lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Belia Puji Kerajaan Negeri Pelbagaikan Program Keagamaan
Belia Puji Kerajaan Negeri Pelbagaikan Program Keagamaan
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Program keagamaan yang diadakan sepanjang tahun 2022 di negeri ini telah berjaya membentuk diri anak muda ke arah kebaikan. Asyraff Najhan Azman, 19, berpendapat bahawa golongan muda dilihat sebagai representasi utama bagi membentuk individu untuk mencintai majlis ilmu. Katanya, program Terengganu Bermunajat pada malam ini kebanyakannya dihadiri oleh golongan muda. “Program sebegini amat penting untuk diadakan bagi membersihkan diri dalam persiapan untuk Menghadapi tahun hadapan,” jelasnya. Dia berkata demikian selepas Program Terengganu Bermunajat bertempat di Masjid Jamek Pengadang Baru di sini semalam. Sementara itu, Muhammad Ariffuddin Muhammad Fauzi, 20, turut berpandangan bahawa sambutan tahun baru ini amat bertepatan dengan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’ dengan mengadakan program bermunajat. Dia berkata, pimpinan kerajaan sekarang amat menitikberatkan program keagamaan seperti ini. “Ianya amat baik untuk generasi sekarang supaya dididik untuk mencintai ilmu. “Harapan saya agar kerajaan Terengganu meneruskan lagi program sebegini agar dapat membentuk diri orang muda melakukan kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.  
01 Jan 23
649
'Terengganu Bermunajat’ Pada Malam Tahun Baru
'Terengganu Bermunajat’ Pada Malam Tahun Baru
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Program ‘Terengganu Bermunajat' menghiasi Sambutan Tahun Baharu 2023 di negeri ini pada malam tadi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata program itu  diteruskan dengan harapan supaya kehidupan rakyat diberkati oleh Allah S.W.T serta dikurniakan kesejahteraan dan keberkatan hidup. “Berbagai-bagai ujian yang telah kita lalui pada tahun 2022 dengan penuh liku-liku kehidupan yang penuh mencabar. “Semoga kita termasuk golongan yang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita semua,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Terengganu Bermunajat bertempat di Masjid Jamek Pengadang Baru di sini semalam. Tambah Mohd Nor, beliau berharap agar rakyat mengambil kesempatan untuk berdoa kepada seluruh pimpinan di negeri ini. Jelasnya lagi, supaya Allah S.W.T memberi kekuatan kepada mereka agar amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan lebih baik pada tahun hadapan. Justeru, bagi mendapat kebaikan dan kesejahteraan kepada negeri, rakyat dan agama di dunia mahupun akhirat.  
31 Dec 22
437
Mangsa Banjir Tak Berdaftar Layak Terima Bantuan
Mangsa Banjir Tak Berdaftar Layak Terima Bantuan
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Mangsa banjir yang tidak berdaftar di negeri ini tetap layak menerima bantuan tunai yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kelayakan itu akan dinilai oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi mengesahkan penduduk di sesuatu kawasan benar-benar terkesan sepanjang tempoh berlakunya bencana terbabit. "Ada beberapa syarat yang berdaftar serta tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu memang layak dapat, termasuk mereka yang daftar tetapi tidak tinggal di PPS. "Jadi untuk mereka yang terkepung banjir, kawasan rumah dikelilingi banjir walaupun kediamannya tidak dinaiki air serta disahkan memang rumahnya tidak selamat oleh pihak keselamatan terutamanya polis tetapi dia tidak berpindah boleh buat permohonan melalui JPKK. "JPKK yang akan mengesahkan sama ada mereka benar-benar terlibat banjir ataupun tidak kemudian namanya akan diangkat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diproses bagi menerima bantuan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Sesi Simbolik Penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana Banjir Kerajaan Selangor, di Kediaman Seri Iman, di sini hari ini. Sementara itu, Hanafiah menyatakan pihak Kerajaan Negeri juga sedang menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah hakisan pantai daripada terus berlaku. "Menteri yang baharu dilantik perlu menyelesaikanya segera kerana semasa Kerajaan dahulu telah dibuat penelitian untuk diselesaikan perkara ini," katanya.  
