lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pelaksanaan Undang-Undang Syariah Disambut Baik Masyarakat
Pelaksanaan Undang-Undang Syariah Disambut Baik Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 9 Januari – Pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Terengganu diterima dan disambut baik oleh rakyat di negeri ini. Penolong Kanan Pesuruhjaya, (Akidah, Syariah dan Tamadun Islam) Bahagian Penyelidikan, JHEAT, Ahmad Azhar Harun@Musa berkata pelbagai pendekatan yang diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu bagi membendung masalah jenayah syariah terus berlaku dalam kalangan rakyat. Katanya, sebenarnya penguatkuasaan undang-undang tersebut sudah pun bermula seawal tahun 1303 Masihi setelah penemuan Batu Bersurat Terengganu di Kuala Berang. “Ia adalah satu tanda bahawa masyarakat Terengganu telah melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang Islam. “Penubuhan Mahkamah Syariah Terengganu pula ditubuhkan pada 29 Jun 1900 bagi menjalankan peraturan dan peruntukan undang-undang Islam di negeri ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 2, Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini baru-baru ini. Tambah Ahmad Azhar, beberapa undang-undang telah dikuatkuasakan dan diperkasakan oleh pihak kerajaan seperti Seksyen 16 iaitu perkara berkaitan tidak menunaikan solat Jumaat. Terdahulu, Undang Isytihar Kerajaan bilangan 22/1345 pada 1926, menetapkan pelaku didakwa di mahkamah kadi dan dihukum denda sebanyak RM0.50. Kini, menurut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 mana-mana orang lelaki mukallaf, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam mukimnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie tanpa sebab yang munasabah. "Ia merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.  
10 Jan 23
641
Terengganu Terima Bayaran Royalti RM447,749.97 Daripada KUTT
Terengganu Terima Bayaran Royalti RM447,749.97 Daripada KUTT
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Kerajaan negeri hari ini menerima bayaran wang royalti sebanyak RM447,749.97 daripada Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Wisma Darul Iman. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, sehingga 30 November tahun lalu sebanyak 260 permohonan telah diterima pihak KUTT bagi kerja-kerja korek gali merangkumi keseluruhan daerah di negeri ini. “Jarak keseluruhan permohonan yang diterima sepanjang 944,723 meter dan menjadikan jumlah pembayaran royalti Perbendaharaan Negeri Terengganu sebanyak RM447,749.97 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. “Terima kasih kepada pihak KUTT atas pembayaran royalti ini,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis tersebut. Pada majlis itu, Dr. Mamad menerima ‘mock cheque‘ bayaran royalti yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili sambil disaksikan wakil dari Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu dan Ketua Pegawai Kewangan KUTT, Norizan Ibrahim. Pada majlis yang sama, KUTT turut menyerahkan sumbangan di bawah peruntukan CSR syarikat sebanyak RM100,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat untuk disalurkan kepada Tabung Darul Iman bagi membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik. Sementara itu, Ir. Ts. Ahmad Azhan berkata, KUTT mencatatkan pertumbuhan kewangan memberangsangkan hasil prestasi cemerlang daripada semua bahagian membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang mengembalikan bayaran royalti yang lebih besar buat kerajaan Negeri berbanding hanya RM250,732.50 pada tahun 2021. Katanya, pembayaran royalti yang mampu diberikan oleh KUTT secara berterusan itu walaupun dengan usia syarikat baru mencecah dua tahun sejak ditubuhkan pada Mac 2021 mencerminkan keupayaan syarikat dalam menguruskan aset dan bekerjasama di dalam memacu pertumbuhan penyediaan utiliti di seluruh negeri ini.  “Selain itu, ia juga merupakan bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan dan kita akan lebih komited untuk memberikan pulangan yang lebih kepada kerajaan negeri berdasarkan kepada permohonan-permohonan yang kita telah terima di seluruh negeri ini,” ujarnya. Menurut beliau, KUTT dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai Agensi Hentian Setempat (One Stop Agency) untuk semua permohonan permit bagi kerja-kerja korek gali di seluruh Negeri Terengganu.  ‘‘Penubuhan ini mempertanggungjawabkan KUTT untuk membangunkan Koridor Utiliti Negeri Terengganu yang mana ianya akan disimpan di dalam pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti merangkumi tenaga eletrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan. “Imbalan bagi pelantikan itu, KUTT disyaratkan untuk membayar sebahagian daripada pendapatan sebagai royalti kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,” jelasnya.  
