Artikel "Semasa" Terkini
Keluarga Pertanian Terengganu Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 5 Januari – Keluarga Pertanian Terengganu menerima anugerah penghargaan dalam acara tahunan di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata Keluarga Pertanian Terengganu tersebut terdiri daripada semua Jabatan Pertanian di seluruh daerah dalam negeri ini.
Katanya, acara ini bertujuan untuk menyampaikan amanat tahunan dan anugerah-anugerah dalam pelbagai kategori kepada semua Jabatan Pertanian.
“Di samping, kita mengimbas kembali kejayaan-kejayaan yang dicapai bersama sepanjang tahun 2022.
“Tidak dinafikan juga kekurangan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi 12 bulan akan datang pada tahun 2023 nanti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Sektor Pertanian Negeri Terengganu Tahun 2023 bertempat Dewan Permata, Permai Hotel di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun.
Tambah Dr Azman, pelbagai cabaran sukar yang kita lalui terutamanya berdepan dengan wabak COVID-19 yang menjejaskan banyak perkara dalam sektor pertanian.
“Pelbagai usaha juga kita lakukan demi untuk bangkit semula.
"Justeru melalui data-data peningkatan hasil pertanian menunjukkan kita berjaya melepasi serta mengatasinya,” katanya.
Pada majlis itu, Dr Azman turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Persijilan Skim Amalan Pertanian Baik (myGAP) dan Skim Persijilan Organik (myOrganic) 2022 kepada 52 peserta.
05 Jan 23
446
Kerugian Sektor Pertanian, Penternakan, Perikanan Lebih RM88 Juta
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini mengalami kerugian lebih RM88 juta akibat bencana yang melanda pada tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata jumlah tersebut melibatkan semua daerah dalam negeri ini.
Katanya, jumlah bagi keseluruhan petani, penternak dan nelayan yang mengalami kerugian pada tahun lalu adalah seramai 3,697 orang.
“Setakat rekod diterima dalam sektor pertanian adalah mengalami kerugian sekitar RM39.2 juta yang melibatkan seramai 2555 orang warga tani.
“Manakala bagi sektor penternakan pula jumlah kerugian adalah sebanyak RM3.4 juta dengan seramai 781 penternak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Sektor Pertanian Negeri Terengganu Tahun 2023 bertempat Dewan Permata, Permai Hotel di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun.
Tambah Dr Azman, sektor perikanan pula mengalami kerugian melebihi RM6 juta yang melibatkan seramai 361 orang penternak akuakultur dan juga nelayan.
Justeru, jumlah kerugian sehingga hari ini melebihi RM 88 juta dengan seramai 3697 orang warga tani, penternak dan nelayan yang terlibat dalam sektor pertanian dan terkesan dengan banjir pada baru-baru ini.
Untuk makluman, sektor pertanian dan perikanan di negeri ini kerugian kira-kira RM49.6 juta akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL), pertengahan bulan lalu.
04 Jan 23
287
Lelaki Lumpuh Bakal Terima Bantuan Bulanan
KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Seorang ketua keluarga yang terlantar lumpuh akibat kemalangan di Jalan Aring baru-baru ini bakal menerima bantuan bulanan daripada kerajaan negeri dan agensi kebajikan.
Muhammad Faizal Hakimi Mat Jusoh, 26, terbabas ketika ke tempat kerja sebelum kereta dipandunya berpusing dan melanggar tebing di tempat kejadian.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan bagi Faizal yang kini diuruskan sepenuhnya oleh isteri baru sahaja diluluskan.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat lawatan dan bersetuju untuk meluluskan bantuan penjagaan buatnya.
“Bantuan dari segi rawatan juga telah dipohon melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) selain inisiatif tambahan daripada Tabung Darul Iman (TDI),” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu ketika dihubungi berkata pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang mengambil perhatian terhadap mangsa.
