lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Guru Pondok Terjejas Banjir Terima Bantuan RM15,000
Guru Pondok Terjejas Banjir Terima Bantuan RM15,000
SETIU, 12 Januari - Guru-guru di enam buah pondok yang terjejas ketika banjir baru-baru ini menjadi golongan sasar bagi menerima bantuan tunai 'one-off' daripada kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan RM15,000. Bantuan itu membabitkan 15 guru iaitu dari Pondok Ad Diniah Al-Mansuriah Al-Muhammadiah, Pusat Pendidikan Al-Abrar (Pondok Menerong),Madrasah Ad-Diniah Az-Zakiah (Lubuk Periuk), Hulu Terengganu. Manakala guru di Madrasah Darul Muhajirin dan Pondok Al-Madini, Kuala Terengganu serta satu Madrasah Ad-Diniah Al-Muhammadiah, Setiu turut menerima bantuan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif berkenaan dihulurkan bagi meringankan sedikit bebanan dialami oleh guru pondok yang selama ini berjasa dalam institusi masyarakat dalam melahirkan golongan agamawan. "Ini merupakan sebahagian usaha yang kerajaan laksanakan, saya percaya masyarakat di luar juga sebenarnya ingin turut menghulurkan bantuan serta sumbangan. "Terutamanya untuk membaik pulih dan membaiki kerosakan semua institusi pengajian pondok yang terlibat jadi saya menyeru kepada seluruh masyarakat atas dasar kebajikan untuk sama-sama berlumba melakukan kebaikan dengan cara masing-masing, agar sama-sama mendapat keberkatan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menyampaikan bantuan berkenaan di Madrasah Ad-Diniah Al-Muhammadiah, di sini, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir. Terdahulu, Dr Ahmad Samsuri merakamkan ucapan takziah kepada semua guru pondok serta tenaga pengajar yang terbabit dalam bencana berkenaan baru-baru ini. "Pertemuan hari ini bukan untuk meraikan ujian melanda, tetapi menzahirkan komitmen serta usaha Kerajaan untuk menjaga seluruh rakyat. "Menjadi ujian untuk kita semua untuk melihat kita (kerajaan) mampu mengurustadbir serta diharapkan ia mampu meningkatkan ketakwaan semua rakyat di negeri ini," katanya.
12 Jan 23
661
Laksana Intervensi Pemasaran Telur Atasi Kekurangan Bekalan
Laksana Intervensi Pemasaran Telur Atasi Kekurangan Bekalan
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan intervensi bagi pemasaran telur ayam untuk memastikan kecekapan pengurusan rantaian bekalan bermula Disember tahun lalu. Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata, inisiatif tersebut bagi menjamin sekuriti makanan dengan membekalkan telur ayam kepada rakyat secara konsisten melalui outlet-outlet peruncitan FAMA dan tersedia berpandukan pada harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.  ”Sumber bekalan telur ayam akan dibekalkan daripada pengeluar atau kilang tempatan yang telah dikenalpasti oleh MAFS dan FAMA. ”Ia bagi mengimbangi kekurangan bekalan telur ayam dalam negara melalui ketersediaan bekalan di outlet peruncitan FAMA,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Tinjauan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim Bagi Agihan Telur kepada Outlet Usahawan FAMA Di Pusat Operasi FAMA, Chendering, hari ini. Nukman berkata, program intervensi tersebut melibatkan penyertaan terus Pusat Operasi FAMA melalui beberapa kaedah iaitu jualan terus kepada outlet peruncitan FAMA yang melibatkan Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran dan lain-lain. ”Dan juga jualan terus dari pusat operasi kepada pengguna akhir serta kepada outlet peruncitan dan institusi lain,” ujarnya.