10 Jan 23
2353
Bayi Empat Bulan Koma Dipercayai Didera Pengasuh
Bayi Empat Bulan Koma Dipercayai Didera Pengasuh
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas mengalami pendarahan dalam otak yang serius dan keretakan pada tempurung kepala dipercayai akibat didera pengasuhnya di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, mangsa kini kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) sejak Rabu, minggu lalu. "Kejadian disedari bapa mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil bayinya di pusat jagaan tersebut mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan kesakitan lalu dibawa ke hospital. "Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat darah beku dalam kepala bayi itu dan bapa mangsa membuat laporan polis pada hari sama. "Susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, semalam pihak polis telah menahan tiga pengasuh wanita berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun dalam satu serbuan di taska tersebut  bagi membantu siasatan kes penderaan ke atas bayi malang berkenaan," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu di sini hari ini. Menurut Rohaimi, ketiga-tiga suspek pada awalnya telah dipanggil untuk memberi keterangan dan menafikan kejadian tersebut serta memberikan keterangan meragukan. "Namun hasil siasatan lanjut ke atas kamera litar tertutup (CCTV) di taska tersebut, dipercayai terdapat unsur-unsur jenayah terhadap mangsa yang dilaporkan baru sahaja didaftarkan di taska tersebut selama tiga hari sebelum kejadian berlaku," ujarnya. Tambah beliau, kes disiasat di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.              
10 Jan 23
24094
Gelombang Anak Muda Isyarat Dokongan Kepimpinan Islam
Gelombang Anak Muda Isyarat Dokongan Kepimpinan Islam
BANGI, 8 Januari – Gelombang yang diterjemahkan golongan anak muda hari ini jelas menyatakan isyarat bahawa kepimpinan Islam menjadi pilihan utama bagi mentadbir negara. Mahasiswa perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Uthman Che Aziz berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari memberi gambaran bahawa golongan nasionalisme kini semakin ditolak. “Gelombang anak muda khusnya bagi Melayu dan Islam mempamerkan bahawa kita lebih yakin dengan agenda Islam sebagai solusi. “60 tahun lalu kita telah beri peluang kepada golongan nasionalisme tapi kini kita lebih cenderung memberi peluang kepada kepimpinan Islam bagi menguruskan negara,” katanya. Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Majlis Apresiasi Media Anak Muda 2022 di Bangi Golf Resort, Bangi di sini semalam. Uthman yang berasal dari Besut turut mengingatkan kepada masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan naratif kotor yang dilontarkan terhadap kerajaan negeri Terengganu. “Kita perlu menolak berita palsu, fitnah dan rekaan cerita lagi-lagi kita sudah tiada lagi Akta Antiberita Tidak Benar. “Selaku mahasiswa yang terdedah dengan masyarakat, kita perlu manfaatkan ilmu pengajian intelektual dengan membuat penerangan yang betul agar tidak ditipu. “Bertenang, pergi ke laman rasmi kerajaan Terengganu seperti laman sesawang Menteri Besar, UPDI dan selidik apa yang benar supaya tidak terkeliru,” tambahnya. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi meraikan pengamal media alaf baru dan pempengaruh seluruh negara yang menyumbang kandungan positif di media sosial. Turut hadir Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.  
08 Jan 23
361
Rakyat Disaran Amal Langkah Pencegahan Covid-19
Rakyat Disaran Amal Langkah Pencegahan Covid-19
KUALA TERENGGANU, 8 Januari – Rakyat Terengganu disaran mengamalkan langkah-langkah pencegahan wabak penyakit COVID-19 supaya tidak merebak kembali. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah memberi amaran agar itu diamalkan. Katanya, amalan itu merangkumi konsep 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan bersedia dengan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn). “Bagi mereka yang belum mengambil suntikan vaksin dan booster disarankan untuk mengambilnya dengan segera dalam masa terdekat. “Ia bertujuan untuk mendapat perlindungan tambahan dalam menghadapi wabak tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Bicara Soal Semasa Bersama Dato’ Dr Alias Razak di TV Darul Iman baru-baru ini. Tambah Dr Alias, suntikan tersebut amat penting agar dapat mengawal diri kita daripada mendapat jangkitan yang lebih serius. Sementara itu, KKM sentiasa memantau perkembangan semasa jangkitan wabak itu di dalam dan luar negara melalui maklumat diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).    
