen yang rosak, hilang ataupun musnah akibat banjir yang luar biasa melanda di negeri ini. “Pemilik dokumen perlulah hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan salinan gantian di mana-mana kaunter JPJ di negeri ini. "Bagi dokumen yang hilang ataupun musnah akibat banjir, pemilik perlu mengemukakan salinan laporan polis atau salinan borang pendaftaran mangsa bencana yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ataupun pejabat daerah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus, petang ini. Tambah  Zulkarnain lagi pihaknya  juga akan berkolaboratif dengan pihak JKM bagi memudahkan lagi urusan mangsa banjir jika mereka tidak mengemukakan salinan dokumen yang diperlukan. "Tiada tempoh tertentu diberikan kepada mangsa banjir untuk berbuat demikian, namun saya nasihatkan mereka perlu mohon seberapa segera sebaik sahaja keluar daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya.    
23 Dec 22
251