12 Jan 23
292
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM339.6 Juta
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM339.6 Juta
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mencatatkan perolehan sebanyak RM339.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, peningkatan 16 peratus berbanding RM292.2 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali berkata, perolehan paling tinggi dijana oleh operasi pelabuhan iaitu sebanyak RM283.3 juta (70 peratus). “Diikuti RM90.3 juta (27 peratus) daripada perkhidmatan kejuruteraan dan RM11 juta atau tiga peratus daripada tenaga boleh diperbaharui atau tenaga solar,” ujarnya dalam sesi soal jawab sempena program 'Media Appreciation Hi-Tea 2022' yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Primula Beach Hotel, semalam. Menurut Ridzuan, bagi jumlah perolehan dijana segmen keseluruhan operasi pelabuhan, RM179 juta atau 53 peratus adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan dan RM59.3 juta atau 17 peratus pula daripada operasi pelabuhan. Kata Ridzuan, keuntungan sebelum cukai kumpulan pada tahun lalu turut meningkat sebanyak 16 peratus kepada RM26.2 juta daripada RM22.6 juta yang dicatatkan pada 2021. Menurutnya, pertumbuhan perolehan yang direkodkan tahun lalu adalah sumbangan pencapaian oleh EPIC OG Sdn Bhd, anak syarikat EPIC yang terbabit dalam menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan khususnya operasi sektor minyak dan gas. "Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBK) turut mencatatkan perolehan yang lebih tinggi dengan peningkatan dalam aktiviti minyak dan gas,” ujarnya. Ridzuan berkata, bagi tahun 2023, kumpulan EPIC menganggarkan perolehan sebanyak RM379.1 juta, 12 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu. "Dengan rekod perolehan yang lebih tinggi, keuntungan selepas cukai dianggarkan meningkat sebanyak 43 peratus daripada RM6.1 juta tahun lalu kepada RM8.7 juta tahun ini," katanya. Dalam pada itu, Ridzuan berkata, EPIC membelanjakan hampir RM2.5 juta tahun lalu untuk pelbagai inisiatif program, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), sumbangan serta tajaan pembangunan masyarakat dan negeri Terengganu. “Daripada jumlah itu, EPIC berjaya membantu 25 organisasi pendidikan, 92 persatuan serta organisasi kerajaan dan bukan kerajaan yang mana impaknya dapat dirasai ribuan individu bukan saja di dalam, malah di luar Negeri Terengganu. "Bagi tahun ini, EPIC berhasrat untuk terus memberikan sokongan padu kepada masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan serta memacu pembangunan negeri," katanya.  
12 Jan 23
400
Warga Emas Terkejut Rumah Baharu Siap Tiga Hari
Warga Emas Terkejut Rumah Baharu Siap Tiga Hari
BESUT, 11 Januari - Seorang warga emas, Hasimah Ali Seman, 70, terkejut apabila menerima kediaman lebih baik selepas rumah asal yang didiami selama lebih 20 tahun dihanyutkan banjir. Kata Hasimah, dia juga sebak apabila mengenangkan jasa beberapa pihak terutamanya sukarelawan Pertubuhan Prihatin Anak Watan Terengganu yang bertungkus lumus menyiapkan teratak barunya dalam masa tiga hari tanpa sebarang upah.  "Mak cik sama sekali tidak menyangka akan diberikan rumah sebegini, sangat-sangat bersyukur, mereka memulakan pembinaan rumah ini pada Jumaat yang lalu. "Mak cik perhatikan kesemua sukarelawan ini membuat kerja bersungguh-sungguh bermula 9.00 pagi sehingga ke jam 3 pagi, tanpa menghiraukan hujan lebat pada hari pertama, dalam keadaan baju mereka basah mereka solat, berhenti makan, kemudian mereka kembali bekerja untuk memastikan ia siap. "Sayu dalam hati ini, sehingga disuruh berhenti sekejap, mereka tetap meneruskan sampai sebegitu mereka tolong, tak tahu hendak kata apa dan bagaimana hendak membalas jasa baik mereka, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya, rumah ini terlalu sempurna dan sangat selesa bagi saya dan dua orang cucu yang tinggal dengan saya," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui di kediaman barunya di Kampung La, Hulu Besut, di sini hari ini. Mengulas lanjut, pada awalnya dia tidak kisah jika binaan rumahnya hanya menggunakan kayu sedia ada asalkan keluarga boleh berlindung daripada hujan dan panas. "Saya pada waktu itu buntu tambah lagi mengenangkan rumah ini menjadi kenangan bersama arwah suami yang meninggal pada enam tahun yang lepas, saya sangat-sangat berterima kasih kepada mereka yang telah membantu, hanya Allah jua yang mampu membalasnya," ujarnya lagi. Sementara itu seorang lagi mangsa rumah hanyut ketika banjir, Abdul Razak Laboh, 64, juga menyatakan perasaan bersyukur dan terharu di atas bantuan yang dihulurkan oleh Prihatin Anak Watan Terengganu. "Boleh dikatakan setiap tahun menghadapi banjir, cumanya kali ini keadaannya lebih teruk sehingga menghanyutkan rumah saya. "Kerana menghadapi banjir setiap tahun saya berhasrat untuk membina rumah lain di atas tanah pusaka pemberian emak saya, yang saya telah mula bina sendiri yang hanya 30 peratus sahaja baru siap, bina sikit-sikit dengan mengggunakan wang yang disimpan hasil menoreh getah entah bila hendak siap. "Jadi disebabkan menghadapi bencana rumah hanyut, NGO ini sanggup menyiapkan rumah saya. "Jadi sangat beryukur dan gembira akhirnya dapat disegerakan pembinaan rumah ini melalui sukarelawan yang bertungkus lumus tanpa henti dan mengenal penat, dalam masa yang singkat dapat disiapkan," katanya.  