30 Dec 22
1607
Saling Membantu, Perkukuh Hubungan Antara Negeri
Saling Membantu, Perkukuh Hubungan Antara Negeri
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kini giliran Terengganu pula menerima bantuan dari negeri-negeri yang pernah dibantu ketika berhadapan musibah yang sama sebelum ini, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara Terengganu dengan negeri lain khususnya Selangor, Kedah serta Pahang. Menteri Besar Terengganu, Dato'. Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia merupakan suatu perkara yang sangat baik dalam memastikan hubungan setiap negeri dalam negara ini berjalan dengan baik. "Saya percaya hubungan baik ini sangat dinanti-nantikan oleh semua pihak, bantuan yang datang tidak hanya dalam bentuk kewangan tetapi telah ramai sukarelawan dari Selangor telah datang membantu termasuk negeri-negeri lain. "Ketika Selangor dilanda musibah yang sama kita juga telah menghantar bantuan bersama sukalewan yang digerakkan untuk sama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Sesi Simbolik Penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana Banjir Kerajaan Negeri Selangor, di Kediaman Seri Iman, di sini hari ini. Penyerahan bantuan RM500,000 itu telah disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari. Sehubungan itu Ahmad Samsuri berkata, bantuan itu akan disalurkan terus dengan mengutamakan mangsa yang paling terjejas serta terkesan. "Saya mengambil kesempatan pada pagi Jumaat yang mulia ini mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Selangor, yang sudi bertanding ke negeri ini. "Secara simboliknya telah menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor kepada Terengganu bagi kegunaan membantu meringankan beban rakyat yang menghadapi musibah tersebut," ujarnya. Dalam pada itu, Amirudin yakin bantuan berkenaan dapat membantu kerajaan Terengganu meringankan beban mereka yang terkesan ketika dilanda musibah berkenaan. "Jadi ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita lakukan serta (menyemarakkan) semangat kerjasama antara Kerajaan negeri sebagaimana yang berlaku tahun lepas di Selangor, Terengganu serta negeri-negeri lain datang membantu," ujarnya. Tambah beliau, Selangor turut bersedia bagi mengerakkan sukarelawan jika berlaku bencana itu sekali lagi pada Januari ini. "Kerana dijangkakan ada gelombang baru pada awal bulan tersebut, dengan persefahaman yang telah dibentuk antara pegawai-pegawai negeri dapat memudahkan kita untuk membantu penyelarasan jika ada keperluan nanti untuk sokongan dan mengerakkan sukarelawan dari Selangor ke negeri ini," ujarnya.    
30 Dec 22
314
Jalan Rosak Di Jajahan Gua Musang, Bukan Hulu Terengganu
Jalan Rosak Di Jajahan Gua Musang, Bukan Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Disember – Kerosakan jalan yang tular di media sosial berikutan bencana banjir minggu lepas sebenarnya bukan di Hulu Terengganu tetapi jajahan Gua Musang. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata jalan tersebut telah ditutup sejak tahun lepas. “Jalan Aring-Kenyir telah ditutup pada tahun lepas bagi pembinaan jambatan di Section 52 sehingga siap pada 2023. “Disebabkan banjir yang melanda pada minggu lepas terdapat kerosakan berlaku di Section 103 dan 78, ia berada dalam pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tindakan pembaikan daripada konsesi terlibat,," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang turut menjelaskan bahawa lokasi kejadian mendapan jalan tersebut adalah dalam kawasan projek Menyiapkan Jalanraya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang Pakej 6A; Aring ke sempadan Kelantan-Terengganu. “Laluan tersebut masih belum dibuka untuk laluan awam dan bukan laluan utama dari Aring-Kuala Berang. “Pembaikan sementara juga telah dilakukan bagi membolehkan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak Perhilitan menghantar bekalan makanan gajah,” tambahnya. Terdahulu, banjir besar yang melanda negeri ini telah mengakibatkan beberapa jalan utama rosak dan runtuhan tanah berlaku.