“Kita telah dimaklumkan bahawa JKM telah meluluskan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 sebulan bermula Januari ini selepas mereka mengadakan lawatan tempoh hari.
“Bagi bantuan daripada MAIDAM pula, kita kini sedang menunggu surat pengesahan daripada doktor dan Pusat Khidmat Masyarakat Telemong akan pantau prosesnya,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menziarahi Faizal ketika ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sewaktu bencana banjir melanda kawasan itu.
04 Jan 23
685
Penguatkuasa Veterinar Didakwa Terima Suapan RM35,000
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Seorang penjawat Awam mengaku tidak bersalah berhubung dakwaan menerima rasuah bernilai RM35,000.
Tertuduh, Abol As Mohd Jamil 43, merupakan Pembantu Penguatkuasa Veterinar mengaku tidak bersalah selepas menghadapi dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali di Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini
Bagi dakwaan pertuduhan pertama, Abol As telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Dimana mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan bernilai RM35,000 daripada Mohd Nazir Dagang pada 27 Julai 2022 antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang di Jalan Fikri, Kampung Seberang Takir, di Kuala Nerus, sebagai dorongan bagi menurunkan seksyen pertuduhan kepada hukuman yang lebih ringan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM35,000 daripada individu yang sama pada 3 ogos 2022.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima Kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut oleh seorang penjamin serta passport diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta melaporkan diri ke Pejabat SPRM setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh Dan Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.
Mahkamah menetapkan 7 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan seterusnya untuk perbicaraan.
04 Jan 23
577
'Kerajaan Negeri Sudah Tawar Rumah Kepada Pengadu'
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - 52 penduduk Kampung Pulau Sekati yang diarah mengosongkan kawasan kediaman mereka oleh pemilik sebenar tanah tersebut telah ditawarkan menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nenas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, selain itu, penduduk terbabit turut diberi pilihan untuk mendiami tanah milik kerajaan di Tepoh.
Katanya, tawaran itu adalah yang terbaik boleh diberikan kepada penduduk berkenaan untuk mereka mempunyai kediaman dengan kadar segera.
“Semasa peringkat awal kes ini iaitu sekitar setahun lepas, kita tawarkan tanah di Tepoh atau rumah pangsa di Bukit Nenas tetapi mereka tolak.
“Sebaliknya mereka minta untuk duduk di atas tanah rezab di tepi sungai di kawasan terbabit atas sebab-sebab tertentu, namun kerajaan tetap tidak memberi kelulusan atas faktor keselamatan.
“Setelah keputusan mahkamah perintah berpindah, baru mereka setuju untuk berpindah ke PPR Bukit Nenas,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Katanya, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal telah memasukan semula sembilan orang yang layak untuk memiliki rumah PPR di Bukit Nenas.
"Sementara seorang tidak layak kerana telah dapat Rumah Mampu Milik di Pulau Duyung," jelasnya.
Tambah beliau, sementara menunggu untuk berpindah masuk ke PPR Bukit Nenas, pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu akan menanggung bayaran sewa rumah golongan asnaf di kalangan penduduk terbabit.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, seramai 52 penduduk Kampung Pulau Sekati, di sini tidak lena tidur mengenangkan nasib mereka yang diarahkan mengosongkan kawasan kediaman sebelum 17 Januari ini.
Bukan saja mereka diarahkan berpindah, malah 10 kediaman terbabit selepas pemilik tanah mahu mengambil semula penempatan itu juga mesti dirobohkan sendiri penduduk.
04 Jan 23
3341
Amaran Hujan Berterusan Kembali Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 Januari – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada kembali di Terengganu.
MetMalaysia memaklumkan, ia berkuatkuasa bermula pada 6 hingga 7 Januari dan dijangka berlangsung selama dua hari.
Katanya, amaran tersebut dijangka melanda beberapa kawasan di Terengganu.
“Ia membabitkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, amaran hujan berterusan tahap waspada ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan.
Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca serta menerusi laman media sosial rasmi MetMalaysia
03 Jan 23
305
Pembinaan Longkang Selesaikan Masalah Banjir di Dua Lokasi 'Hotspot'
MARANG, 4 Januari - Projek pembinaan longkang bernilai RM550,000 di Marang berjaya mengatasi masalah banjir lumpur serta banjir kilat di lokasi tumpuan di Taman Kalungan Melor, Rhu Rendang dan Taman Kalongan Mas, Medan Jaya.
Pegawai Khas Menteri Besar, Mohamad Sabri Zakaria berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Rhu Rendang tidak lagi menerima mangsa daripada dua tempat tumpuan banjir ketika bencana tersebut melanda baru-baru ini.
"Projek pembinaan longkang Taman Kalungan Melor menelan belanja sebanyak RM350,000 siap pada akhir tahun 2021 telah berjaya menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.
"Kita bersyukur dan menganggap ia sebagai satu kejayaan kerana kawasan Kalungan Melor terselamat daripada musibah banjr tempoh hari," katanya setelah membuat tinjauan ke lokasi.
Taman Kalungan Melor
Beliau turut berkata, projek yang dikelola Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya diteruskan walaupun memakan sedikit masa, selain memerlukan kos yang tinggi kerana melibatkan tanah milikan individu serta peribadi.
Sementara itu, projek pelebaran longkang sepanjang 200 meter di Taman Kalongan Mas juga siap sepenuhnya pada Ogos lalu dengan kos bernilai RM200,000.
"Longkang ini juga berjaya memberikan impak yang besar kepada penduduk sekitar apabila aliran air dapat disalurkan lebih baik dengan pembinaan longkang yang lebih besar.
Taman Kalungan Mas
03 Jan 23
395
TVDI Mula Bersiaran Lapan Jam Sehari, Lebih Segar
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - TV Darul Iman (TVDI) yang diuruskan oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) akan bersiaran lapan jam sehari dengan pengisian yang lebih segar untuk tahun 2023.
Pengarah UPDI, Mohd Soud Said@Ali berkata, program pada setiap hari Ahad hingga Khamis itu akan bersiaran seawal jam 8.00 pagi.
"Seiring dengan perkembangan terkini, semestinya gabungan penghasilan kandungan program yang berkualiti melalui platform teknologi terkini menerusi media sosial, pihak kami akan Cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.
"UPDI akan terus merencana pendekatan yang bijaksana dan berhemah dalam meningkatkan kefahaman rakyat dalam pelbagai sudut termasuk memahami pelaksaan sesebuah dasar dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri, " ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai program yang akan disediakan itu, ujarnya TVDI akan bermula dengan Kuliah Dhuha (Penawar Hati).
"Kemudian akan diteruskan dengan 'Bicara Isu Semasa Bersama YB', 'Dok Kabor Dok Tahu', Selamat Pagi Terengganu, Analisis TMBS.
"Diserikan lagi dengan Bicara Jabatan Kerajaan yang akan menampilkan ketua jabatan setiap agensi, atau mereka yang berautori bagi ditemuramah untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan bidang masing-masing.
"Kita juga akan ada segmen santai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerusi 'Hor Toh YB', ' Edisi Terjah' serta terakhir adalah 'Rentasan Berita'," katanya.
Tambah beliau, adalah besar hasrat dan impian UPDI untuk memastikan rakyat negeri ini akan dapat mengikuti segala program yang disediakan itu.
"Agar segala manfaat, kebaikan dan apa jua kebaikan yang dibawa dan dipaparkan sampai ke jiwa rakyat dalam memastikan Terengganu mencapai hasrat dan cita-citanya untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera, bertepatan dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," ujarnya lagi.