08 Jan 23
340
RM51,600 Untuk Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang
RM51,600 Untuk Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang
KUALA TERENGGANU, 8 Januari- Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) memperuntukan sebanyak RM51,600 kepada 43 pengayuh beca dan pemandu bot penambang di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, program dibawah insentif ejen promosi pelancongan beca dan bot penambang itu membolehkan setiap individu yang layak menerima RM1,200 seorang. Katanya, sebanyak RM10,750 turut diperuntukkan untuk penambahbaikan wajah baharu beca dan bot penambang dengan elemen lebih moden dan pelbagai paparan mengenai produk pelancongan. “Pemuliharaan dan pemerkasaan kepada warisan negeri perlu diberikan perhatian dan digiatkan oleh pelbagai pihak kerana beca dan bot penambang adalah nadi (pengangkutan utama masyarakat dahulu). “Penggiat yang terdiri daripada pembawa beca dan bot penambang bertindak sebagai salah satu agen promosi pelancongan secara langsung,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kalendar 2023 Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Terengganu (CEO 2023), di Hotel Paya Bunga, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria. Salah seorang penerima insentif tersebut, Zahid Ismail, 74, dari Kampung Wakaf Beruas berkata, dengan bantuan RM1,200 itu memberikan sedikit kelegaan kepadanya untuk menampung perbelanjaan seharian memandangkan kesukaran mendapat penumpang ketika ini. “Pak cik bawa beca nie hampir 40 tahun, sekarang ini tidak ramai yang mahu naik beca, kadang balik dengan tangan kosong, kadang ada la juga pelancong yang naik, semuanya bergantung atas rezeki. “Sebenarnya anak-anak tidak bagi dah pak cik bawa beca, tapi disebabkan minat dan bosan duduk di rumah pak cik bawa (beca) juga,” katanya. Sementara itu, Razali Abd Ghani, 73, memberitahu pendapatannya sebagai pengusaha bot penambang banyak bergantung kepada pelancong luar. “Biasanya, musim cuti sekolah ramai yang naik bot penambang, kalau tak hanya bergantung kepada penduduk tempatan, itupun tidak ramai yang gunakan perkhidmatan kami,” ujarnya. Katanya, ketika ini seramai 17 pengusaha bot penambang yang masih aktif dan hanya mengenakan bayaran tiket serendah RM2 untuk sehala.  
08 Jan 23
467
MAIS Sumbang RM200 Ribu Bantu Mangsa Banjir Di Terengganu Dan Kelantan
MAIS Sumbang RM200 Ribu Bantu Mangsa Banjir Di Terengganu Dan Kelantan
KUALA TERENGGANU, 8 Januari – Terengganu dan Kelantan bakal menerima bantuan banjir, masing-masing berjumlah RM100,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib mangsa banjir yang terjejas di kedua-dua negeri baru-baru ini. “Setiap negeri masing-masing menerima RM100,000 dalam bentuk wang tunai RM50,000 dan 500 pek makanan seperti beras, tepung, minyak dan gula. "Sumbangan akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam). “Ini merupakan tradisi MAIS apabila ada sahabat dari negeri lain mengalami kesusahan seperti banjir, tanah runtuh atau kemalangan kita akan bantu seperti mana Selangor juga pernah menerima bantuan ketika dilanda banjir 2021,”katanya. Jelas beliau, sumbangan RM200,000 tersebut meliputi peruntukan daripada Baitulmal MAIS, Perbadanan, Wakaf Selangor (PWS), Universiti Islam Selangor (UIS). Turut terbabit dalam menyediakan peruntukan berkenaan ialah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras). "Daripada jumlah itu, MAIS menyumbang wang tunai sebanyak RM125,000, manakala agensi dan anak syarikat MAIS iaitu PWS, UIS, YIDE, BSHSB dan Teras menyumbang sumbangan terkumpul sebanyak RM75,000,” ujarnya lagi. Sebelum ini, MAIS menyumbang RM300,000 kepada penduduk Kelantan dan Terengganu yang terkesan banjir pada Mac tahun lalu sebagai tanda solidariti antara majlis agama Islam negeri-negeri bagi menyantuni mangsa banjir.  