29 Dec 22
2419
YDSM Sahkan Surat Tawaran Ladang Cahaya Ikhtiar Palsu
YDSM Sahkan Surat Tawaran Ladang Cahaya Ikhtiar Palsu
Oleh : Aqilah Mohd Jafri/Fatimah Din/Adilatul Akmal Mohd Azhar/Nor Farzana Muhammad KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) menafikan pihaknya terlibat dalam urusan Ladang Cahaya Ikhtiar secara pajakan bertempoh seperti yang terpapar dalam surat tawaran tular di media. Melalui jurucakap YDSM atau Setiausaha Kerjanya, Mohd Azrul Ismail, surat tersebut adalah palsu dan sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan YDSM. "Kami menafikan perkara tersebut sekeras-kerasnya, ia tiada hubung kait langsung dengan YDSM. "Pihak kami juga ingin menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mempercayainya," katanya dalam satu kenyataan media kelmarin. Menurut Mohd Azrul, menerusi surat tawaran palsu yang diedarkan itu, YDSM kononnya telah menawarkan kepada pihak tertentu untuk menguruskan Ladang Cahaya Ikhtiar. Katanya, sebenarnya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama YDSM secara tidak sah. “Surat tersebut telah tular di media sosial menawarkan kepada Jugra Properties Sdn Bhd untuk menguruskan Ladang Cahaya Ikhtiar secara pajakan bertempoh,” ujarnya.
29 Dec 22
837
Sampah di Pantai Batu Buruk Sedang Dibersihkan - MBKT
Sampah di Pantai Batu Buruk Sedang Dibersihkan - MBKT
KUALA TERENGGANU, 29 Disember – Sampah yang mencemari Pantai Batu Buruk pasca banjir sedang dalam proses pembersihan, ujar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT). Datuk Bandar, Datuk Rosli Latif berkata sampah itu terjadi akibat fenomena air pasang besar luar biasa baru-baru ini. Katanya, beberapa hari lepas pihak MBKT telah turun padang untuk memantau dan membersihkan sampah-sampah yang dihanyutkan di pantai tersebut. "Fenomena tersebut telah berlaku sejak Jumaat lalu justeru menyebabkan pencemaran pantai sejauh kira-kira tiga kilometer. “Kejadian seperti ini telah biasa terjadi tetapi pada kali ini agak luar biasa dengan jumlah sampah yang begitu meningkat," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Tambah Rosli Latif, pantai sejauh kira-kira tiga kilometer itu dipenuhi dahan dan ranting kayu serta botol bekas minuman. Tambahnya lagi, timbunan sampah tersebut boleh mencemarkan kawasan tarikan pelancong di kawasan tersebut. Beliau berkata, pada Jumaat, 30 Disember pihak MBKT akan menyambung kerja-kerja membaik pulih dan membersihkan pantai itu sehingga selesai.  
29 Dec 22
444
Kerajaan Terengganu Tanggung Sewa 'Rumah Sementara' Mangsa Banjir
Kerajaan Terengganu Tanggung Sewa 'Rumah Sementara' Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Semua mangsa banjir di Kampung La, Hulu Besut yang hilang tempat tinggal akan diberikan penempatan sementara atau rumah sewa yang ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, seramai 53 mangsa melibatkan 12 keluarga kurang bernasib baik bakal menerima manfaat tersebut selepas proses penelitian dibuat. Kataya, langkah itu sedang diambil dan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi meringankan beban golongan terbabit. "Mesyuarat Exco semalam memutuskan Maidam perlu menyediakan penempatan sementara bagi 12 keluarga yang hilang tempat tinggal terbabit. "Bayaran sewa untuk setiap rumah terlibat akan ditanggung Maidam selaku badan pelaksana kerajaan negeri," jelasnya. Kata Hanafiah, Maidam juga akan berusaha membantu membina semula rumah baharu kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal. Terdahulu, media melaporkan sehingga jam 8 pagi ini seramai 53 mangsa membabitkan 12 keluarga masih berlindung di PPS di Besut kerana tiada tempah berteduh walaupun cuaca sudah baik. “Difahamkan mangsa yang berada di PPS itu tidak dapat pulang selepas kediaman mereka roboh akibat banjir teruk yang melanda daerah itu,” ujarnya.  