03 Jan 23
976
'Mereka Berpindah Sebelum PPS Ditutup'
KUALA TERENGGANU, 2 Januari – Semua mangsa banjir yang mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung La, Hulu Besut telah berpindah sebelum PPS tersebut diarahkan tuup oleh NADMA daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, PPS di seluruh negeri ditutup bagi menamatkan fasa bencana banjir gelombang kedua yang melanda baru-baru ini.
“Makluman telah disampaikan kepada mereka (mangsa) melalui notis bagi mencari rumah sewa dengan kos sewaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak MAIDAM atau kerajaan negeri.
“PPS perlu ditutup atau banjir gelombang kedua masih belum tamat walaupun air telah surut dan semua sudah pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu tular dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertajuk ‘Mangsa Banjir Diarah Keluar PPS’ hari ini.
Dalam pada itu, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung La ketika dihubungi menjelaskan bahawa PPS ditutup setelah mendapati semua mangsa telah keluar daripada PPS tersebut.
“Kami diberitahu mangsa sekeluarga telah berpindah ke sebuah rumah sewa berdekatan rumah bapanya sebelum arahan penutupan PPS.
“Sebenarnya pihak JPKK ada menyediakan sebuah dewan kecil sekiranya ada mangsa yang tidak berjaya mendapatkan tempat tinggal pada tempoh ditetapkan. Jadi mereka bukan diusir keluar,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Akhbar tersebut menyebut sebuah keluarga mangsa banjir mendakwa diarah keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La di sini, semalam walaupun rumah sewa yang didiami sebelum ini musnah pada 18 Disember lalu.
Terdahulu, Masjid Kampung La menjadi PPS terakhir dibuka di Besut apabila banjir gelombang kedua reda bagi menempatkan penghuni rumah yang dihanyutkan.
02 Jan 23
551
Che Adam Pegang Rekod Penderma Darah Pertama Tahun 2023
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – “Saya ingin menjadi rakyat Malaysia pertama menderma darah untuk tahun 2023 dan akhirnya impian itu tercapai pada hari ini,” kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
Beliau yang sudah 88 kali menderma darah sejak berusia 21 tahun telah menderma darah tepat pada pukul 8 pagi di Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
“Saya telah mendaftar secara atas talian dalam ‘Blood Bank Information System’ (BBIS) pada pukul 12.05 tengah malam tadi sebagai menyokong kempen menderma darah Kementerian Kesihatan Malaysia agar rakyat negara ini menjadikannya sebagai rutin amalan mereka.
“Semoga usaha kecil ini dapat membantu Unit Tabung Darah HSNZ memperbanyakkan stok bekalan darah untuk membantu ramai pesakit yang memerlukan seperti mereka yang kemalangan, talasemia, anemia dan wanita yang tumpah darah selepas bersalin,” katanya.
Che Adam berkata, akan menderma darah sekali dalam tempoh tiga bulan dan rutin itu dianggap sebagai amal jariah sebagai usaha menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan bantuan kecemasan.
"Saya diberikan kesihatan yang baik setakat ini dan bersyukur berpeluang memberikan bakti kepada mereka yang memerlukan darah kerana satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa dengan izin Allah.
“Derma tidak semestinya dari segi kewangan sahaja, kita boleh salurkan sumbangan mengikut kemampuan yang ada.Selain menyelamatkan nyawa orang lain, pada masa yang sama amalan ini juga baik untuk kesihatan,” katanya lagi.
Beliau juga berharap lebih ramai individu terutamanya generasi muda tampil menjadi penderma darah jika tidak berhalangan dan proses itu hanya mengambil masa sekitar 15 ke 20 minit bergantung situasi tubuh seseorang.
Sementara itu, rekod Che Adam sebagai rakyat Malaysia pertama yang menderma darah untuk tahun 2023 itu disahkan oleh Ketua Unit Transfusi Darah HSNZ, Dr. Muhaimin Kambali setelah membuat semakan di sistem BBIS yang mempunyai data dari seluruh negara.
01 Jan 23
199