11 Jan 23
4848
79 Pegawai, Anggota Polis Dikenakan Tindakan Tatatertib
79 Pegawai, Anggota Polis Dikenakan Tindakan Tatatertib
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Seramai 79 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu terlibat pelbagai kes salah laku dan masalah disiplin direkod sejak Januari hingga Disember tahun lepas. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ianya merangkumi  pegawai kanan polis (10), pegawai rendah polis (67) dan dua pegawai awam.  Menurut beliau, antara kesalahan yang dilakukan ialah jenayah sebanyak 16 kes, (5) kes narkotik (5), kes tidak hadir tugas (8),  kes salahlaku (47), kes syariah (2) dan kes SPRM (1).  “Saya memandang penglibatan salahlaku pegawai PDRM Kontinjen Terengganu ini secara serius, Semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan kesalahan salahlaku membabitkan pegawai dibawah seliaan masingmasing dapat dikawal pada tahap semaksima mungkin.  “Saya tidak akan berkompromi dalam hal ini, apatah lagi pegawai yang terlibat dalam kesalahan kes jenayah dan kes dadah. Mereka ini umpama “musuh dalam selimut” atau “Gunting dalam lipatan” yang mencemar imej dan nama baik PDRM khususnya PDRM Terengganu,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu di sini hari ini. Dalam majlis tersebut, seramai  102 orang yang telah turut sama menyumbang dalam menjayakan tugas-tugas kepolisan dengan cemerlang menerima surat penghargaan dari PDRM.
11 Jan 23
1593
Projek RM36.71 Juta Dibangunkan di Besut
Projek RM36.71 Juta Dibangunkan di Besut
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Sebuah lagi projek hidro mini dengan kapasiti 3 Mega Watt (MW) bakal dibina di Besut yang dijangka siap menjelang tahun 2027. Projek bernilai RM36.71 juta itu akan dibina di Sungai Pelagat menjadikan projek kedua selepas Projek Hidrokuasa Kecil Sungai La, Hulu Besut. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Ir Saiful Azmi berkata projek berkenaan adalah kesinambungan terhadap usaha kerajaan negeri menceburi pembangunan lestari khususnya tenaga baharu. “TESDEC Hydropower Sdn Bhd dan Techmile Resources Sdn bhd bekerjasama bagi membina projek hidro kecil 3MW dengan sasaran jadual diletakkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) disiapkan pada 2027. “Sumber bagi hidro mini ini adalah ketinggian air di bukit yang digunakan sebagai penjanaan kuasa, jadi sistem yang dipakai adalah ‘high height’ iaitu air dari puncak dimasukkan ke dalam paip sebelum dialirkan ke bawah,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Surat Anugerah (LOA) Projek Pembangunan Mini Hidro 3.0 MW Sungai Pelagat, Besut di Hotel Primula, di sini hari ini. Majlis disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan kehadiran Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Eksekutif Minetech, Dato' (Dr) Ts Awang Daud Awang Putera. Saiful yang juga Pengerusi TESDEC Hydropower Sdn Bhd turut berkata, usai projek tersebut siap ia akan diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan jangkaan hasil pendapatan sebanyak RM3.3 juta setahun. Projek rintis itu melibatkan satu ekar keluasan tanah bagi muka sauk air kawasan air keluar seluas satu ekar dengan paip bersaiz 800 mm sepanjang empat kilometer.  
11 Jan 23
1197
Peruntukan RM40,000 Naik Taraf Kampung Tiong
Peruntukan RM40,000 Naik Taraf Kampung Tiong
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Peruntukan sebanyak RM40,000 disalur bagi menaik taraf dan penambahbaikan Kampung Tiong. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata Kampung Tiong sentiasa menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negeri ketika berkunjung ke Kuala Terengganu. Katanya, penambahbaikan itu akan memberi keselesaan buat para pengunjung dengan pemandangan indah dan lebih kondusif. “Yang pertama adalah projek menaik taraf serta mencantikkan kawasan penjaja pasar tani. “Kedua iaitu kerja-kerja mengecat, menyelenggara serta menceriakan bangunan medan selera pasar pagi deretan kawasan penjaja,” jelasnya. Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan dalam laman Facebook Miliknya pada hari ini. Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu bagi hal ehwal bukan Islam, Dr Balachandran Gopal Krishnan. Tambah Amzad, Kerja-kerja yang akan dilakukan adalah seperti membaiki bumbung yang uzur, membaiki longkang serta penutup yang rosak. Di samping, membaiki lantai, tapak gajah dan penghadang jalan, dan menambah tong sampah juga turut dilakukan. “Semoga usaha ini akan berjaya menjadikan Kampung Tiong lebih indah serta menarik lebih ramai lagi pelancong untuk datang ke Kuala Terengganu. “Secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya,” katanya.      