08 Jan 23
416
600 Pelajar Terjejas Banjir Terima Bantuan
600 Pelajar Terjejas Banjir Terima Bantuan
BESUT, 8 Januari – Seramai 600 pelajar yang terjejas dalam kejadian banjir besar melanda di daerah ini pada bulan lalu menerima kit bantuan barangan keperluan persekolahan melalui Misi Bantuan Banjir Ganu Eco Charity 3.0. Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih (MyCAS) yang juga pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Noor Zaitun Yahaya berkata ia bagi meringankan beban pelajar berkenaan. "Misi bantuan kebajikan itu digerakkan selepas melihat kesan bencana teruk yang menimpa mangsa di beberapa daerah di Terengganu merupakan program pengagihan siri ketiga selepas bantuan yang sama diadakan di daerah Dungun baru-baru ini. "Semua penerima sumbangan merupakan pelajar terpilih daripada 11 buah sekolah menengah dan rendah di daerah Besut,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Sumbangan tersebut disampaikan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik UMT, Prof Ir Dr Mohammad Fadhli Ahmad dalam satu majlis diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering di sini pada Sabtu. Menurut beliau, program tersebut mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah serta beberapa NGO yang lain seperti Pertubuhan Aspirasi Jaringan Wanita Malaysia (AJWA), Majlis Dewan Wanita Terengganu MDWNT, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Selain itu katanya, turut mendapat perhatian Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) Terengganu, Pertubuhan IKRAM Negeri Terengganu, Kelab MUTIARA, UMT dan Ngukah Walk Fit Hulu Terengganu. Tambahnya lagi,selain keperluan sekolah, sebanyak 300 pek bantuan berupa kit kebersihan dan barangan dapur turut diagihkan kepada keluarga mangsa terjejas banjir melibatkan dana keseluruhan berjumlah RM40,000.
08 Jan 23
576
100 Acara Pelancongan Menarik Tonjol Keunikan Terengganu
100 Acara Pelancongan Menarik Tonjol Keunikan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Januari- Sebanyak 100 acara pelancongan dan kebudayaan menarik mengisi Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu kali ini. Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah itu melibatkan 17 acara ikonik dan 83 acara lain yang disusun rapi oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dalam usaha mencapai sasaran tiga juta pelancong ke Terengganu pada tahun ini. Katanya, COE 2023 juga sebagai usaha menggandakan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Terengganu sekaligus menjadikan negeri ini sebuah destinasi utama percutian. “100 acara ini dikumpulkan dari perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai persatuan serta kelab supaya tidak berlaku pertembungan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran COE 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu di Paya Bunga Hotel, hari ini. Turut hadir, Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria. Katanya, Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (BTM) yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 23 Februari nanti di Padang Astaka Kemaman merupakan acara pertama sebagai pembuka tirai COE 2023. “Ia bakal disusuli dengan acara lain antaranya Konsert Cilik Gamelan, Karnival Merakyatkan Budaya, Kapas Marang Internasional Swimathon 2023, Karnival Pantai Terengganu, Fiesta Candat Sotong dan Pelita Raya Tradisi Terengganu,” katanya. Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi memastikan industri pelancongan Terengganu pada tahun ini terus berkembang pesat. “Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan melalui Geran Pelancongan Darul Iman (GPDI) yang membolehkan mana-mana penggiat industri pelancongan, persatuan dan NGO menganjurkan pelbagai aktiviti dan program berimpak tinggi untuk rakyat negeri ini,” katanya.  
05 Jan 23
911
Pimpinan Terengganu Cemerlang Martabatkan Islam
Pimpinan Terengganu Cemerlang Martabatkan Islam
KUALA TERENGGANU, 5 Januari – Pimpinan kerajaan Terengganu sekarang cemerlang dalam memartabatkan Islam dalam pemerintahan. Penolong Kanan Pesuruhjaya, (Akidah, Syariah dan Tamadun Islam) Bahagian Penyelidikan, JHEAT, Ahmad Azhar Harun@Musa berkata pelbagai pendekatan diambil Kerajaan Terengganu dalam memperkukuhkan lagi penghayatan agama Islam dalam kalangan rakyat sehingga hari ini. Katanya, melihat kepada sejarah iaitu Terengganu merupakan antara negeri-negeri Melayu terawal yang menerima Islam di Malaysia sekitar abad ke-13 bahkan lebih awal lagi. “Pandangan ini dikukuhkan lagi dengan kewujudan Batu Bersurat Terengganu yang ditemui di Kuala Berang. “Batu bersurat ini jika dilihat pada isi kandungannya jelas memberitahu bahawa menandakan pengisytiharan undang-undang Islam di negeri ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 2, Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini semalam. Tambah Ahmad Azhar, Terengganu juga merupakan negeri pertama yang menguatkuasakan undang-undang syariah secara bertulis. Jelasnya lagi, sejak dari dulu juga, negeri ini telah mengamalkan amalan kehidupan bersyariat melalui penguatkuasaan undang-undang tersebut. Di samping, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membantu dalam mentadbir urus serta mengendalikan hal-hal berkaitan keagamaan. Sementara itu, beberapa ulama besar juga telah memimpin dan membimbing Terengganu sejak daripada awal pemerintahan lagi.  
05 Jan 23
458