29 Dec 22
617
Sewa Lori, Jengkaut Selesai Masalah Sampah Pasca Banjir
Sewa Lori, Jengkaut Selesai Masalah Sampah Pasca Banjir
KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Kerajaan negeri melaksanakan mobilisasi sumber perkhidmatan pelbagai pihak bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah pasca banjir di kawasan dilanda bencana itu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, langkah tersebut termasuk sewaan lori oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing. “Kebiasaannya selepas banjir akan berlaku situasi dimana banyak sampah-sampah pukal seperti perabot, tilam rosak dan lain-lain yang dilonggokan di tempat pembuangan sampah domestik sekali gus menambahkan lagi jumlah sampah yang terpaksa diangkut oleh kontraktor yang dilantik. “Untuk mengatasi masalah ini, saya telah mengarahkan Pejabat DUN untuk menyewa lori dan jengkaut swasta bagi membantu mengangkut sampah dan dibuang di tapak pelupusan sampah yang sepatutnya,” ujarnya bagi mengulas isu longgokan sampah selepas banjir ketika ditemui pemberita di Duyong Marina Resort, hari ini. Beliau memaklumkan, semua kos sewaan tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri. “Pusat pelupusan sampah utama di Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus yang ditenggelami air baru-baru ini juga telah dibuka semula. “Justeru, dengan kombinasi jentera pihak berkuasa tempatan (PBT), kontraktor dilantik serta sewaan oleh Pejabat DUN, masalah longgokan sampah ini akan selesai dalam masa terdekat,” ujarnya. Dalam perkembangan sama beliau memberitahu, laluan ke pusat pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan yang dinaiki air ketika banjir baru-baru ini turut menyebabkan berlaku kesesakan di pusat pelupusan sampah di Tertak Batu, Marang. “Disebabkan pusat pelupusan sampah di Sungai Ikan tidak boleh operasi ketika itu, jentera Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan kontraktor dilantik terpaksa menghantar sampah di pusat pelupusan sampah di Tertak Batu, Marang. “Oleh kerana jarak agak jauh dan bilangan lori bertambah dari dua daerah melibatkan Marang dan Kuala Terengganu maka berlakulah kesesakan lori ditempat pelupusan sampah di Marang yang mana pemandu-pemandu terpaksa beratur panjang dan memperlahankan urusan. “Jarak yang jauh juga menyebabkan jumlah ‘trip’ yang dapat dipenuhi untuk satu hari itu berkurangan, menyebabkan kontraktor tidak dapat mengangkut keseluruhan sampah dengan segera sebagaimana biasa,” ujarnya. Justeru, beliau mengharapkan rakyat faham dengan situasi banjir luar jangka pada kali ini yang menyebabkan seluruh daerah terjejas.  
27 Dec 22
651
Hanya Besut Masih Terjejas Banjir
Hanya Besut Masih Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 27 Disember – Hanya daerah Besut sahaja yang masih terjejas banjir apabila 138 mangsa masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga hari ini. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut terdiri daripada 41 keluarga. “Sebanyak dua PPS yang masih diaktifkan bagi menempatkan mangsa tersebut dalam daerah berkenaan. “Manakala daerah Kemaman, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus telah pulih sepenuhnya,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Jelasnya lagi, dua PPS yang masih dibuka iaitu di Masjid Kampung La dan Balairaya Kampung Pantai. “Masing-masing menempatkan sebanyak 126 dan 12 mangsa daripada 38 dan tiga keluarga. “Secara keseluruhan hujan telah berhenti dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu kini mendung,” katanya  
27 Dec 22
320