11 Jan 23
712
Dua Bulan Moratorium Untuk Usahawan Terjejas Banjir
Dua Bulan Moratorium Untuk Usahawan Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bersetuju memberikan moratorium selama dua bulan kepada usahawan yang terlibat dalam musibah banjir baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata ramai di antara usahawan-usahawan di Terengganu yang telah terlibat dengan bencana alam itu. "Sebelum ini, kita memberikan pengecualian bayaran sewa kepada premis-premis usahawan yang menyewa di premis milik YPU. "Rentetan dari itu, kita mengumumkan peminjam ataupun usahawan yang menerima pinjaman daripada YPU dan terkesan akibat musibah banjir baru-baru ini boleh juga mengemukakan permohonan penangguhan," katanya. Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Surat Penganugerahan antara TESDEC Hydropower Sdn Bhd dan Techmile Resources Sdn Bhd di Primula Beach Hotel, hari ini. Tambahnya, pihak YPU Terengganu sedia menerima, memproses dan memberi moratorium bagi bulan Januari dan Februari 2022 jika syarat yang dikemukan adalah lengkap. "Permohonan perlulah disertakan dengan laporan polis serta gambar premis yang terlibat dengan banjir. "Saya berharap dengan moratorium yang diumumkan daripada YPU ini dapat memberikan suatu keringanan kepada yang terlibat dengan musibah banjir baru-baru ini," katanya.
11 Jan 23
210
Kerajaan Negeri Perketat Operasi Taska
Kerajaan Negeri Perketat Operasi Taska
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kerajaan Terengganu bakal memperketatkan syarat kemasukan dan prosedur perlesenan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negeri terbabit bagi mengelakkan kejadian dera berlaku. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata langkah itu diambil susulan kes dera yang dilaporkan terjadi di sebuah Taska di daerah ini semalam. Ujar beliau, pihaknya melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) turut meneliti pantauan terhadap 70 Taska di bawahnya. “Kerajaan negeri memberi jaminan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan semua pengasuh di taska peringkat kerajaan, PERMATA ditapis sebelum di ambil bekerja. “Kita juga akan perketatkan lagi syarat kemasukan dan prosedur perlesenan taska bagi mengelakkan hal sama berulang,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Surat Anugerah (LOA) Projek Pembangunan Mini Hidro 3.0 MW Sungai Pelagat, Besut di Hotel primula, di sini hari ini. Beliau turut menyatakan bahawa buat masa ini kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kes terbabit kepada pihak Polis. “Sekarang Kerajaan Negeri sedang menunggu hasil siasatan oleh pihak Polis dan tiga individu telah ditahan semalam,” tambahnya. Semalam, seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai akibat didera pengasuhnya di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk.
11 Jan 23
426
Kerosakan Jambatan Dan Jalan Rosak Akibat Banjir Cecah RM21.5 Juta
Kerosakan Jambatan Dan Jalan Rosak Akibat Banjir Cecah RM21.5 Juta
HULU TERENGGANU, 11 Januari - Nilai kerosakan jambatan dan jalan di negeri ini akibat banjir besar luar jangka yang berlaku pada akhir tahun lepas mencecah RM21.5 juta. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri, Dr Mamad Puteh berkata, dari jumlah tersebut, antaranya melibatkan pembinaan satu jambatan baru di Durian Mentangau, Dungun. "Selain itu, jambatan baru juga perlu dibina di Pancur Merah, Permaisuri kerana culvert daripada besi atau kita panggil ‘Corrugated metal pipe’ telah rosak kerana usianya sudah lebih daripada 30 tahun. "Di Kampung Subhanallah, Hulu Besut, sebuah jambatan telah mengalami kerosakan ‘embankment’ dan kos pembaikian tersebut kira-kira 600 ribu ringgit," jelasnya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak jambatan yang rosak di daerah Dungun, Setiu dan Besut baru-baru ini. Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, pembinaan jalan alternatif perlu disegerakan bagi memudahkan penduduk sekitar yang kebiasaanya menggunakan jambatan untuk urusan harian. "Jadi, kita perlu segera untuk membina jambatan-jambatan baru dan juga pembinaan jalan-jalan sementara sebagai alternatif sebelum jambatan baru siap," tambahnya.
11 Jan 23
404